Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Sabtu, 26 Oktober 2013

Naik Haji (3): Umrah, Ziarah dan Membeli-belah Pada Musim Haji di Mekah

S elepas mabit di Arafah, Muzdalifah dan Mina saya pulang semula ke Mekah. Terasa lega bila dapat pulang semula ke dalam bilik hotel kerana tiada lagi masalah bilik air. Sayapun mandi dengan puas kerana tiga hari di Mina saya tidak mandi.

Ketika dalam ihram saya hanya menyiram air sahaja ke atas kepala tanpa menggosoknya. Ini disebabkan saya takut rambut saya gugur dan melanggar pantang-larang ihram. Kini ihram saya telah selesai, saya menyampu rambut dan menggosok kepala saya dengan sepuas-puasnya.

Namun begitu saya menghadapi sembelit kerana tidak buang air besar selama tiga hari dan kurang minum. Untuk menghilangkan sembelit itu saya minum air banyak, memakan laban (sejenis dadih Arab) dan pisang yang dijual di luar hotel. 

Tawaf Haji


Tawaf keliling Kaabah


Sayapun segera melakukan tawaf haji dan selesailah kerja ibadat haji saya. Syukur alhamdulillah.

Jabal Rahmah, tempat pertemuan Nabi Adam AS. dan Hawa

Selepas itu saya batuk, selsema dan demam selama dua hari. Selama dua hari itu saya hanya tidur di bilik dan tidak dapat ke Masjidil Haram kerana terlalu lemah. Begitu juga saya tidak dapat mengikuti rombongan saya mendaki Jabal Rahmah dan Jabal Thur. Sakit yang saya alami di sana adalah juga kerana kifarat dosa yang telah saya lakukan selama ini. Saya redha dan bersyukur dengan ketentuan Allah ini. 

"Tidaklah orang Muslim ditimpa cubaan berupa penyakit atau lainnya, melainkan Allah menggugurkan keburukannya, sebagaimana pohon yang menggugurkan daunnya." (Hadis riwayat Bukhari-Muslim)

Kekuatan ukwah sesama ummah kelihatan dari susunan saf ini. Keutuhan jemaah inilah yang amat digusari oleh orang kafir. (Gambar ihsan Anwar Fadzil)

Keadaan di Masjidil Haram dan sekeliling Kaabah adalah terlalu sendat selepas kembali dari Mina. Di Masjidil Haram, saya boleh mendengar jemaah batuk-batuk ketika solat jemaah. Boleh dikatakan ramai jemaah yang sakit selepas balik dari Mina. Ramai juga yang meninggal dan setiap selepas solat fardhu pasti sahaja diiringi dengan solat jenazah. Salah seorang jemaah haji dari kumpulan kami juga meninggal semasa di sana. Beliau meninggal dengan mudah iaitu ketika tidur selepas pulang daripada mengerjakan tawaf sunat.

Umrah dan Miqat


Selepas mengerjakan tawaf haji, barulah saya boleh mengerjakan umrah. Jadi bas rombongan kami telah pergi ke Tanaim iaitu sempadan tanah haram untuk berniat umrah. Namun keadaan di Tanaim amatlah sesak. Tidak seperti semasa musim umrah, kita boleh turun dan solat di masjid. Tetapi pada musim haji, kami hanya berniat di dalam bas dan tidak berpeluang turun. Ketika itu kami nampak sebuah bas rombongan yang menurut mutawif kami mereka datang dari Malaysia hanya dengan menaiki bas, hanya mengikuti jalan darat.

Masjid Hudaibiyah


Pada hari lain kami dibawa ke Hudaibiyah untuk berniat umrah. Hudaibiyah letaknya 30 km dari Mekah. Ia adalah miqat yang pernah dikunjungi Rasulullah SAW. Di Hudaibiyah kami dapat melihat Masjid Hudaibiyah dan batu tinggalan. Di sinilah Nabi Muhammad SAW mengadakan Perjanjian Hudaibiyah dengan pihak Quaraisy. Perjanjian ini dilakukan ketika Rasulullah SAW hendak mengerjakan haji di Mekah pada tahun 6 Hijrah. Melalui perjanjian ini, Rasulullah SAW dibenarkan untuk mengerjakan haji pada tahun berikutnya.

Perjanjian Hudaibiyah mempunyai hikmah, antaranya:
  • keamanan berlaku kerana genjatan senjata selama 10 tahun dimeterai dalam perjanjian itu,
  • perjanjian ini juga menunjukkan pengiktirafan Madinah sebagai kerajaan Islam,
  • menunjukkan kebijaksanaan Rasulullah SAW membuat perjanjian dengan orang kafir,
  • dakwah Islam semakin tersebar dan akhirnya menjadikan orang kafir lemah.
Masjid Jakranah


Selain daripada Tanaim dan Hudaibiyah, Jikranah (Jakranah) juga adalah sempadan tanah haram dan kita juga boleh berniat umrah di sini. Ia letaknya 25 km dari kota Mekah. Rasulullah SAW pernah bermiqat di sini. Terdapat masjid di sini yang dinamakan Masjid Jakranah. Ia sangat popular dan sentiasa dikunjungi ramai.

 

Kursus


Selain daripada mengerjakan umrah, tawaf sunat dan beribadat di Masjidil Haram, jemaah lelaki belajar memakai serban. Menurut Ustaz Mat memakai serban adalah sunnah dan mendapat ganjaran pahala yang banyak apabila memakainya. 

