Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Isnin, 30 April 2012

Perkara Lain Yang Patut Anda Tahu Tentang Melbourne

Terdapat perkara-perkara berguna lain yang perlu anda ketahui apabila berada di Melbourne. Soalan-soalan berikut sering ditanyakan kepada saya apabila ada yang hendak datang belajar, menjalani latihan perubatan atau melancong di Melbourne:

1. Bilakah waktu yang sesuai melawat Melbourne?


Waktu yang sesuai untuk melawat Melbourne ialah pada:

Musim bunga (Ogos-November), pada musim ini cuaca tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas. Suhunya kira-kira 16-20ºC. Namun begitu cuaca di Melbourne agak pelik. Ini disebabkan cuaca di Melbourne tidak boleh dijangka (unpredictable). Cuaca pada waktu pagi yang terlalu sejuk tiba-tiba bertukar menjadi panas pada waktu tengahhari dan tidak semena-mena bertukar menjadi sejuk kembali. Orang mengatakan bahawa dalam sehari ada 4 musim di Melbourne. Oleh itu sentiasalah membawa pakaian yang sesuai. Bawalah jaket selalu kerana cuaca yang panas boleh bertukar menjadi sejuk dengan tiba-tiba.

Bunga kembang dengan mudah di mana-mana sahaja di Victoria ketika musim bunga

Suasana musim bunga di sebuah taman di Victoria

Bunga-bunga berkembangan di dalam cuaca yang nyaman pada musim bunga


Dalam musim bunga banyak acara menarik diadakan. Biasanya pertunjukan fesyen dan pertunjukan bunga antarabangsa diadakan pada musim bunga. Bagi peminat seni dan muzik, festival seni banyak dibuat pada musim ini.

Daun-daun pokok yang segar menghijau pada musim bunga

Pelbagai warna bunga pada musim bunga di Melbourne

Bird of Paradise mudah dilihat di sekitar Melbourne pada musim bunga


Musim panas (Disember-March), tidak begitu sesuai kerana cuacanya kadang-kadang terlampau panas sehingga mencecah 48ºC. Kebiasaannya suhu musim panas adalah di antara 24ºC-38ºC .

Dalam musim panas terdapat banyak lalat bersaiz besar datang migrasi ke Melbourne. Lalat-lalat ini sangat banyak dan SENTIASA terbang di sekeliling kita.  Kita berasa runsing dengan kehadiran lalat-lalat ini kerana kita sentiasa kena menepis dengan tangan lalat-lalat ini yang terbang mengelilingi muka kita. Kita kena selalu tutup tingkap rumah kita untuk mengelakkan lalat masuk dan mengelakkan bahang panas masuk ke dalam rumah. Di dalam laman web rasmi, tidak diceritakan hal ini, tetapi yang pernah tinggal di sana, faham maksud saya ini.

Belukar dan hutan juga mudah terbakar pada musim panas dan bahangnya mengganggu keselesaan kita. Badan kita terasa melekit-lekit dengan cuaca yang panas kering itu. Waktu siang hari pada musim panas adalah panjang.  Kalau berpuasa dalam musim panas, perlu banyak bersabar.

Pada musim panas ramai orang (mat salleh) berjemur di pantai. Itu mat salleh, kulit mereka tebal dan tahan panas. Kulit Melayu tak tahan panas begitu. Kulit kita akan rasa pedih kalau terkena panas di Melbourne.

Pada musim panas di Melbourne biasanya  diadakan "wayang pacak" pada waktu malam, orang datang beramai-ramai menonton "wayang pacak" ini sambil lepak-lepak di atas padang. Pada waktu malam biasanya suhu menurun dan ada angin sejuk.

Keadaan panas yang melampau dan kering berlaku bukan sepanjang musim panas, ia kadang-kadang berlaku 2-3 kali seminggu. Ada masanya cuaca menurun sehingga 10ºC dan sejuk seperti dalam musim sejuk walaupun  ia sebenarnya dalam musim panas.

Rumput-rumput dan daun-daun pokok kering pada musim panas di Melbourne




Musim luruh (April-Jun) juga sesuai untuk melawat Melbourne. Cuacanya agak selesa, tetapi lembab. Suhunya di antara 12-18ºC. Pada waktu malam ia boleh menurun hingga  2ºC. Angin amat kuat pada musim ini dan kadang-kadang berlaku hujan air batu. Pada musim luruh siangnya agak pendek dan waktu solat juga terlalu rapat/pendek jaraknya di antara satu waktu dengan waktu yang lain. Perlu sentiasa beringat tentang waktu zohor dan asar, takut terlepas. Zohor biasanya masuk dalam 12.19 dan asar pula pukul 3.17 petang.

Festival komedi sering diadakan pada musim luruh.

Musim luruh di Melbourne



Musim sejuk (Julai-September) juga sesuai kalau anda tahan sejuk. Cuaca musim sejuk di Melbourne adalah di antara  6-12ºC. Angin kuat juga sering berlaku disertai dengan guruh dan kilat. Hujan renyai-renyai selalu berlaku dalam musim ini. Kadang-kadang ada frost, kabus dan langit berawan tebal. Di kawasan pergunungan ada salji nipis. Namun begitu cuaca di Melbourne adalah pelik. Dalam musim sejuk kadang-kadang cuacanya tiba-tiba panas seperti musim panas. Jadi kita perlu sentiasa peka dengan cuaca dan semak cuaca setiap hari melalui radio, tv atau internet.


Kawasan pergunungan diliputi salji ketika musim sejuk Melbourne


2. Benarkah makanan tidak boleh dibawa masuk ke Melbourne?


Makanan yang belum diproses, produk daripada binatang atau tumbuh-tumbuhan tidak dibenarkan di bawa masuk ke Australia seperti telur, ayam, daging, sayur-sayuran, ubat-ubatan, tanah, pasir, kayu, bahan-bahan larangan (dadah, bahan mudah terbakar), buah-buahan dan kekacang. Barang-barang kraf yang dibuat daripada kayu, tumbuh-tumbuhan (seperti bunga kering) dan bahagian tubuh bintang (bulu, gigi, tulang) tidak dibenarkan. Sila pastikan anda tidak membawa debu atau tanah di kasut anda ketika anda masuk ke Australia.

Sekiranya anda tidak pasti, isytiharkan ia dengan mengisi maklumat ke dalam borang ketika memasuki Australia. Sekiranyanya anda hendak membawa makanan sila pastikan makanan itu sudah diproses di kilang seperti rempah kari yang masih dibungkus dengan rapi dan bahan-bahan kandungannya tertulis pada bungkusan. Sekiranya anda tidak mengisytiharkan barang-barang ini, atau membuat pengisytiharan palsu anda boleh disoal siasat oleh pihak imigresen Australia, ditahan dan didenda dengan jumlah yang banyak. Ada yang perlu membayar sehingga AUD220,000.00 (on the spot) sebagaimana yang dipertontonkan dalam rancangan Boder Security kerana membawa daging panggang itik atau anak pokok bunga. Atau anda mungkin ditahan dan didenda AUD66,000 atau 10 tahun penjara.

Sekiranya undang-undang tidak diperketatkan ketika masuk ke Australia, koala mungkin tidak akan dapat dilihat oleh generasi akan datang.


Australia mempunyai undang-undang yang ketat dalam soal membawa produk dari luar kerana mereka mahu mengurangkan risiko kepada alam semulajadi dan binatang-binatang di Australia.

Untuk membawa ubat ke Australia sila lihat laman web ini: http://www.tga.gov.au/consumers/travellers-entering.htm

Anda juga dikehendaki mengisytiharkan wang yang anda bawa ditangan sekiranya ia berjumlah AUD10,000 atau lebih.

Daun-daun ivy menjalar segar pada musim bunga. Alam semulajadi ini dipelihara baik oleh Australia, maka  undang-undang ketat dikenakan kepada pendatang yang masuk membawa produk yang berisiko mencemarkannya

3. Bagaimanakah cara menaiki kenderaan awam dari lapangan terbang Melbourne?


Dari lapangan terbang ke pusat bandar anda hanya perlu menaiki Skybus. Pergilah ke terminal 1 dan 3, carilah kaunter Skybus dan belilah tiket di situ. Bas ini membawa anda ke stesen keretapi Spencer Street. Kira-kira 20 minit perjalanan. Dari Spencer Street anda boleh menaiki keretapi ke destinasi seterusnya.

