Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Jumaat, 26 April 2013

Percutian Percuma di Surabaya (1): Mengenal Budi Orang Jawa

A pakah perasaan anda sekiranya dapat mengembara dengan tenang bersama-sama orang tersayang, tanpa masalah kewangan? Ditambah pula dengan segala perbelanjaan makan minum, pengangkutan dan tempat tinggal telah disediakan dengan percuma? Tentu ia mengembirakan, bukan? Saya pernah mengalaminya. Ia sangat membahagiakan saya dan keluarga saya. Ini berlaku sepanjang pengembaraan saya ke Pulau Jawa: Surabaya, Madura, Bandung, Jogjakarta, Bali dan Lombok. (Jakarta pula masih belum lagi. InsyaAllah akan dilaksanakan pada suatu hari nanti). Pengembaraan ke Pulau Jawa ini saya lakukan berulang kali. Dan kembara ke kesemua tempat-tempat yang saya nyatakan ini berlaku di antara November 2012 sehingga Februari 2013. Bagaimanakah saya dan keluarga saya dapat ke kesemua tempat-tempat ini dengan percuma?

Saya mempunyai ramai "anak murid" (pelajar) di merata dunia. Disamping Malaysia, pelajar saya ramai berasal dari Indonesia. Mereka sering mengajak saya ke sana. Setelah berkali-kali dan bertahun-tahun lamanya mereka mengajak saya, hanya baru-baru ini saya dapat menunaikan hasrat mereka.

Salah seorang pelajar saya ini ialah Yan. Yan adalah seorang dosen (pensyarah) di Universitas Airlangga Surabaya dan dia juga mempunyai ramai anak-anak murid di serata Indonesia. Jadinya semasa eskursi saya di Pulau Jawa saya disambut olehnya dan anak-anak muridnya. Jadi saya tidak ada masalah langsung sepanjang kembara saya di Pulau Jawa. Di mana-mana saja saya pergi pasti ada sahaja yang menyambut saya, membawa saya jalan-jalan, makan-makan dan menyediakan tempat penginapan percuma untuk saya dan keluarga. Daripada anak murid saya sehinggalah ke "cucu murid" saya he he he.

Sesungguhnya orang Jawa ini amatlah memuliakan gurunya dan mengenang budi. Ketika ini saya rasa sangat beruntung menjadi seorang pensyarah. (Sebelum ini saya ingatkan saya ini hanyalah pensyarah cabuk). Ketika ini saya rasakan tidak perlu kekayaan melimpah ruah di dalam hidup ini, cukup sekadar anak-anak murid mengenang saya.

Lapangan Terbang Surabaya ketika kami sampai. Waktu sudah malam walaupun baru 6.30 petang.


Sampai di Surabaya


Kami sampai di Surabaya pada 5.30 petang selepas 3 jam perjalanan menaiki Air Asia dari Pulau Pinang. Setelah menganjakkan jarum jam dari pukul 5.30 ke 6.30 petang yang lewat 1 jam dari waktu Malaysia, Yan (anak murid saya) dan Rudy (anak murid Yan) membawa kami terus ke  Hotel Elmi di Jalan Sudirman yang amat digemari oleh Yan. Disamping menjadi dosen, Yan juga adalah seorang konsultan dan pakar motivasi. Beliau sering mengadakan event di hotel ini lalu beliau dilayani dengan istimewa di situ. Ternyata kakitangan dan pelayan di hotel itu amat segan dan menghormati anak murid saya itu. Jadi saya pun turut dihormati dan disegani.


Hotel Elmi, Jalan Sudirman, Surabaya


Rojak Cingur Resepi Khas Surabaya

 

Rojak Cingur di Hotel Elmi


Hotel Elmi di Jalan Sudirman ini menyajikan menu yang enak seperti Rojak Cingur dan Sop Bontot (Sup Ekor). Memang sedap!. Rojak Cingur ialah sejenis rojak khas dari Surabaya.  Ia adalah campuran rebusan 'cingur' (mulut lembu), tauge, kangkong, kacang panjang, hirisan nenas, kedondong dan sengkuang. Ia dicampurkan denga kuah rojak khas yang dibuat daripada sejenis pisang yang dilecek, petis, kacang tanah, cili, gula, garam dan asam jawa. Ia dihidang di atas daun pisang dan dimakan bersama keropok. Amat sedap.

Sejak memakannya di Hotel Elmi ini, saya sering memesan Rojak Cingur setiap kali saya berkunjung ke Surabaya. Jadi sekiranya anda suka makan makanan tradisional atau masakan kampung, jangan ketinggalan menikmati Rojak Cingur iaitu masakan khas Surabaya.

