Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Rabu, 27 Februari 2013

Backpack Solo Ke Shanghai (3): Jelajah Lorong Lama Shanghai, The Bund dan Tebing Barat Sungai Huangpu

 
T ujuan utama untuk melihat dengan dekat Sungai Huangpu belum lagi terlaksana. Jadi petang ini saya mesti tunaikan hasrat itu. Sungai Huangpu adalah simbol Shanghai. Kena pergi.

Setelah sendawa sate gedebak 12 cucuk di Masjid Xiotaoyuan, sayapun menuju ke perhentian City Sightseeing Bus yang saya turun tadi untuk menyambung perjalanan keliling kota. Untuk ke situ saya perlu melalui Lorong Lama Shanghai (Shanghai Old Street).

 

Lorong Lama Shanghai (Shanghai Old Street)


Di Lorong Lama Shanghai terdapat banyak kedai yang menjual cenderamata. Singgahlah dulu sekejap. Tengok-tengok, jamu mata.

Orangpun boleh tahan ramai. Pelancongpun ramai. Tempat ini nampak macam best saja. Jom tengok apa yang saya tengok:

Barangan antik seperti tembikar lama dilambakkan di sebuah lorong kecil.

Ramai peniaga yang menggamit-gamit pelanggan untuk masuk ke kedainya

Rata-rata kedai di sini menjual barangan kenang-kenangan untuk pelancong bawa pulang


Saya membeli beberapa fridge magnet dan brooch di kedai 10 yuan. Ada orang pesan suruh saya belikan. Semua barangan di situ dijual dengan harga 10 yuan (RM5). Di dalam kedai itu saya bertemu dengan tiga orang pemuda Malaysia dan berbual-bual dengan mereka seketika. Mereka mengatakan bahawa mereka menghadapi masalah di Shanghai kerana rata-rata orangnya tidak tahu bahasa Inggeris, tetapi mujurlah mereka bawa kawan, orang Cina Malaysia, menemani mereka. Mereka menyangka saya pandai cakap China. Rupa-rupanya mereka terdengar saya cakap China semasa saya membeli barang tadi. Tetapi saya katakan, "Tahu sikit sikit je." Mengetahui saya backpack solo dan naik keretapi ke Shanghai, mereka terkejut.


Ada juga peniaga yang bercakap Melayu apabila nampak saya


Oleh kerana tidak lama lagi Tahun Baru China akan menjelang, banyak kedai menjual barangan untuk perayaan tersebut.

Di lorong ini terdapat dua buah restoren halal

Kedai-kedai halal juga terdapat di Lorong Lama Shanghai ini. Terdapat juga dua tiga buah kedai cenderamata yang dimiliki oleh peniaga Islam. Saya mengetahuinya kerana mereka menegur saya dan memberi salam.

Bunga yang di tanam di tepi jalan di Shanghai Old Street

Laluan 1 & 2 City Sightseeing Bus

 

Di tingkat atas sightseeing bas


Saya kemudiannyanya menaiki semula City Sightseeing Bus dan mengelilingi Kota Shanghai yang belum habis saya jelajah. Orang tidaklah ramai di dalam bas itu. Tetapi semuanya pelancong. Basnya amat luas dan selesa

Ada dua laluan yang disediakan oleh City Sightseeing Bus ini. Laluan 1 mengelilingi 14 perhentian dan pergi ke tempat-tempat bersejarah yang terdapat di sebelah tebing Barat Sungai Huangpu. Manakala Laluan 2 mengelilingi 4 perhentian dan menyeberang ke tebing Timur Sungai Huangpu. Bas untuk laluan 1 adalah bas double decker manakala untuk ke laluan 2 pula bukan double decker.

Lingkaran laluan 1 & 2 City Sightseeing Bus. Sumber dari http://www.chinaspringtour.com/uploads/Image/other%20cities/SigheSeeingBUS/ROUTE.jpg

Saya menaiki kedua-dua laluan. Mula-mula saya mengambil laluan 1 sehingga ke perhentian terakhir. Kemudian tukar ke Laluan 2.

Menaiki Sightseeing Bus itu memberi saya gambaran tentang tempat-tempat yang menarik dan memudahkan saya mencari jalan menuju ke Sungai Huangpu.

Town house di Shanghai di laluan 1

City Sightseeing Bus di laluan 2, membawa saya menyeberangi Sungai Huangpu melalui terowong. Apabila sampai di seberang, saya dapat melihat menara-menara tinggi seperti Menara TV Mutiara Timur (Oriental Pearl TV Tower) dan Menara Jinmao.

Ketika bas itu membawa saya ke kawasan metropolitan ini saya amat kagum, terkesima dan terpukau dengan keindahan serta ketinggian menara-menara ini. Dagu dan rahang saya jatuh dan mulut saya ternganga luas, "WOW! AWESOME! DASYATNYA DEPA!"

