Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Isnin, 25 Jun 2012

Dari Pulau Pinang ke Pantai Timur Bhg 1/3: Kota Bahru


S udah sebulan setengah saya berada di Beijing. Terasa sunyi melanda diri. Rindu pula pada anak-anak dan keluarga di Malaysia. Tambahan pula saya sakit dan berbaring di katil selama lima hari keseorangan. Ayah mertua saya pula meninggal dunia. Mujurlah saya telah bertemu beliau buat kali terakhir 3 hari sebelum berangkat ke Beijing. Pertemuan itu berlaku di Kota Bahru, Kelantan.

Dalam entri kali ini saya ingin berehat sekejap dari kisah Kembara Solo saya di Beijing. Nanti saya akan sambung semula, sebab saya rasa Kembara saya ke Kelantan ini tidak kurang menariknya.


Saya ke Kelantan untuk bertugas dan sambil itu saya sempat bertemu dengan bapa mertua saya dan mengembara melihat negeri Cik Siti Wan Kembang. Saya bertolak pada pagi 1 Mei 2012 dan kembali semula ke Pulau Pinang pada 4 Mei 2012.

Selalunya saya menaiki pesawat ke Kota Bahru. Tapi kali ini saya sengaja memilih untuk melalui jalan darat bersama dengan dua orang lagi rakan sepejabat. Sengaja saya lakukan untuk menikmati keindahan tanahair tercinta. Lagipun sudah lama benar saya tidak merentas ikut jalan darat ke Kota Bahru.

Kembaraku ke Kota Bahru merentasi 4 negeri: Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan. Jarak perjalananya adalah beranggaran 450km dan memakan masa kira-kira 5 jam. Untuk cepat sampai ke Kota Bahru kami melalui Rantau Panjang dan sempatlah kami singgah-singgah di tempat-tempat menarik sepanjang perjalanan pergi dan balik.

Tempat Penginapan di Kota Bahru


Hotel saya menginap di Kota Bahru adalah Crown Garden, di Jalan Kebun Sultan. Ia terletak berdekatan dengan pasaraya Mydin dan Pasar Siti Khadijah. Oleh kerana semua urusan tempahan dan pemilihan hotel ini diuruskan oleh pihak majikanku, saya tidak tahu berapakah harga hotel ini semalam.


Sepetang di Kota Bahru


Saya sampai di Kota Bahru pada sebelah petang. Selepas check-in hotel dan berehat saya pun bersiar-siar di kawasan persekitaran hotel itu. Tapi saya lihat semua kedai-kedai Cina sahaja di situ. "Aku ni di China  ke di Kelantan?"

Tetapi apabila saya pergi ke arah kanan, barulah saya lihat banyak kedai-kedai Melayu. Ramai juga pembeli. Pelancong Mat Salleh pun ada. Rupa-rupanya kawasan Crown Garden itu tadi kawasan Cina.

Kota Bahru kini semakin membangun berbanding dengan dua tahun lepas. Slogan "Pantai Timur Membangun Bersama Islam" dan "Kota Bahru Bandaraya Islam" sentiasa terpampang di dinding-dinding bangunan. Islam dipraktikan dengan baik di sini.

Saya mendapat khabar bahawa undang-undang untuk wanita Islam memakai hijab di Kelantan diperketatkan. Wanita Islam yang tidak berhijab di sini akan didenda. Jadi kepada kaum hawa yang tidak berhijab itu, beringat-ingtlah, kalau masuk sahaja ke sempadan Kelantan, tolonglah memakai hijab. Sebaik-baiknya pakai terus, jangan buka-buka.




Sambil bersiar-siar melihat bandar Kota Bahru saya ternampak sebuah restoren Nasi Ayam Hainan. Sayapun cuba. Sayapun tak tahu nak pilih menu yang mana satu. Saya minta pelayan restoren itu cadangkan kepada saya. Dia cadangkan saya pilih satu set Nasi Ayam Panggang. Boleh tahan sedap nasi itu.



Selepas makan Nasi Ayam Hainan saya berjalan-jalan ke Pasar Siti Khadijah. Ketika itu hari sudah terlalu petang kira-kira 6.30 petang. Pasar itu sudah hendak tutup. Jadi tidaklah ramai orang yang berkunjung. Walau bagaimanapun masih ada lagi orang berniaga. Saya membeli sedikit kuih-muih. Setiap kali ke pasar ini saya suka mencuba kuih-muih tradisional Kelantan ini. Antaranya ialah buah tanjung, jala mas, taik itik dan serabe.

