Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Khamis, 27 Jun 2013

Bali Tanpa Candi (2) : Jalan Kaki di Dasar Laut, Parasailing dan Pesona Senja

S antai di tepi pantai tentu best, bukan? Bayu Suta di Tanjung Benoa dan Teluk Jembaran adalah pantai tempat kami bersantai di Bali. Apa ada di sini?


Bayu Suta


Berjalan di Dasar Laut (Sea Walking)


Orang terlalu ramai di pantai Bayu Suta itu. Maklumlah cuti Tahun Baru China. Disebakan ramai orang maka peniaga di situ menjadi sibuk dan tidak dapat melayan kami dengan baik. Ketamakan berlaku kerana mereka melayan dua tiga orang pelanggan sekaligus. Belum selesai berbincang dengan kami, mereka terkocoh-kacah melayan pelanggan yang lain.

Kami memilih untuk berjalan di dasar laut (sea walking), menyelam (diving) dan parasailing. Kemudian peniaga itu menawarkan perkhidmatan kamera video di dasar laut (underwater camera) kepada kami. Setelah membayar harga sea walking, diving dan parasailing beserta underwater camera ini, kami diberi pakaian menyelam.

There is something fishy going on. Setelah siap berpakaian selam kami diberitahu pula yang kamera untuk mengambil gambar di dasar laut tiada. Peniaga itu cuba ciluk kami dengan mengatakan bahawa tak jadi ambil gambar di dalam air. Ambil di atas pantai sahaja. Tetapi kami tidak setuju. Oleh kerana kami tidak setuju, kami diminta menunggu sehingga kamera ada.


Bosan menunggu
Sambil menunggu dengan memakai baju selam yang bergetah dan tidak pernah dipakai seumur hidup itu, ahli keluarga yang lelaki melakukan diving dahulu. Sekembalinya mereka daripada diving, mereka menyatakan perasaan gembira mereka dan rasa tidak puas.

Kemudian kami duduk menunggu untuk berjalan di dasar laut dengan underwater camera yang dijanjikan.


Tetapi setelah menunggu lama kira-kira 2 jam di bawah cahaya matahari yang panas menyilau, underwater camera masih tidak ada. Kami rasa  ditipu dan dianiaya. Kamipun merungut dan protes. Oleh kerana kami agak agresif sedikit kerana kami katakan kami ditipu olehnya barulah peniaga itu mencari cepat-cepat kamera. Setelah underwater camera diperolehi anak saya terus memegang
kamera itu tidak lepas-lepas walaupun cuba diambil semula oleh pemiliknya.

Anak saya yang sulung pun rakamkan gambar video menggunakan underwater camera itu. Sepatutnya mereka yang buat kerja-kerja merakam itu. Tetapi disebabkan takut underwater camera itu diambil dan kami perlu menunggu lagi, maka anak saya memegang kamera itu tak lepas-lepas. Selagi berjalan di dasar laut tidak selesai dia tidak mahu memulangkan kamera itu. 

Kami kemudiannya di bawah ke tengah laut dengan menaiki bot. Di situ ada pelantar menunggu. Kamipun menunggu giliran. Ramai pelancong dari China dan Jepun berada di situ. Sambil menunggu kami diberitahu cara-cara untuk bernafas dan mengikut arahan-arahan menggunakan bahasa isyarat.

Setelah tiba giliran kami kamipun dipakaikan dengan topi aquanaut dan terjun ke dalam air dan berjalan di dalamnya. Mula-mula saya merasa takut, tetapi lama kelamaan rasa berani dan seronok. Di dasar laut kami dapat menyentuh ikan dan rumpai air yang berwarna-warni serta lembut. Kami juga memberi makan ikan dan ikan-ikan itu betul-betul berenang di keliling kami. Pengalaman ini amat menyeronokkan kami. Anak-anak lelaki saya tidak mahu naik ke atas walaupun disuruh. Jadi mereka telah menghabiskan masa yang lebih lama daripada yang sepatutnya. He he he...


Penulis berjalan di dasar laut dan berenang gembira bersama-sama ikan

Anak-anak penulis berjalan-jalan di dasar laut dan cuba memegang ikan yang berenang

Penulis dan keluarga di dasar laut

Sesekali ingin juga berada di sekeliling ikan

Pengalaman luarbiasa penulis memegang tumbuh-tumbuhan di dasar laut bersama keluarga

Rumpai laut yang kami pegang di dasar laut dan Clownfish

Bagaimana dengan gambar-gambar kami di dasar laut itu? Teruja tak? Jangan cemburu tau!

