Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Rabu, 29 Januari 2014

Atlet Renang Negara Ian Leondy Jejak Bumi Rusia

Entri kali ini amat istimewa. Ia ditulis sendiri oleh atlet renang negara kita iaitu Ian Leondy. Gambar-gambar juga adalah pemberian Ian Leondy sendiri. Dalam blog ini Ian ingin berkongsi dengan anda pengalaman beliau semasa mengadakan perlumbaan renang peringkat antarabangsa di Rusia.

Bagi anda yang mempunyai pengalaman menarik seperti Ian Leondy ini dan ingin dikongsikan bersama, bolehlah menghantarkan tulisan anda berserta gambar kepada saya di notakembara@yahoo.com. Bolehlah saya terbitkan di blog ini.

Jom ikuti Ian Leondy jejak bumi Rusia melalui kolam renang...


_________________________


        Atlet Renang Negara Ian Leondy Jejak Bumi Rusia

- oleh Ian Leondy -

 

M impi menjadi kenyataan biarpun ia telah diimpikan sejak kecil lagi. Eropah sebagai sebuah tempat menarik belum pernah saya kunjungi. Kali pertama memijak bumi Eropah ialah di Rusia. Banyak perbezaan yang ketara setibanya di sana.

"Menarikkah Rusia?"

Itu soalan sinis seorang teman apabila saya menyuarakan hasrat ke Rusia, sebuah negara bekas Soviet Union yang sering dilabelkan media Barat sebagai tidak mesra pelancong.

Saya berasa bangga dalam kehidupan saya apabila dapat ke Rusia bersama rakan sepasukan, iaitu  menyertai Kejohanan Universiti Dunia di Kazan, Rusia.

Dengan persiapan latihan yang berterusan membuatkan saya lebih bersemangat untuk ke Kejohanan Dunia ini. Dalam fikiran saya bertanya, "Adakah saya akan menang atau sekurang-kurangnya dapat masuk ke peringkat akhir atau dapat memperbaiki masa peribadi saya?"

Saya telah menyertai sukan renang sejak berumur 12 tahun. Banyak pengalaman tertanam dan pertandingan yang telah saya sertai  dalam karier saya sebagai atlet negara.


Kami sepasukan renang dan pemain catur bergerak bersama ke Kazan, Rusia seawal pagi dengan penerbangan 747 milik Kazakhstan. Saya, jurulatih dan pengurus pasukan membawa bersama azam, bendera dan nama baik negara.

Penerbangan ke Kazan, Rusia mengambil masa lebih kurang sehari - 8 jam penerbangan dari Malaysia ke Kazakhstan seterusnya ke Kazan, Rusia 3 jam. Walaupun  keletihan, pengalaman berada di negara orang sangat menarik hati saya.

Ian Leondy (paling kiri) bersama pasukan renang dan catur negara di Kejohanan Universiti Dunia di Kazan Rusia. 

Tibanya di bumi Rusia pada malam hari, kami disambut baik dan meriah oleh penganjur di sana. Selepas barang-barang dipunggah naik, kami menaiki bas yang disediakan. Perjalanan ke perkampungan kejohanan dari lapangan terbang mengambil masa selama 30 minit dengan pemandangan yang cantik di bumi Kazan dapat dilihat di luar bas.

Setibanya di perkampungan Universiti, saya dan rakan sepasukan berasa suasana di bumi Kazan amat sejuk walaupun negara tersebut sedang berada dalam musim panas. Ia amat berbeza dari Malaysia.

Keselamatan dijaga dengan amat rapi di perkampungan Univeriti tersebut. Air tidak boleh dibawa masuk dan beg serta peralatan lain diimbas seperti memasuki lapangan terbang.

Semasa masuk ke perkampungan Universiti saya dan rakan sepasukan melihat begitu ramai pasukan dari luar negara berjalan kaki. Tiba-tiba hati berasa seronok melihat pasukan dari negara lain, kemungkinan boleh berkenalan dengan mereka. Mata cerah melihat perkampungan Univerisi yang begitu luas seperti 15 buah padang bola.

Sampai sahaja di blok perkampungan Malaysia yang bernombor 16, saya dan sepasukan renang disambut baik wakil yang mengatur pasukan Malaysia iaitu sukarelawan dari Rusia. Sukarelawan ini dipilih sebagai wakil tuan rumah untuk melayan atlet dari mana-mana negara. Ini memberikan peluang kepada pelajar Universiti dan masyarakat Rusia untuk terlibat dalan penganjuran temasya besar dunia. 

Selepas mendapat kunci kami diberi taklimat mengenai tempat tinggal.  Saya berkongsi bilik dengan empat orang. Bilik kami amat menarik dengan kelengkapan yang cukup selesa setaraf hotel 5 bintang.

Ian Leondy (tengah) bersama kawan-kawan sepasukan di Kazan, Rusia

Pada keesokan harinya saya dan sepasukan renang berjalan ke luar blok tempat tinggal kami. Saya dapat melihat dengan mata sendiri bahawa penganjuran temasya besar dunia ini amat menakjubkan. Pelbagai kemudahan seperti kem permainan yang selesa, tempat konsert yang luas dan pelbagai lagi, cukup  memuaskan hati.

Di hari yang berikutnya pertandingan bermula. Saya dan rakan sepasukan telah bersedia untuk pertandingan yang dianjurkan setiap dua tahun ini.

Ian Leondy (paling kanan) dan rakan-rakan sepasukan dari Malaysia bersedia bertanding di Kejohanan Universiti Dunia.

Pasukan-pasukan renang dari negara yang berlainan turut sama menaiki bas yang telah disediakan. Setibanya di kolam renang pertandingan, kawalan ketat masih lagi dilakukan dengan rapi.

