Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Isnin, 29 Oktober 2012

Backpack ke Mongolia Dalam (5): Berkhemah Cara Nomad Mongolia di Padang Rumput Xilamuren


P ada entri yang lalu saya berjanji akan menyambung kisah kembara saya di padang rumput Xilamuren, Mongolia Dalam (Inner Mongolia). Saya telahpun menceritakan tentang kami menunggang kuda, memasuki khemah orang Mongol dan merasa makanan mereka, menyaksikan perlawanan gusti Mongol dan kecekapan mereka menunggang kuda .

Kali ini saya hendak ceritakan tentang keadaan khemah ger atau yurt - khemah Mongol - yang kami inapi pada malam itu, menyaksikan matahari terbenam di ufuk Barat dan menyaksikan persembahan tradisional orang Mongol.

Kawan-kawan dan pembaca sekelian, sekiranya gambar-gambar tidak keluar pada entri ini harap maklumkan kepada saya. Maklumlah saya berada di China. Blogspot di China ini disekat (blocked). Server juga selalu down. Selama di China ini saya menggunakan proxy berbayar untuk mengakses blogspot, facebook, twitter dan semua laman web yang disekat. Jadi harap maklumkan kepada saya kalau gambar tidak keluar ya!

Kuda saya dan Syafiqa meninggalkan kuda kawan-kawan yang lain


Berbalik pula kepada sambungan kisah kami menunggang kuda di padang rumput Xilamuren.

Selepas kami menunggang kuda, kamipun menanti untuk diberi kunci khemah. Sambil itu kami membeli kekacang segar yang baru lepas dibakar, yang dijual oleh penjaja di situ, seperti walnut, badam dan pistachios. Sangat sedap. Murah! Kami kemudiannya berjalan-jalan ke kedai cenderamata yang ada di situ. Macam-macam kraftangan orang Mongol ada dijual seperti rantai kunci, tabung menyimpan arak atau air, skarf, senjata, lukisan, topi dan tempat simpan pen. Fridge magnet tak ada.


Kedai cenderamata yang terdapat di kawasan perkhemahan kami


Tandas Awam Mongol


Seperti biasa, kami mesti hendak ke tandas. Kami memasuki tandas awam yang ada di situ. Apabila masuk sahaja, saya 'terkejut beruk'. Tandasnya TERUK sangat! Kotor! Tisu tandas tercalit najis bertaburan di atas lantai. Tuala wanita (berdarah, maaf ya terpaksa sebut) dicampakkan merata-rata. Lubang-lubang tandas tercongeh! Tidak ada bilik-bilik kecil yang berdinding. No cubicle! Kita boleh nampak orang lain tengah ehem, dia pun boleh tengok kita ehem. Kita boleh nampak dia calit sana, calit sini.

"Eeee tak bertamadun langsung! Apasal dia orang buat macam ni? Tak malu ke?" rungut hati saya.

Tapi saya sudah tak ada pilihan. Saya butakan mata dan sumbatkan hidung.

Apabila saya keluar, Syafiqa menunggu di luar. Dia pun hendak masuk.
"Macam mana? Ok ke?" tanya Syafiqa dengan muka penuh harapan yang saya akan jawab, "OK". 

Tapi saya jawab, "Nightmare!" 

Terus muka Syafiqa berkerut. Nak nangis. Dia nampak macam tak jadi masuk. Tapi saya beri dia semangat.

"Tak apa. Jangan tengok kiri kanan. Jangan pedulikan semua itu. Nah ambil air ini. Cebuk ni. Kita dah tak ada pilihan!" 

Lalu saya suakan air dalam botol, tisu dan bekas air yang sentiasa saya bawa ke mana-mana saya pergi di China ini. Syafiqapun masuk dengan terpaksa. Saya tunggu Syafiqa di luar. Tak berapa lama kemudian Syafiqa meluru keluar, lalu muntah. 

"Oh! Adakah kami akan terus guna tandas tak bertamadun ini selama kami ada di sini?"

Kami bersedih. Dan bersedih. Tidak sanggup untuk menghadapi hari-hari yang mendatang di sini dengan tandas teruk begitu.



Masuk Khemah Ger/Yurt


Tidak lama kemudian kami dapat kunci dan masuk khemah. Dalam bahasa Mongolia khemah ialah ger manakala yurt adalah nama lain bagi khemah yang disebut oleh etnik lain. Saya, Syafiqa dan Najibah masuk khemah ger itu dengan perasaan jakun. Ada 1 katil double-bed dan 1 single-bed. Najibah dan Syafiqa ambil double-bed itu. Ada sebuah tv lama, termos dan meja kecil. Dinding ger itu dibuat daripada kain kanvas jenis tebal dan tahan lasak. Tapi ada yang sudah koyak di bahagian depan. Tiang-tiangnya dibuat daripada besi. Bahagian depannya bercermin. Ada lubang udara di bahagian atas ger.

Najibah membuka pintu ger/yurt setelah mendapat kunci


Keadaan dalam ger/yurt kami

Lubang udara ger/yurt

Kami bertiga terus melihat-lihat keadaan dalam  ger itu. Tiba-tiba,

"Hei ada tandas! kata Najibah.

Kami tidak tahu yang khemah kami itu ada tandas. Terus Najibah tengok tandas!


Najibah melihat tandas dan bilik air khemah ger/yurt kami


"Toilet ni ok." kata Najibah sambil senyum.

Mendengar berita gembira itu kamipun meluru ke bilik air dan tandas. Gembiranya kami dapat tadas yang ok. Walaupun tidaklah sebaik mana. Tapi jauh lebih baik daripada tandas awam tak bertamadun tadi. Lega!


