Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Selasa, 31 Julai 2012

TEMPAT MENARIK DI BEIJING #8: Beihai Park

P ada entri yang lepas saya telah mengajak anda ke Istana Musim Panas yang tak habis dijelajah dalam sehari. Kali ini pula saya ingin mengajak anda ke sebuah taman lain yang tidak kurang luas dan cantik: Beihai Park namanya.

Saya pergi berdua bersama anak saudara saya. Kami ke sana dengan menaiki subway laluan 1 dan turun di Dataran Tiananmen. Selepas melawat Dataran Tiananmen kami berjalan kaki menuju ke Beihai Park.

Dalam perjalanan menuju ke Beihai Park itu kami dapat lihat kawasan perumahan tradisional di Beijing yang dikenali dengan hutong. Hutong ini memang unik dan tersendiri, malahan ia adalah warisan Beijing yang sudah semakin pupus, tetapi ada yang masih menghargainya. 




Kami sempat mengambil gambar kawasan hutong itu.  Kami dapat melihat pintu-pintu gerbang hutong yang bercirikan senibina China purba. 



Kami juga dapat melihat lorong-lorong, rumah-rumah, sekolah dan bangunan kerajaan.




Kedai-kedai bersenibina China purba kelihatan menarik di pinggir jalan.





Kami dapat lihat kebiasaan orang di sini iaitu bermain terup dan berjudi di tepi jalan.




Pertama kali saya melihat posnita (penghantar surat wanita) ialah di kampus Universiti Komunikasi China. Apabila saya ke kawasan hutong ini saya terlihat seorang lagi posnita sedang menghantar surat dengan menaiki basikal dari hutong ke hutong. Jadi di China ini, wanita boleh lakukan apa sahaja.





Ada sebuah kedai orang Islam di situ dan mereka mengajak kami singgah makan tengahari. Tetapi melihatkan keadaan dalam kedai yang berselerak dan kurang bersih, kami tidak ada keinginan untuk makan. Kami cuma membeli air botol sahaja. 



Sambil berjalan itu kami sempat juga bertanya kepada beberapa orang, "Di mana Beihai Park?", tetapi ramai yang tak tahu, kerana mereka tidak tahu berbahasa Inggeris. Akhirnya ada seorang pengawal lalulintas memberitahu kami kedudukan yang tepat, itupun menggunakan bahasa China dan bahasa isyarat.

Kami sampai di Beihai Park agak petang. Orang tidaklah ramai berbanding dengan di Istana Musim Panas. Kebanyakannya yang datang ke taman itu adalah orang tempatan. 

Di kawasan luar pintu masuk taman ada pusat penerangan pelancong. Jadi kami masuk untuk mendapatkan  brosur yang hampir kehabisan.

Bayaran masuk ke Behai Park cuma 10 yuan (RM5). Oleh kerana kami sudah banyak berjalan kaki dan kaki pula sudah lenguh, kami menaiki jeep untuk masuk ke dalam taman itu. Bayarannya 10 yuan. 





Kami dapat melihat tasik, bot-bot dan kedai-kedai di taman itu. 

Beihai Park mempunyai sejarah lebih seribu tahun. Ia mula dibina pada zaman dinasti Liao kemudian ditambah pembinaannya dan dibaikpulih pada zaman Dinasti Jin, Yuan, Ming dan Qing. 

Taman ini berkeluasan 69 hektar, tasiknya pula mengambil 39 hektar daripada keseluruhan keluasannya. Pembinaan taman ini adalah berdasarkan kepercayaan kuno Maharaja China yang meniru “taman kayangan” untuk kehidupan selepas mati mereka.





Jeep itu menghantar kami ke bahagian tengah taman. Di situ kami dapat melihat pemandangan yang cantik. Terdapat pulau di tengah-tengah tasik itu. Pulau inilah yang telah dibina oleh Maharaja Liao dahulu yang menimbunkan tanah-tanah menjadi bukit-bukit. Di atas bukit itu pula ada sebuah bangunan tinggi yang dipanggil Dagoba. Dagoba ini dibuat bercirikan tempat ibadat orang Buddha. Ia pernah musnah akibat gempa bumi. Tetapi dibaikpulih semula. 