Ian Leondy sedang bersedia untuk terjun ke kolam renang di Kejohanan Universiti Dunia di Kazan Rusia.

Selesai sahaja pemanasan badan, kejohanan bagi sukan renang akan bermula dalam beberapa jam sahaja lagi. Saya melihat kamera yang berada di setiap penjuru kolam. Saya amat teruja dan banyak perkara bermain di fikiran. Dengan dibanjiri peminat dari seluruh pelusuk Rusia, kegentaran terasa apabila penyokong mereka hanya menyokong peserta Rusia setiap kali mereka beraksi.

Aksi mantap Ian Leondy di dalam kolam renang di Kejohanan Universiti Dunia di Kazan Rusia.

Tamat sahaja pertandingan yang berlangsung selama seminggu, aksi dan keputusan pasukan renang Malaysia tidaklah mengecewakan tetapi cukup sekadar memperbaiki masa peribadi. Saya dan pasukan lain tersungkur di peringkat  kelayakan.

Biarpun kejohanan kedua terbesar selepas kejohanan Olimpik ini dikatakan amat sukar bagi peserta dari Asia merangkul pingat, sekurang-kurangnnya saya dan pasukan lain dapat mengambil peluang ini sebagai satu pengalaman dan pengajaran untuk dijadikan contoh bagi kejohanan lain.

Biarpun kalah dari segi bentuk badan tetapi tenaga dari kelajuan adalah amat berbeza, bak kata pepatah, "Kecil-kecil cili padi".

"Orang Rusia yang boleh dikatakan berbadan besar dan tinggi tidak seharusnya menang jika tenaga adalah rendah." Inilah kata-kata semangat yang selalu diberikan jurulatih kami untuk meningkatkan semangat kesukanan dalam diri kami.

Ian Leondy berpeluang berjalan-jalan di Kazan, Rusia. Di belakang ialah Masjid Qol Sharif.

Kami sepasukan renang diberi peluang tiga hari sehingga ke acara penutupan untuk berjalan-jalan di seluruh Kazan, Rusia yang dikenali sebagai negara Tatar. Antara tempat yang menarik dibawa ialah peninggalan bangunan sejarah lama yang begitu popular sepert masjid, gereja dan banyak lagi. Cuaca yang sejuk dalam musim panas di Kazan, Rusia amat menceriakan lagi perjalanan kami di sana.

Apabila dilihat dengan mata sendiri ternyata Kazan, Rusia juga dikunjungi ramai pelancong luar negara. 

Gembira dapat mewakili negara di Kejohanan Universiti Dunia di Kazan Rusia.

Pada malam terakhir kesemua kontijen negara turun ke stadium tertutup bagi menghadiri majlis penutupan Kejohanan Universiti Dunia ini. Tuan rumah menjadi johan keseluruhan pingat bagi temasya tahun 2013.  Banyak aksi-aksi persembahan yang menarik telah ditunjukkan dengan kami diberi beg sebagai kenangan.

Ian Leondy Atlet Renang Negara membawa nama negara ke sukan bertaraf dunia

"Menarikkah Rusia?" Soalan sinis teman saya ini terbukti tidak benar. Tuduhan media Barat juga tidak benar. Rusia adalah negara yang menarik untuk dilawati dan mesra pelancong.



Jumaat, 24 Januari 2014

Masjid Cina Pertama di Perak


"Masjid Cina kat sini dan siap. Orang dah solat raya kat situ," kata jiran saya apabila saya balik Raya Puasa di Ipoh tahun lepas. 

"Kat mana masjid tu?" tanya saya.

"Kat Tasek. Dari sini [Jalan Kuala Kangsar], straight je. Sebelah kiri, sebelum belok jalan ke TESCO Extra," jelas jiran saya.

Maklumat jiran saya ini membuat saya teruja. Jadi pada hari Raya Puasa ke-3 yang lalu saya dan keluarga saya pun pergi solat di situ. Raya Puasa lepas? Ha ha ha....dah lambat saya nak cerita pasal ni. Tapi tak apa, kan? Sebab ramai yang masih tidak tahu tentang kewujudan Masjid Cina ni.

Atap, tiang dan dinding bangunan Masjid Cina Taman Tasek Jaya, Ipoh yang bersenibina rumah ibadat di China

Apabila kami sampai di kawasan masjid itu kami nampak sebuah bangunan besar berwarna merah jambu dengan senibina China. Sekilas pandang macam tokong. Tapi bukan tokong. Ia masjid. Terpesona kami. 

Kawasan masjid ini letaknya betul-betul di belakang deretan kedai dan kawasan perumahan yang rata-rata penghuninya berbangsa Cina. Taman Tasek Jaya nama kawasannya. Masjid itu betul-betul tepi jalan.

Menara Masjid Cina Taman Tasek Jaya, Ipoh

Ketika kami ke masjid itu, azan zohor sedang berkumandang. Jelas kedengaran dari pembesar suara di menara masjid. Banyak juga kereta dan motosikal yang lalu-lalang. Tetapi ramai juga penunggang motorsikal yang menoleh beberapa kali ke arah masjid itu dengan kehairanan. Kebanyakannya orang Cina. Mungkin mereka sangka itu ialah tokong. Mungkin mereka merasa pelik mendengar azan berkumandang dari sebuah 'tokong'. Ini disebabkan masjid [yang disangkakan tokong] ini baru enam hari dibuka untuk solat. Jadi orang yang lalu-lalang pasti memberi reaksi kehairanan dan pelik.

Masjid Muhammadiah atau Masjid Cina Muslim, Taman Tasek Jaya, Ipoh yang baru dibuka tahun 2013. Gambar ini diambil 6 hari selepas ia dibuka. Ia masih belum siap sepenuhnya kerana terdapat bahagian yang dihadang untuk pembinaan.