Hotel Elmi


Waktu malam cepat gelapnya dan waktu subuh pula lebih awal dan cepat cerahnya. Pada malam itu kami jalan-jalan makan angin di kota Surabaya yang bersih dan teratur.

Esok kami mempunyai tempat-tempat yang menarik untuk dilawati. Besoknya kami akan ke Muzium Sempoerna, Masjid Cheng Ho (1) dan Pulau Madura.

...bersambung

Jumaat, 19 April 2013

Banda Acheh (5): Cari Makan & Membeli-belah


S aya dan keluarga suka mencuba makanan tempatan setiap kali mengembara. Di Banda Acheh macam-macam restoren kami kunjungi. Antaranya ialah Asam Kreung, Specific Acheh, Masakan Minang dan Mie Ramli.

Ayam Tangkap, gulai pelbagai jenis, sirap kodial bercampur hirisan timun dan papan tanda restoren Specific Acheh



Sebenarnya makanan Acheh yang saya suka sebelum saya datang ke Acheh ialah asam belimbing kering yang dibuat masak tumis. Saya pernah memakan makanan tradisional ini setiap kali saya berkunjung ke rumah kawan Malaysia saya yang berketurunan Acheh. Tetapi semasa saya ke Acheh baru-baru ini saya tidak jumpa masakan kegemaran saya itu di restoren.  Barangkali susah untuk mendapatkan belimbing itu atau barangkali hanya dimasak pada hari-hari tertentu.


Sirap kordial bercampur hirisan tembikai, papan tanda restoren Minang, lauk-pauk serta gulai dan sambal


Semasa di Banda Acheh baru-baru ini kami makan Ayam Tangkap. Ayam Tangkap ialah ayam goreng yang dicampurkan dengan daun-daun serta rempah-ratus tempatan. Rasanya rangup dan sedap. Inilah yang saya dan keluarga suka.


Menikmati jus Alpokat, Murtabak Manis, Naga Sari dan Mie Ramli


Selain daripada restoren kami juga tidak ketinggalan mencari kuih-muih di gerai-gerai tepi jalan. Antara yang kami suka ialah Murtabak Manis. Murtabak Manis ini sebenarnya Apam Balik. Ia mempunyai pelbagai perasa. Ada cokolat, keju, mentega dan macam-macam lagi.

Untuk membelinya, kita kena beli dalam saiz yang besar. Ia tidak dijual kecil-kecil seperti di Malaysia. Murtabak Manis yang sudah siap dimasak dipotong-potong dan dibungkus dalam kotak kek. Sangat kemas.


Cendol yang kami minum di gerai tepi jalan di luar Pasar Atjeh


Apabila membeli-belah di Banda Acheh tentulah dahaga. Jadi saya dan keluarga saya sudah mencuba cendol, kopi Acheh dan jus Alpokat. Ia mudah didapati di warung tepi jalan dan di kedai kopi. Kalau hendak tahu rasanya, cubalah sendiri.


Membeli-belah

 

Pasar Atjeh, pusat membeli-belah utama


Membeli-belah di Pasat Atjeh sangat seronok sebab harga barang-barangnya amat murah. Barang-barang yang dijual pelbagai jenis seperti telekung, beg, kasut, busana muslimah dan muslim, alas meja bersulam, makanan dan lain-lain lagi. Cenderamata juga boleh didapati di beberapa kedai. Peniaga di sini amatlah peramah dan bersopan santun. Mereka memanggil saya "bonda" dan panggilan ini membuat saya sangat gembira. Inilah pertama kali saya dipanggil "bonda". Rasa sangat dihormati.

Barang-barang yang boleh diperolehi di Pasar Atjeh dan sekelilingnya

Kebanyakan peniaga di sini suka berbual-bual dengan kami. Ada yang menyatakan mereka pernah bekerja di Malaysia. Ada yang bekerja melebihi sepuluh tahun dan hasil daripada pekerjaan di Malaysia mereka membuka perniagaan di Banda Acheh. Apabila bercakap dengan kami mereka menggunakan dialek Malaysia dan ada yang menggunakan loghat Penang. Orang Acheh seringkali berulang alik ke Penang Malaysia untuk mendapatan rawatan perubatan. Menurut mereka, perkhidmatan perubatan di Penang adalah baik dan memuaskan hati mereka.