Pengalaman yang indah dan penuh makna! Selesai berjalan di dalam air laut tanpa graviti, kami pun disuruh naik ke atas. Setelah itu kamipun dihantar pulang ke pantai.


Parasailing


Selepas itu ahli keluarga yang lelaki mengambil peluang untuk parasailing. Saya tak berani hendak parasailing memikirkan saya sudah otai. Jadi saya biarkan yang muda-muda saja yang melakukan aktiviti lasak ini. Pada mulanya kami diberitahu angin sudah berhenti dan mereka hendak tukarkan kepada permainan lain. Sekali lagi kami cuba diciluk. Kami protes dan mempertahankan hak kami. Lama kelamaan mereka membenarkan kami parasailing tetapi perlu ke pantai yang lain. Kamipun berpindah ke pantai yang lain dengan menaiki van. Pantai itu tidaklah jauh sangat, sebelah je...Nampak sangat mereka  tak jujur dalam perniagaan.


Yang lelakipun memakai vest keselamatan dan diikat pada payung terjun (parachute). Lalu terbang ke udara. Lihatlah aksi-aksi mereka.




Terbang tinggi di angkasa

Dah nak terbang turun


Alamak dah nak sampai...tak puaslah


Sabung Ayam Masih Diamalkan


Ketika pulang dari pantai selepas parasailing, saya melihat ada sebuah bangunan dihiasi dengan daun kelapa dan terdapat beberapa orang lelaki berpakaian tradisional memasuki bangunan itu. Beberapa orang wanita datang menatang sajian makanan dan hidangan di dalam dulang. Melihatkan itu saya ke bangunan itu untuk melihat apa yang berlaku. Perayaan apakah ini?

Membawa sajian ke gelanggang sabung ayam

Rupa-rupanya mereka sedang bersiap-siap untuk sabung ayam. Saya hanya melihat sebentar dan berlalu dari situ.

Menurut Putu, "Sabung ayam ini diadakan pada sebelah petang. Sebelum ini ia diadakan setiap hari. Tetapi setelah pemerintah mengatakan ia adalah judi makan aktiviti ini dikurangkan kepada dua kali seminggu."

"Berapa lama perlawan sabung ayam ini?" tanya saya.

"Sekejap saja. 5 minit selesai. Kerana ayam sabung itu diletakkan pisau di kakinya dan pisau itu disapu racun. Ayam yang terkena pisau beracun itu akan mati," jelas Putu.

"Habis ayam yang mati itu dibuat apa?" tanya saya lagi.

"Ia dibuang kerana tidak boleh dimakan lagi kerana beracun," jelas Putu lagi.


Islam mengharamkan judi dan sabung ayam. Ibnu Abbas r.a meriwayatkan yang bermaksud:

"Rasulullah sallahu alaihi wassallam melarang melaga-lagakan binatang-binatang." (Hadis riwayat Tarmizi dan Abu Daud)
Sabung ayam itu kejam kerana ia menyiksa binatang. Antara bentuk-bentuk penyiksaan terhadap binatang ialah memisahkan anak burung daripada ibunya sebagaimana Abdullah Ibn Masud r.a meriwayatkan yang bermaksud:

"Adalah kami (ayahanda Abdullah) bersama-sama Rasulullah sallahu alaihi wassallam dalam satu perjalanan, lalu Rasulullah sallahu alaihi wassallam berangkat kerana suatu keperluan Baginda, maka kami melihat hummarah (sejenis burung), bersama dua ekor anaknya, kami pun mengambil dua ekor anak burung itu, maka datanglah hummarah itu mengebas-ngebas kepaknya. Lalu Rasulullah sallahu alaihi wassallampun datang dengan bersabda, "Siapa yang menyakiti (menyusahkan) ibu burung ini (memisahkan) daripada anak-anaknya? Kembalikan semula anak burung ini kepada ibunya." (Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad).

Menunggu sabung ayam bermula


Senja di Teluk Jambaran


Setelah itu kami ke Teluk Jambaran untuk menyaksikan matahari terbenam.

Sampai di Jambaran kami ke Kampoeng Seafood iaitu sebuah restoren ikan bakar. Di situ kita boleh memilih ikan bawal, kerapu dan lobster segar dan terus dibakar. Kami memilih meja yang betul-betul di hadapan pantai. Ramai orang lepak-lepak dan santai-santai di tepi pantai. Kami lihat arak dihidangkan di situ. Terdapat pura iaitu tempat sesajen orang Hindu di merata-rata sudut restoren di situ. Melihatkan suasana yang mendukacitakan kami, kami berfikir dua kali. Kami duduk dan memesan minuman alpokat (avocado), sirsak (durian belanda) dan air kelapa sahaja sambil menunggu matahari berlabuh. Berkali-kali pelayan datang bertanyakan, "Ibu, ikan apa yang mau dibakar? Silakan pilih. Ada lobster. Ada cumi".