Kamipun menuju hampir ke masjid. Masjid itu amat baru dan kerja-kerja pembinaan masih lagi dijalankan di bahagian-bahagian tertentu tetapi tidaklah menganggu.

"Masjid Muhammadiah" - itulah yang kami baca di pintu masuk Masjid Cina Muslim itu. Masjid ini mempunyai jawatankuasa daripada bangsa China, Melayu dan India. Antaranya Dr Fadzli Cheah. Pembinaan masjid itu adalah hasil kerjasama jawatankuasa Masjid Lama Muhammadiah bersama pihak Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Ipoh. Inilah Masjid Cina pertama di Perak.


Bahan-bahan binaan dan ukiran masjid ini dibawa dari China

Apabila saya masuk ke dalam masjid, bau cat baru, permaidani baru dan perabut baru menusuk hidung saya. Semua baru, semua bersih, semua cantik. 

Di dalam masjid itu luas dan dihiasi indah dengan senibina China. Bahan-bahannya diimport khas dari China. Senibina China ini melambangkan Islam itu universal. Ini bermakna bahawa Islam bukan milik sesuatu kaum sahaja, tetapi meliputi semua bangsa, warna kulit dan keturunan. Ia juga adalah satu syiar Islam. Ia mempunyai konsep yang hampir sama dengan Masjid Beijing di Kelantan. Sila klik di sini untuk membaca entri saya yang lalu tentang Masjid Beijing di Kelantan.

Tempat solat wanita di tingkat atas.

Dengan adanya Masjid Cina Muslim ini, maka Ipoh kini mempunyai satu lagi tarikan.

Jom Solat


Selasa, 21 Januari 2014

Rencana Saya dalam Majalah Dewan Budaya

 
B erita gembira!!!

Majalah Dewan Budaya, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka telah menyiarkan rencana saya pada keluaran Disember 2013. Rencana saya itu bertajuk "Islam di Utara China." Isi kandungan rencana ini saya perolehi semasa saya tinggal dan mengembara di China pada tahun 2012-2013 yang lalu.


Muka depan majalah Dewan Budaya, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka
Tajuk rencana saya dalam Dewan Budaya

Contoh rencana saya dalam Dewan Budaya

Jadi, untuk mengetahui isi kandungan rencana saya ini, dapatkan naskah Dewan Budaya ini di kedai buku berdekatan dengan tempat anda.

Jumaat, 17 Januari 2014

Burps & Giggles, Restoren Tidak Selamat dan Melalaikan?

Entri kali ini ditulis oleh penulis jemputan iaitu Amira Razali. Sebagai warga Ipoh, Amira ingin berkongsi dengan anda konsep sebuah kedai makan yang unik di Ipoh. Rekabentuk dan konsep kedai ini boleh dijadikan idea untuk anda yang ingin membuka kedai makan sendiri. Amira rasa ketinggalan sekiranya tidak mengetahui tentang kedai ini dan dia mahu anda juga sepertinya.

Jadi Yong, Yeop moh kite bace tulisan Amira ini...

_____________

    Burps & Giggles, Restoren Tidak Selamat dan Melalaikan?

-oleh Amira Razali-



P apan tanda yang besar atau warnanya yang terang, itulah cara kebiasaan setiap restoren bagi menarik minat pengunjung.  Apatah lagi, lokasi yang strategik di tengah bandar kolonial di Jalan Sultan Yusuf, Ipoh ini  mampu mendapat keuntungan yang lumayan. 

Tetapi berlainan pula bagi sebuah restoren ini apabila kita sendiri tidak sedar akan kewujudannya. Sekilas pandang, kita mungkin akan merasakan ianya seperti deretan kedai lama yang tidak digunakan lagi. Yang menariknya, restoren ini berani membiarkan pengunjung tertanya-tanya tentang keselamatan mereka untuk berkunjung ke sini secara luarannya. Hal ini demikian kerana struktur dan reka bentuk bangunannya yang kelihatan usang begitu rapuh di mata saya, seakan-akan tidak selamat untuk memasuki restoren ini.




Pengusaha 'Indulgence Restaurant', Ms Julie Song membuka restoren ini yang berkonsepkan santai dan retro iaitu Burps & Giggles. Burps & Giggles ini bermaksud apabila kita kenyang kita akan sendawa kemudian kita akan gembira bak kata pepatah "kenyang perut, suka hati."

Restoren ini dibuka seawal pagi sehingga 8 malam dan tutup pada setiap hari Selasa.

Tatkala saya dan rakan saya memasuki restoren ini, hati saya benar-benar terpaut dengan susun atur dan barangan di dalamnya.



Restoren ini tidak mempunyai menu yang tetap seperti kebanyakan restoren. Menunya akan berubah dan akan ditulis di papan hitam dengan kapur yang berwarna-warni. Tulisan kapur ini boleh membuatkan kita mengimbau zaman persekolahan.

Bagi pengunjung beragama Islam yang ingin ke sini, tidak perlu risau kerana makanan di restoren ini halal.


Keadaan restoren pada hari Ahad sekitar jam 11 pagi mula dipenuhi pengunjung.

Saya dan rakan sempat memerhati setiap ragam pengunjung. Tidak kira bangsa atau agama semuanya kelihatan gembira ke restoren ini. Dari anak kecil yang bermain-main di suatu sudut yang dipenuhi bantal dan berlatarkan gambar wanita di dinding sehinggalah warga tua yang berdua-duaan di sudut ruang kecil bertemankan tingkap yang dipenuhi gantungan buku tiga lima.