Dagoba adalah mercu tanda Beihai Park. Untuk ke sana kita perlu menaiki bot. Tapi kami hanya melihat sahaja dari jauh.



Kemudian kami berjalan-jalan melihat taman-taman kecil di situ. Ada bukit-bukit kecil untuk berehat. Ada sebuah tembok berukiran naga sembilan ekor terdapat di situ. Tembok ini hampir sama dengan tembok yang saya lihat di Kota Larangan. Cuma di Kota Larangan naganya tiga ekor. 

Di sini tembok naganya adalah yang terbesar di China. Naga-naga itu terdapat di kedua-dua belah tembok. Disamping sembilan ekor naga besar terdapat juga naga-naga kecil di tepi-tepi dan bucu-bucu tembok yang berjumlah sehingga 635 ekor. Ia telah dibina 200 tahun dahulu tetapi warnanya masih terang dan senibinanya masih sempurna, menggambarkan ketinggian mutu seni China purba.




Kami melihat ramai orang tempatan yang berjogging, berjalan kaki dan beristirehat di situ.



Apabila puas kamipun berjalan kaki keluar meninggalkan Behai Park yang indah. Untuk pulang kami menaiki bas nombor 5 yang perhentiannya berhadapan dengan pintu keluar Behai Park. Tambangnya cuma 2yuan (RM1). Bas nombor 5 ini kemudiannya lalu di Dataran Tiananmen dan kami turun di situ. 

Kami mencari arah stesen subway Tianmen Barat, iaitu dari arah kami datang tadi, tetapi jalan itu ditutup disebabkan ada pegawai penting (VVIP) berada di Dataran Tianamen. Jadi kami kehilangan arah. Lalu bertanyakan pengawal-pengawal di situ, "Where is the subway station?". Semuanya tak tahu apa itu "subway". Beberapa kali kami sebut perkataan "subway station". Semuanya tak tahu. Setelah menunjukkan kamus bahasa China di dalam telefon bimbit saya barulah mereka faham. Seterusnya  kami pulang ke rumah menaiki subway laluan 1 dari Tianamen Barat. Kami pulang dengan seribu ilmu dan kenangan.

Ikutilah Kembara Naramas Aman dalam entri akan datang.


Selasa, 24 Julai 2012

TEMPAT MENARIK DI BEIJING # 7: Istana Musim Panas

I stana Musim Panas (Summer Palace) adalah destinasi kembara saya di Beijing seterusnya.

Kali ini saya tidak sendirian ke sini, ini disebabkan kawan-kawan saya iaitu siswi dari Unviersiti Beiyu mengajak saya ke sana. Kira-kira enam orang semuanya. Ajakan itu saya sambut dengan gembira tambahan pula anak saudara saya baru sampai dari Ipoh, jadi sayapun heretlah dia sama.



Cuaca hari itu amat panas. Oleh kerana tidak membawa payung, kamipun ramai-ramai beli topi yang dijual di kaki lima di kawasan luar Istana Musim Panas. Cuma 10yuan (RM5) sahaja .

Istana Musim Panas ini amatlah besar dan tak boleh habis melawatnya dalam sehari.



Terdapat empat kawasan utama di kawasan Istana Musim Panas ini: Kawasan istana, kawasan tasik, kawasan bukit bahagian depan dan kawasan bukit bahagian belakang.
“Kena datang 3 kali baru habis melawat taman ini,” kata kawan-kawan saya yang sudah datang kali kedua. Kali pertama mereka ke bahagian istana.

Oleh kerana ia sebuah taman yang luas, kami cuma dapat melawat bahagian tasik sahaja pada hari itu.



Di  bahagian tasik Istana Musim Panas ini ada banyak pokok-pokok di pinggir tasik dan bangunan-bangunan bersenibina China purba.


Tasik yang luas di taman ini bernama Tasik Kunming. Pulau yang berada di tengah-tengah Tasik Kunming ini adalah Pulau Nanhu dan ia disambung ke tanah besar oleh sebuah jambatan berbentuk gerbang melengkung.





