Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Selasa, 29 Januari 2013

Backpack ke Kota Ais Haerbin (1): Persediaan Sebelum Berangkat dan Menaiki Keretapi Berkelajuan Tinggi

Saya backpack lagi. Kali ini di bahagian paling utara China iaitu Haerbin (Harbin) yang terkenal dengan panggilan “Kota Ais” @ Ice City. Ini disebabkan Haerbin terlalu sejuk dan suhu di sana lebih sejuk dari Beijing.  

Pada entri yang lalu saya ada menceritakan tentang betapa sejuk dan deritanya saya tinggal di Beijing dalam musim sejuk yang melampau. Di Beijing suhu mencecah sehingga -17°C dan saya kata saya tidak tahan dengan kesejukannya, namun di Haerbin suhunya LAGI SEJUK. Nak tahu berapa? Suhu di Haerbin ialah -30°C. Hah bagaimana? Tak percaya?  


-30°C bukan mustahil.  Pada mulanya saya tidak yakin, apakah saya boleh bertahan dalam suasana suhu dingin yang melampau ini? 


Di China orang membuat gurauan tentang Herbin disebabkan kesejukkannya:

“Di Haerbin hingus kita akan keluar meleleh dari lubang hidung dan terus membeku menjadi ais batu serta merta di atas kumis/bibir.” 

Kelakar bunyinya, kan? Tetapi kelakar begini menakutkan. Jadi, buat apalah saya ke sana sedangkan kesejukan di Beijing yang -17°C pun saya sudah menderita? 



Di Haerbin ada keindahan. Kotanya cantik pada musim sejuk dan salji sentiasa ada di sana. Pertunjukan kemahiran mengukir skulptur dan arca atau binaan daripada ais batu telah lama menambat hati saya untuk melihat kesenian itu. Ini membuatkan saya bersemangat untuk pergi.


Saya backpack dengan seorang kawan. Yanie nama kawan saya ini. Saya kenal Yanie melalui blog ini. Yanie selalu mengikuti blog saya ini dan sering berhubung dengan saya melalui emel dan facebook saya. Setelah berhubungan, barulah kami mendapat tahu yang kami sama-sama tinggal di Beijing. Yanie seorang siswi pasca-siswazah di Universiti Perhutanan (Forestry University) di Beijing. Kami bercadang untuk ke Haerbin bersama-sama. Lama kelamaan kamipun bertemu. Pertemuan diadakan di Universiti Komunikasi China, Chaoyang, Beijing iaitu tempat saya bertugas.  

Inilah Yanie, kawan backpack saya


Setelah berbincang, kamipun membuat keputusan untuk pergi tulat: 3 hari lagi. Kamipun terus ke pejabat jualan tiket yang berdekatan dengan Universiti Komunikasi China. Kami dapat tiket pergi-balik. Alangkah gembiranya kami kerana berjaya mendapatkan tiket itu kerana kami risau tiket itu kehabisan. Kami akan menaiki keretapi berkelajuan tinggi (high-speed train) dan perjalanan akan memakan masa 8 jam. Harga tiketnya ialah 306.50 yuan (RM 153. 25) untuk satu hala.



Setelah memperolehi tiket pergi-balik, kamipun membuat tempahan hotel. Yanie yang lakukan tempahan hotel ini melalui agoda.com. Saya setuju sahaja dengan pilihan hotel yang dilakukan oleh Yanie. Kami juga membuat penyelidikan tentang Haerbin melalui internet dan buku Lonely Planet.  

Selain daripada itu kami juga bertanya kawan-kawan China tentang Haerbin. Salah seorang pelajar  China yang saya kenali di sini pula orang Haerbin, jadi banyak jugalah yang saya tanya padanya terutama sekali nama-nama tempat untuk dilawati, memintanya menuliskan dalam tulisan China dan juga cara-cara menaiki keretapi. Yanie juga tidak kurang membuat penyelidikan dan bertanya kawan-kawannya yang pernah ke sana. Jadi kami sudah buat persediaan yang cukup. “Two heads are better than one, isn’t it?"





