Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Khamis, 27 Disember 2012

PANDUAN UNTUK UMAT ISLAM DI BEIJING

Anda orang Islam? Pertama kali ke Beijing? Risau mencari makanan halal di Beijing? Entri kali ini dibuat khas kepada pembaca dan rakan-rakan Nota Kembara yang beragama Islam, lebih-lebih lagi kepada yang pertama kali ke Beijing. Di sini saya senaraikan beberapa panduan berguna untuk anda.

 

1. Makanan Halal


Makanan halal bukanlah susah nak dicari di Beijing ini. Terdapat banyak kedai-kedai yang menjual produk halal. Cumanya kita kena rajin mencari. Rajin baca bahan-bahan kandungan pada paket/bungkusan makanannya. Namun begitu kebanyakannya dalam tulisan China, bukan? Jadi bagaimanakah hendak mengenalinya? Adakah halal disebut halal di China? Jangan risau kalau anda tidak tahu. Di sini saya ingin  kongsi sedikit sebanyak yang saya ketahui.

Di China, kebiasaannya tulisan halal tidak ditulis dalam rumi atau jawi. Makanan halal di China disebut 

qīngzhēn cài (清真菜). Kalau diterjemahkan qingzhen bermaksud makanan yang bersih lagi tulen.

Jadi sekiranya anda ke kedai dan membeli makanan, sila perhatikan tulisan ini 清真.  
清真 bermaksud halal. Hafallah tulisan ini atau tuliskan di kertas/telefon bimbit anda.

Halal dalam tulisan China



Kalau anda ke Kota Larangan (Forbidden City) atau Istana Musim Panas (Summer Palace) dan teringin nak makan aiskerim atau dadih atau minum susu janganlah kempunan. Anda boleh dapat aiskerim yang halal yang dijual di situ. Tulisan 清真 terdapat pada bungkusannya. Kebanyakan makanan berjenama Yili adalah halal.

Tulisan清真 juga terdapat pada papantanda di restoren makanan halal.


2. Restoren Halal


Restoren halal juga mudah didapati di merata Beijing. Untuk mengenalinya, anda lihatlah papantanda di hadapan kedai. Biasanya ditulis dengan khalimah toyyibah dalam tulisan khat/kaligrafi China -
لا إله إلا الله محمّد  رسول الل (lailahaillallah Muhammadur rasulullah).

Khalimah toyyibah di atas pintu luar restoren Islam di Qianmen

Khalimah toyyibah di hadapan kedai bersebelah dengan Starbucks di Qianmen

Khalimah Toyyibah dan tulisan qingzhen di hadapan pintu kedai makanan muslim di Universiti Komunikasi China

Kedai makanan halal di kampus Universiti Bahasa dan Budaya Beijing. Kedai ini menjual roti canai China yang sedap

Sijil premis masakan halal


Kebiasaannya restoren halal terdapat di tempat-tempat tumpuan awam. Misalnya dalam kampus universiti,  kawasan perlancongan, di hadapan stesen keretapi dan pekan-pekan.

Kebanyakan restoren halal ini kepunyaan etnik Hui yang kesemuanya orang Islam. Anda akan dapati orang Hui ini memakai ketayap putih di kepala. Mereka berkulit cerah dan berhidung mancung. Lelakinya kacak dan wanitanya lawa. Mereka adalah keturunan orang Arab dan berkahwin dengan orang China tempatan yang telah ada sejak zaman Maharaja Ming lagi. Kemahiran orang Hui ialah berniaga restoren makanan dan makanan mereka yang istimewa ialah lam mien atau mee tarik. Kebiasaannya mereka menguli tepung dan menarik adunan serta merta apabila dipesan untuk sajian lam mien yang enak itu.

Restoren halal milik etnik Hui yang sering saya kunjungi. Pembuat lam mien tersenyum manis apabila saya mengambil gambarnya

Pelbagai jenis mee di restoren Muslim yang dimiliki oleh etnik Hui. Kesemuanya diadun serta merta apabila dipesan

Kadang-kadang anda juga akan berjumpa restoren halal yang menyajikan makanan etnik Uyughur yang berasal dari Xinjiang.  Xinjiang adalah provinsi yang paling utara sekali di negara China. Orang Uyughur juga adalah Islam sejak azali lagi. Mereka adalah keturunan orang Turki dan mempunyai rupa paras yang cantik. Lelaki Uyughur suka memakai topi tradisional mereka yang berbentuk agak bulat bersegi. Di restoren mereka, mereka gemar menyajikan nasi pilau (nasi beriani), roti nan dan pau.

