Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Sabtu, 22 Februari 2014

10 Kejutan di Ontario, Kanada: Mengembara Cara Main Redah dan Memandu di Amerika Utara Sejauh 2,798.2km (Bhg. 2)

S ebagaimana yang saya ceritakan dalam entri yang lepas, saya memulakan kembara saya dari Ohio dengan menaiki van sewa dan kereta sewa bersama-sama dengan Mr Hubby, anak saya yang berusia 11 bulan  dan kawan-kawan saya. Kami menuju ke utara iaitu menghala ke Ontario, Kanada. Destinasi utama kami ialah Air Terjun Niagara yang letaknya di Tasik Besar Ontario yang bersempadan dengan New York, Amerika Syarikat dan Ontario, Kanada.

Untuk menuju ke situ kami melalui kota-kota utama di Ohio dan Pennsylvania. Perjalanan memakan masa kira-kira 4 jam. Ketika ini musim panas. Tetapi apabila ia hampir ke sempadan Kanada, suhunya menurun.

Peta Kembara Main Redah  kami di Amerika Utara

Geng Kembara Main Redah


Saya dan rakan-rakan di Taman Botani Niagara. Yang tangkap gambar Mr Hubby. Mr Hubby tak suka gambarnya diambil, jadi memang susah nak tengok dia dalam gambar.

 

1. Shima, Nik  & Sons (macam nama syarikat he he he)


Shima ambil Master Degree in International Affairs di Ohio University. Suaminya Nik  menemaninya semasa belajar. (Nik kata, "Jadi house husband" ..kik..kik..kik..). Mereka sudah ada tiga orang anak, semuanya lelaki. Jadi apabila isterinya ke kuliah, dia jaga anak-anaknya itu dan mengemas rumah. Nik memang pandai menghias rumah.

2. Marina & Taufik 


Marina ke Amerika menemani suaminya Taufik yang mengambil Master Degree in Political Science di Ohio University. Taufik pandai memasak dan mengemas rumah. Macam-macam masakan dia boleh masak. Tetapi apabila Taufik ke kuliah, Marina tak payah masak atau kemas rumah he he he, yang buat kerja-kerja rumah tu ialah Taufik.

3. Saya, Mr Hubby & Son


Saya mengambil Master Degree in Film di Ohio University. Saya mengenali Mr Hubby ketika belajar di sana dan berkahwin di sana dan kemudiannya mendapat anak. Mr Hubby ambil Bachelor Degree in Engineering. Mr Hubby paling tak suka kalau gambarnya diambil, dia akan tarik muka masam dan merungut. Mr Hubby suka memandu dan memasak.

Jadi setiap perempuan dalam geng ini ada hero masing-masing. Jadi ketiga-tiga hero inilah yang memandu sepanjang kembara main redah kami di Amerika Utara ini. Yang perempuan jaga anak dan jadi co-pilot. Tetapi disebabkan ketiga-tiga hero kami pandai memasak, dia oranglah chefnya manakala yang heroinenya jadi pengkritik makanan he he he...

Saya (berdiri) di hadapan pagar kampus Ohio University, Athens, Ohio pada musim sejuk 1990. Nampak vintage tak gambar saya ini?

10 Kejutan Yang Ditemui 

 

Istimewanya mengembara cara main redah ini ialah kita tidak perlu tergesa-gesa, boleh rileks-rileks, jalan ikut suka, masuk lorong-lorong yang pelancong selalu tak pergi... Dan sudah tentu kejutan demi kejutan kami temui sepanjang pengembaraan cara main redah ini.


Kejutan #1: Air Terjun Niagara di New York, Amerika Syarikat Yang Tinggi dan Menakjubkan


Ketika kami sampai di Tasik Besar Ontario, yang bersempadan dengan negeri New York hari sudah tengahari dan cuaca amat panas ketika itu. Kami menuju ke Air Terjun Niagara di bahagian Amerika Syarikat.


Inilah kejutan kami yang pertama. Air Terjun Niagara adalah air terjun yang tertinggi di Amerika Utara. Ketinggiaanya amat menakjubkan. Allahu Akbar! Hebatnya ciptaan Allah. Kagum.

Saya, Mr Hubby dan anak berada di Air Terjun Niagara di bahagian New York, Amerika Syarikat

Sebelum ini saya pelajari tentang Tasik-tasik Besar Amerika Utara di dalam kelas Geografi di sekolah. Saya teringat cikgu Geografi saya, Mr Wong. Dia beri saya formula cara untuk ingat nama tasik-tasik besar itu — "See How Micheal Eat Orange." Sampai ke hari ini saya ingat ... he he he... — Tasik Superior, Tasik Huron, Tasik Michigan, Tasik Erie dan Tasik Ontario. Tasik-tasik ini memisahkan sempadan di antara Amerika Syarikat dan Kanada. Ia mempunyai fungsi penting sebagai jalan keluar masuk kapal-kapal, sumber elektrik hidro, pelancongan dan ekonomi kedua-dua buah negara itu. 

Saya tidak menyangka bahawa saya telah dapat melihat tasik besar yang dahulunya saya hafal untuk menduduki peperiksaan SPM. Tasik ini amatlah besar, bagaikan laut yang terbentang luas.


Kejutan #2: Air Terjun Niagara di Ontario, Kanada yang Lebih Hebat dan Lebih Menakjubkan

 

Setelah puas melihat dan mengagumi  Air Terjun Niagara di New York kamipun menyeberangi Tasik Besar Ontario untuk menuju sempadan Kanada pula.
 

Passport saya dicop ketika memasuki Kanada kali ke-2, melalui Air Terjun Niagara pada tahun 1992

Passport saya dicop ketika memasuki Kanada kali pertama, melalui Air Terjun Niagara pada tahun 1990


Kami melalui imigresen dan dibenarkan masuk dengan begitu mudah. Kamipun menuju ke tebing Tasik Besar Ontario di bahagian Kanada pula. Sekali lagi saya terpukau dengan kehebatan Allah SWT. Allahhu Akbar! Subhanallah! Ternyata Air Terjun Niagara yang di sebelah Ontario, Kanada lebih hebat, lebih menakjubkan dan lebih tinggi berbanding dengan yang di New York tadi. Oleh kerana tingginya air terjunnya maka tempias dari air terjun ini membasahi pakaian kami. Oleh itu ramai yang memakai baju hujan dan payung untuk mengelakkan daripada basah.