Tetapi kami memberitahu mereka bahawa kami mahu minum sahaja.



Minum dulu alpokat dan sirsak

Sambil minum dan mengudap, tengok matahari terbenam


Keindahan matahari terbenam ini sukar diungkapkan dengan perkataan. Jadi saya huraikan sahaja dengan gambarfoto.

Senja di pantai Teluk Jembaran

Langit kekuning-kuningan

Matahari hampir terbenam

Obladi oblada...la la la...

Matahari masuk beradu, orang pun mula meninggalkan pantai


Begitulah kami menghabiskan masa cuti kami di Bali.



Selasa, 18 Jun 2013

Bali Tanpa Candi (1): Makan-makan, Menonton Kecak, Membeli-belah

K ali ini saya ke Bali pada 9 Februari 2013 kerana cuti raya China. Ha ha ha lama dah tu tapi baru ni dapat update! Saya pergi bersama ahli keluarga. Bali bukanlah destinasi utama saya. Tetapi setelah direkemen oleh pelajar Indonesia saya yang Bali itu patut pergi saya pun menurut sahaja. Percutian ini diuruskan oleh pelajar saya Yan yang mempunyai anak murid yang bekerja di Bali. Semuanya ditaja oleh pelajar saya yang terdapat di serata Indonesia. Inilah keistimewaan menjadi pensyarah universiti.

Pada entri yang lalu kami ke Jogja. Ingat tak? Oleh kerana jadual lawatan disediakan oleh pelajar saya dan saya hanya goyang kaki dan tak perlu fikir-fikirkan, maka ia sebenarnya menjerat diri sendiri. Ada tempat-tempat yang kami tidak suka pergi pun termasuk dalam jadual. Kami dapati kami tidak selesa apabila kami dibawa ke candi/kuil. Saya amat menyesal selepas TERMELAWAT candi walaupun kami tak masuk ke dalam candinya. Saya istighfar banyak-banyak selepas itu. Cukuplah. Tak mahu lagi.

Jadi kembara ke Bali ini kami amat berhati-hati. Acara yang disediakan oleh pelajar saya ini saya semak betul-betul. Selidik, supaya tidak tersilap lagi. Kalau ada lawatan ke candi-candi kami minta dikeluarkan dari jadual. Sebelum ini saya tidak berterus-terang yang kami tidak suka melawat candi. Kebiasaannya di Bali candi/kuil Hindu adalah wisata yang digembar-gemburkan. Indah di mata orang lain tetapi tidak di mata kami. Kami sudah maklumkan bahawa kami tidak suka melawat tempat-tempat begitu. Setelah menjelaskan kefahaman Islam kami pada pelajar saya itu akhirnya jadual lawatan kami itu telah dirombak 90%. Jadi beginilah hasilnya kembara kami di Bali yang saya bahagikan  kepada 2 siri.

 

Makan Ayam Betutu Gilimanuk


Kami bertolak dari Surabaya untuk penerbangan ke Denpasar. Perjalanan memakan masa 45 minit. Sukma iaitu 'cucu murid' saya menaja percutian kami ini. Namun Sukma tidak dapat menemui kami ketika kami di Bali kerana dia sibuk bekerja ketika itu. Cuma berbual di telefon sahaja.

Di Bali kami disambut oleh Putu Andaya. Menurut Putu, keluarga Bali mempunyai empat orang anak. Yang sulung diberi nama Putu, yang kedua diberi nama Nyoman, yang ketiga dipanggil Made dan yang bongsu dipanggil Ketut.

Kami singgah makan tengahari dengan masakan tradisional Bali yang menurut Putu adalah halal. Beliau mencadangkan kami makan Ayam Betutu Gilimanuk. Ayam ini digoreng atau dipanggang dengan menggunakan rempah-ratus tertentu. Ia dimakan dengan Pelecing Kangkung, kacang dan sambal matah.

Papan tanda di hadapan restro

Inilah Ayam Bertutu Gilimanuk dimakan bersama nasi, sambal matah, kacang goreng dan pelecing kangkung. Sedap jugak!

Hotel Sanur Paradise


Taman di Hotel Sanur Paradise

Hijau dan teduh di Hotel Sanur Paradise

Taman Bali di hadapan cofee house Hotel Sanur Paradise

Hotel yang diberikan kepada kami ialah hotel Sanur Paradise. Kami diberi dua buah bilik untuk memuatkan kami sekeluarga. Hotel ini cantik dan besar.