Pohon-pohon teratai berdaun lebar mencuar dari permukaan air tasik. Bunga-bunga teratai belum lagi berputik kerana ketika itu belum masuk musim panas --penghujung musim bunga.




Untuk ke pulau di tengah-tengah tasik, kita boleh naik feri, bot atau jambatan. Kami pilih bot yang boleh dikayuh dengan kaki. Sungguh gembira rasanya menaiki bot dengan kawan-kawan, sekali-sekala ada juga kami terlanggar bot-bot yang lain. Sambil itu kami sempat ambil gambar dan menikmati suasana taman dengan angin meniup-niup wajah kami. Kami gelihati melihat gelagat Fasha dan Kamilah yang berpura-pura berlagak seperti Jack dan Rose yang mendepangkan tangan di atas dek kapal dalam filem Titanic, tapi tak jadi.

 
Istana Musim Panas ini dahulunya adalah tempat rehat keluarga diraja zaman Maharaja China dalam Dinasti Ching. (Kira-kira pada abad ke-17). Ia dipelihara dengan baik sehingga ke hari ini.

Ini adalah antara contoh terbaik Taman Diraja China. Ia juga mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai satu Warisan Dunia.


Ramai yang datang untuk bersantai, bersiar-siar dan berehat-rehat. Alunan muzik tradisional China dimainkan oleh pemuzik tempatan  di bawah pokok pinggir tasik memukau setiap pengunjung.


Cuaca yang panas membuatkan tekak kami mengidam aiskrim. Mujurlah ada aiskrim berlogo halal dalam tulisan China dijual di situ.

Apabila tiba waktu solat, kami solat di bahagian belakang tembok di taman itu.


Seharian di Istana Musim Panas mengajar kami untuk mencintai alam. Mungkin saya akan datang lagi untuk melawat bahagian lain di Istana Musim Panas yang indah dan luas ini.

Cara ke sana :

Ambil subway laluan 4, turun di Beigongmen atau turn di Stesen Xiyuan, keluarlah dari stesen itu ikut pintu C, kemudian jalan ke arah Barat.




Pertama kali melihat pondok telefon awam berbentuk bangunan China purba memikat hati saya.

Sebenarnya banyak lagi perkara-perkara menarik dan taman-taman yang cantik di China ini. Dalam entri akan datang saya ingin mengajak anda ke taman lain pula. Xai xien!

Jumaat, 20 Julai 2012

Tempat Menarik di Bejing #6:Tembok Besar Negeri China


Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Dah lama rasanya tak berblogging...bukan pasal apa...ini disebabkan blogspot di China ni macam biskut, kejap ada kejap tak ada. Tetapi alhamdulillah sekarang saya kembali semula setelah masalah itu saya dah dapat selesaikan. Jadi maaflah kalau ada rakan-rakan yang menulis komen tapi lambat saya balas. Sebenarnya saya selesaikan masalah ini dengan membayar perkhidmatan untuk mengakses laman web yang disekat di China ni.

Selamat Menyambut Ramadhan! Hari ini kami di China dah mula berpuasa.

Kembali semula kisah saya di Beijing yang tertunggak sekian lama.

Tidak lengkap ke Bejing tanpa menjejakkan kaki ke Tembok Besar. Pepatah China mengatakan bahawa bukan lelaki sejati namanya kalau tidak pernah menjejakkan kaki ke Tembok Besar ini. Rasa tercabar?

Saya telah sampai ke sini pada hujung Mei 2012! Yeay! Yang membanggakan saya, saya pergi sendiri. DIY Great Wall! Maksudnya saya pergi tak payah guna ejen pelancongan. Saya pergi sendiri naik keretapi! Dalam buta huruf dan tak tahu cakap China ni saya dah berjaya sampai! BESTNYA!!!

Selalunya saya Kembara Solo di Negara Tembok Besar ni. Tapi kali ini saya pergi berdua dengan anak saudara saya Fatihah (bukan nama sebenar). Dia baru sampai dari Ipoh, datang melawat saya. Anak saudara saya ni berusia 19 tahun. 

