Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Rabu, 18 Januari 2012

Medan | 5: Renungan dan Saranan

Enam hari di Medan memberi banyak ilmu kepada saya. Banyak yang saya belajar hasil dari pengalaman dan pengamatan sendiri.

Medan, Berastagi, Parapat, Danau Toba memanglah indah dan patut dilestarikan. Tetapi sejauh manakah kelestarian ini dapat dikekalkan? Dengan pencemaran udara dan bunyi yang bising di kota Medan, bagaimanakah bisa rakyatnya mempunyai kesihatan yang baik? Bagaimanakah generasi akan datang dapat menikmati udara dan air yang bersih? Udara yang diberi oleh Allah ini mengapa tidak disayangi? Mengapa tidak diberhentikan tabiat membunyikan hon terlalu kerap di jalanraya? Mengapa tiada kawalan terhadap pengeluaran kenderaan bermotor? Mengapa tiada kawalan pelepasan karbon monoksida (CO2), sulfur dioksida (SO2), nitrogen oksida (NOx) dan plumbum (Pb) di jalan-jalanraya? Sedarkah kita bahawa asap-asap ini membawa kesan buruk kepada perkembangan fizikal (jantung, buah pinggang) dan mental kanak-kanak?


Pemandu di jalan juga harus berhemah. Ketika kami menaiki bas dari Parapat ke kota Medan, kami melalui jalan dua hala yang sempit dan berliku-liku. Pemandu sentiasa memotong dan memakan lorong jalan kanan, ketika dia memakan jalan kanan, kenderaan yang datang dari arah hadapan terpaksa berhenti dan memberi laluan kepada bas kami. Siapa yang memenuhi ruang jalan itu dialah raja dan yang lain harus mengalah. Keadaan ini kadang-kadang mencemaskan kami.



Bas kami kehabisan minyak di tengah jalan. Keadaan bas ketiadaan minyak jarang berlaku dan orang yang paling tidak senang hati dengan kejadian ini adalah pemandu pelancong kami. Sebagai seorang yang profesional sudah pasti beliau amat kecewa.



Kami menyabarkan Pak Rahmat yang marah pada pemandu bas kami yang cuai itu. Setiap kejadian itu pasti ada hikmahnya. Apakah hikmah disebalik kejadian bas kehabisan minyak?

Inilah hikmahnya. Antaranya kami satu bas dapat berhenti dan makan bakwan (cucur tepung) di warung tepi sawah. "Pemilik warung ni agaknya solat dhuha tadi," kata salah seorang ahli rombongan kami. Saya faham maksudnya, kerana antara fadhilat solat dhuha ialah rezeki dipermudahkan Allah.

Kami juga dapat melihat hasil tanaman penduduk tempatan dikutip dan dipasarkan. Kami juga dapat berehat di ladang kelapa sawit. Barulah rasa lebih rapat dengan penduduk tempatan.

Lagi satu hikmahnya, yang saya sedari seminggu selepas ini, kawan sekampung saya yang datang ke sini juga, tetapi lebih awal sehari dari saya memberitahu bahawa rombongan mereka terperangkap dalam kesesakan jalanraya yang amat teruk selama 7-8 jam dan sampai ke Medan lewat jam 2.00 pagi. Hikmahnya, kami tidak mengalami masalah terperangkap dalam kesesakan jalanraya (orang Medan memanggilnya macet) dan tidak sampai lewat.


Di Permatang Siantar kami  turun dan melihat kedai jual snek Teng Teng, Tang Tang dan Tung Tung. Snek ini macam bepang kacang kita tu. Macam-macam nama, tetapi bahan asasnya ialah kacang tanah. Kita boleh cuba rasa dahulu. Namun kami tidak beli. Kami ragu-ragu dengan kehalalannya.

Kedai ini milik orang Cina Buddha kerana jelas di kedai itu digantung tanglung merah dan diletakkan tokong di ruang depan kedai. Apabila kami tanya ada dapat pengiktirafan halal dari Majelis Ulama Indonesia atau tidak?

Nyonya tu jawab, "Di Indonesia ini sukar dapat logo halal itu....cuma tulis saja di kotak dengan tulisan Arab - halal."

Kami tanya, "Bagaimana nak tahu ia halal atau tidak?"

Lalu ditunjukkan kepada kami kotak makanan yang bergambar seekor babi gemuk. Sahlah nyonya ini tidak faham erti halal. Baginya apa saja yang bukan babi, halal. Bagaimana dengan lembu yang tak disembelih? Mungkin melalui pemahaman beliau ini halal? Kami tidak yakin dengan penjelasan beliau itu. Ini bermakna ada bahagian halal dan haram dalam premis masakan beliau.

Minggu lepas dalam rancangan TV9 Tanyalah Ustaz, Ustaz dari JAKIM pun ada memberitahu bahawa kita tidak boleh makan makanan yang dalam satu premis yang sama ada bahagian makanan halal dan sebahagian lagi makanan haram.

Makan makanan halal itu penting bagi umat Islam kerana ia menjadi darah daging kita. Doa kita tidak makbul kalau kita makan makanan yang tidak halal.



Masjid ada di mana-mana dan saya gembira. Orang Islam boleh hidup harmoni bersama-sama orang Kristian. Masjid boleh dibina bersebelahan dengan gereja. Malah dalam satu keluarga yang tinggal serumah boleh ada berbilang agama. Di Indonesia orang Islam boleh bernikah dengan orang bukan Islam, tanpa perlu memeluk Islam. Jadilah keluarga "caca marba".

Ketika saya datang ke Medan 10 tahun dahulu, sudah masuk bulan Ramadhan. Tetapi suasana bulan Ramadhan di Medan berbeza dengan di Malaysia. Di Malaysia, setiap hari saya membaca/mendengar berita orang Islam ditangkap kerana makan siang hari di khalayak ramai pada bulan Ramadhan. Tetapi di Medan saya terkejut kerana walaupun orang Islam sedang berpuasa warung-warung makanan Islam dibuka dan orang Islam boleh duduk makan dengan selambanya tanpa pihak penguasa menangkap mereka yang makan secara terbuka ini. Waktu malam bulan Ramadhan pula tempat-tempat hiburan dibuka seperti hari-hari lain. Jadi tidak dapat rasa istimewanya bulan Ramadhan. Tapi saya tidak pasti adakah pada hari ini keadaannya masih sama?