Disamping itu juga kami mengikuti kursus yang diadakan pada waktu duha seperti kursus tawaf wada dan adab menziarahi makam Rasulullah SAW di Madinah.

Belajar memakai serban



Ziarah Muzium


Kami juga dibawa oleh pakej haji kami melawat Muzium Kaabah.

Barang-barang yang dipamerkan di dalam Muzium Kaabah

Demonstrasi menenun di dalam Muzium Kaabah



Melawat Ladang Unta


Melawat ladang unta dan meminum susu unta segar adalah pengalaman yang tidak ditinggalkan di Mekah. Susu unta mempunyai banyak khasiat, antaranya:

  • kaya dengan vitamin C dan mineral,
  • lebih berkhasiat daripada susu lembu dan kambing,
  • penawar untuk luka dalaman,
  • rendah lemak,
  • penawar sesak nafas dan asma, 
  • pembersih muka

Unta juga ialah binatang yang disayangi Rasulullah SAW. Unta telah dijadikan kenderaan baginda SAW. Unta mempunyai ketahanan daripada lapar dan dahaga di padang pasir dalam jangkamasa yang lama. Ketika baginda SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah untalah yang menentukan tempat Rasulullah berhenti dan membina rumah serta Masjidil Nabawi. Unta adalah binatang yang pemalu dan sopan: ketika mengawan ia melakukannya tanpa sesiapa yang melihatnya dan bersembunyi. Unta juga mempunyai ingatan yang kuat.

Ladang unta di Mekah

"Tidakkah mereka memperhatikan unta, bagaimana ia dijadikan?" (Al Ghasiyah: 17)


Membeli-belah 



Saya juga berpeluang membeli-belah di sekitar Masjidil Haram dan pasar-pasar yang terdapat berdekatan dengan Mekah.


Kekacang dan buah-buahan kering ini dijual di hadapan Masjid Hudaibiyah

Kedai runcit ini menjual rempah ratus, teh, kopi dan herba

Daging segar dan kurma segar boleh didapati di kedai-kedai ini

Buah-buahan segar di pasar Kakiah

Kurma di pasar Kakiah

Pakaian didapati dengan banyak di pusat membeli-belah di hadapan Masjidil Haram

Hati-hati supaya jubah tidak tersangkut di eskalator

Kalau hendak keluarkan wang dari akaun Tabung Haji, Lembaga Tabung Haji menyediakan kaunter Simpanan dan Pengeluaran. (Gambar ihsan Anwar Fadzil)


Kalau beli banyak di Mekah, boleh hantar ke Malaysia melalui pos. (Gambar ihsan Anwar Fadzil)



Begitulah saya menghabiskan masa selama 40 hari di Mekah. Hari terakhir berada di Mekah pada musim haji adalah saat yang sayu dan menyedihkan. Selepas melakukan tawaf wada saya berdoa kepada Allah semoga kunjungan saya ini bukanlah kunjungan yang terakhir dan memohon semoga Allah mengurniakan haji mabrur kepada saya. Sejurus selepas itu saya dan rombongan saya menaiki bas dan meninggalkan kota suci Mekah untuk ke Madinah pula.

...bersambung


Sabtu, 19 Oktober 2013

Naik Haji (2): Dugaan di Mina, Berkorban dan Melontar

Mabit di Mina adalah aktiviti seterusnya dalam ibadat haji selepas mabit di Muzdalifah dan Arafah.
Mabit bererti bermalam atau singgah sebentar di tempat itu. Dalam entri kali ini saya ingin ceritakan suasana di Mina yang penuh dengan dugaan. Ia amat berbeza dengan umrah, kerana mengerjakan umrah tidak perlu mabit di Mina, Arafah dan Muzdalifah.

Saya sampai di Mina dengan bas dari Muzdalifah sebelum subuh 10 Zulhijjah. Mina ialah sebuah kawasan yang luas dan sesak dengan khemah-khemah. Berjuta-juta jemaah haji dari seluruh dunia berada di sini untuk menyempurnakan ibadat haji. Di sinilah kita perlu melontar batu. Khemah untuk rombongan saya diletakkan di lorong dan maktab yang telah disediakan. Kami ditempatkan di Maktab 83. Papantanda maktab ini terdapat pada pangkal lorong untuk memudahkan jemaah mengecam khemahnya.

Lebih kurang 40 orang berkongsi satu khemah. Cuacanya panas. Tetapi semua orang menahan sabar dengan tidak berkata apa-apa tentang cuaca itu. Penghawa dingin disediakan di dalamnya dan bolehlah kami merasa lega. Soket elektrik disediakan tetapi tidak mencukupi dan kami bergilir-gilir menggunakannya untuk mengecas telefon bimbit dan bateri kamera. Oleh kerana kekangan ini, maka saya kurang mengambil gambar di Mina. Jadi gambar-gambar dalam entri ini banyak disumbangkan oleh rakan jemaah saya Tuan Haji Anwar Fadzil. (Terima kasih Tuan Haji).

Perkhemahan di Mina. (Gambar ihsan Anwar Fadzil).

Khemah persendirian didirikan di atas bukit  dan di tepi jalan di Mina. (Gambar ihsan Anwar Fadzil).

Cuaca yang panas dan berdebu membuatkan jemaah perlu menutup hidung. Khemah didirikan juga di atas bukit. (Gambar ihsan Anwar Fadzil).