Saya pasti terpegun dan memuji kebesaran Allah setiap kali saya melihat air terjun Niagara ini. Kali pertama saya melihat Air Terjun Niagara adalah pada musim sejuk 1990 dan kali kedua pada musim panas 1992.  Jadi, gambar di bawah ini ada yang pada musim sejuk dan ada yang musim panas.


Tinggi dan tajamnya air terjun Niagara di Kanada. Di musim sejuk, sekiranya suhu terlalu rendah, ia boleh beku.


Antara air terjun dan jeram yang terdapat di Air Terjun Niagara

Saya gembira dapat berada di Air Terjun Niagara yang tinggi ini.

Lagi saya posing di Air Terjun Niagara di Kanada. Di belakang/seberang saya ialah New York, Amerika

Di seberang sana ialah New York, Amerika Syarikat. Rainbow Bridge menyambungkan Kanada dan Amerika.

Kami berjalan-jalan di tepi tebing sambil melihat air terjun-air terjun, jeram-jeram, batu-batu dan kapal-kapal. Tebing ini sentiasa ramai orang. Untuk melihat air terjun ini di balik curahan terjunannya, kami memasuki lorong bawah tanah yang letakknya di bawah air terjun. Nama tempat itu ialah Table Rock House. Kami diberi baju hujan untuk dipakai supaya kami tidak basah. Memasuki bawah Air Terjun Niagara adalah satu pengalaman yang amat istimewa.

Saya dan kawan-kawan memasuki terowong menuju ke bawah terjunan Air Terjun Niagara yang bernama Table Rock House. Tapi gambar ini diambil ketika saya datang buat pertama kali pada tahun 1990
Di bawah Air Terjun Niagara -Table Rock House Lookout menyediakan tempat paling strategik untuk melihat pemandangan Air Terjun Niagara yang mengagumkan

Terdapat kapal yang beroperasi di Tasik Besar Ontario dan mendekati Air Terjun Niagara. Kapal yang terkenal itu bernama "Maid of the Mist." 

Sekiranya hendak menaiki kapal di Tasik Besar Ontario itu, kita perlu membayar tiketnya dan pada pandangan kami ketika itu, yang mengembara secara ciput, ia agak mahal. Kami hanya melihat sahaja kapal itu belayar. Bagi kami berada di Air Terjun Niagara itu sahaja sudah seribu rahmat.

Tetapi mulai tahun 2014, Maid of the Mist tidak lagi beroperasi dari Kanada tetapi hanya beroperasi di bahagian New York, Amerika Syarikat.

Orang sentiasa ramai di Air Terjun Niagara


Kejutan #3: Anak Sulong Saya Memulakan Langkah Pertama dan Berjalan


Taman Niagara


Kami kemudiannya berjalan-jalan di taman Niagara. Anak sulong saya ketika itu berusia 11 bulan. Dia belum boleh berjalan lagi. Tak sabar saya menunggu dia berjalan. Tetapi satu kejutan telah berlaku di Niagara...

Satu sejarah dalam hidup saya yang tidak saya lupakan ialah ketika berada di taman Niagara itu, anak sulong saya tiba-tiba berjalan. Yang mula-mula perasan ialah Taufik. Lalu Taufik menjerit-jerit kegembiraan. Kawan-kawan saya yang lain pun menjerit kegembiraan apabila melihat anak saya berjalan. Sambil itu mereka mengira langkah-langkahnya. Saya meraba-raba kamera analog saya dan menangkap saat bersejarah itu. Tapi gambar itu tidaklah berapa cantik sangat, sebab tetiba je...tak sempat nak fokus dan set aperture...

Itulah langkahnya yang pertama. Itu adalah saat yang mengembirakan saya, suami dan kawan-kawan saya.

Tatih...tatih..tatih...1,2, 3...tatih...

"Say No To Disposable Diaper" (Katakan Tidak pada Lampin Pakai-Buang)


Walaupun mengembara, saya tidak mengenakan lampin pakai-buang untuk anak saya tetapi memakaikan lampin kain. Balik kepada cara tradisional. Saya menyalin lampinnya setiap sejam sekali dan berhenti di hentian rehat. Ini lebih baik daripada memakai lampin pakai-buang seperti Pampers atau Huggies.

Lampin kain sesuai untuk kulit bayi dan tidak mudah terkena ruam dan melecet. Tambahan  pula lampin kain lebih baik untuk pemeliharaan alam sekitar. Manakala lampin pakai-buang tidak lupus kerana ia dibuat daripada plastik.

Ketika itu di Amerika Syarikat, kempen lampin kain rancak diadakan oleh pelbagai persatuan demi menjaga alam sekitar. Antara perkhidmatan yang diadakan untuk menggalakkan ibubapa menggunakan lampin kain untuk bayi mereka ialah dengan menyediakan khidmat membasuh lampin kain secara percuma bagi mereka yang menyertai kempen itu dan pihak sukarelawan mengambil dan menghantar ke rumah-rumah peserta dengan percuma. Best, kan? Ok..cukup dah untuk kempen, "Say No to Disposable Diaper."


Cenderamata


Kami kemudiannya pergi ke kedai cenderamata dan membeli satu dua souvenir yang saya simpan sehingga hari ini. Saya dan Mr Hubby suka beli mug, lukisan dan poskad tempat kami redah itu.

Shima & Nik suka kumpul camca yang bertulis nama tempat yang kami redah itu. Kalau sudah banyak mereka letakkan dalam bingkai kaca.

Marina & Taufik pula suka kumpul...alamak lupa pulak mereka suka kumpul apa....rasanya mereka tidak begitu spesifik...ikut yang berkenan di hati saja.



Mug yang saya beli di Niagara Falls Kanada sebagai kenang-kenangan. Sehingga hari ini ia masih saya guna.