Perkhidmatan bas ini diadakan setiap 15 minit dari 6 pagi hingga tengah malam, dan selepas tengah malam ia begerak setiap 30 minit. Dari Spencer Street ke lapangan terbang pula perkhidmatannya setiap 30 minit dari 6 pagi hingga 12 malam. Selepas tengah malam ianya sejam sekali.

Mereka juga boleh mengambil anda berdekatan dengan hotel anda, tetapi perlu buat tempahan 3 hari sebelumnya.

Tetapi kalau anda datang bertiga atau lebih, lebih baik naik teksi.

 

4. Apakah bank yang sesuai digunakan di Victoria, Australia?


Bank-bank yang sering terdapat di Melbourne ialah Commonwealth Bank dan ANZ Bank. Walaupun ada bank-bank yang lain namun kedua-dua bank ini terdapat dengan banyak di mana-mana sahaja di Melbourne. Mesin ATM juga terdapat dengan banyak terutama sekali Commonwealth Bank. Bank-bank ini juga mengeluarkan kad debit dan kad kredit. Transaksi ke/dari Malaysia juga mudah dilakukan melalui bank ini.

Untuk makluman anda saving account di sini berbeza dengan di Malaysia. Saving account di sini tidak memberi interest/faedah kepada penyimpan sebagaimana di Malaysia. Sila minta bank anda menjelaskannya kepada anda sebelum anda membuka akaun.

Untuk urusan mengeluarkan wang dan membuat transaksi telegrafik di kaunter bank amatlah mudah, tiada borang yang perlu diisi, cuma tunjukkan kad pengenalan (ID) atau pasport sahaja dan beritahu kepada kerani di kaunter nombor akaun yang berkaitan. Anda akan berasa selesa kerana tidak perlu beratur panjang.

 

5. Apakah EFTPOS?


EFTPOS adakah sistem bayaran melalui kad debit. Kad debit ini boleh digunakan di kebanyakan kedai. Anda tidak perlu membawa wang tunai yang banyak kerana kad debit ini diterima di pasaraya, stesen minyak, dan di mana sahaja yang terdapat logo EFTPOS. Anda boleh tunaikan wang daripada kad ini di kaunter di kedai. Ini bermakna apabila anda membayar harga barangan dengan menggunakan kad debit ini, anda minta cashier untuk berikan tunai kepada anda. Kadang-kadang cashier sendiri bertanyakan anda, "Any cash out?" Anda nyatakan berapa tunai yang anda mahu dan cashier itu akan tolak dari debit anda dan berikan duit tunai kepada anda. Sistem pembayaran EFTPOS adalah sistem yang meluas digunakan di Australia. Anda hanya tekan CHQ atau SAV dan nombor PIN.

Kedai-kedai di Clayton



6. Apakah lay-by?


'Lay-by' adalah kontrak pembelian barangan, iaitu anda membayar penjual dengan sejumlah wang tertentu secara beransur-ansur (sekurang-kurangnya dua kali ansuran) dalam tempoh tertentu. Setelah bayaran habis dibayar barulah anda mendapat barangan itu.


7. Bagaimanakah untuk memilih universiti di Australia?


Pilihlah universiti yang termasuk dalam Group of Eight kerana ia lebih berprestij, institusi yang menerajui pendidikan di Australia -'Australia's Leading Universities' - intensif dalam penyelidikan, komprehensif secara umum dan berpendidikan profesional. The Group of Eight (go8)  memasarkan pendidikan mereka berdasarkan statistik berkaitan dengan hasil penyelidikan, hubungan dengan industri, bilangan graduan dan kopetensi staf akademiknya.  Ahli-ahli The Group of 8 ialah:
  • The University of Adelaide
  • The Australian National University
  • The University of Melbourne
  • Monash University
  • The University of New South Wales
  • The University of Queensland
  • The University of Sydney
  • The University of Western Australia

Hadiri Australia Education Fair yang sering diadakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan negeri-negeri tertentu di Malaysia. Di sini anda berpeluang berbincang dengan wakil-wakil universiti di Australia. Memohon kemasukan ke universiti dengan mengisi borang di pameran ini lebih mudah dan cepat. 

Monash University adalah ahli The Group of 8


8. Bolehkah bekerja di Melbourne dengan visa pelajar?


Boleh berkerja. Hendaklah meminta kebenaran Imigresen untuk bekerja dahulu. Di Monash University, kebenarana itu boleh dilakukan di Bahagian International Office. Daftarlah dahulu sebagai pelajar Master atau PhD sebelum memohon kebenaran  bekerja. Setelah mendaftar sebagai pelajar universiti dan mendapat kebenaran bekerja barulah anda boleh bekerja tanpa had.

Ada yang berjaya mendapatkan pekerjaan dalam bidang profesional seperti jurutera, doktor, tutor universiti dan pekerja IT/komputer. Namun ia bukanlah mudah. Kebanyakan pelajar yang datang ke Melbourne bekerja sambilan sebagai buruh, pekerja kilang, pembantu kedai, pencuci bangunan, carer (penjaga warga emas atau orang kurang upaya), babysitter, pemandu, penghantar barangan dan pekerja ladang (bermusim). Ada juga suami yang menemani isteri belajar di Melbourne dan mendapat pekerjaan sebagaimana yang disebutkan tadi.

Gaji dibayar sebanyak AUD8.00 hingga AUD24.00 sejam. Gaji dibayar setiap minggu. Kebiasaannya anda dikehendaki mempunyai lesen memandu dan memilki kenderaan sendiri.


Bekerja sebagai pemetik buah-buahan di ladang Victoria


Ada juga yang datang bekerja di Melbourne melalui agen pekerjaan yang beroperasi di Malaysia dan Singapura. Anda perlu membayar sejumlah wang kepada agen ini untuk mendapatkan pekerjaan (lebih kurang AUD6,000.00). Agen ini mendapatkan permit kerja untuk anda, membawa anda ke Melbourne, memberikan tempat tinggal, menyediakan pengangkutan dan mencarikan pekerjaan untuk anda. Biasanya sebagai buruh di ladang. (Misalnya memetik anggur). Mereka sentiasa bergerak dalam kumpulan yang sama.

Bagi orang Islam, sila pastikan tujuan anggur itu dipetik kerana kebanyakan anggur ditanam untuk dijadikan wain. Adalah haram bagi orang Islam bekerja sebagai pemetik anggur yang digunakan untuk membuat wain.


9. Bagaimanakah menghantar anak ke sekolah di Victoria?


Menghantar anak ke sekolah mesti mendapat kelulusan dari guru besar sekolah dan Department of Education yang letaknya di Spring Street. Kemukakan kad laporan sekolah lepas, surat sokongan dari pengetua sekolah lepas, salinan pasport dan gambar. Kalau anak anda di sekolah rendah perlu tunjukkan kad imunisasi yang pernah dilakukan.


10. Berapakah bayaran yuran sekolah anak di Victoria?


Menghantar anak ke sekolah dibawah kelolaan kerajaan atau pemerintah Victoria tidak dikenakan sebarang yuran sekiranya anda memegang visa subclass 574, iaitu visa pelajar Master atau PhD yang mempunyai tanggungan. Sekiranya tiada visa ini, yuran untuk pelajar antarabangsa dikenakan kepada anak anda. Yurannya mahal iaitu lebih kurang AUD9,100 untuk satu tahun persekolahan sekolah rendah dan AUD18,400 untuk sekolah menengah tinggi.
Untuk ke sekolah swasta (misalnya sekolah Islam) yurannya lebih mahal. Ini disebabkan anak anda adalah pelajar antarabangsa. Satu penggal dikenakan bayaran dalam RM12,000-20,000. Ada 4 penggal dalam setahun. Jadi setahun anda perlu ada RM48,000-80,000.


11. Bagaimanakah jagaan kanak-kanak/bayi ketika saya bekerja atau ke kuliah?


Pusat jagaan kanak-kanak terdapat di banyak tempat. Anda boleh menghantar anak anda ke pusat jagaan kanak-kanak itu. Terdapat juga agen yang menyediakan babysitter. Ada juga yang menjaga kanak-kanak di rumah dengan kebenaran agen. Bayaran kepada babysitter bergantung kepada faktor seperti umur, pengalaman, masa jagaan, kekerapan penjagaannya, dsb. Sekiranya anda menggunakan agensi, yuran tempahan dikenakan, biasanya dalam AUD15-AUD33 bagi setiap tempahan. Anda juga akan dikenakan cas sekiranyanya membatalakan tempahan. Sekiranya anda berjumpa dengan babysitter itu sendiri, biasanya bayarannya ialah antara AUD10 hingga AUD25 sejam.