Saya terfikir sejenak sekiranya saya di tempat perempuan tua itu pasti saya bahagia kerana ditemani suami yang begitu romatik walaupun sudah tua. Setelah meneliti pasangan tua itu baru saya sedar kerusi yang diduduki mereka itu lain dari kerusi biasa. Kerusi yang dilapik oleh beberapa helai kain seperti kain selimut itu tentunya memberi keselesaan kepada sesiapa sahaja. Tidak hairanlah sudut itu menjadi pilihan mereka.



Di sini motorsikal lama atau antik digunakan untuk perhiasan. Susunan dan barangan perhiasan restoren ini benar-benar di luar kota pemikiran.

Apabila saya menaiki tangga ke tingkat atas saya dapati basikal tua beroda tiga ala-ala filem P. Ramlee yang boleh membawa penumpang di sebelah menjadi ganti meja. Basikal itu seolah-olah tergantung dan sekali lagi saya mempersoalkan tentang keselamatan pengunjung yang duduk di situ.  Saya ingin tahu: ada atau tidak pengunjung makan di situ? Apabila salah seorang pelayan ditanya, dia mengatakan di situ menjadi tempat yang paling digemari oleh pengunjung. Kayu yang kelihatan rapuh itu juga hanya sekadar seni lukis yang membuatkan kayu itu seakan hidup walhal ianya telah disimen terlebih dahulu.

Adakah warga Ipoh ini sememangnya berani? Atau mungkin saya yang penakut?



Sekali sekala saya terpandang pasangan remaja yang keluar masuk seperti mencari tempat kosong di ruangan yang diberi nama 'lazy lane'. Kaki saya terus melangkah untuk melihat keunikan di sana pula. 

Kerusi dan meja yang dikhaskan untuk dua orang saling menghadap menjawab persoalan saya. Di sini lebih santai dan mempunyai lebih privasi kerana terselindung dari kebisingan. Beberapa lukisan wanita yang gemuk berpakaian dalam sambil membawa pakaian salin yang juga pakaian dalam cukup menggelikan hati saya.


Basikal lama di hujung 'lazy lane' ini menjadi tarikan saya. Dari jauh seperti basikal lama yang lengkap tetapi apabila didekati basikal ini berbentuk 3D - separuh bahagian hadapan basikal ialah lukisan dan selebihnya barulah basikal yang sebenar. Apatah lagi yang menaikinya artis antarabangsa yang terkenal iaitu Marilyn Monroe.


Saya minum latte. Ia memuaskan hati saya kerana rasanya sedap seperti rupanya. Ia dihidangkan dengan seni yang cantik berbentuk hati di permukaan latte. Buat penggemar drama Korea, tentu sukakan latte yang dihidang sebegini rupa. Saya juga terleka seketika takala menikmati latte ini. Rasa seperti berada di Korea.  Jika si pembuatnya lelaki ala-ala lelaki Korea, boleh jadi seharian saya di restoren itu.




Apabila difikirkan kembali tentang masa yang diambil restoren ini untuk menyediakan hidangan sememangnya agak lewat. Walau bagaimanapun, restoren ini bijak kerana membawa konsep retro dan santai dengan hiasan yang pelbagai. Pengunjung akan jadi lalai dan terkesima untuk melihat di sekeliling. Sekuang-kurangnya mereka tidak begitu prihatin tentang masa. Begitu juga dengan keselamatan di sini. Bangunannya kelihatan rapuh tetapi faktor keselamatan diutamakan dan ia telah diuji terlebih dahulu.


Selasa, 14 Januari 2014

Acheh Lagi (3): Anehnya Kubah Masjid di Banda Acheh

S aya sempat melawat banyak masjid di Banda Acheh pada kunjungan 23 Disember - 27 Disember 2013. Selain daripada masjid-masjid yang terselamat dari bencana tsunami 2004, yang pernah saya ceritakan sebelum ini, ada dua buah masjid lagi yang menarik hati saya untuk diceritakan dalam blog ini.

Kedua-dua masjid ini agak aneh. Anehnya masjid ini terletak pada kubahnya. Kedua-dua masjid ini ialah Masjid Gampong Lamteungoh dan Masjid Teuku Umar.


Kubah Masjid Lamteungoh di Tengah Sawah Gampong Gurah


Kubah masjid di tengah sawah Gampong Gurah

Saya ke Gampong Gurah. Di Gampong Gurah ada sawah yang terbentang luas. Sangat hijau. Sangat damai. Di latar belakang sawah terdapat gunung-ganang yang teguh.  Indahnya seperti sebuah lukisan yang telah dibingkaikan. Untuk ke sawah ini saya perlu meniti batas-batas yang sempit. Tetapi di tengah-tengah sawah Gampong Gurah terdapat sebuah kubah masjid. Hanya kubah, tanpa bangunan masjid untuk saya solat. Bagaimana kubah itu terdampar di tengah sawah? Mengapa ia berada di situ?

Sebenarnya kubah itu telah diangkat oleh ombak tsunami 2004 dari Gampong Lamteungoh yang letaknya 2.5 km dari situ.
 
Kubah di tengah sawah dari syot yang ditangkap lebih  dekat. Kubah masjid ini telah dihanyutkan oleh ombak tsunami dari kampung lain sejauh 2.5km.

Apabila saya melihat sendiri kubah itu, saya rasa kagum dengan kehebatan Allah kerana kubah itu dibuat daripada batu dan simen yang amat berat. Mustahil bagi sesiapa mengangkatnya dan meletakkannya di tengah-tengah sawah yang hanya boleh dituju melalui batas-batas sawah yang halus.


Quran yang tidak berganjak dari atas tiang di dalam kubah Masjid Gampong Lamteungoh


Di dalam kubah itu masih terdapat beberapa naskah Al-Quran yang tidak diusik atau dihanyutkan air. Malahan tiada satupun bahan di dalam kubah itu diubahsuai.