Ketika itu musim sejuk, jadi siang harinya pendek dan cepat gelapnya. Cahaya lampu yang menerangi menara-menara itu kelihatan sangat indah, gemerlapan, berkilauan dan memukau pandangan saya. Saya cepat-cepat ambil gambar. Namun begitu gambar yang saya ambil tidak menjadi kerana basnya bergerak laju serta bertingkap cermin. Jadi gambarnya kabur dan terlihat refleksi cermin pada gambar. Oleh kerana geram tidak dapat mengambil gambar yang baik, saya bercadang akan ke sini pada malam esok. Kena turun, jalan kaki, perlahan-perlahan ambil gambar.

Hari berikutnya saya ke sini lagi dan berpeluang mengambil gambar menara-menara ini. Gambar yang menjadi itu akan  saya tunjukkan dalam entri akan datang.

Apabila perkhidmatan bas kedua-dua laluan itu tamat pada pukul 6 petang sayapun turun di perhentian terakhir. Sayapun berjalan kaki menuju ke stesen keretapi bawah tanah yang terdekat.  Di dalam bas itu ada seorang lelaki Islam dari Iraq. Diapun turun dan ikut saya jalan kaki ke stesen keretapi bawah tanah. Dia ialah siswa di sebuah universiti di Chengde dalam bidang petroleum. Dia sangka di situ tidak ada masjid kerana dia tidak jumpa masjid. Sayapun memberitahunya lokasi Masjid Xiaotaoyuan yang saya pergi tengahari tadi.

Untuk melihat Sungai Huangpu saya menaiki keretapi menggunakan laluan 8 dan 2 lalu turun di Jalan Nanjing Timur (East Nanjing Road). Setelah itu saya hanya berjalan kaki kira-kira 10 minit untuk sampai ke Sungai Huangpu .

Dikatakan bahawa Sungai Huangpu amat indah di waktu malam. Memang benar! Indahnya! Saya dah lihat sendiri! Anda bila lagi?

 

The Bund/Waitan Pada Waktu Malam


Dari jauh saya dapat melihat kilauan cahaya lampu yang keemas-emasan dari bangunan-banguan bercirikan kolonial yang terdapat di hujung jalan tidak jauh dari East Nanjing Road.



Inilah The Bund atau Waitan. Dahulunya ialah adalah pelabuahan dan penempatan British. Kemudian menjadi pusat kewangan dan ekonomi selepas abad ke-20.




Kawasan The Bund ini kemudiannya diubahsuai dan diperindahkan untuk menarik pelancong. Selepas 2010 The Bund menjadi indah, kemas, beratmosfera nyaman dan telah menarik ramai pelancong.

Di sini terdapat senibina berbentuk Gothic, Renaissance, Baroque dan Classicisme.



Panorama Tebing Barat Sungai Huangpu Pada Waktu Malam




Di hadapan deretan bangunan kolonial itu terbentang tebing Barat Sungai Huangpu. Amat indah. Amat romantik (kalau bersama pasangan). Saya dapat melihat bot-bot yang dihiasi lampu berwarna-warni menyusuri sungai itu.




Inilah Sungai Huangpu. Sungai Huangpu adalah sungai terbesar di Shanghai dan sumber air yang penting. Sungai Huangpu  mengalir sehingga ke Sungai Yangtze dan Sungai Suzhou.

Di seberang sungai itu saya nampak skyline yang indah dengan lampu-lampu gemerlapan. Cahaya lampu dari bot dan bangunan di pinggir sungai terbias di permukaan air sungai Huangpu yang jernih. Biasan itu bagaikan cat air yang tumpah di atas kanvas lukisan, berkilauan dan menyerikan malam yang gelap gelita. Bayu musim dingin berpuput lembut membelai wajah. Namun kedinginannya amat menyenangkan dan nyaman sekali.



Menyaksikan bot mudik di Sungai Huangpu dengan cahaya lampu tumpah di atas air Sungai Huangpu amat mengasyikkan. Saya berada di sini kira-kira dua jam untuk menyaksikan keindahannya. Terdapat ramai orang di situ dan kebanyakannya mengambil gambar berlatarbelakangkan pemandangan yang cantik itu.

Oleh kerana kepenatan dan hari sudah malam sayapun pulang ke hotel menaiki keretapi bawah tanah yang selesa. Saya dapati penumpang di Shanghai lebih berdisplin dan keretapinya tidaklah sesak macam ikan sadin di dalam tin sebagaimana di Beijing.

Saya akan kunjungi lagi Sungai Huangpu pada hari lain demi menyaksikan keindahannya pada waktu siang pula.

Esok saya hendak rejah Shanghai lagi. Keindahan kota metropolitan ini menanti saya menerokainya dengan tidak sabar-sabar. Hendak tahu ke mana saya pergi esok? Kalau mahu, bacalah entri saya akan datang.