Lelaki Uyughur yang berniaga melon di luar Kota Larangan

Namun begitu terdapat juga restoren halal yang turut juga menjual arak. Ini adalah sesuatu yang biasa di Beijing. Jadi jangan terkejut. Ada juga peniaga Islam yang tidak menjual arak tetapi membenarkan pelanggan makan di situ dan membawa minuman keras yang dibeli dari kedai lain. Untuk kepastian anda hendaklah bertanya kepada tuan punya kedai. Sekiranya anda tidak suka, hendaklah mencari kedai yang langsung tidak menjual arak.

Restoren halal di Wangfujing yang juga menjual arak




3. Daging Halal


Sekiranya anda ingin membeli daging halal untuk memasak sendiri, anda boleh membelinya dari penjual daging halal. Ia biasanya terletak di kawasan Islam seperti di Niu Jie, di masjid dan kawasan kedutaan di Chaoyang. Ada masjid yang mempunyai kedai yang menjual daging halal, misalnya Masjid Nandouya di Douban Hutong. Biasanya sekilo daging berharga 50 yuan (RM25).

Ada juga pasar raya yang menjual daging halal dan ditandakan dengan tulisan 清真.



Pasar raya Muslim di Niu Jie

Daging halal di kedai daging di Niu Jie

Kedai daging halal di Niu Jie

Masjid Nandouya

Kedai daging halal ini terdapat di Masjid Nandouya

Daging halal di sebuah pasar raya di Beijing

4. Jangan Tidur di Masjid


Di masjid kita dilarang berbaring dan tidur. Sekiranya tok siak masjid nampak, dia akan halau kita keluar. Ini berlaku kepada anak-anak saya yang menunggu solat asar di Masjid Dongsi. Ketika menunggu mereka tertidur dan mereka dicekup lalu dihalau keluar dengan kasar oleh tok siak. Kami tidak pasti mengapa tidur dilarang keras padahal ikhtikaf di masjid mendapat pahala yang banyak.

Tangga ke menara azan di Masjid Dongsi

5. Jangan Solat Secara Terbuka di kawasan Tumpuan Ramai


Sekiranya anda berada di kawasan tumpuan ramai seperti di Kota Larangan atau Dataran Tianmen dan anda ingin solat, anda perlulah berhati-hati. Ada beberapa pelajar Malaysia yang menuntut di Beijing melawat tempat tumpuan ramai ini. Mereka lalu solat di belakang bangunan di situ. Tetapi mereka ditangkap oleh polis ketika sedang solat di tempat terbuka itu. Hal ini menimbulkan kesusahan kepada pelajar-pelajar ini. Mereka ditahan di balai dan kemudiannya terpaksa memanggil penyelia mereka bagi memberi penjelasan. Keadaan ini membuang masa kerana mereka terpaksa membuktikan yang mereka tidak melakukan demonstrasi dan lain-lain perkara yang disyaki.

Kota Larangan yang  menjadi tumpuan ramai

Jadi sekiranya anda solat di kawasan terbuka, jangan melakukanya secara beramai-ramai. Hendaklah melakukanya tanpa menampakkan yang anda sedang solat atau berkumpul. Ini disebabkan kegiatan agama tidak boleh ditunjuk-tunjukkan di khalayak. Ini dasar pemerintahan mereka.

Sekiranya anda berada di kawasan Kedutaan, anda boleh singgah solat di surau yang disediakan oleh Kedutaan Malaysia di Chaoyang.


