Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Rabu, 15 Mei 2013

Percutian Percuma di Surabaya (6): Taman Safari Terbesar di Asia

B iasanya orang mengaitkan binatang di Taman Safari dengan kanak-kanak. Tetapi tidak bagi saya dan keluarga saya. Kami sangat sukakan binatang walaupun kami bukan kanak-kanak lagi. Kami dibawa Mas Rozi dan kawannya terus ke Taman Safari Indonesia II setelah melihat Gunung Bromo dan sarapan dengan Rawon.

 

Pemandangan Sawah Padi Yang Indah di Pasuruan


Taman Safari Indonesia II ini letaknya di Kampong Prigen, Pasuruan, Jawa Timur. Ia terletak di antara lebuh raya Surabaya dan Malang. Taman Safari itu di tengah hutan belantara Gunung Arjuna.  Dalam perjalanan menuju ke Taman Safari itu kami melalui kampung-kampung dan kawasan sawah padi yang terbentang luas. Saya sempat merakamkan gambar petani-petani sedang membajak dan menanam padi dari dalam kereta. Oleh kerana Taman Safari itu di Gunung Arjuna, kami melalui jalan yang semakin menaik dan tinggi.










Ke Taman Safari Indonesia II


Di pintu masuk Taman Safari ini kami disapa oleh penjaga pintu taman itu dengan ramah mesra. Setelah Mas Rozi membayar tiketnya, kami diberi risalah dan peta kedudukan binatang-binatang di dalam taman itu. Risalah yang diberikan tertulis bahawa Taman Safari Indonesia II ini adalah taman safari yang terbesar dan terbaik di Asia. Luasnya 350 hektar. Penjaga pintu itu juga menjual lobak merah untuk diberi makan kepada binatang-binatang itu. Tetapi Mas Rozi sudah menyediakan kacang tanah berjenama Kelinci (arnab) untuk kami beri makan kepada binatang-binatang itu.  


Yang paling menyeronokkan ialah kami memandu kereta ke dalam zoo ini. Tak perlu jalan kaki. Inilah pertama kali saya memasuki zoo dengan kereta sekali. Tidak seperti di Taman Rimba Savannah di Australia yang pernah saya kunjungi dulu, kami perlu menaiki bas yang disediakan. Sila klik di sini untuk mengimbas kembali.

Dalam keadaan cuaca ketika itu yang amat panas, duduk di dalam kereta dan memasang penghawa dingin adalah pilihan terbaik. Sambil Mas Rozi membaca peta, kawannya memandu. 











Istimewanya Taman Safari  ini ialah binatang di dalam taman ini bebas mencari makan dan meragut rumput di kawasan Safari yang luas. Harimau, singa, rusa, beruang Himalaya, gajah, kuda belang, badak sumbu, bison, kerbau, orang utan dan zirafah lepas bebas. Kita yang berkunjung ke situ pula boleh mendekati binatang-binatang itu dari dalam kereta dan memberi mereka makan.

Kami ketawa gembira melihat gelagat binatang-binatang itu mengejar-ngejar kenderaan kami. Ada juga yang jinak menjengukkan kepala mereka melalui tingkap kereta dan meminta makanan daripada kami. Seronok! Tidak sangka di sini kami menemui sebuah Taman Safari yang menggembirakan kami. 








Kami sangat kagum melihat tiga ekor singa sedang duduk di atas jeep di dalam taman itu. Kami cepat-cepat menaikkan cermin tingkap kereta kerana takutkan singa itu menerkam ke arah kami. Tetapi singa-singa itu hanya duduk rileks sahaja di situ.

Kami tidak menjelajah habis Taman Safari itu kerana keletihan dan kurang tidur. Up close & personal dengan rusa, zebra dan singa benar-benar membuatkan kunjungan ke sini amat berbaloi.