Cuaca di Ontario


Sebenarnya cuaca di Ontario, Kanada amatlah sejuk walaupun pada musim panas. Ini disebabkan ia terletak berdekatan dengan kutub utara. Purata suhu musim sejuk ialah -15°C dan boleh menjunam di bawah -40°C. Ketika musim sejuk  dan suhu rendah, Tasik Ontario boleh menjadi beku dan salji melekat pada dahan-dahan pokok membentuk seperti stalaktit/stalagmit kristal dan menghasilkan pemandangan yang cantik.

Sila klik di sini sekiranya ingin melihat gambar Tasik Ontario dan Air Terjun Niagara beku.

Ontario juga kadang-kadang mengalami frost quake (gempa fros). Apabila cuaca terlampau sejuk, ia mengakibatkan air  di bawah tanah menjadi beku. Apabila ais di bawah tanah mengembang ia membuatkan batu dan tanah merekah dan mengakbiatkan gegaran.

Ontario ketika musim sejuk. Ini poskad yang saya beli di Ontario.

Ontario semasa musim panas

Kejutan # 4: Menginap di Motel dengan Diskaun 70%



Setelah hari malam dan sejuk kamipun mencari motel untuk merehatkan diri. Untuk jimat kami cari motel yang murah-murah je, cari pula tengah-tengah malam. Kami tawar serendah-rendahnya. Kalau tuan punya motel tak mahu harga yang kami tawarkan, kami pura-pura merajuk dan nak belah.  Jadi tuan punya motelpun rasa rugi kalau kami tak tidur di situ, dia pun setuju, dapatlah kami harga diskaun sehingga 70 peratus...Tuan punya motelpun jenis yang tak kisah sangat, berapa orangpun  boleh sumbat dalam satu bilik, best, kan?


Kejutan #5: Casaloma, Castle Lama Yang Diselubungi Misteri



Kejutan yang seterusnya ialah kami menemui sebuah castle lama yang amat besar dan cantik di Toronto. Ia bersenibina Gothic Revival. Nama castle itu ialah Casaloma. Casaloma adalah castle yang dimiliki oleh seorang ahli kewangan/perniagaan. Tetapi kemudiannya bangkrup dan hartanya dilelong. Ia kini menjadi hakmilik kota Toronto dan dijadikan tempat lawatan. Di sekeliling castle ini dihiasi dengan taman dan di belakangnya terdapat kandang kuda. Kami tidak masuk ke dalam castle itu, cuma melihat bahagian luar sahaja.


Halaman depan Casaloma

Castle lama yang besar gedang ni biasanya berhantu, kan?

Kejutan #6: Menemui Kebun Buah Peach dan Pear di Toronto


Oleh kerana kami mengembara cara main redah je, banyaklah kejutan kami jumpa di tempat itu. Antaranya kami jumpa kebun buah peach dan kebun buah pear. Oleh kerana kami ni tak pernah tengok pokok buah-buahan orang putih ini, kamipun tersangatlah perak bin jakun. Pegang sana pegang sini, posing sana posing sini....

Kamipun petik buah-buahan itu dan makan kenyang-kenyang sehingga kembung dan sengkak perut.


Petik buah peach dan pear di pokok

Kejutan #7: Melihat Bangunan Tertinggi Di Dunia/Kanada - CN Tower, Toronto


Poskad Toronto yang saya beli di Toronto, Kanada

Kami kemudian meredah masuk ke kotaraya Toronto yang sibuk. Bangunannya tinggi-tinggi. Yang paling tinggi ialah CN Tower yang jelas kelihatan dari jauh ketika kami memandu. 

CN Tower adalah bangunan paling tinggi di dunia pada ketika itu. Ia mempunyai ketinggian 553 m dan telah siap dibina pada tahun 1976. Ia terletak di kotaraya Toronto yang sibuk.

Sekiranya menaiki menara itu kita boleh melihat pemandangan kotaraya Toronto dan juga Air Terjun Niagara. Tapi macam biasa, kami tak naik ke menara ini sebab bayarannya mestilah mahal, kan. Jadi, cuma lihat dari bawah sahaja.


Kejutan # 8: Menemui Thousand Islands, Seribu Pulau Indah di Tasik Besar Ontario


Kami berehat di pinggir Tasik Besar Ontario di Thousand Islands

Hari berikutnya kami menemui satu lagi kejutan iaitu Thousand Islands. Thousand Islands adalah pulau-pulau yang terdapat di Tasik Besar Ontario. Di Tasik Besar ini kita boleh menaiki kapal menyusuri Tasik Ontario dan melihat vila-vila dan mahligai di pinggir tasik. Tapi kami ni pengembara ciput, jadi kami taklah naik kapal itu, dapat sampai ke situpun dah seribu rahmat.

Poskad Thousand Islands yang saya beli di Thousand Islands. Gambar dalam poskad ini adalah bangunan yang terdapat di salah sebuah pulau di Thousand Islands.

Kejutan # 9:  Merayau-rayau di Pasar Tani dan Pekan di Kingston


Kemudian kami ke Kingston.

Kejutan lain ialah kami terjumpa pasar tani dan berlegar-legar melihat orang membeli dan menjual di pasar itu.  Nik yang kaki hiasan dalaman pasti cari barang-barang lama dan lukisan terpakai yang cantik. Kalau ada dia rembat. Tapi nampaknya kami tak jumpa, cuma yang ada bunga-bunga segar, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Yang seronoknya pergi ke tempat begini kita tidak rasa seperti pelancong — "not touristy"

Kingston, Ontario


Kejutan # 10 : Terusan Rideau dan Kota Ikonik Ottawa



Masih di Ontario.

Di hari yang entah ke berapa, kami sampai di kotaraya Ottawa pula. Ottawa ialah ibu negeri Kanada. 

Bangunan Parliment di Parliment Hill

Yang menariknya di sini kami dapat melihat bangunan Parlimen dan pentadbiran. Amat unik dan memukau padangan kami.

Cuaca pada ketika itu sejuk walaupun musim panas. Suasana sentiasa kelihatan redup, awannya kelabu dan sentiasa muram. Jadi gambar-gambar yang kami ambil di Otttawa ini kelihatan gelap, redup dan dingin.

