Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Khamis, 31 Mei 2012

Kembara Solo di China: Profesor Buta Huruf (Bhg 3/3: Menjalin Hubungan)

Sebelum saya berangkat ke China ramai yang memberi pandangan. Ada yang negatif. Ada yang positif. Mana satu yang harus saya percayai? Saya mengambil sikap - Lihat sendiri. Alami sendiri.

Setiap manusia punya nota yang berbeza untuk dicatatkan dalam dairi kembaranya. "Jomlah ushar"  nota kembara saya yang menarik yang telah saya  alami  pada minggu pertama, kedua dan ketiga di negara Tembok Besar ini.


Hari ke-5: Menerima Undangan Makan Malam bersama Menteri



Hari ini saya menerima undangan makan malam daripada Puan Fatimah yang bekerja di Kedutaan Malaysia Beijing. Saya belum pernah bersua dengan Puan Fatimah. Cuma saya berhubung dengannya melalui emel dan telefon sahaja. Saya memperolehi contact Puan Fatimah melalui Sayang dan Kak Gi yang sekarang ini bertugas di Kedutaan Malaysia di Sweden. Ingat tak Sayang dan Kak Gi? Mereka adalah sahabat lama saya. Merekalah yang membawa saya mengembara dan berhari raya korban di Vietnam tahun lepas. Kalau lupa lihat pautannya di sini.

Saya terima undangan Makan Malam di Kedutaan Malaysia di Beijing itu kerana saya tidak ada sebarang acara pada hari itu. Puan Fatimah beritahu saya supaya saya naik teksi sahaja. Senang. Dia lalu menyuruh jurucakap Kedutaan Malaysia, menulis alamat Kedutaan dalam tulisan Cina dan menghantarkannya ke dalam telefon bimbit saya. Tetapi saya hendak naik keretapi subway, sebab saya nak belajar cara naik subway. Sampai bila nak naik teksi, bukan?

Saya tanyakan kepada Jingling cara untuk ke Kedutaan Malaysia itu dengan subway. Mengetahui saya akan ke Kedutaan Malaysia secara bersendirian, Jingling susah hati. Jingling menyuruh pelajarnya Mawar untuk menemani saya ke Kedutaan. Saya memohon kebenaran Puan Fatimah untuk membawa Mawar bersama ke majlis rasmi itu.

Setelah memakai pakaian rasmi, saya dan Mawarpun pergi menaiki subway. Saya rasa pakaian rasmi saya itu nampak pelik dari kaca mata orang China. Sebab saya perasan mereka pandang-pandang saya ketika saya menaiki subway. Tapi pada orang Malaysia, pakaian saya itu biasa aje. Alah busana muslimah ke pejabat.

Itulah pertama kali saya naik subway di China. Mawar yang bawakan.

Pertama kali menaiki subway di Beijing dalam perjalanan menuju ke Kedutaan Malaysia di Beijing

Bangunan di persekitaran Kedutaan di Beijing

Kedutaan Malaysia di Daerah Chaoyang, Beijing. Kedutaan ini letaknya satu daerah dengan rumah saya.


Sampai di Kedutaan saya dan Mawar disambut dengan baik oleh Puan Fatimah. Saya tidak perlu menunjukkan pasport saya pada pengawal untuk masuk kerana Puan Fatmah yang menjemput saya. Saya berbual seketika dengan Puan Fatimah. Oleh kerana dia yang menguruskan majlis Makan Malam itu, dia sangat sibuk. Saya amat memahaminya. Saya biarkan dia melaksanakan tanggungjawabnya. Dia kemudian menyuruh saya mengambil tempat duduk di sebelah meja VIP.

Di malam itu saya tidak menyangka akan bertemu dengan ramai siswa Melayu. Mereka belajar di Universiti Beiyu dan Beiwai, Beijing. Semua mereka belajar bahasa China. Mereka ditaja oleh KPM dan MARA.