...bersambung



Isnin, 25 Februari 2013

Backpack Solo Ke Shanghai (2): Keliling Kota dan Jejak Masjid Xiaotaoyuan

 
H ari ini Jumaat di Shanghai. Ada dua tujuan utama saya hari ini: 1) Sungai Huangpu; dan 2) Masjid Xiaotaoyuan. Saya sudah ada alamat dan cara-cara menaiki keretapi bawah tanah untuk menuju ke kedua-dua tempat ini. Untuk ke Sungai Huangpu saya perlu naik keretapi laluan 4 kemudian turun di Century Avenue dan kemudian tukar ke Laluan 2, kemudian turun di Jalan Nanjing Timur (East Nanjing Road). Untuk ke Masjid Xiaotaoyuan pula saya perlu turun di Taman Yuyuan di laluan 10.

Jalan Nanjing ialah jalan untuk pejalan kaki membeli-belah. Apabila saya sampai di situ, saya lihat ada banyak kompleks membeli-belah dan ramai orang lalu-lalang. Menurut peta yang saya bawa Sungai Huangpu letaknya tidak berapa jauh daripada stesen keretapi bawah tanah Jalan Nanjing Timur ini. Nak ke kiri atau ke kanan? Yang mana satu arah ke Sungai Huangpu? Oleh kerana tidak pasti jalan mana yang patut saya ambil dahulu, sayapun ikuti jalan yang kelihatan ramai orang berpusu-pusu.

Apakah istimewanya Sungai Huangpu ini? Sungai Huangpu ialah kawasan tebing sungai (riverfront) yang terkenal di Shanghai. Di pinggir Sungai Huangpu terdapat tempat popular yang dikenali dengan The Bund atau Waitan. Sebelum ini saya pernah tengok kota Shanghai, sungai-sungai dan taman-tamannya dalam filem. Sangatlah cantik. Itu keindahan dalam filem, bagaimana kalau lihat secara langsung dengan mata kepala sendiri?


Sightseeing Bus

 
Sightseeing bus ini membawa penumpang melihat sekeliling kotaraya Shanghai


Apabila saya sudah sampai ke seberang jalan saya nampak Sightseeing Bus dan ada seorang pegawai perempuan sedang mempromosikan tiket bas itu. Saya lalu mendekatinya dan mendapatkan maklumat.

Saya hanya perlu membayar 30 yuan (RM15) sahaja untuk menaiki hop-on-hop-off bus itu untuk perjalanan selama 24 jam. (Bas ini beroperasi dari pukul 9.30 pagi hingga 6.00 petang). Saya boleh turun di mana-mana yang saya suka, kemudian naik semula. Bas akan mengelilingi kota Shanghai dan berhenti di setiap perhentiannya. Saya tak perlu risau sebab bas datang setiap 30 minit. Bas ini juga lalu di Sungai Huangpu dan Taman Yuyuan. Tertarik dengan tawaran itu saya pun tanpa berfikir panjang terus membelinya dan menaiki Sightseeing Bus itu.

Laluan sightseeing bus di kotaraya Shanghai


Di dalam tingkat atas sightseeing bus yang saya naiki di Shanghai

Boleh pilih bahasa kegemaran kita melalui earphone yang disediakan dalam bas


Saya diberikan kad bas, pamphlet dan sebuah earphone. (Cakap Melayu earphone apa ek?). Di dalam bas saya memilih bahasa Deutsch Inggeris. Sambil bas itu bergerak membawa penumpang ke serata kota Shanghai dan berhenti di tempat tertentu saya berpeluang mendengar penjelasan melalui earphone di telinga saya. Maklumat ini membuatkan saya memahami sejarah Shanghai dan signifikasi tempat dan bangunan yang dilihat.





Banyak bangunan tinggi terdapat di kota Shanghai.





Kota Shanghai mempunyai pengaruh Barat dan ia terpamer pada senibinanya.

 


Kota Shanghai juga adalah pusat membeli-belah.





Kota Shanghai kelihatan kemas dan bersih berbanding dengan Beijing.



Apabila hampir pukul sebelas pagi saya berhenti di Taman Yuyuan kerana berdekatan dengannya terdapat masjid yang saya hendak tuju itu. Di situ terdapat banyak kedai dengan hiasan berbentuk bunga, ular dan maharaja di atas atapnya.


Kedai-kedai di hadapan Taman Yuyuan dihiasi dengan karektor dan kepercayaan masyarakat China

Di situ juga banyak terdapat kedai-kedai menjual cenderamata. Tapi saya tak singgah di kedai-kedai itu sebab saya hendak cari masjid dulu. Senang untuk solat. Sudah selesai kewajiban terhadap Allah barulah hati senang berjalan-jalan. Lebih baik saya datang semasa solat Jumaat. Orang Islam ramai datang ke masjid pada masa itu. Pada waktu lain, masjid biasanya lengang. Saya boleh pilih untuk ikut solat Jumaat atau solat jamak/qasar.


Menjejak Masjid Xiaotaoyuan, Masjid Terpenting di Shanghai

 

Papan tanda dalam tulisan China


Alamat masjid sudah saya perolehi. Tetapi kedudukannya yang tepat agak susah untuk mencarinya. Tambahan pula papan tanda di situ semua tulis China.