Kamar di Hotel Sanur Paradise
Tandas dalam hotel Sanur Paradise


Rumah Orang Bali dan Pura


Laman hadapan sebuah rumah Bali yang menjual barangan perak di Celuk


Setelah check-in, kami keluar semula kerana kami hendak menonton persembahan tradisional Bali yang dipanggil Kecak. Ia bermula pada pukul 6.30 petang dan letaknya kira-kira 30 minit perjalanan iaitu di Batubulan.

Tetapi kami sampai agak awal dan bagi memenuhi waktu sebelum persembahan bermula, kami memasuki kedai-kedai yang menjual barangan perak yang terdapat di situ. Nama tempat itu ialah Celuk. Barang perak adalah kesenian di daerah Celuk.

Kedai-kedai itu sebenarnya adalah rumah-rumah tradisional orang Bali. Ia dibuat daripada batu dan atapnya genting. Terdapat taman di halaman dan juga taman di sisi rumah yang gerbangnya batu. Terdapat patung-patung berbentuk binatang di taman itu.


Rumah Bali yang menjual barangan perak di Celuk


Saya melihatkan di hadapan rumah-rumah orang di Bali terdapat pura iaitu tokong yang digunakan untuk meletakkan sajian makanan. Menurut Putu ia adalah hidangan sarapan pagi yang disajikan untuk roh para leluhur (nenek moyang). Setiap pagi orang Hindu di Bali meletakkan sajian ini dengan melakukan sedikit bacaan dan memohon kepada Dewa yang menjaga Pulau Bali untuk keselamatan semua orang di Bali. Ia dilakukan pada pukul 6 pagi. Apa yang dimasak dan dimakan pada pagi itu disajikan sedikit dan diletakkan di atas pura. Pada mata kasar ia kelihatan tidak diusik, tetapi mereka mempercayai ia dimakan oleh roh leluhur tanpa kelihatan. Pada pukul 12 tengahhari mereka melakukan meditasi di hadapan pura ini. Pada pukul 6 petang sekali lagi mereka melakukan meditasi.

Pura di hadapan rumah orang Bali dijadikan tempat untuk meletakkan sajian makanan kepada roh nenek moyang


Agama Hindu di Bali adalah berbeza dengan Hindu yang diamalkan di India. Mereka menyambut perayaan Galungan yang diadakan pada bulan April. Galungan adalah hari meraikan kemenangan di antara kebaikan dan kejahatan. Pada hari ini orang Bali berpakaian cantik, menghias rumah mereka dengan buluh dan menyajikan daging babi di kuil.

Kemudian mereka menyambut Hari Nyepi pada bulan March. Hari Nyepi ini adalah hari sunyi sepi. Di hari ini mereka berpuasa selama 24 jam, bermula pada pukul 6 pagi dan berbuka pada 6 pagi berikutnya.

Ketika berpuasa mereka tidak dibenarkan makan atau minum. Pada hari Nyepi ini, tidak ada sesiapa dibenarkan berada di luar rumah. Semuanya mesti duduk di dalam rumah. Sekiranya terdapat orang di luar mereka dikenakan denda bernilai 100 kg beras. Kemudian orang yang berpuasa itu mandi laut untuk melebur dosa. Hanya mereka yang berusia 15 tahun  ke atas baru dibolehkan berpuasa.


Menonton Kecak dan Tarian Api


Setelah melawat sekitar Celuk kamipun ke tempat persembahan Kecak itu. Kami membeli tiket dan mengambil gambar bersama seorang gadis Bali. Kemudian gambar itu diabadikan di atas pinggan sebagai kenang-kenangan.


Gadis Bali


Penonton sudah mula mengambil tempat duduk di hadapan pentas yang terbuka. Kebanyakan penonton adalah pelancong asing yang terdiri daripada orang Jepun dan mat salleh.

Tarian Kecak ini adalah tarian yang penuh magis dan nampak penuh msiteri. Ini disebabkan ia disulami dengan pemujaan Tok Dukun terhadap penjaga/penunggu pentas yang berada di alam paranormal. Persembahan dimulakan dengan Tok Dukun membaca mentera dan merenjis-renjis air ke atas pentas. Kemudian beduk diketuk dan api dinyalakan di tengah-tengah pentas.

Sekumpulan chorus berjumlah kira-kira 40 orang yang kesemuanya lelaki keluar ke pentas dengan melagukan muzik dengan hanya menggunakan mulut, pergerakan tangan dan kaki. Kadang-kadang chorus ini berdiri, berjalan, duduk dan berbaring.