Di Penang ada ramai komuniti Acheh. Penempatannya telah tumbuh sudah sekian lama dan antara tempatnya ialah Pantai Acheh (tempat melihat anak bulan), Lebuh Acheh dan Masjid Acheh.

Bapa P. Ramlee, seniman kita, juga berasal dari Acheh iaitu di Lhokseumawe dan berkahwin dengan ibunya iaitu orang Penang dan kemudiannya menetap di Penang. Rumah kelahiran P. Ramlee masih ada di Penang untuk kita saksikan.

Barang-barang yang kami beli untuk dibawa pulang

Makanan dan minuman yang kami beli untuk dibawa pulang.

 
Pendek kata, kembara saya,  keluarga dan kawan saya di Banda Acheh amat bermakna buat kami. Banyak ilmu dan iktibar  yang kami perolehi di sini. Dengan ini Nota Kembara Naramas Aman untuk siri Acheh ingin melabuhkan tirai. Semoga bertemu lagi dalam entri akan datang.

Kembara Naramas Aman seterusnya ialah ke Pulau Jawa pula. Amat menarik! Saya mengembara bersama keluarga saya ke Surabaya, Bandung,  Jogjakarta, Bali dan Lombok. Kembara ke Pulau Jawa ini amat istimewa kerana ianya PERCUMA. Bagaimana saya dapat percuma? Akan saya ceritakan nanti. Jadi tunggu kemunculannya!


Ahad, 14 April 2013

Banda Acheh (4): Mengenal Budaya Acheh


R umah Acheh, Muzium Acheh, Muzium Tsunami, Kenduri Kahwin....wah banyaknya nak dilawati di Banda Acheh. Rasa macam tak cukup sahaja 3 hari saya di sini.

Saya rasa kita patut mengenali budaya Acheh kerana kerajaan Acheh pernah meluaskan pengaruhnya sehingga ke tempat kita. Banyak persamaan budaya dan bahasa di antara kita dan Acheh. Orang Acheh ramai yang menetap di tempat kita. Misalnya di Pulau Pinang terdapat komuniti Acheh. Masjid Melayu di Lebuh Acheh dan penempatan di Pantai Acheh Pulau Pinang adalah bukti luasnya pengaruh Acheh.

 

Rumoh Acheh


Kalau sesiapa yang tak pernah tinggal di rumah kampung atau melihat rumah tradisional Acheh boleh ikut saya ke sini.  Rumoh Acheh tidak banyak terdapat di Banda Acheh kerana kebanyakan penduduknya tinggal di rumah batu yang kos pembinaannya lebih murah berbanding dengan rumah tradisional.

Rumah tradisional Acheh dibuat daripada kayu. Tiang-tiangnya tinggi. Di bawah rumah terdapat tempat menyimpan padi. Tangga untuk masuk ke rumah itu letaknya di bahagian hadapan. Anak-anak tangganya adalah batang panjang yang kecil-kecil dan bilangannya ganjil. Pada hujung atap dan dinding terdapat banyak ukiran bermotifkan tumbuh-tumbuhan.

Halaman rumah Acheh

Serambi depan Rumoh Acheh



Semasa masuk ke dalam rumah, bahagian serambi rumah itu mirip seperti rumah tradisional Melaka, tetapi rumah Melaka lebih tinggi tingkap dan bumbungnya. Nampak macam ada persamaan dengan rumah-rumah tradisional di Malaysia tetapi sebenarnya berbeza.

Ada 3 bahagian utama yang dipanggil  seuramoë keuë (serambi depan), seuramoë teungoh (serambi tengah) dan seuramoë likôt (serambi belakang).

Serambi depannya mempunyai banyak tingkap kecil yang berlangsir. Lantainya papan dan di hujung serambi ini terhampar permaidani. Ruang ini tidak ada perabut. Ia kecil dan memanjang. Ia bertujuan untuk tetamu lelaki duduk dan tidur. Di dindingnya terdapat lukisan berbingkai gambar tokoh-tokoh Acheh.

Di serambi tengah terdapat bilik. Serambi tengah ini dipisahkan dari serambi depan oleh dinding dan ia  lebih tinggi daripada serambi depan. Terdapat 3  anak tangga yang perlu dipijak untuk ke serambi tengah ini.

Serambi belakang


Di serambi belakang terdapat sebuah buaian bayi dibuat daripada rotan. Di tepi dinding ada katil. Barangkali mudahlah si ibu mendodoikan anak dari situ. Di sebelah kirinya pula ada rumoh dapu (rumah dapur). Terdapat periuk belanga, kukur kelapa, alatan memasak dan dapur kayu api lama dijadikan hiasan di situ.

