Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Selasa, 27 November 2012

Jinan: Naik Bullet Train dan Berniaga di China


Apakah yang anda lakukan sekiranya anda ke Jinan? Jinan terletak di Barat daya Shandong iaitu di Timur China. Jinan ialah ibu kota provinsi Shandong. Ia terletak tidak jauh dari tempat kelahiran Confucius. 

Klik di sini untuk melihat peta Jinan


 

Menaiki Bullet Train dari Beijing ke Jinan


Saya ke Jinan baru-baru ini kerana menemani kawan saya Liza untuk urusan perniagaannya di situ. 

Liza sampai di Beijing dari Penang pada pukul 3 pagi dan dia terus ke stesen keretapi Beijing Selatan. Dia mengambil bullet train ke Jinan pada pukul 7.30 pagi kerana dia ada temujanji dengan seseorang di Jinan dan dia tidak mahu terlambat. Saya menyusul kemudian kerana perkhidmatan keretapi subway dari rumah saya di Chaoyang bermula pada pukul 6.00 pagi.

Menaiki bullet train dari Beijing ke Jinan amat mudah walaupun saya tidak fasih berbahasa China. Tiket saya ambil setengah jam sebelum keretapi bertolak. Liza yang sudah bertolak pada pukul 7.30 pagi sudah berpesan kepada saya supaya membeli tiket ke Jinan bukan Jinan Barat. Tetapi malangnya tiket untuk ke stesen Jinan pada sebelah pagi kehabisan. Yang ada cuma selepas pukul 2 petang.  Penjual tiket (yang hanya tahu bahasa China) itu menyuruh saya membeli tiket untuk ke Jinan Barat sekiranya hendak bertolak pada pukul 8.00 pagi. Saya lalu membeli tiket pada 8 pagi ke Jinan Barat dan bercadang akan mengambil teksi ke Jinan.  

Setelah membeli tiket saya ke tingkat atas stesen keretapi Beijing Selatan dan mencari platform keretapi (bullet train) berlepas. Keretapi yang berkepala peluru dengan mudah ditemui. Tidak berapa lama selepas saya duduk di kerusi, keretapi peluru (bullet train) ini pun bergerak. Keadaan dalam bullet train ini amat selesa.

Bullet train ke Jinan ini mempunyai pramugari seperti menaiki kapal terbang

Minuman, makanan ringan dan cenderamata dijual di dalam bullet train ke Jinan

Bullet train ini sentiasa dijaga bersih

Kalau kita naik keretapi biasa dari Beijing ke Jinan ia memakan masa 5 jam. Tapi dengan menaiki bullet train ia hanya memakan masa 1.5 jam. Bullet train ini bergerak laju sehingga 340 km/jam. Bullet train ini juga pergi ke Shanghai dan mengambil masa 3.5 jam dari Jinan.

Stesen Jinan Barat yang luas dan moden ini terletak di suburb Jinan barat di daerah Huaiyin iaitu di luar pusat metropolitan Jinan

Bullet train yang saya naiki itu berhenti di Stesen Jinan Barat (Jinan West Station). Apabila sampai, sahabat saya Liza yang bertolak setengah jam lebih awal daripada saya pun baru sampai di Stesen Jinan, yang jaraknya kira-kira 30 km dari stesen Jinan Barat. Jadi bullet train yang saya naiki tadi bergerak lebih pantas daripada bullet train yang Liza naiki. Liza juga terkejut melihatkan saya sampai pada waktu yang sama dengannya!



Sewa Hotel Pun Boleh Ditawar


Sesampainya di Jinan Liza mencari hotel berdekatan dengan stesen Jinan lalu memberikan saya alamatnya dalam tulisan China. “Hotel Shandong,” katanya. Saya pun menaiki teksi ke hotel itu.  

Hotel yang saya inapi itu 180 yuan semalam. Pada pandangan saya ia mahal kerana hotel begini biasanya berharga 130 yuan semalam. Menurut Liza hotel itu pada mulanya berharga 250 yuan semalam, tetapi setelah Liza menolak dan mahu meninggalkan hotel itu, mereka memanggilnya semula dan mengurangkan harga sewa hotel itu kepada 180 yuan. Barulah saya tahu bahawa harga hotel pun boleh ditawar di China ni! Kelakar, kan?

 
Hotel Shandong letaknya di hadapan stesen keretapi Jinan yang terletak di Sentral Jinan


Hotel Shandong menyediakan komputer dan wifi

Bilik air di Hotel Shandong yang berdinding cermin. Lambang kemodenan China


Restoren Halal di Sekitar Hotel Shandong


Hotel Shandong terletak berdekatan dengan beberapa buah restoren halal. Saya jumpa 3 buah restoren halal yang letaknya di tepi, di belakang dan di kanan hotel Shandong. Jadi tidak ada masalah makan langsung di sini.