Majlis Makan Malam dengan Menteri Dalam Negeri dan pelajar-pelajar Malaysia di Beijing

Malam itu saya dapat ramai kawan. Tidakklah saya kesunyian. Mawar juga dapat ramai kawan. Mawar mendapat perhatian ramai orang kerana dia orang China yang fasih berbahasa Melayu. Manakala pelajar-pelajar Melayu pula sedang belajar bahasa Cina. Memang ada kerasian. Kebanyakan mereka menyuruh saya mengambil Mawar sebagai anak angkat. Bagus juga cadangan mereka itu, kan?

Majlis makan malam itu dihoskan dan dihadiri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato' Lee Chee Leong. Kami dapat makan sedap-sedap: satay, mee, nasi, udang, ayam dan macam-macam lagi. Dato' Lee seorang yang peramah. Selepas beliau makan di meja VIP, beliau datang duduk berbual dengan kami. Kamipun mengambil gambar bersama-samanya.



Dato' Lee Chee Leong (duduk di tengah)

Gadis yang berbaju biru itulah Mawar. Mawar bergambar dengan Dato' Lee Chee Leong (gambar sebelah kiri). Mawar pelajar bahasa Melayu bergambar dengan Ros pelajar  bahasa China (gambar sebelah kanan).


Hari ke-7 & 8: Menjalin hubungan yang erat dengan rakan-rakan  China Islam di Beijing


Tiga orang sahabat Muslim saya di China. Arafat (bertudung hitam) adalah keturunan Uyghur, Sofea (berkaca mata) adalah keturunan Hui Hui dan Zulfia (berbaju merah jambu) adalah berketurunan Uyghur.


Hari-hari berikutnya saya menjalin hubungan erat dengan rakan-rakan China yang seagama dengan saya seperti Mahmud dan Arafat. Pertemuan kami ialah di restoren halal di CUC. Dari situ saya mengenali lebih ramai orang Islam. Saya juga menerima pertolongan dari mereka. Ada yang menawarkan pertolongan untuk mencari basikal second hand untuk saya.

Tea seed, serbuk pencuci dari tumbuh-tumbuhan ini boleh digunakan untuk membasuh pinggan mangkuk dan rambut. Ia dihadiahkan oleh Arafat kepadaku.


Arafat memberi saya hadiah dan membantu saya membeli barang-barang dan makanan halal berdekatan dengan CUC. Saya amat bersyukur kerana Allah mempertemukan saya dengan mereka.

"Pertemuan kita ini telah diatur oleh Allah," kata Arafat.

Kata-kata yang sama telah diucapkan Mahmud padaku minggu lepas. Alhamdulillah.

Mahmud adalah lelaki Islam pertama yang saya kenali di China dan Arafat adalah wanita Islam pertama yang saya kenali di China. Kedua-dua mereka amat saya hargai.

Roti nan halal ini dimasak oleh orang Uyghur menggunakan resepi asli Uyghur.  Dibelikan oleh Arafat untuk saya di Restoren Makam 12

Restoren Makam 12
Arafat membawa saya ke restoren halal Makam 12 bersebelahan dengan CUC. Yang kami kesali walaupun restoren ini halal dan terdapat ayat-ayat Al-Quran di dalamnya, kami dapat lihat orang  minum arak di dalamnya.

Minggu Ke-2: Pertemuan dengan Profesor Guan Ling di Fakulti Sinema dan Televisyen, Communication University of China


Tanpa diminta atau disuruh, Jingling telah membuatkan temujanji saya dengan Profesor Guan Ling. Profesor Guan Ling adalah orang yang bertanggungjawab mengundang saya ke Communication University of China (CUC). Tanpa keizinan beliau saya tidak mungkin berada di negara Tembok Besar ini untuk 9 bulan. 

Pertemuan itu diadakan pada minggu kedua kerana Profesor Guang Ling baru pulang dari luar negara. Profesor Guan Ling ialah Timbalan Dekan bagi Fakulti Sinema dan Televisyen di Universiti Komunikasi China (CUC). Kelihatannya Profesor Guang Ling adalah seorang yang amat sibuk.