Makan Tengahari di Rumah Makan Ikan Bakar Cianjur


Setelah puas up close and personal dengan binatang-binatang, kamipun makan tengahari di Rumah Makan Ikan Bakar Cianjur, di Pandaan, Lebuhraya Surabaya-Malang. Kawasan rumah makan ini luas dan letaknya di dalam taman hijau. Kami pergi ke belakang restoren itu dan melihat tamannya. Kami menapak di atas batu-batu leper yang disusun kemas dalam taman yang hijau itu. Di taman itu terdapat kolam yang penuh dengan teratai, pagola, taman permainan kanak-kanak dan musola. Kami mandi dan solat dahulu di situ sebelum makan di restoren.

Ketika masuk ke restoren ini Yan dan anak buahnya kira-kira lima orang sudah berada di situ menanti kami. Makanan sudah siap terhidang. Makanan yang dihidangkan amat menyelerakan: masakan tradisional Jawa Timur, ala masakan kampung. Ada petai, jering, sambal terasi, bakso, rawon, pecal, tumis kangkong (kangkong goreng belacan), ikan goreng kering, ikan bakar, ayam kampung goreng, tahu goreng, mie, lalapan, Ikan Nila Pesmol dan keropok. Enak! 

Tasik teratai ini terdapat di dalam taman di belakang Rumah Makan Ikan Bakar Cianjur

Saya lupa nama masakan ini


Ayam kampung goreng

Ikan goreng kering, tumis  kangkong, tumis kailan dan lalapan menjadi sajian tengahari kami


Bagi anda yang ingin mencuba masakan tradisional Jawa Timur ini, silalah ke:

Ikan Bakar Cianjur
Pandaan, Pasuruan, Jawa Timur
JJl. Raya Surabaya-Malang Km 48
Tel: +62 343 634 360

Selepas makan tengahari kami ke desa pergunungan Trawas untuk mengikuti Yan dan anak-anak buahnya mengendalikan bengkel motivasi. Desa pergunungan Trawas ini dingin! Jangan lupa bersama saya lari ke desa pergunungan di Trawas yang indah, sejuk dan nyaman.

 ...bersambung


Sabtu, 11 Mei 2013

Percutian Percuma di Surabaya (5) : Gunung Bromo

T ak tahu bagaimana caranya mengungkapkan kata-kata indah apabila menyaksikan Gunung Bromo - gunung berapi terkenal di Jawa Timur. Gunung Bromo ingin sekali saya kunjungi. Tidak sangka saya sudah berada di Bromo.

Berada di Surabaya ini sudah pasti Bromo menjadi highlight kami. Wisata ke Bromo ini GRATIS! Nggak perlu cari mobilnya. Nggak perlu cari tor guidenya. Maksud saya kembara ke Bromo ini PERCUMA! Tidak perlu bayar apa-apa. Tidak perlu pening kepala mencari jalan. Semuanya telah diuruskan oleh anak murid saya Yan, orang Surabaya. Kami seperti VIP dilayan begitu baik oleh anak murid saya ini.

Kehadiran saya dan keluarga di Surabaya diraikan dengan makan malam di Hotel Elmi bersama pengurus Hotel Elmi, kawan baik saya Dr Wardhani yang saya kenali semasa menuntut di Monash University Australia, dan beberapa anak murid saya yang berasal dari Surabaya.

Setelah majlis makan malam yang penuh makna itu, kami check out Hotel Elmi kira-kira pada pukul 11.00 malam. Ini disebabkan kami akan tidur dalam kenderaan semasa menuju ke Gunung Bromo dan pada kesesokan paginya kami akan meneruskan kembara ke tempat-tempat lain yang telah diatur oleh Yan. Yan telah menyediakan pacuan 4 roda dan menyuruh Rozi 'anak muridnya' dan kawannya membawa kami ke Gunung Bromo.

