Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Jumaat, 26 Julai 2013

Mekah Setelah Tiga Tahun

M ekah ialah destinasi yang paling saya suka. Inilah tempat yang 'sekali pergi, hendak pergi lagi.' Di sinilah Kaabah dibina. Tempat tumpuan umat Islam sedunia. Terasa amat kuat panggilan Kaabah itu mengamit-gamit saya.

Saya telah mengunjungi Tanah Suci ini sebanyak tiga kali. Kali pertama pada Jun 2010 untuk mengerjakan umrah. Kali kedua pada November-Disember 2010 untuk mengerjakan haji. Kali ketiga pada Jun 2013 untuk mengerjakan umrah sekali lagi.










Kelebihan Ibadah Haji dan Umrah


Ibadah Haji dan umrah adalah wajib sekali seumur hidup bagi setiap orang Islam yang mampu sebagaimana firman Allah SWT:

"Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah..." ( Al-Baqarah: 196)

Dari Umar RA Rasulullah SAW bersabda:

"Tidak ada seorangpun kecuali diwajibkan atasnya satu kali haji dan umrah." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Walaupun haji dan umrah adalah wajib sekali dalam seumur hidup bagi orang Islam yang mampu, namun kita boleh berulang kali melakukannya. Umar RA meriwayatkan bahawa Rasululllah SAW telah bersabda yang bermaksud:

"Perturutkanlah di antara haji dan umrah, sebab sesungguhnya berturut-turutnya antara kedua-duanya akan menghilangkan kefakiran dan dosa-dosa, ibarat kir (nyalaan api tukang besi) yang menghilangkan kotoran besi." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

"Satu ibadah umrah sehingga sampai umrah lainnya adalah sebagai pelebur dosa di antara kedua-duanya. Sedangkan haji yang mabrur tidak mempunyai balasan kecuali syurga." (Hadis riwayat Al-Bukhari)


Mekah Dulu (2010) dan Sekarang (2013)


Setiap perjalanan itu mempunyai rencah-rencahnya yang tersendiri. Walaupun ke destinasi yang sama iaitu Mekah Al-Mukaramah, namun setiap kunjungan adalah berbeza. Di sini saya ingin kongsikan perbezaannya.

 

1. Cara Pergi yang Berbeza


"Guna pakej apa?" Inilah soalan yang sering diajukan kepada saya apabila kenalan saya mendapat tahu saya ke Mekah. Ini disebabkan lazimnya orang ke Mekah menggunakan pakej umrah atau pakej haji yang disediakan oleh ejen.

"Saya tidak menggunakan mana-mana pakej. Saya backpack ke Mekah!" beritahu saya pada mereka.

Rasa macam tak percaya, bukan? Sebenarnya itulah perjalanan unik yang pernah saya lalui. Saya ke Mekah melalui Thailand bersama kawan saya Liza. Kami memandu kereta dari Pulau Pinang ke Hadyai. Kemudian ke Bangkok. Menginap semalam di Bangkok, kemudian menaiki Qatar Airline ke Qatar dan kemudiannya ke Jeddah. Dari Jeddah kami memandu kereta ke Madinah. Setelah itu kami memandu pula ke Mekah. InsyaAllah saya akan buat satu entri khas tentang saya backpack ke Mekah dan Madinah ini.

Kunjungan kali kedua adalah untuk mengerjakan haji. Kali ini saya menggunakan pakej swasta. Saya terbang menggunkan MAS dari Pulau Pinang dan terus ke Jeddah. Di dalam kapalterbang saya amat tertarik melihat pramugarinya memakai hijab. Sangat cantik pemakaian pramugari MAS begini. Alangkah bagusnya kalau mereka terus memakai hijab untuk destinasi lain di dunia ini. Mengapakah MAS tidak menetapkan peraturan pemakaian berhijab kepada pramugari Islam? Saya tidak faham mengapa ia hanya diwajibkan kepada pramugari yang bertugas di dalam kapalterbang yang membawa jemaah haji sahaja tetapi tidak yang lain.