Kemudian kita tidak tahu siapa Islam, siapa bukan Islam. Dari nama mereka kita tidak boleh mengagak dia ini Islam atau tidak. Kita perlu tanya, "Kamu agama apa?" "Kamu Islam ke?" Kalau kita tanya orang Malaysia soalan macam ni alamat lebamlah pipi kena lempang/tumbuk.



Lagi kisah sepuluh tahun lalu....Abang Beca yang membawa saya setiap hari di Medan sudah lebih sepuluh tahun mengayuh beca. Selama ini dia tidak pernah berpuasa.

Katanya, "Islam membenarkan orang yang bekerja teruk di panas terik matahari untuk tidak berpuasa. Kalau saya tidak bekerja sehari anak isteri kelaparan."

Beginilah kehidupan golongan marhaen, kais pagi makan pagi. Saya harap pada hari ini Abang Beca itu sudah berpuasa kerana beca yang dikayuh dengan kaki sudah tiada lagi, semuanya digantikan dengan beca motor (orang Medan memanggilnya Bentor).

Nampaknya di sini, ada kebaikan dan keburukan: kebaikan kepada Abang Beca ini ialah dia dapat mempertingkatkan amal ibadahnya, mempertingkatkan pendapatannya, tetapi tidak baik bagi penghuni Medan kerana asap Bentornya mengancam kesihatan orang lain.



Berbalik pula pada hari ini.  Di Perbaungan kami singgah makan di Rumah Makan Simpang Tiga. Kami solat jamak di musalla yang disediakan. Tapi musallanya berkongsi dengan lelaki perempuan.

Di lapangan terbang Polonia juga musallanya bercampur lelaki perempuan. Mengapa tidak dibuat berasingan? Padahal ini negara Islam. Malahan penduduk Islamnya teramai sekali di dunia. Mengapa negara lain seperti Australia dan China boleh mengadakan musalla dan malahan masjid berasingan? Di China ada masjid yang khas untuk kaum wanita sahaja. Padahal negara mereka bukan negara Islam. Ke mana keprihatinan orang Medan?

Kempen kesedaran perlu diadakan. Ketegasan undang-undang perlu dilaksanakan. Masalah kesesakan jalanraya dan pencemaran udara serta bunyi boleh dikurangkan. Perlu ada "urban mobality". Perlu ada perubahan pada sikap. Kenderaan dijalanraya boleh dikurangkan dengan memperbaiki sistem pengangkutan awam. Galakkan orang menggunakan basikal. Kurangkan kenderaan bermotor. Galakkan orang berjalan kaki. Sediakan jalan-jalan untuk berbasikal dan berjalan kaki. Perlu ada penglibatan orang politik dan NGO. Kereta-kereta juga harus kurang menggunakan minyak subsidi yang bersulfur tinggi. Alat pengukur indeks pencemaran juga mestilah bermutu tinggi dan pengukuran tahap udara mestilah dibuat secara berkala. Gunakan teknologi hijau dan bersih. Gunakan tenaga solar, elektrik dan "natural gas".

Bagi mengekalkan kehijauan Pulau Samosir dan kebiruan air Danau Toba, pokok-pokok jangan ditebang sesuka hati. Pokok-pokok yang subur menghijau bukan sekadar dilihat sebagai ciptaan Allah yang hebat, bahkan Rasulullah SAW mengajar kita agar memeliharanya daripada ditebang dan dimusnahkan tanpa sebab dan melampau. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Barang siapa yang memotong pokok (bidara) - tanpa manfaat atau kepentingan - nescaya Allah SWT akan menghumbankan kepalanya ke jurang neraka”. (Rujuk: Abu Daud, Sulaiman bin al-Asy’ath al-Sijistani. T.th. Sunan Abi Daud. Kitab Adab. No. Hadis: 4561. Juzuk 4. Hal. 361).  
Begitu juga untuk mengekalkan kehijauan Pulau Samosir dan kejernihan air Danau Toba pembinaan industri harus dikawal, penternakan ikan dalam sangkar juga harus dipantau, nelayan yang meracun ikan haruslah dihukum, pembuangan sisa dan kumbahan ke dalam Danau haruslah diharamkan. Sabda Rasulullah SAW:
"Elakkan tiga perbuatan yang akan membawa laknat manusia: mencemarkan sumber air, jalan dan tempat teduh. " (Hadis Riwayat Abu Daud & Ibnu Majah)

Sekiranya tidak ada pihak pencinta alam sekitar dan ketiadaan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar, maka mungkin generasi akan datang tidak dapat menikmati keindahan Danau Toba dan persekitarannya.

Teringat saya tentang erti Medan. Medan ertinya suatu kawasan yang luas. Selesa. Nama kota Medan ini berasal daripada perkataan arena peperangan kerana ia menjadi rebutan pemerintah Acheh dan Riau beratus-ratus tahun dahulu. Sekiranya penghuni Medan hari ini tidak prihatin terhadap alam sekitarnya, Medan akan jadi padang jarak padang terkukur. Bukan kerana tumpas dalam peperangan tetapi tumpas dalam tangan penghuninya sendiri yang tidak menyayangi bumi yang didudukinya.

Allah berfirman yang bermaksud:
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Al-Rum: 41). 


Jumaat, 13 Januari 2012

Danau Toba | 5 : Fridge Magnet & Isu Disebaliknya

Fridge Magnet Danau Toba cantik. Banyak pula pilihan dan harganya murah. Saya beli di sekitar Danau Toba: Sipiso-piso dan Tomok. Inilah magnetnya.


Semua magnet peti ais ini dibuat daripada getah. Yang paling kiri gambar Pulau Samosir yang letaknya di tengah-tengah Danau Toba. Pulau Samosir ini adalah pulau di dalam pulau (Sumatera Utara). Dalam pulau ini pula ada danau. Jadi pulau dalam pulau, danau dalam danau.