Kedai-kedai di Shanghai Old Street


Pusat Informasi


Saya kemudiannya ternampak pusat informasi. Saya masuk ke pejabatnya dan minta pegawai di situ tunjukkan arah jalan ke masjid itu. Mereka lalu beri saya peta. Tapi peta itupun semua tulis China. Saya tak faham. Buta huruf, kan? Saya minta mereka jelaskan. Merekapun jelaskan dengan menandakannya dengan pen. Saya pun keluar dan cari jalan itu. Susah juga baca peta itu.

Peniaga Muslim yang berniaga kekacang dan buah-buahan kering di Shanghai Old Street

Saya menapak lagi. Tak berapa lama kemudian saya ternampak beberapa penjual Islam di tepi jalan. Saya kenal mereka melalui ketayap/topi yang dipakai mereka. Biasanya mereka menjual kismis, kurma, pistachios dan buah-buahan kering.

"Qingwen, xiaotaoyuan libai si, zai nar?"  ("Tumpang tanya, di manakah Masjid Xiaotaoyuan?") Tanya saya dengan harapan mereka faham. 
Mereka dengan gembira memberitahu saya kedudukan masjid itu. Kegembiraan mereka itu terlihat melalui reaksi mereka.

"Ni si malasia ren, ma? " ("Awak orang Malaysia, kan?") teka mereka.

"Tui. Wo si malasia ren. Wo si muselin." ("Ya. Saya orang Malaysia. Saya Islam.") jawab saya yang dah hafal jawabannya.

Mereka sangat mesra. Ada yang menggenggamkan kacang dan kismis lalu meletakkannya ke tangan saya. Ya Allah baiknya! Seronoknya dengan layanan itu!

Kata mereka, "Ada dua masjid di sini. Satu di sebelah kanan. Satu di sebelah kiri."

"Orang perempuan boleh solat Jumaat di situ ke?" tanya saya dalam bahasa China, campur bahasa isyarat, campur bahasa Arab. (Kik kik kik, janji depa faham :)

 "Boleh. Boleh!" kata mereka.

Setelah berjalan kaki melalui lorong-lorong, kedai-kedai, belakang rumah, bawah ampaian kain, longkang-longkang dan jejantas akhirnya saya menemui masjid yang dicari. Alangkah gembiranya saya kerana saya telah berjaya sampai ke situ.

Gembiranya saya apabila melihat masjid Xiaotaoyuan

Wanita Islam China berniaga di perkarangan masjid


Saya melihat beberapa kaum ibu sedang berniaga di pintu masuk masjid itu. Saya amat kagum dengan nama masjid itu. Pernahkah anda mengetahui ada masjid hanya untuk wanita? Di sinilah saya melihat Masjid Wanita. Xiao Tao Yuan Masjed For Women tertulis di hadapan tembok batu. Inilah kali kedua saya melihat masjid untuk wanita. Pertama di Beijing. Tetapi yang di Shahghai ini lebih besar. Saya lalu diundang masuk. Oleh kerana masih terlalu awal untuk solat saya duduk-duduk dulu di ruang resepsi sambil berbual dengan seorang wanita yang juga datang untuk solat Jumaat di situ.

Masjid Wanita ini tiga tingkat. Ada  dewan solat dengan mihrabnya sekali, bilik kuliah, pejabat, bilik dapur, bilik wudhu, bilik mandi, tandas dan ruang resepsi. Keluasannya ialah 600 meter persegi.

Di dalam dan luar Masjid untuk Wanita di Shanghai

Setelah mengambil wudhu sayapun melakukan perkara yang patut apabila masuk ke masjid. Sayapun mendengar kutbah, bacaan hadith dan ikut solat Jumaat di situ pada pukul 1.00-1.30 petang.  Gambar imam dan jemaah lelaki dapat dilihat melalui flat screen tv yang terdapat di situ.

Kaum ibu berniaga di hadapan masjid dan membeli-belah

Setelah selesai solat, saya keluar dan mendapati ramai kaum ibu berniaga dan membeli-belah. Nampak macam sedap je biskut kacang tu! Ada juga mee segera halal. Sayapun membeli biskut kacang dan mee segera itu yang dijual oleh kaum ibu. Biskut itu sedap, rangup. Yumm.

Biskut, kacang, mee segera halal jadi tumpuan


Tetiba, saya dapati ramai jemaah lelaki keluar dari sebuah bangunan berdekatan. Mereka baru selesai solat Jumaat.  Oh, itulah masjid untuk kaum Adam. Rupa-rupanya di sebelah masjid wanita saja.

Kaum lelaki Muslim China keluar dari masjid selepas solat Jumaat


Tulisan China dan Arab pada bangunan masjid Xiaotaoyuan


Terdapat ramai orang lelaki menjual sate, roti, kekacang, buah-buahan kering dan pakaian bulu di luar masjid. Penjual-penjual itu beretnik Uyughur dan Tajik. Penjual-penjual itu menegur saya dan posing khas untuk saya.