Kejadian ini menginsafkan saya bahawa ia satu lagi bukti kehebatan dan kekuasaan Allah. Ombak tsunami yang tinggi dan kuat itu mampu membawa kubah masjid yang berat jauh ke tempat lain tetapi tetap memelihara kitab suci Al-Quran daripada musnah.


 

Kubah Masjid Teuku Umar Satu-satunya Kubah Masjid Berbentuk Kupiah


Anehnya kubah masjid Teuku Umar!  Apakah yang anehnya? 

Sekali imbas kubahnya berbentuk loceng atau candi tetapi ....

Kubah Masjid Baitul Musyahadan atau Masjid Teuku Umar yang aneh.


Nama asal masjid ini ialah Masjid Baitul Musyahadan. Tetapi disebabkan keanehan kubahnya maka ia lebih dikenali dengan Masjid Teuku Umar.  

Masjid Baitul Musyahadah mempunyai beberapa konsep dan falsafah di sebaliknya. Ia diilhamkan oleh seorang cendiakwan Acheh Profesor Ali Hasjmy. Ketika itu Ali Hasjmy menjabat Gabenor Aceh, 1957-1964. 

Dilihat dari segi bangunannya masjid ini berbentuk segi lima yang melambangkan pancasila dan lima rukun Islam. Kubahnya berbentuk kupiah Teuku Umar sebagai lambang kepahlawanan Acheh semasa Perang Acheh dahulu.

Pahlawan dan Srikandi Acheh di Muzium Tsunami, Banda Acheh

Perang Aceh ialah perang Kesultanan Aceh melawan Belanda dimulai pada 1873 sampai 1904. Teuku Umar ialah pahlawan Acheh yang menentang Belanda daripada menjajah Acheh. Teuku Umar berjuang bersama dengan Panglima Polim. Perang ini disytiharkan sebagai fisabilillah. Teuku Umar terkorban dalam peperangan ini. Isterinya iaitu Cut Nyak Dhien kemudiannya meneruskan perjuangannya sehingga beliau ditangkap dan mati dalam buangan di Sumedang.

Kupiah Teuku Umar di bahagian mihrab. Ukiran pintu Acheh menghiasi kiri kanan dinding.

Jadi, bentuk kubah itu diilhamkan dari kupiah Teuku Umar sebagai lambang kepahlawanan Acheh yang berjihad mempertanahkan pertiwi daripada jatuh ke tangan kafir. 

Bentuk kupiah Teuku Umar ini bukan sahaja terdapat pada kubah masjid tetapi pada bahagian mihrab dan gerbang masuk kawasan masjid. 

Masjid Teuku Umar ini letaknya di Jalan Teuku Umar (Seutui), Banda Aceh. Saya sempat solat di masjid ini dan melihat persekitarannya yang unik dan indah. Satu lagi  senibina masjid yang unik dan kreatif. 

Gerbang masuk kawasan Masjid Teuku Umar juga dihiasi dengan kupiah Teuku Umar.


Jumaat, 10 Januari 2014

Acheh Lagi (2): Hari Renungan Tsunami dan Makan Malam Bersama Anak-anak Yatim

G empa bumi dan tsunami di Acheh pada 26 Disember 2004 adalah kejadian yang menggemparkan seluruh dunia. Ribuan rakyat terkorban, harta benda musnah dan tragedi ini meninggalkan kesan yang memilukan.


Iktibar Dari Kejadian Tsunami

 
Masjid Raya Baiturahman yang terselamat dari disapu ombak ganas tsunami


Peninggalan kesan-kesan tsunami di Acheh dapat dilihat pada masjid-masjid yang terselamat, bot dan kapal yang tersadai di atas rumah dan darat, perkuburan syuhada dan gambar-gambar yang dipaparkan di dinding tempat-tempat lawatan serta muzium.

Masjid Rahmatullah di Lampuuk yang sekelilingnya menjadi padang jarak padang terkukur, namun masjid ini tetap kukuh daripada dibaham tsunami walaupun kedudukannya beberapa langkah sahaja dari laut


Saya ke Acheh lagi dan melihat kembali kesan-kesan tsunami itu. Ia membawa keinsafan dan iktibar kepada saya. Kebesaran Allah ternyata hebat di hadapan mata.

Saya telah ceritakan hal ini dalam entri tahun lepas dan anda bolehlah imbas kembali kisah iktibar dari masjid yang terselamat di sini dan kisah bot/kapal yang tersadai di darat di sini.

Helikopter, kapal keluli dan bot nelayan yang tersadai jauh di darat dan di atas rumah sebagai bukti kehebatan/kekuasaan Allah


Kejadian gempa dan tsunami 2004 membawa kesedihan, tidak kurang juga memberi hikmah. Acheh kini aman, tidak lagi bersengketa akibat daripada gerakan kemerdekaan Acheh. Acheh kini lebih maju. Dunia membantu rakyat Acheh untuk membangunkan Acheh kembali. Peninggalan tsunami dijadikan ingatan kepada semua, diabadikan di dalam muzium dan dijadikan sumber pelancongan.

Allah sentiasa mencuba hambaNya supaya manusia insaf akan dirinya dan ingat akan kekuasaan Allah.

 

 

Hari Renungan Tsunami dan Zikir Akbar


Hari ini pada 26 Disember 2013, genaplah 9 tahun peristiwa tragis itu.  Pada hari ini saya berada di Banda Acheh. Pada tarikh ini hari Renugan Tsunami diadakan di seluruh Acheh bagi mengenang kembali peristiwa sejarah itu. Di Banda Acheh ia disambut secara besar-besaran. Saya, keluarga saya dan kawan-kawan saya hadir di majlis Renungan Tsunami ke-9 yang diadakan di Taman Sulthanah Safiatuddin.