6. Waktu Solat


Waktu solat adalah berbeza setiap musim. Ketika musim panas waktu siangnya lebih panjang daripada waktu malam maka waktu solat juga berbeza. Solat subuh kadang-kadang bermula pada pukul 4.00 pagi dan habis pada pukul 5.00 pagi. Manakala waktu maghrib bermula pada pukul 8 malam dan waktu isyak 10 malam. Tetapi pada musim sejuk waktu solat subuh kadang-kadang bermula pada pukul 6 pagi dan berakhir pada pukul 7.30 pagi, waktu zohor bermula lebih awal iaitu pukul  12.00 tengahari, waktu magrib bermula pada pukul 5 petang dan waktu isyak 6.29 petang. Walau bagaimanapun waktu solat Jumaat adalah tetap di kebanyakan masjid di Beijing iaitu pada pukul 1.30 petang tidak kira musim sejuk atau panas.

Sebelum solat Jumaat di Masjid Niu Jie

Kebanyakan jemaah masjid di Beijing, solat asar lebih lewat. Untuk lebih mudah gunalah panduan jadual solat yang telah disediakan oleh Universiti Ummu Qura, Mekah. Anda boleh rujuk www.islamicFinder.org kerana ia lebih tepat. 

Azan tidak dilaungkan di kebanyakan masjid kecuali masjid-masjid tertentu. Masjid selalunya sunyi dan kurang orang pada hari biasa kecuali pada hari Jumaat. Wanita dibenarkan solat di masjid dan solat Jumaat. Ruangan solat wanita diasingkan bangunannya daripada dewan solat lelaki di kebanyakan masjid. Telekung tidak disediakan di masjid kecuali ada sehelai dua telekung disediakan di Masjid Niu Jie.


7. Tempat Mengambil Wuduk dan Beristinjak


Tempat mengambil wuduk, bilik mandi dan tandas disediakan di masjid-masjid. Paip air dan gayung/bekas air juga disediakan untuk beristinjak.

Tempat wudhuk wanita di Masjid Nandouya. Di belakang itu adalah bilik mandi.


Tandas awam terdapat dengan banyak di sekitar Beijing. Di mana-mana anda pergi anda pasti dapat melihat tandas awam. Tandas awam menyediakan paip di sinki tetapi tidak menyediakan paip air di dalam bilik tandas. Gayung/bekas air juga tidak disediakan. Anda hendaklah membawa sendiri gayung/botol untuk peralatan beristinjak anda. Ada juga tandas awam yang tidak menyediakan air dan sinki, jadi anda hendaklah sentiasa membawa air dan tisu.


Itulah sedikit panduan untuk umat Islam di Beijing. Segala kesilapan adalah kekurangan daripada saya yang lemah ini.


Ahad, 23 Disember 2012

TEMPAT MENARIK DI BEIJING #15: Panda Gergasi dan Tapir Malaya di Zoo Beijing


P
anda sering saya dengar, tapi belum pernah melihatnya secara hidup-hidup dan nyata di hadapan mata. Untuk melihat binatang yang berbulu gebu dan hampir pupus ini, maka saya dan keluarga saya ke Zoo Beijing.


Tempat yang menjadi tarikan di Beijing ini selalu sahaja dikunjungi ramai. Ternyata pelancong tempatanlah yang memenuhi zoo ini dan menyumbang kepada kesesakan. Perkhidmatan kaunter dan papantanda di sini pun tidak mesra pelancong luar. Orang China sahaja sudah memenuhi setiap inci zoo ini, maka fasal  itulah mereka tak kisah langsung pada kita orang luar ni. Fasal itulah brosur dan papan tandanya tulis China belaka. Penjual tiketnya pun tak tahu bahasa Inggeris sepatah haram. Jadi bersabar sajalah.

Untuk melihat panda kami perlu membayar tiket kombo berharga 20 yuan (RM10). Tiket kombo ialah tiket untuk tengok panda dan binatang-bintang lain. Kalau hendak tengok panda sahaja, bayarannya kurang sedikit.

Jom tengok panda yang kami tengok tu.



Panda Gergasi (Giant Panda)

 

Panda Gergasi ini dikurung di dalam sangkar kaca.

Panda adalah binatang unik di China. Ia suka hidup dalam rumpun buluh. Suka bersendirian. Di zoo ini ia dipanggil giant panda. Terdapat sangkar pameran bagi panda-panda ini. Ada yang dikurung di dalam sangkar kaca dan ada yang dikurung di dalam pagar kayu yang terbuka (tanpa cermin). Kita hanya dapat melihat panda-panda ini dari luar sangkar dan tidak dapat menyentuhnya. Ada seekor panda besar di kandang terbuka tanpa cermin. Manakala ada dua ekor panda kecil di dalam kandang cermin. Tak banyak. Mungkin dah pupus. Susah bela agaknya.