Saya juga berkenalan dengan beberapa orang Islam di situ. Ada juga yang datang dari Indonesia dan Mesir.

Peniaga Tajik sedang menjual roti. Dia senyum dan bergaya khas untuk kita


Saya lalu membeli sate kambing satu set 6 cucuk yang harganya 15 yuan (RM7.50). Seketul daging sate ni tiga kali ganda saiz sate Malaysia. Ngap! Hmm... SEDAPNYA sate kambing ni! Sekelip mata saja, sate gedebak 6 cucuk tu lesap dalam perut saya.


Sate kambing yang dijual di perkarangan masjid


Lelaki muslom dari etnik Tajik dan Uyughur sedang menikmati sate kambing

Saya nampak beberapa orang lelaki datang berkumpul di hadapan penjual sate itu. Mereka makan sate itu dengan roti nan yang dijual oleh peniaga Tajik tadi. Mereka makan beramai-ramai. Tapi taklah sampai 6 cucuk.

Saya:                Sedaplah sate ni! Saya rasa nak tambah lagi.

Suara Ghaib: Tak malu ke? Yang lelakipun makan secucuk dua je. Tapi kamu yang         perempuan dah lahapkan 6 cucuk.

Saya:               Tapi tak puaslah makan 6 cucuk.

Suara Ghaib:  Tak payahlah...Buat malu kaum je.

Saya:           Nak makan ke tak nak? Nak makan ke tak nak? (Sambil melambung duit sekupang).  Orderlah lagi.

Suara Ghaib:  Eh kuat melantaklah kamu ni!

Saya:              Tapi bila lagi nak makan? Ini mungkin yang pertama dan yang terakhir.

Suara Ghaib:  Ya Allah, buruknya makcik ni!

Saya lalu memesan lagi 6 cucuk dengan muka yang tak malu ini sehingga membuat penjual sate itu tersenyum sambil mengangkat kening. Hah ambik kau! 12 cucuk habis dilantak makcik ni he he he. Errkkk...sendawa makcik ini sehingga tengah malam....

Habis kisah ke Sungai Huangpu bagaimana? Tak jadi pergikah? Mana boleh. Tempat popular, cantik dan simbol kota Shanghai ini mesti dilawati. Untuk mengetahuinya, ikutilah Naramas Aman Backpack Solo ke Shanghai dalam entri akan datang.

...bersambung




Jumaat, 22 Februari 2013

Backpack Solo ke Shanghai (1): Kembara Yang Penuh Debaran dan Kisah Digigit Anjing


S aya backpack lagi tetapi kali ini tanpa sesiapa menemani saya. Kawan-kawan dan ahli keluarga tidak dapat menemani saya kerana mereka komited dengan hal masing-masing. Jadi terkontang-kantinglah saya sendirian di China ini.

Pada mulanya saya ingin ke Guilin dan Kunming menaiki keretapi, tetapi tiketnya kehabisan kerana orang China sibuk bercuti menyambut Tahun Baru China. Cuma tinggal tiket ke Shanghai.

Sebenarnya saya tidaklah suka sangat ke kota metropolitan yang sibuk. Saya lebih menyenangi suasana kedesaan dan pedalaman. Tapi apakan daya, tiada pilihan. Untuk mengelakkan kebosanan dan kesunyian, saya menggalas beg dan menaiki keretapi berkelajuan tinggi ke Shanghai.


Persediaan Sebelum Berangkat


Debaran mengembara secara solo ini amat terasa. Ini disebabkan saya tidak pernah ke Shanghai. Menurut maklumat daripada kawan-kawan China saya, Shanghai lebih sibuk daripada Beijing dan kadar jenayahnya tinggi. Sistem pengangkutan awamnya juga berbeza. Oleh kerana saya masih 'buta huruf' dan masih tidak tahu cakap China, kawan-kawan saya juga risau. Kalau mereka risau, saya lebih-lebih lagi. 

Maka ramai yang membantu saya. Ada yang membantu membeli tiket. Ada yang mencetak peta dan menyemak alamat destinasi dalam tulisan China. Ada yang memberi panduan. Hotel telah saya tempah melalui agoda.com. Maklumat mengenai cara-cara menaiki keretapi di Shanghai telah saya perolehi melalui laman web. Jadi saya sudah buat persediaan yang cukup.

Ramai yang mencadangkan saya supaya tidak perlu lama di Shanghai kerana ia hanyalah sebuah kota metropolitan, tidak banyak peninggalan sejarah seperti di Beijing dan kebanyakan orang ke sana untuk membeli-belah. Sedangkan saya bukan "shopping queen". Jadi saya merancang untuk ke sana cuma 5 hari, walaupun sebenarnya saya boleh tinggal lebih lama daripada itu.

Tahukah anda bahawa sangkaan mereka itu sebenarnya tidaklah benar? Apabila saya berada di Shanghai saya amat menyukai Shanghai dan saya menyesal tidak tinggal lebih lama di sana. Mengapa terjadi begitu? Untuk mengetahuinya ikutlah Naramas Aman Backpack Solo ke Shanghai dalam entri-entri seterusnya yang menjanjikan pelbagi kisah kembara dan destinasi menarik.