Kamipun berehat-rehat di dalam khemah kami. Asrul dan Adi Putra di khemah lain. Selang sebuah khemah daripada kami.


Majlis Perkahwinan Orang Mongol

 

Majlis perkahwinan orang Mongol yang dihadiri Asrul dan Adi Putra secara kebetulan

Semasa kami berehat-rehat itu, rupa-rupanya Asrul dan Adi Putra pergi melihat majlis kawin orang Mongul. Mereka tak ajak kamipun. Mungkin mereka tak jangka nak ke sana. Kebetulan lalu di situ. Tengoklah gambar majlis kahwin orang Mongol itu (di atas). Kalau kita ada ayam golek (ayam panggang), mereka ada kambing golek (kambing panggang).


Makan Malam Mongol

 

Makan malam Mongol, khemah yurt dan bunga-bunga di sekitar kawasan padang rumput Xilamuren


Kami makan malam dengan hidangan Mongul. Untuk makan kami ke khemah lain yang dibuat khas seperti kantin. Tetapi makan malam kami terlalu awal iaitu sebelum matahari terbenam. Seperti hidangan tengahari kami tadi (dalam entri lepas) ianya terdiri daripada sayur-sayuran, nasi, pau tak berinti dan kacang. Sama seperti tengahari tadi, serunding dan ikan bilis goreng, yang kami bawa dari rumah juga yang kami makan. Makanan orang Mongol ini tidaklah berapa sedap. Maklumlah tekak kami ni tekak Malaya.




Padang rumput Xilamuren waktu petang


Sedang kami makan itu matahari pun dengan perlahan-lahan ingin masuk ke peraduan. Mula-mula Adi Putra dan Asrul keluar. Lepas tu Syafiqa. Lepas tu Najibah. Seorang lepas seorang belari keluar khemah hendak melihat keindahan matahari terbenam itu. Tinggal saya keseorangan di meja makan. Mereka tinggalkan beg mereka di situ. Saya kemas-kemaskan barang-barang mereka kalau-kalau ada yang berharga. Lalu saya keluar mencari mereka. Jadi saya sudah terlambat sedikit melihat matahari terbenam itu. Inilah hasil yang sempat saya rakamkan.


Senja di Padang Rumput Xilamuren

  












Bagaimana? Suka tak dengar gambar-gambar itu tadi?

 

Malam di Padang Rumput Xilamuren


Pada malam itu kamu berlima pergi menyaksikan persembahan tradisional orang Mongol. Ada nyanyian yang dinyanyikan oleh penyanyi wanita dan lelaki yang diiringi dengan keyboard. Seorang wanita kemudiannya menari menggunakan mangkuk-mangkuk yang dijunjung di atas kepala. Ada juga persembahan menggesek morin khuur iaitu sejenis biola berkepala kuda dan mempunyai dua tali.

Persembahan mereka diakhiri dengan tarian bebas (ala-ala joget lambak), iaitu penonton menari beramai-ramai. Backpackers berlima tengok sahaja orang ramai terkinja-kinja di situ.

Pertunjukan bunga api dan memasang unggun api juga diadakan.


Persembahan orang Mongol



Ger kami pada waktu malam


Perkara luar biasa yang berlaku di padang rumput Ximauren ini ialah pada siang hari cuacanya panas. Tetapi pada waktu malam suhu turun dengan mendadak.sehingga 14 darjah celsius. Kami berpakaian tebal walaupun ketika itu musim panas.

Kami kemudian lepak-lepak di luar ger, berbual-bual sambil mengopek kulit kacang walnut dan badam. Sambil mengunyah kacang kami  merenungnya bulan di langit. Sangat indah.


Khemah ger pada waktu malam


Setelah kesejukan, kamipun masuk ke dalam ger masing-masing. Besok kami ada eskursi yang amat adventurous. Kami akan ke padang pasir!


Asrul dan Adi Putra melompat kegembiraan kerana sudah sampai di Padang Rumput Xilamuren



Padang pasir! Jadi kalau nak tahu di mana dan bagaimana rupa padang pasir itu, ikutlah Naramas Aman dalam entri akan datang. Jumpa lagi.

...bersambung


Selasa, 23 Oktober 2012

Backpack ke Mongolia Dalam (4): Menunggang Kuda di Padang Rumput Xilamuren


H ari ini adalah hari kedua 5 backpackers Malaya berada di Hohhot, Mongolia Dalam (Inner Mongolia). Hari ini adalah hari yang juga kami nanti-nantikan di Hohhot. Pagi ini kami akan berangkat ke Xilamuren iaitu salah sebuah padang rumput yang terkenal di Mongolia Dalam. Tujuan kami ialah untuk merasai kehidupan nomad Mongol. Selama ini kami baca dalam buku teks sekolah sahaja. Ingin juga kami mengetahui cara kehidupan nomad orang Mongol yang suka berpindah-randah itu. Masihkah mereka berpindah-randah? Ingin juga kami mengetahui keadaan padang rumputnya. Melihat sendiri lembu-lembu Friesian dan biri-biri meragut rumput. Menunggang sendiri kuda-kudanya. Eee seronoknya!
 

Van yang mengambil kami datang pada pukul 7.45 pagi di hotel kami dan membawa kami ke destinasi. Sepanjang jalan kami melihat banyak ladang-ladang yang luas. Bukit-bukau, kincir angin dan khemah-khemah yurt. 


Pekan kecil dengan kincir angin yang dilalui dalam perjalanan ke padang rumput Xilamuren

Dengan papan tanda jalanraya dalam tulisan Mongol dan China ini, bolehkah saya sampai kalau datang sendirian?