Pemandangan Terusan Rideau dan Bangunan Parlimen di Ottawa

Kami juga dapat meredah terusan Rideau Canal. Panjangnya terusan ini ialah 202 km. Ia melalui Sungai Ottawa dan mempunyai 45 kunci. Terusan ini dibuka dan ditutup pada waktu-waktu tertentu untuk membenarkan kapal-kapal masuk. Ia dibina bertingkat-tingkat dan paras airnya juga dikawal. Air terusan ini mengalir ke Sungai St Lawrence di Kingston dan Tasik Ontario. Saya tahu faktanya tentang terusan ini ketika belajar Georgafi semasa di sekolah menengah dahulu.

Saya dan anak di Rideau Canal, Ottawa
Gembiranya saya apabila saya dapat berada di terusan itu yang dahulunya hanya saya bayangkan di minda sahaja demi menduduki peperiksaan SPM. 

Pada mulanya terusan ini digunakan untuk pertahanan daripada serangan Amerika. Terusan bersejarah ini telah digunakan sejak 1832. Pada ketika kami main redah itu ia belum lagi diiktirafkan oleh UNESCO sebagai Warisan Dunia. Tetapi ia mula diiktirafkan pada 2007.

Parliament  Hill dari Sungai Ottawa

Pada musim sejuk terusan ini menjadi beku dan digunakan sebagai tempat meluncur ais.


Saya rasa cukup buat seketika cerita Mengembara Cara Main Redah di Amerika Utara. Kalau ada kelapangan dan permintaan daripada pembaca, saya akan sambung lagi. InsyaAllah.

Ahad, 16 Februari 2014

Mengembara Cara Main Redah dan Memandu di Amerika Utara Sejauh 2,798.2km

"Jom kita travel. Kali ini kita main redah je. Tempat tidurpun main dan je."

Wah..bunyi macam kerja gila ni, kan? Semua main redah je. Semua main dan je. Bajet pun ciput. Beraninya.

Anda pernah tak buat kerja gila macam ni? Pernah? Di mana? Cer cerita....
Sebenarnya saya pernah buat kerja gila ni. He.. he..he...  :D Kenapa? Tak percaya ek?


Mengembara Cara Main Redah di Amerika Syarikat dan Kanada


Saya pernah buat kerja gila ini di Amerika dan Kanada. Saya guna jalan darat. Jarak perjalanannya amat jauh iaitu 2,798.2km dan memakan masa 3 minggu.

Di sini saya ingin ceritakan cara saya mengembara main redah, memandu dan berbajet ciput di Kanada dan Amerika Syarikat. Cerita kembara saya ini sudah lama —1992—tapi saya rasa ia masih relevan sehingga ke hari ini, sesuai untuk sesiapa yang nak cuba-cuba buat kerja gila macam saya ini.  Lagipun ramai pembaca blog saya ini minta saya ceritakan kisah kembara saya zaman dulu-dulu.


Perjalanan kembara saya di Amerika dan Kanada. Nota: Bilangan hari bermalam adalah anggaran sahaja, sebab saya dah lupa berapa hari saya bermalam di sesuatu tempat.


Rangka Perjalanan Darat


Saya bukan redah seorang diri, tapi dengan Mr Hubby, anak dan kawan-kawan.

Plate kereta Ohio

Kami mulakan perjalanan dari Barat Tengah (Midwest) Amerika — iaitu dari Ohio. (Sila rujuk peta perjalanan saya di atas). Selepas itu ke bahagian utara Amerika — melalui Pennsylvania dan New York. Kemudian merentas sempadan Amerika-Kanada — melalui Niagara Falls di Tasik Besar Ontario. Selepas itu ke Ontario di Kanada — melalui kota Toronto, Kingston, Thousand Islands dan Ottawa. Selepas itu ke Quebec di Kanada — melalui Montreal dan Quebec City. Kemudian masuk kembali ke Amerika. Turun balik ikut timurlaut Amerika — melalui Maine, New Hampshire, Massachusetts, Rhode Island, Connecticut, New York, New Jersey, Maryland, Washington D.C, Virginia, West Virginia dan balik semula ke Barat Tengah Amerika — Ohio.

Fridge magnet Air Terjun Niagara, Ontario, Kanada
Lukisan sketch Chateau de Frontenac dan Sungai St Lawrence ini saya beli di Quebec City, Kanada

 

Perancangan Yang Minimum


Yang saya maksudkan main redah itu disebabkan perancangannya amat minimum — tanpa mengetahui tempat yang hendak dilawati dan tanpa mengetahui tempat menginap. Sampai ke destinasi, barulah kami cari maklumat. Misalnya, sesampai sahaja di Ontario, kami terus mencari Pusat Informasi yang terdapat di kota utamanya. Di sini kami tanyakan pegawai di situ, dapatkan risalah dan peta dari mereka. Dari maklumat inilah kami memilih tempat yang kami suka. Selepas itu kami pun melawat ke tempat tu. 

Mendapatkan maklumat tempat-tempat menarik di Pusat Infromasi Pelawat

Sewa Kenderaan


Untuk perjalanan 2,798.2km, selama 3 minggu itu, kami menyewa dua buah kenderaan — 1 van dan 1 kereta. Ia lebih baik kerana ada jaminan daripada ejen sewaan. Misalnya kalau kereta rosak, mereka perbaiki dengan segera atau gantikan dengan kereta lain. Ini disebabkan ejennya banyak terdapat di merata tempat. Antara ejen sewa kereta yang tersohor dan dipercayai di Amerika dan Kanada ialah AAA dan AVIS.


Lesen Memandu Amerika


Untuk memandu di jalanraya Amerika Syarikat dan Kanada, perlu ada lesen memandu yang diambil ujiannnya di Amerika Syarikat. Jadi 3 orang daripada kami memiliki lesen memandu itu. Memandu di Amerika Syarikat dan Kanada berbeza dengan di Malaysia kerana kami perlu memandu dari kanan jalan. 