Oleh kerana saya BUTA HURUF maka Jingling menemani saya dalam pertemuan itu. Sudah tentulah Jingling yang menjadi penterjemah saya dalam perbincangan saya dengan Profesor Guan Ling. Profesor Guan Ling kemudiannya memperkenalkan saya dengan Profesor Chou dan pensyarah lain di fakultinya. Oleh kerana Jingling ada mesyuarat di fakutlinya, maka dia tinggalkan saya bersama Profesor Guan Ling.

Pertemuan dan perbincangan dengan Profesor Guan Ling di Fakulti Sinema dan Televisyen di Universiti Komunikasi China (CUC). Profesor Guan Ling ialah wanita yang memakai kot hitam dalam gambar ini


Kemudian saya dibawa oleh Profesor Guan Ling ke studio penggambaran. Di sini saya dapat menyaksikan projek yang dilakukan oleh siswa di Fakulti Sinema dan Televisyen di CUC. Saya beruntung pada hari itu kerana saya dapat menyaksikan pertunjukan fesyen dan rakaman televisyen.











Minggu ke-3: Pertemuan dengan Profesor Lee, Profesor Zhang dan Profesor Lee  Zuo Wen di Fakulti Bahasa Asing di Communication University of China


Hari ini saya dipertemukan dengan Profesor Lee. Profesor Lee adalah pensyarah yang mengajar subjek Bahasa Melayu di CUC. Beliau adalah bekas wartawan penyiaran di Radio Antarabangsa China. Setelah bersara daripada menjadi wartawan, perkhidmatannya diperlukan di CUC kerana kefasihannya berbahasa Melayu. Kami berbual-bual dalam bahasa Melayu.

Kemudian saya diperkenalkan kepada seorang rakyat China bernama Izati yang baru pulang dari Singapura kerana bertugas sebagai wartawan di cawangan Radio Antarabangsa China di Singapura.

Kemudiannya saya dipekenalkan juga kepada Profesor Zhang yang juga pensyarah bahasa Melayu di CUC. Kemudiannya saya dibawa masuk ke dalam dewan kuliah Bahasa Melayu dan diperkenalkan oleh Jingling kepada pelajar-pelajar China yang mengambil Sarjana Muda Bahasa Melayu. Setelah memberi sedikit ucapan kepada pelajar-pelajar itu, kamipun bergambar beramai-ramai.

Bergambar dengan siswa dan pensyarah bahasa Melayu di Communication University of China


Saya kemudiannya diundang oleh Profesor Lee Zuo Wen iaitu Dekan Fakulti Bahasa Asing di CUC untuk makan tengahari di sebuah restoren yang ditempah halal.

Dapatlah saya melihat adat budaya orang China makan. Terdapat pelabagai makanan dihidangkan. Ia dihidang secara course by course. Kebanyakannya saya tidak pernah makan, antaranya susu goreng dan itik panggang. Ini adalah masakan tradisional Beijing. Saya dapat menyaksikan bahawa mereka suka memberi ucapan penghormatan di antara satu sama lain dan melaga-lagkan gelas. Air minumnya cuma jus oren dan teh China. Saya rasa amat dihormati ketika itu kerana mereka memahami saya orang Islam.

Bersama-sama diundang ialah Presiden Parti CUC. Barulah saya mengetahui bahawa di China di setiap universiti ada parti politik, tidak seperti di Malaysia, parti politik tidak dibenarkan di kampus.

Keledek rebus yang digubah indah

Buah-buahan yang dihias indah sebagai pencuci mulut

Ini adalah susu goreng. Ia adalah susu yang disalut dengan tepung dan digoreng. Ia dimakan dengan susu pekat.

President Parti CUC sebagai salah seorang tetamu terhormat .
Ucapan dan melagakan gelas ketika makan adalah satu penghormatan

Peking Duck ialah makanan tradisional Beijing


Minggu ke-3: Mencari Bahan Masakan Halal di China


Keinginan untuk memasak makanan sendiri memuncak. Tetapi saya ragu-ragu dengan kandungan bahan makanan yang dijual di sini. Arafat, wanita Islam China yang pertama saya kenali di sini kata, makanan di sini amat meragukan. Orang di sini kebanyakannya tidak beragama dan mereka berani mencampurkan pelbagai bahan haram dalam makanan walaupun susu segar.