Sungguh seronok melihat panda ini makan daun-daun dan batang-batang buluh. 

Panda ini duduk di atas batu. Dua kakinya di kangkangkan. Dua tangan mengangkat batang buluh dan disuapkan batang buluh itu ke mulutnya. 

Penjaga zoo sekali sekala mencampakkan batang dan daun buluh ke dalam sangkar itu melalui pintu. Maka sebab itu panda itu duduk menunggu depan pintu. Sesekali panda ini berjalan-jalan di dalam sangkar. Tergelek-gelek. Punggung panda itu kejap ke kiri kejap ke kanan. Lenggang Mak Minah. 

Kepala panda yang berbulu putih gebu itu ditunduk-tundukkan mencari-cari daun. Hidungnya dikembang-kempiskan. Mulutnya mengumat-ngamit. Sedap benar nampaknya dia makan daun tu. Tak tersusukkah sembilu buluh dalam usus panda ni? Buluh bukankah tajam? Tak lukakah mulutnya? Hairan juga. Itulah kekuasaan Allah, gigi panda ini lebih tajam daripada buluh. Tak henti-henti panda itu makan. Makan. Makan. Makan. Kami gelihati melihat gelagatnya. 


Panda mempunyai gigi yang kuat

 


 

Tapir Malaya


Tapir Malaya ini jinak dan suka disentuh

Selain daripada panda, kami berpeluang melihat Tapir Malaya. Sudah tentu Tapir Malaya ini  berasal dari Malaysia, kan? Tetapi sudah jadi warganegara China. Orang China memanggilnya "Malai Mao". Hanya terdapat seekor sahaja Tapir Malaya itu di Zoo Beijing. Kesian. Tentu tapir ni sunyi, kan?

Tapir ini kelihatan sungguh comel dan unik. Yang menyeronokkan anak-anak saya dapat menyentuh dan mengosok-gosok kepala Tapir Malaya yang manja dan mesra itu  Rasa nak bawa balik. Nak bagi dia taraf bumiputra...he he he... Jauhnya sampai ke negeri China nak tepok Tapir. Padahal Zoo Taiping pun ada....tapi rasanya tapir di tempat kita tak boleh dipegang, kan?


Taman dalam Zoo Beijing


Tenang dengan deruan air jeram

Zoo ini amat luas dan kita perlu berjalan kaki. Apabila kami penat berjalan kaki, kami duduk berehat di bangku di hadapan air terjun di dalam taman yang terdapat di situ. Rasa sungguh nyaman mendengar deruan air terjun itu. Cuaca pula tidak panas dan tidak pula terlalu sejuk. Just nice. Ngam ngam je.

Kedai-kedai cenderamata, tandas dan perkhidmatan mengambil gambar bersama-sama binatang juga terdapat di sini.


Binatang Lain


Selain daripada itu terdapat binatang-binatang lain di Zoo Beijing seperti monyet, kuda, keldai, rusa, pelanduk, lembu, burung, zirafah dan lain-lain lagi. Telatah binatang-binatang ini amat menggelikan hati kami.

Binatang-binatang lain

Kalau kalian sukakan binatang, datanglah ke Zoo Beijing. Mungkin pengalaman kalian lebih menarik daripadaku.


 


Cara Pergi


Ambil subway laluan 4 dan turun di stesen Beijing Zoo, keluar ikut pintu A. Anda akan nampak papantanda menuju ke Beijing Zoo dan jalan kaki saja lebih kurang 3-5 minit.


Rabu, 19 Disember 2012

TEMPAT MENARIK DI BEIJING #14: Sate Kala Jengking, Sate Lipan, Sate Belalang di Wangfujing

Suatu petang saya berjalan-jalan bersama keluarga saya di Wangfujing. Orang terlalu ramai. Kami melihat banyak gerai-gerai makanan di situ. Macam pasar malam. 