Papan tanda jalan dan kawasan berhenti rehat di lebuhraya Amerika

 

Memandu Di Jalanraya Amerika & Kanada


Sistem jalanraya di Amerika Syarikat amatlah bagus dan teratur, amatlah mudah memandu di sana. Untuk menuju ke sesuatu destinasi, kita perlu melihat nombor jalan. Bukannya melihat nama tempat seperti yang kita sering buat di Malaysia. Misalnya Highway 80 North kalau menuju ke utara manakala Highway 80 South untuk ke selatan. Sistem jalanraya dan papan tanda di Amerika Syarikat amat mudah difahami dan tersusun. Peta pula jelas, mudah difahami dan amat dipercayai. Biasanya kita tidak akan sesat atau keliru menuju destinasi walaupun tempat itu letaknya di celah-celah kota yang bersimpang-siur.


Hentian Rehat


Rest Stop atau hentian rehat banyak terdapat di sepanjang lebuhraya. Apabila penat kami berhenti rehat. ~O) Tandas yang dipanggil rest room amat bersih, kering dan wangi. Di dalam rest room ini disediakan bilik mandi, bilik salin lampin bayi, bilik menyusu bayi, bilik berehat dengan kerusi sofa yang empuk, meja makan, bangku, tempat babeku, mesin pengeluaran wang, kedai makan dan minuman dan macam-macam lagi kemudahan. Di kebanyakan tandasnya menyediakan vending machine yang mempunyai shampoo, sabun, losyen, tisu, tampon, pisau cukur dan cologne.

Di hentian rehat ini kami makan nasi dan lauk yang dimasak di rumah atau di motel dengan memanaskannya menggunakan rice cooker. Bekalan elektrik dan plug disediakan di hentian rehat itu. Untuk perjalanan ini kami menyediakan makanan halal dengan mengisinya di dalam peti sejuk mudah alih, yang kami buat sendiri. Iaitu thermos jenama Coleman yang besar, yang diisi kiub ais untuk mengelakkan makanan rosak dan basi. Jadi kami selalulah membeli kuib ais menggantikannya apabila ia cair. Untuk lebih memudahkan kami, kami membawa pinggan mangkuk pakai-buang.

 

McDonald 

 

McDonald ada di mana-mana di Amerika dan Kanada

Apabila cuaca sejuk, mudahnya perut kami didera kelaparan. Nasi yang dibekalkan sudah kehabisan. Kerana sukarnya mencari makanan halal di sana ketika itu, kami memaksakan diri ke McDonald. McDonald terdapat di setiap penjuru di Amerika. Kerana itu saya memanggil Amerika, "The Country of McDonald". :)

Di McDonald hanya apple pie, fillet-o-fish dan french fries sahaja yang dapat mendarat di dalam perut kami. 


Mencari Motel 

 

Motel yang terdapat di tepi-tepi jalan di Kanada

Oleh kerana kami ini pengembara ciput, apabila malam barulah kami mencari tempat menginap iaitu di motel. Selalunya kami mencarinya selepas jam 10 malam - 12 tengah malam. Ini disebabkan harganya lebih murah  — harganya turun sehingga separuh harga.

Untuk mengetahui motel yang ada bilik kosong, kami memandu perlahan-lahan sambil memerhatikan papan tanda bertulis "Vacancy". Sekiranya ada "Vacancy", kami memasuki pejabatnya, tanya harga sewaannya untuk semalam dan menawar harganya. Kemudian cari beberapa motel lagi dan buat perbandingan harga. Selepas itu barulah kami buat keputusan untuk pilih motel yang sesuai dengan bajet kami yang ciput.

Sewaan di motel lebih murah berbanding dengan sewaan inn atau hotel. Cas yang dikenakan untuk semalam beranggaran AS$35.00 (kena darab 3 untuk dapatkan nilai setara dengan ringgit). Biliknya selesa dengan kemudahan asas seperti tv, air panas, katil, selimut dan bilik air.


Campground


Selain itu, apabila kami melalui bandar-bandar tertentu di Amerika Syarikat seperti di Boston, kami singgah di KOA Campground. Campground adalah tempat untuk menginap di khemah dan kabin kayu dengan sewa yang murah. Untuk menginap di khemah anggaran sewanya sekarang ini ialah AS$47 sehari dan kabin AS$65 sehari.

Di dalam kabin, disediakan bunk bed (katil dua tingkat) dan sebuah katil. Almari tidak disediakan. Boleh muat empat orang. Kemudahannya amat minimum, sesuai untuk kami yang berbajet ciput. Selimut dan sleeping bag dibawa sendiri. Bilik mandi disediakan di luar kabin yang dikongsikan dengan penginap yang lain. Kita boleh memasak di luar kabin kerana di situ disediakan Charcoal BBQ.

Kawasan campground terletak di luar daripada bandar, sunyi dan privasi. Biasanya ia di kelilingi oleh pokok-pokok dan belukar.

Kabin kayu yang kami inapi di KOA Campground, Boston, Amerika Syarikat

Memasak di Motel


Pada awal pagi sebelum keluar motel, kami memasak dahulu nasi dan lauk untuk makan tengahari nanti. Memasak sendiri adalah menjimatkan dan pasti kehalalannya. Untuk memasak di dalam bilik motel bukannya mudah kerana dilarang. Tambahan pula terdapatnya smoke detector di siling bilik. Smoke detector ini pasti berbunyi sekiranya ada asap. Kalau memasak pasti ada asap. Jadi untuk mengelakkan smoke detector ini berbunyi, kami tutup smoke detector itu dengan plastik ketika memasak. :)

Saya (paling kiri-berbaju hijau-kuning, berseluar hitam) dan kawan-kawan saya di Fairmont Chateau Laurier Hotel, Ottawa, Kanada

 

Mengapa Mengembara Cara Main Redah?


Sebabnya:
1) Masa itu saya student di universiti di Amerika Syarikat. Masa itu muda lagi, masih bersemangat. Apabila Quater Break (cuti pengajian — musim panas) yang panjang, sangat bosan, tak tahu nak buat apa, jadi lebih baik terjah tempat yang belum pernah pergi. Saya berpendapat, bila sudah habis belajar dan pulang ke Malaysia, adalah payah untuk ke sana lagi. Belanjapun tentu lebih mahal. Jadi, rebutlah peluang ini sementara masih berada di sana,

2) Amerika Syarikat dan Kanada adalah negara yang maju dan selamat. Sistem jalan rayanya teratur. Walaupun mengembara dengan cara redah begitu sahaja kita tidak akan sesat. Isn't it cool?