Kunjungan kali ketiga adalah untuk mengerjakan umrah. Kali ini saya pergi bersama kawan saya Salwa dan keluarga. Kami menaiki kapalterbang Saudi Airline dari KLIA dan terus ke Jeddah.


Pintu #1 Masjidil Haram selepas solat isyak


Pintu #1 Masjidil Haram selepas solat subuh





Nota: Oleh kerana kawalan dan pemeriksaan ketat kepada jemaah wanita, kamera dilarang dibawa masuk ke dalam Masjidil Haram. Sekiranya polis wanita yang bertugas ketika itu mendapati kita membawa kamera, kamera kita akan dirampas. Ada juga gambar-gambar di dalam kamera yang ditemui itu dipadamkan. Saya pernah melihat polis itu sedang memadamkan gambar-gambar dalam kamera seorang wanita di pintu masuk masjid. Saya juga sudah beberapa kali ditegur oleh pekerja-pekerja di dalam Masjidil Haram supaya jangan mengambil gambar. Oleh kerana masalah ini saya menggambil gambar dengan menggunakan telefon bimbit dan kamera digital jenis compact. Jadi kualiti gambar dalam entri saya tentang Mekah adalah kurang memuaskan.


2. Pembangunan Kota Mekah yang Berbeza


Pada kunjungan yang pertama, saya dapati kota Mekah terlalu berdebu kerana banyak bangunan sedang diruntuhkan. Ia diruntuhkan kerana Kerajaan Arab Saudi ingin menjadikan kota Mekah bandar yang modern dan selesa kepada jemaah haji dan umrah. Namun pada kunjungan saya yang ketiga, saya dapati hotel-hotel, kedai-kedai dan rumah-rumah tradisional Arab yang dahulunya saya kunjungi kini sudah diruntuhkan. Antara yang saya ingin sentuh di sini ialah:

a) Masjid Kucing Hanya Tinggal Kenangan

Masjid Kucing amat terkenal di kalangan jemaah dari Malaysia. Dalam kalangan penduduk Mekah ia terkenal dengan Masjid Abu Hurairah. Abu Hurairah adalah gelaran yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat baginda Abdurrahman bin Shakhr Al-Azdi. Nabi Muhammad SAW menggelar sahabatnya itu Abu Hurairah yang bermaksud "Bapa Kucing" kerana Abu Hurairah RA amat menyukai kucing. Rasulullah menganggap kucing bukanlah najis dan menyukainya. Dari Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda tentang kucing:

"Sesungguhnya [kucing itu] tidaklah najis karena ia termasuk yang berkeliling di antara kamu." (Hadis riwayat  An-Nasa’i dan Abu Daud)

Kucing di dalam Masjidil Haram. Kucing ini saya ambil gambarnya (dengan telefon bimbit) ketika sedang berikhtikaf di Masjidil Haram pada waktu zohor.


Pada kunjungan 2010, saya sempat solat di Masjid Kucing. Jaraknya dari Masjidil Haram tidaklah jauh, kira-kira 10-15 minit berjalan kaki.  Saya sempat mengambil gambar berdekatan dengan masjid itu. Ketika itu saya tidak tahu yang Masjid ini akan diruntuhkan. Maklumlah amat sukar saya mendengar sebarang masjid diruntuhkan lebih-lebih lagi di Kota Mekah yang suci. Tetapi sayang seribu kali sayang, pada kunjungan terbaru saya pada bulan lepas, saya mendapati masjid itu sudah diruntuhkan. Kini masjid itu cuma tinggal kenang-kenangan.

Penulis sempat bergambar dan solat di Masjid Kucing pada Jun 2010. Pada kujungan penulis pada Jun 2013 masjid ini sudah tiada lagi. Ia sudah runtuh dan kini hanya tinggal kenangan




b) Restoren FELDA yang Sudah Tiada.

Saya suka makan di pusat membeli-belah yang terdapat di hadapan Masjidil Haram. Antaranya ialah D'Saji iaitu medan selera milik FELDA. D'Saji menyediakan masakan Malaysia seperti nasi lemak, kari ayam, nasi goreng dan mee goreng. Walau bagaimanapun ketika saya ke sana pada bulan lepas, saya tidak berjumpa dengan medan selera FELDA itu lagi. Saya mendapat tahu bahawa ia tidak lagi beroperasi.