Tiba-tiba, kami lihat beberapa ekor kala jengking, lipan dan serangga disula hidup-hidup pada bilahan buluh tajam. Kaki-kaki serangg itu menguit-nguit dan bergerak-gerak kesakitan kerana tubuh badannya dicucuk buluh tajam itu. Mereka masih hidup. Ia dipamerkan di atas meja gerai dan dijual. Sebentar lagi kala jengking, lipan, belalang, serangga ini akan dipanggang di atas bara api. Ia dijadikan sate! Mahukah anda makan sate eksotik ini?

Kala jengking ini masih hidup. Ia disula dan menanti untuk dipanggang sebentar lagi.
Sate kumbang dan sate lipan yang sudah dipanggang
Belalang ini disula hidup-hidup dan bakal dipanggang

Tengok mat saleh ni:

"Kasi saya satu!"

Ada berani?

Entri kali ini special sikit. Anak-anak saya bawa video masa kami jalan-jalan di sini. Nak tengok apa yang mereka rakamkan?

Saksikan video rakaman anak saya Beatbox di Wangfujing:




 Amacam?


Cara ke sana:


Ambil keretapi bawah tanah (subway) laluan 1 dan turun di stesen Wangfujing. Apabila anda keluar saja dari stesen berjalanlah terus dan anda akan lihat Jalan Wanfujing di hadapan anda.

Ahad, 16 Disember 2012

TEMPAT MENARIK DI BEIJING #13: Lorong Sutera & Pasar Mutiara (Silk Street & Pearl Market) di Yonganli dan Masjid Dongsi

Sekiranya anda tiada masa di Beijing dan ingin membeli-belah dengan mudah dan setempat pergilah ke Silk Street & Pearl Market (Lorong Sutera & Pasar Mutiara). Walaupun namanya Lorong Sutera, namun bukan sutera sahaja yang dijual. Di pusat membeli-belah ini terdapat pakaian, tembikar, pinggan mangkuk, teko, teh, kamera, barang kenang-kenangan dan macam-macam lagi. 

Pasaraya ini ada 6 tingkat.  
Tingkat bawah tanah: Beg, kasut, barangan kulit, topi, CD, KFC
Tingkat 1: Pakaian, Cafe, Kaunter Penerangan
Tingkat 2: Pakaian, Pakaian Kanak-kanak, Permainan, Pengurup Wang
Tingkat 3: Cenderamata, barangan elektronik, kain sutera, tali leher, skaf, teh, tembikar
Tingkat 4: Cermin mata, jam, seni kerajinan tangan, alat tulis, barangan sukan
Tingkat 5: Barangan kemas, mutiara, farmasi

Anda mungkin terkejut kerana barang-barang yang dijual di sini tiada tanda harga dan harga yang diletakkan adalah tinggi. Setiap kedai meletakkan harga yang berlainan untuk barangan yang sama. Untuk membeli-belah di sini, kita perlu pandai tawar. 

 
Tingkat 1 Lorong Sutera & Pasar Mutiara


 

Tips Tawar-Menawar


1. Tawarlah 70 peratus


Nasihat saya - tawarlah 70 peratus daripada harga yang diletakkan. Apabila peniaga enggan menerima harga yang kita minta mereka akan minta kita naikkan harganya. Kemudian daripada situ perlahan-lahan kita naikkan sehingga 50 peratus kurang daripada harga yang diberikan kepada kita tadi. Kalau peniaga enggan menerima harga itu, terus beredar saja dari situ. Jangan tunjukkan yang kita berminat dengan barangan yang dijual itu. Kalau peniaga itu rasa rugi dia akan biarkan kita pergi. Tetapi kalau dia dapat sedikit untung dia akan panggil kita semula dan menerima harga yang kita minta.

 

2. Hati Kena Kering


Kalau peniaga rasa rugi dia akan suruh kita keluar dari kedainya. Tentu kita tak suka apabila peniaga berkata dengan kurang asam kepada kita,  “Quickly go! Quickly go!”  Ada peniaga yang menghempaskan kalkulator mereka kerana tidak senang dengan harga yang kita minta. Ada peniaga yang marah-marah dengan harga yang kita minta. Jangan pedulikan reaksi mereka. Hati kita kena kering. Kerana hati mereka lebih kering, lebih kaudu dari hati kita  ha ha ha…

Ada  peniaga yang tidak suka kita menawar terlalu rendah tetapi mereka jual juga, kemudian dengan muka sedihnya meminta kita beri duit Malaysia sebagai souvenir. Ingatlah ini pun scam. Jadi kalau 10 orang Malaysia bagi dia RM1 setiap hari, dalam sebulan dia boleh dapat RM300 (600 yuan), wooi banyak tu! Lepas dah dia bayar sewa rumah.