Restoren halal ini letaknya di sebelah hotel Shandong

Lam mien (mee tarik) yang popular di restoren halal di Jinan dan serata China


Jinan adalah pusat sajian makanan Shandong.

Pemilik restoren halal ini (berdiri) bergambar dengan kawan saya Liza (duduk). Telah mejadi kelaziman pemilik restoren halal di China bergambar dengan kami kerana bagi mereka  kunjungan kami  amat bermakna

Sebuah restoren halal berdekatan Hotel Shandong

Satay kambing halal adalah makanan yang mesti dicuba di Jinan. Ia dijual di  kawasan perniagaan Muslim di Yongchang Lu


Kerabu sengkuang Jinan ini amat enak. Ia terdapat di kawasan perniagaan Muslim Yongchang Lu

 

Sentral Jinan

 

Sentral Jinan


Hotel Shandong terletak di  Sentral Jinan.

Jinan adalah kota yang pernah dijajah oleh German dan Jepun. Kini Jinan mempunyai ekonomi yang kukuh dalam industri keluli, peralatan pengangkutan, IT dan tekstil. Jinan juga mempunyai Zon Pembangunan Industri Teknologi Tinggi (hi-tech) dan National Heavy Duty Truck Group. Ramai pelabur asing melabur di Jinan dan ini membuatkan Jinan antara 50 kotaraya utama di China.


Penduduk di Jinan becakap dalam dialek yang berbeza dengan Mandarin Beijing. Mereka menggunakan Mandarin Jinan. Kebanyakan pekerja di sini adalah pekerja imigran yang datang dari luar Jinan tetapi mereka telah belajar menggunakan dialek Jinan. Kebanyakan penduduk di sini adalah dari etnik Han dan diikuti oleh orang Hui (Islam) dan Manchu.


Urusniaga di Jinan 


Menemani kawan berurusniaga di Jinan adalah pengalaman yang menarik bagi saya. Selain daripada dapat melihat jenis-jenis perniagaan yang boleh dilakukan, saya juga dapat mengetahui cara orang China bekerja.

Penulis menemani Liza mengadakan perbincangan perniagaan di bangunan ini

Penulis (bertudung ungu) menemani Liza (bertudung biru) menjalankan urusniaga di Jinan. Turut sama ialah rakan perniagaan Liza  iaitu dua orang wanita China

Kota Jinan waktu petang

 

Membeli-belah di Jinan



Membeli-belah pakaian di sebuah pusat membeli-belah di Jinan


Selain melakukan urusan perniagaan, saya menemani Liza membeli-belah. Turut menemani kami ialah dua orang gadis Jinan yang berurusniaga dengan Liza.

Kebanyakan kedai menjual pakaian, beg dan aksesori wanita. Kami dapati bahawa harga barangan di sini lebih kurang sama dengan harga di Beijing.

Penulis bersama Liza dan rakan-rakan niaganya di luar pusat membeli-belah di Jinan (Quancheng Square)



Taman Mata Air Baotu


Selain daripada itu kami melawat taman dan kolam mata air yang amat popular di Jinan, Shandong iaitu Mata Air Baotu. Jinan dikenali sebagai Kota Mata Air (Quan Cheng) kerana lebih 700 buah mata air semulajadi melalui bawah tanah kota Jinan. Antara semua mata air itu Mata Air Baotulah yang paling terkenal. Mata air ini mengalir dari bawah gua. Luas taman Mata Air Baotu ini ialah 10.5 hektar.

Air mata air ini boleh diminum. Maharaja Qing Long dari Dinasti Qing telah mencubanya, beliau mendapati teh yang dibuat dari mata air ini wangi lalu menamakan tempat ini sebagai “Mata Air Pertama di bawah Syurga" (The First Spring Under Heaven). Terdapat juga pelbagai taman di dalam Taman Baotu ini seperti taman buah delima, taman buluh, taman bunga kekwa dan bangunan-bangunan purba China. Dikatakan tidak lengkap ke Jinan sekiranya tidak melawat Taman Mata Air Baotu.


Taman Mata Air Baotu ini perlu dibayar 40 yuan (RM20) sekali masuk


Banyak syair yang ditulis mengenai keindahan Mata Air Baotu ini.

Kolam Mata Air Baotu yang mata airnya terbit dari bawah tanah. Ia terletak bedekatan dengan Tasik Daming


Berjalan-jalan sambil berbincang tentang bisnes di Taman Mata Air Baotu

Taman buah delima di Taman Mata Air Baotu

Lukisan dalam Botol Kaca, Seni Kraftangan Jinan Yang Unik

Lukisan bunga-bungaan Jinan dan pemandangan Jinan dalam botol kaca yang saya terima sebagai hadiah


Lukisan indah dalam botol kaca seperti di dalam gambar di atas adalah seni kepandaian orang Jinan. Seni ini hanya boleh didapati di Jinan. Botol kaca indah ini dihadiahkan kepada saya oleh Mawar. Ingat tak Mawar? Kalau lupa siapa Mawar, sila imbas balik di sini. Mawar ialah orang China yang belajar bahasa Melayu di Universiti Komunikasi China di Beijing. Mawar berasal dari Jinan. Mawar selalu membantu saya menterjemah dan mengalih bahasa semasa saya di  China. Lukisan dalam botol dari Jinan yang dihadiahkan oleh Mawar ini amat bernilai kepada saya. 