Chorus dalam persembahan Kecak

Sita Devi menari di atas pentas

Tarian daripada penari wanita dilakukan di celah-celah chorus dan permainan teater pun dimulakan. Ia berkaitan dengan kisah Ramayana dan Sita Dewi yang  diculik dan diselamatkan. Jadi berlaku pertarungan. Watak-watak keluar ke tengah pentas dengan menggerakkan tangan dan kaki seperti menari.   Watak-watak disolekkan dan ada yang memakai topeng.

Persembahan ini bermula pada waktu senja sehingga berakhir waktu senja. Ia diakhiri dengan seorang lelaki yang dijampimenterakan oleh Pak Dukun sehingga tidak sedarkan diri (trans). Lelaki yang kemasukan makhluk halus itu kemudiannya menjadi kuat lalu memijak-mijak api yang terdapat di tengah-tengah pentas.

Saya merasa sedikit takut melihatkan watak-watak yang disolek menjadi watak jahat dan buruk serta suasana paranormal yang dilakukan oleh Pak Dukun dan pemain-pemainnya. Tambahan pula ketika itu waktu senja yang mana ketika ini syaitan-syaitan berkeliaran.

Kera Putih muncul di tengah-tengah pentas

Chorus mengelilingi api

Watak dalam keadaan menurun dan memijak-mijak api tanpa merasa sakit atau terbakar

Membeli-belah Ole-ole di Krisna


Setelah menonton kecak kami singgah membeli-belah di Krisna. Krisna ialah kedai menjual ole-ole Bali yang murah dan dibuka 24 jam. Ada magnet peti sejuk, rantai kunci, mug, beg, pakaian, hiasan rumah, batik dan macam-macam lagi. Di sini kami membeli kaos (t-shirt) dan beg.

Krisna buka 24 jam

T-shirt banyak terdapat di sini


Sarapan di Sanur Paradise, Di Mana Halalnya?

 

Taman di Hotel Sanur Paradise

Bilik penginapan kami di Sanur Paradise



Roti dan Kek untuk sarapan pagi di Sanur Paradise


Kami diberitahu Putu bahawa semua hotel di Bali menghidangkan makanan halal kerana ia bertaraf antarabangsa. Keesokan paginya kami turun ke coffe house hotel Sanur Paradise untuk bersarapan.

Sarapan diberi percuma dan banyak makanan dihidangkan. Kamipun melihat-lihat makanan yang dihidang di meja buffet dan melihat satu persatu makanan untuk membuat pilihan. Tetapi semasa memilih makanan kami dapati daging babi juga dihidangkan. Ada tulisan dan gambar babi dilabelkan pada makanan itu. Selera kami terus terbantut apabila melihat babi dihidang di situ. Terus hilang selera dan tidak lalu makan pagi itu. Jadi di mana halalnya? Kami rasa amat sedih. Akhirnya kami hanya makan buah-buahan sahaja.


Buah markisa yang kami makan semasa sarapan pagi di Sanur Paradise




Restro Rindu Rasa

 

Rindu Rasa ialah Restro Masakan Padang

Oleh kerana tidak mahu terperangkap dengan status halal-haram makanan di Bali, kami mengambil jalan selamat iaitu makan di restoren Minang yang halal iaitu restoren Rindu Rasa.

Oleh kerana masakan Padang lebih kurang sama dengan masakan Melayu kita dan telah saya masukkan banyak gambarnya dalam entri lepas-lepas, jadi kali ini saya tidaklah mengambil gambarnya. Cuma kali ini saya memilih minuman Es Teler untuk ditunjukkan di sini. Es Teler adalah minuman berais yang dikisar, dicampurkan dengan air kelapa, susu cair, nangka, tembikai, avocado, tapai ubi, cendul, buah nipah (kantor), sagu dan isi kelapa muda. Ia manis.

Es Teler



Ikuti Naramas Aman dalam siri kedua Bali Tanpa Candi akan datang. Ada banyak aktiviti santai dan lasak yang kami sekeluarga lakukan semasa di Bali. Kami berjalan di pantai, di bawah laut,  menyelam, naik bot dan parasailing.

...bersambung


Jumaat, 14 Jun 2013

Dua Hari di Yogyakarta: Kota Sejarah, Budaya dan Pelancongan

S etelah Surabya dan Bandung kami melebarkan sayap ke Yogyakarta pula. Perjalanan kami di Pulau Jawa ini adalah satu pengalaman menimba ilmu. Ini adalah pertama kali kami sekeluarga berpeluang menjejakkan kaki di Yogya.