Jalan menuju gunung itu agak gelap. Dengan ayunan 4WD dan suasana gelap-sepi itu membuatkan kami tidur seperti bayi. Tidak rehat-rehat lagi sejak seharian di Rumah Sampoerna, Masjid Cheng Hoo dan Pulau Madura siang tadi membuatkan kami terus dibuai mimpi.

Kami sampai di pertengahan Gunung Bromo kira-kira 3.00 pagi dan ingin memandu terus ke kemuncak. Tetapi kami ditahan di Tengger iaitu penempatan di kawasan gunung berapi itu. Kami diminta berhenti oleh penduduk Tengger sehingga jalan untuk naik ke Gunung itu dibuka. Kami dikehendaki menyewa jeep yang disediakan oleh penduduk Tengger di situ. "Sebelum ini kami naik terus menggunakan jeep kami sendiri," jelas Rozi.


Sampai di Tengger dan menanti jeep sampai

Kami menunggu di dalam kenderaan sehingga jalan dibuka. Ketika menunggu itu ramailah penjual Tengger mengerumuni kenderaan kami dan menyuruh kami membeli sarung tangan, jaket, topi dan muffler untuk dipakai. Cuaca amat dingin sekali ketika itu. Kami perlu memakai jaket dan sarung tangan. Ketika itu saya masih tinggal di Beijing yang sedang menghadapi musim sejuk (-7 darjah C hingga -12 darjah C), tetapi pulang sebentar ke Malaysia dan langsung ke Surabaya. Jadi saya masih boleh tahan dengan kesejukan di Bromo. Ini membuatkan peniaga-peniaga di situ hairan melihat saya. Walau bagaimanapun saya memakai inner untuk menahan kesejukan.

Saya amat kasihan melihat penjual-penjual itu menyua-nyua jaket dan sarung tangan kepada saya tanpa jemu-jemu. Saya bercadang untuk membelinya kerana kasihankan mereka. Tetapi Rozi menahan saya. "Tak perlu beli. Sudah ada," kata Rozi. Rozi lalu memberikan kami sarung tangan baru yang sudah dibeli oleh Yan. 

Setelah menunggu, jeep pun sampai dan kami menaikinya. Rozi bersepakat dengan pemandunya mengenai harga dengan menggunakan bahasa Jawa. Kamipun tukar kenderaan dan duduk di dalamnya dengan penuh keterujaan. Kegelapan malam yang dingin dan jalan yang berliku-liku itu diselir tanpa ragu-ragu oleh pemandu Tengger yang sangat cekap itu.

Kami menuju ke Penanjakan iaitu tempat yang tinggi untuk meninjau kawah gunung berapi yang masih hidup itu dan seterusnya melihat matahari terbit dari belakang kawah. Sampai di situ jam sudah 4.00 pagi. Waktu solat subuh pun masuk. Terdapat pondok terbuka untuk solat dan tempat mengambil wudhu disediakan. Kamipun menunaikan kewajipan kami kepada Allah SWT.


Jeep yang kami naiki ke Penanjakan

Jualan pagi di Penanjakan


Usai solat kami terus mendaki anak-anak tangga yang terdapat berdekatan. Bergegas. Tidak mahu terlepas menyaksikan fenomena indah matahari muncul dari bawah di belakang gunung berapi. Bau belerang gunung berapi itu menusuk ke dalam rongga hidung kami.

Nun di kejauhan. Gunung-gunung berapi kukuh berdiri. Semeru adalah gunung yang tertinggi di situ. Manakala Bromo mendepani Semeru. Di bawahnya terhampar padang pasir yang halus. Kabus tebal memeluk erat gunung-gunung itu bagaikan bayi yang enggan lepas dari dukungan ibunya. Tidak berapa lama kemudian Sang Suriapun muncul dengan perlahan-lahan dari belakang Gunung Berapi itu. Selalunya matahari muncul dari atas langit, tetapi di sini kami dapat melihat ia muncul dari bawah dan naik perlahan-lahan ke atas sedangkan kami berada di atasnya. Indahnya panorama. Umpama mimpi dalam mimpi.