Pada 2010 penulis sempat makan di medan selera makanan Malaysia milik Felda ini

Pada 2013 restoren milik Felda sudah tiada lagi dan diganti dengan medan selera yang lain


c) Tapak Rumah Kelahiran Nabi Muhammad SAW yang Sudah Dijaga Rapi

Tapak rumah kelahiran Nabi Muhammad SAW letaknya berdekatan dengan Masjidil Haram, tidak berjauhan dengan Marwa. Pertama kali saya mengunjunginya saya dapati tapak rumah itu dijadikan perpustakaan. Menurut beberapa sumber, ia dijadikan perpustakaan kerana ingin mengelakkan bidaah atau kepercayaan khurafat di kalangan pengunjung. Tambahan pula tidak ada dalil sahih yang mengatakan bahawa ini ialah tapak rumah kelahiran Nabi Muhammad SAW. Di dinding rumah ini diconteng dengan pelbagai tulisan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Orang juga terlalu ramai mengunjunginya sehingga menimbulkan kesesakan.

Dalam memberi wajah baru kepada Mekah, ramai yang menyangka rumah kelahiran Rasulullah SAW ini akan dirobohkan. Tetapi semasa saya ke sana pada bulan lepas, saya mendapati ia masih kukuh berdiri. Rumah kelahiran Nabi SAW ini tidak lagi diconteng dan ia dikawal dengan rapi. Peringatan dan larangan kepada pengunjung dicatatkan pada sebuah papantanda. Ini disebabkan oleh amalan khurafat dan kesalahan yang dilakukan oleh sesetengah pengunjung rumah kelahiran Nabi SAW ini.

Penulis bergambar di hadapan tapak rumah kelahiran Nabi Muhammad SAW pada Jun 2010. Perhatikan ramai pengunjung dan dinding rumah ini diconteng


Tapak rumah kelahiran Nabi Muhammad SAW semasa kunjungan penulis pada Jun 2013 yang sudah dijaga rapi dan tiada lagi contengan pada dinding.


d) Menara Hotel Jam Diraja Mekah (Abraj Al-Bait)

Menara Hotel Jam Diraja Mekah atau juga dikenali dengan Abraj Al-Bait adalah menara jam tertinggi di dunia. Ia mengalahkan Menara Jam Palace of Culture and Science di Warsaw Poland, Menara Jam The Big Ben London dan Menara Jam Ann-Bradly, Milwaukee Amerika Syarikat.

Semasa kunjungan saya pada 2010 Menara Jam ini masih dalam pembinaan. Ketika berjalan-jalan di kota Mekah saya ada mengambil gambar berlatarbelakangkan Menara Jam yang sedang dibina ini. Ketika itu saya tidak tahu bahawa ia akan menjadi Menara Jam tertinggi di dunia.

Ketika saya ke Mekah pada Jun 2013 baru-baru ini Menara Jam itu sudah siap dan kelihatan cantik, tinggi dan hebat. Semasa melakukan tawaf saya dapat melihat jam ini dengan jelas kerana ketinggiannya.

Menara ini dibina dengan kos 800 juta dollar Amerika dan diusahakan oleh Saudi BinLadin Group.  BinLadin Group adalah kontraktor binaan yang bertanggungjawab dalam kebanyakan kerja-kerja renovasi kota Mekah sekarang ini.

Melalui bacaan saya mendapati jurutera yang merekacipta binaan Menara Jam ini adalah orang Malaysia iaitu Wan Nazri Wan Aria yang bekerja dengan sebuah syarikat Jerman. Menara ini juga mendapat kerjasama syarikat dari Dubai yang juruteranya juga terdiri daripada 14 orang rakyat Malaysia.