Mengembara sambil menemani kawan berurusniaga selama 4 hari di Jinan telah membuka fikiran saya dan dapat melihat perbezaan kemajuan dan pembangunan di China. Saya dapati bahawa kemajuan di China tidak sekata. Tidak semua negeri di China menerima arus pembangunan yang sama rata. Wilayah Autonomi seperti Mongolia Dalam, Xinjiang dan Ningxia tidak menerima pembangunan yang sepatutnya. Umpamanya perkhidmatan keretapi dan tandas awam mereka amat buruk berbanding dengan Jinan, Tianjing dan Beijing. Mengapakah feneomena anak tiri dan anak emas berlaku di sini?


Setakat ini sahaja yang dapat saya ceritakan tentang Jinan. Jumpa lagi di lain entri!

Rabu, 21 November 2012

Tianjin: Menaiki Bullet Train dan Sehari di Kota Moden

Anda pernah naik bullet train? Bullet train ini amat laju. Ia boleh bergerak selaju 300-320 km sejam. Pantas, kan? Apakah rasanya menaiki keretapi laju ini? Bullet train ini boleh dinaiki dari Beijing ke Tianjin. Jarak sejauh 117 km ini boleh didatangi dalam masa 30 minit sahaja. Rasa macam tak percaya, kan? Tapi inilah teknologi yang berani dilakukan oleh China. Keretapi ini telah mula dioperasi sejak tahun 2008 dan ia keretapi paling laju di dunia. Ia mengurangkan masa dalam perjalanan.

Bullet Train dari Beijing ke Tianjin - cuma 30 minit perjalanan


Untuk itu saya merancang ke Tianjin bersama dua orang kawan, Asrul dan Syafiqa. Kami mengambil keretapi itu di stesen keretapi Beijing Selatan (Beijing Nan) pada pukul 9.30 pagi. Tiket berharga 55 yuan (RM27.50) dibeli ketika itu juga iaitu 10 minit sebelum keretapi bertolak. Ketika kami menuju ke platform yang disediakan di bahagian bawah kami dapati keretapi itu sudah sedia menunggu. Kepala keretapi itu berbentuk peluru dan ia bergerak pantas sepantas peluru sebab itulah ia dipanggil bullet train.

Keadaan di dalam bullet train ini amat amat berbeza dengan keretapi kelas bawahan yang saya pernah naiki ke Mongolia Dalam dan Xi’an dahulu. Kalau keretapi kelas bawahan itu sesak, tidak selesa dan tandasnya tidak bersih, namun bullet train amat moden dan bersih. Kami merasa amat selesa duduk di kerusi di dalam gerabaknya. Kami dapat duduk di gerabak depan iaitu di belakang pemandu. 

Keretapi itu bergerak dengan pantas. Di skrin terpampang kelajuan keretapi itu bergerak, bermula dari 90, 120, 180, 280 hinggalah ke 340 km/jam. Terdapat juga suhu di dalam dan di luar keretapi. 

Di dalam keretapi, saya membeli cenderamata rantai kunci berbentuk bullet train berharga 10 yuan (RM5) sebagai kenang-kenangan.

Keadaan dalam bullet train dari Beijing ke Tianjin yang selesa

Kami sampai pada 10 pagi di Tianjin. Cepatnya! Kepantasanya amat mengagumkan kami.


Sarapan Halal di Tianjin

 

Sesampainya kami di Tianjin kamu terus menuju ke sebuah kompleks yang letaknya betul-betul di hadapan stesen keretapi Tianjin. Di dalamnya kami jumpa sebuah restoren halal yang menjual makanan kegemaran kami iaitu lam mien (mee tarik). Kami juga diajak oleh tuanpunya restoren itu yang beretnik Hui makan di situ. Kami amat gembira dengan sambutan itu, lalu memesan makanan kegemaran kami itu. 


Mee tarik ini kebiasaannya dibuat oleh pengusaha restoren beretnik Hui yang semestinya beragama Islam. Kebanyakan mereka berasal dari Lanzhou dan Gansu. 

Untuk membuat lam mien ini, mereka menguli tepong, memusing-musingkan, menarik-nariknya dan mengoncang-goncangkannya. Seperti silap mata, tepong yang tadinya beku kini pecah menjadi tali-tali panjang yang dinamakan lam mien atau mee tarik! Mee ini kemudiannya diletakkan sup yang bercampur daging lembu dan sayur-sayuran. Ia dinamakan niuro lam mien atau mee tarik daging lembu. Sedap! 