12. Bagaimanakah saya menghantar anak saya ke sekolah di Australia sedangkan saya berada di Malaysia?


Hubungi pengetua sekolah anak anda. Minta pengetua carikan penjaga anak anda. Kebiasaanya pengetua sekolah mempunyai senarai penjaga (guardian) dan asrama atau homestead/board. Penjaga ini tiada rekod jenayah dan telah membuat pemeriksaan polis. Anda boleh meminta penjaga ini menjaga anak anda dan tinggal bersama mereka. Kebiasaanya mereka mempunyai bilik persendirian untuk anak anda, menyediakan pengangkutan ke sekolah dan makanan. Bayaran homestead ini boleh dirundingkan dengan penjaga.


Rabu, 25 April 2012

Islam di Melbourne


Ingatkah anda bahawa saya pernah memberitahu bahawa saya selalu memasukkan kaki saya ke dalam sinki basuh tangan semasa mengambil wudhu di tandas awam di Melbourne? Dan saya katakan bahawa ini nampak macam tak senonoh? Kalau lupa sila klik di sini.

Memang tak senonoh pun! Saya pernah di'cekup' seorang perempuan Aussie ketika saya sedang memasukkan kaki ke dalam sinki basuh tangan di tandas awam.

"Di luar sana tu memang kotorlah. Memang patut awak basuh macam tu!" kata perempuan Aussie itu sambil ketawa.

Saya senyum sahaja. Tetapi sebenarnya kelakuan tak senonoh saya itu bukan perkara luarbiasa di Australia. Boleh dikatakan hampir setiap orang Islam Melbourne melakukannya.

Ha...ha...ha...saya ketawa kuat-kuat apabila ini diceritakan di televisyen semasa saya menonton rancangan Salam Cafe yang disiarkan di Channel 31 di Melbourne. Rancangan untuk orang Islam Melbourne (terutama golongan muda) dan disiarkan setiap minggu ini menyenaraikan 6 alasan paling tinggi (top) diberikan apabila di'cekup' sedang memasukkan kaki ke dalam sinki basuh tangan di tandas awam.

Berikut adalah 6 alasan yang diberikan oleh orang Islam Melbourne apabila di'cekup' sedang memasukkan kaki ke dalam sinki basuh tangan di tandas awam:
6. "Pancuran hujan (shower) saya rosak!"
5. "Saya baru lepas bersukan jalan kaki"
4.  Sengaja ubah topik: "Eh, zip seluar awak terbukalah"
3.  Buat-buat bodoh: "Oh, ini sinki ke? Terima kasihlah ya."
2.  Tipu tak tahu bahasa Inggeris: "I no spikka da Engleesh todai," dan
1.  Ayat bijak: "Saya basuh kaki saya lima kali sehari, jadi ia lebih bersih dari muka awak."
He..he..he...maknanya bukan saya seorang saja yang buat macam ini. Ini menunjukkan bahawa terdapat ramai orang Islam di Melbourne tetapi kemudahan untuk mereka beribadat amat kurang. Mencari tempat solat juga adalah satu masalah. Di Melbourne saya sering solat di bawah tangga bangunan, di tempat letak kereta, di taman, di bawah pokok, di dalam keretapi, tepi jalan, malah di man-mana sahaja yang saya rasakan bersih.

Ketiadaan tempat solat memaksa umat Islam di Melbourne solat di tempat letak kereta

Terdapat 300,000 orang Islam yang menyatakan Australia adalah negara dan tanah tumpah darah mereka. Kebanyakan mereka adalah imigran dan ada yang datang semasa masih kecil. Kewujudan mereka ini membentuk identiti dan komuniti tersendiri di Australia - Arab, Bosnia, Pakistan, Turki, India, Somali, Melayu, Indonesia dan lain-lain lagi. Malahan ramai juga yang sedang mempelajari bahasa Inggeris dan tidak fasih berbahasa Inggeris. Mereka ini mahu jadikan Melbourne sebagai kampung halaman mereka. Ramai juga yang mendapati mengamalkan Islam di sini lebih baik daripada negara asal mereka.

Pasaraya dan kedai baranganTimur Tengah di Dandenong

79 peratus orang Islam di Australia telah memperolehi kewarganegaraan Australia. Orang Islam telah mula bermigrasi ke Australia sejak lama. Sebelum 1981 lebih kurang 41,000 orang Islam telah menetap di Australia dan bilangan ini bertambah  antara tahun 1996  hingga 2000.

Orang Islam Melbourne daripada pelbagai keturunan menyambut hari raya Aidil Fitri 2008.


Kebanyakan orang Islam di Melbourne terdiri daripada orang Lebonan, diikuti oleh Turki, Afganistan, Bosnia-Hezegovina dan Pakistan. Pelbagai mazhab diamalkan daripada Hanafi, Hanbali, Maliki hinggalah Shafie. Selain itu terdapat juga golongan Shiah dan Salafiin.

Ada yang konservatif, ada yang sekular, ada yang berpegang teguh dengan sunnah, ada yang mengambil ringan, malah macam-macam tahap amalan mereka.

Jemaah lelaki bersiap-siap untuk solat sunat Aidil Fitri (2008) di padang Monash University

Kumpulan etnik ini berkelompok di tempat-tempat tertentu dan membiak serta berkembang. Ini dapat dilihat di sekitar Melbourne. Orang Islam Arab, India dan Afgan boleh dilihat berkelompok di Dandenong. Manakala orang Lebonan di Brunswick. Penduduk Islam yang paling ramai di Melbourne ialah di Dallas iaitu 39 peratus daripada penduduk Melbourne, walaubagaimanapun residen di sini tidaklah ramai iaitu cuma 6,346 orang sahaja.

Disamping itu Meadow Heights juga mempunyai bilangan orang Islam melebihi 33 peratus. Kumpulan Islam ini membentuk kelompok mereka dan masih mengekalkan budaya yang dibawa dari tanah asal mereka, walaupun ada yang masih memegang dua kewarganegaraan, misalnya orang Lebanon. 

Orang Islam dari keturunan Melayu juga tidak kurang ramainya. Mereka berasal dari Singapura, Malaysia, Afrika dan Sri Lanka. Mereka terdiri daripada imigran yang berpindah ke Australia ketika Australia menawarkan pekerjaan kemahiran (skill worker), menaja mereka dan menawarkan kewarganegaraan. Ini berlaku pada awal tahun 1980an.

Kebanyakan orang Melayu Singapura menyatakan bahawa di tanah air sendiri mereka adalah golongan minoriti dan mereka tidak mendapat hak yang sepatutnya. Mereka adalah orang asing di tanahair sendiri. Tetapi di Australia walaupun mereka golongan minoriti mereka diberikan hak yang jauh lebih baik daripada di Singapura.

Orang Malaysia pula ramai yang terdiri daripada mereka yang berkahwin dengan penduduk Australia, datang menuntut ilmu dan mendapat pekerjaan yang baik di Australia.

Oleh kerana bilangan orang Melayu yang ramai ini maka Persatuan Melayu Victoria telah ditubuhkan. Persatuan ini memperjuangkan bahasa Melayu, agama Islam dan adat budaya orang Melayu di Australia. Saya juga turut menjadi ahli, ahli jawatankuasa dan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti Persatuan ini. Antara aktiviti yang saya turut serta ialah menerbit, menulis skrip, menjadi juruhebah dan mengelola rancangan Melayu di Radio 3ZZZ di Melbourne. Sila klik di sini sekiranya anda berminat untuk mengetahuinya radio ini. Selain itu saya turut menulis untuk buletin yang diterbitkan iaitu "Iqra", melaksanakan aktiviti sambutan Hari Raya, melaksanakan pertandingan menulis jawi dan lain-lain lagi. 