 

Menaiki Keretapi Berkelajuan Tinggi (High-Speed Train) dari Beijing ke Shanghai

 
Pintu masuk ke keretapi


Perjalanan ke Shanghai dari Beijing bermula di stesen keretapi Beijing Selatan. Tidak ada masalah menaiki keretapi berkelajuan tinggi kerana maklumat di papan tanda stesen amat mudah dibaca. Saya juga pernah ke stesen ini beberapa kali semasa kembara ke Tianjin dan Jinan. Di stesen ini saya sempat membeli beberapa buku roti halal untuk dijadikan bekalan.

Di dalam keretapi, tempat duduknya selesa dan banyak kemudahan disediakan. Di dalamnya ada skrin tv, kantin dan air panas. Berita baik: Tandasnya bersih dengan tisu dan sinki disediakan. Sebuah lagi sinki dan cermin disediakan di luar tandas. Sentiasa ada sahaja tukang cuci datang mengutip sampah dan pekerja menolak troli menjual makanan dan minuman. Merokok di dalam keretapi tidak dibenarkan. Ini yang saya suka. Keretapi berkelajuan tinggi ini bergerak dalam kelajuan 305 km sejam. Laju, bukan? Keadaan di dalam keretapi ini sama dengan keretapi semasa saya ke Tianjin, Jinan dan Haerbin dahulu.

Dalam perjalanan menuju ke Shanghai saya dapati pemandangan menuju ke selatan itu amat indah. Banyak ladang-ladang, tasik-tasik dan rumah-rumah petani yang memanjakan mata saya. Ketika itu musim sejuk (Januari 2013). Jadi saya dapat melihat salji dalam pelbagai tahap, bermula dengan salji tebal, kemudian semakin menipis dan akhirnya tiada. Kalau kita melihat peta China, Shanghai letaknya di sebelah kanan peta dan di bawah Beijing.


Salji dalam perjalanan dari Beijing ke Shanghai

Keindahan pemandangan ini diabadikan dari tingkap keretapi yang bergerak dalam kepantasan 305 km sejam
Kawasan perkampungan tani dalam perjalanan ke Shanghai. Apabila hampir tiba di Shanghai salji tiada.

Yang duduk di sebelah saya ialah seorang wanita berusia lewat 20-an. Dia bekerja sebagai seorang pegawai di sebuah syarikat alam sekitar di Shanghai. Mula-mula dia bercakap dengan saya dalam bahasa China tetapi setelah melihat saya terkebil-kebil dan blur diapun bercakap dengan saya dalam bahasa Inggeris. Katanya guru bahasa Inggerisnya dari Malaysia. 

Mengetahui saya kembara solo beliau menganggap saya seorang yang berani. Tetapi saya menyatakan bahawa saya sebenarnya takut dan amat berdebar-debar kerana masalah bahasa. Dia lalu mengajar saya beberapa perkataan China yang mudah. Beginilah saya belajar cakap China, main kutip di jalan-jalan je. Tapi jangan ikut cara saya tau. Lebih baik pergi kelas.


Sampai di Shanghai

 


Mesin membeli tiket keretapi bawah tanah di Shanghai

Stesen Century Avenue adalah interlink ke Laluan 4

Apabila kami sampai di Shanghai wanita itu menunjukkan saya cara membeli tiket keretapi bawah tanah dan menemani saya menaiki keretapi sehinggalah saya sampai ke stesen pertukaran (interlink) yang hampir dengan hotel saya. Benarlah orang China memang suka menolong orang. Sikap begini patut kita contohi.

 

 

Mencari Hotel di Shanghai

 

Naza Youth Hotel ialah hotel yang saya tempah. Amatlah mudah untuk mencari hotel ini kerana peta saya bawa dan maklumatnya telah saya perolehi melalui Tripadvisor.com. Saya berpendapat komen dan ulasan dalam Tripadvisor.com amat berguna. Semasa saya turun di stesen Laluan 4, saya terus menjumpai jalan menuju ke hotel.


Dalam beberpa langkah berjalan kaki saya nampak sebuah restoren halal. Ini membuatkan saya gembira kerana di dalam internet tidak dimaklumkan tentang restoren halal ini. Ini disebabkan kebanyakan pengulas dan penulis blog kembara adalah orang Barat.


Gembiranya apabila terjumpa restoren halal 


Selang dua buah kedai dari sini sayapun nampak Naza Youth Hotel. Alhamdulillah. Lega!