3. Guna kalkulator


Jangan risau kalalu tak tahu cakap China. Guna saja mesin kira (calculator) atau tulis di kertas.

4. Cakap Melayu atau Inggeris


Ada juga peniaga di sini yang tahu cakap Melayu. Mereka tahu bilangan 1 hingga 100 dan tahu jenis-jenis warna dalam bahasa Melayu. Ramai juga yang tahu cakap Inggeris. Peniaga biasanya berdiri di pintu kedai dan mengajak kita masuk ke kedainya. Mereka biasanya mudah mengenali kita orang Malaysia lalu bercakap Melayu, "Tengok dulu. Tengok dulu. Murah. Murah!"


Apakah Yang Boleh Dibeli?


Silk Market ini dekat dengan rumah saya. Satu daerah di Chaoyang. Oleh kerana saya selalu ke sini ada 4 tempat yang saya cadangkan  untuk anda singgah membeli:


1. Cermin mata
Inilah Kevin, tuan punyai kedai cermin mata Kevin Optical


Belilah cermin mata di Kevin Optical di Tingkat 4. 

Saya dan keluarga pernah membuat cermin mata di sini. Harganya amat murah dan cepat siapnya. Ia boleh siap dalam masa 10 minit. Sepasang cermin mata (termasuk power) boleh dibeli dengan harga 160-200 yuan (RM80-100). 

Cermin mata progressive lenses (no-line bifocals) pula berharga 275 yuan (RM 137.50) dan ia siap dalam masa 4 jam. 

Harga cermin mata boleh ditawar. 

Peniaga di sini boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Tuan punya kedai ini iaitu Kevin dan adik perempuannya pun sudah kenal saya sebab saya selalu bawa kawan datang ke sini.


  

2. Alas Meja, Cadar dan Pembalut Kotak Tisu


Kedai Jamelah menjual alas meja, cadar dan pembalut kotak tisu. Letaknya di Tingkat 3. Harganya boleh ditawar dan murah pula. 

Saya sering ke sini membawa kawan-kawan dan keluarga saya. Kami dapat membeli alas meja dengan harga 10 yuan (RM5), pembalut kotak tisu 5 yuan (RM2.50) dan cadar/quilt saiz King dengan harga 160 yuan (RM80). 

Inilah Jamelah. Jamelah pandai cakap Melayu.



Jamelah orang Islam. Yang menariknya kami cakap Melayu dengannya! Dan diapun cakap Melayu dengan kita! Dia pick-up bahasa Melayu melalui pembeli-pembeli Melayu yang selalu datang ke kedainya.


3. Cenderamata 

 
Magnet peti sejuk

 

Fridge magnet boleh dibeli dengan harga yang murah di sini. Paling murah 10yuan (RM5) untuk 3 buah.





Sepit boleh dibeli dengan harga 20yuan (RM10) sekotak.


Teko seramik



Teko, cawan dan barangan seramik banyak terdapat di sini. Teko seperti dalam gambar berharga 30yuan (RM15). 

 

 4.  Kain Sutera 

 

Kain sutera ini berharga 65-85yuan semeter

China terkenal dengan kain sutera. Mereka mempunyai kualiti sutera yang paling tinggi. Walaupun banyak negara mengeluarkan sutera, namun sutera China masih di kedudukan teratas. Mereka telah lama menyembunyikan rahsia sutera dari dunia luar. 

Kain sutera paling murah yang boleh dibeli di pasaraya ini ialah 65yuan (RM32.50) semeter. Tetapi ia agak nipis dan perlu menggunakan liner apabila membuat baju. Yang tebal sedikit berharga 85 yuan (RM 42.50) semeter malah beratus-ratus yuan pun ada.