Pagi-pagi kami sudah berada di majlis besar itu. Semua yang hadir diberikan makan kuih, air dan kek yang diletakkan di dalam kotak. Kami duduk di kerusi dan bersama-sama berzikir, bertahmid dan bersalawat. Suasana amatlah sayu dan ramai yang menitiskan air mata.

Bacaan ayat-ayat suci al-Quran tentang dugaan yang diberikan oleh Allah ditaranumkan dengan indah dan tafsirannya menginsafkan hadirin. Nasyid dilagukan dengan merdu. Ucapan dari wakil walikota Acheh dan pemimpin diberikan bagi mengenang tsunami 2004.

Hari Renungan Tsunami yang ke-9 - Zikir Akbar dan Doa beramai-ramai
Zikir yang diketuai oleh 3 orang ulama
Hadirin yang mendengar persembahan nasyid dan ucapan.
Nasyid

Makan Malam Bersama Anak-anak Yatim


Pada malam sebelumnya, saya dan rombongan saya telah ke Dayah Nurul Huda iaitu rumah dan pesantren (pondok agama) untuk anak-anak yatim. Kami sampai selepas solat maghrib. Keadaan lorong ke pesantren itu gelap. Sesampainya kami di sana, kami sangat terharu dengan sambutan anak-anak yatim itu. Dari jauh kami sudah mendengar suara khasidah dilagukan oleh anak-anak yatim yang berbaris di lorong masuk pesantren. Pesantren itu adalah rumah kayu yang amat ringkas dan serba kekurangan. Suasana agak gelap kerana hanya sedikit sahaja lampu dinyalakan.

Kami hadir untuk makan malam dan beramah mesra dengan anak-anak yatim. Wang untuk makan malam sudah kami berikan lebih awal kepada pihak pengurusan Dayah Nurul Huda. Anak-anak yatim itulah yang bergotong-royong memasak untuk majlis makan malam itu.

Kami mendapat tahu yang mereka berjumlah 220 orang. Ibubapa mereka terkoban dalam bencana tsunami dan konflik Acheh. Ada juga anak-anak fakir miskin.

Menurut Mahlizar, pemandu pelancong kami, ketika beliau pertama kali terjumpa rumah anak-anak yatim ini, beliau mendapati mereka kekurangan makanan dan pernah keputusan beras. Oleh kerana itu apabila ada orang Malaysia yang mahu membuat sumbangan untuk anak-anak yatim, beliau suka membawa mereka ke sini.

Kami disambut oleh anak-anak yatim Dayah Nurul Huda dengan khasidah. Dayah Nurul Huda dibangunkan oleh individu dan masih memerlukan bantuan orang ramai untuk membiayai 220 orang anak-anak yatim ini.

Anak-anak yatim lelaki beratur mengambil makanan
Anak-anak yatim perempuan membantu menghidangkan makanan
Ibubapa mereka terkorban semasa tsunami, ada yang terkorban semasa konflik kemerdekaan Acheh (GAM) dan ada yang fakir miskin.

Anak-anak yatim perempuan lebih ramai daripada anak-anak yatim lelaki di Dayah Nurul Huda

Rasulullah SAW amat menyayangi anak-anak yatim. Baginda menganggap mereka yang berbuat baik dengan anak yatim amat akrab hubungannya dengan baginda SAW di syurga nanti.

Allah juga menyuruh kita berbuat baik dengan anak-anak yatim dan melarang kita memakan harta mereka:

Maksud firman Allah:
Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang. Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu mengherdiknya (ad-Dhuha: 9-10).

Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim (al-Maun: 1-2).

Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (halal) (al-Israk: 34).

Sumbangan Ikhlas Diperlukan


Bagi anda yang berminat untuk menjalankan amal dan menderma kepada anak-anak yatim ini bolehlah menghubungi:

Ustaz Syed Hamzah Salim di nombor 0139841851 atau 0139832018,
atau email kepada:  syhamzahs@gmail.com & layari unic-homestay.blogspot.com
No Akaun: 06019010082342 (BIMB)

...bersambung


Khamis, 2 Januari 2014

Acheh Lagi (1): Pulau Sabang, Kemegahan Acheh Yang Tersembunyi

E ntri sulong untuk tahun 2014 ini ingin menceritakan kisah kembara saya ke Sabang. Letaknya di Pulau Weh, pulau paling barat di Indonesia. Pulau ini juga dikenali dengan Pulau Sabang.

Peta ini terdapat di Pelabuhan Balohan, Sabang, Pulau Weh


Sebagaimana tahun lepas, saya bersama keluarga saya pergi ke Acheh bersama kawan saya Hajah Salwa. 5 hari kami di Acheh. Hajah Salwa yang kaki jalan macam saya kini mengembangkan sayap baru iaitu menubuhkan syarikat pelancongan sendiri bernama Wilayah Utara Travel Sdn Bhd. Jadi kami pergi dengan syarikatnya. 30 orang semuanya.

Untuk mengetahui kembara saya ke Acheh pada tahun 2012 sila klik di sini.

 

Konvoi Bemo (Beca Motor) ke Pelabuhan Ulee Lheue



Pagi tanggal 24 Disember 2013 itu sungguh nyaman. Langit dikabuti kabus yang putih kelabu. 

Awal-awal pagi lagi saya bersama rombongan Wilayah Utara Travel keluar dari Sulthan Hotel, tempat penginapan kami. Kami akan ke Pelabuhan Ulee Lheue. Cara menyebut Ulee Lheue ni agak susah. Kita kena juih-juihkan bibir bawah kita untuk menyebutnya dengan betul.