 

Beratur Panjang di Hadapan Tandas


Antara ujian kesabaran yang besar di Mina adalah bilik air yang kecil serta bilangannya sedikit. Di dalam bilik air yang kecil ini ada tandas. Bilik air /tandas ini dikongsi bersama dengan beratus-ratus jemaah. Kami perlu beratur dalam jangka masa 45 hingga 60 minit. Apabila kami menggunakan bilik air untuk mandi, kami dimarahi jemaah lain. Ini disebabkan mandi memakan masa lama dan menyebabkan kesusahan kepada jemaah lain yang ingin menggunakannya untuk buang air. Jadi kami hanya dibenarkan buang air sahaja. Jangan sesekali mandi! Kadang-kadang kami diuji dengan menahan sabar apabila ada orang yang "potong queue" dengan merayu minta dia didahulukan terutama sekali warga emas dan orang yang hendak terkucil sangat.

Keadaan bilik air di Mina lebih sesak berbanding di Arafah tempoh hari. Saya terpaksa menahan dari membuang air terlalu kerap dengan mengurangkan minum dan makan. Saya juga menahan diri saya daripada buang air besar. Lagipun memang feil saya yang tidak boleh buang air besar kalau ada orang yang menunggu saya. Keadaan ini membuatkan saya menghidap sembelit dan kesihatan saya terganggu selepas pulang semula ke Mekah apabila selesai mabit di Mina. Tambahan pula udara yang berdebu membuatkan saya selsema, batuk dan demam selepas pulang semula ke Mekah.

Peristiwa beratur panjang menunggu giliran menggunakan bilik air ini mengingatkan saya bahawa Sharifah Aini penyanyi popular kita juga mengerjakan haji pada tahun yang sama dengan saya. Ada rakan saya terjumpa dengan beliau ketika beratur menunggu giliran di bilik air di sini.

Ketika beratur di hadapan tandas ini, kita dapat menyaksikan 1001 macam ragam jemaah. Sejauh manakah mereka tahan dengan ujian ini? Saya sedih apabila melihat ada jemaah wanita yang tidak menjaga aurat mereka ketika berulang-alik ke tandas ini. Ramai yang tidak memakai sarung kaki dan sarung lengan sedangkan jemaah lelaki juga lalu-lalang di kawasan itu. Ada juga yang hanya menutup kepala dengan tuala dan menampakkan rambut. (Semoga Allah memberi mereka kefahaman).

Beratur untuk menggunakan bilik air/tandas bagi lelaki tidaklah sepanjang beratur untuk menggunakan bilik air/tandas untuk wanita. (Gambar ihsan Anwar Fadzil).


Makan Apa dan Bagaimana?


Di khemah kami diberi makanan yang dimasak oleh petugas memasak yang bukan orang Malaysia. Makanan yang diberikan ialah nasi dengan lauk daging atau ayam serta buah-buahan seperti epal atau oren. Namun makanan itu tidaklah sesuai dengan selera kebanyakan orang Malaysia. Tetapi saya perhatikan tidak ada seorangpun yang merungut. Kami telah dididik semasa kursus haji supaya tidak merungut atau mengeluh dengan sebarang kesusahan dan ketidakselesaan semasa di tanah suci ini. Ketika inilah kami makan nasi itu dengan lauk yang dibekalkan oleh pakej haji kami. Ada juga yang membawa serunding yang dikongsikan bersama. Syukur alhamdulillah, dengan adanya serunding itu, nasi yang diberikan dapatlah dihabiskan dengan berselera. Pakej haji kami juga menyediakan mee segera, biskut kering dan makanan segera lain. Air panas mudah didapati di tepi khemah.

Petugas memasak di Mina. (Gambar ihsan Anwar Fadzil)

Makan nasi mendi beramai-ramai dalam khemah di Mina

Pada setiap malam kami dapat makan makanan istimewa seperti nasi mendi atau nasi beriani dengan lauk daging unta atau kambing biri-biri. Ini disebabkan ada sahaja hamba Allah yang bermurah hati menaja makanan istimewa itu. Alhamdulillah. Kami makan beramai-ramai dengan amat berselera. Inilah saat-saat yang menggembirakan saya.

Di khemah kami beribadat dan solat jamak (tamam) secara berjemaah.

Tidur beramai-ramai di dalam khemah serta berhimpit-himpit ini amat menggembirakan saya. SAYA SUKA! Tiga hari di khemah Mina membuatkan kami mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat. Ada yang berusia lebih tua daripada saya. Ada juga yang jauh lebih muda daripada saya. Tetapi ramai yang sebaya dengan saya. Hubungan ini berkekalan sehinggalah ke hari ini.

Peniaga kaki lima dari pelbagai bangsa berniaga di tepi jalan berdekatan khemah di Mina


Barangan jualan amat murah di Mina


Lihat Sembelih Korban



Pada 10 Zulhijjah, jatuhlah hari raya korban. Pada waktu pagi itu kami pergi melawat kandang unta dan lembu untuk melihat sembelihan korban dilakukan. Kandang itu tidaklah jauh dari khemah kami. Kami berjalan lebih kurang 20-30 minit untuk sampai ke kandang itu. 

Terdapat banyak unta dan lembu yang tersedia untuk dijual dan dijadikan korban. Oleh kerana jemaah kami sudah membayar wang untuk korban binatang-binatang ini ketika di Mekah lagi, maka kami cuma melihat sahaja sembelihan dilakukan.