Danau Toba berukuran sekitar 1700 meter persegi dengan kedalaman lebih kurang 450 meter. Terletak 906 meter di atas permukaan laut, pulau ini didiami oleh penduduk Suku Batak Toba. Kebanyakannya beragama Kristian, namun begitu ada juga orang Islam kerana terdapatnya masjid di situ.

Untuk ke Pulau Samosir kita perlu menaiki bot yang jetinya terletak di Parapat. Melihatkan danau yang luas ini, kita merasakan ia seperti lautan. Menurut cerita rakyat di sini, Toba adalah nama seorang bapa dan Samosir adalah anaknya.

Magnet peti sejuk yang di tengah-tengah pula ialah gambar Danau Toba yang biru airnya. Kebiruan air ini adalah hasil dari kawah gunung berapi yang pernah meletus beribu-ribu tahun dahulu. Ikan-ikan yang ada di sini terdiri daripada ikan mas, nila hitam dan pora-pora. (Jangan tanya saya bagaimana rupa ikan-ikan ini).

Baru-baru ini pihak berkuasa (Kabupaten Samosir) di sini melalui Jabatan Pertanian, Perikanan dan Penternakan telah menabur benih beribu-ribu anak ikan tersebut. Semasa saya ke sini saya lihat banyak projek pemeliharaan ikan dalam sangkar. Tidak pasti ianya baik atau tidak. Mungkin 'pelet' makanan ikan ini boleh membawa kesan yang tidak baik kepada kejernihan dan kebersihan air Danau Toba ini. Ia boleh mengakibatkan kegatalan pada kulit orang yang berenang di danau ini. Ia juga boleh meningkatkan mendapan dalam danau ini dan lambat laun air danau menjadi cetek. Lama kelamaan danau ini pupus. Mendapan boleh mengakibatkan lumut-lumut tumbuh dan menghalang ekosistem di danau ini. Sisa-sisa kumbahan dan sampah sarap yang dibuang ke dalam danau ini juga mengundang pencemaran dan boleh mempercepatkan kepupusan benih-benih ikan. Penangkapan ikan menggunakan racun juga menambahkan kepupusan ikan-ikan ini.

Fridge magnet yang paling kanan ialah kehijauan alam sekitar di Pulau Samosir. Pohon-pohon hijau seperti kelapa, petai dan ciku dapat terlihat di sini. Pohon kelapa tumbuh dengan banyak di pesisir danau. Air kelapa muda amat enak diminum dan isinya yang lembut boleh dikikis lalu dimakan. Kelapa yang sudah tua sesuai dibuat kerisik dan santan. Tetapi adakah kehijauan di sini dapat dilestarikan? Dapatkah generasi akan datang menikmati keenakan isi kelapa dan airnya?

Kebersihan Danau Toba dan persekitarannya dikatakan sedang mengalami masalah yang serius. Kalau melihat dengan teliti persekitaran Danau yang indah ini ia sedikit tercabik dengan gondolan bukit-bukaunya. Danau Toba dikatakan mengalami tahap yang mengkhuatirkan dari segi pencemaran limbah, sampah yang dibuang ke dalam danau, danau yang semakin cetek akibat mendapan dan hakisan, PH airnya yang tinggi, hutan yang digondolkan dan  populasi ikan yang berkurangan.

Pencemarannya meningkat tetapi kesedaran komunitinya terhadap pemeliharaan alam sekitar masih rendah. Masalah yang membimbangkan ini telah mengundang keprihatinan untuk melaksanakan satu bengkel "Peningkatan Kesedaran Masyarakat Atas Fungsi Ekosistem Hutan" yang dianjurkan oleh Dinas Kehutanan Kabupaten Simalungun di Parapat pada 27-28 March 2009. Dalam bengkel ini mereka membincangkan, membahaskan isu pencemaran Danau Toba, mencari penyelesaian terhadap masalah tersebut dan juga menggalakkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar.

Di antara program yang dilakukan dalam memulihara Danau Toba dan persekitarannya ialah penanaman 50 ribu batang pokok di sekitar Samosir dan kempen kebersihan Danau Toba yang telah diusahakan oleh Komuniti Selamatkan Danau Toba. Usaha murni ini amat bagus tetapi ia harus diteruskan dan dipantau. Misalanya pokok-pokok yang ditanam itu harus dijaga dan dilihat pertumbuhannya. Peruntukan wang perlu diberikan demi menjaga pokok-pokok ini supaya terus hidup.

Penternakan ikan dalam sangkar oleh Aquafarm yang merupakan perusahaan asing dari Switzerland diminta membuat kajian ilmiah dan memantau tahap PH air danau secara berkala supaya yakin air Danau Toba bersih dari pencemaran. Makanan ikan yang dicampakkan oleh Aquafarm ke dalam danau ini mencecah sehingga 100 tan setiap hari. Komuniti Perlindungan Alam Sekitar di sini telah mengusulkan Aquafarm mengadakan seminar ilmiah dan membuktikan mereka tidak mencemarkan Danau Toba. Sekiranya gagal Aquafarm perlu ditutup. Sehingga kini adakah isu Aquafarm yang mencemari Danau Toba masih terus menjadi isu yang tidak diselesaikan?

Lihatlah kempen menyelamatkan Danau Toba di dalam bot ini. "Danau Toba Bukan Tempat Sampah. Buanglah Sampah Pada Tempatnya"

Saya lihat bunga Seri Pagi mekar di pesekitaran Danau Toba. Menjadi idaman sang kumbang. Ia seperti gadis desa yang belum pandai bergincu. Danau Toba masih indah. Masih menjadi intaian yang meminatinya. Tetapi mungkin suatu hari nanti keindahannya hanya tinggal kenangan sekiranya ia tidak diperlihara. Mungkin akan jadi hiasan di atas magnet peti sejuk sahaja. Danau Toba ada potensi, janganlah diabaikan.


