Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Khamis, 29 Mac 2012

Werribee, Melbourne: Safari di Rimba Savannah dan Singgah di Werribee Mansion

Melihatkan gambar-gambar Mahligai di Werribee dalam buku Visit Melbourne, membuatkan hati saya teruja untuk berada di dalamnya walaupun seketika. Saya rancang lawatan saya itu bersama keluarga dan rakan saya, Ira.

Pada suatu hujung minggu, kami ke Mahligai ini. Letaknya di Werribee, agak jauh dari tempat tinggal kami. Tidak berjauhan dengan Mahligai ini terdapat Werribee Open Range Zoo (Zoo Terbuka Werribee). Jadi kami rancang untuk pergi kedua-dua tempat itu.

Untuk lebih 'adventurous' kami pergi sendiri menaiki kenderaan awam. Kami naik keretapi dari Springvale ke stesen Southern Cross. Lebih kurang 45 minit perjalanan. Lepas itu kami turun dan pergi ke Werribee Train Line di Southern Cross. Perjalanan dari Southern Cross ke Werribee memakan masa kira-kira 30 minit. Werribee berada jauh di luar kotaraya Melbourne, kira-kira 32 km.

Menaiki bas ke Werribee Open Range Zoo dan Werribee Mansion

Setelah berada di Werribee kami ambil bas menuju ke Werribee Open Range Zoo. Letaknya di K Road, Werribee. Kami ke Zoo dahulu kemudian barulah ke Mansion. Sebabnya, takut ketinggalan bas. Tak banyak bas di sini. Bas terakhir dari Zoo itu, kalau tak silap saya, pukul 4.30 petang.

Di sini saya pautkan cara menaiki kenderaan awam dan jadual perjalanan bas ke Zoo ini:
http://navigatormelbourne.com.au/?p=6



Werribee Open Range Zoo (Zoo Terbuka Werribee)

Kalau di Aquarium Melbourne saya 'up closed and personal' dengan ikan, di Werribee Open Range Zoo saya 'up closed and personal' dengan singa, badak, zirafah, cheetah dan kuda belang. Untuk berada dekat dengan binatang-binatang ini saya perlu menaiki bas Safari yang disediakan di kawasan itu. Bas ini mengelilingi kawasan zoo terbuka yang luas. Kawasan zoo ini dibuat berkonsepkan bumi Savannah di Afrika. Jadi kita dibawa seolah-olah berada di Afrika dengan pondok-pondok tradisional Afrika siap dibina di situ. Binatang-binatang ini lepas bebas di kawasan  rimba Savannah yang luas, tetapi berpagar rendah, sedangkan saya duduk terkurung di dalam bas. Ironinya, binatang lepas bebas, tetapi manusia terkurung.


Menaiki bas dalam Werribee Open Range Zoo sambil merakam gambar binatang liar lepas bebas.

Melihat cheetah dari bilik berkaca

Jeep ini diletakkan di sini supaya kita dapat merasai suasana bersafari

Sambil bas bergerak di rimba Savannah ini kami melihat binatang-binatang. Kami tidak lepas memetik kamera merakamkan saat-saat yang jarang-jarang kami alami ini. Tetapi kebanyakan binatang ini tidur di waktu kami datang. Mungkin cuaca panas membuatkan mereka mengantuk.




Apabila sudah mengelilingi kawasan binatang liar ini, kami sekeluarga dan kawanku Ira berjalan kaki di denai-denai Savannah, menyeberangi titian gantung dan duduk di atas sampan yang ada di situ.

Meniti denai-denai rimba Savannah, terasa seperti di Afrika. Cuaca terlalu panas terik. Lihatlah warna gambar ini sudah cukup membuktikan keterikannya.

Cuaca terik. Apabila penat berjalan, kami berhenti rehat. Kami masuk ke pondok tradisional Afrika ini. Kemudian duduk di meja berkelah. Kami menghidangkan makanan yang telah dimasak di rumah. Ira bawa bihun goreng. Saya bawa nasi goreng dan 'tuna sandwich'. Terasa makanan itu enak sekali walaupun dah sejuk. 