Tepung diuli dan digentel panjang-panjang

Doh yang lembut dipilin dan diputar-putarkan

Doh itu lalu digoncang-goncangkan dan ditarik panjang-panjang hingga terbelah

Doh tadi menjadi tali-tali yang panjang yang dinamakan lam mien

Ia lalu dicelur ke dalam air yang mendidih

Sayur-sayur dan daging lembu dimasukkan ke dalam mee ini

Lamien yang dipesan sudah hampir siap

Niuro lamien yang siap untuk dimakan...Hmm sedapnya!!!

Jadi kalau anda ke China, jangan lupa menikmati niuro lamien ini! Ia terdapat di restoren halal di serata China. Selain daging lembu ada juga mee tarik daging kambing yang dikenali dengan yangro lamien!

Asrul bergambar dengan peniaga/pembuat  lamien di hadapan stesen keretapi bawah tanah di Tianjin



Kota Tianjin

 

Bangunan di Tianjin

Kami dapati bandar Tianjin amat berlainan daripada Beijing. Tianjin kelihatan lebih tersusun dan kemas. Sampah dan debu-debu juga amat kurang berbanding dengan Beijing yang penuh sampah yang dibuang merata-rata dan udaranya yang tercemar. Langit juga biru dan cerah berbanding dengan langit di Beijing. Kami terasa seolah-olah berada di sebuah negara lain!

 

Membeli-belah di Gu Lou Dong

 

Gu Lou Dong


Selepas makan, kami menaiki bas 824 ke Gu Lou Dong. Di sini kami lihat banyak kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan, pakaian dan kasut. Harganya murah. Oleh kerana Tianjin terletak berdekatan pelabuhan maka banyak barangan yang didatangkan dari luar negara terdapat di sini. Di sini kami membeli pashmina (selendang) yang berharga antara RM5.00 hingga RM15.00 dan cadar katil bujang berharga RM25.00.

 

Lorong Budaya Purba (Ancient Cultural Street) 

 

Budak penjual roti dan buah-buahan ini membawa kami ke Lorong Budaya Purba


Setelah membeli-belah di situ kami berjalan kaki menuju ke satu tempat membeli-belah yang popular di Tianjin iaitu Lorong Budaya Purba (Ancient Cultural Street). Oleh kerana kami tidak mengetahui tempat itu dengan tepat, kami minta seorang budak penjual buah-buahan dan roti membawa kami ke sana. Budak ini beretnik Uyughur dan beragama Islam. 

Lorong Budaya Purba

  
Di Lorong Budaya Purba (Ancient Cultural Street), kami dapat melihat Tianjin purba, kedai-kedai tua dan lorong-lorong.

Putu beras yang dijual di Lorong Budaya Purba (Ancient Cultural Street).


Ingatkah anda pada Sichee, gadis 16 tahun yang kami kenali semasa menaiki unta di Gurun Kubuqi? Sichee telah menjadi kawan baik kami dan dia telah menemui kami di Lorong Budaya Purba (Ancient Cultural Street) dan membawa kami membeli-belah di sebuah pasar dan makan-makan.

Sichee membawa kami membeli-belah di sebuah pasar


Masjid Besar (Qingzhendasi) 


Setelah hampir petang, Sichee pulang. Kami kemudiannya ke Masjid Besar (Qingzhendasi) dengan menaiki beng beng (beca bermotor). Masjid ini letaknya di Jalan Dafeng di daerah Hongqiao dan tidak jauh dari Lorong Budaya Purba. Masjid ini besar tapi sayang amat kurang orang yang datang mengerjakan solat di situ.  


Masjid Besar Tianjin
Kami solat jamak dan menunggu solat maghrib. 

Muezzin dan Imam di pintu masuk masjid sedang bersiap sedia untuk melaungkan azan maghrib

Tidak lama kemudian, imam dan muezzin datang lalu melaungkan azan di muka pintu masjid. Saya pun masuk ke ruang solat wanita dan menanti solat maghrib secara berjemaah.

Tetapi tunggu punya tunggu punya tunggu, tiada kedengaraan suara imam atau iqamat. Saya pun solat sendirian. 

Apabila selesai solat saya dan Syafiqa memanggil Asrul yang sedang berbual-bual dengan 3 orang jemaah lelaki di ruang solat lelaki. Rupa-rupanya dia juga menunggu solat berjemaah tetapi kemudiannya dia mendapat tahu bahawa solat maghrib sudah selesai. Tiada solat jemaah. Imam dan muezzin solat sendirian. Begitulah cara orang di sini solat. Bagi kita dua orang sudah boleh untuk solat jemaah tapi tidak bagi mereka. 