3) Masa itu teknologi belum canggih lagi. Belum ada Internet. Dulu susah nak cari maklumat — hari ini maklumat di hujung jari je. Ha...ha...see... betapa otainya saya! Jadi cara kembara main redah adalah cara terbaik pada masa itu. Hanya dengan main redah, barulah kita tahu dan kenal sesuatu tempat itu. Dan kita puas dapat meneroka tempat baru itu kerana ia tidak dipengaruhi oleh sumber lain selain pilihan kita sendiri. Cara lama dan otai saya ini bolehlah dijadikan inspirasi kepada anda yang baru hendak berjinak-jinak dengan dunia kembara.

Kampus Ohio University di Athens, Ohio ketika musim luruh 1990

Apa Perasaan Mengembara Cara Main Redah?

 

Kalau anda tanya saya, "Apa perasaan mengembara cara main rendah ni?" Tentu saya jawab,  "Awesome! Great experience! <:-P

Kalau anda tanya saya, "Patut ke rekemen kembara cara main redah ni kepada orang lain?" Saya jawab, "Patut! Sebab ia mengajar tentang erti survival, erti mandiri dan tabah! So, Let's hit the road!" (Sambil mengangkat beg galas).

"Let's hit the road!" kata anak saya


Selasa, 11 Februari 2014

15 Tempat Menarik di Kuala Kangsar dan Sekitarnya

J om kita jalan-jalan di Malaysia pula. Tahun ini tahun Melawat Malaysia, kan? Apa kata kalau kita turut sama menjayakan program nasional ini. Orang luar negara pun datang meneru-neru ke tempat kita. Mengapa kita tidak? :)

3 tempat di Semenanjung yang mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Warisan Dunia

Saya cadangkan anda melawat sahaja Kuala Kangsar dan kawasan sekitarnya. Selain ia bandar Diraja, Kuala Kangsar juga adalah tempat yang bersejarah. Di sekolah kita belajar Sejarah, kan? Tentu anda pun belajar Sejarah Kuala Kangsar terutama sekali tentang penempatan British di Tanah Melayu. Jadi Kuala Kangsar adalah tempat yang pernah menjadi penempatan Residen British dan meninggalkan kesan.

Selain daripada itu Kuala Kangsar ialah tempat saya dilahirkan, dibesarkan dan bersekolah. Jadi sebagai orang Kuala Kangsar jati, sudah tentulah saya tahu banyak tempat menarik yang patut dilawati. Di sini  saya nak cerita tentang 15 tempat menarik yang patut anda lawati, iaitu:


A) Mula-mula sekali anda pergilah ke Bukit Chandan. Apa ada di Bukit Chandan?


1. Masjid Ubudiah, Bukit Chandan


Masjid Ubudiah
 
Masjid Ubudiah adalah antara masjid tercantik di Malaysia. Amat mudah melihat masjid ini kerana ia dibina di atas bukit dan di tepi jalan di Bukit Chandan. Ia telah dibina pada tahun 1910 oleh Sultan Perak dengan mengambil arkitek Inggeris. Ia bercirikan Morish. Bahan binaannya seperti marmar diimport dari Itali. Di dalamnya terdapat lampu chandelier yang cantik dan siling yang diukir dengan menarik.  Bersebelahan dengan masjid ini terdapat makam diraja.


2. Galeri Sultan Azlan Shah, Bukit Chandan


Galeri Sultan Azlan Shah

Bagi yang minat melawat galeri anda boleh ke Galeri Sultan Azlan Shah yang letaknya di seberang jalan tidak berjauhan dengan Masjid Ubudiah. Di dalam galeri ini tersimpannya hadiah dan barangan milik Sultan Perak iaitu DYMM Sultan Azlan Shah yang juga pernah menjadi Yang Dipertuan Agong Malaysia dan Ketua Hakim Negara


3. Istana Iskandariah, Bukit Chandan




Istana Iskandariah

Bukit Chandan ialah tempat Sultan Perak bersemayam. Sultan Perak memainkan peranan penting dalam pentadbiran negeri Perak. Istana Iskandariah yang terletak di atas bukit adalah tempat pertabalan, tempat penyerahan anugerah, tempat keraian raja-raja dan lambang kekuasaan raja-raja Melayu.

Pintu ke Istana Iskandariah

Anda boleh datang melihat istana ini dari luar sahaja. Kecuali ia dibuka untuk orang ramai pada hari-hari tertentu, misalnya pada hari kelahiran Sultan atau perkahwinan Diraja.  Semasa saya kecil-kecil dan remaja dahulu saya sering masuk ke kawasan istana ini pada hari Keputeraan DYMM Sultan Idris Shah dan perkahwinan anakanda baginda seperti Puteri Zarith Sofia. Saya juga pernah memasuki istana ini mengikuti kawan-kawan saya yang berketurunan raja Perak. Di dalamnya saya dapat melihat tahta, bilik-bilik, alat-alat muzik dan perabut istana yang amat antik.


4. Istana Kenangan/Istana Kuning, Bukit Chandan


Istana Kuning

Bersebelahan dengan Istana Iskandariah (bahagian belakang) terdapat sebuah istana lama iaitu Istana Kenangan atau Istana Tepas/Lembah. Tetapi ia lebih dikenali oleh penduduk di sini sebagai Istana Kuning kerana warnanya yang kuning. Keseluruhan istana ini dicatkan dengan warna bendera Perak iaitu kuning, putih dan hitam. Istana ini adalah kediaman sementara Sultan Iskandar Shah (1918-1938). Ia kini dijadikan Muzium Diraja yang mempamerkan peralatan istana, pakaian dan perabut Diraja. 