Setiap kali saya hendak membeli bahan untuk memasak, saya membaca kandungan bahan makanan itu. Malangnya saya tidak boleh membacanya. Saya BUTA HURUF. Semuanya dalam tulisan China.


Mahmud pemuda China Muslim yang pertama saya temui di sini, sekarang menjadi sahabat saya, sudah memberitahu saya sebutan "babi" dan tulisannya dalam bahasa China.

Saya juga bertanyakan siswi jurusan Bahasa Cina di Universiti Beiyu yang saya kenali semasa majlis Makan Malam di Kedutaan tempoh hari. Kamilah adalah orangnya. Dia memberitahu saya yang susu jenama Yi Li halal. Tapi bungkusannya, tak adapun logo halal atau tulisan HALAL dalam jawi. Rupa-rupanya halal dalam bahasa China disebut lain dan ada tulisannya.


Sekarang saya sudah tahu membaca tulisan halal dalam bahasa China dan sudah memasak sendiri.  Sayapun sudah dapat menikmati aiskerim, coklat dan biskut yang dibuat di China kerana saya sudah sedikit CELIK!

Apakah saya masih meraba-raba dan perlu sentiasa dituntun kerana buta huruf di China? Ikutilah Kembara Solo saya di negara Tembok Besar dalam entri akan datang.


Selasa, 22 Mei 2012

Kembara Solo di China: Profesor Buta Huruf (Bhg 2/3: Cari Rumah Sewa)

Hari-hari berikutnya di Beijing, saya masih buta huruf. Masih tidak tahu membaca tulisan China. Tidak tahu bercakap China.

Hari ketiga di Beijing saya harus mendapatkan tempat tinggal lain. Yang lebih selesa tetapi murah untuk 9 bulan lagi. Sekiranya tidak dapat rumah yang saya inginkan, maka bilik aparment yang saya sewa sekarang perlu dilanjutkan sehingga 3 hari lagi.

Masalah saya di apartment sekarang ini: bilik air dan tandasnya satu. Ia perlu dikongsi dengan 7-8 orang. Jadi tandas itu mudah kotor. Kadang-kadang apabila saya rasa nak terkucil, saya terpaksa menahannya apabila ada orang yang sedang menggunakannya.

Orang yang menyewa di apartment itu kebiasaannya menyewa untuk dua tiga hari sahaja. Selalu orang baru masuk. Untuk keselamatan saya kena pastikan bilik saya sentiasa berkunci, walaupun untuk ke tandas atau ke dapur.



Hari ke-3: Mencari Rumah Sewa di China


Jingling berjanji akan mencari rumah sewa bersama saya selepas pukul 12.30 tengahhari. Kami berjanji akan bertemu di restoren halal di Communication University of China (CUC) yang saya kunjungi semalam. Jadi, hari ini saya pergilah makan tengahari dahulu di restoren halal itu. Tapi hari ini saya lihat lebih ramai orang Islam di situ. Pelbagai rupa dan warna kulit.

Pengunjung Islam pelbagai warna kulit datang makan di restoren halal di dalam kampus CUC

Pengunjung Muslim di restoren halal kampus CUC


Saya makan dan duduk bersendirian di suatu meja. Saya nampak seorang gadis bertudung sedang membeli makanan. Ingin sekali  saya mengenalinya tetapi dia tidak perasan saya ada di situ. Sayapun terus makan.

Sedang saya makan, gadis itu datang hampir dengan saya untuk menceduk sup yang letaknya bersebelahan dengan meja saya. Semasa menceduk sup itu dia ternampak saya. Dia kelihatan sangat gembira melihat saya. Dia senyum pada saya dan memberi salam. Sayapun gembira apabila dia menegur saya. Dia lalu duduk makan bersama saya. Kamipun berkenalan. Namanya Arafat, orang keturunan Uyghur dari daerah Xinjiang.