Gerbang Masjid Besar Tianjin


 Wudadao (The Fifth Avenues)


Setelah menunaikan solat, kami bertiga ke sebuah kawasan bandar yang mempunyai ciri-ciri Itali dan Eropah. Ini disebabkan Tianjin dahulu pernah dijajah barat pada sekitar tahun 1800. Tempat ini dikenali sebagai Wudadao atau Fifth Avenues. Ia terletak di Bandar Tianjin di bahagian selatan. Ia berkeluasan kira-kira 1,000,000 meter persegi. Di sini kita boleh lihat bangunan British, Peranchis, Itali, Jerman dan Sepanyol yang dibina pada 1920an dan 1930an. Stail senibina yang berwarna-warni dari gaya Renaissance, Greek, Gothic dan Carson menarik minat kami untuk melihat dengan lebih dekat. Terdapat juga vila-vila yang bercitarasa kolonial. Berjalan-jalan di sini seolah-olah melihat kilasan benua Eropah. 

Sebuah bangunan yang terdapat di Wudadao



Malam di Tianjin


Pemandangan cantik ini  terdapat tidak berjauhan dari stesen keretapi bawah tanah Tianjin


Pada waktu malam kami dapat melihat persekitaran bandar Tianjin yang modern dan pemandangan malam yang cantik.


Lampu dipasang pada bangunan di pinggir sungai di Tianjin

Pada malam itu juga saya pulang menaiki bullet train ke Beijing. Tiket saya beli dengan mudah dan diperolehi sepuluh minit sebelum bertolak. 

Sehari di Tianjin sudah cukup untuk saya mengetahui keadaan dan suasana kota Tianjin yang moden.


Jumaat, 9 November 2012

Backpack ke Mongolia Dalam (7): Jumaat di Hohhot Yang Penuh Rahmat

H ari ini hari terakhir kami berada di Hohhot Mongolia Dalam. Hari ini hari Jumaat. Penghulu segala hari. Banyak rahmat terkandung di hari ini. Banyak juga kejutan yang berlaku pada kami tanpa disangka-sangka pada hari ini.

Dalam entri ini saya ingin ceritakan bagaimanakah rahmat itu saya rasai di Hohhot, Kota Islam Monglia Dalam. Kota yang berada di sebuah negeri autonomi China yang dahulunya terlalu asing bagi saya. Tapi kini tidak lagi.

Nadiya, Yusuf, adalah manusia berhati emas yang saya temui di sini.  Hari terakhir ini saya dan rakan-rakan backpackers pastinya ingin bertemu dengan insan-insan mulia ini.

Sebelum kami meninggalkan bumi Hohhot ini pada pukul 9:22 malam, kami sudah buat temu janji dengan Nadiya pada pukul 6.00 petang itu. Yusuf tauke restoren yang menjamu kami makan tengahari tempoh hari tidak dapat berjumpa kami pada hari itu kerana dia ada urusan.


Kompleks membeli-belah di kota Hohhot yang bercirikan senibina Islam



Subuh-subuh sapie lagi saya, Syafiqa dan Najibah bersiap-siap untuk solat subuh secara berjemaah di Masjid Besar (Qinzhengdasi) Hohhot. Saya merasa sangat kesal kerana saya tidak membawa sebarang pakaian yang sesuai untuk ke masjid. Baju kurung pun tiada. Jubah pun tiada. Aaah kesal.

Baju kurung yang saya pinjam daripada Najibah untuk majlis makan malam di rumah Duta di Beijing tempoh hari saya bawa ke Hohhot lalu saya pulangkan cepat-cepat pada Najibah. Inilah hikmah yang Najibah perolehi kerana memberi saya pinjam baju kurungnya itu. Najibah dapat pakai baju kurung itu untuk ke masjid di Hohhot pada hari Jumaat yang mulia itu. Gembira saya melihat Najibah memakai baju kurung ke Masjid Besar Hohhot. 



Solat Subuh Berjemaah di Masjid Besar (Qinzhengdasi) Hohhot

Waktu solat subuh ialah pukul 4.00 pagi, tetapi di Masjid Besar Hohhot mereka solat subuh secara berjemaah pada pukul 6.00 pagi. Jangan ditanya mengapa? Sebabnya saya tak tahu? Saya, Syafiqa dan Najibah ke Masjid Besar yang letaknya di seberang jalan sahaja dari hotel kami. Tak jauh.

Semasa kami ke masjid itu, dewan solat wanita itu masih tutup. Remaja perempuan tahfiz yang tinggal di asrama di situ tak bangun-bangun lagi. Syafiqa mengetuk pintu asrama mereka. Syafiqa tahu cakap Cina. Dialah yang tanya dan minta dibukakan pintu musalla itu. Rupa-rupanya mereka semua tertidur. Barangkali malam semalam mereka menghafal quran atau qiamulail. 

Setelah iqamat barulah pintu dewan solat itu dibuka oleh seorang remaja perempuan yang bergegas menaiki tangga lalu membukanya dengan mata masih sembab dan terkebil-kebil. Alhamdulillah sempat juga kami ikut imam dalam rakaat pertama.