Pakaian sutera di Yonganli


T-Shirt

 


Pakaian di sini terlalu mahal. Kebanyakan baju berharga sekurang-kurangnya 100 yuan (RM50). Tetapi t-shirt yang bertulis Beijing di hadapannya itu, boleh dibeli dengan harga 20 yuan (RM10) sehelai.

 


Kedai Tersorok


Tetapi kalau anda tak suka tawar menawar, pergilah ke bahagian belakang (bawah tanah/basement) yang agak tersorok. Kalau anda masuk ikut pintu B dari stesen subway, anda akan nampak kedai menjual barang-barang cenderamata di situ. Tetapi ada sebuah lorong di sebelah kiri. Masukklah lorong itu dan anda perlu naik tangga. Ia agak tersorok. Di sini kurang pembeli yang lalu lalang, jadi peniaga tidak meletakkan harga terlalu tinggi dan mudah untuk mendapat harga yang kita minta. Terdapat beberapa buah kedai yang meletakkan harga tetap dan anda tak perlu tawar menawar. Di kedai-kedai tersorok ini kami pernah membeli kerongsang (brooch), tali pinggang kulit, sepit, cenderamata dan jam tangan. 


Masjid Dongsi


Semasa membeli-belah dan apabila masuk waktu solat anda boleh solat di Masjid Dongsi. Ia letaknya berdekatan dengan stesen keretapi bawah tanah Dongsi di laluan 5. Inilah masjid yang paling hampir dengan Silk Street & Pearl Market ini.

Daripada stesen subway Yonganli, ambil subway laluan 1 dan turun di perhentian kedua iaitu stesen Dongdan, kemudian ambil subway laluan 5 dan turun di perhentian kedua iaitu stesen Dongsi. Apabila anda keluar dari pintu stesen itu pergilah ke sebelah kanan. Anda akan nampak kedai Holiland. Masjid itu letaknya di sebelah belakang kedai ini iaitu di  Dongsi South Street. Amat dekat sekali dengan stesen subway Dongsi.


Masjid Dongsi letaknya hampir dengan stesen keretapi bawah tanah Dongsi



Kalau anda hendak bawa pulang barang-barang dari Beijing, bolehlah membeli-belah di Silk Street and Pearl Market ini. Namun begitu kedai makanan halal tidak ada berdekatan dengan pusat membeli-belah ini.


Cara pergi (ke Lorong Sutera & Pasar Mutiara):


Naik subway ke Laluan 1 dan turun di Yonganli. Keluar ikut pintu A. Pasaraya Silk Street ini bersambung dengan stesen subway Yonganli (di bawah satu bumbung). Jadi kita tidak perlu keluar bangunan. Kita tidaklah terkena panas matahari di musim panas atau kesejukan di musim sejuk.


Rabu, 12 Disember 2012

TEMPAT MENARIK DI BEIJING #12: Lorong Qianmen, Lorong Dashilar, Masjid Qianmen dan Hutong Kekalkan Ciri-ciri Purba

Nak tahu tak, tempat yang saya suka lepak di Beijing ni? Tempat ini letaknya di antara Qianmen dan Hepingmen. Ia dikenali dengan Lorong Qianmen (Qianmen Street) dan Lorong Dashilar (Dashilar Street). Ia adalah tempat membeli-belah yang menarik. Ini disebabkan ia mempunyai kedai-kedai lama yang telah dibina pada zaman Dinasti Qing iaitu sejak tahun 1644-1911 lagi. Ada kedai-kedai yang sudah berusia 500 tahun! Tempat ini juga happening dan ramai pengunjung.

Saya cadangkan kalian datang ke sini kalau berkunjung ke Beijing. Datang tau jangan tak datang.


Kedai-kedai lama di Qianmen


Lorong Qianmen

 


Butik pakaian,  kamera, cenderamata menjadi tumpuan


Kedai-kedai yang terdapat di sini terdiri dari kedai-kedai sutera, teh, pakaian, makanan, kamera, cenderamata dan macam-macam lagi. Harga barang-barangnya juga berpatutan. Ia tidak perlu ditawar kerana harganya telah ditetapkan. Saya pernah membeli jaket musim sejuk dan baju di sini. Sehelai blaus berharga serendah 10 yuan (RM5) hingga setinggi 200 yuan (RM100). Jaket musim sejuk boleh dibeli dengan harga serendah 100 yuan (RM50) hingga 300 yuan (RM150).