Menaiki Keretapi Berkelajuan Tinggi (High-Speed Train) dari Beijing Zhan (Stesen Keretapi Beijing) ke Haerbin Xi (Haerbin Barat)




Awal-awal lagi kami sudah berada di stesen keretapi Beijing Zhan atau dalam bahasa Melayunya Stesen Keretapi Beijing. Ia terletak di laluan 2.  Subuh-subuh sapei lagi kami sudah keluar dan ambil teksi. Pada pukul 5.30 pagi kami sudah terpacak di stesen itu kerana kami tidak mahu ketinggalan. Oleh kerana waktu solat subuh masuk pada pukul 6.00 pagi, kamipun solat di stesen itu.



Di stesen Beijing, orang ramai. Kami duduk menunggu. Setelah dipanggil kami pun masuk ke dalam perut keretapi. Tepat pukul 7.00 pagi Keretapi Berkelajuan Tinggi itupun bergerak meninggalkan Beijing.  Kami menaiki kelas 2. Ia amat selesa. Di kelas 2 ini setiap baris mempunyai 3 kerusi. Kalau kelas 1, ada 2 buah kerusi sebaris. Keadaan di dalam keretapi sangat bersih. Sentiasa ada pencuci yang mencuci lantai. Tandas juga bersih! 


Gerabak Kelas Kedua Keretapi Berkelajuan Tinggi yang saya naiki  ke Haerbin


Pada mulanya Keretapi Berkelajuan Tinggi ini bergerak dalam kelajuan 35km/jam, kemudian bertambah ke 90km/jam dan akhirnya bertambah kepada 193km/jam. Suhu di dalam dan di luar keretapi juga dipaparkan pada skrin. Suhu di luar semakin lama semakin menurun daripada -4°C sehinggalah ke -20°C. Oleh kerana suhu di dalam keretapi boleh dikawal, maka ia ditetapkan pada 24°C.


Saya duduk di kerusi 6A tepi tingkap


Perjalanan yang panjang ini saya habisi dengan melihat pemandangan di luar jendela keretapi. Amat indah. Salji meliputi permukaan bumi. Saya dapat melihat salji putih itu menyelimuti kampung-kampung, ladang-ladang, kilang-kilang dan bumbung-bumbung rumah. Mula-mula salji itu kelihatan nipis tetapi lama kelamaan ia semakin tebal. Semakin jauh perjalanan kami semakin tebal salji itu menyelimuti alam ini. Ini menunjukkan bahawa perjalanan kami semakin ke utara. Dan sudah pasti suhunya semakin dingin. Sungai-sungai pula beku. Ketika itu saya amat terharu dengan keindahan mukabumi utara China ini. Subhanallah. Saya rasa amat bertuah dapat menyaksikan keindahan yang tidak pernah saya temui ini.














Di dalam keretapi, sentiasa ada pekerja keretapi yang menolak troli yang mengandungi minuman dan kudapan untuk dibeli. Pemeriksa tiket juga datang hanya sekali memeriksa tiket. Keretapi ini berhenti di beberapa setesen. 

Yanie dapat tempat yang jauh sedikit daripada saya. Penumpang di sebelah saya adalah seorang lelaki yang sudah berumur, usianya sekitar 60an, namun yang mencelikkan mata saya dia mempunyai gadget yang canggih. Dia kemudiannya membuka laptopnya dan membuat design dalam bangunan. Barangkali dia seorang akitek atau pereka dalaman (interior designer). Tetapi dia tidak tahu bahasa Inggeris. Jadi kuranglah komunikasi saya dengannya. 

Sepanjang perjalanan itu juga saya tidak henti-henti menyapu losyen ke tangan saya yang kering dek cuaca musim sejuk yang kering itu sehingga aktikek itu hairan dengan gelagat saya lalu bercakap-cakap tentang saya sambil menunjuk-nunjuk losyen saya itu pada kawannya. Perbuatan saya itu membuatkan mereka bertanya dalam bahasa China yang saya ini orang mana. Apabila saya memberitahu saya orang Malaysia barulah mereka berkata, “Ooo patutlah.”