Selepas solat subuh remaja tahfiz perempuan di sini mentelaah


Remaja tahfiz perempuan yang mengemas bilik kuliah

Setelah selesai solat subuh kami pergi ke asrama dan bilik kuliah tahfiz perempuan itu. Kami melihat mereka membaca hadis, quran, mengemas dan mentelaah.

Pelajar tahfiz lelaki bermain badminton di hadapan masjid sebelum kuliah bermula

Setelah selesai di masjid kami pulang ke hotel. Pagi itu kami masak di hotel menggunakan rice cooker dengan bahan-bahan yang kami bawa sendiri dari Beijing. Sengaja nak habiskan bahan-bahaan yang kami bawa. Najibah tanak nasi. Syafiqa masak sambal tumis frankfurther. Saya tukang belasah semua tu sebab saya mem he.. he.. he..

Pagi yang amat mencemburui kami itu terpaksa kami bahagi-bahagikan. Melawat tempat-tempat yang belum dilawati dan membeli-belah souvenir.

Kami menawar dan membeli cenderamata hasil kraftangan Mongolia Dalam seperti tabung air, kotak menyimpan barangan kemas, rantai kunci dan tempat letak pen. Kedai ini dimiliki oleh orang Islam.

Kami membeli gula-gula dan coklat yang berasaskan susu. Terdapat logo halal pada bungkusannya

Pemilik restoren (wanita bertudung) ini sedang mencucuk satay


Satay kambing halal ini dicucuk dengan besi


Solat Jumaat dan Solat Jenazah di Masjid Besar (Qinzhengdasi) Hohhot

Ramai sungguh orang datang ke Masjid Besar Hohot itu untuk solat Jumaat. Kutbah disampaikan oleh khatib dalam bahasa mereka. Saya tak tahu apa isi kandungannya. Tidak mengapa. Yang penting saya berada di majlis agama dan majlis ilmu. Malaikat turut hadir di majlis begini.

Kami turut serta solat Jumaat. Kami dapati bahawa bacaan imam di sini sangat bagus. Amat lunak. Boleh menitiskan airmata mendengarnya.

Selesai solat Jumaat, saya keluar dan turun dari musalla. Saya lihat ramai orang solat di luar kawasan masjid. Melimpah di halaman. Ada permaidani di hamparkan di halaman masjid. Beberapa orang masih solat dan menunggu di situ. Tidak disangka-sangka, tidak berapa lama kemudian saya lihat jenazah diusung ke halaman masjid. Innalillahi wainna ila hirojiuun.


Jenazah diusung masuk ke kawasan Masjid QinzhengdasiAdd caption


Jenazah diletakkan di hadapan masjid


Kemudian kami berpeluang menyaksikan cara solat jenazah dilakukan di sini. Ramainya orang datang menyembahyangkan jenazah itu. Mulianya arwah itu. Barangkali mati dalam husnul khatimah. Mati pada hari Jumaat pula tu!

Orang ramai membetulkan saf untuk solat jenazahAdd caption
Orang Islam Hohhot sedang solat jenazah di hadapan masjid



Solat jenazah adalah fardu kifayah



Selepas solat jenazah selesai Al-Quran diedarkan kepada kaum lelaki di barisan depan...

...Al-Quran ini dipegang dan diangkat

...lalu dicium

Jenazah diusung keluar kawasan masjid dan dibawa ke kawasan perkuburan
Jemaah meninggalkan masjid
Bas yang membawa jemaah ke tanah perkuburan


Selesai solat jenazah semua orang meninggalkan masjid. Ada sebuah bas menunggu di hadapan masjid. Mereka mengajak kami ikut serta ke tanah perkuburan menaiki bas itu. Tetapi setelah disoal siasat, perjalanan ke situ memakan masa 4 jam pergi dan 4 jam balik. Jadi  kami tak jadi pergi sebab tak sempat. Kami nak balik ke Beijing malam itu.


Pertemuan Yang Tidak Diduga

 
Suasana selepas solat Jumaat di luar kawasan Masjid Besar (Qinzhengdasi)

Orang Islam berjalan-jalan di luar kawasan Masjid Besar

Selepas itu kami duduk lepak-lepak depan masjid. Saya duduk di atas sebuah tembok. Kawan-kawan backpacking saya yang empat orang itu bersembang-sembang di bawah pokok depan saya. Sedang saya duduk, tiba-tiba tiga orang lelaki mara ke arah saya. Mereka kelihatan sangat gembira melihat saya. Mereka senyum lebar dan mata mereka terbuka dengan luasnya. 

"Eh macam kenal je. Tapi siapa ek?" bisik hati saya.

Lelaki bertiga itu terus datang ke arah saya lalu bersorak dan bertepuk tangan apabila bertemu dengan saya. (Seriously! Mereka tepuk tangan!)