Taman Negara Bromo-Tengger-Semeru semasa matahari terbit.

Gunung berapi Bromo ialah gunung yang terletak di tengah dan berasap dan masih aktif. Di hadapan sekali ialah Gunung Batok

Kabus di kaki gunung berapi

Matahri terbit dari arah bawah dan belakang Gunung Berapi Bromo-Semeru

Meninjau gunung berapi dari arah Tinjau di Penanjakan


Keindahan Bromo-Semeru ketika matahari sedang naik

Keindahan Bromo-Semeru ketika matahari terbit.Gunung Batok (hadapan sekali), Gunung Bromo (kiri, tengah, mengeluarkan asap), Gunung Windodaren (kanan, tengah) dan Gunung Semeru (belakang)


Keindahan Bromo-Semeru ketika matahari sedang naik


Semakin cerah

Gunung Batok dan Gunung Windodaren yang kelihatan dari tempat Tinjau di Penanjakan setelah matahari terbit

Orang ramai di tempat tinjau di Penanjakan setelah matahari terbit



Ketika itu orang tidaklah ramai sangat dan kami dapat melihat pemandangan indah itu mengikut kesukaan kami. Kami bebas bergerak dan berfoto-foto ria di mana sahaja yang kami suka. Kebanyakan orang yang datang ke situ ialah golongan muda tempatan dan beberapa orang mat salleh. Kamipun berkenalan dengan orang tempatan dan kebetulan pula mereka sekampung dengan Rozi iaitu di Madura, lalu berfoto-fotolah dan beriang ria dengan mereka. Kami juga sempat membeli beberapa keping fridge magnet yang dijaja oleh penduduk Tengger yang mengekori kami. Rozi memberitahu kami bahawa mereka yang tinggal di Tengger itu kesemuanya beragama Hindu.

Pengunjung yang datang melihat matahari terbit di Penanjakan

Saya dan keluarga saya di Bromo

Bergambar kenang-kenangan dengan orang kampung Mas Rozi dari Madura


Setelah matahari naik dan puas 'foto-foto' ria kamipun turun. Kami dimaklumkan bahawa ada laluan untuk mendaki gunung Bromo-Semeru itu dan perlu menaiki kuda melalui padang pasir di situ. Namun laluan itu ditutup pada hari itu disebabkan oleh gelungsuran. Ketika kami ke sini iaitu pada November 2012, adalah musim tengkujuh, jadi hujah lebat telah membuatkan tanah runtuh dan membahayakan. Disamping itu Gunung Bromo ketika itu mengeluarkan gas. Gunung Bromo ini baru sahaja meletuskan lavanya iaitu setahun yang lalu. Dengan terkilan kamipun turun ke pertengahan gunung dan berhenti melihat-lihat keindahan gunung itu di bahagian bawah pula.

Pemandu jeep kami sedang menuju ke arah jeep. Mas Rozi tersenyum ketika saya mengambil gambanya dari dalam jeep.

Jeep kami di Penanjakan. Jeep biru bersedia untuk dipandu menuruni gunung

Laluan berliku Bromo-Semeru

Bunga kecubung atau bunga trompet yang terdapat dengan banyak di pinggir jalan

Gurun pasir yang terbentang luas


Gunung Bromo, Gunung Semeru, Gunung Batok dan Gunung Widodaren  yang dilihat dari Kawasan Tinjau di bahagian bawah.



Saksikanlah Video Gunung Bromo yang telah kami rakamkan.

Kami kemudiannya kembali semula ke Tengger dan menaiki kenderaan pulang ke Surabaya. Dalam perjalanan Mas Rozi belanja kami sarapan pagi dengan Rawon, masakan tradisional Jawa Timur. Itulah pertama kali saya makan Rawon. Rawon ialah sup daging yang dimakan dengan nasi. Selepas itu kami ke Safari Park pula. Safari Park ialah tempat binatang yang menarik dan berbaloi untuk kita pergi.