Khamis, 12 Januari 2012

Pulau Samosir: Orang Makan Orang, Payu Dara Besar

Fajar yang menjengah keesokan hari memberi laluan kepada satu lagi pengalaman berharga buat saya dan keluarga saya. Kunjungan ke perkampungan kaum Batak Toba - Ambarita dan Tomok - yang terkenal dengan legenda tersendiri pasti tidak akan dilupakan. Di sinilah saya mengetahui dengan mendalam budaya orang Batak.

Pertamanya kami ke perkampungan Ambarita. Letaknya di Pulau Samosir. Dari hotel kami di Parapat kami harus menyeberanginya dengan bot kira-kira 45 minit.

Kedai-kedai di Ambarita


Di Ambarita kami melalui kedai-kedai yang menjual pelbagai pakaian, barangan kraf tangan, ukiran kayu dan barang kenang-kenangan. Sentiasa peniaga-peniaganya meminta kami singgah dan membeli barang-barang mereka. Kami mendapat layanan istimewa. Tangan kami ditarik masuk ke kedai. Barang-barangnya dijual murah kalau pandai menawar. Nasihat saya tawarlah separuh harga dari harga yang diletakkan. Tapi ada seorang Otai  tu, dia ikat harga dan tidak diberinya kami tawar. Mulutnya laser jugak. Bila kami tak mahu beli dan beredar dari kedainya dia kata, "Jangan sombong ya." Kami dah kena dah. Berdesup.


Rumat Adat orang Batak


Rumah Adat adalah kebanggaan orang Batak. Ia mempunyai tiga tingkat. Tingkat atas sekali tempat letak makanan dan barang-barang. Tingkat tengahnya tempat tinggal ahli keluarga manakala di bahagian bawah rumah (kolong) tempat kurungan ternakan seperti babi  atau ayam.

Ada sebuah balai dibina di hadapan Rumah Adat. Balai ini tidak berdinding, tetapi beratap, berlantai dan bertiang. Balai ini adalah tempat tidur anak-anak lelaki Batak yang berumur 10 tahun. Pada siang hari balai ini didatangi oleh anak-anak dara untuk menenun ulos iaitu kain selepang tradisional orang Batak Toba.

Terdapat ukiran cicak dan empat butir payu dara diabadikan pada gelegar depan balai. Cicak ini mempunyai makna dalam budaya orang Batak Toba. Cicak melambangkan makhluk yang ada di mana-mana dan tempat tinggal cicak kebiasaannya di rumah. Cicak itu merangkak menghala ke arah payu dara. Ini bermakna walau seseorang anak Batak itu merantau jauh dia pasti pulang ke pertiwinya. Pertiwi bermaksud ibu susu. Payu dara pula melambangkan kesuburan wanita. Orang Batak amat mementingkan saiz payu dara yang besar.

Kubur orang Batak Toba pula diletakkan di halaman rumah dan tempatnya tinggi di atas bukit, kerana mereka percaya bahawa simati lebih dekat dengan Dewa.

Perkampungan Batak


Sebuah Rumah Adat boleh dihuni sehingga 40 orang ahli keluarga atau 4-5 buah keluarga. Walaupun ahli keluarga sudah berkahwin mereka tetap tinggal serumah. Rumah adat tidak berbilik tetapi dibatasi dengan kain rentang. Atap Rumah Adat berbentuk perahu. Pintunya kecil dan rendah kerana orang yang masuk ke rumah adat ini harus memberi hormat kepada tuan rumah. Dengan kerendahan pintunya maka sesiapa yang masuk pasti tunduk dan membongkok.

Rumah Raja Siallagan

Di Ambarita ini terdapat perkampungan orang Batak Toba. Raja yang terkenal ialah Raja Siallagan. Perkampungan Raja Siallagan ini masih dipelihara dan dikunjungi. Rumah Raja Siallagan memiliki set kerusi batu di halamannya. Batu-batu megalitik yang berusia ratusan tahun ini adalah tempat persidangan, mesyuarat dan tempat pengadilan. Orang yang bersalah dipasung di bawah rumahnya kemudian dibawa ke pengadilan. Setalah dibicara, pesalah dibawa ke set batu yang terletak di bahagian lain kampung ini.

Ada cerita mistik dan magis dalam kehidupan raja ini dan penduduk Ambarita. Mereka mengamalkan ilmu hitam. Raja menunjukkan kekuasaannya dengan mematikan ilmu hitam orang lain. Cara yang dilakukan agak kejam, iaitu dada orang itu ditoreh, sekiranya tiada darah keluar bermakna ilmu hitam orang itu lebih hebat, lalu raja akan mematikannya dengan bacaan-bacaan mentera. Setelah darah orang itu tidak keluar lagi dengan bacaan mantera itu, leher orang itu pun dipancung lalu darahnya disiramkan ke muka Raja dan diminum. (Agaknya daging orang itu dibuat rendang atau sate). Di sinilah muncul kisah orang Batak makan orang.

Kesimpulannya, kekuasaan seorang raja Batak terletak pada kuasa ilmu hitamnya. Sesiapa yang mempunyai ilmu hitam lebih hebat dari raja akan dihapuskan. Kisah Raja Batak ini amat terkenal. Itu sebabnya nama tempat ini Ambarita bermaksud berita terkenal.

Satu lagi perkara, barang-barang orang Batak ini jangan dicuri, kalau dicuri, alamatnya sipencuri tak jumpa jalan balik - hanya kerana ilmu hitam yang hebat. Pencuri itu akan ditangkap dengan mudah kerana pencuri itu masih berlegar-legar di kawasan rumah tuan punya barang. Teringat saya pada kisah orang-orang alim kita, hanya dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran seperti Ayat Qursi mereka boleh tangkap sipencuri dengan cara begini.

Iktibar dari kisah ini, jangan amalkan ilmu hitam. Itu syirik. Tapi mohonlah pertolongan daripada Allah. Bacalah ayat-ayat suci Al-Quran dan amalkan.   Di sini saya ingin kongsi sebuah hadis:
Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi Sallahu Alaihi Wasallam bersabda, "Jauhilah tujuh dosa besar." Mereka (sahabat) bertanya, "Apakah dosa-dosa besar itu ya Rasulullah?" Baginda menjawab, "(Iaitu) Mensyirikkan Allah, (melakukan) sihir, membunuh jiwa yang diharamkan kecuali dengan berhak, memakan riba, makan harta anak yatim, berpaling pada hari peperangan, menuduh perempuan yang suci dan baik (dengan tuduhan berzina)."