Setelah masuk waktu zohor kami ke tandas mengambil wudhu. Tandas di bumi kangaroo ini tiada disediakan paip air untuk mengambil wudhu dan beristinjak. Paip air cuma ada pada sinki. Biasanya kami masukkan kaki ke dalam sinki semasa mengambil wuduk. Inilah cara yang biasa kami lakukan di sini. Nampak macam tak senonoh kan! Tapi apa boleh buat itulah cara yang terbaik buat masa itu. Lantai pula sentiasa kering, jadi seganlah nak basahkan. Botol kosong sentiasa kami bawa untuk diisi air bagi tujuan beristinjak.

Kemudian kami solat di bawah pokok di rimba Savannah itu. Pengalaman solat di bawah pokok di rimba Afrika ini mengembirakan anak-anak saya. "Solat jangan sekali-kali ditinggalkan," kata saya kepada anak-anak saya.

Untuk melihat video promosi Werribee Open Range boleh tengok di sini: http://www.youtube.co/watch?v=JaOFFnWbNnI


Pada pandangan saya, binatang-binatang di rimba Savannah ini ada di kebanyakan zoo di Malaysia. Zoo Air Keroh Melaka lebih bagus! Binatang-binatang di zoo Air Keroh lebih sihat dan aktif, berbanding dengan binatang di rimba Savannah ini yang lebih banyak tidur. Di Werribee badak airnya menyelam tak timbul-timbul. Zirafahnya nun jauh di sana. Yang seronok cuma melihat telatah meerkat yang cergas dan ligat.

Meerkat yang comel, cergas dan ligat


Setelah bersafari di rimba Savannah, kami  singgah di Mahligai yang dikenali dengan Werribee Mansion. Mahligai ini tidak berjauhan dengan Zoo Terbuka ini. Tapi kami naik bas ke situ, sebab kaki dah lenguh.


Werribee Mansion (Mahligai Werribee)

 

Di luar pagar kawasan mahligai itu terdapat taman bunga mawar yang indah. Inilah Victoria State Rose Garden (Taman Mawar Negeri Victoria) yang memenangi anugerah dari Persatuan Bunga Mawar di Victoria. Bunga mawar itu ada pelbagai warna: kuning, merah, merah jambu, putih dan jingga. Dwi-warna pun ada. Harum semerbak taman itu dengan bau mawar. Terdapat beratus-ratus pokok bunga mawar di sini.  Oleh kerana saya dan Ira,  "Minah Bunga", maka kami  bergambar di celah-celah bunga mawar itu walaupun dahannya berduri.

Saya dan Ira bergambar di Taman Mawar Negeri Victoria yang letaknya tidak berjauhan dengan Werribee Mansion. Masuk taman mawar di Werribee ini  tak perlu bayar.

Setelah puas melihat bunga-bunga mawar itu kami masuk ke kawasan mahligai. Keindahan sekeliling mahligai ini amat memeranjatkan saya. Indahnya! Besarnya! Luasnya! Keluasan tanahnya ialah 10 hektar. Saya dapat lihat sebuah kebun dan taman yang luas di sebelah mahligai itu. Bunga-bunga indah, kolam dan pokok-pokok segar seperti conifer, epal dan walnut menghiasi taman itu. Terasa ingin memiliki kawasan mahligai dan taman itu.


Suku daripada bahagian atas Werribee Mansion

Di belakang mahligai itu terdapat kandang-kandang kuda dan ladang biri-biri. Ia kosong dan tua.  Terdapat juga arca-arca abstrak dibina menghiasi halaman belakang.

Di sayap kanan mahligai terdapat hotel 5 bintang dan cafe untuk mereka yang mahu memanjakan diri dan lari dari kesibukan kotaraya.