Uyghur adalah etnik Islam yang terdapat ramai di Xinjiang. Mereka mempunyai budaya yang tersendiri dan bertutur dalam bahasa mereka sendiri. Rupa paras mereka seperti orang Caucasian, berhidung mancung dan berkulit putih.

Arafat mengambil Sarjana (Master) dalam bidang Digital Art di CUC. Arafat boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Kamipun bercerita dan wujud kemesraan di antara kami. Dia meminta nombor telefon saya dan saya mengambil nombor telefonnya. Pertemuan ini amat bermakna bagi saya kerana dialah wanita Islam pertama yang saya kenali di negara Tembok Besar ini.

Kenangan yang bergitu bermakna berkenalan dengan wanita Muslim pertama yang saya temui di negara Tembok Besar, China


Sebentar kemudian Jingling datang. Sayapun berpisah dengan Arafat. Jingling datang membawa saya mencari rumah sewa.

Kami ke pejabat ejen sewa rumah HOME LINK. Di situ kami bertanyakan tentang rumah satu bilik untuk disewakan. Pekerja di kaunter Home Link  memberitahu kami ada dua buah rumah yang boleh saya sewakan berdekatan dengan CUC. Dia menunjukkan gambar rumah itu di dalam komputer. Nampak cantik. Ada bilik luas. Ada dapur. Fully furnished. Sewanya RMB2,400 (RM1,200) sebulan. Kamipun mahu mellihat rumah itu. Setelah bertanyakan, "Bolehkah saya menyewanya untuk 9 bulan?", ejen itupun menelefon tuan rumahnya. Tuan rumah itu kata dia tidak menerima kontrak sewaan selama 9 bulan, kontrak sewaannya ialah setahun. Oleh kerana itu maka kamipun tak jadilah tengok rumah itu. Manakala rumah sewa yang lagi satu, hanya boleh dilihat selepas pukul 5 petang.


Jingling sedang menelefon tuan punya rumah untuk melihat rumah yang bakal disewa


Kemudian Jingling menelefon seseorang. Kemudian dia memberitahu saya bahawa tuan rumahnya membenarkan saya sewa 9 bulan. Saya boleh cuba tinggal 3 bulan dahulu, sekiranya tidak suka boleh cari tempat lain, tetapi kalau suka boleh sambung 3 bulan lagi. Tetapi bayarannya mesti dibayar 3 bulan sekali. Kamipun pergi melihat rumah itu. Sewanya RMB1,000. (RM500) sebulan.

Rumah itu adalah aparment yang tidak jauh dari CUC. Ia adalah unit dua tingkat. Terdapat 4 bilik dalam unit itu. Di tingkat atas ada 2 bilik dan di tingkat bawah ada 2 bilik. Namun semuanya sudah ada penyewa. Mereka semua siswa CUC. Kecuali satu bilik bersebelahan dengan dapur dan bilik air. Saya berkongsi bilik air itu dengan seorang lagi. Tuan rumah itupun juga membenarkan saya memasak. Jingling telah menjelaskan kepada tuan rumah itu bahawa saya orang Islam dan ada makanan yang tidak boleh dibawa masuk ke rumah. Maka dia hanya membenarkan saya seorang sahaja memasak dan menggunakan dapur itu.

Jingling menjelaskan kondisi sewaan dan membaca kontrak menyewa kepada saya. Lalu saya setuju dan terus bayar. RMB1,000 (RM500) untuk deposit dan RMB3,000 (RM1,500) untuk sewa 3 bulan. Kontrak pun ditandatangani. Tapi Jingling yang tandatangan kontrak itu untuk saya kerana saya BUTA HURUF, semuanya dalam bahasa Cina.


Tuan rumah sedang menjelaskan kontrak sewaan kepada Jingling. Kemudian Jingling menterjemahkannya kepada saya.  Budak perempuan itu ialah anak tuan rumah saya. Tuan rumah saya mempunyai dua orang anak. Kebiasaannya sebuah keluarga di China mempunyai seorang anak. Kerajaan China menetapkan supaya setiap keluarga mempunyai hanya seorang anak. Tuan rumah saya terpaksa membayar denda kerana mempunyai anak seorang lagi.