Suasana di jeti Tomok

Kami menuju pula ke Tomok di Pulau Samosir. Tomok tidak berjauhan dari Ambarita. Kami naik bot lagi. Di Tomok saya menyaksikan suku Batak Toba berniaga ikan air tawar kering, kraf tangan, pakaian dan cenderamata. Tomok ertinya gemuk. (Tapi penyanyi Tomok "One In a Million" tu tak gemuk pun. Pasal apa nama glamour dia Tomok?).


Kedai-kedai cenderamata di Tomok

Tentang harga barang di Tomok, usah risau kerana ia pasti berbaloi. Anak bujang saya pun sudah pandai menawar kerana harga yang diingini diterima. Dengan bertegas membeli dengan harga yang dikehendaki, peniaga-peniaga di sini menggamit semula anak bujang saya kembali ke kedainya sekiranya dia melangkah keluar.


Gambar kiri/atas ialah rumah adat. Gambar di atas (kanan), itulah keranda-keranda keluarga Raja Ompu Sidabutar. Yang di hujung sekali (terlindung) ialah keranda Ompu Sidabutar. Gambar kiri/bawah ialah kubur keluarga diraja Batak. Gambar kanan/bawah ialah bunga kecubung

Perkampungan Tomok juga mempunyai cerita yang hampir sama dengan cerita raja Batak di Ambarita. Perkuburan Raja Ompu Sidabutar yang disimpan sebagai bahan sejarah masih dipelihara di Tomok. Peniggalan sejarahnya tidak bisa diusir. Ketika kami memasuki kawasan perkuburan Raja Ompu Sidabutar ini kami disuruh menyelepangkan kain ulos di bahu dan harus mengucapkam "horas" di situ, sebagai tanda kami diterima di situ.

Kami duduk mendengar cerita Raja Ompu Sidabutar dari Pak Rahmat. Saya dah lupa cerita kepercayaan karut marut ni. Kalau tak silap saya, Ompu ni masuk Kristian. Apabila mati, cara pengkebumiannya masih ikut adat orang Batak. Mayatnya kena simpan dalam keranda batu. Gambar di atas (kanan), itulah keranda-keranda keluarga Raja Ompu Sidabutar. Yang di hujung sekali (terlindung) ialah keranda Ompu Sidabutar. Setelah mayat reput, tulang-tulangnya dibasuh dan dipindahkan ke dalam kubur yang berbentuk Rumah Adat, seperti dalam gambar di atas. Rasanya Raja Ompu ini hendak berkahwin dengan seorang perempuan tapi tak jadi. Pasal apa dia tak jadi kawin ek? Entah...lupa. Tapi  cerita yang ini saya tak lupa sebab kelakar...menurut Pak Rahmat orang Batak berpegang kepada kepercayaan ini, "Kalau mencari isteri jangan cari yang cantik, carilah yang teteknya besar, kerana tetek yang besar banyak anak."

Setelah selesai mendengar cerita ringkas ini, kami kena pulangkan ulos itu kepada tuan yang empunyanya, tetapi tuan empunya itu meminta duit sebelum pulangkan ulos tu...ada ke? Sebelum ni tak cakappun. Jadi bagi le sikit dengan terpaksa. Pandai orang Batak ni cari duit.

Kalendar orang Batak

Kalendar orang Batak ini saya beli dan bawa pulang untuk kenang-kenangan. Ia dibuat daripada kayu dan buluh. Pada bilahan buluh itu ada torehan-torehan menunjukkan bilangan hari. Inilah antara sejarah peninggalan Samosir yang tidak bisa diusir.


Rabu, 11 Januari 2012

Danau Toba | 4 : Makanan Halal dan Shopping

Makan halal wajib bagi orang Islam. Untuk mendapatkannya di sekitar Danau Toba tidaklah sukar.


Di Tigaraja berhampiran jeti Danau Toba terdapat beberapa rumah makan halal dan kita boleh memilih untuk makan di mana yang kita suka. Kami pilih makan di Islam Murni dengan juadah yang sesuai dengan selera. Tempe goreng, ayam goreng, ikan masin, kari ayam, gulai udang dan sayur kangkung segera dihidang apabila kami sampai.

Kami pergi window shopping di pekan Tigaraja. Tetapi peniaganya tidak peramah seperti di Tomok atau Ambarita. Mereka buat "derk" bila kami masuk. Selepas window shopping di Tigaraja, kami singgah minum jus alpokat di salah sebuah kedai Islam di sini. Tapi jus alpokat ini kurang sedap kerana buah avocadonya sudah terlampau masak dan tidak segar lagi.

Di bahu jalan ada banyak orang menjual buah-buahan seperti durian, manggis dan mangga telur. Ia disusun elok dan rapi. Saya beli sekilo mangga telur dan sekilo manggis. Kami makan di hotel. Mangga telurnya manis macam mangga telur yang biasa kita makan di Malaysia. Tetapi manggisnya banyak yang kematu dan busuk. Kami tak puas hati kerana sepatutnya peniaga itu tak jual buah begini. Elok dibuang saja. Dalam agama kitapun menjual buah-buah yang busuk dilarang.


Satu lagi rumah makan halal ialah di Istana Minang di Parapat. Ia menyediakan makanan Minang seperti masak lemak nangka, terung berlado, ubi kentang goreng berlado, ikan talapia masak lemak, kangkung goreng, pecal, ayam goreng, pucuk ubi rebus dan sambal terasi.

Rumah makan ini mempunyai musalla dan tandas yang bersih.

Rumah makan ini juga ada menjual ikan air tawar kering untuk dibawa pulang. Saiz ikan ini kecil-kecil, anak-anak ikan agaknya. Sayapun belilah sepaket. Ikan kering ini boleh terus dimakan. Sedap juga ikan kering ni.