Perjalanan memakan masa dua jam. Kami sampai hampir pukul 10 pagi. Van kami masuk ke dalam kawasan padang rumput Xilamuren yang luas melaut saujana mata memandang. MasyaAllah! Perkhemahan Mongul juga terdapat di sepanjang jalan. Pelbagai bentuk dan warna. Ada macam-macam kelas: esklusif, pertengahan dan marhaen. 

Apabila kami masuk ke padang rumput Xilamuren yang bakal kami rejah kami dapat lihat banyak khemah putih dengan kedudukan yang rapat-rapat, sekelompok sekelompok. Jarak di antara satu kelompok dengan satu kelompok yang lain itu juga boleh tahan jauhnya, anggaran 15-30 km bagi setiap kelompok. Ada juga khemah-khemah yang berdekatan dengan bangsal batu-bata dengan kuda-kuda dan kambing biri-biri berkeliaran. Ada juga khemah-khemah yang tersendiri tanpa binatang-binatang ternakan. 

Tapi minta maaflah kekawan, gambar yang saya ambil kurang elok sebab van yang kami naiki itu terlalu laju. Khemah-khemah itu pula terlalu jauh dari jalanraya. Hanya gambar-gambar di bawah inilah yang elok sedikit. Ce tengok.

Memasuki kawasan padang rumput Xilamuren

Khemah-khemah orang Mongul yang dikenali dengan yurt di kawasan padang rumput Xilamuren. Gambar ini aku ambil dari van kami yang sedang bergerak masuk dengan laju.


Van kami berhenti di sebuah khemah besar. Di situ kami lihat ada seorang perempuan Mongol yang sedang menyanyi

Apabila kami turun kami disambut oleh beberapa orang lelaki Mongol yang memegang arak di tangan. Mereka menyuakan arak yang telah dituang ke dalam mangkuk ayan kecil kepada kami sebaik-baik saja kami turun dari van. Saya terpinga-pinga melihat mereka menyuakan arak itu ke arah saya. Namun saya pura-pura buat bodoh dan tidak langsung menyambutnya walaupun sudah dipesan di dalam van tadi supaya menyambutnya ataupun tunduk kepada mereka. Kerana kalau tidak buat begitu, bermakna kita tidak hormat mereka dan mereka tidak suka. Melihatkan saya tidak respons maka orang Mongolia itu menyuakannya kepada orang lain. Kalau tidak silap saya dia suakan pada Syafiqa. Syafiqa terkejut. Tanpa berfikir-fikir terus dia terima; tak tahu nak buat apa. Lalu cepat-cepat bagi balik kepada lelaki Mongol itu. Nak tergelak pun ada melihat gelagat Syafiqa yang terkejut dan gabrah itu. Lepas tu Syafiqa menyesal fasal terpegang benda haram tu! Sambil itu penyanyi wanita tadi terus menyanyikan lagu Mongolia dengan menggunakan mikrofon dan pembesar suara. Gegak gempita kawasan ladang itu dengan nyanyian serta muzik tradisional Mongol itu. Sudah tentulah sepatah harampun kami tak faham.

Menyambut tetamu cara orang Mongol

Kami kemudiannya pergi ke arah padang yang luas yang terdapat beberapa ekor kuda. Lebih kurang 100 ekor kuda ada di situ. Kami diberitahu oleh seorang lelaki di situ (kemudian diterjemahkan oleh Adi Putra) sekiranya hendak menaiki kuda hendaklah membayar mengikut jarak atau pilihan destinasi.  Ada pilihan 240 + 20 yuan. Ada yang 360 + 20 yuan,  480 +20 yuan dan 600 + 20 yuan. (Untuk convert ke duit Malaysia kena bahagikan dengan 50%. Yang + 20 itu insuran).

Kami memilih 2 destinasi iaitu; 1) menunggang kuda menuju kawasan padang rumput tempat kuda meragut dan; 2) memasuki khemah Mongol dengan layanan cara Mongol. Kalau hendak mengambil insuran, kita perlu tambah 20 yuan lagi. Setelah membayar harganya RMB240 (RM120)  tanpa insuran, kamipun naiklah kuda dengan bantuan penjaga kuda di situ. Inilah pertama kali saya naik kuda. Dah tua-tua ni baru saya nak cuba naik. Buang tebiat ke Opah Malaya ni?

(Perlu diingatkan di sini kekawan, mereka ini kalau boleh hendak kikis duit setiap orang yang datang, jadi kalau boleh tawar menawarlah dengan mereka. Misalnya insuran tak perlu bayar pun tak mengapa, sebabnya apabila ditanya, "Insuran itu cover apa?" Mereka tak boleh jawab. Mereka minta sangat-sangat kami ambil insuran itu, padahal insuran itu tak cover apa-apa pun).

Jarak perjalanan menunggang kuda ini adalah kira-kira 9 km. Jauh juga. Ketika menaiki kuda itu kami tidak dibenarkan membawa beg. Kamerapun tak boleh bawa. Mereka hendak simpankan untuk saya. Saya tak beri. Kalau hilang putihlah mata saya. Saya bawa kamera itu naik kuda. Kamera itu saya silangkan di bahu.Tapi tak boleh ambil gambar. Saya dah tahu kalau mereka tidak benarkan kita ambil gambar, bermakna mereka ada tukang gambar mereka sendiri. Jadi mesti nak cari untung lebihlah ni. Tapi saya tangkap juga gambar tanpa mereka sedari. Paspot dan duit saya letakkan di dalam pouch di bahagian pinggang saya. 