Sekarang ini terdapat sebuah persatuan yang bernama MECCA atau Malay Education and Cultural of Australia Inc. Mereka sedang mengumpulkan dana untuk membina masjid khas untuk komuniti Melayu. Kalau anda berminat untuk menyumbangkan kewangan bagi membina masjid itu sila lawati http://meccainc.wordpress.com/ atau http://www.binamasjid.com.au/


Masjid di Cleeland Road, Dandenong

Di setiap surburb sekitar Melbourne ada dibina masjid dan pemerintah Australia telah menetapkan dalam rang undang-undang mereka bahawa penganut Islam boleh mengamalkan agama mereka di bumi kangaroo ini. Mereka diberi hak untuk bercuti ketika menyambut hari perayaan keagaamaan. Pihak majikan pula harus membenarkan mereka melakukan ibadat di tempat kerja. Itulah sebabnya anda dapat melihat bahawa di setiap universiti di Victoria disediakan Prayer Room

Monash University mempunyai persatuan Islam yang kukuh. Monash University menyediakan masjid dan  musalla yang lengkap dengan tempat mengambil wudhu dan bilik solat yang berasingan. Pada bulan Ramadhan masjid ini mengadakan solat tarawikh yang diimami oeh seorang hafiz. Seminggu sekali dalam bulan Ramadhan, Persatuan Islam Monash University mengadakan majlis iftar beramai-ramai dan menjalankan kelas-kelas agama dan tazkirah.

Buku panduan khas untuk orang Islam yang dipanggil Salam Monash juga disediakan. Sekiranya anda berminat untuk membaca Salam Monash dan mengetahui tentang tempat-tempat ibadat orang Islam, kedai makanan halal, sekolah-sekolah Islam dan aktiviti berkaitan dengan orang Islam di Melbourne anda boleh klik di sini:

Masjid Monash University di Beddoe Avenue

Orang Islam semakin berkembang dan kukuh dengan tertubuhkannya Islamic Council of Victoria yang mewakili 90,000 orang Islam di seluruh Victoria. Ramai juga pejuang-pejuang Islam yang menuntut perbankan Islam, undang-undang Syariah, kolam renang untuk wanita Islam, premis makanan halal di sekolah-sekolah, dsb.

Terdapat banyak sekolah-sekolah Islam dibuka di sekitar Melbourne. Sekolah-sekolah ini dibuka oleh individu atau pertubuhan swasta. Sekolah-sekolah Islam ini menggunakan silibus VCE (Sijil Pendidikan Victoria), disamping memasukan subjek-subjek bahasa Arab, pengajian Al-Quran, pengajian Islam dan sebagainya di dalam kurikulum mereka.

Berikut ada sekolah-sekolah Islam yang terdapat di sekitar Melbourne:

1. Minaret College (Springvale) http://www.minaret.vic.edu.au/
Ia menawarkan kelas prep (tadika) hingga VCE (pra-universiti). Di sinilah anak-anak saya bersekolah. Semasa perhimpunan setiap pagi mereka dikehendaki membaca surah-surah tertentu seperti Al-Fatihah dan Al-Fajr. Pada waktu zohor mereka solat berjemaah di masjid yang ada di kawasan sekolah ini. Mereka juga mempelajari Sirah, Fiqh, bahasa Arab, pengajian Islam, Al-Quran dan subjek-subjek lain seperti Sejarah, Geografi, bahasa Inggeris, Matematik, komputer, dll. Pelajar perempuan diwajibkan memakai hijab.

Murid-murid Minaret College ketika melakukan ekskursi di luar kawasan sekolah


2. Werribbee Islamic College (Werribbee)
Ia menawarkan kelas prep (tadika) hingga VCE (pra-u). Sekolah ini letaknya di suburb barat Werribbee. Anak mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, belajar di sini. Mantan Timbalan Perdana Menteri kita ini selalu datang melawat anaknya dan memberi ceramah di sini. 

3. Darul Ulum College of Victoria (Fawkner) www.dulum.vic.edu.au
Darul Ulum letaknya di 17 Baird Street, Fawkner, Victoria. Sebagaimana Minaret College dan Werribee Islamic College, Darul Ulum juga mempunyai silibus yang sama. 

4. Ilim College of Australia (Dallas) www.ilimcollege.vic.edu.au
Ilim College terletak di suburb utara (Dallas). Sebagaimana sekolah yang tersenarai di atas tadi ia juga menawarkan prep hingga VCE. Sekolah ini letaknya di 30 Inverloch Crescent, Dallas.

Untuk lain-lain sekolah Islam yang terdapat di sekitar Melbourne sila klik sini atau sini

Bauchar Houli, hanya satu-satunya pemain AFL yang beragama Islam, menuntut disediakan musalla di stadium MCG


Isu ketiadaan musalla di tempat-tempat tumpuan ramai di Melbourne telah diperjuangkan oleh seorang pemain bola Australia (AFL), Bachar Houli. Beliau menuntut supaya musalla disediakan di MCG (Melbourne Cricket Ground) iaitu tempat perlawan bola atau footy diadakan. Untuk menuntut hak itu beliau solat di atas padang MCG sebelum dan selepas pertandingan footy di situ. Saya bangga dengan usaha yang dilakukan oleh beliau. Saya juga mempunyai masalah untuk solat ketika saya menonton footy di sini dahulu. Saya terpaksa solat di atas tangga di bahagian belakang tempat duduk penonton. Tetapi hari ini kalau saya ke MCG saya tidak bimbang, kerana musalla sudahpun disediakan. Lihatlah laporan berita tv tentang hal ini di sini

Hak-hak yang dituntut orang Islam dan perkembangan pesat Islam hari ini membimbangkan golongan agama lain sehingga ada laman sosial yang dibina menyatakan penentangan dan keraguan mereka. Mereka membuat kempen memulau Islam, seperti dalam pautan ini. Begitu juga dengan menteri yang tidak senang hati dengan perjuangan hak orang Islam di sini. Sekiranya anda ingin tahu dengan lebih lanjut sila klik di sini

Ahad, 22 April 2012

Melbourne: Tips Memilih Rumah Sewa

Kalau anda ingin tinggal lama di Melbourne samada untuk belajar, bekerja, menjalani latihan/kursus, menjalani cuti sabatikal, atau apa sahaja tujuan anda, anda mungkin menghadapi masalah untuk mencari rumah sewa. Tambahan pula anda pertama kali ke Melbourne.

Anda boleh menghubungi universiti atau organisasi anda di Melbourne untuk membuat tempahan bilik/rumah sewa sebelum anda sampai ke Melbourne. Anda perlu membayar duit pendahuluan atau duit bond kepada mereka terlebih dahulu untuk menjamin anda ada rumah. Cara ini baik kerana anda tidak bimbang tentang ketiadaan tempat tinggal. Namun disebakan anda melihat ia melalui internet atau melalui gambar-gambar dari jauh tanpa hadir melihat sendiri maka tempat ini mungkin tidak sama sebagaimana yang anda sangkakan. Kalau anda sudah tinggal di situ dan anda dapati ia tidak menyenangkan anda, anda terpaksa bersabar selama setahun kerana kebiasaannya perjanjian sewa rumah adalah setahun.

Saya cadangkan supaya tinggal dahulu di rumah sementara sebelum berpindah ke rumah yang benar-benar sesuai dengan anda. Anda boleh cari dalam enjin carian dengan menaip short term accommodation. Rumah begini biasanya memberi anda tinggal dalam seminggu hingga tiga bulan. Kebiasaannya universiti atau organisasi yang anda masuki itu ada menyediakan perkhidmatan ini. Apa yang perlu anda lakukan ialah menghubungi pihak International Affairs universiti/organisasi berkenaan.

Semasa saya mula-mula ke Melbourne dahulu, saya tidak kenal sesiapa, namun begitu saya menghubungi pihak International Office di Monash University dan bertanya tentang tempat tinggal sementara. Pihak International Office itu telah menyediakan saya tempat tinggal sementara sehinggalah saya mencari rumah sewa yang sesuai dengan saya. Bayarannya ialah AUD80.00 (RM240.00) sehari dengan rumah dua tingkat full furnished, 2 bilik, 1 bilik air, 1 ruang tamu, 1 dapur lengkap dengan meja makan, dapur dan oven, peti sejuk, toaster, pinggan mangkuk, periuk belanga, alat pencuci, mesin basuh, televisyen, telefon dan bilik stor. Walaupun saya boleh tinggal sehingga 3 bulan, namun saya tinggal di rumah ini 10 hari sahaja kerana saya sudah dapat rumah sewa yang sesuai.

Inilah short term accomodation kami pada mula-mula kami sampai di Melbourne.

Selain daripada itu anda juga boleh menginap di Dewan Malaysia sebagai transit anda sehinggalah anda mendapat rumah sewa yang sesuai untuk anda. Kebaikan tinggal di Dewan Malaysia ialah anda dapat berkenalan dengan siswa yang belajar di Melbourne dan dapat menyewa dengan harga yang amat murah. Sila klik laman web ini untuk membuat permohonan.