Kami makan malam di hotel Niagara. Kami perlu datang serentak kerana ia dihidang secara hidangan. Hotel ini menyediakan lauk-pauk seperti ikan talapia goreng, sayur kangkung goreng, rendang daging dan ayam goreng. Sedap. Tapi ikan goreng di sini keras kerana digoreng lama. Saya lebih suka ikan goreng yang lembut.


Selasa, 10 Januari 2012

Danau Toba | 3: Tidurku Lena, Mimpiku Indah di Hotel Niagara

Senja berlabuh menandakan tirai malampun perlu dilabuhkan. Ruang beradu yang selesa, luas dan nyaman membuai saya dengan mimpi indah.

Inilah hotel/bilik yang kami duduki

Hotel yang kami  duduki sepanjang percutian kami di Danau Toba ialah Hotel Niagara. Hotel ini dibina bercirikan Rumah Adat orang Batak. Sungguh cantik dan selesa. Ia mempunyai tiga tingkat. Anak-anak bujang saya tinggal di tingkat bawah dan saya di tingkat atas. Di halaman bawah ada taman dan padang.


Ruang yang selesa di dalam bilik Hotel Niagara

Hotel Niagara menyediakan ruang bilik yang luas dan selesa. Penghawa dingin tidak perlu dipasang kerana udara di sini sudah cukup nyaman.


Kami menginap di hotel ini yang bentuknya seperti rumah adat
Suasana pagi di Hotel Niagara

Inilah keadaan persekitaran hotel yang kami duduki pada waktu pagi. Sungguh nyaman dan indah. Kita boleh pilih untuk berjogging, bermain tenis atau berenang. Bilik karaoke juga ada. Wi-fi juga ada, tetapi hanya di kawasan lobi.


Persekitaran Hotel Niagara

Ketika kami di sini, pesta Danau Toba sedang berlangsung. Jadi banyak agenda menarik disediakan seperti seminar budaya, opera Batak, tarian Tortor, perarakan, permainan air dan pertandingan menulis essei. Pada hari itu hotel ini didatangi menteri dan pembantu-pembantunya untuk merasmikan pesta Danau Toba. Jadi kami dapat melihat ulos iaitu kain tradisional Batak ditenun oleh penduduk tempatan.


Keindahan alam semulajadi di Hotel Niagara
Inilah pemandangan Danau Toba pada waktu senja. Gambar ini saya rakam dari balkoni Hotel Niagara



Isnin, 9 Januari 2012

Danau Toba | 2 : Menyeberangi Tasik Kawah Gunung Berapi Terbesar Di Dunia

Menyeberangi Danau kawah gunung berapi terbesar di dunia memakan masa 45 minit dengan menaiki bot. Bayunya menghembus dengan lembut dan berbisik menyapa kedatangan saya. Asyiknya.



Saya terus duduk di kepala bot sambil memanjakan mata dengan air yang membiru. Saya turun ke bawah dek melihat pemandu bot memandu sambil berbual-bual dengannya. Tandas tersedia di situ untuk buang air.

Sayapun lepak-lepak dengan anak-anak bot dari keturunan Batak Toba, lantas mendengar petikan gitar dari rakan serombongan.

Sebentar kemudian kami didendangkan dengan lagu-lagu Batak oleh anak-anak Batak Toba. Lagu yang masih saya ingat ialah Sitogo Dabo. Pada mulanya saya meneka Sitogo itu ialah seekor ayam. Tapi rupa-rupanya Sitogo bermaksud seruling yang sedap ditiup. Jauh meleset tekaan saya. He he he. Lagu-lagu lain yang popular ialah Poco-poco dan Gelang Sipaku Gelang yang pantunnya diubahsuai kepada ucapan selamat datang ke Pulau Samosir. Yang lucunya senikata asalnya geylang ditukar menjadi gelang. Sungguh menghiburkan.


Tidak dapat disembunyikan lagi bahawa keriangan memenuhi ruang hati saya dan keluarga saya apabila melihat sampan-sampan menyusuri danau ini dan anak-anak Batak Toba berenang di perairan mengejar-ngejar bot kami.

Lensa kamera kami tidak puas merakam keindahan dan pengalaman di danau ini untuk diabadikan dalam diari percutian kami. Tidak puas juga kami memanjakan diri dengan puputan dan bisikan bayu Danau Toba. Ingin rasanya saya memiliki Danau dan Pulau ini lalu saya bina rumah di sini. Bolehkah?


Danau Toba | 1: Bayunya Berpuput Lembut

Di Medan Sumatera Utara ini tidak lengkap kalau tidak ke Danau Toba. Danau Toba letaknya di Parapat. Untuk ke sana kami harus melalui jalan-jalan yang berliku-liku, menuruni tanah tinggi Berastagi. Kami melalui beberapa pekan seperti Kabenjahe (Kebun Halia). Dalam perjalanan kami dapat menyaksikan rumah-rumah orang Batak Karo yang dibina di tanah kebun. Saya lihat banyak tanah-tanah yang dibajak, ditanam dengan pisang, jagung dan sayur-sayuran.


Rumah-rumah orang Batak ini dibina sebuah-sebuah dengan kubur-kubur dibina di hadapan rumah atau di kawasan rumah. Kubur-kubur ini pula dilepa dengan mosaik berbinaan meniru gaya Rumah Adat. Ada juga kubur yang memenuhi sebahagian halaman. Dikatakan kubur-kubur ini sebagai tanda atau bukti bahawa tanah itu ada pemiliknya. Keadaan ini berlaku kerana tanah-tanah ini tidak mempunyai geran, jadi kuburlah sebagai bukti pemilikan tanah tersebut.


Bas kami terus merodai jalan-jalan berliku ke Parapat. Kami melalui kawasan hutan yang tebal. Entah bagaimana saya terlupa akan jalan-jalannya yang berliku-liku kerana mata saya tertarik untuk melihat tasik biru melalui celahan pepohon yang saujana mata memandang. Monyet-monyet melintasi jalan mencari makanan. Terdapat rumah-rumah Batak dibina di pinggir tasik. Di sini tinggal suku Batak Toba. Di sini juga saya lihat warung-warung tuak yang penuh dengan lelaki Batak Toba sedang minum tuak. 