Gambar Kiri: Menara Jam yang sedang dibina diambil dari jarak jauh, kelihatan penulis sedang berjalan. Gambar kanan: Menara Jam yang sedang dibina diambil dari tingkap apartment penulis, kelihatan di atas bukit adalah rumah tradisional Arab yang akan diruntuhkan

Pada 2010 jam besar ini sedang dalam pembinaan tetapi pada 2013 ia sudah siap dibina



3. Mataf (Kawasan Tawaf) Semakin Sempit.


Masjidil Haram akan berwajah baru. Pelan perancangan Masjidil Haram ini akan menjadikan Kaabah kelihatan dari semua arah. Bagi merealisasikan ini, pengubahsuaian ruang di dalam Masjdil Haram dan sekitar mataf (kawasan tawaf) dilakukan. Ia dijangka siap dalam masa tiga tahun lagi. Keluasan mataf kini menjadi sempit kerana beberapa kawasan dikepong untuk kerja-kerja pembinaan.

Sebelum ini, semasa musim haji, saya pernah tawaf di bahagian tingkat satu Masjidil Haram. Mataf di tingkat atas ini kelihatan seperti sebuah lorong yang mengelilingi Kaabah.  Pada kunjungan saya ke Mekah pada bulan lalu saya dapati lorong tawaf di tingkat satu ini sudah tidak digunakan untuk tawaf kerana sebahagian daripada lingkaran lorong ini ditutup untuk kerja-kerja renovasi. Disebabkan ini jemaah hanya dapat melakukan tawaf di bawah iaitu berdekatan dengan Kaabah. Maka keluasan untuk tawaf di bahagian bawah semakin sempit bagi menampung jumlah jemaah yang ramai.


Pada tahun 2010 lampu hijau sebagai penanda permulaan tawaf di letakkan pada dinding asal Masjidil Haram yang berhadapan dengan Hajarul Aswad. Pada tahun 2013, lampu hijau itu diletakkan pada dinding yang dilukis kerana bahagian ini sedang direnovasi

Pada 2010 sekitar Masjidil Haram belum lagi direnovasi. Pada 2013 sekitar Masjidil Haram sedang direnovasi dan kelihatan crane dan jentera pembinaan yang memenuhinya.


Mataf di bahagian bawah sesak dengan jemaah

Mataf di tingkat atas Masjidil Haram yang dahulunya boleh digunakan untuk tawaf  kini tidak boleh digunakan untuk tawaf kerana sebahagian daripadanya ditutup untuk kerja-kerja renovasi. Mataf di tingkat atas ini kini digunakan untuk solat, berdoa, membaca Quran dan melihat Kaabah.



4. Kawasan Saie yang Lebih Indah


Kawasan saie iaitu di antara Safa dan Marwa tidak banyak berbeza. Cuma lampu hijau kelihatan lebih cantik dan kemas berbanding dengan dahulu. Manakala di bukit Safa kita tidak lagi dapat melihat Kaabah dari situ kerana ia telah dihadang oleh dinding.

 
Kawasan saie menggunakan lampu hijau jenis kalimantang  pada Jun 2010

awasan saie diperindahan dengan rekabentuk lampu hijau, kipas dan hiasan siling yang lebih menarik


Di sinilah permulaan saie. Gambar di sebelah kanan: Jemaah sedang menghadap Kaabah sebelum memulakan saie. Kaabah  tidak kelihatan kerana dihadang oleh dinding.



Sama-samalah Kita Fikirkan


Pekerja membaiki bahagian dalam Masjidil Haram

Begitulah pesatnya pembangunan di Mekah. Dalam masa tiga tahun begitu banyak perubahan yang dilakukan oleh Kerajaaan Arab Saudi. Pembangunan Mekah ke wajah baru dan modern ini mendapat tentangan daripada sesetengah pihak namun ia tetap diteruskan. Antara kritikan terhadap kerjaan Arab Saudi ini adalah mereka tidak melestarikan sejarah Mekah. Ironinya bangunan sejarah Islam diruntuhkan tetapi premis komersial yang berasal dari Amerika Syarikat seperti KFC, Starbucks dan McDonalds didirikan.

Kerajaan Arab Saudi meruntuhkan bangunan bersejarah kerana ia mempunyai unsur-unsur bidaah.