Di sini saya berikan tips mencari rumah sewa di Melbourne :

1.  Pilih Ejen Rumah Sewa (Real Estate) yang Sudah Kukuh


Pilihlah agen Real Estate yang sudah kukuh (establish) seperti Real Estate House, MacDonald Real EstateL.J. Hooker Real Estate, Ray White Real Estate, McLennan Real Estate dan Barry Plant. Real Estate begini lebih efisyen, menggunakan undang-undang perumahan dan tidak bimbang dianiaya. Dalam laman web Real Estate yang dipautkan tadi anda boleh mengetahui polisi menyewa, harganya, lokasinya, keadaan dalam rumah dan juga anda boleh lihat gambar rumah-rumah yang hendak disewakan.

Pejabat L.J Hooker, ejen rumah dan hartanah


2. Pilih Rumah Yang Lokasinya Berdekatan dengan Stesen Keretapi


Kalau tidak ada kenderaan, sewalah rumah yang berdekatan dengan stesen keretapi. Stesen keretapi ada di setiap pekan/suburb di luar Melbourne CBD. Stesen keretapi amat mudah dinaiki, jadual perjalanannya kerap dan tiketnya boleh digunakan untuk menaiki bas juga. Untuk mudah melihat rumah sewa  mengikut lokasi sila klik di sini.


Iklan di stesen keretapi di Melbourne


3. Pilih Kontrak Perjanjian Sewa Rumah untuk Setahun


Pilihlah rumah yang lease (kontrak) sewaannya setahun. Dengan memilih lease begini anda tidak perlu bimbang sekiranya disuruh keluar oleh tuan rumah. Ini disebabkan tuan rumah akan membayar gantirugi/membayar semula deposit kepada anda, sekiranya dia menyuruh anda keluar dalam tempoh lease itu. Biasanya dia memberi anda cukup tempoh untuk anda mendapatkan rumah baru, sekurang-kurangnya 3 bulan untuk mencari rumah lain. Sekiranya lease sudah hampir tamat anda boleh memperbaharuinya dan hendaklah memaklumkan ejen dalam masa 1 bulan. (Tetapi semak syarat ini mengikut agen. Setiap agen mempunyai syarat yang berbeza)

Sekiranya anda hendak keluar sebelum tempuh lease tamat, anda hendaklah mencari penyewa lain. Kalau anda keluar tanpa orang lain menggantikan anda, anda perlu membayar sewanya walaupun anda tidak tinggal lagi di situ. Selagi tiada penyewa baru, selagi itu anda perlu membayar sewanya. Deposit sebulan sewa pun hangus! Kemudian anda dikenakan denda untuk membayar kos iklan. Untuk maklumat lanjut sila klik sini untuk mengetahui syarat-syarat menyewa yang sering diamalkan. (Sila semak syarat-syarat ini untuk ejen yang berlainan. Setiap ejen mempunyai syarat yang berbeza).

4. Pilih Rumah yang Guna Sumber Tenaga Gas


Pilihlah rumah yang menggunakan gas untuk dapur dan heater. Ini menjimatkan kos bayar bil bulanan, terutama sekali pada musim sejuk. Pada musim sejuk heater lebih lama digunakan dan kadar bayaran bil elektrik pada musim sejuk lebih mahal. Bil elektrik pada musim sejuk boleh mencecah RM1,000.00 sebulan!

5. Apartment


Kalau universiti/organisasi anda terletak di tengah-tengah kota Melbourne, pilihlah apartment. Tidak perlu beli kereta. Jalan kaki atau guna basikal. Kotaraya Melbourne menggalakkan komunitinya menggunakan basikal. Tempat letak basikal disediakan di merata-rata tempat. Basikal juga boleh dibawa naik keretapi. Saya selalu buat begini, bawa basikal naik keretapi. Lorong-lorong basikal juga disediakan. Penunggang basikal diwajibkan memakai topi keledar. Lampu hendaklah dipasang ketika hari gelap.

Jalan kakipun senang, kerana boleh ambil tram City Circle yang percuma itu untuk ke universiti yang terletak di tengah-tengah kota raya Melbourne. Antara universiti yang terletak di tengah-tengah kota Melbourne ialah RMIT dan Melbourne University.

Sekiranya tinggal di apartment, parking lot diberi kepada setiap penghuni. Sekiranya tidak menggunakan kereta, maka parking lot itu disewakan kepada orang. Duit yang dapat, boleh bayar sewa rumah.


6. Kenali Jenis House atau Unit atau Granny Flat


Istilah rumah yang digunakan di Melbourne berbeza dengan istilah yang kita gunakan di Malaysia. Kebiasaannya di dalam iklan anda akan menemui istilah demikian. Jadi anda hendaklah mengetahui maknanya.

House bermaksud rumah sebuah yang didirikan di atas tanah lot yang biasanya mempunyai halaman depan dan belakang serta mempunyai garaj.

House ini terdapat di kawasan perumahan saya


Unit bermaksud rumah yang berkembar dua. Ia dibina di atas tanah lot yang sama dan berkembar dengan rumah lain. Biasanya ia mempunyai halaman belakang dan depan masing-masing. Biasanya berpagar.
Contoh Unit (Dual Unit)

Granny Flat pula ialah rumah kecil yang dibina di bahagian belakang rumah utama (rumah sebuah) atau dibina berasingan dalam satu tanah lot rumah. Ia biasanya dibina untuk warga emas yang sudah bersara.
Contoh Granny Flat

Sebuah unit


7. Tengoklah Rumah Dahulu Sebelum Masuk


Anda mestilah tengok dahulu rumah yang hendak disewa sebelum masuk. Ini adalah syarat kemasukan. Tidak boleh tengok dalam internet/gambar sahaja. Tanpa melihat sendiri anda tidak dibenarkan menandatangai perjanjian sewa rumah.

8. Ketahuilah Syarat-syarat Menyewa Buat Pertama Kali


Anda hendaklah mengetahui syarat-syarat menyewa buat pertama kali dan dokumen yang perlu dilampirkan ketika memohon, antaranya ialah:

  • pengesahan pekerjaan
  • pengesahan pendapatan
  • rujukan majikan atau rakan sekerja  
  • rujukan dari jiran/guru/ahli perniagaan/doktor/akauntan
  • foto pengenalan - lesen memandu/pasport/kad pengenalan pelajar (student ID)
  • 3 rujukan peribadi - yang ini bukan dari saudara mara
  • bil gas/elektrik/telefon lepas
     
Proses kelulusan menyewa memakan masa 3-4 hari. Sekiranya rekod anda baik, cepatlah kelulusannya. Jadi anda harus menjadi penyewa yang baik dan tidak pernah menimbulkan masalah kepada tuan rumah yang lepas. Rekod anda yang baik akan dijadikan rujukan untuk menyewa rumah lain.

Setelah permohonan diluluskan, anda perlu menandatangai perjanjian sewa rumah. Perjanjian ini termaktub di dalam undang-undang dan secara rasminya perjanjian ini difailkan di pejabat peguam.




9. Ketahuilah Kaedah Bayaran Sewa


Kebiasaannya anda perlu bayar:

 i) Bond (Security Deposit)

Bond biasanya sama jumlahnya dengan sewa rumah untuk sebulan. Bond ini disimpan oleh Residential Tenancies Bond Authority iaitu penguatkuasa undang-undang sewa rumah di Victoria, Australia.

Bond ini akan dipulangkan semasa anda keluar/mengosongkan rumah nanti dengan syarat tiada sebarang kerosakan pada rumah, rumah berkeadaan baik dan bersih sebagaimana mula-mula masuk, karpet distimkan dan anda telah tinggal penuh dalam tempoh perjanjian (lease).

 ii) Duit sewa sebulan


Wang sewaan sebulan mesti dibayar sebelum pindah masuk. Ini bermakna anda bayar dahulu baru kunci rumah diberikan. Jadi bayaran sewa dibayar pada hari pertama (1 haribulan)  setiap bulan. Bayarlah sewa berterusan sehingga tamat lease. Kalau lewat bayar sewa 14 hari atau lebih ejen akan menghantar surat untuk anda mengosongkan rumah itu.


Untuk pengetahuan anda sewa rumah dibayar secara mingguan. Jadi kalau anda melihatkan iklan "house for rent - $500," ini bermakna anda perlu sediakan $2,000 sebulan. Tetapi anda boleh memohon kebenaran untuk membayarnya secara bulanan. Anda boleh memilih cara membayar sewa secara online, Electronic Transfer Fund, tunai di kaunter atau debit. Kad kredit tidak diterima.