 

 

Muzium Acheh


Kemudiannya kami pergi ke Muzium Acheh. Di dalam muzium ini kami lihat Al-Quran tulisan tangan, tembikar,  alat-alat pertanian, peta Acheh, binatang berkepala dua dan macam-macam lagi. Di luar muzium ini kami dapat melihat makam raja dan meriam.

Bahan-bahan pameran di dalam dan di luar Muzium Acheh

Kawasan makam diraja yang terdapat di luar Muzium Acheh


Kawasan makan diraja yang berpagar


 

Rumah Cut Nyak Dhien


Kami kemudiannya pergi ke Rumah Cut Nyak Dhien. Rumah ini letaknya di Lampisang, Lhok Nga di Acheh Besar. Cut Nyak Dhien adalah srikandi yang memperjuangkan Acheh dari dijajah. Beliau berjuang sehingga ke tua. Cut adalah gelaran bagi golongan bangsawan/raja.

Rumah Cut Nyak Dhien adalah rumah tradisional Acheh sebagaimana yang kita lihat di Rumah Acheh di atas tadi. Tetapi bezanya dari penggunaan perabut, saiz rumah, bilangan anak tangga, bilangan tiang dan sebagainya. Oleh kerana ini rumah seorang bangsawan maka perabutnya banyak dan saiz rumahnya besar.

Rumah Cut Nyak Dhien Srikandi Acheh

Perabut di serambi depan rumah Cut Nyak Dhien

Telaga di bahagian serambi belakang

 

Gunungan


Kami kemudian pergi melihat taman permainan diraja Sultan Iskandar Muda yang dipanggil Gunungan. Gunungan ini dibina oleh Sultan Iskandar Muda berbentuk gunung-ganang. Ia dibina untuk permaisuri beliau yang berasal dari Pahang, Tanah Melayu. Oleh kerana Pahang bergunung-ganang dan permaisurinya sentiasa merindui Pahang maka Sultan Iskandar Muda membina Gunungan ini supaya permaisurinya dapat menghilangkan rindu pada kampung halamannya. 

Di Gunungan, permaisuri bermain di situ, mandi-manda dan kemudiannya makan di situ. Dikatakan setiap kali permaisuri bermain dan mandi-manda di situ, seekor lembu disembelih untuk dibuat jamuan makan. Gunungan itu adalah campuran batu dan simen yang mempunyai anak-anak tangga, lubang-lubang dan lorong-lorong yang sempit.

Perlu melalui lorong-lorong dan anak-anak tangga di Gunungan




Kenduri Kahwin Acheh


Dalam perjalanan kami nampak sebuah majlis kenduri kahwin. Kami kemudiannya singgah di majlis kenduri itu. Kami ingin sangat hendak tahu cara orang Acheh meraikan majlis perkahwinan. Walaupun tidak kenal kami dijemput masuk oleh tuan rumah. Kami duduk dan dijamu kuih lepat yang dibungkus dengan daun pisang. Oleh kerana masih awal pagi, kami hanya dapat melihat mereka bergotong-royong membuat persiapan seperti menyusun kerusi meja dan memasak.  Pengantin pula ketika itu sedang berdandan di salon.

Kanak-kanak berpakaian tradisional Acheh

Hiasan daripada kertas warna di letakkan di jalan masuk rumah pengantin. Hiasan ini ditaja oleh Bank Sumut

Pelamin diletakkan di luar rumah

Bergotong-royong memasak gulai kari


Muzium Tsunami


Selesai melihat-lihat orang Acheh meraikan majlis perkahwinan, kami ke Muziuk Tsunami pula. Muzium Tsunami adalah muzium yang menyimpan cerita-cerita tentang tragedi tsunami 2004. Ia bertingkat-tingkat. Terdapat juga kedai menjual cenderamata di sini. Sempatlah juga saya membeli magnet peti sejuk di sini.


Menuju ke pintu masuk Muzium Tsunami


Informasi dan bahan-bahan tentang tsunami 2004

Replika Masjid Lampisang d Lampuuk yang terselamat dari bencana tsunami



Banyak yang telah kami tahu tentang budaya dan sejarah Acheh apabila berkunjung ke sini. Banyak persamaan walaupun ada juga perbezaan dengan budaya kita.