KFC di hadapan Masjidil Haram



Namun kesan permodenan Mekah ini menjadikan perbelanjaan untuk ke Mekah meningkat naik. Hotel-hotel yang mampu disewa oleh kebanyakan jemaah kita letaknya agak jauh dari Masjidil Haram - sekurang-kurangnya 1 km. Harga tanah dan bangunan di kota Mekah adalah yang termahal di dunia.

Kuota untuk mendapatkan visa mengerjakan umrah dan haji juga dikurangkan sehinggalah renovasi kota Mekah siap. Peraturan ketat dikenakan kepada pemohon visa umrah baru-baru ini. Ramai orang Malaysia memprotes peraturan ini. Oleh kerana ini permohonan jemaah Malaysia banyak yang ditolak.

Walaupun bukannya mudah untuk dijemput menjadi tetamu di Tanah Suci ini, penulis yang penuh dosa ini amat bersyukur kerana pernah berada di sini. Kepada-Nyalah saya pasrahkan doa dan harapan semoga dijemput lagi.


Tetamu yang penuh dosa

Isnin, 15 Julai 2013

Mencandat Sotong di Seberang Takir

 
D ua minggu yang lalu...

 


"Jom mencandat sotong!" ajak Salwa.


"Mencandat?" saya mengerutkan dahi kerana pertama kali mendengar perkataan itu.


"Kat Terengganu. Jumaat pergi, Ahad balik."



Ajakan Salwa itu pada mulanya tidak memancing minat saya sangat. Ini disebabkan saya ini orang yang mudah mabuk laut. Saya pernah mabuk semasa menaiki kapal dari Penang ke Medan. Naik bukit pun mabuk. Dua kali ke Cameron Highland, dua kali saya mabuk! SERIK! Macam mana ni? Keinginan untuk mencandat sotong membuak-buak tapi soal mabuk amat merisaukan saya. Kalau mabuk apa pun tak jadi. 



Setelah bertanya kawan-kawan. Ada yang memberi macam-macam petua.

Petua supaya tidak mabuk laut:
1. Kulum asam jawa,
2. Telan ubat mabuk sebelum naik kapal,
3. Makan nasi awal-awal. Biar perut tu kosong sebelum bertolak.
4. Tidur biar cukup.

Dengan petua-petua ini saya pun pergi ikut Salwa dan kawan-kawan ke Kuala Terengganu. Kami pergi pada 28 Jun dan balik pada 30 Jun 2013.

Empat buah kereta pergi bersama. Kami memandu secara konvoi dari Penang ke Terengganu melalui jalan Gerik-Jeli. 5 buah negeri kami rentas: Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu. Dalam jarak lebih 500 km itu kami menemui sebuah kemalangan yang melibatkan dua buah lori dan dua buah kereta. Kemalangan itu berlaku  di jalan berdekatan dengan Hutan Belum.

Sebenarnya ada lagi kawan-kawan yang turut serta mencandat sotong tetapi mereka datang dari Pahang. Jadi jumlah kereta semuanya 6 buah. Bilangan orang pula 30. Kami bertemu di Terengganu.  



Menginap di Chalet Barakah

 



Kami menginap di Chalet Barakah yang letaknya di Teluk Ketapang, Kuala Terengganu.  5 buah chalet kami sewa untuk 30 orang.  Rumah kampung! Tepi pantai!




Membeli-belah di Pasar Payang


 

Menaiki bot penambang dari Seberang Takir ke Kuala Terengganu


Pada pagi Sabtu  keesokan harinya itu kami mengambil bot penambang di Seberang Takir untuk ke bandar Kuala Terengganu. Tambang botnya murah sangat iaitu cuma seringgit satu hala.

Apabila sampai di seberang, kami dapat melihat terdapat Bazar Warisan berdekatan dengan jeti. Kami berjalan kaki di bandar itu dan merayau-rayu melihat bandar itu.

Kami kemudiannya pergi ke Pasar Payang. Di Pasar Payang ini terdapat macam-macam jualan: keropok, kuih-muih, serunding, telur penyu, sayur-sayuran, buah-buahan, rempah kerutup, pakaian batik, songket dan cenderamata. Saya beli buah asam jawa, kain batik, kain pelekat, rempah kerutup dan magnet peti sejuk.