Saya bercadang untuk membeli-belah di sini lagi sebelum pulang ke Pulau Pinang. Peniaga-peniaga di sini peramah, suka memujuk saya membeli dan sudi gambar mereka diambil. Lihatlah kakak di bawah ini, comel kan! Saya suka gambar kakak ni.


Sebagaimana manis kuih-muih di pasar ini sebegitulah manisnya peniaga wanitanya
Masjid dan pasaraya di sebelah Pasar Siti Khadijah

Bertugas di Hospital USM, Kubang Kerian

Di Hospital USM  saya bertugas sebagai penemuduga. Saya menemuduga pelajar-pelajar lepasan STPM dan Diploma untuk memasuki Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Sains Malaysia. Temuduga itu diadakan selama dua hari untuk menemuduga calon-calon dari daerah Pantai Timur: Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Oleh kerana USM adalah sebuah universiti yang cemerlang dan mendapat pengiktirafan sebagai universiti APEX maka ia mengadakan cara kemasukan yang ketat. Sesiapa yang ingin menjadi siswa USM harus melalui 3 peringkat ujian:
1. Gred CGPA sekurang-kurangnya 2.69, (tetapi untuk jurusan lain ia berbeza, untuk bidang perubatan 3.8)
2. Lulus ujian MUNSHIl; dan
3. Lulus temuduga


Calon-calon mendaftar dan menanti giliran untuk ditemuduga
Calon-calon temuduga
Keistimewaan tugas saya sebagai Profesor Madya ialah saya layak menemuduga calon-calon yang memohon untuk memasuki USM. Temuduga itu diadakan di banyak tempat termasuklah di Sabah dan Sarawak. Selesai bertugas saya boleh berjalan-jalan melihat negeri orang. Masa bertugas saya adalah anjal (fleksibel). Masa saya tidak terikat dari pukul 9-5. Saya tidak perlu punch card. Yang penting saya melaksanakan tugas hakikiku.

Keistimewaan yang lain, saya dapat bertemu dengan bekas pelajar-pelajar saya yang sekarang sudah memegang jawatan penting. Mereka amat gembira bertemu dengan saya dan menawarkan diri untuk membawa saya ke mana sahaja saya mahu. Jadi antaranya ialah menemui bapa mertua saya, melawat kawan sakit dan bertemu kawan-kawan lama.

Melawat rakan sepejabat yang berada di ward Hospital USM

Malam di Kota Bahru

Malam di Kota Bahru berlainan dengan malam-malam di tempat lain. Di sini perniagaan tidak dibenarkan semasa waktu solat maghrib. Maka sebab itulah pasar malam di sini dipenuhi orang ramai semakin lewat malam. Di Pantai Barat, pasar malam biasanya akan kehabisan barangan jualan/makanan kalau membeli selepas pukul 9 malam. Tetapi tidak di sini. Ketika itulah orang ramai datang berpusu-pusu. Ini disebabkan mereka datang selepas solat Isya.

Restoren Ayam Goreng ala KFC di Kota Bharu

Pasar malam yang kami pergi ialah di Wakaf Che Yeh. Ia terletak kira-kira 4km dari bandar Kota Bahru. Kami memandu dalam anggaran 20 minit dari hotel kami. Terdapat banyak homestay berhadapan dengan pasar Wakaf Che Yeh ini. Menurut kawanku ramai orang menginap di homestay di sini. Amat strategik kan!

Pasar malam ini amatlah besar, seluas suku ekar. Beratus-ratus gerai menjual pelbagai barangan dan makanan terdapat di sini. Segala-galanya ada. Saya rasa inilah pasar malam terbesar yang pernah saya pergi. Di bawah ini adalah gambar suasana di Pasar Malam Wakaf Che Yeh.

Peniaga lelaki gemar menjual durian dan c.d di Pasar Malam Wakaf Che Yeh

Peniaga wanita gemar menjual barangan kemas dan busanan muslimah di Pasar Malam Wakaf Che Yeh

Setelah membeli-belah, menjamu mata dan makan malam di Wakaf Che Yeh kami pulang. Ketika itu kira-kira pukul 10.00 malam. Tetapi ketika kami berjalan menuju ke tempat letak kereta, kami bertembung dengan ramai orang yang baru sampai untuk membeli-belah. Pasar malam ini tak tidur ke?. 