"Kita naik beca!" kata suami Salwa pada kami.

"Naik beca? Ramai-ramai ni?"  soal saya dengan tidak percaya. 

"Kita naik beca!" ulang suami Salwa lagi.

"Ye ke ni? Macam tipu je!" kata saya kerana sangkakan dia bergurau.

"Broom...broom...broom."

Tiba-tiba 15 buah bemo datang ke depan hotel. Saya masih rasa tak percaya.

Semua ahli rombongan bergegas menaiki bemo itu. Rupa-rupanya Hajah Salwa dan suaminya telah membuat surprise - kami naik bemo secara konvoi untuk ke Pelabuhan Ulee Lheue.

Oleh kerana terkejut saya terlambat naik. Jadi saya dapat bemo yang corot.

Seronoknya dapat konvoi beramai-ramai dengan bemo dan melalui jalan-jalan utama Banda Acheh.  Bemo itu pada mulanya dipandu perlahan, tetapi ia kemudiannya dipandu semakin laju dan laju. Ini membuatkan kami menyeringai dan menjerit kerana seronok. Weee.... macam naik roller coaster!

Sekejap saja rasanya naik bemo. Tak lama lepas itu kamipun sampai ke Pelabuhan Ulee Lheue.

Dari situ kami menaiki feri ke Pulau Weh. Orang agak ramai juga.

Konvoi dengan bemo melalui jalan-jalan di Banda Acheh

Menaiki Feri dari Pelabuhan Ulee Lheue ke Balohan, Sabang


Sabang tidak sepopular Bali, ini disebabkan kurangnya promosi. Tetapi keindahannya mengasyikkan dan saya rasa amat bertuah kerana dapat melaksanakan impian saya ke pulau kemegahan Acheh yang tersembunyi ini.

Feri ke Sabang berharga IDR 65,000 untuk kelas ekonomi, IDR75,000 untuk kelas pertengahan dan IDR 95,000 untuk kelas VIP. Tapi kami cuma memilih kelas ekonomi sahaja.

Perjalanan memakan masa 45 minit. Saya telah menelan penawar muntah terlebih dahulu. Plastik untuk membuang muntah juga disediakan oleh anak-anak kapal. Alhamdulillah ombak ketika itu amat tenang. Jadi kedua-duanya gagal membuatkan saya muntah.
 
Apabila sampai di Sabang, Pulau Weh kami melihat papantanda di jeti menyambut kedatangan kami. Van juga sudah sedia menanti untuk membawa kami makan angin di pulau itu.


Jeti di Sabang, Pulau Weh.


Inilah feri yang kami naiki. Feri Express Bahari 3B membawa penulis dari Pelabuhan Ulee Lheue (Banda Acheh) ke Balohan (Sabang).

Apa Ada di Sabang?


Rupa-rupanya Pulau Weh ni berbukit-bukau. Jadi jalannya agak berliku-liku tetapi tidaklah securam Cameron Highland. Kami semakin menaik. Ingatkan van kami tidak mampu menaiki bukit-bukau itu. Tapi sangkaan kami meleset. Kami disinggahkan di atas bukit, di tebing tingggi dan menghadap teluk. Mungkin inilah Telok Balohan. Keindahan teluk ini membuatkan saya terpukau dan lupa hendak bertanya nama teluk ini pada Mahlizar, pemandu pelancong kami sejak tahun lepas.

Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke pekan Sabang. Dalam perjalananan kami menyaksikan hutan rimba yang malar segar, kampung-kampung terpencil dan pemandangan laut yang memukau.

Pemandangan Lautan India di Balohan


Benteng Pertahanan Jepun, di Anoi Itam


Seterusnya kami ke Benteng Pertahanan Jepun yang telah dibina pada tahun 1942. Benteng ini terletak di atas tebing tinggi di pinggir laut Anoi Itam. Jadi, untuk melihatnya kami kena naik anak-anak tangga. Penat juga.

Di atas tebing terdapat kira-kira tiga buah kubu pertahanan tentera Jepun di sini. Terdapat juga meriam lama yang menghadap laut lepas.

Pemandangan di atas tebing yang menghadap Selat Melaka itu amat cantik. Pohon-pohon kelapa menari-nari di tiup angin segar. Rumput-rumput pula menghijau dan tumbuh pendek bagaikan baru sahaja dipotong. Asyiknya saya dengan suasana indah dan damai ini, terasa amat berat kaki meninggalkan tempat ini.

Benteng Pertahanan Jepun, dibina pada 1942.
Rumput hijau tumbuh segar dan pendek seperti baru dipotong


Pemandangan Selat Melaka dari tebing Benteng Pertahanan Jepun, di Anoi Itam.



Menginap di Sabang Hill


Kami menginap di Sabang Hill yang letaknya di atas bukit yang tinggi dan menghadap Lautan India.


Sabang Hill hanya satu tingkat dan letaknya di atas bukit menghadap Lautan India


Bilik ini muat untuk dua orang dan saiznya agak kecil.  Bilik airnya mempunyai pili untuk beristinjak. Shower disediakan, tetapi sinki dan paip tidak disediakan. Susah sikit nak ambil wudhuk. Flat screen tv dan penghawa dingin disediakan.

Pemandangan Lautan India dari atas bukit di hadapan hotel Sabang Hill

 

Makan dan Membeli-belah


Di Pulau Weh ada sebuah pekan kecil bernama Sabang. Kami ke pekan Sabang selepas berehat di Sabang Hill.

Makanan yang enak sesuai dengan selera orang Melayu disajikan di restoren Perkasa Utama, pekan Sabang. Hidangan utama mereka ialah ayam tangkap, gulai ikan Acheh, sambal kemamah, telur dadar, gulai kacang panjang,  sup sayur dan macam-macam lagi.