Sembelihan dilakukan di tempat sembelihan yang berpagar. Penama-penama yang mengerjakan ibadat korban itu dipanggil masuk ke dalam kawasan sembelihan dan menaiki tangga di tingkat atas lalu menyaksikan sembelihan. Dua tiga ekor unta berdiri di kandang sembelihan dengan tenang. Kami dapat melihat tukang sembelih memegang pedang panjang lagi tajam dan memotong leher unta-unta itu dengan pantas sekaligus. Tak sempat saya kelip mata, unta-unta itu sudah berdarah lehernya dan kemudiannya rebah dengan tenang. Tidak langsung unta itu merasa sakit atau menjerit. Ia dilakukan dengan cara yang betul, menurut tuntutan Islam. Tiada kekejaman berlaku.

Kami juga dapat melihat binatang-binatang korban itu diagih-agihkan ke dalam guni kain dan dimasukkan ke dalam lori untuk diberikan kepada golongan miskin. Ada juga beberapa orang tempatan yang datang mengambilnya sendiri.

Mengerjakan korban ini mengingatkan saya pada Firman Allah yang bermaksud:

"Supaya mereka menghadiri beberapa manfaat untuk mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang ditentukan atas makanan yang telah diberikan Allah kepada mereka, iaitu (daging) binatang ternakan. Maka makanlah sebahagiannya dan berilah makan orang yang melarat dan fakir miskin." (Al-Hajj: 28)
"(Mengorban) unta Kami jadikan untukmu sebahagian syiar-syiar (agama) Allah, untukmu ada kebaikan didalamnya. Sebab itu sebutlah nama Allah ketika menyembelihnya, (ketika ia masih berdiri). Apabila ia telah jatuh ke tanah (mati), makanlah sebahagiannya dan berilah makan orang yang tidak meminta dan orang yang meminta. Demikianlah Kami tundukkan (serahkan) haiwan itu kepadamu, mudah-mudahan kamu berterima kasih." (Al-Hajj: 36)

Kawasan sembelihan unta dan lembu untuk korban


Melontar di Jamrah


Waktu afdal untuk melontar di Jamrah ialah pada waktu Dhuha 10 Zulhijjah. Ustaz Mat telah meninjau keadaan di situ. Suasana ketika ini terlalu sesak lagi padat dengan jemaah - adalah sukar untuk melontar. Ustaz Mat lalu menyuruh kumpulan kami melontar pada waktu malam. 

Jadi selepas maghrib 10 Zulhijjah, kami beramai-ramai ke Jamrah membuat lontaran. Kami pergi dengan diketuai oleh dua orang mutawif yang memegang bendera supaya kami dapat mengecam mereka. Kami melalui dua buah terowong di Moaisem untuk sampai di tempat melontar. Keadaan di situ amatlah sesak dan berdebu. Saya mengekori rombongan saya dan sentiasa memerhati bendera yang dipegang oleh mutawif kami supaya tidak sesat, tertinggal atau hilang.



Berjalan beramai-ramai meninggalkan khemah menuju ke kawasan melontar. (Gambar ihsan Anwar Fadzil).

Melalui terowong Moaisem menuju ke kawasan melontar. (Gambar ihsan Anwar Fadzil).

Jemaah lelaki melalui terowong menuju ke Jamrah. (Gambar ihsan Anwar Fadzil).


Penulis mengekori jemaah pergi melontar dan sudah menghampiri Jamrah

Perasaan berdebar-debar dan suspens amat terasa ketika kaki saya melangkah berdekatan dengan kawasan melontar. Kawasan melontar itu dibina bertingkat-tingkat dan berbumbung. Saya berpeluang melihat landasan keretapi (LRT) yang baru dibina dan keretapinya. Ia sedang dalam peringkat percubaan. Hanya orang tempatan sahaja dibenarkan menggunakan keretapi itu dalam peringkat percubaan ini. Dikhabarkan bahawa projek ini adalah dibawah usaha Keretapi Tanah Melayu.


Kawasan luar jamrah pada siang hari. (Gambar ihsan Anwar Fadzil)


Pertama kali melihat kawasan melontar hati saya sangat gembira. Inilah kawasan melontar yang selama ini saya hanya dengar sahaja. Sebelum ini juga saya telah menghadiri kursus haji dan telah melakukan latihan amali. Ketika latihan amali itu Jamrahnya adalah sebuah replika kecil lagi rendah.  Tetapi apabila saya melihat Jamrah yang sebenarnya, ia adalah besar dan tinggi. Terdapat sebuah lengkungan berbenteng dan tiang didirkan di tengah-tengahnya. Di bawahnya ada lubang luas seperti kawah.

Sayapun mengeluarkan uncang yang berisi batu-batu kecil untuk melontar dan bergerak ke arah benteng serta tiang itu. Saya pastikan kiraannya cukup 7. Lalu melontarnya satu per satu ke arah tiang di tengah-tengah lengkungan berbenteng itu.



Jamrah - tempat melontar batu-batu kecil



Ketika melontar itu ada seorang jemaah lelaki dari negara lain yang bertubuh besar sedang melontar di hadapan saya. Disebakan ayunan tangannya itu terlalu kuat, maka sikunya tertenyeh hidung saya. Hidung saya terasa kemek. Cermin mata saya tertepis dan tersengit. Saya terkejut dan cemas. "Pecah ke cermin mataku?" Saya meraba cermin mata saya. Alhamdulillah, cermin mata saya tidak pecah,  tidak patah. Saya raba hidung saya. "OK!" Hidung saya juga tidak tercedera. Juga tidak sakit.