Dalam perjalanan pulang ke hotel, tiba-tiba suasana jalan sesak dan kereta bergerak terlalu perlahan. Terdapat ramai orang membanjiri suatu kawasan terbuka. Mengapakah itu berlaku? Adakah mereka hendak mendengar ceramah parti politik? Ceramah PAS atau BN?  Sekarang bukankah musim pilihanraya? Sedang tertanya-tanya itu akhirnya saya dapat jawapannya. Saya lihat wajah penceramah terpampang di atas skrin di satu kawasan terbuka. Saya kenal wajah itu. Rupa-rupanya orang ramai membanjiri ceramah agama Ustaz Azhar Idrus. Alamak...kalau aku tahu ada ceramah Ustaz aZHAR Idrus, saya ke sini tadi.

Orang ramai membanjiri ceramah agama Ustaz Azhar Idrus

Pasar Siti Khadijah


Hari terakhir saya di Kota Bahru saya membeli-belah di Pasar Siti Khadijah. Pasar Siti Khadijah ini adalah pasar yang wajib saya pergi setiap kali ke Kota Bahru. Yang menarik di pasar ini kebanyakan peniaganya adalah kaum wanita. Itulah sebabnya nama pasar ini diberi nama Pasar Siti Khadijah bagi menghargai sumbangan kaum wanita yang minat berniaga di sini.

Terdapat pelbagai jenis makanan dan beratus-ratus jenis kuih-muih tradisonal Kelantan dijual di sini seperti nasi tumpang, nasi berlauk, nasi dagang, nasi kerabu, laksam, somtam, tapai, kuih taik itik, jala mas, akok, buah tanjung, serabe, belede, tepung pelita, serunding, keropok, budu, telur penyu, ayam percik dan macam-macam lagi. Yang wajib saya beli ialah keropok, keropok lekor dan serunding daging.

Selain daripada itu pasar ini juga menjual buah-buahan, sayur-sayuran, ayam, rempah ratus dan pakaian batik. Pasar ini mempunyai empat tingkat.


Pasar yang majoriti peniaganya wanita
Sayur-sayuran, jeruk dan telur penyu di bahagian bawah Pasar Siti Khadijah
Keropok lekor di tingkat bawah dan keropok kering di tingkat satu

Setelah puas membeli-belah di Pasar Siti Khadijah kamipun bertolak pulang ke Pulau Pinang. Kami mengggunakan jalan yang sama sebagaimana kami datang iaitu melalui Rantau Panjang. Kami harus meninggalkan Kota Bahru sebelum tengahari kerana diberitakan bahawa Perdana Menteri kita akan datang ke Kota Bahru pada tengahari itu. Jadi untuk mengelakkan kesesakan kami pergi sebelum acara itu bermula. Sewaktu kami meninggalkan Kota Bahru, kami lihat orang ramai sibuk membuat persediaan menyambut Dato Seri.

Kamipun menuju ke Rantau Panjang melalui Pasir Mas. Apakah yang ada di Rantau Panjang? Teruskan berasama saya dalam entri yang akan datang. Bersambung...


Jumaat, 22 Jun 2012

Tempat Menarik di Beijing #5: Jumaat di Niu Jie

Hari itu hari Jumaat di Beijing. Saya diajak sahabat saya Arafat, orang Islam berketurunan Uyghur dari Wilayah Xinjiang, untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Niu Jie, masjid yang terawal dibina di selatan Beijing. Masjid Niu Jie ini adalah antara tempat yang amat sangat ingin saya kunjungi. Sudah tentulah ajakan Arafat ini bagaikan pucuk dicita ulam mendatang.

Selain saya, ada dua orang lagi sahabat Islam berketurunan Uyghur yang turut serta. Tempat pertemuan kami ialah di restoren halal Universiti Komunikasi China. Oleh kerana salah seorang sahabat kami itu baru selesai kuliah, kami terpaksa menunggu beliau. Jadi agak terlewat sedikit bertolaknya.