Sepekara lagi, kalau ada sakit jatung atau tekanan darah tinggi tidak dibenarkan naik. Mereka dah tanyakan soalan itu pada saya. Mungkin mereka nampak saya OTAI, sebab itu mereka tanya. Saya beritahu mereka saya tidak ada semua itu. Alhamdulillah. Mereka kemudiannya memberitahu cara-cara untuk mengawal kuda itu dengan tali yang kami pegang itu. Kita boleh suruh kuda itu ke kiri, ke kanan, jalan perlahan, jalan laju dan berhenti.

Pada mulanya kuda kami berjalan perlahan-lahan. Rasa sangat seronok. Kami semua menyeringai dan ketawa kecil. Tetapi sekali-sekala kuda itu berjalan laju-laju. Ketika inilah saya rasa macam nak senak perut dan rasa sakit di bahagian dada. Begitu juga ada rasa sakit pada tulang paha disebabkan tulang belakang kuda yang keras itu mengena tulang paha saya. Tetapi sakit itu hilang kalau kuda itu berjalan perlahan-lahan. Walaupun kami rasa sedikit sakit kami tetap seronok. Keseronokan menaiki kuda di padang rumput Xilamuren dengan berjemaah ini menghilangkan kesakitan kami.

backpackers Malaya menunggang kuda Mongolia. Gambar ini diambil oleh orang Mongol di situ. Gambar ini dijual kepada kami 15 yuan sekeping. Tapi kami tawar dapatlah 10 yuan sekeping. Gambar ini Opah Malaya dah scan dan dah touchup untuk tunjuk di sini. Gambar yang ditangkap oleh tukang gambar Mongol ini asalnya tak cantik, mahal berdentum pulak tu. Tapi sebab susah nak dapat syot macam ni, saya beli juga.

Agak jauh juga perjalanan kami menunggang kuda itu. Kami diberitahu bahawa perjalanan pergi adalah 4.5 km. Balik pula 4.5 km. Kami pergi menuju sebuah kawasan padang rumput yang luas. Oleh kerana kami memilih pakej menunggang yang murah, (sebab semekin, makan semekut), kami hanya menunggang kuda ke kawasan kuda meragut rumput dan mengalami suasana kehidupan orang Mongol di dalam khemah yurt mereka. Kalau ingin melihat tasik yang cantik di situ dan mengalami kehidupan penternak kambing biri-biri dan lembu kenalah bayar harga yang lebih tinggi.

Kami sampai di kawasan perumahan orang Mon

Akhirnya kami sampai ke sebuah khemah orang Mongol. Kami turun dan masuk ke dalam khemah orang Mongol itu. 

Ada seorang wanita Mongol berusia 60an berada di dalam khemah itu dan sudah menghidangkan kami kudap-kudapan berasaskan susu dan butiran jagung. Kami tengok ia boleh dimakan. Kami pun duduk. 

Dalam khemah itu terdapat gambar Genghiz Khan pemimpin Mongol yang menjadi kebanggaan mereka. Sebentar kemudian kami dihidangkan dengan susu dalam mangkuk kecil dengan butiran jagung kering di dalamnya. Kami tunggu juga Opah Mongol itu pelawa kami makan. Tapi dia asyik keluar masuk khemah je, pergi ke sinki, buat apa entah dan berlabun dengan kawan Mongol dia. Dengan kami tidak. Kami pun sapu sajalah kudapan itu walaupun tak dipelawa. Memang muka backpackers Malaya ni tak malu langsung! Opah Mongol ini tidaklah peramah, tak macam Opah Malaya. Dia buat hal dia sendiri. Buat muka sadin je. Opah Malaya tak gitu. Jadi tak berapa syok tang ini.

Khemah yurt orang Mongol yang kami masuki

Makanan berasaskan jagung dan susu adalah makanan utama orang Mongol

Opah Mongol bekerja di dapur sambil merokok. Opah Mongol ini juga tidak peramah.

Suasana di dalam khemah yurt Mongol

"Adoi! Sakit kepala aku! Rendahnya pintu khemah ni!"

Bersiap untuk kembali semula menunggang kuda di kawasan perumahan/khemah Mongol

Setelah mengudap makanan Opah Mongol yang tak mesra dengan tetamu dari Malaya itu tadi, kami kembali semula menaiki kuda dan kali ini kami harus kembali semula ke tempat kami mula-mula datang tadi. Kali ini kuda yang kami tunggang berlari semakin lama semakin laju. Dada saya terasa semakin lama semakin sakit. Sehingga saya rasa tak tahan lagi. Ingin cepat-cepat sampai. Agaknya kalau jauh lagi, saya mungkin sudah pitam. Ini disebabkan hentakan kuda dan gerakannya yang atas-bawah, atas-bawah itu membuatkan badan saya melambung-lambung di atas belakang kuda. Syafiqa dan Najibah pun rasa yang sama macam yang saya rasa. Tetapi Asrul dan Adi Putra selamba saja. Yalah mereka itu lelaki. 

Saya rasa equestrian wanita memakai sejenis coli yang dibuat khas untuk menunggang kuda. Pergerakan kuda yang atas-bawah, atas-bawah membuatkan berlakunya gerakan vertikal payu dara, tidak kira saiznya kecil atau besar. Coli itu perlu ada "no bounce guarantee" kerana ia boleh menghalang pergerakan vertikal payu dara itu dan kalau terlalu lama menunggang tanpa memakai coli itu ia boleh menyebabkan bengkakan tisu payu dara. Dah menunggang kuda ini barulah Opah Malaya tahu. Sebelum ini tak pernah terfikirkan itulah masalahnya pada wanita.

backpackers Malaya menunggang kuda dan berhenti sebentar di kawasan kuda meragut rumput. Yang berbaju hijau dan berseluar jingga itu ialah pemandu kuda kami.