Di hadapan Bazar Warisan
Kampung Cina
Dalam Pasar Payang
Bot dari Kuala Terengganu ke Seberang Takir



Perkampungan Nelayan Seberang Takir


Yang menyeronokkan di Pantai Timur ini ialah mencuba makanan tradisional mereka. Antara makanan yang tidak lepas kami makan ialah laksam, nasi dagang dan keropok lekor.

Di Seberang Takir terdapat banyak aktiviti nelayan yang kami saksikan. Antara yang menarik ialah pembuatan keropok lekor. Kami dapat melihat keropok lekor dibuat. Terdapat juga perusahaan membuat belacan dan batik di situ.

Keropok lekor di Seberang Takir ini amat laris.


Mencandat Sotong di Laut China Selatan



Aktivti utama kami ialah mencandat sotong.

Kami semua sudah mengosongkan perut sebelum bertolak. Kami pergi selepas Asar. Semua orang yang mudah mabuk telah menelan ubat mabuk. Tekong pun dah pesan awal-awal supaya telan ubat sebelum naik kapal.


Kami sewa 3 buah kapal nelayan. Setiap kapal kami muatkan 10 orang. Kami bayar seribu ringgit satu hari untuk sebuah kapal. Tapi bila dikongsi ramai-ramai kami cuma bayar RM150 termasuk chalet dan makan minum untuk 3 hari itu. Murah, kan?

Menaiki bot nelayan di Seberang Takir
Alat mencandat sotong

Di dalam kapal kami melihat tekong menyediakan peralatan mencandat dan memasang lampu. Ini disebabkan sotong amat tertarik dengan cahaya pada waktu malam. Sambil itu kami kulum asam jawa yang saya beli di Pasar Payang pagi tadi.


 Kami memilih sebuah tempat di tengah laut.  Dalamnya  laut itu menurut Tekong ialah 10 depa.


Sauh dilabuhkan apabila sampai ke tempat yang ada banyak sotong.

Setelah menaiki kapal dan meninggalkan pelabuhan kira-kira 30 minit semua orang bertanya saya, "Mabuk tak?"

"Alhamdulillah. Tak mabuk pun!!!"

Tidak seorangpun yang di dalam kapal kami itu mabuk. Tapi kami dapat tahu kemudiannya di kapal yang lain ada dua tiga orang yang mabuk. Tidak kira lelaki atau perempuan. Mereka muntah-muntah dan tidur saja.


Cara-cara Mencandat Sotong


Setelah berada di tengah laut tekong kamipun menunjukkan cara-cara mencandat sotong. Maklumlah kebanyakan kami baru pertama kali mencandat. Tetapi Salwa sudah pernah mencandat sotong pada tahun lepas.

"Tengok saya buat dulu, Kak Salwa. Kita longgarkan tali kail ni"

Jatuhkan mata kail ini ke dalam laut sehingga mencecah dasar laut

"Tarik tali kail ke atas sikit dua tiga kali. Berhenti sekejap. Lepas 3-4 saat tarik balik dua tiga kali."
"Kalau terasa berat bermakna sotong sudah melekat pada mata kail."
 


Cabaran Bermula



"Siapa dapat dulu, dia dapat hadiah!" cabar salah seorang dari kami.


Teruja benar kami ketika itu. Menjadi nelayan Pantai Timur!



Setelah itu kami ambil spot masing-masing.


Masing-masing ambil spot yang strategik
"Saya nak dekat lampu. Sotong suka lampu."
"Hah tengok saya dah dapat!"
Labuhkan kail lagi
3 minit kemudian......"Hah tengok dapat lagi!!!
"Kasi tengok dekat-dekat"
Sesaat kemudian....Salwa menjerit, "Hey saya pun dapat!"
"Tengok sotong yang saya dapat ni. Warna sotong ni perlahan-lahan berubah warna daripada putih kepada merah."
Tak lama kemudian...."Hey! Dapat! Dapat!Dapat!"