Kami ambil keretapi bawah tanah (subway) dari Universiti Komunikasi China menggunakan laluan Batong dan tukar ke Laluan 1 di Sihui dan kemudian turun di Tian' Anmen Barat. Kami keluar ikut pintu B (kalau tak silap) dan ambil bas Nombor 10. Kami turun di Niu Jie LiBaiSi dan berjalan sedikit menuju ke Masjid Niu Jie. Amat mudah menaiki bas ke sini kerana ada pengumuman dalam bahasa China, Inggeris dan Arab. Menurut Arafat, Niu bererti lembu dan Jie ialah lorong atau jalan. 

Ketika sampai kami melihat orang sudah ramai. Kawasan luar masjid itu dilimpahi dengan jemaah lelaki yang membentangkan sejadah di halaman (courtyard). Kawasan solat wanita pula di bangunan lain yang letaknya di kawasan belakang. Jemaah wanita juga ramai dan hampir memenuhi masjid. Ketika itu khutbah Jumaat hampir selesai.

Itulah pengalaman solat Jumaat pertama di negara Tembok Besar ini. Pengalaman saya amat menarik dan sudah pastinya ada sedikit perbezaan bacaan imam berbanding dengan bacaan imam di Malaysia atau di Mekah/Madinah. Contohnya: Kalau imam kita sebut Allahu Akbar, imam di sini sebut Allahu Akbara.

Berikut adalah gambar-gambar yang saya rakam semasa di Masjid Niu Jie.


Senibina masjid Niu Jie adalah bercirikan senibina pada masa Dinasti Liao, Ming dan Qing


Masjid Niu Jie sering dikunjungi pelancong tidak kira Islam atau tidak. Oleh kerana kunjungan yang ramai maka pihak Masjid Niu Jie mengadakan peraturan khas untuk bukan Islam

Bangunan di bahagian belakang ini adalah khas untuk kaum Hawa


Suasana selepas solat Jumaat di Masjid Niu Jie.  Bangunan solat ini khas untuk kaum Adam.


Wanita beribadat setelah solat Jumaat di Masjid Niu Jie

Penulis bergambar bersama kawan-kawan Uyghur di Masjid Niu Jie selepas solat Jumaat

Selepas solat kami melihat persekitaran Masjid Niu Jie yang berkeluasan kira-kira 6,000 meter persegi. Terdapat makam Imam, kedai, bilik kuliah, muzium, quarters perumahan dan taman.

Selepas itu kami pergi makan di food court halal yang letaknya tidak berjauhan dari Masjid Niu Jie. Niu Jie adalah kawasan orang Islam berniaga dan tinggal. Kami merasa amat gembira apabila melihat food court halal di situ. Seperti syurga makanan. Nama food court itu Muslim Food Palace. Kami seolah-olah tidak percaya yang kami boleh makan semua makanan ini. Maklumlah di kawasan universiti kami, hanya ada 3 sahaja restoren halal dan pilihan makanannya pula kurang. Terasa belas kasihan pula pada diri kami sendiri seolah-olah kami kebuluran berminggu-minggu. Apalagi kamipun pesan macam-macam makanan. Kamipun makan dengan gembira dan berborak-borak sehingga terlupa yang dua orang rakan kami ada kuliah sebelah petang. Terus salah seorang ponteng kuliah petang itu. Boleh?

Muslim Food Palace di Niu Jie

Di Niu Jie terdapat banyak permis perniagaan untuk orang Islam

Setelah itu kami pergi ke pasaraya khas untuk orang Islam dan membeli-belah makanan dan produk halal.

Terdapat pelbagai permis perniagaan Islam di bangunan ini termasuklah food court, kedai kek, kedai biskut dan pasaraya

Di pasaraya mini ini terdapat pelbagai produk untuk orang Islam seperti buku, busana muslimah, peralatan solat, cenderamata, kosmetik, produk jagaan kesihatan dan batu permata


Apabila tiba waktu Asar kami pergi semula ke Masjid Niu Jie dan solat. Kami pulang selepas itu dengan membawa pulang makanan halal.

Kawasan masjid untuk wanita di Masjid Niu Jie pada waktu Asar

Tempat wudhu wanita Masjid Niu Jie ini letaknya di bangunan berasingan

Sejak itu saya sering ke Niu Jie secara sendirian atau berteman.