10. Semak Keadaan Rumah Semasa Masuk Rumah Sewa Pertama Kali


Semasa anda masuk rumah sewa buat pertama kalinya pastikan segala kemudahan disediakan dan rumah berada dalam keadaan bersih dan baik. Catatkan dan "tick"  keadaan rumah itu dalam borang condition report yang diberikan.

Sekiranya anda tidak berkenan dengan keadaan dalam rumah itu, misalnya ada keretakan pada dinding/siling, dinding kotor, pintu ketat, kapet koyak/ada kesan rokok, soket elektrik tercabut atau hampir jatuh, dsb, laporkan dalam borang itu.

Ambillah gambar di setiap sudut rumah sewa ini dengan tarikh gambar itu dirakam terdapat pada gambar itu. Simpan gambar itu sebagai bukti. Ia amat berguna ketika anda keluar rumah dan tidak mahu menyewa di situ lagi. Kerana ketika keluar, rumah itu akan diperiksa, dan sekiranya tidak berada dalam keadaan baik sebagaimana mula-mula masuk dahulu penyewa perlu menanggung sebarang kerosakan yang dibuatnya. Deposit masuk akan ditolak dan kalau kosnya melebihi daripada duit deposit, maka penyewa perlu membayar lebih. Sekiranya penyewa tidak membayarnya, penyewa dikenakan tindakan undang-undang dan perlu hadir di mahkamah.

Semak setiap sudut/bahagian rumah ketika mula-mula berpindah masuk dan catatkan dalam borang


11. Ketahui Hak Anda Semasa Menyewa dan dalam Tempoh Perjanjian


Semasa anda menyewa dan berada dalam tempoh perjanjian (lease) anda boleh membuat aduan kepada ejen real estate anda sekiranya ada kerosakan pada rumah. Misalnya lampu terbakar, heater tidak berfungsi, pintu rosak, air panas tidak panas, paip air bocor, sinki tersumbat, flush tandas rosak, dsb. Anda perlu isi borang di pejabat ejen. Mereka akan hantar orang untuk memperbaikinya. Kos pembaikan tidak ditanggung oleh anda tetapi ejen real estate.

Anda juga tidak boleh sublet rumah sewa atau sewa bilik anda kepada orang lain.

Semasa dalam tempoh perjanjian ejen real estate anda akan datang membuat pemeriksaan rumah setiap 3 bulan sekali. Anda akan diberi surat dan diminta berada di rumah ketika pemeriksaan itu dijalankan. Sekiranya anda tidak ada di rumah, mereka akan masuk dengan menggunakan kunci yang ada pada mereka. Ketika mereka memeriksa rumah sewa anda itu, anda boleh membuat aduan kepada mereka sekiranya ada yang anda tidak berkenan. 

Anda juga boleh membuat sebarang aduan kepada persatuan pengguna sekiranya anda tidak puas hati atau rasa teraniaya. Berikut adalah butir-butir untuk dihubungi:

Consumer Affairs Victoria
Level 2
452 Flinders Street
Melbourne Victoria 3000
Tel 1300 55 81 81 (local call charge)
Fax (03) 9627 6007
Email consumer@justice.vic.gov.au
Website www.consumer.vic.gov.au

12. Pastikan Rumah Berkeadaan Baik Ketika Keluar Rumah Sewa


Semasa tamat kontrak sewaan dan anda hendak keluar rumah, pastikan beri notis 28 hari. Bersihkan rumah sebagaimana mula-mula masuk. Pastikan dinding rumah bersih terutama sekali bahagian dapur. Untuk mudah, catkan dinding rumah mengikut warna asal. Dapur dan oven hendaklah bersih berkilat.

Stimkan karpet. Untuk stimkan karpet boleh guna perkhidmatan yang disediakan oleh agen real estate. Tetapi ia agak mahal. Untuk lebih jimat buatlah sendiri. Caranya pergi sewa steam vacuum cleaner yang perkhidmatannya disediakan oleh pasaraya Coles dan stimkan sendiri. Kerjanya mudah. Budak-budakpun boleh buat. Resit menyewa steam vacuum cleaner itu diserahkan kepada agen Real Estate sebagai bukti karpet sudah distimkan.

Sekiranya rumah sewa itu didapati tidak bersih atau rosak, duit deposit tidak dipulangkan, malahan kita mungkin dikenakan denda dan menanggung kos pembaikan.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui dengan lebih terperinci lagi peraturan menyewa sila klik di sini.

Setakat ini sahaja dari Naramas Aman untuk rakan Nota Kembara. Diharapkan kalian dapat memanfaatkan tips ini.  "G'day Mate"

Isnin, 16 April 2012

Melbourne: Tips Memilih Hotel


Bagi yang pertama kali datang ke Melbourne tentu sekali amat sukar untuk memilih hotel atau tempat penginapan. Di sini saya berikan sedikit panduan untuk memudahkan anda.


Lokasi di Pusat Bandar Melbourne (CBD)

 

Bangunan dan skulptur di sekitar CBD


Kalau anda mempunyai masa yang singkat di Melbourne, pilihlah hotel yang lokasinya di pusat bandar (CBD). Walaupun harganya lebih mahal, anda  tidak perlu menghabiskan banyak masa menaiki kenderaan. Oleh kerana tarikan utama pelancongan ialah di kotaraya maka anda tidak perlu menyewa terlalu jauh. Cukup sahaja menyewa bilik di sekitar stesen keretapi utama misalnya berdekatan dengan Flinders Street, Parliament, Spencer Street dan Melbourne Central. Tambahan pula anda boleh mengelilingi kotaraya Melbourne dan melawat tempat-tempat menarik itu hanya menaiki Tram City Circle  dan tram ini adalah PERCUMA.

Terdapat  banyak hotel daripada hotel bajet hinggalah kepada hotel 5 bintang di kotaraya. Pilihlah mengikut kemampuan anda. Untuk memudahkan anda, cuba lihat laman web: Hotel berdekatan stesen keretapi utama di kotaraya Melbourne.

Lokasi di Luar Pusat Bandar Melbourne (Luar CBD)

Tetapi sekiranya anda mempunyai banyak masa dan anda hanya ingin pergi ke tempat-tempat tertentu sahaja atau melihat kawasan di luar kotaraya, anda bolehlah memilih hotel yang terletak berjauhan. Walau bagaimanapun sekiranya anda hanya bergantung kepada kenderaan awam seperti keretapi atau bas maka eloklah  menginap di hotel yang berdekatan dengan stesen keretapi di suburb luar CBD. Ini disebabkan keretapi amat banyak beroperasi. 

Kebanyakan hotel di luar Melbourne CBD letaknya berjauhan dengan stesen keretapi. Namun begitu anda masih boleh juga memilihnya kerana terdapat perkhidmatan bas. Cuma masalahnya, perkhidmatan bas amat sedikit pada hari Ahad, malahan ada kawasan yang bas tidak beroperasi langsung pada hari Ahad. Pada hari cuti umum juga, bas tidak beroperasi. Untuk mengetahui jadual perjalanan bas/pengangkutan awam sila klik di sini.

 

Memandu di Pusat Bandar Melbourne (CBD)


Kalau anda ingin menyewa kereta, maka lokasi yang berjauhan ini tidaklah menjadi masalah. Untuk memudahkan anda mencari jalan atau tempat yang dituju anda mestilah membeli buku peta yang dipanggil Melway. Rujukan Melway sentiasa dijadikan panduan lokasi dan ia adalah tepat.

Sekiranya anda memandu di kotaraya Melbourne, anda haruslah berhati-hati kerana anda berkongsi lorong jalan dengan tram. Tram mempunyai  lebih hak/kuasa menggunakan jalanraya berbanding dengan kenderaan lain. Tram ialah "Raja" di Melbourne CBD. Pastikan anda tidak memotong tram apabila ia berhenti. Berhentilah di belakang tram apabila tram itu berhenti. Ini disebabkan ramai penumpang turn naik tram. Setelah pintu tram ditutup dan tiada lagi penumpang di atas jalan, maka anda boleh memotong tram dari sebelah KIRI tanpa melebihi had kelajuan 10km/jam.

Saya tidak pernah memandu di kotaraya Melbourne walaupun saya tinggal lama di sana. Saya cuma memandu di luar kotaraya Melbourne. Ini disebabkan saya keliru dengan sistem jalan di CBD terutama apabila ada tram lalu. Kawan saya pernah terlibat dengan kemalangan dengan tram, kerana keliru dengan jalannya. Tram datang dengan tiba-tiba dari hadapan dan terus melanggarnya.