Werribee Mansion telah dibina pada tahun 1870an dan ia adalah antara senibina Itali yang tertua di Australia


Kami masuk ke dalam mahligai ini. Kami masuk bilik-bilik tidur, bilik makan, ruang tamu dan menaiki tangga mahligai itu. Senibina berkonsepkan Itali dan Victoria menjadi mahligai ini kelihatan klasik. Namun di dalamnya agak gelap dan kurang 'seri'. Kadang-kadang ada sedikit perasaan sunyi dan perasaan seram menghinggap sanubari saya apabila memasuki bilik-bilik yang ada patung-patung sedang duduk. Saya terbayangkan 'macam-macam'. Bagaimanakah keadaan mahligai ini pada waktu malam? Barangkali patung-patung ini bangun dan berjalan-jalan di dalam mahligai yang besar dan tidak dihuni ini? Lalu saya tidak berani mengusik-ngusik sebarang barang di mahligai ini. Maklumlah saya baru sahaja tengok filem Pontianak Harum Sundal Malam..."Pulangkan, pulangkan!" Eee tak pasal-pasal.

Ayatul Qursi meniti di bibir saya pada setiap langkah saya di dalam mahligai besar, sunyi dan tidak dihuni itu.


Ruang dalam Werribee Mansion yang gelap dan suram boleh mencerminkan peribadi pemiliknya


Saya dapat tahu dahulunya mahligai ini dimiliki oleh orang kaya berasal dari Scotland. Dia membina mahligai itu untuk seorang wanita yang dikasihinya tetapi tidak dapat berkahwin dengannya. Apabila dia meninggal dunia, warisnya tidak dapat menguruskan kawasan ladang dan mahligai ini lalu menjualkannya kepada seorang kaya. Kemudian orang kaya itu menjualkannya kepada kepada pihak gereja. Kemudiannya kerajaan negeri Victoria mendapatkannya dari pihak gereja. Sekarang ianya milik Negeri Victoria dan dibuka untuk orang ramai melawatnya.

Mahligai ini juga boleh dilawati pada waktu malam. Anda dibawa masuk sebagai tetamu oleh seorang pelakon teater yang melakonkan watak seorang pembantu rumah.

Kami tidak lama menghabiskan masa di sini kerana hari sudah hampir petang. Takut ketinggalan bas. Kamipun pulang membawa seribu kenangan.

Untuk anda yang ingin melihat video promosi mahligai  ini sila lihat di sini: http://www.youtube.com/watch?v=c-v7Nd-ZcP8&feature=related



Melbourne Zoo

Werribee Open Range ini juga mempunyai adik-beradik kembar dengan Melbourne Zoo. Di bawah ini saya kongsi gambar-gambar saya di Melbourne Zoo. Melbourne Zoo ini letaknya dekat dengan CBD (pusat bandar). Letaknya di Elliot Avenue, Parkville.

Yang ini kami pergi masa lain. Pergi sendiri naik tram. Kami naik tram 55 dari William Street. Kalau naik keretapi, ambil dari  Flinders Street Station di Upfield Line dan berhenti di Royal Park Station.

Yang menarik di zoo ini ialah dapat melihat beruang koala di atas pokok sedang makan daun eucalyptus (kayu putih). Inilah pertama kali saya dan keluarga saya tengok beruang koala. Seronoknya. Comelnya! Oleh kerana kamera saya masa tu koman sangat, tak boleh nak zoom lebih-lebih.

Koala sedang makan daun eucalyptus.

Gebu

Koala suka tidur. Ia tidur 20-22 jam di siang hari. Kami bernasib baik dapat lihat koala tidak tidur ketika itu






Emu di Zoo Melbourne
Wallaby di Zoo Melbourne
Little Penguin di Zoo Melbourne

Wallaby
Pelican juga terdapat di Zoo Melbourne

Zirafah di Zoo Melbourne


Buat kali ini saja. Dalam entri yang akan datang akan saya ceritakan lagi kembara saya di bumi kangaroo.