Jumpa lagi di Beijing dalam entri yang akan datang. Assalamualaikum.


Jumaat, 15 Jun 2012

Tempat Menarik di Beijing #4: Stadium Olimpik Sarang Burung

Stadium Olimpik Sarang Burung  (Bird's Nest Stadium) atau Stadium Nasional Beijing ini sangat popular sejak Beijing mengadakan sukan Olimpik pada tahun 2008. Ketika Beijing menyuarakan hasrat untuk mengadakan sukan ini, ramai pihak tidak percaya akan kemampuan China mengadakan sukan bertaraf dunia ini.

Apabila China memenangi undian untuk menghoskan Sukan Olimpik ini banyak pihak dari seluruh dunia mengkritik dan memulau China. Antara isu-isu yang diketengahkan ialah hak-hak asasi manusia (seperti kebebasan bersuara) yang dicabuli negara itu, hak kebebasan Tibet yang gagal ditangani, tahap pencemaran udara yang tinggi di Beijing. dan tahap amalan kebersihan yang rendah.

Namun Beijing telah mengadakan Sukan Olimpik ini dengan jayanya dan telah membuka mata dunia bahawa mereka bukan "kecil-kecil cili padi."

Oleh kerana berita tentang stadium ini sering disiarkan di dalam media maka, kembara saya seterusnya di Beijing ialah untuk melihat dengan lebih dekat Stadium Olimpik ini. Saya hanya menaiki subway dari apartment sewa saya, dan jaraknya tidaklah terlalu jauh. Saya cuma membelanjakan 4 yuan (RM2) sahaja untuk tambang pergi dan balik. Saya pergi seorang diri.


Cara pergi: 
Saya naik subway dari Communication University of China sebab di sinilah stesen yang terdekat dengan apartment sewa saya. Saya ambil Laluan Batong. Lepas itu turun di Sihui dan ambil Laluan 1. Lepas itu turun di Guomao. Ambil Subway Laluan 10 ke Beitucheng kemudian tukar ke Subway Laluan 8 (Olympic Special Line): turun di stesen Olympic Sports Center, keluar dari stesen ikut pintu  B1 (northwest exit)  atau pintu B2 (northeast exit), dan jalan ke utara ke Sarang Burung. Sarang Burung itu nampak jelas di hadapan sebaik-baik sahaja aku keluar dari stesen subway.
.
Ini adalah gambar-gambar yang saya ambil.










Saya pergi tidaklah lama, lebih kurang 40-50 minit sahaja. Lepas ambil gambar dan beli sebuah fridge magnet Sarang Burung sayapun pulang. 

Semasa membeli fridge magnet, tiada seorangpun penjual cenderamata di sini yang tahu apa itu "fridge magnet". Yang kelakarnya, jenuhlah saya membuat demonstrasi yang dikatakan  fridge magnet itu, tapi mereka tidak faham. Setelah bertungkus-lumus menjelaskan dengan demonstrasi dan bahasa isyarat, barulah mereka faham. Yang ada fridge magnet pun tak jual gambar Stadium Sarang Burung. Banyak gambar topeng Opera China. Sedangkan saya hendak gambar Stadium Sarang Burung.

Akhirnya barulah saya jumpa fridge magnet yang ada gambar Stadium Sarang Burung. Setelah saya tawar, dapatlah 10 yuan (RM5).

Rupa-rupanya nak sebut fridge magnet kena sebut "mik niiit". Pada masa itu saya terlupa yang telefon bimbit saya ada kamus bahasa China..he..he..he


Gerai ini sahaja yang ada jual fridge magnet Stadium Sarang Burung.

Stadium Nasional Beijing (Sarang Burung) ini memerlukan wang penyelenggaran kira-kira 9 juta dolar Amerika setahun

Kawasan persekitaran Stadium Olimpik Beijing

Pusat sukan berekabentuk kiub ini terdapat di hadapan Stadium Sarang Burung

Pertama kali melihat ais krim goreng.

Kali kedua saya pergi pada waktu malam. Saya pergi dengan ramai kawan. Saya diajak oleh Kamilah siswi Bahasa Cina di Beijing Language and Culture University atau dikenali dengan Universiti Beiyu. Bersama-sama kami turut serta beberapa siswa Beiyu, siswa Universiti Malaya yang datang ke Beijing untuk membuat penyelidikan dan seorang lagi ialah anak saudara saya yang baru sampai dari Ipoh. Jadi lebih kurang 10 orang yang pergi. 