Rami kawan-kawan saya sudah dapat sotong. Mereka berteriak kegembiraan apabila berjaya mendapatkan sotong. Walau bagaimanapun saya masih tidak dapat sotong. 

 

Mencandat Sehingga Senja

 

Hari semakin petang, aktiviti mencandat sotong diteruskan
Hari dah senja ni, tapi kawan saya ini pun masih tak dapat-dapat sotong
Mencandat diteruskan walaupun hari sudah senja. Saya memilih tempat yang ada lampu. Dan duduk di atas kotak ikan. Saya menjatuhkan mata kail ke dalam laut dan menarik tali kail tidak jemu-jemu. Tapi kail saya masih tidak diminati oleh sotong. Saya menunggu dan menunggu tetapi tidak berhasil. Saya mula sedih. Saya tanya Tekong,

"Teknik saya tak betul ke?"

" Betul dah tu!" kata Tekong.

"Saya nak ubah tempatlah," kata saya dengan harapan saya akan dapat sotong.

"Tak payah. Di situ ada lampu. Sotong suka lampu, " kata Tekong.

Jadi saya tidak jadi menukar tempat.

Mencandat sotong sehingga matahari terbenam
Matahari sudah terbenam


Mencandat Diteruskan Sehingga Malam


Kami mencandat tanpa henti-henti sepanjang malam itu. Sotong lebih banyak selepas waktu tengah malam. Musim mencandat sotong di sini adalah pada bulan Jun, Julai dan Ogos.


Setelah berjam-jam lamanya di lautan, barulah saya dapat sotong saya yang pertama. Saya sangat gembira. 
 
Semakin malam semakin banyak sotong kami dapat. Sotong-sotong yang masih segar itu kami goreng dan makan di atas bot. Sangat manis dan sedap rasanya.

Apabila  kail yang ditahan tidak lagi dipagut sotong, tekong  menyuruh kami mengangkat kail dan berpindah ke tempat lain. Bagi mengesan sotong-sotong itu tekong melihatnya pada radar. Jadi kami berpindah sebanyak 3-4 kali pada malam itu.



Adakalanya kami dapat ikan. Ada juga kami dapat belut. Ada juga kami dapat ular air! 


Hanya bunyi ombak, injin kapal dan tiupan angin menemani di lautan pada tengah malam.
Lagi tengah malam lagi banyak sotong

Ketenangan laut pada waktu malam


Ketenangan malam membuatkan saya berfikir tentang warna air laut. Ada tempat-tempat yang permukaannya kelihatan biru. Ada pula hijau. Dari mata kasar laut ini kelihatan sama tetapi sebenarnya ia berbeza. Ia mempunyai perbezaan dari segi tahap kejernihan, kemasinan, suhu dan isipadu. Sangat hebat dan ajaibnya ciptaan Allah ini.  Saya terfikir bahawa laut ini luas dan pastinya bertemu dengan laut yang lain. Air laut yang masin ini juga ada yang bertemu dengan air tawar. Namun yang ajaibnya ia mempunyai pemisah.

Allah SWT menerangkan fenomena ini di dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Ia biarkan air dua laut mengalir sedang kedua-duanya bertemu. Di antara kedua-duanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadan." (Ar-Rahman: 19-20)

"Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan), yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit, dan Dia jadikan di antara kedua-duanya dinding dan batas yang menghalangi." (Al-Furqan: 53)


Selesai Mencandat

 

Pulang ke pantai pada waktu subuh.
Hasil tangkapan...sotong, sotong, sotong
Ikan pun dapat

Kami habis mencadat sotong setelah masuk waktu subuh. Semua kawan-kawan di dalam bot saya dapat sotong dengan banyak. Hanya saya saja yang dapat paling sedikit sotong. Saya dapat nombor corot! Nampak gayanya saya kena selalu-selalulah mencandat supaya lebih mahir.



"Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkan (siapa yang dikehendakiNya)." Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya." (Surah Saba’: 39)

Salwa nak bawa balik Penang sotong ni
 

Apabila pulang kami tidak henti-henti bercerita tentang pengalaman kami yang menyeronokkan ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...