...bersambung



Isnin, 6 Mei 2013

Percutian Percuma di Surabaya (4) : Makan-makan, Membeli-belah dan Lawat Masjid Syekh Moh Kholil di Madura

A las perut dengan seketul Lumpia tentulah tak cukup. Waktu makan tengahari sudah tiba. Perut meronta-ronta minta disumbat. "Kita makan di Pulau Madura," cadang Mas Rozi 'cucu murid' saya yang berasal dari Madura. 

Pulau Madura letaknya di seberang Selat Madura. Mas Rudy pandu kereta. Kami melalui Jambatan Suramadu yang panjangnya 5.4 km. Jambatan Suramadu ialah jambatan yang terpanjang di Indonesia. Ia telah siap dibina pada tahun 2009.
 
Semasa lalu di Jambatan Suramadu ini, saya rasa macam menyeberangi Jambatan Pulau Pinang pula. Rudy memberhentikan keretanya supaya kami boleh 'foto-foto' di situ. Tidak seperti di Pulau Pinang, kereta tidak dibenarkan berhenti.

"Selain daripada jalan darat, kita boleh naik bot ke Pulau Madura, tetapi perlu menunggu giliran di jeti," jelas Rudy




Jambatan Suramadu menghubungkan Pulau Jawa dengan Pulau Madura

Laluan motosikal di Jambatan Suramadu




Makan Tengahari di Restoren Ole Olang di Pulau Madura


Restoren yang kami pergi atas cadangan Rozi dan Rudy ialah Ole Olang. Apakah istimewanya masakan di sini?



Perhatikan tarikan Rumah Makan Ole Olang : "Tidak Enak, Tidak Usah Bayar".






Lesehan tepi sawah


Pemandangan indah, tenang dan damai ~ sawah padi ini bersebelahan tempat makan

Restoren ini menyajikan masakan tradisional Pulau Madura dan ia terletak berhampiran dengan sawah padi. Kami boleh memilih untuk duduk di atas lesehan atau di kerusi biasa. Oleh kerana ketika itu hujan dan tempias telah membasahi tempat duduk lesehan maka kami memilih kerusi biasa. Rozi dan Rudy mencadangkan kami makan nasi goreng dan nasi khas Madura iaitu Nasi Ayam Songkem Goreng Kremes. 

Sambil menunggu makanan yang dipesan, kami menikmati pemandangan sawah padi yang mendamaikan jiwa kami sehingga tidak terasa yang kami ini menunggu makanan.

Setelah makanan dihidang kamipun  makan dengan berselera. 

Air minuman yang istimewa di sini ialah air Es Timun Poco Poco dan Es Ole Olang. Es Timun Poco Poco dibuat daripada air perahan lemon dan hirisan timun.  Es Ole Olang pula daripada air perahan limau nipis, madu dan susu.

Dewan makan yang berupa lesehan

Nasi Goreng

Nasi Ayam Songkem Goreng Kremes: nasi, daun selasih, kerabu mangga dan sambal pencit

Keledek dan pisang rebus



Untuk yang berminat ini alamatnya:
Restoran Ole Olang
Jl. Raya Ketengan KM 3 Bangkalan Madura
031-3091844

 

Membeli-belah di Bangkalan, Madura

 

Rudy kemudiannya memandu kereta menuju ke Bangkalan. 

 
Pelbagai  pakaian batik dan cenderamata terdapat di sini

Pelbagai keropok dan peyek ada di sini


Kami pergi membeli keropok dan ikan kering yang murah di Bangkalan. Terdapat macam-macam jenis keropok terdapat di sini. Ada keropok udang, ikan, sotong, ikan bilis dan belinjo. Kami hanya membeli sedikit kerana akan mengembara jauh lagi iaitu ke Bromo, Trawas, Bandung dan Jogja. Kami bercadang untuk memborong keropok ini sebelum pulang. Selain daripada keropok terdapat juga pakaian batik dan cenderamata seperti rantai kunci, kipas, pensil dan lain-lain lagi. Tetapi magnet peti sejuk yang menjadi kegemaran saya tidak dijual di sini.