Oleh kerana beramai-ramai makan angin, kami rasa sangat seronok. Sambil jalan-jalan di situ, kami main layang-layang kerana anginnya yang bertiup kuat. Kami juga berbincang tentang stadium ini yang gagal menarik ramai penonton ke acara sukan selepas Sukan Olimpik  2008. Kos pembinaan stadium ini ialah 423 juta dolar Amerika. Satu pembaziran, bukan?

Berikut adalah gambar stadium itu pada waktu malam.




Lampu dari dalam stadium

Pusat sukan berekabentuk kuib ini sangat indah pada waktu malam


Makan angin di Stadium Sarang Burung pada waktu malam. Mereka semua siswa-siswi universiti di Beijing dan Malaysia.



Kami pulang setelah stadium lampu tutup (lebih kurang pukul 10 malam) dan subway pun akan tamat perkhidmatan. Oleh kerana takut ketinggalan subway, saya dan anak saudara saya menumpang tidur di asrama siswi Beiyu.

Ikutilah laporan terus Kembar saya dari Beijing dalam entri yang akan datang. Salam Kembara dari Beijing.


Rabu, 13 Jun 2012

Tempat Menarik di Beijing #3: Saya Dibawa Lari Pemandu Beng Beng

Apakah yang berlaku pada saya setelah lelaki pemandu Beng Beng mengajak saya menaiki Beng Bengnya? Dalam entri ini saya akan sambung kisah "Hilang Terang Timbul Gelap" saya di luar Kota Larangan, Beijing. Maklumlah sebelum ini kisah saya asyik yang gembira dan ceria sahaja.. Tetapi dalam "Suka Ada Duka".

Apakah Beng Beng? Beng Beng ialah motorsikal atau basikal yang diubahsuai menjadi beca mengangkut penumpang dan barang-barang. Ada yang berdinding kotak dan ada yang tidak berdinding langsung. Beng Beng biasanya ditunggang/dipandu oleh lelaki China secara persendirian di sekitar Beijing. Tambangnya mengikut rundingan dengan pemandunya. Biasanya lebih kurang harga tambang teksi. Ia dibawa untuk jarak dekat sahaja. Beng Beng ini tidaklah begitu stabil kalau rodanya tiga dan ramai penumpang menaikinya. Ia biasanya boleh memuatkan sehingga dua orang dewasa. Di bawah ini saya tunjukkan contoh Beng Beng.

Beng Beng basikal ini saya tangkap gambarnya di luar kawasan Universiti Komunikasi China. Beginilah lebih kurang Beng Beng yang saya naiki pada hari kejadian itu, cuma yang saya naiki itu bermotosikal.
Ini juga adalah Beng Beng, tetapi jenis bermotorsikal dan berdinding kotak.

Baiklah, saya sambung kisah saya diajak oleh pemandu Beng Beng selepas saya melawat Kota Larangan, Beijing.

Alkisah...

Ketika itu saya sudah terlalu lenguh berjalan kaki dan sedang menuju ke stesen subway Tian' Anmen Barat. Saya jalan seorang diri. Saya berjalan cepat-cepat kerana saya hendak solat Asar di rumah sewa saya di Daerah Chaoyang. Ketika itu lebih kurang pukul 5.00-5.30 petang. Waktu Maghrib masuk 7.30 petang. Tiba-tiba seorang lelaki pemandu Beng Beng (dari jenis motorsikal) menawarkan perkhidmatan menghantar saya ke stesen subway. 

SAYA: How much?

PEMANDU BENG BENG: Three.

SAYA: Three yuan?

PEMANDU BENG BENG: Yes.(SAMBIL MENGANGKAT 3 BATANG JARINYA)

SAYA: (DALAM BAHASA CHINA UNTUK MEMINTA KEPASTIAN) San kuey? (Maksudnya: Tiga yuan ke?)

PEMANDU BENG BENG: (DALAM BAHASA CHINA) Tui. (Maksudnya: Ya)

SAYA: (DALAM HATI) Oh.. ok le tu. Bukan jauh pun. Kalau naik, cepat sikit aku sampai ke rumah. Boleh aku solat Asar awal.
Untuk kepastian saya ulang soalan ini kepada Pemandu Beng Beng itu, supaya dia hantar saya ke destinasi yang betul.
SAYA: Will you take me to the Tian' Anmen West subway station? Tian' Anmen West, ok?