Kemudian kami dipanggil makan tengahari di dalam sebuah khemah, ala-ala kantin. Kami telah memesan makanan halal atau sayur-sayuran sejak semalam iaitu sebelum kami sampai lagi. Kamipun lihatlah apa yang mereka sajikan. Setelah melihatkan makanan yang dihidangkan yang semuanya sayur, nasi dan pau kosong kamipun bismillah, makanlah apa yang patut. Serunding dan ikan bilis goreng yang dibawa dari rumah tidak lupa kami keluarkan untuk menyesuaikannya dengan selera kami. Kalau tidak Opah Malaya tak berapa lalu makan masakan Mongol ni. Maklumlah tekak Opah Malaya, tekak gulai tempoyak!

Hidangan makan tengahari bersayur cara Mongol di dalam khemah yurt

Selepas makan tengahari cara orang Mongol, kami menyaksikan pertandingan gusti orang Mongol dan kehandalan mereka menaiki kuda. 

Gusti (judo) Mongol dan pertunjukan kemahiran menunggang kuda

Petang ini kami akan menginap di khemah Mongol, menyaksikan matahari terbenam dan menyaksikan piao yen iaitu persembahan tradisional orang Mongol. Bagaimanakah rupa khemah kami itu? Apakah persembahan tradisional Mongol itu? Bagaimanakah rupanya suasana waktu matahari terbenam? Kalau hendak tahu, ikutilah Naramas Aman dalam entri akan datang. 

...bersambung.


Sabtu, 20 Oktober 2012

Backpack ke Mongolia Dalam (3): Jatuh Cinta Pada Remaja Tahfiz Hohhot

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada rakan-rakan Nota Kembara dan pembaca sekelian,

P ada entri yang lalu saya berjanji akan memberitahu bahawa saya jatuh cinta pada remaja di Hohhot, Mongolia Dalam (Inner Mongolia). Bagaimanakah ia boleh berlaku? Baiklah, di sini saya akan ceritakan sebab-sebabnya saya jatuh cinta.

Kota Hohhot di waktu senja

Pada hari itu setelah berjalan-jalan di kotaraya Hohhot bersama 4 backpackers: Asrul, Adi Putra, Najibah dan Syafiqa sehingga hampir senja, kamipun ke Masjid Besar (Qinzhengdasi) untuk solat Magrib dan Isyak.

Kamipun masuklah ke dewan solat. Dewan solat lelaki di bangunan bawah. Dewan solat (musala) wanita di tingkat atas dan perlu naik tangga. Ramailah kaum Hawa yang hadir untuk solat jemaah itu. Ramai yang muda-muda dan memakai jubah hitam. Nampak sungguh sempurna pemakaian mereka. Sejuk mata menengok mereka berpakaian begitu. Seronoknya dapat solat dengan mereka!




Imam pula membaca ayat-ayat al-Quran dengan begitu baik sekali, lengkap dengan tajwid, mengikut lajjah Arab dan lagunya sedap didengar. Tanpa dipinta airmataku jatuh setitis demi setitis.


Menambah kawan baru
Rasulullah SAW bersabda, ‘Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal kecintaan dan kasih sayang di antara mereka adalah laksana satu tubuh, yang apabila salah satu anggota tubuhnya sakit, maka seluruh tubuhnya akan merasakan sakit’ (Hadis R. Muslim)


Oleh kerana kami musafir kami solat jamak sahaja. Setelah selesai semua kewajipan kami, kami didatangi oleh ramai anak-anak gadis. Mereka amat gembira dengan kehadiran kami. Ramai yang ingin berkenalan dan meminta nombor telefon serta emel. Oleh kerana Syafiqa tahu cakap China, maka dia dapat lebih banyak kawan baru dan lebih banyak berbual-bual dengan mereka.

Gadis-gadis Islam Hohhot yang hadir solat Maghrib dan Isyak di Masjid Qinzhengdasi

Menara Masjid Qinzhengdasi yang unik

Setelah itu kamipun turun dan keluar dari musala itu dan pergi ke kawasan hadapan masjid. Ada beberapa jemaah lelaki di dalam dan di luar masjid menunggu waktu Isyak. Kami lihat beberapa orang remaja lelaki mundar-mandir di hadapan madrasah, menghafaz ayat-ayat Al-Quran. Mereka memakai jubah putih dan berserban merah-putih. MasyaAllah wajah mereka kelihatan sungguh bersih. Khalis! Suci! Sesuci embun pagi! Mereka adalah pelajar-pelajar Tahfiz al-Quran.


Pelajar-pelajar tahfiz sedang menghafaz al-Quran

Asrul dan Adi Putra sedang berbual dengan pelajar-pelajar tahfiz al-Quran Hohhot

Asrul dan Adi Putra ada di situ. Asrul memperkenalkan kami dengan seorang al-hafiz yang sudah menghafaz 30 juzuk al-Quran dan berusia 25 tahun. MasyaAllah! Saya kagum! Saya pun suruh al-hafiz itu membaca surah Al-A'la. Lalu beliau membacanya dengan lancar di hadapan kami tanpa melihat al-Quran. Wajahnya bersinar bak purnama! Saya jatuh cinta pada mereka kerana mereka adalah golongan yang mulia di sisi Allah. 
"Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan orang-orang pilihannya.” (Riwayat Ibnu Majah).

"Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Riwayat Muslim)

"Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan yang mengajarkannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Remaja ini adalah seorang al-hafiz, sudah menghafaz keseluruhan al-Quran

Pelajar-pelajar tahfiz al-Quran sedang menelaah dan menulis tulisan Arab.