Dalam gerabak Keretapi Berkelajuan Tinggi (High-Speed Train) ke Haerbin


Di dalam keretapi juga disediakan air panas. Jadi apabila waktu tengahari dan saya lapar, sayapun merendam mee segera halal yang telah diberikan kepada saya oleh seorang kawan China. Apabila waktu solat tiba, saya pun mengambil wudu di dalam bilik air yang kecil (seperti bilik tandas dalam kapalterbang MAS) tetapi bersih lalu solat jamak di dalam gerabak. Selain daripada itu saya tidur lena di kerusi.


Penumpang yang duduk berdekatan penulis


Sampai di Kota Ais Haerbin


Keretapi Berkelajuan Tinggi ini sampai tepat pada waktu yang dijangkakan iaitu pada pukul 3.00 petang dan tidak ada kelewatan. Ini membuatkan saya kagum. Kami amat gembira kerana telah sampai ke destinasi. Apalagi acara wajib-tangkap-gambar pun diadakan bagi melambangkan kegembiraan dan kejakunan kami.

Syarat wajib...penulis posing dulu


Setelah itu kami terus beratur di tempat mengambil teksi. Orang terlalu ramai dan teksi pula tidak banyak. Kami perlu menunggu kira-kira 30 minit sehingga teksi berikutnya sampai. 


Beratur menunggu teksi

Yanie yang tahu sedikit cakap Chinapun menunjukkan alamat hotel kami itu kepada pemandu teksi itu. Pemandu teksi itu tidak tahu tempatnya dan diapun bertanya-tanya orang di sana. Kemudian kamipun naik teksi itu ke hotel. Kemudian Yanie menelefon hotel dan minta pegawai di hotel itu menjelaskan kedudukan hotel yang akan kami inapi itu. 


Suasana dingin dan kabus semasa kami sampai di Haerbin

Tidak lama kemudian kamipun sampai. Hotel yang kami inapi itu bernama Green Tea Hotel. Kami bayar 175 yuan (RM 87.50) semalam untuk satu bilik. Hotel itu dilengkapi dengan 2 buah katil bujang, pemanas (heater), PC dan internet, televisyen (flat screen), cerek elektrik, selipar, sinki dan bilik mandi berkaca.


Green Tea Hotel di Haerbin

Semasa check-in kami tanyakan tentang restoren halal di situ. Pada mulanya kami amat risau kerana menurut kawan-kawan China saya, restoren halal susah untuk dicari di Haerbin berbanding dengan di Beijing. Kami juga telah membekalkan makanan sendiri seperti nasi impit, serunding, mee segera dan roti untuk bekalan kami sebagai persediaan. Tetapi Alhamdulillah orang-orang di hotel itu memberitahu kami yang restoren halal letaknya di lorong sebelah kiri hotel itu sahaja.


2 katil bujang yang selesa. Pemanas (heater) berfungsi dengan baik
Sinki dan bilik mandi berkaca Hotel Green Tea.


Restoren Halal  dan Cuba-cuba Jalan di Kota Ais Haerbin

  
Setelah check-in dan menyimpan barang-barang di dalam bilik, kamipun keluar makan malam di restoren halal itu. Peniaga restoren itu adalah sebuah keluarga, mereka sangat peramah dengan kami dan gembira menerima kami di situ. 

Tulisan qingzhen (halal) di hadapan restoren  yang berdekatan dengan Hotel Green Tea di Haerbin

Anak-anak pemilik restoren halal ini membantunya memotong dan menghiris sayur-sayuran


Khalimah toyyibah di dalam restoren halal di Haerbin

Nasi goreng telur sebagai makan malam kami yang pertama di Haerbin


Nasi yang ringkas hanya berlaukkan telur cukup mengenyangkan kami.

Semasa berjalan-jalan menuju ke restoren halal ini tadi, keadaan jalan amat licin kerana salji sudah beku dan menjadi ais. Kasut boot yang saya beli di Beijing nampaknya tidak sesuai dipakai di Haerbin. 



Setelah makan, kami ke kedai kasut dan melihat-lihat kasut boot yang sesuai untuk dipakai. Pekedai di situ peramah-peramah belaka. Mereka gembira melihat kami. Mereka menyelak kaki seluar kami dan melihatkan yang kami masih memakai kurang lapisan seluar thermal. Mereka menasihati kami supaya memakai lebih banyak lapisan thermal sambil menyelakkan seluar thermal mereka dan menunjukkan yang mereka sendiri memakai 3 lapisan.