Hah tu dia Naza Youth Hotel! Dah nampak dari restoren halal tadi


Digigit Anjing Semasa Check-in di Hotel

 

Pintu masuk Naza Youth Hotel


Hotel yang saya inapi ini murah aje. 140 yuan (RM70) semalam dengan sebuah katil di dalam sebuah bilik. Saya meletakkan beg saya di lantai depan kaunter check-in. Ketika check-in, saya terasa kaki seluar saya ditarik-tarik. Apabila saya melihat ke bawah saya dapati ada seekor anjing kecil menggigit kaki seluar saya dan menarik-nariknya. Saya terkejut. Saya lalu menghentak-hentakkan kaki saya supaya anjing itu lari. Kemudian saya letakkan kaki saya di atas bangku yang ada di situ supaya anjing itu tak dapat gigit kaki saya. Setelah anjing itu lari saya meneruskan lagi urusan check-in yang belum selesai. Tetapi saya dapati anjing itu tadi menggigit tali pemegang beg saya pula seperti memakan tulang yang sedap. Ishh ...apa anjing ni? Sayapun cepat-cepat memberitahu pekerja yang ada di situ supaya mengambil anjingnya yang memakan pemegang beg saya.

Pekerja di situ lalu mengangkat dan mendokong anjing itu. Anjing itu kecil dan comel. Jenis poodle. Ia tidak garang malahan seronok dibuat main. Tetapi yang membuatkan saya tidak senang ialah anjing itu telah menggigit kaki seluar saya dan tali pemegang beg saya. Najis, kan? Alamak lecehnya! Macam mana saya nak buat ni?

Bilik dalam Naza Youth Hotel


Saya lalu menaiki tingkat atas, masuk ke bilik lalu keluar. Saya pergi mencari tanah untuk kegunaan menyamak seluar dan beg saya yang sudah terkena najis anjing itu. Tetapi tidak berjumpa. Kawasan sekitar hotel itu semuanya berturap dengan simen dan batu.

Isi perut dululah. Sayapun masuk ke restoren halal yang saya nampak selang dua buah kedai dari hotel ini. Saya minta lam mien (mee tarik). Macam biasa peniaga Hui bertanyakan yang saya datang dari mana, buat apa kat sini dan sebagainya. Dalam bahasa China yang pelat Melayu ni sayapun jawablah soalan-soalan lazim itu.

Lihatlah kemahiran peniaga Muslim ini membuat lam mien. Dalam masa 5 minit dah siap.

Sedap tak? Nak tahu cubalah...


Setelah makan lam mien sayapun merayau-rayau lagi sehingga ke stesen keretapi bawah tanah di Laluan 4. Di situ ada sebuah taman kecil dan saya nampak ada tanah. Tetapi ia agak gelap dan tidak berlampu. Dalam kegelapan itu saya bismillah lalu mengorek sedikit tanah dan membawanya ke hotel. Lalu saya samak seluar dan beg saya. Itulah pertama kali saya samak seluar. Tak pernah dibuat. Sebelum ini saya pernah samak beg, peti sejuk, lantai rumah, dapur dan pinggan mangkuk semasa saya tinggal di Australia, Amerika dan Beijing, tapi belum pernah samak pakaian.


Stesen subway Laluan 4


Hotel ini saya suka kerana selesa, murah, berdekatan dengan restoren halal dan beberapa langkah saja ke stesen subway. Tetapi ada pula dua ekor anjing dibela di dalamnya. Ini yang tak syok. Keberadaan anjing di dalam hotel ini membuatkan saya terganggu ketika melalui ruangan lobi. Apabila anjing-anjing itu nampak saya masuk ke ruangan lobi itu, mereka pun berlari-lari menerkam ke arah saya. Mereka nak main dengan saya. Saya suruh penjaga kaunter di situ ambil anjing itu. Leceh betul! Saya juga tidak dapat menggunakan internet yang ada di lobi itu kerana malas untuk menyamak kaki seluar saya lagi kalau digigit anjing itu lagi.

Besok saya akan melihat-lihat kota metropolitan Shanghai. Amat menarik! Kalau ingin tahu sejauhmana ia menarik, teruskan menemani Naramas Aman Backpack Solo ke Shanghai dalam entri akan datang. Teman saya ya, saya sorang-sorang ni! Saya takut anjing.

...bersambung

Rabu, 20 Februari 2013

Backpack ke Kota Ais Haerbin (6): Ku Tinggal Ia Dengan Seribu Kenangan Indah


H ari ini saya dan kawan backpack saya Yanie meninggalkan Kota Ais Haerbin (Harbin), kota yang paling utara sekali dan paling sejuk di China. Inilah pertama kali seumur hidup kami merasai kesejukan musim dingin yang melampau.

Kami kemaskan beg kami dan meninggalkan hotel kami awal-awal pagi menaiki teksi kerana kami tidak mahu terperangkap di dalam kesesakan jalanraya. Ini disebabkan ketika itu musim pesta salji dan ais maka ramai pelancong tidak kira tempatan atau luar mengambil peluang untuk berada di Haerbin. Ketika ini jugalah pemandu teksi dan peniaga mengambil kesempatan untuk 'menyembelih' pelancong.