Kami bertolak awal pagi dari rumah. Kami menaiki subway laluan Batong. Kemudian tukar ke laluan 1, ke Fuxingmen. Kemudian tukar ke Laluan 2 untuk ke Xizhimen. 





Kemudian kami jalan kaki ke stesen keretapi Utara Beijing. Di sinilah stesen keretapi ke Tembok Besar itu. Senang saja kami cari stesen ini, ikut arahan anak panah sahaja. Kami keluar ikut Laluan 13. Terus jumpa Stesen keretapi Utara Beijing (Beijing North Sation) tak jauh dari situ.






Kemudian kamipun belilah tiket. Mula-mula pergi ke kaunter 1. Tapi lepas dah beratur mereka suruh pergi ke kaunter lain pula. Apabila saya tanya di mana nak beli tiket ke Badaling (setesen terdekat dengan Tembok Besar), penjual tiket tu hentam cakap China. Saya beritahu dia saya tak tahu cakap China. Tapi dia teeruusss cakap China, berjela-jela pulak tu. Dia tunjuk-tunjukan jari ke arah kaunter penerangan. Maksudnya, dia suruh kami tanya kaunter penerangan. Kami pun pergilah ke kaunter penerangan yang kami sangka penyelamat kami. Tapi kaunter penerangan pun dua kali lima, sepatah bahasa Inggerispun dia tak tahu. Masalah, betul.

Kamipun agak-agak sajalah hendak ke kaunter mana. Tak lama kemudian kami nampak ramai orang mula beratur termasuk Mat Salleh di kaunter 7 dan 8. Kemudian kami dengar pengumuman dalam bahasa China. Yang saya faham cuma "Badaling! Badaling!" Jadi saya agak inilah tempat beli tiket ke Badaling. Saya dan anak saudara sayapun beratur beli tiket. Harga tiket keretapi murah sangat-sangat, 6yuan (RM3) sahaja untuk pergi ke Badaling.






Lepas beli tiket, kamipun masuk ke ruangan menunggu dalam stesen dan terus beratur. Walaupun pintu platform belum dibuka orang sudah ramai beratur. Kami ni kira beratur dalam barisan depan jugaklah. Kami menunggu di platform 6, untuk naik keretapi S209.





Lama juga kami beratur, dalam 45 minit. Setelah itu, keretapipun sampai. Lalu pagar platform dibuka. Sebaik-baik sahaja pagar dibuka, kami lihat orang berlari meluru ke arah keretapi. Kamipun turut lari. Takut tak dapat tempat duduk. Jenuh berdiri sejam lebih nanti. 







Kamipun masuk ke dalam kererapi dan cari tempat duduk. Cepat-cepat cari. Akhirnya kami dapat tempat duduk. Macam main musical chair pulak.

Selesa juga  dalam keretapi tu. Kerusinya besar, lembut dan kaki kita boleh dilunjurkan. Bersih.





Perjalanan memakan masa sejam 18 minit ke Badaling. Sepanjang perjalanan kami dapat melihat pemandangan kebun, kampung, gunung-ganang dan rumah-rumah petani. Menarik!





Apabila hampir sampai ke Badaling kami dapat lihat Tembok Besar China di atas gunung. Sangat panjang dan megah. Lurus, berliku, naik, turun. Teruja benar kami melihatnya. Ramai yang tidak mahu melepaskan peluang mengambil gambar dari cermin tingkap keretapi.




Setelah sampai di Badaling, kamipun turun dan berjalan kaki menuju ke Tembok Besar. Kami ikut orang ramai. Semua dalam keretapi tadi hendak ke Tembok Besar. Kami berjalan lebih kurang dalam 800 meter. Tak jauh. 









  
Apabila sampai di kaki Tembok Besar kamipun beli tiket. Kami pilih dua cara iaitu menaiki kabel dan kemudian berjalan kaki. Untuk kabel kami bayar 80yuan (RM40) pergi balik, untuk yuran masuk ke Tembok Besar kami kena bayar 45 yuan (RM22.50).  Jadi jumlah semuanya 125 yuan (RM62.50).