Cara memandu di kotaraya Melbourne ini sedikit berbeza. Berhati-hatilah dengan hook turn di CBD yang hanya dipraktikkan oleh pemandu di Melbourne CBD. Ini ialah cara membelok ke kanan supaya trafik dapat berjalan lancar. Ia dipraktikkan bagi memastikan tram mempunyai ruang yang lapang di tengah-tengah simpang (intersection). Kita boleh lihat papan tanda hook turn - RIGHT TURN FROM LEFT ONLY - di CBD. Semasa melakukan hook turn ini pemandu menunggu di kiri jalan, dengan right indicator dinyalakan untuk menunjukkan bahawa pemandu hendak membelok ke kanan. Kemudian apabila lampu isyarat bertukar hijau, pemandu pergi ke hadapan jalan, tetapi masih di sebelah kiri jalan dan berhenti menunggu di intersection. Apabila lampu isyarat bertukar menjadi merah, dan jalan di bahagian kanan adalah lapang dari sebarang lalulintas yang mendatang, pemandu boleh membelok ke kanan. Kemudian terus bergerak tegak.

Untuk mengetahui kaedah hook turn ini dengan lebih jelas sila klik di sini.

Sekiranya anda berminat untuk melihat cara hook turn ini dalam bentuk video sila klik di sini.

Di Melbourne juga kalau lampu isyaratnya merah, kita tidak perlu berhenti, dengan syarat tiada kenderaan lalu dari arah kanan. Kita masih boleh lalu tanpa melanggar undang-undang jalanraya. Saya pernah berhenti di lampu merah apabila mahu belok ke kanan, tetapi dimarahi oleh pemandu lain. Habis semua kereta belakang saya hon pada saya dan menunjukkan isyarat tangan supaya pergi. (Mungkin mereka kata saya, "Stupid woman driver!"). Jadi barulah saya faham, bahawa apabila tiada kenderaan lalu, kita boleh lalu walaupun lampu merah.

Begitu juga kalau hendak membelok ke kiri dan lampunya merah, kita tidak perlu berhenti kalau tiada kenderaan lalu di hadapan. Terus sahaja jalan.

Kita juga perlulah berhati-hati apabila lampu hijau, jangan terus pergi dengan laju tanpa melihat orang melintas jalan di hadapan kita. Ini disebabkan walaupun lampu hijau di bahagian kita, di bahagian pejalan kaki, lampunya juga hijau. Jadi haruslah sentiasa hati-hati supaya tidak terlanggar orang berjalan kaki yang sedang melintas.

Berbalik semula kepada pilihan hotel tadi. Di sini saya cadangakan beberapa hotel atau tempat penginapan bagi mereka yang  berbajet sederhana atau rendah.

 

a) Backpackers Hostel 

Backpackers hostel banyak terdapat di pusat bandar (CBD) seperti di Collin Street, Flinders Street, La Trobe Street, Lonsdale Street, Bourke Street, Queen Street, Swanston Street, Russel Street, Elizabeth Street, Exhibition Street dan William Street. Untuk mengetahui jalan-jalan di pusat bandar sila lihat Peta Kotaraya Melbourne atau Peta Melbourne CBD dalam pdf
Stesen Flinders Street
Berikut adalah backpackers hostel yang terdapat di sekitar CBD dan berdekatan CBD:

Backpackers Hostel 1

Backpackers Hostel 2

Backpackers Hostel 3

Selain backpackers hostel di pusat bandar, ada juga yang letaknya di pinggir pusat bandar iaitu di St Kilda dan Chapel Street (Prahran). St Kilda dan Chapel Street (Prahran) tidaklah jauh dari kotaraya Melbourne. Anda boleh menaiki Yarra Tram untuk satu zon. Boleh sampai dalam 15 minit. Tambahan pula St Kilda adalah lokasi tepi pantai yang menarik. Luna Park juga terdapat di situ.

Chapel Street (Prahran) pula adalah tempat yang sesuai untuk membeli-belah. Agak 'happening" dan "funky" sebab ada banyak bar/club.

Backpackers hostel biasanya mempunyai bilik-bilik untuk berkongsi bersama-sama dengan backpackers yang lain. Kalau anda perempuan, mintalah untuk berkongsi dengan perempuan. Selain daripada itu, kebanyakan hostel ini menyediakan dapur untuk kita memasak, internet, laundry, locker dan kemudahan lainnya. Bacalah testimoni yang terdapat dalam laman web berkenaan kerana ia berguna utuk mendapatkan pandangan daripada backpakers yang pernah menginap di situ. Kita juga perlu mengetahui samada hostel itu ada pepejat di tilam/katil, karpet berbau, bising, kotor atau layanan buruk di kaunter dan sebagainya. Untuk mengetahui backpackers hotel di St Kilda sila klik di sini


b) Dewan Malaysia (Malaysia Hall)

Selain daripada itu anda boleh juga menginap di Dewan Malaysia (Malaysia Hall). Dewan Malaysia amatlah murah. PALING MURAH berbanding dengan hotel bajet yang ada di sini. Namun begitu anda hendaklah membuat tempahan secara online dengan mengisi borang dan menghantarkannya dalam 2 minggu sebelum menginap. Anda akan dapat bilik sekiranya ada kekosongan. Namun hanya warganegara Malaysia sahaja yang layak menginap di sini. Jadi kepada orang Singapura atau Brunei, mohon maaflah. Dah dasarnya begitu.


Dewan Malaysia terletak di luar CBD, namun ia tidaklah jauh, hanya satu zon sahaja. Ia letaknya di Windsor dan berdekatan dengan Prahran iaitu tempat membeli-belah eksklusif. Untuk membuat permohonan menginap di Dewan Malaysia bacalah laman web ini.

Harga

Dari segi harga kebanyakan hotel di pusat bandar Melbourne mengenakan bayaran sewa dalam kadar AUD210.00 (RM630.00) hingga AUD500.00 (RM1,500.00) sehari. Kalau hendak bayar lebih rendah daripada ini, maka backpakers hostel yang berkongsi bilik dengan orang lain bolehlah dipilih. Kadarnya di antara AUD25.00 (RM75.00) hingga AUD 40.00 (RM120.00) sehari.

Hotel yang berkadar lebih rendah iaitu dibawah AUD200.00 (RM600.00) biasanya terletak di luar kotaraya Melbourne. Misalnya di Oakleigh, Calyton, Dandenong dan Noble Park. Ianya dipanggil Motor Home atau Inn atau Motel. Untuk melihat contoh Motel yang berkadar AUD99.00 (RM297.00) sehari, yang letaknya di Oakleigh, sila lihat di sini. Boleh juga lihat: Hotel di luar CBD/di kawasan Dandenong.

 

Ejen Tempahan Hotel Secara Online


Banyak ejen tempahan hotel secara online boleh dipilih. Antaranya ialah booking.com. Saya  pernah menempah hotel menggunakan booking.com, tetapi bukannya untuk tempahan hotel di Melbourne, tetapi untuk tempahan hotel di Cyprus dan Dubai. Setakat ini saya tidak mengalami masalah dengan perkhidmatan mereka.

Itulah tempat penginapan atau hotel yang boleh saya cadangkan. Saya sendiri tidak menginap di tempat berkenaan ketika di Melbourne. Saya tidak perlu menyewa hotel kerana apabila ke Melbourne saya menginap di rumah anak saya yang bersekolah di sana atau menyewa bilik kenalan saya orang Melayu Singapura/Indonesia/Malaysia yang telah menjadi residen tetap Australia.

Ini rumah kawanku Kak Fatimah di Wheelers Hill

Gambar di atas ini ialah rumah kawan sayaKak Fatimah (dalam entri lalu ada saya ceritakan mengenai beliau yang pergi ke Great Ocean Road bersama saya). Saya biasa duduk menumpang 2 bulan di rumah ini. Tengoklah rumah besar ini tiada berpagar. Pintu masuk depanpun tak pernah dikunci. Seriously! Yang di bawah sekali itu ialah garaj. Garaj ini tak pernah dikunci. Betul! Barang-barang peribadi saya berkotak-kotak dalam garaj ini. Tapi tiada siapa yang usik. Saya kagum dengan cara orang di sini, kecurian tidak berlaku. Kadang-kadang saya kesal dengan sikap orang kita di Malaysia, rumah kita sampai tak cukup besi nak pasang. Dah tu pulak grill yang ada di tingkap habis dikorek keluar oleh 'kaki fit.'