Asrul memberitahu kami bahawa dia telah melihat bilik kuliah mereka dan melihat mereka menelaah kitab dan menulis tulisan Arab. Mereka ingin membawa kami melihat bilik kuliah itu. Tapi tiba-tiba muazin meneriakkan azan Isyak. Lalu semua pelajar-pelajar tahfiz itu beratur di hadapan masjid, mendengar azan. Setelah selesai azan, semuanya menadah tangan dan berdoa. Sejurus kemudian mereka masuk ke masjid untuk solat Isyak.

Muazin melaungkan azan di hadapan pintu masuk masjid

Selesai solat isyak remaja Tahfiz al-Quran di sini duduk di masjid mendengar tazkirah

Begitulah kagumnya saya melihat anak-anak muda Hohhot yang menjadi penghafaz ayat-ayat suci Al-Quran. Penghafaz al-Quran (hamlatul Quran) ataupun al-Hafiz ini dan ibu bapa mereka mendapat ganjaran yang besar daripada Allah, iaitu di dunia dan di akhirat.
"Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya maka kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini." (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud)
Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al-Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafaznya).”(Riwayat Muslim)



Kota Hohhot pada waktu malam

Pada malam itu Adi Putra menelefon ejen pelancongan yang kami jumpa di stesen keretapi pagi tadi. Kami setuju dengan pakej mereka untuk ke Xilamuren esok pagi. Kami pilih ejen itu sebab tawaran yang diberikan adalah berpatutan dan ia lebih memudahkan kami ke sana. Kami bayar 250 yuan (RM125) untuk pakej itu. Ini termasuk penginapan, makanan dan pengangkutan. Kami akan menginap di khemah yurt orang Mongol, menaiki kuda dan ke padang pasir.

Dapatkah kami mencapi hasrat kami ke Xilamuren, hidup berkhemah macam nomad Mongol dan menunggang kuda di padang rumputnya? Kalau anda ingin tahu, nantikan kembara saya dalam entri akan datang.

...bersambung...







Rabu, 17 Oktober 2012

Backpack ke Mongolia Dalam (2): Hohhot, Kota Islam Yang Mesra Tetamu

Entri kali ini adalah sambungan dari kisah Naramas Aman Backpack ke Mongolia Dalam (Inner Mongolia) bersama 4 orang backpackers remaja Adi Putra, Asrul, Syafiqa dan Najibah. Kembara yang amat mengujakan. Super excited!

Pada entri yang lepas kami menaiki keretapi-sesak-penumpang kelas marhaen dari Beijing ke Hohhot, ibukota Mongolia Dalam dan akan sampai selepas matahari terbit.

Setelah melalui perjalanan menaiki keretapi-sesak-penumpang kelas marhaen itu selama 10 jam, kami pun sampai ke Hohhot pada keesokan harinya iaitu pada 28 Ogos 2012. Ketika itu 7.10 pagi. Keretapi tepat sampai pada waktunya. Kami turun, menggalas dan mengheret beg.

Kami sampai di Hohhot pada pukul 7 pagi 


"Tapi betulkah kita sudah berada di Hohhot?" Ragu-ragu melanda benak hati kami. "Laju je turun keretapi. Tak nampak pun tulisan Hohhot pada papantanda. Semua tulisan pelik je."

Saya dan Asrul gesa Adi Putra untuk periksa. Adi Putra segera bertanya pada seorang lelaki beruniform yang berdiri dekat keretapi yang sedang bergerak meninggalkan stesen itu. Cepat-cepat tanya, fasal kalau sudah tersalah stesen bolehlah kami terkam keretapi yang sedang bergerak itu. Pegawai  beruniform itu kata kami sudah sampai di Hohhot. Huh lega! Setelah itu kamipun berjalan keluar stesen.

Kami gembira kerana kami sudah sampai ke destinasi yang betul dan perjalanan dari Beijing ke Hohhot dipermudahkan Allah.
Orang terlalu ramai di stesen keretapi Hohhot.

Apabila kami sampai di luar stesen kami nampak sebuah restoren halal. Betul-betul di hadapan stesen keretapi Hohhot itu. Kami semua senyum lebar dan jakun apabila nampak restoren halal tu.


Restoren halal ini terdapat betul-betul di hadapan stesen keretapi Hohhot

Kami bercadang untuk pusing-pusing sahaja di bandar Hohhot pagi itu sehingga ke petang. Tapi beg kami berat bagaikan ada batu giling di dalammnya dan perlu disimpan di locker (bahagian penyimpanan). Kamipun simpan beg kami di bahagian penyimpanan beg di stesen keretapi itu. Kami bayar 8 yuan (RM4) untuk 1 buah beg.

Kemudian kamipun melilau melihat kedai-kedai di hadapan stesen itu.

"Kita cari hotel dulu." kata Adi Putra.

Tiba-tiba kami dipancing oleh dua orang dari ejen pelancongan yang dah lama memerhati kami. Mereka pujuk kami ke Padang Rumput Xilamuren dan berkhemah ikut cara nomad Mongol. Adi Putralah yang berurusan dengan mereka sebab dia yang paling pandai sekali cakap China. Asrul pun turut sama. Najibah dan Syafiqa pergi kedai cari selipar. Saya tengok saja dari jauh dan ambil gambar.

Mereka memujuk beberapa kali untuk ambil pakej mereka. Saya dan Asrul ingatkan Adi Putra supaya berhati-hati takut kena sembelih hidup-hidup. Jangan termakan pujuk rayu mereka. Kami tidak berjanji apa-apa dengan agen itu, cuma kami minta tempoh untuk berbincang.