Kamipun beratur dan menaiki kereta kabel. Seronok. Dari dalam kabel, kami dapat melihat Tembok Besar yang panjang dan megah, gunung-ganang, jurang dan persekitaran dari arah atas. Cantik. 





Setelah sampai di atas, hampir ke kemuncak gunung, kamipun turun dari kereta kabel. Kemudian kami jalan kaki dan mendaki ke bahagian atas Tembok Besar.







Ramai sungguh orang yang datang, walaupun itu hari bekerja.

Sudah tentu kami bergambar di sini. Orang China juga suka meminta kami bergambar dengan mereka. Memang menjadi kebiasan orang China suka bergambar dengan kami setiap kali kami ke mana-mana di Beijing. Mungkin pada pandangan mereka kami ini amat berbeza dengan mereka. 


Kami amat kagum dengan binaan Tembok Besar ini. Saujana mata memandang. Warisan terpelihara ini memang hebat.






Waktu sudah tengahari. Cuaca tidaklah panas sangat. Ketika ini hujung musim bunga. Kami duduk berehat  di atas tangga Tembok Besar lalu makan nasi goreng yang kami masak di rumah pagi tadi. Seronoknya dapat berkelah nasi goreng di Tembok Besar!

Setelah puas di Tembok Besar kamipun turun. Kami pun singgah di kedai-kedai membeli-belah. “Luke! Luke!” (sebenarnya "Look! Look!") kata peniaga-peniaga itu mengajak kami melihat barang-barang jualan mereka. Saya beli fridge magnet. Harganya tidaklah mahal, 50yuan (RM25) untuk 10 buah, gambar Tembok Besar. Kemudian saya beli pinggan seramik bentuk Tembok Besar, 30yuan (RM15). Semuanya saya tawar separuh dari harga yang diletakkan. 


Setelah itu kami mengambil wuduk di bilik air yang letaknya di kaki bukit. Lalu mencari tempat yang sesuai untuk solat. Di belakang tembok, di tepi jalan.




Setelah itu kamipun pergi semula ke stesen keretapi Badaling. Kami lihat tiang-tiang lampu diukir dengan bentuk Tembok Besar. Patung pahlawan menaiki kuda pun ada di tepi jalan.




Semasa sampai di stesen keretapi Badaling, pintunya masih ditutup.





Kami menunggu ia dibuka. Apabila kami tanya pegawai-pegawai di situ, bila tiket mula dijual, mereka semua balas dengan bahasa China. Kantoi! Lepas seorang demi seorang keluar dari dalam stesen untuk cuba menjawab soalan kami. Semuanya tersengih-sengih sebab tak tahu bahasa Inggeris. Semua berusaha untuk menolong tapi tak berdaya. Lama-lama barulah faham bahawa kaunter tiket akan dibuka pada 5.00 petang. Merekapun ajak kami masuk dan suruh kami duduk di kerusi. Kamipun menunggu dalam 1.5 jam di setesen keretapi. 

Sambil menunggu itu kami ditegur oleh seorang lelaki China. Namanya Feng. Kamipun berbual-bual dalam bahasa Inggeris. Feng seorang siswa dari Peking University. Kemudian dia membantu kami membeli tiket apabila kaunter tiket dibuka. Sampai sekarang kami masih berkawan dengannya. (Saya tahu dia nak mengorat anak saudara saya tu he he he)

Ketika itu hari hujan. Pelangi kelihatan indah di langit.




Setelah tiket diperolehi dan keretapipun sampai. Kamipun pulang meninggalkan Tembok Besar. Sayup-sayup Tembok Besar itu hilang dari pandangan kami apabila keretapi bergerak meninggalkan Badaling. 











Itulah sehari di Tembok Besar Negeri China. Satu kenangan yang tidak dapat dilupakan. Impian yang telah terlaksana. Feng kata dia telah menjadi lelaki sejati sebab telah berjaya mendaki Tembok Besar. Tapi saya dan anak saudara saya perempuan. Perempuan sejatikah?


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...