Kedai kasut, lorong-lorong belakang dan teko teh menghiasi kedai. Kasut seperti dalam gambar di atas berharga di antara 30 yuan (RM15) hingga  60 yuan (RM30)

Sutera

Sate biri-biri yang sedap lagi halal. Secucuk sate biri-biri ini berharga 16 yuan (RM8)

Kalau lapar singgahlah di restoren halal yang terdapat banyak di sini. Sate biri-biri patutlah dicuba kalau anda sudah berada di sini.


Tram lama yang telah digunakan sejak tahun 1924

Yang menarik di sini kita boleh lihat trem lama membawa penumpang pada jarak dekat di lorong ini.


Lorong Dashilar


Kedai-kedai lama di Dashilar

Di belakang Qianmen Street terdapat Dashilar Street. Di sini kita boleh menyaksikan kedai-kedai lama yang menjual seramik, lukisan kaligrafi dan teh .

Menaiki lanca membawa kita kembali ke zaman China purba


Kita boleh berjalan kaki atau menyewa basikal atau menaiki lanca yang ditarik oleh orang.

Di Dashilar Street ini terdapat banyak restoren halal yang menyajikan mee tarik dan lauk-pauk resepi khas orang Hui dan juga masakan etnik Uyughur.


Restoren untuk orang Muslim

Masjid Qianmen dan Hutong

 


Lepak-lepak di Dashilar Street. Lorong jalan ini ialah Paizi Hutong, ia menghala ke Yangwei Hutong.






Untuk solat kita boleh singgah di Masjid Qianmen (Qianmen Dashi) di Yangwei Hutong. Yangwei Hutong ini letaknya di belakang Dashilar Street.


Yangwei Hutong

Untuk ke sini kita perlu melalui beberapa hutong iaitu kawasan perumahan lama Beijing. Kita perlu melalui lorong-lorong yang kecil dan berliku-liku. Bawalah alamat Masjid ini dalam tulisan China kerana mudahlah orang membantu kita kalau tersesat.



Sumber: malay.cri.cn

Setiap kali lalu di sini saya mesti teringatkan filem Karate Kid (terbaru, lakonan anak Will Smith) yang lokasinya banyak dibuat di hutong Beijing.

Masjid Qianmen ini adalah salah sebuah masjid yang tua dan ia telah dibina pada Dinasti Ming dan dibina semula oleh Maharaja Kangxi dan Qianlong pada zaman Dinasti Qing. Jadi masjid ini sudah berusia lebih 500 tahun! Di persekitaran masjid ini, kita mudah melihat orang Islam yang tinggal di hutong yang berdekatan.

Dewan solat untuk lelaki di Masjid Qianmen

Masjid ini sentiasa dijaga oleh khariahnya. Tempat wudhu dan tandasnya bersih. Dewan solat dibahagikan kepada dua iaitu untuk lelaki dan wanita. Kita dilarang tidur di dalam masjid, tetapi dibenarkan tidur di atas sofa yang diletakkan di luar dewan solat.


Anak-anak saya posing dulu depan masjid Qianmen sebelum balik


Sebenarnya banyak lagi yang menarik yang kalian boleh lihat di sini, tetapi tidaklah dapat saya ceritakan kesemuanya dalam ruang yang terhad ini. Pergilah sendiri kalau ingin mengetahuinya.

Bagaimana? Nak ke sini tak?

 

Cara Pergi


Cara 1:

Ambil keretapi  bawah tanah (subway) menggunakan laluan 2 dan berhenti di stesen Qianmen. Keluar ikut pintu B atau C dan pergi ke kiri. Berjalan kakilah kira-kira 3-5 minit. Di seberang jalan anda akan nampak pintu gerbang. Di sinilah Qianmen Street.


Cara 2:

Ambil keretapi bawah tanah (subway) menggunakan laluan 2 dan berhenti di stesen Hepingmen. Keluar ikut pintu C dan bergerak ke arah kiri. Jalan kira-kira 300 meter. Anda akan jumpa Dashilar Street dahulu. Untuk ke Qianmen Street, seberangilah jalan ke sebelah kanan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...