Kontrak sewa rumah saya dalam bahasa Cina.

Persekitaran rumah sewa saya

Apartment di kawasan taman perumahan yang saya sewa
Aparment ini berdekatan dengan kampus. Unit saya di tingkat paling bawah. 

Dalam aparment sewa saya yang dilengkapi dengan perabut, mesin basuh, microwave, dapur dan peti sejuk

Bunga-bunga pada akhir musim bunga di Beijing











Oleh kerana ketika ini adalah musim bunga maka banyak bunga-bunga kembang mekar di persekitaran apartment sewa saya. Jiran-jiran saya pula suka memelihara anjing. Terdapat pelbagai jenis anjing yang diperlihara.

Add caption




Hari ke-4: Membeli-belah Barang Keperluan Rumah di China


Hari ini sibuk pindah keluar dan pindah masuk ke rumah baru. Jingling mengajak pelajarnya seorang siswa Bahasa Melayu bernama Zhu. Zhu dan Jinglingpun membantu saya pindah dan mengangkat barang. Kemudian kamipun pergi ke beberapa tempat untuk membeli-belah barang keperluan rumah seperti pinggan mangkuk, alat-alat membersih, beg plastik untuk buang sampah, tong sampah, barangan mandian, cermin, dll.

Joy City  ialah Mall yang paling besar di kawasan tempat tinggal saya.

Zhu dan Jingling membawa saya membeli-belah di Joy City

Filem-filem baru ditayangkan di sini

Durian dari Thailand dijual di Joy City

Kedai kosmetik di Joy City

Restoren di Joy City Mall


Pada waktu petang Jingling tidak dapat menemani saya ke pasar untuk membeli pinggan mangkuk, bantal dan cadar kerana beliau ada urusan lain. Jadi Zhu yang  membawa saya ke pasar. Dia yang tanyakan harga dan tawarkan. Zhu fasih berbahasa Melayu. Dia telah belajar bahasa Melayu selama 3 tahun di CUC.

Terdapat banyak kedai untuk membeli barangan keperluan di Chaoyang

Di sinilah Zhu membawa saya membeli pinggan mangkuk 

Zhu membantu saya menawar harga barang-barang di sini

Beli bantal, cadar. selimut di sini


Setelah barang-barang keperluan asas rumah sudah dibeli, Jingling memanggil pelajarnya seorang lagi iaitu Mawar untuk membantu saya dan Zhu mengangkat barang-barang.

Mawar fasih berbahasa Melayu. Dia juga belajar bahasa Melayu di CUC selama tiga tahun. Mawar berasal dari Shandong, dia mempunyai nama Cina, tetapi saya diperkenalkan dengannya dengan nama Mawar. Sampai sekarang saya tidak tahu nama Cinanya.

Zhu pula ada nama Melayu juga, iaitu Ismail. Manakala Jingling pula ada nama Melayunya iaitu Melati. Sebenarnya di China apabila seseorang itu belajar bahasa Melayu, mereka mahu dikenali dengan nama Melayu. Terdapat 15 orang pelajar China di CUC yang sedang mempelajari bahasa Melayu. Pensyarah-pensyarahnya adalah orang Cina belaka.

Begitulah saya memulakan penghidupan saya di negara Tembok Besar ini. Dengan keadaan saya yang buta huruf (tidak tahu membaca tulisan Cina dan bercakap Cina) ini, saya berjaya mendapatkan tempat tinggal yang boleh dikatakan murah di Beijing ini, kerana rumah di Beijing memang mahal. Saya juga dapat membeli barang-barang keperluan. Semuanya atas bantuan insan-insan yang berhati emas. Walaupun mereka bukan orang Islam namun sikap, budi bahasa dan bantuan yang dihulurkan patutlah dijadikan contoh kepada orang Islam. Alhamdulillah, semoga Allah membalas kebaikan mereka yang berbuat baik dengan saya. Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada mereka. Amin.

Adakah hari-hari yang berikut juga mereka ini masih membantu saya? Teruskan bersama saya dalam Kembara Solo saya di China dalam entri yang akan datang. 

..bersambung


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...