Gembira sangat-sangat kami bertemu secara tidak diduga itu. Sorakan mereka menarik perhatian orang lain dan sudah tentu Asrul, Adi Putra, Syafiqa dan Najibah pun berhenti bersembang dan mara ke arah saya untuk mengetahui apa yang riuh rendah sangat tu?

Mereka ialah Trio-bro yang kami jumpa di stesen Beijing Barat semasa kami menunggu keretapi tempoh hari! Ingat tak pada lelaki bertiga ini? Kalau lupa sila klik di sini.


Tengok ni, saya dah hantar SMS pada abang masa sampai hari tu," kata Asrul. "Ya ke? Tak dapat pun", kata trio-bro



"Kenapa tak telefon saya? Bukankah saya suruh telefon kalau sudah sampai Hohhot? Bolehlah kami bawa jalan-jalan," rungut mereka sebaik-baik melihat Asrul.

"Dah hantar sms pada abang masa sampai hari tu. Tapi abang tak balas," pertahan Asrul.

"Ye ke? Tak masuk pun sms tu!" pertahan trio-bro itu pulak.

Lalu Asrul mengeluarkan telefon bimbitnya untuk menunjukkan bukti. Jadi perdebatan kecil pun berlaku. Kesal sangat mereka sebab tak dapat jumpa kami lebih awal. Dah hari terakhir baru jumpa.
 
Tiga abang berkopiah putih ini membawa kami ke markas mereka


Mereka lalu membawa kami ke markas mereka. Apakah yang ada di markas mereka?


"Hah, tu dia apartment kami. Kalau kamu call abang hari itu, tak payah sewa hotel. Duduk di sini saja," kata trio-bro

Apartment yang digunakan sebagai rumah orang tua-tua Islam Hohhot di kawasan Masjid Kecil, Jalan Timur
Masjid Kecil, Jalan Timur, Hohhot


Trio-bro itu membawa kami ke Masjid Kecil di Jalan Timur Hohhot. Di sana kami disambut dengan begitu mesra dan meriah. Kami dijamu dengan pelbagai kuih-muih dan minuman. Alangkah gembiranya kami dengan sambutan dan layanan mereka. Beberapa kakitangan masjid itu datang berbual-bual dengan kami.


Kakitangan Masjid Kecil sibuk menyediakan minum petang di dewan makan/dapur masjid untuk kami


Minuman petang dan kuih-muih Hohhot yang disajikan untuk kami


Makcik ini menitiskan airmata melihat kehadiran kami



Ada seorang warga emas yang terharu dan menitiskan airmata apabila saya memeluknya. Saya pun turut menitiskan airmata.

Terdapat banyak buku-buku agama terdapat di situ. Mereka mempersilakan kami mengambil buku-buku itu sebanyak mana yang kami mahu. Kamipun pilih dan ambil.

Setelah minum dan makan-makan kamipun meminta izin daripada trio-bro itu untuk berjalan-jalan melihat masjid lain di Hohhot itu. Kami juga sudah berjanji untuk berjumpa dengan Nadiya sebelum kami pulang ke Beijing. Mereka menahan kami supaya jangan pulang ke Beijing. Mereka minta kami menginap sahaja di aparment di masjid itu. Ini disebabkan mereka mempunyai apartment yang disediakan untuk golongan emas Islam. Tetapi apakan daya kami, kami sudah beli tiket keretapi untuk pulang ke Beijing.

Mereka amat mengharapkan supaya kami datang lagi dan kalau datang lagi mereka minta jangan sewa hotel tetapi tinggal sahaja di apartment mereka. Mereka kemudiannya meminta kami makan malam di situ selepas bertemu Nadiya. Sungguh mulia hati mereka! Kami rasa amat dihargai.

Pakcik ini memotong daging untuk makan malam kami


Mereka lalu meminta seorang lelaki remaja bernama Yusuf untuk membawa kami jalan-jalan dan melihat sebuah lagi masjid yang terdapat berdekatan. Yusuf pernah belajar bahasa Arab di Syria. Yusuf boleh berbahasa Arab sedikit-sedikit dan fasih berbahasa Inggeris.

Sebuah lagi masjid yang terdapat di kota Hohhot

Yusuf yang di belakang sekali (t-shirt hitam, seluar merah) membawa kami jalan-jalan melihat masjid lain dan mengangkat beg-beg kami. Nadiya (serba hitam, depan, paling kanan) turut serta bertemu kami sebelum kami berangkat ke Beijing.

Setelah berjalan-jalan itu kamipun bertemu dengan Nadiya lalu memberi beliau serta bapa saudaranya Yusuf (tauke restoren) sedikit ole-ole.

Kenangan bersama kakitangan Masjid Kecil, Jalan Timur, Hohhot


Setelah itu kami kembali semula ke Masjid Kecil di Jalan Timur. Ketika itu makanan malam sudah dimasak untuk kami. Nasi, ayam, daging dan sayur-sayuran dihidangkan kepada kami di dapur/dewan makan masjid.  Kami makan dengan berselera.