Yogyakarta menurut beberapa sumber adalah nama dalam bahasa Sanskrit yang diambil dari nama kota dalam epik Ramayana iaitu Ayodhya manakala 'kerta' bermaksud makmur. Dalam sebutan harian, Yogyakarta disebut Jogja. Banyak sejarah terdapat di Jogja dan ia terpamer melalui bangunan dan sosio budaya masyarakatnya. 

Terdapat banyak pusat seni dan budaya di Jogja. Garin Nugroho iaitu sutradara filem terkenal Indonesia berasal dari Jogjakarta. Antara filem beliau yang saya minati ialah Daun Di Atas Bantal, Rindu Kami Padamu dan Cinta Dalam Sepotong Roti.

Jogja juga adalah kota Pariwisata iaitu ia adalah pusat pelancongan utama Indonesia selepas Bali.

Peta lukis batik



Jangan marah kalau saya katakan bahawa ekskursi kami sekeluarga di Yogyakarta ini adalah GRATIS! Percuma lagi! He he he. Seronok, kan? Mengapa gratis memanjang ni? Ini kerana saya mempunyai pelajar dari Pulau Jawa yang dahulunya belajar di Malaysia, tetapi kini sudah bekerja di Indonesia. Demi meraikan kehadiran saya dan keluarga  saya yang pertama kali menjejakkan kaki di bumi Jawa ini mereka telah membuat jadual lawatan yang menarik untuk kami. Semuanya mereka sediakan. Kami tidak perlu fikir-fikirkan. Oleh kerana mereka sibuk bekerja dan tidak dapat bercuti untuk menemani kami, mereka sediakan pemandu wisatanya sekali. Tengok betapa bagusnya budi pekerti orang Jawa ini, mereka tidak lupa mengenang guru mereka.


Lion Air yang kami naiki dari Bandung ke Yogyakarta



Untuk ke kota bernuansa sejarah, budaya dan wisata ini kami menaiki Lion Air dari Bandung ke Surabaya. Lion Air inipun mereka dah siap tempah dan bayarkan tambangnya sekali. Kalau kami tempah sendiri dari Malaysia agar sukar. Terma dan syaratnya agak memeningkan kepala juga. Kami berangkat pada pukul 14.30 dan sampai 15.30. Dari atas kapalterbang kami sudah dapat melihat tapak-tapak candi di sekitar kawasan kami mendarat itu yang telah dibina beratus-ratus tahun dahulu. 



Sampai di Jogja

Iklan cokolat buatan Jogja yang terdapat di lapangan terbang


Menanti bagasi


Mas Totok sambut kami di lapangan terbang. Mas Totok menyangka kami tidak sampai kerana kami keluar dari lapangan terbang itu agak lewat. Ini disebabkan kami menunggu beg kami sampai dan kemudiannya solat di musala di situ.



Mas Totok menceritakan banyak tentang sejarah Yogyakarta, penglestarian bahasa Sanskrit dan hubungan di antara orang Malaysia dan Jawa. Mas Totok banyak menggunakan bahasa Melayu apabila berbual dengan kami kerana beliau sering ke Malaysia. Banyak ilmu yang kami dapat dari Mas Totok. Lagi satu ilmu yang kami dapat daripada Mas Totok ialah beberapa petua memasak. Rupa-rupanya Mas Totok ini pandai memasak! Kepandaian memasak beliau diketahui dalam kalangan orang yang rapat dengannya sehinggalah beliau pernah diundang memasak kenduri kahwin di Johor, Malaysia. Kagum!


Mas Totok mahir tentang sejarah Jojgjakarta dan juga pandai memasak





Jamu Selera di Yogya


Semasa di Yogjakarta kami makan malam dan tengahari di dua buah restoren iaitu:


a) Resto Sekar Kedhaton



Sekar Kedathon adalah restoren yang cukup eksklusif dan bernuansa sejarah. Ia mempunyai ciri-ciri senibina kraton dan pengaruh penjajahan Belanda. Letaknya di Jalan Tegalgendu No 28, Kotagede, Yogyakarata. Menikmati makan malam di sini membuat saya rasa seperti 'mem' pula kerana dilayan oleh pelayan yang sopan dengan lampu-lampu yang malap dan duduk di kerusi antik. Menu yang popular di sini ialah Mie Jawa. Tetapi Mie Jawanya tidak sama dengan Mie Jawa di Malaysia, ya.