Keadaan yang sesak, jauh berjalan kaki dan memerlukan tenaga yang lebih itu membuatkan sesetengah jemaah tidak mampu melakukan lontaran. Ada juga yang pengsan. Kejadian ini membuatkan Ustaz Mat memberi amaran supaya jangan pergi melontar pada keesokan harinya kalau tidak larat dan tiada kudrat. Mereka boleh mewakilkan kepada orang lain. Oleh kerana itu saya menghulurkan tangan melontarkan untuk mereka dengan sukarela.

Ketika kami pulang beramai-ramai itu, terdapat seorang peminta sedekah menghampiri saya. Saya lalu menghulurkan sedikit rial kepadanya. Tetapi dengan tidak semena-mena, beberapa orang peminta sedekah yang entah datang dari mana menyerbu saya dan mengelilingi saya. Ia menakutkan saya kerana mereka kelihatan agresif dan mendesak saya memberi mereka wang. Jemaah haji yang lain menjerit-jerit menahan saya daripada memberikan duit kepada peminta sedekah itu, "Jangan mulakan, Hajah! Jangan mulakan!" Yang lelaki segera meleraikan peminta sedekah yang mengerumuni saya dan meminta mereka pergi. Mujurlah saya tidak tercedera atau dirompak. 

Jadi perlu diingatkan wahai kawan-kawan, "Janganlah mula menghulurkan duit kepada seorang peminta sedekah di sini kerana peminta sedekah yang lain juga akan mengambil kesempatan. Akibatnya kita mungkin dirompak atau dicederakan oleh konco-konconya." Menurut Ustaz Mat, peminta sedekah di sini mempunyai sindiket. Ada juga yang berpura-pura cedera dan cacat anggota untuk menagih simpati.

Setelah melontar pada kali pertama itu saya bertahalul (di dalam khemah) dan tamatlah tempoh ihram saya yang telah saya jaga dengan berhati-hati selama lebih kurang dua minggu lamanya. Ini disebabkan saya melakukan haji ifrad, maka tempoh berada di dalam ihram adalah agak lama. Maka hampir selesailah haji saya. Selepas ini saya hanya perlu melontar untuk 3 Jamrah pada hari-hari tasyrik dan kemudiannya pulang ke Mekah untuk mengerjakan Tawaf Haji. Saya bersyukur yang amat sangat.

Melontar di Jamrah. (Gambar ihsan Anwar Fadzil).



Pada keesokan harinya, 11 Zulhijjah, masuklah hari tasyrik. Saya pergi melontar ke tiga Jamrah. Waktu melontar adalah selepas waktu maghrib. Saya melakukanya untuk diri saya sendiri dan untuk orang lain. Jadi saya telah mengambil masa yang lebih lama berbanding dengan orang lain. Saya telah berpesan kepada mutawif saya supaya menunggu saya sehingga saya selesai melakukan lontaran untuk orang lain itu. 

Tetapi apabila saya selesai melontar, mereka telah meninggalkan saya. Saya mencari mereka dan menunggu seketika. Kebimbangan menjelma kerana saya tidak bertemu mereka. Orang terlalu ramai dan adalah sukar untuk mengecam mereka walaupun mereka memegang bendera. Akhirnya saya nekad untuk pulang ke khemah bersendirian walaupun merasa takut. Saya mengekori jemaah Malaysia daripada rombongan lain yang saya tidak kenali untuk pulang ke khemah dengan selamat.

Saya membuat lontaran lagi ke tiga Jamrah pada 12 Zuhijjah pula. Sekali lagi saya melakukannya untuk diri saya sendiri dan melakukannya untuk orang lain. Bilangan orang yang meminta saya melontarkan untuk mereka bertambah dan sudah tentu saya mengambil masa yang lebih untuk melakukannya. Sekali lagi saya berpesan kepada mutawif saya yang saya akan memakan masa lama kerana melakukan lontaran untuk orang lain. Sekali lagi saya ditinggalkan oleh kumpulan saya. Sekali lagi saya pulang berjalan kaki bersendirian pada malam yang gelap. Pengalaman ditinggalkan seperti semalam membuatkan saya tidak gelisah tetapi menerimanya dengan redha. Sepanjang jalan saya hanya berdoa dan berdoa memohon saya selamat sampai ke Maktab 83. Saya sampai jua akhirnya.

...bersambung



Isnin, 14 Oktober 2013

Naik Haji (1): Wukuf di Arafah dan Mabit di Muzdalifah

H ari ini 9 Zulhijjah. Hari ini di Mekah, jemaah haji berbondong-bondong ke Arafah. Hari ini hari Wukuf. Hari ini penting. Inilah kemuncak haji. Di sinilah jemaah berkumpul, menginap di khemah, mendengar khutbah, berzikir, berdoa dan beribadat kepada Allah.