PEMANDU BENG BENG: Ok, I will take you.

Sayapun naik Beng Beng itu, buat pertama kalinya. Beng Beng itu seperti dalam gambar pertama di atas tetapi dia menggunakan motorsikal. Tempat saya duduk tidak berdinding, macam dalam gambar pertama di atas juga. Pemandu itu membawa saya ke arah stesen subway Tian' Anmen Barat. Tiba-tiba dia berpatah balik. Saya kehairanan.

SAYA: Where are you taking me? I want to go to Tian' Anmen West Station!

PEMANDU BENG BENG: I will take you there! I will take you!

Inilah Pemandu Beng Beng yang saya ceritakan ini. Saya tangkap gambar ini ketika dia sedang menunggang Beng Beng itu dan saya duduk di belakang.


Mula-mula tu rasa seronok sebab dapat merasa naik Beng Beng pertama kali. Lepas tu pemandu tu masuk ke lorong-lorong belakang. Saya dah naik risau. Dahlah Beng Beng tu tidak berdinding dan dia bawa laju pulak tu. Saya rasa nak terpelanting. Saya genggam beg dan kamera saya kuat-kuat takut tercampak nanti.

                    SAYA:  Why are you taking me to the back lane?
PEMANDU BENG BENG: (MENUNDING JARI TELUNJUK KE ARAH BANGUNAN SEKITAR). This, Hutong. Very very old. That, new. This, old. Many many years. See, see Hutong. Take picture. Take picture.



Pemandu itu membawa saya ke belakang lorong-lorong dalam kawasan Hutong. Hutong adalah kawasan perumahan tradisional di Beijing dan lorong-lorongnya sempit.


Selang tidak berapa lama kemudian pemandu Beng Beng itu berhenti di satu hujung kawasan Hutong dan menurunkan saya di situ.

SAYA: Where is the subway station?

PEMANDU BENG BENG: There! Just two minutes walk.

Saya berasa sangat tidak puas hati kerana dia sudah mempermainkan saya. Saya minta dia hantar ke Tian' Anmen West dia hantar saya ke Tian' Anmen East. Dahlah tu pula bukan dia turunkan saya dekat stesen subway. Kena menapak pulak lagi. Adoi! Saya merungut pada pemandu Beng Beng itu. Dia pun katalah, "Ala dekat je, 2 minit je jalan kaki". Lebih kurang macam itulah maksud dia.

Lalu saya bagi duit 3 yuan kepadanya. Lelaki itu minta lagi kepada saya. Saya enggan membayarnya kerana tadi dia kata bayaran tambangnya cuma 3 yuan. Lelaki itu terus mendesak saya. Dia kata aku perlu bayar 300 yuan. 

SAYA: (MARAH) 300 yuan?. NO! Just now you said 3 yuan. Now I'm giving you 3 yuan.

PEMANDU BENG BENG: No, No, 300 yuan!

SAYA: (DALAM BAHASA CHINA) Puk yau! Puk yau! (Maksudnya: Tak mahu! Tak mahu!)

PEMANDU BENG BENG: I took you to Hutong. 

SAYA: (MARAH). I want to go to SUBWAY station. NOT Hutong! You lied to me. You lied to me. You are a liar!

PEMANDU BENG BENG:  (MEMAKSA & MENGERASKAN SUARA) Money! Money!

SAYA: (DALAM BAHASA CHINA) Mei yau! Mei yau! (Maksudnya: Tak ada.. Tak ada!)

Maka perbalahan berlaku di antara saya dan pemandu itu. Saya berkeras tidak mahu membayar 300 yuan. "Dahlah debu, asap masuk dalam lubang hidung saya, nak terpelanting saya dibuatnya, nak minta 300 yuan pulak. Agak-agaklah sikit kalau nak pau orang pun, " rungut saya dalam hati.

Setelah itu saya bagi dia 30 yuan. Dia terus mendesak saya bayar 300 yuan. Kemudian saya mengugut untuk menelefon kawan saya. Masa itu yang terbayang di wajah saya ialah Mawar, siswi China di Communication University of China. Sebaik sahaja dia melihat saya hendak menelefon kawan saya terus dia takut dan kata, "OK ,100 yuan". Saya berkeras tidak mahu membayar 100 yuan. 