Uniknya istana ini adalah ia dibina tanpa menggunakan paku. Ia dibuat daripada kayu dan anyaman bertam berbentuk kelarai. Awan laratnya diukir bermotifkan bunga dan alam semulajadi. Atap istana ini dibuat daripada kayu berlian yang kalis air. Pintu utama istana ini diakses melalui tangga yang dibina di bahagian bawah lantai. Ini adalah contoh senibina rumah Melayu yang dibuat oleh tukang kayu Melayu.

Memasuki istana ini tidak dikenakan bayaran, cuma ada kotak disediakan kepada sesiapa yang ingin menyumbang untuk pemeliharaan istana ini.


B) Seterusnya pergilah berjalan-jalan di pekan Kuala Kangsar.  Apa ada di pekan ini?


5. Menyusuri Sungai Perak

 

Pertemuan di antara Sungai Kangsar dan Sungai Perak


Pekan Kuala Kangsar terletak di pinggir Sungai Perak dan Sungai Kangsar. Sejarah nama Kuala Kangsar diambil dari pertemuan anak sungai iaitu Sungai Kangsar dengan sungai besar iaitu Sungai Perak. Kuala Kangsar bermaksud kuala sungai yang kurang satu daripada bilangan seratus, yang dikira dari Teluk Intan di hilir Sungai Perak. Ini bermakna Sungai Kangsar adalah kuala sungai yang ke-99 dari Teluk Intan.

Kuala Kurang Sa (Satu) = Kuala Kangsar.

Anda boleh menyusuri Sungai Perak dengan menaiki bot. Anda boleh menaiki bot sehinggalah ke hilir sungai, melihat kampung-kampung dan menikmati keindahan pulau-pulau kecil di sepanjang Sungai Perak seperti Pulau Semat, Pulau Bekor dan Pulau Cempaka Sari.  Kalau tidak silap saya Perak Riverside Resort ada menyediakan perkhidmatan menyusuri Sungai Perak ini.

Di Pulau Semat terdapat makam Diraja, iaitu Makam Sultan Tajul Ariffin yang dikatakan keramat. Menurut cerita orang, ketika air naik makam ini tidak ditenggelami air. Ketika hari pertabalan Sultan, hari perkahwinan diraja dan hari keputeraan Sultan Perak, raja yang diraikan itu melakukan upacara adat mandi bersiram dan menyusuri Sungai Perak serta melawat Makam Sultan Tajul Ariffin di Pualu Semat ini.

Saya pernah menyaksikan upacara adat istiadat pertabalan Diraja semasa saya kecil-kecil dulu, yang mana Almarhum Sultan Idris dan permaisurinya menghilir Sungai Perak pada hari Keputeraan baginda. Ketika itu pekan ini mengadakan pesta air dan macam-macam keraian. Saya juga sering menyusuri Sungai Perak ini dan melihat Pulau Semat, Pulau Bekor dan Pulau Cempaka Sari ketika saya kecil dahulu.

Anda juga boleh mandi, menyelam dan berenang di Sungai Perak. Ini yang saya sering lakukan setiap kali balik kampung.

Ikan yang diperolehi dari Sungai Perak

Selain daripada itu anda boleh memancing, menjala ikan, menahan bubu atau taut. Antara ikan-ikan yang terdapat di Sungai Perak ini ialah lampam, sebarau, tilan, tongsan, lawang, tengalan, kelabor, seluang dan udang galah. Ikan-ikan sungai ini amat sedap sekiranya dimasak gulai tempoyak!

Penambang ke Sayong

Anda juga boleh menyeberang ke seberang iaitu ke Sayong dengan menaiki bot tambang yang terdapat di pinggir tebing yang dikenali oleh penduduk di sini sebagai Lembah. Tambang botnya amatlah murah, tak sampai seringgit pun!

Di Sayong anda boleh melihat kampung dan labu Sayong dihasilkan oleh penduduk kampung. Labu Sayong adalah sejenis tembikar tanah untuk kegunaan mengisi air. Air yang disimpan semalaman di dalam labu ini menjadi sejuk dan segar untuk diminum.

Anda juga boleh menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Perak yang lebar ini di Manong yang letaknya kira-kira 21 km dari Kuala Kangsar.

Sekiranya anda tidak mahu menaiki bot anda boleh menyeberangi Sungai Perak dengan menggunakan Jambatan Iskandar Shah. Di seberang ada kampung-kampung Melayu seperti Sayong, Senggang, Menora, Seberang Manong, Kubang Udang, Bekor, Mandah, Chopin dan Parit.


6. Membeli-belah di Pekan Kuala Kangsar


Kedai-kedai yang menjual barangan kraftangan penduduk tempatan


Membeli-belah sangat seronok dilakukan di Jalan Tebing pinggir Sungai Perak yang dikenali sebagai Lembah oleh penduduk tempatan. Anda boleh mendapatkan barangan hasil kerajinan tangan penduduk di sini. Antara yang terkenal ialah labu Sayong, bakul rotan, bubu buluh, golok, tikar mengkuang, bantal dan tilam kekabu, jahitan tekat, songkok, barangan tembaga dan cenderamata.

Kedai-kedai lama juga masih dikekalkan di pekan Kuala Kangsar dan banyak pilihan barangan boleh didapati di sini. Kini anda tidak perlu lagi ke Bukit Kayu Hitam atau Padang Besar Thailand untuk mendapatkan barangan Siam. Di Kuala Kangsar terdapat banyak kedai yang menjual barangan tersebut dengan harga borong. Rombongan Kak Kiah pun selalu datang ke sini memborong pakaian, tudung, periuk belanga, selimut Toto dan permaidani.


7. Makan-makan di Lembah

 

Putu beras, tempoyak dan laksa yang boleh didapati di Kuala Kangsar

Di Lembah terdapat pasar pagi yang menjual pelbagai ikan, ulam-ulaman kampung, kuih-muih tempatan dan macam-macam lagi.  Kuih tempatan sedap yang pasti saya beli di sini ialah Putu Beras dan Apam. Ia hanya ada di Kuala Kangsar dan rasanya membuatkan anak kelahiran Kuala Kangsar yang merantau mengidamkannya dan sanggup pulang hanya untuk mendapatkannya.