Ahad, 25 Mac 2012

Chesterfield Farm: Jadi Koboi Aussie di Ladang Ternakan


Saya selalu lihat ladang-ladang yang luas dan banyak apabila saya lalu di "country side" di negeri Victoria, Australia. Lembu-lembu meragut rumput di padang yang luas terbentang. Kambing biri-biri yang bergerak berkumpulan pula sentiasa tunduk meragut-ragut rumput seolah-olah tidak pernah kenyang. Kuda-kuda berdiri megah dengan tubuh yang tegap. Rumah-rumah peladang kukuh di atas tanah luas berbukit-bukau. 

Pertanian dan penternakan adalah antara punca pendapatan penduduk Victoria, Australia. 60 peratus daripada keluasan tanah di negeri Victoria ini digunakan untuk pertanian. Victoria adalah pusat tenusu di Australia, maka tidak hairanlah lembu-lembu banyak di sini.

Ingin sekali saya berada di ladang komersial ini, melihat secara dekat, "up close and personal", cara penghidupan peladang dan penternak komersial ini. Ingin sekali saya menjadi koboi Aussie, bergelumang dengan bau rumput ladang dan bau binatang ternakannya.

Impian saya akhirnya tercapai apabila saya mengikuti Monash Support Group ke Chesterfield Farm. Monash Support Group adalah persatuan di Monash University yang selalu membuat lawatan untuk pelajar-pelajar pasca siswazah dan keluarga mereka. Pada hari kami sampai ke ladang Chesterfield itu, barulah saya tahu yang ladang Chesterfield itu terlalu dekat dengan rumah saya. Letaknya di Ferntree Gully, kira-kira 10 minit memandu dari rumah saya. 

Menjadi koboi Aussie di Chesterfield Farm memang terbaik. Banyak aktiviti menarik yang saya dan anak-anak saya alami. Anak-anak saya amat senang bermain dengan binatang ternakan itu. Kami boleh menyentuh dan memberi makan kangaroo. Kami boleh peluk, cium dan dukung kambing biri-biri. Kami boleh menepuk-nepuk kepala llama dan keldai yang berbulu lembut. Poni dan rusa pula gembira dan berlari meluru ke arah kami apabila kami datang. Kami boleh memicit puting ibu lembu yang bunting dan memerah susunya. 

Melihat peladang mencukur bulu biri-biri pula tidak kami lepasi. Anjing yang cerdik dan rajin juga dapat kami lihat mengembala kambing biri-biri. Pengalaman menjadi koboi Aussie adalah pengalaman bernilai. Sejak itu kami pergi sendiri ke sana, berulang-ulang kali. Tidak jemu-jemu. Setakat ini kami sekeluaga sudah pergi 5 kali.

Rumah lama di ladang
Inilah lembu tenusu yang meragut rumput di Chesterfield Farm. Pemandangan seperti ini sering saya lihat dalam iklan-iklan susu tetapi sekarang sudah berada di hadapan mata.
Tempat membayar tiket masuk
Jalan masuk ke Chesterfield Farm
Anjing ini menyuruh kambing biri-biri ini keluar dari kandang
Anjing ini membantu penternak mengembala kambing biri-biri
Persekitaran Chesterfield Farm yang luas menghijau
Lembu bunting di ladang yang subur ini.
Kerbau meragut rumput di ladang Chesterfield
Pemilik ladang menunjukkan cara memerah susu lembu dengan tangan
Pemilik ladang menunjukkan cara memerah susu lembu dengan mesin
Giliran kami pula memerah susu lembu
Keldai, biri-biri dan kambing gembira melihat kami datang.
Kangaroo ini sangat mesra
Kangaroo menanti-nanti kami menyuapkan makanan

Comelnya...
Rusa ini sungguh comel dan manja dengan kami
Pertama kali melihat llama dan memberinya makan pula memang mengasyikkan
Kuda poni yang gebu senang pula mesra dan suka dibelai. Asyiknya!
Menyusukan biri-biri amat menyeronokkan
Kambing yang berbulu tebal membuatkan tangan tidak segan silu mengusapnya
Penternak menunjukkan cara bulu biri-biri dari baka Merino dicukur
Memandu trektor merah di ladang luas ini membuatkan kami perasan ladang ini kami yang punya
Burung unta bermain kejar-kejar dengan anak-anak saya

Kebiasaannya kami menghabiskan masa seharian di sini. Kami juga seronok menaiki trektor mengelilingi ladang ini. Bermain kejar-kejar dengan burung unta juga menggelikan hati.