Sayapun membeli sepasang kasut boot yang mempunyai tapak menggerutu dan mencengkam kuat serta di dalamnya ada bulu biri-biri yang boleh menahan kaki saya daripada kesejukan. Kasut boot itu berharga 280 yuan (RM140). Setelah memakainya, saya rasa ia selesa dan saya boleh berjalan tanpa risau tergelincir di atas salji dan ais di jalanan.



Suhu malam itu sangat dingin: -30°C. Kami kemudiannya cuba-cuba berjalan berdekatan dengan hotel kami. Kamipun pergi melihat skulptur ais yang diukir dan dipamerkan di tepi-tepi jalan dan taman. Amat indah kerana ia adalah bongkah-bongkah ais batu yang telah diukir dengan usaha yang tekun, berbentuk lutsinar dan  diterangi dengan lampu berwarna-warni.



Skulptur ais yang diukir menjadi pasu dan gerbang

Pasu dan gerbang ais ini dipamerkan sepanjang musim sejuk di Haerbin


Pasu dan gerbang ais ini semakin indah apabila disinari lampu


Skulptur ais yang diukir berbentuk bangunan, pintu gerbang dan pasu dipamerkan di tepi jalan di Haerbin


Setelah berjalan-jalan di waktu dingin di Herbin pada malam hari pertama kami di sana, kami sudah dapat mengagak tahap ketahanan badan kami pada suhu -30°C. Daripada situ kami dapat membuat persediaan untuk keesokan harinya. Esok kami akan melawat Sun Island dan Ice and Snow World, iaitu tempat tumpuan ramai dan yang ingin sekali kami pergi.  

Jadi ikuti Naramas Aman backpack ke Haerbin dan saksikan kejutan yang kami alami selama berada di Kota Ais yang suhunya sejuk melampau iaitu -30°C. Tahankah kami pada kesejukan tahap melampau itu? Nantikan kemunculan backpack kami ini yang pasti memancing minat anda untuk turut mengikuti jejak langkah kami.


...bersambung

Ahad, 20 Januari 2013

Huo Guo atau Hot Pot Makanan Sesuai Pada Musim Sejuk di Beijing

Pagi ini saya menjenguk keluar jendala bilik. Tidak disangka-sangka, sesuatu diluar dugaan terjadi. Saya lihat salji putih sedang turun dari langit. Ianya satu rahmat. Ia membawa keriangan kepada saya. Salji itu telah membuatkan saya melupai derita musim dingin di Beijing.

Gambar ini saya ambil dari tingkap bilik saya pada pukul 7 pagi tadi

Apakah yang perlu dilakukan pada waktu salji turun? Mendendangkan lagu Sonata Musim Salju? Membuat snowman? Melontar bebola salji? Keluar makan-makan?

Oleh kerana gembira menyambut salji turun itu, saya bergegas keluar berjalan-jalan. Tak jauh, cuma di dalam kampus Universiti Komunikasi China saja. Sudah lama rasanya tidak merasai gebunya salji yang jatuh ke atas kepala dan menyentuh pipi. Saya melihat ia melayang ke bumi bagaikan kapas putih bersih. Seluruh permukaan bumi kampus itu putih diselimuti salji. Indahnya.








Saya melihat beberapa orang menyodok salji di atas jalan. Kanak-kanak mengepal-ngepal salji yang gebu dan putih itu menjadi bebola. Ada yang membuat snowman.

Sangka saya, saya seorang saja yang jakun melihat salji yang gebu turun di bumi Beijing, rupa-rupanya ramai juga orang China yang keluar merakamkan gambar.







Makan-makan Pada Musim Sejuk


Perut mudah lapar pada musim sejuk. Badan cepat menggigil. Makanan apakah yang sesuai untuk melayan kehendak perut ketika sejuk-sejuk begini?

"Huo Guo," kata Jingling kawan saya yang berasal dari Beijing.

Jingling belanja saya makan huo guo atau hot pot  iaitu masakan tradisional China. Inilah pertama kali saya memakan makanan huo guo dengan resepi tradisional serta cara memakannya juga tradisional.