Dewan makan Sekar Kedhaton


Kangkong goreng belacan


Mie Jawa





b) Rumah Makan Duta Minang


Di Duta Minang sudah tentulah masakan Padang dihidangkan. Ia sesuai dengan selera kami. Ini disebabkan masakan Minang ini banyak persamaan dengan masakan tradisional Perak. Lagipun jiran kami di Perak ialah orang Minang, jadi sejak kecil tekak kami sudah biasa makan makanan tradisional Minang.



Rendang ayam, rendang sapi, terong masak berlado, gulai lemak sotong, ikan berlado, kangkong goreng dihidang dengan banyak di Rumah Makan masakan Padang  ini. Tapi kami sudah pesan awal-awal pada Mas Totok jangan dihidangkan banyak-banyak. Tak larat hendak memakan semuanya. Di hari-hari biasa kami makan nasi dengan dua jenis lauk sahaja sama ada ikan atau daging dan sayur. Kami rasa sedih dan membazir sahaja kalau makanan yang dihidang terlalu banyak. Tetapi inilah kebiasaan yang dilakukan oleh semua Rumah Makan Minang/Padang di serata Indonesia. Penuh makanan satu meja, sedangkan bilangan orang yang memakannya cuma dua tiga orang sahaja.


Hidangan mewah Duta Minang


Alamat Duta Minang




Menginap di Hotel Santika


Selama dua hari di Jogja kami menginap di Hotel Santika di Jalan Jendral Sudirman No. 19. Hotel ini amat selesa dan cantik. Pada waktu pagi kami dapat menyaksikan matahari terbit dari jendela bilik tidur. Sarapan pagi di Hotel Santika amat unik kerana ia menyediakan masakan tradisional Jogja dan dihidangkan pula dengan cara tradisional. 



Hotel Santika


Hotel Santika menyajikan hidangan asli Jogjakarta

Matahari terbit kelihatan dari jendela bilik di Hotel Santika





Candi-candi Warisan


Terdapat banyak candi di Jogjakarta. Ada yang sudah runtuh dan sedang dibaikpulih untuk dijadikan tarikan pelancongan. Antara candi yang terkenal dan mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Warisan Dunia ialah Prambanan dan Borobudur.


a) Prambanan



Prambanan adalah candi Hindu tetapi sekarang ia tidak digunakan lagi. Ia telah beberapa kali rosak dan dibaikpulih. Ini disebabkan oleh gempa bumi yang sering melanda di Jogja. Tetapi kami tidaklah masuk ke dalam candi itu, hanya melihat dari luar. Sebenarnya kami sekeluarga tidak suka melawat tempat-tempat begini. Setiap kali kami melihat tempat ibadat orang kafir, kami lihat suasana di situ gelap dan suram. Ia membuatkan perasaan kami gelisah dan hendak cepat-cepat sahaja beredar dari situ. Mas Totok juga tidak menggalakkan kami masuk kerana sebagai orang Islam kita tidak seharusnya berbuat demikian. Kami amat memuji sikap Mas Totok ini yang walaupun bekerja sebagai pemandu pelancong yang membawa pelancong ke candi beliau memegang teguh ajaran Islam dan memahami batas-batas seseorang Muslim.



Saidina Umar bin Al-Khattab r.a berkata dalam sanad yang sahih:

"Janganlah kalian memasuki tempat ibadat orang kafir semasa perayaan mereka, kerana kemarahan Allah akan turun kepada mereka ketika itu."




Runtuhan candi Prambanan. Walaupun ada sebahagian candi ini rosak dan runtuh serta tidak digunakan namun pada hari-hari tertentu ada orang Hindu datang ke situ untuk meraikan acara keagamaan.

Jiwa kami menjadi keruh, muram dan resah-gelisah melihat kuil lalu segera meninggalkan tempat ini





Kedai ole-ole Jogjakarta di kawasan Wisata Candi Prambanan. Tetapi hati-hati banyak pakaian dan fridge magnet di sini mempunyai gambar candi yang tidak boleh dipakai/diguna oleh orang Islam.




b) Borobudur




Borobudur adalah candi Hindu/Buddha yang telah ditinggalkan. Ia tidak lagi digunakan sebagai kuil untuk acara keagamaan Hindu/Buddha tetapi dijadikan warisan untuk diketahui oleh generasi hari ini dan akan datang bahawa agama Hindu/Buddha pernah bertapak di Pulau Jawa ini.



Terdapat terlalu banyak candi-candi yang berbentuk loceng di sini. Ini membuat saya lebih mengerti bahawa Islam amat melarang kita menyimpan loceng di rumah kerana ia adalah alat ibadat orang kafir.