Setakat ini sahaja dari Naramas Aman untuk rakan Nota Kembara. Saya harap kalian dapat memanfaatkan tips ini. Pada entri yang akan datang saya akan beri tips kepada yang ingin mencari dan menyewa rumah untuk jangkamasa panjang di Melbourne. Sekian.  Saya akhiri dengan ucapan gaya Aussie, "G'day Mate!"


Sabtu, 14 April 2012

Merantau Solo ke China: Persiapan Sebelum Berangkat, Pohon Visa

Rakan-rakan kembaraku,
Lagi 3 minggu saya akan berangkat untuk merantau ke Republik Rakyat China. InsyaAllah. Saya akan berada di China selama 9 bulan untuk menjalani cuti sabatikal di Universiti Komunikasi China (Communication University of China) di Beijing.

Banyak perkara yang saya lakukan untuk persediaan ke Beijing. Antaranya ialah memohon insuran kesihatan, membuat surat perjanjian, mematikan stem, memperbaharui pasport dan memohon visa.

Queen Victoria  Memorial Clocktower ini saya ambil dari hadapan Pejabat Imigresen, Beach Street, Pulau Pinang menggunakan telefon bimbit aku yang murah.

Perbaharui Pasport di Imigresen Pulau Pinang

 

Sebenarnya pasportku lambat lagi tamat tempuh sahlakunya:10 bulan lagi. Tetapi saya bimbang berlaku masalah memperbaharuinya semasa di China. Lagipun untuk penerbangan antarabangsa, sahlaku pasport mestilah sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum tamat. Setelah berbincang dengan pegawai Imigresen di Pulau Pinang, beliau menasihatkan saya memperbaharuinya sebelum ke China kerana bimbang berlaku kelewatan dan akan menyusahkan saya di China. Yang perlu saya lakukan hanyalah menulis surat kepada Ketua Pengarah Imigresen Pulau Pinang.

Bangunan di sebelah kanan berwarna merah jambu itu ialah Pejabat Imigresen Pulau Pinang. Beach Street adalah jalan bersejarah. Ia telah dibina pada tahun 1786 - 1787.

Pasembur Mamak Kareem Union Street


Ketika saya menanti pasportku siap di Pejabat Imigresen di Pulau Pinang, saya pergi makan pasembur. Di sini saya ingin rekemen kepada anda pasembur yang sedap. Letaknya di Lebuh Union (Union Street) tidak jauh dari Pejabat Imigresen di Lebuh Pantai (Beach Street). PERGGHHH memang TERBAIK pasembur tu! Nalla rerkek! Gerai tepi jalan je. Sempoi habis! Dahlah tu persekitarannya cantik dengan bangunan-bangunan bersenibina zaman penjajah British. Kawasan ini mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai tapak Warisan Dunia. Pelancong mat sallehpun bukan main ramai di kawasan ini. Rasa banggapun ada tengok mereka tangkap gambar tempat kita ni tak henti-henti. Saya pun sama, tangkap gambar. Berikut adalah gambar pasembur sedap itu yang sempat saya ambil menggunakan telefon bimbit saya yang murah.

Ini ialah bangunan Standarad Charted di  Lebuh Union. Di belakang bank inilah gerai menjual pasembur yang sedap itu. Nun di hujung kanan sana.
Inilah pasembur (pasembuq), makanan terkenal di Pulau Pinang. Ia dimasak oleh Mamak Kareem. Yumm!
Tidak sah pasembuq tanpa cucuq udang, tauge, sengkuang, timun, telur rebus, tahu dan kuah keledek.
Di sebelah Union Street ialah Beach Street. Itu ialah Majlis Jabatan Agama Islam Pulau Pinang. Cantik kan? Ia adalah pejabat kerajaan British yang telah dibina pada tahun 1907.
 Beach Street adalah Tapak Warisan Dunia yang diiktirafkan oleh UNESCO

Mohon Visa ke China di Kedutaan China Jalan Ampang 

 

Setelah pasport diperbaharui saya pun memohon visa. Pada Selasa lepas saya pun ke Kedutaan China di Jalan Ampang Kuala Lumpur. Saya memohon Visa F sebagai Visiting Scholar di Communication Univesity of China. Lesaplah duit saya RM400.00 untuk memperolehi visa itu. Saya hantar permohonan itu pada pukul 9.30 pagi. Bersama-sama permohonan itu saya lampirkan surat affidavit of support dari USM dan surat jemputan dari Universiti Komunikasi China. Saya amat kagum dengan kecekapan dan layanan orang di Kedutaan China bekerja. "I'm impressed!"

Tempat permohonan visa ke China

Semasa menunggu visa saya diluluskan, saya lepak-lepak di KLCC. Ramainya pelancong mat salleh. Merekapun tak henti-henti posing ambil gambar. Lagi sekali hati saya kembang melihat gelagat mereka!

Kedutaan China di Plaza OSK, Jalan Ampang, berhadapan dengan KLCC

Setelah makan tengahhari di KLCC saya kembali semula ke Kedutaan China berjalan kaki. Di sini ingin saya kongsi lagi kegembiraan saya. Visa saya untuk ke Republik Rakyat China telah diluluskan oleh pihak Kedutaan China di Kuala Lumpur dalam masa 4 setengah jam! Saya diberi visa yang sah sehingga 2014. Alhamdulillah saya sangat gembira memperolehi visa itu.

Kerajaan China membenarkan saya masuk dan tinggal di China selama 180 hari (6 bulan) terlebih dahulu. Untuk menyambung tempuhnya lagi 90 hari saya harus ke Hong Kong. Dengan keluar ke Hong Kong tempoh saya tinggal di China dapat dilanjutkan. InsyaAllah setelah beberapa bulan di Beijing nanti saya akan ke Hong Kong untuk tujuan lanjutan itu. 

Sekarang yang perlu saya lakukan ialah menempah tiket kapalterbang ke Beijing. Erni, pegawai kerani di pejabat saya akan menguruskan tempahan tiket itu. Saya akan menaiki MAS, insyaAllah. Erni beritahu saya bahawa saya boleh dapat balik RM400.00 yang saya beri pada Kedutaan China masa buat visa tempoh hari. USM bayar balik. Alhamdulillah. Nasib baik saya masih simpan resitnya.

Seterusnya mencari rumah atau bilik sewa selama 9 bulan di China. Ingat tak pada entri yang lalu saya ada menyebut tentang Jingling yang baik hati itu? Dialah kenalan saya, orang Beijing yang pandai menulis dan bercakap bahasa Melayu. Saya telah diperkenalkan kepada Jingling oleh Profesor Awang Sariyan yang sekarang ini menjadi Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Jingling adalah anak murid Profesor Awang semasa beliau mengajar di sana. Jinglinglah yang selalu membantu saya dalam urusan saya di Beijing. 

Kali ini Jingling menghulurkan bantuan untuk mencarikan rumah sewa untuk saya. Walaupun saya boleh menempah hotel melalui online, namun pertolongan yang dihulurkan oleh Jingling jauh lebih baik dan saya amat menghargai pertolongannya itu. Untuk pengetahuan anda, rumah sewa di Beijing amat MAHAL, lebih mahal daripada Penang atau Kuala Lumpur! Dalam anggaran RM2,000 hingga RM3,000 sebulan bagi rumah satu bilik! Saya minta Jingling carikan rumah yang lebih murah daripada ini dan beliau sedang usahakan.

Saya juga telah menghubungi Puan Fatimah iaitu pegawai yang bekerja di Kedutaan Malaysia di Beijing. Alamatnya diberikan oleh kawan saya Sayang dan Kak Gi yang bekerja di Kedutaan Malaysia di Sweden. Saya maklumkan bahawa saya akan ke sana dan berharap dapat berkenalan dan bertemu dengannya di Beijing.

Saya akan ke Beijing bersendirian, tanpa keluarga bersama. Ini disebabkan oleh masing-masing mempunyai komitmen lain seperti bekerja dan belajar. Anak-anak saya semuanya sudah masuk universiti. Mereka akan melawat saya ketika cuti semester universiti. Adik-beradik saya dan kawan-kawan saya juga amat teruja untuk ke Beijing semasa saya di sana. Segala borang dan brosur untuk memohon visa melawat saya di China juga telah saya sediakan untuk mereka.

Saya harap kalian mendoakan semoga segala urusan saya ke China dipermudahkan Allah.

InsyaAllah akan saya kemaskinikan kisah rantauan dan kembara saya di China.

Ikutlah saya merantau dan mengembara solo di China, ya!  Tzao Jien!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...