Jingling bawa saya ke sebuah kawasan penempatan Muslim di Chaoyang Utara, Beijing. Ianya tidaklah jauh dari rumah saya. Menurut Jingling huo guo ialah  masakan yang sering mereka makan ketika musim sejuk.

Kawasan penempatan Islam di Chaoyang

Restoren halal di Chaoyang Utara yang menyajikan huo guo cara tradisional

Saya tertarik dengan cara ia dihidangkan. Amat authentic. Sayur-sayuran dan daging dihidangkan berasingan di dalam piring. Sebuah periuk diletakkan di atas dapur dan dapur itu pula diletakkan di tengah-tengah meja yang berlubang. Di dalam dapur itu mengandungi arang kayu yang sentiasa menyala. Terdapat air di dalam periuknya. Kami menunggu air itu mendidih dahulu.

Penulis menunggu air mendidih

Jingling malu semasa saya mengambil gambarnya, tetapi saya ambil tanpa dia sedari

Sayur kobis, perut lembu, cendawan dan fuucuk

Setelah air itu mendidih, sayur-sayur atau daging kemudiannya dicelur ke dalam air mendidih itu satu persatu. Ada yang dicelur sekejap sahaja dan ada yang dibiarkan seketika di dalam air yang mendidih itu.

"Perut lembu ini perlu dicelur sebanyak 7 kali. Kalau lebih ia akan lembik dan tak sedap," kata Jingling sambil mendemonstrasikannya.

"Celup, angkat, celup, angkat. Kena 7 kali," kata Jingling

Jingling menunjukkan cara mencelur sayur

Sayapun meniru cara-cara yang dilakukan oleh Jingling. Kemudian makanan itu dicicah dengan sos bijan. Sangat sedap dan berkhasiat. Selepas memakannya badan saya merasa panas. Kemesraan terjalin melalui cara makan begini kerana ia tidak dimakan berasingan dan tidak individualistik sebagaimana makanan barat.

Sos bijan (depan, paling kanan), cili kering,  daun ketumbar, bawang putih, bawang besar untuk menyedapkan lagi huo guo


ayur-sayuran dan daging yang sudah dicelur dan direbus dalam air mendidih dicicah dengan sos

Bila ditanya apakah minuman yang perlu diminum pada musim sejuk.

"Air halia direbus bersama gula merah," jawab Jingling dalam bahasa Melayu yang fasih.

Kalau anda berada di Beijing pada musim sejuk, jangan ketinggalan untuk menikmati huo guo dan air halia bergula merah.

Khamis, 17 Januari 2013

Derita Musim Sejuk di Beijing

Saya pernah tinggal di Amerika Syarikat dan pernah pula mengembara ke Kanada. Sesejuk musim sejuk di Amerika dan Kanada, sejuk lagi musim sejuk di Beijing. Inilah pengalaman yang pernah saya alami selama berada di musim sejuk di Beijing pada tahun 2012/2013. Tahap kesejukannya mencucuk tulang hitam kerana rata-rata suhunya di bawah 0 darjah Celcius setiap hari sepanjang musim sejuk yang bermula pada bulan November 2012 hingga Februari 2013. Air sungai dan air parit menjadi beku kerana terlalu sejuk.

Kulit saya juga menggerutu, pedih dan luka-luka (berdarah) kerana udaranya yang sejuk dan kering. Apabila mandi menggunakan air panas, keadaan kulit saya bertambah teruk membuatkan saya hanya boleh mandi sekali seminggu.

Air parit menjadi beku di taman permainan di kawasan kediaman saya

Air parit yang menjadi ais batu di taman permainan di kediaman saya
Ais batu dari parit air yang telah dikorek keluar oleh entah siapa
Sungai beku

Kebiasaannya suhu di Beijing ialah -8 darjah Celsius pada waktu tengahari dan turun secara mendadak pada malam hari sehingga -17 darjah Celsius. Kesejukan ini bertambah-tambah sekiranya angin bertiup kencang. Tambahan pula pemanas (heater) tidak berfungsi. Untuk makluman anda, pemanas ini dibekalkan ke kediaman penduduk di seluruh Beijing oleh kerajaan China. Pemanas yang siap dipasang di dinding-dinding kediaman tidak perlu diusik atau dibuat apa-apa. Apabila tiba masanya, kerajaan China akan menyalurkan bahang panas ini ke kediaman. Pada tahun 2012 ia mula dibekalkan pada 15 November 2012 iaitu apabila suhu musim sejuk telah menurun ke tahap air beku.