Ulat-ulat di hadapan stesen keretapi Hohhot sedang naik daun, cuba memujuk kami mengambil pakej pelancongan mereka



Kemudian kami pun pergi mencari hotel yang terdapat di sekitar stesen subway itu. 3 buah hotel kami pergi tanya dan tengok. Kadarnya antara 130-160 yuan (RM65-80) semalam. Tetapi kami akan buat keputusan petang nanti.

Youth Hostel, universiti dan deretan kedai yang kami pergi tidak berjauhan dengan stesen keretapi Hohhot.


Kami kemudiannya pergi jalan-jalan di situ dan cari makan. Ada banyak restoren halal di situ. Peniaga-peniaga restoren itu keluar pintu bila nampak kami. Mereka senyum, memberi salam kepada kami dan menggamit-gamit kami supaya masuk ke kedai mereka. Kami pilih sebuah restoren.

Kami brunch di sebuah restoren halal berdekatan dengan Inner Mongolia Normal University


Setelah makan kami pun menaiki bas ke pusat bandar Hohhot. Kami hendak mencari Monastery Dazhao dan Masjid Besar atau dikenali di sini sebagai Qinzhengdasi. Kami tengok peta. Tengok papan tanda. Tanya orang. Naik bas. Turun bas. Naik. Turun. Sudah dua tiga buah bas kami naik turun, tapi tak sampai-sampai, tak jumpa-jumpa. Fasalnya ada yang tertidurlah, tersalah baslah, terlajaklah, singgah-singgah kedai dan window shoppinglah. Bila nak jumpanya?

Menaiki bas, membaca papan tanda dan bertanya orang di tepi jalan


Pizza Hut dan  kesibukan kota Hohhot. Lihatlah tulisan Mongolia pada bangunan Pizza Hut. Lain kan?


Dalam mencari-cari itu, kami ternampak sebuah restoren halal. Kalau nampak je restoren halal di China ni kami rasa gembira. Asrul dan Adi Putra hampiri restoren itu. Tiba-tiba seorang lelaki keluar dari restoren itu lalu bertanya ke mana kami hendak pergi. Setelah memberitahunya diapun menjelaskan cara-cara untuk pergi ke tempat-tempat itu. Entah macam mana dia kata dia hendak hantar kami dengan keretanya. Rupa-rupanya dia tauke restoren halal tu! Namanya Yusuf. Dia beri kami air mineral yang ada banyak dalam keretanya dan sebungkus biskut. Lalu kami masuk ke dalam perut kereta. Tauke restoren itu lalu menghantar kami ke Dazhao.

Yusuf menghantar kami menaiki keretanya. Di sebelah kanan ialah restoren halal kepunyaan Yusuf



Yusuf menurunkan kami di hadapan Dazhao.

"Jalan-jalan di sini dulu ya. Nanti saya datang balik dalam 20 minit. Saya akan bawakan orang yang pandai cakap Melayu. Lepas tu kita pergi masjid," kata Yusuf.

Yusuf lalu meninggalkan kami.

"Eh biar betul! Nak panggil orang pandai cakap Melayu? Nak bawa kita jalan-jalan? Kenapa baik sangat ni. Baru kenal tak sampai lima minit dah baik macam ni? Ye ke? Dia orang travel agent ke? Hei entahkan kita kena paw nanti?" curiga kami.

Kamipun jalan-jalan di depan Monastery Dazhao itu. Kami lihat ada banyak gerai buah-buahan, kekacang dan pakaian bulu di situ. Lalu kami pergi membeli-belah di situ.

luar kawasan Monastery Dazhao, kuil Tibet yang tertua dan terbesar di Mongolia Dalam. Melihatkan ia membuatkan kami faham mengapa Masjid-masjid di China mempunyai ciri-ciri senibina yang sama dengannya.

Gerai buah-buahan dan pakaian bulu yang terdapat di hadapan Monastery Dazhao

Tengah-tengah syok menerai baju bulu Mongol, tiba-tiba Yusof datang. Rasa macam tak puas kami di situ, tetapi Yusuf datang dengan keretanya terus mengambil kami dan menurunkan kami di Masjid Qinzhengdasi. Tak lama kemudian seorang perempuan datang. Dia tahu cakap Melayu sikit-sikit. Orangnya peramah. Dia memakai hijab. Umurnya dalam lewat 20an. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Nadiya dan pernah belajar di Malaysia. Kami mula-mula ragu-ragu tentang kebaikan mereka ini kerana cepat sangat mesra. Kami ingin tahu samada mereka menolong kami kerana Allah atau ada udang di sebalik mee. Tapi macam mana nak tanya dengan sopan? Macam mana caranya supaya dia tak perasan kami sangsi pada mereka tu?

"Nadiya kerja apa?" tanya saya. Kalau dia jawab dia kerja dengan agen pelancongan, siaplah kami. Bermakna kami dah masuk perangkap ulat-ulat yang menangguk di air keruh.

"Saya guru sekolah," kata Nadiya apabila saya tanya dia. Sebaik-baik dia kata begitu barulah hilang rasa sangsi kami.

"Saya mengajar Bahasa Inggeris. Saya belajar Bahasa Inggeris di British Council Kuala Lumpur dua tahun. Sebelum tu saya belajar bahasa Arab di Universiti Insaniah 4 tahun. Saya suka Malaysia. Saya suka petai! Ada bawa petai tak?  6 tahun saya di Malaysia. Mak saya kata saya dah macam orang Malaysia. "

Kamipun sudah mula sukakan Nadiya dan Yusuf.

"Yusuf ni, bapa saudara saya," sambung Nadiya lagi.