Stesen Keretapi Haerbin Xi  (Barat) Yang Luas dan Canggih

 

Pemeriksaan keselamatan di stesen keretapi Haerbin



Kami sampai di setesen keretapi Haerbin Xi (Haerbin Barat) pada pukul 7.00 pagi. Setelah melalui pemeriksaan barangan di bahagian keselamatan untuk masuk ke dalam stesen keretapi, kamipun duduk di kerusi. Keadaan di dalam stesen keretapi Haerbin Barat ini amatlah luas dan bersih. Pelbagai kemudahan diadakan: kedai, air panas, tandas bersih. 

Haerbin juga adalah antara kota yang mempunyai hub pengangkutan yang penting di China.

Stesen keretapi Haerbin Xi yang luas dan bersih

Yanie duduk menunggu di kerusi stesen

Tandas yang sentiasa dibersihkan

Papantanda digital tentang ketibaan dan keberangkatan keretapi

Papantanda tentang kemudahan yang terdapat di stesen keretapi Haerbin

Ketika menunggu itu kami berkenalan dengan beberapa orang penumpang dari Malaysia. Mereka bergerak secara kumpulan yang terdiri daripada sebuah keluarga Melayu dan sebuah keluarga Cina Malaysia. Mereka dari Kuala Lumpur. Mereka juga akan ke Beijing dan setelah itu pulang terus ke Kuala Lumpur pada malam nanti. Kami berbual-bual dengan mereka. Antara topik yang dibualkan ialah tentang kesejukan Haerbin, tentang kasut but yang bertukar ganti demi mencari kesesuaian, tentang tahap kebersihan/kekotoran orang Haerbin, anak mereka sakit, pengalaman di Haerbin dan macam-macam lagi.


Dalam Keretapi Berkelajuan Tinggi (High-Speed Train) dari Haerbin ke Beijing 

 

Dalam gerabak keretapi berkelajuan tinggi

Nombor tempat duduk saya : 1A

Tempat duduk dalam gerabak kami

Suhu di luar: - 21°C, suhu di dalam 24°C

Apabila keretapi sampai dan kami dipanggil masuk kamipun mengambil tempat masing-masing. Keretapi bertolak tepat pada waktunya iaitu pukul 9.30 pagi. Sebagaimana kami datang dulu begitulah kami pulang ke Beijing. Keadaan keretapi amat selesa dan nyaman. Di skrin terpampang kelajuan keretapi iaitu 196 km sejam, manakala suhu di dalam ialah 24°C dan di luar -21°C.



Pemandangan Indah Sepanjang Jalan dari Haerbin ke Beijing


Dalam perjalanan ke Beijing saya sekali lagi dapat melihat keindahan bumi Haerbin yang indah diselimuti salji putih. Oleh kerana Haerbin mempunyai tanah yang luas, ia mempunyai ekonomi yang baik dalam bidang pertanian. Jadi saya dapat melihat ladang-ladang, sungai-sungai dan gunung-ganang. 

Salji semakin lama semakin nipis dan semakin lama semakin meningkat suhunya. Ini menandakan bahawa kami semakin menuju ke selatan.

Sungai beku ini menjadi tempat ice skating

Rumah di kaki gunung di pinggir sungai beku

Ladang mula diliputi salji nipis



Sampai di Beijing


Kami sampai di Beijing tepat pada waktunya iaitu pada jam 5.30 petang iaitu 8 jam perjalanan. Suhu di Beijing ketika itu -4°C. Sebelum ini saya katakan suhu begini terlalu dingin. Kini tidaklah sedingin mana kerana saya sudah melalui suhu yang jauh lebih rendah daripada ini. Saya juga telah banyak belajar ilmu-ilmu baru terutama sekali berjuang dalam suhu dingin melampau. Syukur!

Fridge magnet yang saya beli di Sun Island dan Jalan Zhongyang

Saya merenung fridge magnet yang saya beli di Haerbin. Ini membuatkan saya tersenyum. Saya tidak menyangka saya sudah sampai ke Haerbin yang sebelum ini saya lihat hanya di kaca tv. Pengalaman berada di kota yang sejuk ini amat bermakna bagi saya. Ia telah menambahkan khazanah ilmu dalam dairi hidup saya dan membuat saya lebih mengerti dan kagum dengan ciptaan Yang Maha Esa. Dengan pengalaman ini mungkin Haerbin boleh saya kunjungi lagi, tapi  mungkin dengan keluarga. 

Zai Jian Haerbin! Selamat Tinggal Kota Ais!  Selamat Tinggal sungai-sungai beku!

Fridge magnet berukiran kasut ski, anggur Russia, snowflake dan pintu gerbang Sun Island saya genggam di tangan. Setiap kepingan fridge magnet ini mempunyai kenangannya tersendiri. Saya telah kehabisan perkataan bagi menceritakan keindahan Kota Ais ini, namun mereka yang telah berada di sini lebih mengerti maksud saya.

Keindahan Haerbin ini terpahat di sanubari bagaikan skulptur ais yang beku dan tidak cair-cair di Kota Ais ini. Kini Kota Ais ini ku tinggalkan dengan seribu kenangan indah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...