Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Jumaat, 4 Mei 2012

Sydney: Kota Metropolitan, Kota Pinggir Hutan dan Kota Pelabuhan

Di sini saya ceritakan kisah kembara saya ke Sydney. Saya ke sana bersama keluarga saya atas ajakan kawan saya Abang Amza dan Kak Mimi yang berasal dari Singapura tetapi telah menetap di Australia lebih 20 tahun. Kami ke sana pada tahun 2004.

Untuk ke Sydney kami memandu pacuan empat roda dari Melbourne yang memakan masa kira-kira 12 jam. Dalam perjalanan itu kami melalui Canberra, ACT (Pautan untuk citra kembara saya di Canberra ada di sini).

Lawatan itu singkat - 4 hari sahaja- namun saya mempunyai kenangan yang mendalam. Kenangan mendalam  itu ingin saya kongsikan bersama anda.



Sydney adalah kota metropolitan yang sibuk. Kami dapat melihat banyak kenderaan di atas jalan dan manusia berpusu-pusu di dalam metropolitan ini dengan tujuan dan urusan masing-masing. Populasi penduduknya adalah 4 juta. Metropolitan Sydney adalah magnet kepada orang Australia dan orang luar. Sektor pekerjaan utama di Sydney ialah pendidikan, cafe dan restoren, pentadbiran dan perkeranian. Kos kehidupan di sini adalah tinggi berbanding dengan Melbourne.

Di Sydney kami menginap di dua tempat:

1) Di rumah presiden Islamic Malay Australian Association of New South Wales (IMAAN).

Apabila kami sampai di Sydney, kami terus bermalam di rumah presiden Persatuan Melayu New South Wales iaitu Haji Alias. Beliau sudah menjadi penduduk tetap Australia kerana berhijrah dari Singapura kira-kira 16 tahun lalu. Rumahnya terletak di Cabramatta. Kami disambut dengan tangan terbuka dan dijamu dengan juadah makan malam yang istimewa. Masakan Singapura yang enak itu dimasak oleh isteri beliau Kak Normala.



2) Di Dewan Malaysia (2A Alison Road, Randwick, NSW)

Menginap di Dewan Malaysia bersama keluarga amat menyeronokkan. Kami telah tempah bilik di Dewan Malaysia seminggu sebelum kami datang dan telah berurusan dengan penyelia Dewan ini yang peramah, Kak Nani.

Bilik di Dewan Malaysia selesa. Sewanya pun murah. Kami tidur dengan lena. Untuk sarapan dan makan malam kami pesan pada tukang masak di Dewan ini sehari sebelumnya. Antara menunya ialah nasi briani, nasi goreng, mee goreng dan nasi campur.

Untuk ke kotaraya kami menaiki keretapi yang tidak jauh dari situ. Di Dewan Malaysia, kami lihat ada banyak bilik-bilik yang disewakan oleh pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Sydney. Sempat juga kami berkenalan. Kalau anda berminat untuk menginap di Dewan Malaysia Sydney sila klik di sini.

Three Sisters menjadi kebangaan di Blue Mountains.

Antara tempat-tempat menarik yang kami lawati semasa di Sydney adalah seperti berikut:

 1. Blue Mountains


Blue Mountains adalah kawasan hutan hujan yang mesra alam. Di dalam hutan ini  terdapat pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan dan binatang. Kita boleh melihat kanyon (gaung dan jurang yang amat dalam), air terjun, gua, lombong arangbatu dan lain-lain lagi. Mengirup udaranya yang segar, meniti jambatan dan denai-denai hutan hujannya benar-benar membawa kami mengenali dengan lebih dekat Blue Mountains yang mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai salah satu Warisan Dunia.

Di hutan pergunungan Blue Mountains terdapat banyak pekan-pekan. Salah satunya ialah Katoomba. Ia telah menjadi salah satu tempat yang mesti dilihat di Blue Mountains. Kawasan pergunungan ini dioperasikan oleh sebuah keluarga yang menamakannya Scenic World. Scenic World menyediakan perkhidmatan melihat alam semulajadi Blue Mountains. Ia dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 5 petang. Ada EMPAT cara untuk melihat keindahan Blue Mountains menggunakan perkhidmatan Scenic World ini:



i. Menaiki kereta kabel (Skyway Scenic World). 