Ada sebuah arca berbentuk ikan di sebelah kiri jalan di pinggir danau. Kami berhenti mengambil gambar. Arca ini sebenarnya adalah rumah makan yang dahulunya dikunjungi ramai tetapi sekarang telah ditutup. Ditutup kerana pada suatu ketika berlaku "mati suri" di Indonesia, sekitar tahun 1996 hingga 2006.

Keadaan "mati suri" ini berlaku kerana beberapa sebab. Antaranya ialah kekecohan Gerakan Acheh Merdeka yang mahu berkerajaan sendiri, pengeboman di Bali dan gerakan terroris dan Al-Qaedah. Kesemua ini membuatkan pelancong tidak mahu datang ke Indonesia dan ramai yang hilang pekerjaan. Keadaan ini melumpuhkan ekonomi pelancongan Indonesia.


Hati saya tiba-tiba berbunga mekar. Saya telah memenuhi cita-cita untuk melihat sendiri dengan mata saya  Danau Toba dan Pulau Samosir. Samosir ini lebih besar daripada pulau Singapura. Indahnya danau ini sehingga saya kehabisan perkataan untuk mengungkapkan keindahannya.


Damanyai hati saya melihat Danau Toba, hasil letusan gunung berapi terbesar di dunia. Satu lagi keajaiban ciptaan Tuhan. Bagaikan menonton National Georgraphy, tapi yang ini lebih nyata. Boleh disentuh, boleh dirasa. Menontonnya membuat jiwa saya tenang.


Di pinggir danau tumbuh hotel-hotel dan rumah peranginan. Bayu danau berpuput lembut. Terasa begitu mesra dan nyaman. Terima kasih Danau Toba kerana tidak bosan bersahabat dengan saya.


Ahad, 8 Januari 2012

Airterjun Sipiso-piso: Lukisan Indah Maha Pencipta

Selepas hari-hari indah bersahabat dengan desiran angin gunung Berastagi, kami menuju ke arah Danau Toba. Bermesra pula dengan bisikan bayu danau hasil letusan gunung berapi terbesar di dunia. Amat berkesan di jiwa.




Melihat dengan mata sendiri Air terjun Sipiso-piso terkesan dengan sejuta kekaguman. Tiada kata seindah bahasa bagi mengungkap keindahannnya. Dengarlah sendiri deru airnya yang jatuh menjunam bagai sebilah pisau tajam membelah kesunyian alam semesta. Datanglah. Lihatlah sendiri untuk mengerti apa yang saya maksudkan...tiada lagi perkataan indah yang boleh saya ungkapkan. SubhanaAllah.


Sejenak kami menuruni bukit, mensyukuri kehijauan hutan tropika lalu melabuhkan punggung di kerusi cafe pinggir danau sambil minum bandrek dan makan pisang goreng panas. Bandrek ini ialah teh halia yang dicampur kayu manis, cengkih, susu, gula dan garam. Sesuai diminum untuk membuang angin badan ketika cuaca sejuk. Sambil-sambil itu mengambil gambar untuk dikongsi bersama rakan-rakan. 

Anak-anak bujang saya meminta seniman jalanan mengukir nama di rantai kunci dan membeli sehelai dua baju. 

Oh...banyak kenangan manis kami bawa pulang. Ingatan saya pada Sipiso-piso amat tajam sehingga ke saat ini, setajam junamannya.Terasa rindu untuk kembali ke sini. Apakah punya kesempatan lagi?




"Dia yang membentangkan bumi dan menjadikan di atasnya gunung-gunung dan sungai-sungai. Dari tiap-tiap buah-buahan Dia jadikan sepasang-sepasang (jantan dan betina). Dia tutupkan malam kepada siang. Sesungguhnya pada demikian itu menjadi tanda-tanda bagi kaum yang memikirkannya" (Ar-Ra'd, 13:3).


Sabtu, 7 Januari 2012

Berastagi | 5 : Fridge Magnet Serlahkan Seni & Budaya

Fridge Magnet (FM) banyak terdapat di sekitar Berastagi. Harganya berbeza dari satu kedai dengan satu kedai yang lain. Yang penting kita dapat tawar pada harga yang rendah.


Fridge Magnet ini dibuat daripada getah dan tertulis padanya kedua-dua gunung berapi yang masih aktif di Berastagi - Gunung Sibayak dan Gunung Sinabung.


Fridge magnet ini mengabadikan Rumah Adat suku kaum Batak. Ia dibuat dengan campuran batu dan simen dan adalah hasil buatan tangan penduduk tempatan. Ia hanya terdapat di Berastagi sahaja. Begitu juga yang sebelah kanan sekali.

"Menjuah juah" pada FM yang berwarna merah bermaksud Selamat Datang. 


Ketiga-tiga FM ini juga unik. Yang berbentuk tapak sulaiman atau bintang ini dibuat daripada kayu. Ia bermotifkan batik tulisan tangan.

FM berbentuk bulan sabit ini pula dibuat daripada kayu dan lukisan batik diabadikan padanya.

FM yang di tengah-tengah ini pula, melambangkan keunikan tugu peringatan yang terdapat di tengah-tengah bulatan di pekan Berastagi. FM ini adalah hasil buatan tangan dan hanya terdapat di Berastagi sahaja.

Berastagi | 4: Berseleranya Makan dan Lenanya Tidur di Hotel

Perut saya yang mulanya memainkan lagu keroncong kini penuh dengan masakan Minang dan Jawa di Rumah Makan Ummi. Ayam Penyet, sup tulang, tempe goreng, cauliflower goreng, sambal terasi, terung goreng berlado, kentang goreng berlado, daging rendang Minang, pecal, pucuk ubi dan kangkung goreng memenuhi selera saya. Banyaknya lauk! Memang stail di sini, makanan dihidang satu demi satu sampai penuh meja. Pilihlah yang mana suka.


Rumah Makan Ummi ini letaknya di tengah-tengah pekan Berastagi, tak berjauhan dengan Pasar Buah dan Sayur.  Di hadapan Rumah Makan Ummi terdapat tugu peringatan, ia di tengah-tengah bulatan pekan ini.