Kemudian kami dibawa Nadiya dan Yusof ke Masjid Besar (Qinzhengdasi) dan melawat kawasan masjid. Gambar-gambar di bawah ini memberi kenangan yang indah buat kami.

Bergambar untuk kenang-kenangan bersama Nadiya (berbaju biru) dan Yusuf (t-shirt putih) di Masjid Qinzhengdasi. Gambar ini diambil oleh Adi Putra.

Senibina dan seniukir Masjid Qinzhengdasi yang unik



Dalam kawasan Masjid Qinzhengdasi. Tangga kiri ini menuju ke madrasah/bilik kuliah pelajar lelaki. Bangunan kuning dan berkubah hijau di belakang sekali adalah Hotel Jupiter yang kami inapi.

Kenangan indah dan berharga ini pasti tidak kami lepasi untuk diabadikan

Kelihatan Nadiya membawa kami berjalan-jalan dan melihat-lihat kawasan Masjid Qinzhengdasi

Batu bersurat di Masjid Qinzhengdasi

Cuba teka ini bangunan apa? Masjid? Tak, bukan...Sebenarnya ia adalah sebuah spa untuk orang bukan Islam.

Yusuf dan Nadiya membawa kami jalan-jalan di Masjid Besar (Qinzhengdasi). Bangunan spa ini letaknya bersebelahan dengan Masjid Besar. Yang berdiri tepi kiri sekali ialah Yusuf. Nadiya pula tak nampak dalam gambar ini sebab dia yang tangkapkan gambar ini.


Orang Kaya Berhati Emas!



Yusuf kemudiannya membawa kami ke sebuah restoren untuk makan. Restoren itu tidak jauh dari Masjid Qinzhengdasi, di belakang sahaja. Makanannya enak-enak belaka. Banyak pulak tu. Mewah! Tak habis kami makan. Rupa-rupanya restoren itu milik Yusuf. Yusuf ada 3 buah restoren halal di Hohhot. Dasyat kau! Orang berada tapi berhati emas! Kami dilayan dengan begitu mesra dan baik. Subhanallah baiknya orang Islam Mongol ini. Baru kenal tak sampai 5 minit dah bawa kami jalan-jalan dan makan-makan.

Yusuf menjamu kami makanan Islam Hohhot yang enak dan mewah di restoren miliknya



Nadiya sarankan kami sewa hotel di situ kerana makanan halal senang didapati dan dekat dengan masjid. Kamipun suka dengan tempat itu. Nadiya rekomen kami sebuah hotel. Hotel itu dekat  dan berhadapan dengan masjid. Di seberang jalan saja. Kamipun dibawa Nadiya ke hotel itu. Setelah bertanya di kaunter, kamipun masuk melihat bilik hotel itu. Semalam kami perlu bayar kira-kira 140 yuan (RM 70) sebilik. Terus kami confirm untuk menginap di situ.

Nadiya membawa kami melihat Inner Mongolia Jupiter Hotel di hadapan Masjid Qinzhengdasi


"Saya suka orang Malaysia." kata Nadiya tanpa ditanya. "Semasa saya di Malaysia, ramai orang Malaysia TOLONG saya. Tolong cari rumah. Pindah rumah. Macam-macam. Jadi saya rasa amat bertuah dan terhutang budi. Itu sebab kalau ada orang Malaysia datang sini saya akan tolong mereka sebaik mungkin." luah Nadiya kepada kami.

Kemudian Yusuf offer untuk bawa Adi Putra dan Asrul ke bilik locker di stesen keretapi dan ambil beg-beg kami. Saya, Syafiqa dan Najibah  tunggu di hotel.



Sepetang di  Kota Muslim, Hohhot 

 


Kedai-kedai kuih halal

Pelbagai pilihan kuih, makanan berasaskan susu dan tanda mata untuk dibawa pulang


Etnik Uyughur dari Xinjiang yang berniaga di Hohhot


Petang itu kami jalan-jalan di bandar Hohhot. Seronoknya! Semua kedai-kedai di situ dimiliki oleh orang Islam. Kota Islam! Bangunan-bangunan di bandar Hohhot ini bersenibina Islam. Kubah-kubah dihiasi di atas bumbung-bumbung bangunan. Tidak kiralah ianya pusat membeli-belah, sekolah ataupun spa, kubah sentiasa menghiasi atas bangunannya.

Jalan Muslim di Kota Hohhot

Bangunan-bangunan di sini bersenibina Islam

Makanan halal terdapat dengan banyaknya. Macam-macam ada. Semua peniaga di situ mengalihkan mata mereka ke arah kami apabila melihat kami. Nampaknya mereka gembira melihat kami. "Malaisia ren. Malaisia ren!" (orang Malaysia, orang Malaysia!), kata mereka dengan yakinnya. Ini menujukkan bahawa mereka sudah biasa melihat orang Malaysia datang ke sini.

Peniaga-peniaga di sini semuanya Islam

Macam-macam makanan kami cuba rasa: cendawan goreng, satay kambing, dadih, air jus buah-buahan, roti canai Hohhot adalah antara makanan yang kami gemari.

Masakan asli orang Islam Hohhot terdapat dengan mewah di sekitar kota Islam ini

Kami berjalan-jalan sambil makan-makan sehinggalah matahari hendak masuk ke peraduan. Kemudian kami ke masjid Qinzhengdasi untuk solat.

Pada malam hari itu kami bertemu dengan beberapa orang remaja. Saya pula jatuh cinta pada remaja itu. Jatuh cinta! Indah! Bolehkah? Mengapakah saya jatuh cinta? Untuk mengetahuinya ikutilah Naramas Aman "Backpack ke Mongolia Dalam" dalam entri berikutnya.


..bersambung


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...