Kedai-kedai runcit dan souvenir juga terdapat di sini. Kami sempat membeli beg, fridge magnet, pop ice (serbuk minuman untuk ice blended), dendeng Acheh dan bakpia iaitu kuih asli Sabang.

Pekan Sabang. Rumah dua tingkat itu ialah restoren Perkasa Utama


Ayam Tangkap ialah ayam kampung yang digoreng rangup dengan daun kari

Bakpia Sabang ~ Bakpia ialah kuih tradisional Sabang. Ia berintikan kacang hijau. Ia mempunyai 3 perasa: biasa, pandan dan kopi. Ia dijual dalam kotak yang mengandungi 10 biji. Sekotak berharga IDR10,000.00

Yang perlu dibawa balik dari Sabang

Fridge magnet Sabang berharga IDR10,000.00



Kilometer Nol


Selepas makan, kami menaiki van dan melalui hutan-hutan yang terdapat di Sabang. Jalan berliku-liku dan berbukit-bukit. Kadang-kadang kami ternampak monyet melintas jalan.

Kira-kira 15 km perjalanan kami sampai ke Tugu Kilometer Nol yang letaknya di hujung Pulau Weh. Di Kilometer Nol inilah jarak Indonesia mula diukur dari 0 km sehinggalah ke Meuroke, Papua.

Setelah mendaki Tugu Kilometer Nol, kami diberikan sijil penghargaan dari Pemerintah Acheh! Sijil itu mencatatkan nama kami, tarikh dan pengunjung yang ke berapa.

Kedai-kedai cendermata yang terdapat di Kilometer Nol.
Kiraan Kilometer Nol bermula di sini

Tanda Kilometer 0 sedang dibina di hadapan tugu KMO

Sijil ini diberikan kepada saya selepas mendaki Tugu Kilometer Nol. Mutu kertas dan cetakannya amat bagus. Lihat saya pengunjung ke 84,684. Nama saya, saya padamkan untuk memelihara kerahsiaan.


Melihat Pemeliharaan Terumbu Karang dan Ikan di Taman Dasar Laut Iboih


Kami kemudiannya ke Iboih. Kami akan melihat terumbung karang dan ragam ikan dalam bot kaca. Seronoknya. Kami dapat bayangkan yang ikan-ikan itu berenang di atas kami dan kami mendonggakkan kepala melalui kaca bot. Saya terbayangkan underwater world seperti di Melbourne Aquarium.

Apabila sampai di Iboih kami berehat di tepi pantai sambil menunggu bot kaca sampai. Di sini terdapat ramai orang bersantai dan berniaga. Chalet yang dipanggil bungalow oleh orang pulau ini banyak didirikan di atas tebing. Saya lihat ramai Mat Salleh menginap di situ. Dianggarkan sewa bungalow ini semalam adalah RM100 dan boleh ditempah secara online.

Setelah menunggu, sebuah bot kecil sampai. Kami menaiki bot kecil itu. Ia boleh memuatkan kira-kira sepuluh orang. Kami duduk di bangku mengelilingi kotak kayu yang diletakkan di tengah-tengah bot yang telah ditebuk lubangnya. Kaca akuarium telah siap dipasang pada kotak itu untuk kami meninjau dasar laut. Rupa-rupanya inilah bot kaca yang dimaksudkan. Sangkaan kami meleset. Kami kena merenung ke bawah melalui lubang yang ditebuk di tengah-tengah perut bot. Lubang itu pula telah diletakkan kaca akuarium supaya kami boleh nampak dasar laut dengan jelas.

Pemandu yang menerajui bot kami menjelaskan tentang pemeliharaan batu karang dan ikan itu yang telah musnah dihanyutkan oleh ombak tsunami pada tahun 2004. Kini mereka mememeliharanya semula.

Kami dapat melihat ikan-ikan berenang dan terumbu karang yang baru tumbuh di dasar laut yang jernih airnya.
 
Di hadapan kami ada Pulau Rubiah. Kami boleh memilih untuk berehat di Pulau Rubiah sekiranya mahu, tapi kami sepakat tidak berbuat demikian, cuma melihatnya dari jauh.

Pantai Iboih


Penjaja di Iboih

Iklan snorkling


Chalet tepi pantai Sabang
Bungalow di tebing Iboih

Bungalow di gigi laut Iboih yang boleh disewakan. Bungalow di atas tebing



Bot untuk melihat batu karang dan ikan di Iboih.

Batu karang dan ikan yang dipelihara di dasar laut ini dapat dilihat melalui kaca yang ditebuk lubangnya di tengah-tengah bot

Bot di Pulau Sabang


Bot yang kami naiki tadi kami tinggalkan ketika hampir senja. Di belakang sana ialah Pulau Rubiah.





Pesona Senja di Sukakarya



Saya, keluarga saya dan rakan Wilayah Utara Travel Sdn Bhd berkesempatan menikmati indahnya senja di salah satu tebing laut di Sabang ini. Letaknya di Taman Wisata Kuliner, Gampong Kuta Bara, Kecamatan Sukakarya.

Kami bersantai-santai sambil minum jus alpokat dan duduk di bangku menghadap laut lepas, menanti matahari beradu. Senja petang itu di Pulau Weh terasa begitu damai.

Sinaran matahari seolah-olah membakar kaki langit bahkan sebahagian cahaya jingganya tumpah di permukaan air Lautan India. Ombak Lautan India ini berbuai lembut. Ia tidak pernah beristirehat barang sejenak pun. Di kejauhan bot-bot kecil mudik menghiasi kedamaian senja.

Senja di Sukakarya


Menikmati jus alpokat di tepi pantai ketika senja di Sukakarya


...bersambung


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...