Dengan menaiki kereta kabel kami dapat melihat keindahan Blue Mountains dari atas. Kami seolah-olah terbang di udara dengan hutan-hutan serta gunung-ganang berada di bawah kami. Kami dapat menyaksikan betapa luasnya hutan ini, dalamnya gaung dan tingginya Blue Mountains. Kereta kabel ini kemudian berhenti di Scenic Walkway, kira-kira tiga kilometer dari mula-mula kami bergerak tadi.


ii. Jalan Kaki (Scenic Walkway)

Dengan berjalan kaki melalui denai-denai hutan hujan New South Wales ini kami dapat melihat dengan lebih dekat flora dan faunanya yang indah dan menghijau seperti fern tree (pokok paku gergasi) dan eucalyptus (pokok kayu putih). Kalau bernasib baik kita dapat melihat cookatoos dan kangaroo lepas bebas sambil mencari makanan. Tetapi kami tidak dapat melihat seekor binatangpun. Kami cuma dapat melihat kawasan lombong arang batu dan dapatlah kami membayangkan cara aktiviti melombong dijalankan pada suatu masa dahulu.

Menuruni cerun dan mendaki bukit dalam hutan Blue Mountains membuatkan kami rasa segar kerana 2 km sahaja dari sini adalah kota Metropolitan Sydney yang sibuk. Menghidu bau rumput-rumput, daun-daun dan tanah Blue Mountains membuatkan kami lupa seketika dengan kesibukan kota Metropolitan dan ketegangan yang kami alami disebabkan tugas hakiki kami.



iii. Meneropong

Apabila kami sampai di atas kemuncak bukit kami dapat melihat pemandangan yang indah. Kami dapat lihat tiga buah gunung yang tersergam indah dan letaknya rapat-rapat di antara satu sama lain. Ia dikenali sebagai Three Sisters.  Three Sisters terbentuk dari batu gunung. Menurut kepercayaan orang asli Australia Three Sisters adalah tiga orang adik-beradik perempuan yang bertukar menjadi batu.

Kami juga melihat Three Sisters dan keindahan Blue Mountains itu dengan menggunakan teropong yang disediakan di atas bukit.

Anak-anak saya meneropong dari atas bukit
iv. Keretapi Bukit

Apabila kami turun dari bukit yang tinggi ini kami menaiki keretapi bukit yang mengelunsur ke bawah bukit yang agak curam. Ia bergerak seperti roller coaster. Anak-anak saya amat gembira menaiki keretapi bukit ini.

 

2. Pelabuhan Sydney


Pelabuhan Sydney mempunyai pemandangan laut dan marina yang indah. Kita boleh berjalan kaki melihat pantai pelabuhan Sydney dan berkelah di situ.

Ketika kami ke sini kota pelabuhan ini berada dalam musim panas, maka banyaklah bot-bot dan kapal-kapal belayar di air yang biru itu. Cara yang mudah untuk melihat pelabuhan ini ialah dengan menaiki feri. Namun begitu, menaiki feri memerlukan masa dan duit. Kami cuma berjalan-jalan sahaja di pinggir pelabuhan. Kami terpaksa memakai payung kerana cuacanya begitu terik sekali. Oleh kerana cuaca yang panas, kami tidaklah berjalan lama di situ.


Satu lagi cara untuk melihat pelabuhan ini ialah dengan menyeberangi Jambatan Pelabuhan Sydney (Sydney Harbour Bridge). Jambatan ini mempunyai gerbang keluli yang panjang dan bentuknya seperti penyangkut baju. Ia dianggap sebagai mercu tanda Sydney sebagaimana Menara Liberty di New York.

3. Opera House


Impian melihat Opera House terlaksana apabila Abang Amza dan Kak Mimi membawa kami ke sana. Opera House mempunyai senibina unik dan menjadi tarikan manusia dari seluruh dunia. Ia mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai  salah satu Warisan Dunia. Letaknya di Pelabuhan Sydney. Persembahan kebudayaan, persembahan muzik orkestra dan teater bertaraf dunia diadakan di sini. Di luar kawasan Opera House terdapat cafe, kedai-kedai cenderamata dan persembahan jalanan. Tempat ini menjadi tumpuan ramai dan sangat "happening".

Pertandingan akhir reality tv Australian Idol sering dilakukan di sini. Seniman yang membuat persembahan di Opera House Sydney diktirafkan sebagai seniman yang berkelas dunia seperti di Royal Albert of London.

Pada tahun 2004 Guy Sebastian yang menyertai pertandingan Australian Idol dapat menyanyi di Opera House dan beliau memenangi pertandingan itu. Guy mewakili World Idol di tahun berikutnya. Lagu popular beliau ialah Angles Brought Me Here. Lagu single beliau ini mendapat jualan tertinggi dalam sejarah Australia (Highest selling single of the decade in Australia).