...bersambung




Rabu, 10 April 2013

Banda Acheh (3): Serambi Mekah Pada Era Pasca Tsunami


A cheh pernah mendapat jolokan nama Serambi Mekah.  Mengapa ia digelar demikian? Masa di sekolah dahulu, saya belajar tentang Islam di Asia Tenggara. Acheh adalah tempat yang penting dalam penyebaran Islam, penuh nuansa keagamaan dan adalah pintu masuk agama Islam di Nusantara. Kedudukannya yang strategik dan di pinggir pantai memudahkan pedagang-pedagang Islam dari Tanah Arab, Parsi dan Gujerat untuk berniaga dan menyebarkan Islam. Antara penempatan-penempatan Islamnya ialah Pasai dan Perlak. Dari Acheh Islam berkembang cepat di Nusantara sehingga ke Filipina. Ramai ulamak muncul di sini. 



Sumber dari cikguazid.com/nota-sejarah...4/bab-7-islam-di-asia-tenggara



Acheh pernah menjadi pusat ilmu pengajian Islam dengan wujudnya Jami'ah Baiturrahman dan pesantren (pondok-pondok agama). Pelajar-pelajar yang menuntut ilmu di sini datang dari berbagai penjuru dunia: Turki, Palestin, Pattani, Mindanao, Malaya, Brunei Darussalam dan Makassar. Acheh juga pernah menjadi pengkalan Haji untuk seluruh Nusantara sebelum pergi menunaikan haji ke Mekah dengan kapal laut merentasi Lautan Hindi. Undang-undang berdasarkan Syariah diamalkan dan nama negeri ini juga amat berbeza dengan negeri-negeri di Indonesia yang lain kerana ia menggunakan Acheh Darussalam, iaitu nama yang Islami.

Semasa saya ke Banda Acheh baru-baru ini saya dapat melihat signifikasi jolokan Serambi Mekah itu.


Hotel di Banda Acheh


Hotel penginapan saya dan keluarga di Banda Acheh amatlah sederhana. 3 bintang. Kami menginap di Hotel Sulthan di Jalan Sulthan Hotel. Hotel ini berada di tengah-tengah kota Banda Acheh dan amat berdekatan dengan Masjid Raya Baiturrahman dan pusat membeli-belah.








Kami ambil 'extra bed'. Bilik dua katil ditambah menjadi 3 katil.

Yang amat menarik sekali di sini ialah di dalam hotel ini tidak dipasangkan muzik sebagaimana kebanyakan hotel. Di sini cuma rakaman ayat-ayat Al-Quran sahaja dipasang. Rasa amat tenang jiwa apabila ayat-ayat suci itu bergema melalui speaker di tangga, lorong koridor dan lobi.



Dalam Dingin Subuh


Pada waktu pagi, sekitar  jam 3 atau 4 kedengaran azan berkumandang dari arah sebuah masjid berhampiran. Tetapi ini bukan azan subuh. "Assolatukhairumminannaum"  tidak kedengaran. Jadi ini azan untuk solat tahajud, sebagaimana yang pernah saya dengar di tanah suci Mekah dan Madinah.  Selang sejam kemudian kedengaran azan lagi berkumandang dari sebuah masjid. Tapi kali ini azan subuh. Jadi azan di sini dilaungkan dua kali: sejam sebelum waktu subuh dan ketika sudah masuk waktu subuh.  Amat Islami.

Bemo sudah mula beroperasi sebelum masuk waktu subuh di sekitar Masjid Raya Baiturrahman


Kami pergi solat subuh di Masjid Raya (Masjid Baiturrahman). Masjid inilah yang saya ceritakan dalam entri yang lalu - salah sebuah masjid yang terselamat dari musnah ketika tsunami 2004.  Masjid itu tidaklah berapa jauh dengan hotel Sulthan. Jalan kakipun boleh. Kawan saya Salwa sudah menunggu kami di luar hotel untuk kami pergi bersama-sama. Salwa sudah sediakan bemo (beca motor) untuk kami supaya tidak ketinggalan solat jemaah. Seronoknya naik bemo pada waktu subuh ketika embun masih menitik membasahi bumi dan suasana masih sunyi.



Pintu Masjid Baiturrahman



Di masjid Raya jemaah lelaki dan wanita sudah mula memenuhi saf masing-masing. Bahagian solat wanita adalah di bahagian belakang jemaah lelaki yang di hadang dengan pagar rendah. Cara solat dan bacaan imam sama seperti di Malaysia. Tidak ada beza. Cuma saya terasa perbezaan suasana sedikit disebabkan saya baru balik dari Beijing, selama berbulan-bulan di China telinga saya sudah biasa dengan bacaan cara orang China. Sekarang rasa seperti berada di tanahair sendiri.