Remaja perempuan Hohhot yang hadir di Masjid Kecil begitu gembira menemui kami


Setelah itu kami ke dewan solat untuk solat maghrib berjemaah dan menjamakkan solat isya. Selepas solat maghrib ramai gadis-gadis remaja di situ mengerumuni kami, meminta nombor telefon dan emel. Ramai yang memeluk kami dan sangat gembira dengan kehadiran kami di situ. Mereka mengucapkan terima kasih kepada kami kerana sudi solat di situ.

Gadis-gadis yang tidak dapat masuk ke dalam masjid kerana datang bulan menunggu kami di luar pintu. Sebaik-baik sahaja kami keluar dari dewan solat, mereka terus menerkam dan memeluk-cium kami. Terharu sungguh kami dengan sambutan mereka!


Gadis Hohhot yang hadir solat di Masjid Kecil mengucapkan terima kasih kerana kesudian kami solat di Masjid mereka.


Trio-bro itu meminta kami menunggu sehingga selesai solat isya, kerana imam masjid itu akan menghantar kami ke stesen keretapi Hohhot. Jadi kami tunggulah sehingga selesai wirid. Setelah selesai, ramailah kakitangan masjid itu menghantar kami ke kereta. Dua buah kereta menghantar kami ke stesen keretapi. Imam yang menghantar kami itu lulusan Universiti Al-Azhar! Patutlah bacaan imam di sini sangat bagus!


Hampir Ketinggalan Keretapi ke Beijing


Kami sudah agak terlambat ke stesen keretapi. Apabila sampai di stesen keretapi Hohhot, kami berempat berlari selaju-lajunya kerana takut ketinggalan ketetapi. Kami lari bagaikan masuk Amazing Race! Masa yang tinggal terlalu suntuk. Kalau kami tak sampai dalam masa 10 minit, sudah tentu kami akan ditinggalkan. Kami berlari dan berlari. Wah, dah berpuluh-puluh tahun tak lari laju macam ni! Sambil berlari itu kami membaca papantanda, membaca arahan, mencari platform, mencari keretapi, membaca nombor gerabak dan bertanya-tanya orang. Saat itu amat cemas sekali.

Sebaik-baik sahaja saya melihat nombor gerabak keretapi, saya terus masuk dan diikuti oleh rakan-rakan yang lain. Sejurus sahaja kami semua masuk ke perut gerabak dengan tercungap-cungap, keretapipun bergerak meninggalkan kota Hohhot. FUH! Nasib baik!

Kamipun mencari tempat duduk kami. Kami lihat orang lain sudah mengambil tempat duduk kami. Orang yang mengambil tempat duduk saya lalu bangun dan mempersilakan saya duduk. Tetapi ada lelaki China yang telah mengambil tempat Syafiqa dan Asrul. Mereka enggan bangun dan mempertahankan tempat itu. Agak lama juga Syafiqa dan Asrul meminta tempat duduk itu, tetapi lelaki itu masih enggan. Adi Putra lalu berkasar dengan mereka. Dengan berkasar, barulah mereka bangun. Adi Putra kata, "Kita orang Malaysia, lembut sangat. Dengan orang China kena KASAR!"

Keretapi itu terlalu sesak. Ramai penumpang yang berdiri dan duduk di lantai kerana tidak dapat tempat duduk. Di dalam keretapi itu sekali lagi kami menjadi perhatian penumpang lain. Penumpang-penumpang di situ ingin berbual-bual dengan saya. Tetapi saya cakap, "Wo puk che tau chung wen. English only!" Jadi mereka terpaksalah membuka kamus Inggeris untuk berbual dengan saya.

Tidak berapa lama kemudian Sichee, gadis Tianjin yang kami kenali semasa menaiki unta di Gurun Kubuqi tempoh hari datang mencari kami lalu duduk dan berbual-bual dengan kami.

Keretapi terus meninggalkan Mongolia Dalam menuju ke Beijing. Pengalaman indah kami di Mongolia Dalam tidak kami lupakan. Banyak rahmat yang kami temui di sini. Kemesraan umat Islamnya menambat hati-hati kami. Kerana kemesraan ini kami sanggup datang lagi. Kerana uhkuwah ini kami telah lupa mimpi ngeri tandas awam mereka! Ia telah terbang bagaikan debu. Tetapi memori indah tetap terpahat di hati-hati kami. Tersimpul mati di sanubari! Terima kasih insan-insan Mongolia Dalam yang berhati emas. Jazakallahukhair! Semoga Allah membalas kebaikanmu.\

Kota Hohhot yang bersenibina Islam


Dengan ini Backpack ke Monglia Dalam Naramas Aman bersama 4 backpackers melabuhkan tirainya. Semoga bertemu di entri akan datang di tempat lain pula. Tianjin menjadi sasaran kami seterusnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...