Sebenarnya Guy Sebastian berasal dari Malaysia dan seringkali ini disebut-sebutkan di dalam televisyen di Australia. Oleh kerana Guy Sebastian orang Malaysia, dan memenangi pertandingan Australian Idol maka apabila orang Australia berbual dengan kami mereka menyangka kamipun pandai menyanyi macam Guy Sebastian. Untuk menonton dan mendengar lagu beliau ini sila klik video muzik ini.


Pertunjukan kemahiran berbasikal di kaki lima Opera House
Aku kagum dengan manusia berlagak sebagai patung tanpa bergerak atau mengerdipkan mata.

 

4. Masjid Darul IMAAN dan Islamic Malay Australian Association of NSW (IMAAN)


Salah satu hari di Sydney kami dibawa oleh presiden IMAAN ke Masjid Darul Iman yang letaknya di Eden Street, Arncliffe. (150 meter dari Stesen Keretapi Arncliff). Untuk melihat petanya sila klik di sini.

Masjid ini dikelolakan oleh Persatuan Islam Melayu Australia New South Wales atau Islamic Malay Australian Association of NSW (IMAAN). Sila lawati : http://www.malay.org.au/index.htm



Di dalam masjid itu kami dapat melihat mimbar, permaidani yang terbentang luas, kitab-kitab dan ayat-ayat suci Al-Quran yang terletak di dinding masjid. Oleh kerana kami datang pada waktu dhuha, hanya seorang dua sahaja yang ada di masjid itu.

Bahagian belakang masjid dijadikan kelas-kelas agama, namun kelihatan uzur dan memerlukan dana sumbangan orang ramai untuk memperbaikinya


Di bahagian belakang masjid, terdapat kelas-kelas agama dan perpustakaan. Bahagian belakang masjid ini adalah rumah lama yang dibeli oleh seorang individu dan keadaan di dalamnya adalah sangat uzur dan daif. Oleh kerana mereka masih belum mendapat dana yang mencukupi maka mereka amat mengharapkan sumbangan ikhlas dari orang ramai. Sekiranya anda berminat untuk menginfak harta anda ke jalan Allah bolehlah memberikan sumbangan anda kepada masjid ini. Sila layari laman web Imaan ini untuk mendapatkan keterangan lanjut cara untuk memberi sumbangan.

Pautan ke masjid dan musalla di New South Wales

Itulah sahaja Nota Kembara saya di Sydney, kota metropolitan yang sibuk namun ia adalah kota pelabuhan yang indah dan memiliki hutan hijau yang terletak tidak jauh darinya. Terima kasih kerana sudi membaca dan mengembara bersama saya.


6 ulasan:

  1. great entry akak!!! sy mmg nntkan. sbb sy masih blur lagi ape yg tempat menarik kat sydney selain dari blue mountain and darling harbour. hehehe. gonna spend there for 5 days.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Danny/John,
      Terima kasih kerana menanti entry akak ni. Namun tak banyak info yang akak dapat berikan berbanding dengan info tentang Melbourne, sebab di Sydney hanya sekejap sahaja. Kemudian di Sydney, semua Abang Amza, Haji Alias dan keluarga mereka yang bawa akak jalan-jalan dengan kenderaan mereka. I hope you have some ideas about Sydney in this entry. Semoga Danny dapat ke Sydney dan melalui pengalaman yang jauh lebih menarik daripada akak.

      Padam
  2. Bagus info seperti ni, kadang2 membaca pengalaman orang lain tentang pekara2 menarik tentang sesuatu tempat lebih best drp info dalam buku atau majalahkan. Semoga info ni berguna pada sesiapa yang nak ke sanakan seperti Danny tu.... :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. AndaQue,
      Ya, betul tu. Dalam majalah atau buku ruangannya terhad dan perlu patuhi peraturan penulisan dan konsep penerbitan. Tetapi di dalam blog kita lebih bebas. Ya, diharapkan info ini berguna walaupun ianya tidaklah terperinci sebab saya cuma bertanggak sekejap sahaja di Sydney. Semoga Allah mempermudahkan perjalanan Danny dan rakan kembara yang hendak ke Sydney. :)

      Padam
  3. Tak sangka pulak banyak masjid around sydney ye..mungkin jauh dari malaysian hall kan..lagipun nekcik dok 2 malam.pas tu nak winter..kol 4 dah gelap...tak dapat jalan jauh

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Nekcik,
      Terima kasih kerana sudi membaca blog ini dan memberi ulasan.

      Memang banyak Masjid di Sydney sebab ramai orang Islam di sana. Tapi jauh-jauh. Sebab negerinya luas.

      Betul Nekcik, semasa winter memang tak boleh jalan banyak sebab cepat gelap. Semua kena buat tergesa-gesa kan.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...