Bahagian luar Masjid Raya Baiturrahman waktu subuh


Menara Masjid Raya Baiturrahman waktu subuh

Setelah solat berjemaah kamipun mendengar kuliah subuh. Kuliah subuh itu disampaikan terus melalui radio dan penceramah membaca teks ceramah yang telah disediakannya. Antara isi kandungan kuliah itu amat relevan dengan yang kami bincangkan pada petang semalam iaitu tentang kemasukan unsur-unsur agama lain  ke Acheh selepas tsunami 2004. Banyak bantuan dihulurkan kepada penduduk Acheh dari NGO, tetapi adakah kesemuanya mempunyai niat dan tujuan yang sama? Mungkin ada gunting dalam lipatan di sebalik pemberian itu. Jadi penceramah mengingatkan mukmin supaya berhati-hati dengan taktik mereka ini supaya tidak termasuk ke dalam perangkap mereka.

Penulis di dalam Masjid Raya Baiturrahman



Makam Syiah Kuala


Agenda kami di Banda Acheh pada siang harinya ialah melawat Makam Alim Ulamak. Saya pernah belajar tentang perkembangan Islam dan Sastera Islam di Asia Tenggara. Jadi saya sudah mengenali tokoh-tokoh agama di Acheh seperti Syeikh Nurudin Ar-raniri, Abdul Rauf Singkel, Samsudin Al-Sumatrani, Sultan Malikul Salleh dan Hamzah Fansuri. Antara buku-buku agama mereka ialah Tabayan Fi Ma'rifati al-Uadyan (Hamzah Fansuri), Surat al-Mustaqim (Nuruddin al-Raniri) dan Mi'raj al-Tulabb Fi Fashil (Abdul Rauf Singkel). Namun anak-anak saya tidak belajar tentang ini di sekolah mereka, jadi kembara kali ini merupakan penimbaan ilmu dan perpustakaan buat mereka.

Makam Syiah Kuala yang masih  terpelihara


Kami ke Makam Syiah Kuala yang letaknya di tepi pantai iaitu di kuala Sungai Acheh. Semasa kejadian tsunami 2004 yang dasyat itu makam ini ditenggelami air laut tetapi terpelihara. Saya masih dapat melihatnya seperti sediakala. Syiah Kuala ini amat besar pengaruhnya dan amat dihormati di Acheh sehingga nama universiti di Acheh juga diambil sempena dengan namanya. Ketika kami melawat ke makam itu, kami dikehendaki memakai pakaian yang sesuai bagi menghormatinya. Wanita dilarang memakai seluar panjang ketat yang berblaus pendek ketika melawat makam itu. Sekiranya memakai begini, pengunjung wanita dikehendaki memakai sarung batik yang disediakan di situ. Di situ ada sebuah surau berbentuk rumah kampung manakala sebuah masjid yang baru terletak di bahagian belakang makam itu.


Lukisan Syiah Kuala, sumber dari tokohulama.blogspot.com


Syiah Kuala juga dikenali dengan gelaran Abdul Rauf Singkel kerana dia berasal dari Singkel. Syiah di sebut Syah dalam bahasa Acheh yang bermaksud Syeikh. Syiah Kuala adalah seorang tokoh ulamak dan pemimpin Tarikat Syatariyah yang tersohor pada abad ke-17. Beliau belajar ilmu agama di Banda Acheh, Doha, Jeddah, Mekah, Madinah dan lain-lain lagi di dalam perjalanannya mengerjakan haji. Beliau berada di tanah Arab selama 19 tahun. Apabila beliau pulang ke Acheh ramai orang dari pelbagi penjuru dunia berguru dengannya.


Kota Islami yang Bersih 

 

Tugu di Banda Acheh



Kota Banda Acheh adalah kota yang bersih. Sudah 3 tahun berturut-turut ia memenangi anugerah kota paling bersih di Indonesia. Orang Banda Acheh amatlah peramah. Mereka senang sekali bertemu dengan kita orang Malaysia yang datang berkunjung ke situ. Kadar jenayahnya hampir tiada. Keramahan orang Acheh menambat hati saya.  Islam di sini diamalkan dengan baik. Wanita-wanita Islam diwajibkan memakai hijab dan berbusana muslimah. Suasana dan peraturan di sini amat Islami. Namun jolokan Serambi Mekah bolehkah dapat dipertahankan kerana arus kemodenan yang seolah-olah memudarkannya?

...bersambung


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...