Dari Aisyah, Rasullah SAW bersabda: "Tidak ada satu hari yang Allah lebih banyak membebaskan seorang hamba dari api neraka melainkan hari Arafah. Sesungguhnya Allah amat hampir dan membanggakan mereka di hadapan malaikatNya seraya berkata, "Apa yang mereka inginkan? (tentu Aku kabulkan)." (Hadis riwayat Muslim)

Saya pernah berada di Arafah pada tahun 2010. Ketika itu saya mengerjakan haji Ifrad dan sudah berada di Mekah selama seminggu. Saya juga sudah melakukan Tawaf Qudum dan Saie Haji. 

Pada 8 Zulhijjah saya bertolak dari Mekah bersama jemaah haji yang lain. Kami menaiki bas rombongan yang telah disediakan oleh ejen pakej haji kami. Kami membawa hanya sebuah beg pakaian yang kecil. Di dalamnya terdapat pakaian yang hendak digunakan selama 3-5 hari. Kami akan ke Arafah, Muzdalifah dan Mina. Saya menyelitkan sebuah bantal angin yang saya beli di Mekah ke dalam beg. Beberapa bungkus makanan dan minuman untuk bekalan di sana diberikan oleh pihak ejen membuatkan beg saya bertambah. 

Perjalanan ke Arafah tidaklah jauh, lebih kurang 20 km. Kami boleh sampai dalam masa 20 minit. Tetapi disebabkan terlalu banyak bas maka jalan menjadi sesak dan tidaklah dapat kami sampai dalam jangkamasa begitu. Saya sudah lupa berapa lama, tetapi lebih kurang sejam barulah kami sampai di Arafah. 




Kami diberhentikan di sebuah kawasan luas. Inilah Arafah. Terdapat khemah-khemah didirikan di situ. Kami sampai waktu tengahari. Saya mengangkat beg pakaian saya dan berjalan mengikuti lorong-lorong di kawasan berkhemah menuju ke khemah kami. Khemah yang dibuat daripada plastik tebal saya masuki. Di dalamnya sudah siap dilapikkan plastik untuk kami duduk. Di ruang atas khemah terdapat lubang udara. Saya duduk betul-betul di bawah lubang udara itu. Saya lihat langit biru di atas dan cahaya matahari menembusi lubang itu. Jemaah haji yang lain duduk di tempat yang mereka pilih dan telahpun memenuhi ruang dalam khemah. Saya tersenyum gembira dengan suasana di dalamnya. Terasa amat lapang sekali jiwa saya ketika itu.






Di khemah kami berzikir dan beribadat. Terdengar suara jemaah lelaki berzikir dengan kuat dari khemah bersebelahan. Mereka menggunakan pembesar suara. Kadang-kadang saya ikut mereka berzikir. Suara orang yang mengetuai zikir itu sering saya dengar di televisyen - Ustaz Zulkarnain dan Ustaz Asraf Imam Muda. Pada mulanya saya sangka itu adalah rakaman CD. Tetapi rupa-rupanya bukan. Live. Salah seorang jemaah kami ternampak Ustaz Zulkarnain lalu di sebuah lorong.

Apabila hendak buang air dan mengambil wudhu saya ke tandas yang dibina di sebuah kawasan tidak jauh dari khemah kami. Tandas itu diletakkan di kawasan yang berpagar kayu, berbumbungkan langit dan hanya berlantaikan tanah. Tandas tidaklah banyak. Lebih kurang 10 buah tandas. Ada cuma 5  batang paip air untuk mengambil wudhu. Bilangan tandas dan paip yang sedikit ini terpaksa dikongsi bersama dengan beratus-ratus jemaah. Sudah tentulah kami kena beratur panjang-panjang sehingga 45 minit  untuk memasuki tandas dan menggunakan paip air itu. Dengan keadaan panas matahari dan tiada satupun bangku di situ membuatkan kami terpaksa keluar dari zon selesa yang selama ini kami kecapi. Untuk membuka dan memakai tudung, stokin dan pakaian memerlukan kesabaran. Inilah masalah utama ketika di Arafah. Tandas dan tempat ambil wudhu yang sedikit perlu dikongsi beramai-ramai!




Apabila tiba waktu solat kami solat jamak berjemaah. Kami makan nasi, air kotak dan limau yang diberikan dalam kotak. Pada waktu malam kami tidur di dalam khemah. Saya meniup bantal yang saya beli semalam dan merebahkan kepala saya ke bantal itu. Tetapi bantal yang mula-mula kembung berisi angin itu lama kelamaan mengecut kerana anginya meresap keluar. Saya tiup lagi dan ia berangin semula tetapi kembali mengecut dalam masa kurang 10 minit. Saya ulang lagi. Tetapi ia tetap kecut. Lama-lama saya mengalah dan menggunakan beg pakaian saya sebagai bantal. Rugilah sudah sepuluh ringgit saya. Oleh kerana saya berbaring betul-betul di lubang udara khemah, saya dapat lihat langit dan bintang-bintang. Angin menghembus masuk ke dalam khemah itu melalui lubang itu dan membuatkan badan saya terasa nyaman. Saya tersenyum gembira kerana saya sudah sampai ke situ. Saya bersyukur dan tanpa saya sedari saya sudah hanyut dibuai mimpi.




Keesokan harinya - 9 Zulhijjah - selepas matahari tergelincir, kami solat jamak zohor dan asar secara berjemaah. Sesudah itu kami keluar beramai-ramai menuju ke kawasan luas untuk berdoa. Ustaz Mat yang merupakan ustaz yang mengiringi kami sudah berpesan awal-awal supaya berdoa di Arafah di kawasan lapang. Inilah tempat mustajab doa. Kami keluar dan mencari tempat lapang itu. Tetapi semua kawasan lapang itu sudah penuh. Jadi kami hanya duduk di luar khemah dan duduk berdoa.