Selain daripada menjadi koboi Aussie, kami juga duduk berkelah di tempat yang disediakan. Kami juga nampak ada orang menyambut majlis harijadi di sini.

Sesudah habis menyuapkan makanan binatang-binatang ini, kami masuk ke dalam kandang tempat biri-biri dilahirkan. Dapatlah kami mendukung, memeluk dan mencium anak biri-biri yang comel.

Anak biri-biri yang comel membuatkan sesiapa sahaja geram padanya
Gembiranya jadi koboi Aussie. "G'day Mate!

Kalau anda berminat hendak ke sini, ladang Chesterfield ini letaknya di 1221 Ferntree Gully Road, Scoresby, di antara Jells Road dan Stud Road, bersebelahan dengan Jells Park.

Bayaran masuk dikenakan. Untuk satu keluarga kami bayar AUD35.00.

Makanan untuk binatang-binatang ini juga dijual di kaunter pembayaran masuk. Harganya AUD1.50 sebungkus.

Ladang ini memang berbaloi untuk dikunjungi. Setiap kali kawan-kawan yang tinggal berjauhan atau saudara-mara dari Malaysia datang berkunjung ke rumah kami, kami membawa mereka ke ladang ini. Ternyata mereka semua membawa pulang kenangan manis lagi berharga. Mereka gembira menjadi koboi Aussie sementara di ladang ini.

Sila lihat laman web Chesterfield Farm ini http://www.chesterfieldfarm.com.au/index.html untuk mengetahui dengan lebih lanjut.


Royal Melbourne Show (Pertunjukan Diraja Melbourne)

Sekiranya anda tidak berpeluang ke Chesterfield Farm, ada satu lagi cara untuk melihat penternak bekerja di ladang. Iaitu di Royal Melbourne Show yang diadakan pada September setiap tahun, anjuran The Royal Agricultural Society of Victoria.

Royal Melbourne Show adalah satu pameran besar tentang ternakan, pertanian dan mesin. Inilah masanya peladang dari 'country side' membawa ternakan mereka ke bandar untuk diperlihatkan. Di sini anda berpeluang melihat beribu-ribu binatang ternakan Australia, pertandingan binatang ternakan, pertunjukan anjing, pertandingan menghias kek, persembahan hiburan dan 'fun fair'. Di sini juga anda tidak akan terlepas daripada melihat cara koboi Aussie mencukur bulu kambing biri-biri.

Di bawah ini adalah gambar yang aku ambil ketika ke acara tersebut pada tahun 2006 di Melbourne Showgrounds, Epsom Road, Ascot Vale. 

Royal Melbourne Show juga ada fun fair.
Cara mencukur bulu biri-biri ditunjukan di Royal Melbourne Show
Beratus-ratus kambing dipertunjukkan
Biri-biri juga dipertujukkan
Alpacas juga menjadi binatang ternakan
Kek yang memenangi pertandingan hiasan kek di Royal Melbourne Show
Demonstrasi membuat bunga ros untuk hiasan kek
Pengunjung Royal Melbourne Show
Setelah menjadi koboi Aussie di ladang dan bergelumang dengan bau binatang ternakan, saya hendak mandi sekarang. Jangan lupa mengikuti kembara saya di bumi kangaroo dalam entri akan datang. Ada nota kembara yang menarik akan saya sajikan. Saya akhiri entri kali ini dengan ucapan popular Aussie - "G'day Mate!" (cara menyebutnya: gud dai maik).






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...