Saya terus mengatakan yang dia penipu dan saya ugut hendak menelefon kawan saya. Apabila saya ambil saja telefon dia mula turunkan harga. Katanya, "Ok, 50 yuan".

Saya masih bantah. Ketika itu saya pun sebenarnya takut juga sebab di situ tak ada orang. "Nanti dia hantar kaki pukul, aniaya saya", bisik hati saya. Ketika itu saya terbayangkan babak lorong belakang dalam filem gangster.

Dia terus mendesak meminta tambah wang bayaran. Oleh kerana saya memikirkan saya hendak pulang solat Asar, saya pun tambah 20 yuan lagi. Sayapun malas nak "nego' dengan Mamat Beng Beng ni. Buat saya "BENG" je.. Kemudian sayapun blah dan dia pun blah. Kepala saya BENGang dan hati saya BENGkak. 

Saya terus menuju ke Stesen Subway Tian' Anmen East. Semasa saya lalu saya dapat melihat sebuah taman yang cantik. Saya sempat juga ambil gambar taman itu. Di bawah ini adalah gambar-gambar taman itu.




Saya pulang dengan hati yang BENGkak dan BENGang. Saya rasa menyesal bagi Mamat Beng Beng itu 50 yuan. Saya rasa mahal sangat. Saya hanya mengucapkan:

إِنـَّا ِللَّـهِ وَإِنـَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللَّـهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا
Maksud zikir/doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. itu
Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya kami akan kembali (pada hari kiamat). Ya Allah! Berilah pahala kepadaku (daripada musibah yang menimpa diriku) dan gantilah ia dengan yang lebih baik.
Sampai di rumah tinggal lebih kurang 30 minit lagi akan masuk waktu Maghrib. Jadi dapatlah saya solat Asar di rumah.

Keesokan harinya saya ceritakan kisah ini kepada Jingling, sahabat baik China saya. Saya tanya dia samada aku sudah kena tipu atau tidak. Tetapi menurut Jingling sepatutnya kena bayar 100 yuan sebab kawasan Hutong. Biasanya perlu bayar mahal sebab ia kawasan pelancongan dan naik Beng Beng pula.

"Jadi saya tak kena tipulah ye?" tanya aku pada Jingling..

"Kalau dia rasa rugi dia tak akan lepaskan kita," kata Jingling.

Jingling menganggap saya orang yang berani. Kalau terjadi pada dia, dia kata dia terus bagi saja 300 yuan tu. Sebenarnya, saya pun bukan berani sangat. Saja buat-buat berani. Jadi  sayapun rasa lega sebab saya sebenarnya tak rugi dan sayapun selamat.

Maka ceritera, "Hilang Terang Timbul Gelap" ini TAMMAT dengan TERANG. Alhamdulillah. Alkisah "Saya Dibawa Lari Pemandu Beng Beng" ini lebih kurang sama dengan alkisah "Saya Dibawa Lari Pemandu Teksi" di Cyprus dahulu. Kalau lupa sila baca alkisahnya di pautan ini.



Hikmah daripada kejadian Aku Dibawa Lari Pemandu Beng Beng itu:

  1. Mengingatkan diri saya dan rakan-rakan kembara supaya jangan menaiki Beng Beng di kotaraya Beijing lagi. Kalau naik juga: kalau kita tak BENGang kita akan BENGkak!
  2. Jangan percaya dengan pemandu kotaraya Beijing yang tahu cakap Inggeris sikit-sikit kerana yang tahu itu memang nak KETUK KEPALA kita "kaw kaw punya". Lebih baik berurusan dengan mereka yang tak tahu Inggeris langsung. Peluang untuk kena SCAM tu amat tipis.
  3. Jangan biarkan orang menganiaya dan menindas diri kita. Bertindak bijak dan berani ketika kejadian seumpama ini berlaku. 
  4. Dapatlah saya mengetahui: Apa itu Hutong?
  5. Dapat mengetahui bahawa ada taman indah berdekatan Hutong. 

Ikutilah Kembara Solo saya di China dalam entri yang akan datang. Xie xie.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...