Selama berada di Arafah, kami hanya berzikir, bertakbir, bertahmid, beristighfar, solat, berdoa, membaca quran, bersalawat dan mengerjakan ibadat lain.




Ke Muzdalifah


Selepas waktu maghrib kami semua mengangkat beg kami lalu meninggalkan khemah itu menuju ke Muzdalifah pula. Tiba-tiba saya dapati beg saya sudah hilang. Saya mula panik kerana semua orang sedang berangkat menuju ke bas. Saya mencari ke sana sini beg saya dan bertanya-tanya jemaah lain. Tetapi tidak berjumpa. Maklumlah beg kami semuanya sama. Beg itu diberikan oleh ejen pakej haji kami. Tetapi yang membezakannya cuma riben dan tag nama saja. Jemaah lain sudah mula meninggalkan khemah. Saya mula risau. Saya memberitahu kehilangan beg saya ini kepada Ustaz Mat. Tapi Ustaz Mat selamba saja mukanya sedangkan saya panik. Tetapi setelah mencari-cari beberapa kali barulah saya terjumpa beg saya. Ia telah dialihkan ke tempat lain di dalam khemah itu. Saya hairan mengapa beg itu diletakkan jauh dari tempat saya duduk tadi. Alhamdulillah saya dapat menemui beg saya dan berangkat bersama-sama dengan kumpulan saya. Kami diagih-agihkan mengikut nombor bas masing-masing yang telah ditetapkan sebelum berangkat dari Pulau Pinang lagi.

Kami sampai di Muzdalifah pada waktu malam. Ia adalah sebuah kawasan tanah kosong yang luas. Ketika kami sampai orang tidaklah ramai. Kami mengambil tempat masing-masing lalu membentangkan tikar yang telah diberikan oleh pihak Tabung Haji Pulau Pinang dan meletakkan beg.

Selepas itu kami mengutip batu-batu kecil di tanah lapang itu. Kawasannya agak gelap tetapi cahaya lampu jalan menerangi kawasan itu. Ada juga yang membawa lampu suluh. Sayapun mengutip batu-batu sebesar kacang kuda sebagaimana diberitahu Ustaz Mat. Batu-batu ini akan saya gunakan untuk melontar di Jamrah di Mina esok, lusa dan tulat.





Setelah mengutip batu dengan cukup saya menyimpannya di dalam uncang kain dan masukkannya ke dalam beg pakaian saya. Kemudian saya ke tandas, duduk berehat dan tidur berbantalkan beg dan berbumbungkan langit. Saya tidur dengan lena. Apabila saya terjaga saya terkejut kerana saya dapati ramai orang di sekeliling saya. Tiba-tiba sahaja orang sudah ramai sedangkan tadi tidak. 


Setelah lepas tengah malam kamipun berangkat ke Mina pula. Kami beratur dan menunggu bas kami untuk ke Mina. 

...bersambung


Ahad, 6 Oktober 2013

Backpack ke Madinah dan Mekah (Bhg 6): Jemputlah Aku Lagi

Matahari baru sahaja berganjak. Saya melontarkan pandangan mata ke luar jendela apartment Syeikh Toriq. Di bawah sana,  mata saya disajikan dengan lorong-lorong di kaki bukit. Bangunan batu megah mengisi kota. Inilah hari terakhir saya berada di Mekah. Saya akan kembali ke tanah air.

Belum lagi meninggalkan bumi suci ini, rindu sudah mula mendamba dada saya. Saya mahu datang lagi. Mahu. Tapi adakah saya akan dijemput lagi olehNya? Tidak pasti? Tetapi amat berharap dianugerahkan hari esok yang cerah, penuh rezeki dan dijemputNya lagi.


Dari tingkap aparment Syeikh Toriq



Saya mengemas bilik, menyapu sampah dan membasuh bilik air. Walaupun Syeikh Toriq mempunyai pembantu saya tidak mahu membiarkan apartment itu kotor dan tidak kemas setelah seminggu di situ dengan percuma.

Saya siap-siap menyimpan pakaian dan barang yang hendak dibawa pulang ke dalam bag kembara saya.  Jubah warna langsat ini untuk si abang.  Jubah putih ini untuk si adik. Sejadah ini untuk orang sebelah rumah. Kurma ini untuk kawan pejabat. Tasbih ini untuk kakak...saya menghitung-hitung. Orang yang sepatutnya dapat buah tangan Mekah ini telah saya pastikan mereka dapat. 20 kilogram. Saya timbang-timbangkan beg itu dengan tangan saya. Angkat dan rasa sendiri. Pengalaman yang lepas-lepas membuatkan saya mahir untuk mengagak beg ini tidak melepasi 20 kilogram walaupun tanpa menggunakan mesin timbang.

 

 

Membeli-belah di Mekah


Dua hari lalu saya sudah membeli-belah di sekitar Masjid al-Haram. Ada juga yang saya beli di kedai di kaki bukit aparment Syeikh Toriq. Semuanya mesti diselesaikan sebelum tawaf wada. Selepas tawaf wada, hal-hal peribadi tidak boleh dibuat. Ambil gambar, makan  minum, semuanya harus dibereskan sebelumnya. Selepas tawaf wada terus sahaja keluar dari kota Mekah, jangan ditangguh-tangguhkah. Inilah peraturannya.