Sebuah lagi Rumah Makan yang memenuhi selera saya ialah Famili Baru. Sup tauhu, tahu goreng, ayam goreng rangup, ikan talapia goreng masam manis, pecal, ulam-ulaman, cap cai dapat disantap enak dalam suasana desa pergunungan.


Di Berastagi kami menginap di Hotel Green Garden. Hotel 4 bintang ini sangat luas dan selesa. Udaranya yang nyaman dan dingin tidak memerlukan penghawa dingin dipasang. Pintunya dua, di hadapan dan di belakang, terasa macam tinggal di rumah. Walau bagaimanapun air panas tidak disediakan 24 jam. Ia dipasang pada masa-masa tertentu, misalnya pada pukul 6.00 petang sehingga 8.00 malam dan 6.00 pagi hingga 9.00 pagi. Kalau hendak gosok baju, seterikanya perlu disewa. Plug di sini sama dengan plug di Malaysia dan bolehlah aku gunakan untuk mengecas bateri kamera atau telefon bimbit. Wi-fi pun ada.

Kami sempat menonton siaran pagi di tv. Ada seorang Ustaz yang kelihatan amat "phenomenum" - Ustaz Maulana - gaya penyampaian ceramahnya tersendiri, menarik dan kreatif. Ada ciri-ciri jenaka, lakonan dan bercerita, dibuat pada hari perkahwinan. Sambil bercerita, dia berlakon, bergerak-gerak dari satu sudut pentas ke sudut lain, sambil itu dia menyampaikan hadis-hadis dan ayat-ayat suci, kemudian dia bergurau mengusik-usik pengantin baru. Dipanggilnya pengantin baru ke tengah pentas dan diajaknya berlakon untuk menyampaikan cerita. Sambil itu dia berinteraksi dengan hadirin. Sambil memanggil mereka, "Jemaah...Oh jemaah!" Maka dijawab oleh semua orang, "Inggih!". Lalu beliau memberi nasihat, diselit-selitkan dengan lawak jenaka. Yang hadir ketawa. Saya juga turut ketawa. Stail begini belum lagi saya tengok di Malaysia.



Di luar hotel penuh bunga. Indah, nyaman dan dingin. Kalau nak mandi air panas gunung berapi, terdapat kolam air panas berdekatan. Kalau sakit-sakit badan dan urat-urat kejang, panggil saja tukang urut, dia akan datang ke bilik kita mengurut. Saya lihat jiran saya berbuat demikian. Tapi saya pilih untuk bermalas-malas di tilam empuk dan beradu dalam selimut tebal, lena sehingga puas.


Jumaat, 6 Januari 2012

Berastagi | 3 : Shopping Buah-buahan dan Sayur-sayuran Segar

Mengunjungi Pasar Buah dan Pasar Sayur di Berastagi amat sesuai pada waktu pagi. Dengan udara yang segar, dingin dan nyaman selera untuk makan sayur-sayuran memuncak kerana kesegarannya. Pasar ini terletak di tengah-tengah pekan Berastagi.


Buah markisa (passion fruit) amat sinonim dengan Berastagi. Ia sedap kalau diperah menjadi jus. Rasanya masam-masam manis. Penjual di sini menyebutnya Buah Cinta.

Ada buah yang pertama kali saya lihat iaitu buah pepino. Pepino ini berwarna sedikit ungu. Lihat gambar paling atas (kiri), inilah pepino, di depannya buah markisa. Jangan tanya saya macam mana rasa pepino. Manis barangkali, isinya nampak macam buah tembikai susu. Menyesal pulak tak cuba rasa.

Buah-buahan lain seperti salak, avocado, tomato, strawberi, limau amat banyak di pasar ini. Sentiasa ada peniaga yang peramah menggamit kami ke gerainya.


Bunga-bungaan seperti amaryllis, mawar, antarium lily serta sayur-sayuran seperti asparagus, lobak merah, kobis, bayam, brokoli dan ubi jalur disusun elok di depan gerai.

Cuba renung sejenak: 
"Dia tumbuhkan untukmu dengan air itu tanam-tanaman, zaitun, pohon kurma, anggur dan bermacam-macam buah-buahan. Sesungguhnya pada demikian itu menjadi tanda bagi kaum yang memikirkannya" (An -Nahl, 16: 11).

Ketika kami ke sini, orang Batak sedang merayakan hari natal. Jadi mereka berbondong-bondong ke gereja dan berpakaian cantik.

Hotel tertua yang bercirikan kesenian Belanda terdapat di sini. Ia di kelilingi dengan padang golf. Lihatlah gambarnya di atas.



Kelihatan kuda-kuda ditunggang di jalan-jalan pada hari natal ini.

Renungan sejenak: 
"(Dia ciptakan) kuda, baghal dan keledai, supaya kamu mengenderainya dan menjadi perhiasan. Dan Dia menciptakan apa yang tiada kamu ketahui" (An-Nahl, 16:8).


Di pasar ini terdapat bazar-bazar yang menjual barang-barang kraf tangan, ayat-ayat suci al-Quran dan barang-barang untuk kenang-kenangan.

Kalau perut berkeroncong boleh singgah sejenak mengunyah jagung rebus dan mencicip air tebu segar.

Kalau malas berjalan kaki, tunggang sahaja kuda yang banyak menunggu di tepi jalan.

Walaupun ramai orang Kristian di sini, terdapat juga orang Islam berniaga. Ada juga kedai yang ditutup kerana peniaganya menyambut hari natal.


Beg, kasut, baju batik boleh dibeli asalkan pandai menawar. Barang yang sama, berbeza harganya walaupun kedainya bersebelahan sahaja.

Di pasar ini ada banayak fridge magnet, harganya Rp20,000=RM7.50, saya tawar, dapatlah Rp15,000=RM5.30. Saya ingat saya dah untung. Bila saya ke kedai sebelah harganya lagi murah, saya boleh dapat Rp10,000=RM3.50. Saya ingat saya dah untung banyak, tapi bila saya ke Tomok di Pulau Samosir, saya dapat lagi murah iaitu Rp5,000= RM1.75. Begitulah kaedahnya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...