Selain itu kami juga pergi ke sebuah rumah yang membuat batik Madura dengan tulisan/lukisan tangan.  Batik tulisan/lukisan tangan Madura amat halus dan penuh seni. Ia mempunyai motif tersendiri dan mengabadikan motif alam semulajadi dari laut kerana penduduknya tinggal di atas pulau. 

Tapi malangnya ketika kami sampai ke rumah batik Madura itu, ianya tutup. Kami dimaklumkan oleh jirannya yang mereka terpaksa bercuti kerana ada kematian ahli keluarga. 

Batik lukisan tangan kesenian halus Madura

Kamipun pergi ke rumah lain di situ. Ternyata di kawasan perumahan itu ramai yang melukis batik. Ketika kami masuk ke dalam rumah itu terdapat banyak kain batik yang bertulis tangan digantung dan dilipat di atas rak-rak. Untuk membeli batik-batik itu kita perlu duduk dan menarik keluar kain batik satu persatu.  Keadaan ini memenatkan dan memerlukan kesabaran. Kami lihat penjualnya yang seorang lelaki kelihatan penat melayan pelanggan yang datang dan membuka kain batik satu persatu. 

Kami hanya membeli sehelai dua sahaja kain batik Madura yang halus dan cantik itu.


Ke Masjid Syekh Moh Kholil dan Ziarah Makam Wali Allah. 

 

Masjid Syekh Moh Kholil di waktu asar

"Pulau Madura mendapat jolokan Serambi Madinah. Ini disebabkan terdapat banyak wali-wali di kawasan ini," jelas Rozi. Oleh kerana wali-wali ini sudah meninggal dunia, maka ramai orang datang menziarahi makam wali-wali ini. Antara wali yang terkenal di Madura ialah Syeikh Moh Kholil dan Sunan Ampel. 

Kami kemudiannya ke Masjid Syeikh Moh Kholil di Bangkalan. Syeikh Moh Khalil dikenali sebagai seorang wali Allah yang mempunyai berbagai karamah dan kasyaf. Makamnya terletak bersebelahan masjid. Ketika di masjid itu, saya ditegur oleh seorang wanita yang peramah. Menurut beliau ramai orang dari Jakarta datang menziarahi makam ini malam semalam kerana itu malam Jumaat. Bilangan penziarah bertambah pada bulan-bulan mulia Islam. Wanita yang peramah itu lalu menunjukkan saya makam wali itu. Ternyata di situ tidak sepi dengan penziarah.  Mereka duduk menghadap makam itu sambil membaca aya-ayat suci al-Quran.

Orang ramai menziarahi makam wali Syeikh Moh Kholil dan membaca ayat-ayat Al-Quran. Gambar ini diambil dari dalam masjid.

Berada di masjid itu membuatkan saya kelihatan asing bagi orang di situ. Lalu ramai yang menegur saya dengan ramah. Sekilas pandang mereka sudah mengetahui saya orang Malaysia. Mereka terus bercakap menggunakan bahasa Malaysia sebaik sahaja tekaan mereka itu tepat dan memaklumkan bahawa mereka pernah bekerja di Malaysia. 


Penjual buah salak di kawasan perkarangan Masjid Syeikh Moh Kholil





Begitulah kami menghabiskan hari Jumaat kami di Madura. Malam nanti kami akan ke  Gunung Bromo - satu ekskursi yang ingin sekali saya kunjungi. Untuk mengetahui tentangnya, teruslah bersama Naramas Aman dalam entri akan datang. 

...bersambung




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...