Gedung membeli-belah di hadapan Masjidil Haram

Deretan kedai di jalan-jalan berdekatan dengan Masjidil Haram

Macam-macam bau-bau dengan pelbagai jenama menarik sesiapa sahaja mendekatinya

Pasaraya Bin Dawood yang popular di tanah Arab

Emas juga banyak dijual

Pelbagai jenis roti dan pastri boleh didapati di medan selera di pusat membeli-belah di hadapan Masjidil Haram




Tawaf Wada



Tawaf Wada perlu dilakukan dengan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan Allah sebelum meninggalkan kota Mekah


Sekali lagi saya mengelilingi Kaabah. Tujuh kali keliling. Saya menatap rumah Allah ini sepuas-puasnya. Setelah itu saya solat sunat tawaf. Selanjutnya berdoa memohon Allah menerima ibadat saya. Memohon supaya ini bukanlah kunjungan saya yang terakhir. Mengingatkan bahawa inilah saat-saat akhir saya berada di Mekah, hati begitu sayu. Sebak.


Undangan Makan di Rumah Syeikh Toriq, Ahli Perniagaan Jeddah 


Setelah selesai tawaf Wada kamipun menunggu di lobi apartment dengan beg dan barang sudah tersedia untuk dibawa bersama meninggalkan Mekah.

Dua orang rakan Syeikh Toriq membawa kami ke Jeddah dengan kereta mereka. Seorang orang Arab. Seorang lagi berketurunan Indonesia yang tidak tahu berbahasa Indonesia. Mereka bercakap Inggeris dengan kami. Zahari sudah pulang ke Madinah kerana dia ada kuliah di Universiti Madinah.

Di Jeddah kami dibawa membeli-belah. Kemudiannya ke rumah Syeikh Toriq untuk berehat, mandi-manda dan makan tengahari sebelum kami ke lapangan terbang Jeddah untuk pulang. 

Saya melihat sebuah lori besar di kawasan rumah Syeikh Toriq. Katanya itu lori air. Ketika itu barulah saya sedar bahawa air amat kurang di Jeddah. Kalau di Malaysia, kita terlalu mewah dengan air. Tangki di rumah kita sentiasa dipenuhi air. Ia disalurkan terus ke rumah kita. Tapi di Jeddah, air dihantar dengan lori ke rumah-rumah.

Syeikh Toriq ialah seorang ahli perniagaan yang mempunyai perniagaan dan aset di luar negara. Dia mempunyai tiga orang anak. Dua orang pembantu rumah dan dua orang pemandunya kesemuanya berasal dari Indonesia. Jadi makan tengahari kami di rumah Syeikh Toriq pada hari itu ialah masakan Indonesia.

Makan tengahari bersama Syeikh Toriq dan keluarganya di rumahnya di Jeddah. Di dalam gambar ini  Syeikh Toriq duduk di kepala meja.

Lori membawa air ke rumah Syeikh Toriq


Menaiki Pesawat dari Jeddah-Qatar-Bangkok-Hadyaai.


Jeddah - Qatar - Bangkok - Hadyaai - Pulau Pinang. Itulah route dan negara yang kami harus lalui. Sebagaimana kami datang. Begitulah kami pulang.

"Subhanallazi sakarolana haza wamakunna luhu mukrini nawa inna ila robina lamun qolibun", juruterbang pesawat membaca doa yang terdengar jelas di pembesar suara pesawat.

Deruan enjin pesawat yang sesekali bergegar lembut menentang gumpulan awan gemawan mula sayup-sayup kedengaran. Saya kembali terlelap sedangkan perjalanan masih jauh. Saya mula diulit mimpi mengecapi nikmat ibadah di tanah suci.


Sampai di Hadyaai


Di Hadyaai, kawan Siam kami sudah menunggu setia di lapangan terbang. Lantas membawa kami ke apartmentnya untuk mengambil kereta yang kami tinggalkan. Amanah dijaganya dengan baik. Kalaulah dia Islam, tentu banyak pahala yang dianugerahkan oleh Allah. Dengan mengucapkan terima kasih, kami langsung memandu pulang ke Pulau Pinang.

Penulis (berpakaian serba hitam, berbunga merah jambu) bergambar bersama dengan kawan Thailand (berdiri di tengah-tengah) yang menjaga kereta kami di Hadyaai. Gambar ini diambil di Hadyaai selepas pulang dari mengerjakan umrah.



Selesailah sudah umrah saya yang pertama. Pulang ke tanahair dengan penuh keinsafan.

Saya pasti merindui tanah suci.

Memang benar kerinduan kepada tanah suci amat terasa setelah berminggu-minggu pulang. Hati sebak. Mendesak untuk pergi lagi. Setiap malam ketika lelah mendarat di peraduan empuk, saya bermimpi: berlindungkan Kaabah, berselimutkan saie. Gejolak rasa ini tidak dapat dibendung lagi. Setiap hari saya menangis. Merintih. "Aku terlalu rindu. Ya Allah, ya Raab, jemputlah aku lagi."

Akhirnya saya membuat keputusan untuk pergi lagi. Tapi kali ini untuk naik haji. Dapatkah Naramas Aman naik haji? Untuk mengetahuinya ikutilah kembara Naramas Aman dalam entri akan datang.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...