Pemanas yang dipasang dalam bangunan. Kepanasannya dikawal oleh kerajaan China


Tetapi malangnya di aparment yang saya sewa di Chaoyang, Beijing tidak menerima bekalan ini. Pemanasnya sejuk. Walaupun saya telah maklumkan kepada tuan rumah, tuan rumah tidak dapat berbuat apa-apa kerana ia dikawal oleh kerajaan. Walaupun ada dijual pemanas mudah-alih (portable heater) namun untuk menggunakan bekalan elektrik sangat tidak digalakkan. Ia terlalu mahal dan penggunaan elektrik mempunyai had. Kalau digunakan melebihi hadnya, bekalannya akan terputus. Untuk memasangkannya semula memakan masa berhari-hari.

Kerajaan di sini amat berhemah dalam penggunaan elektrik. Di waktu malam, di persekitaran kawasan aparment saya gelap kerana kurang lampu di pasang. Kawasan letak kereta dan jalan di kawasan taman perumahan pula tidak dipasang tiang lampu walaupun sebatang. Sensor light digunakan di koridor dan kita hanya perlu menghentakkan kaki atau menepuk tangan untuk menyalakan sensor light itu. Sensor light ini hanya menyala 2-3 minit sahaja dan kita kena sering menepuk tangan atau menghentakkan kaki untuk menyalakannya semula.

Rakan-rakan serumah saya yang kesemuanya orang China sudah berpindah ke tempat lain kerana tidak tahan dengan kesejukan di apartment kami. Suasana di luar menjadi mati dek kerana ketiadaan aktiviti. Masa lebih banyak dihabiskan di dalam bilik. Keluarga pula di Malaysia. Keadaan yang terlalu sejuk dan suasana yang mati ini membuatkan saya rasa sunyi dan tertekan. Inilah penderitaan dan cabaran yang saya hadapi di musim sejuk Beijing.


Keadaan yang sunyi di kampus Universiti Komunikasi China ketika musim sejuk
Masih ada orang di jalan ketika musim sejuk Beijing


Penderitaan saya ini diketahui oleh sahabat China saya iaitu Jingling. Jingling yang baik hati telah memberi saya tinggal di biliknya yang mempunyai pemanas selama musim sejuk ini. Tuan rumah saya pula simpati dengan saya, lalu memulangkan duit sewa rumah saya selama musim sejuk ini. Kulit saya juga semakin pulih kerana tidak henti-henti menyapu losyen khas buatan tempatan (China). Alhamdulillah segala penderitaan itu sudah berlalu kini.

Losyen ini sesuai disapu di seluruh badan ketika musim sejuk di Beijing.

limut elektrik ini saya pasang untuk memanaskan badan pada waktu malam di musim sejuk Beijing


Dalam membekalkan bahang panas ke kediaman dan bangunan-bangunan di seluruh Beijing, rumah-rumah tempat membakar arang disediakan di setiap daerah. Asap berkepul-kepul keluar melalui serombong asap rumah-rumah ini dan menyumbang kepada jerebu. Jerebu ini bercampur-aduk dengan asap kenderaan yang banyak terdapat di jalan-jalan. Oleh kerana Beijing tidak berjauhan dengan kawasan padang pasir seperti Mongolia Dalam maka debu-debu pasir mudah terbang ke Beijing. Memakai penutup hidung atau mafela bulu (wollen muffler) boleh mengelakkan kita daripada terhidu jerebu, asap kenderaan dan debu pasir ini. Memakai mafela bulu juga boleh menyelamatkan bibir kita daripada kering, merekah dan luka.

Asap berkepul-kepul keluar dari serombong dalam musim sejuk

Kawasan apartment saya yang berdebu pasir, kering dan sejuk. Tiang lampu tidak ada walaupun sebatang.


Ada lagi kisah musim sejuk di Beijing. Nantikan kemunculannya dalam entri akan datang.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...