Candi/kuil (dan gereja) ialah salah satu tempat penyekutuan Allah, tempat menyebarkan perkara-perkara syirik dan di dalamnya terdapat loceng sehingga merupakan tempat yang paling jauh daripada keredhaan Allah serta yang paling dijauhi malaikat, sementara syaitan datang menghiasinya.

Abu Huraiah r.a mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Loceng itu adalah seruling syaitan." (Hadis sahih ditakhrijkan oleh Ahmad, Muslim dan Abu Daud) 

Abu Hurairah r.a. mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: 
"Malaikat tidak akan menemani sekelompok manusia di tempat yang di dalamnya terdapat anjing atau loceng." (Hadis sahih ditakhrijkan oleh Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi)

Ummu Salamah mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:


"Malaikat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya terdapat loceng. Malaikatpun tidak akan mendampingi orang yang di tengah-tengahnya terdapat loceng." (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasai)


Di atas bukit terdapat satu bangunan berbentuk loceng yang digunakan untuk pengikut Hindu/Buddha mengelilinginya kerana percaya bahawa ia membawa mereka ke nirvana. Mereka mengeliling bangunan loceng itu mengikut arah jam. "Kita orang Islam jangan mengelilingi bangunan itu ikut arah jam. Begitu juga janganlah kita tawaf," kata pemandu wisata kami yang menggantikan Mas Totok. Kata-katanya itu mencerminkan dia mempunyai pengetahuan Islam yang baik.



Kami hanya melihat candi ini dari luar dan tidak masuk ke dalam bangunannya. Menyedari bahawa melawat candi adalah makruh, dan ia menjadi haram sekiranya ada upacara keagamaan diadakan, kami hanya melihatnya untuk mengetahui senibina purba serta sekadar untuk mengetahui sejarah agama yang pernah bertapak dan berpengaruh di nusantara.


Karya sutradara Garin Nugroho




Tugu Yogyakarta


Tugu Yogyakarta adalah mercu tanda kota Yogyakarta. Ketika kami melalui tugu ini yang letaknya di tengah-tengah bulatan jalan (round-about) ia sedang dibaikpulih.


Tugu Jogja yang sedang direnovasi



Malioboro

 
Malioboro ialah jalan perniagaan yang popular di Jogja. Terdapat banyak kedai-kedai dan pengangkutan awam di sini seperti kereta kuda, beca, bas dan teksi. Oleh kerana kami kesuntukan masa, kami tidaklah singgah di kedai-kedai ini tetapi lalu sahaja.


Kereta kuda di Malioboro
Banyak beca di pinggir jalan





Kilang Batik Rara Djonggrang




Siapa yang tidak mengenali batik. Seni kerajinan tangan ini mudah didapati sekiranya kita berada di Yogyakarta. Ia satu hasil seni yang amat dibanggakan di Indonesia. Tahukah anda bagaimana batik ini dibuat?



Menyaksikan batik dilukis, dicetak, dicanting dan dicelupkan adalah satu pengalaman yang menarik buat kami sekeluarga. Kami dapat saksikan ia di kilang Batik Rara Djonggrang yang terletak di Tirtodipuran No 18.



Terdapat banyak motif batik dipamerkan sebagai pilihan. Terdapat pelbagai nama bagi setiap motif itu seperti Kesumo, Truntum Gurdo, Ceplok Kawung, Delimo Drajad, Pisang Bali, Buntal Melati, Kopi Pecah dan macam-macam lagi. Kebanyakannya bermotifkan alam semulajadi seperti bunga-bungaan, buah-buahan, pohon-pohon dan binatang. Kesemuanya mempunyai makna yang tersendiri. Misalnya Truntum Gurdo adalah motif batik klasik yang mempunyai ciri-ciri burung garuda iaitu sayap, ekor dan kepala. Ia adalah lambang kegagahan. 




Bahan-bahan semulajadi dari alam adalah kandungan utama untuk membuat celup dan ini dipamerkan di kilang ini. Kami berpeluang melihat motif batik ini dilakarkan, dicap dan dicanting. Kemudian ia dicelup, dibasuh dan dijemur.




Batik-batik yang sudah siap dijual di bahagian jualan. Kami hanya membeli sehelai dua kain batik untuk dibawa pulang. Istimewanya batik ini ialah ia dilukis/dibuat dengan tangan, motifnya amat unik, warna celupnya tidak luntur dan kainnya halus serta lembut.


Dilukis


Dicap

Dicanting



Dicelup


Disusun diseragam



Dipamer, dijual






Dihias


Begitulah pengalaman menarik kami di Jogja.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...