Selain daripada itu gulai tempoyak ikan sungai segar seperti tongsan, lawang dan lampam boleh didapati di sini dan rasanya....mmm...mak mertua lalupun tak nampak.

Anda juga boleh makan-makan di sekitar pekan ini terutamanya di Lembah. Anda boleh makan laksa Kuala Kangsar yang cukup terkenal dan sedap. Setiap kali saya dan keluarga saya balik Kuala Kangsar, kami pasti singgah makan Laksa Kuala Kangsar. Lepas makan, kami pasti beli berkilo-kilo untuk dibawa pulang. Laksa Kuala Kangsar ini resepinya agak berbeza dengan laksa di tempat lain. Laksanya fresh! (Bukan laksa kering, dari kilang)! Laksanya itu dibuat daripada tepung gandum dan kuah ikannya cair tetapi segar serta sedap.

Gerai laksa ini terdapat banyak di sekitar Lembah. Ada yang di tepi jalan, ada yang di kaki lima, ada yang di bawah pokok dan ada yang di tepi tebing sungai. Pilihlah yang sesuai dengan selera anda. Setiap gerai mempunyai resepi tersendiri, terutama kuahnya. Untuk melengkapkan juadah anda, pesanlah ais cendol atau ais kacang.

(Nota: Saya lebih suka laksa yang dijual tepi jalan seperti Laksa Kalam dan gerai yang bersebelahan dengan kedai kek)

Tidak berjauhan dengan Lembah, iaitu di Talang yang berdekatan dengan Plaza Tol terdapat banyak gerai menjual laksa. Antara yang terkenal ialah Laksa Pak Ngah (di belakang Sekolah Tsung Wah, Jalan Dato Sagor).

Sememangnya Kuala Kangsar terkenal dengan laksanya. Di mana-mana anda pergi di pekan ini, pasti anda jumpa gerai menjual laksa. Itulah sebabnya ada filem dibuat bertajuk "Man Laksa", ia diilhamkan oleh Mamat Khalid dari sini.



8. Pokok Getah Tertua di Malaysia


Pokok getah inilah yang pertama di tanam di Malaya

Sebagaimana yang saya katakan tadi, Kuala Kangsar adalah tempat bersejarah. Sumber ekonomi negeri Perak pada satu ketika ialah getah dan bijih timah. Pokok getah yang pertama di bawa ke Tanah Melayu dari Bazil oleh Henry Nichols Ridley telah ditanam di sini. Inilah pokok yang telah meningkatkan ekonomi Malaya pada ketika itu. Kini pokok getah ini sudah berusia lebih 100 tahun! Tetapi pokok getah ini masih berdiri megah dan hidup. Anda boleh melihatnya di hadapan/sebelah Pejabat Tanah Kuala Kangsar. Peralatan menoreh getah dan memproses getah juga dipamerkan di sini.


9. Malay College Kuala Kangsar (MCKK)


MCKK sedang renovasi

Tidak berjauhan dengan pokok getah itu tadi, anda boleh melihat Malay College Kuala Kangsar (MCKK). MCKK ini telah ditubuhkan sejak 1905 oleh 4 orang Sultan dan ia pada mulanya adalah sekolah untuk keluarga raja-raja dan orang kenamaan. Tetapi kini ia adalah sekolah asrama penuh yang dihadiri oleh pelajar lelaki Melayu seluruh Malaysia yang mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan sekolah rendah. MCKK telah banyak melahirkan cendiakawan dan pemimpin negara seperti Dato' Onn Jaafar, Tuanku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.

Pada masa pemerintahan Jepun, kolej ini dijadikan pusat pentadbiran Jepun dan hospital.

Di padang sekolah ini, banyak acara diadakan seperti sukan bola sepak, ragbi dan acara adat istiadat Sultan Perak di hari Keputeraan. Semasa saya sekolah rendah dahulu, setiap tahun saya beratur di padang ini untuk mengibarkan bendera pada hari kelahiran Sultan Idris Shah.


10. Anglung/Pavilion 

 

Pavilion ini terdapat di hadapan MCKK

Di hadapan MCKK ini terdapat sebuat anglung (pavilion) tiga tingkat yang telah dibina pada tahun 1930. Ia digunakan oleh keluarga diraja Perak untuk menonton polo. Pada tahun 1980an dahulu saya sering mendengar nafiri raja ditiupkan pada malam Jumaat di pavilion ini. Tiupan nafiri ini amat jelas kedengaran disebabkan dahulu saya tinggal bersebelahan dengan MCKK. Saya tidak pasti adakah tiupan nafiri pada malam Jumaat di anglung ini masih dilakukan pada hari ini.


11. Masjid Ihsaniah Iskandariah Kuala Dal


Masjid ini dibuat tidak menggunakan paku

Di Pandang Rengas iaitu luar sedikit daripada pekan Kuala Kangsar, menuju ke Taiping, terdapat sebuah pekan kecil yang dipanggil Kuala Dal. Di sini terdapat sebuah masjid lama yang dibuat daripada tepas dan dindingnya dari anyaman tepus buluh. Masjid Ihsaniah Iskandariah ini telah dibina pada tahun 1936 oleh Sultan Perak ke-30 di atas tanak wakaf pemberian Jurangan Abdul Shukor. Uniknya masjid ini ialah ia dibuat tanpa menggunakan paku sama seperti Istana Kuning tadi. Ukiran bahagian atas tingkapnya bermotifkan pucuk kacang, bulan dan bintang. Masjid ini telah dipelihara sebagai salah satu senibina Melayu dan dijadikan warisan negeri Perak.


C) Kemudian pergilah ke Lenggong


Lenggong letaknya bersebelahan dengan Daerah Kuala Kangsar yang letaknya kira-kira 49 km dari Kuala Kangsar. Kalau anda dalam perjalanan ke Pengkalan Hulu di Grik dan Kota Baharu di Kelantan, anda pasti lalu di sini.

Di Lenggong anda pergilah ke Tasik Raban dan Galeri Arkeologi  Lembah Lenggong


12. Tasik Raban

 

Tasik Raban

 

Teratai di permukaan Tasik Raban


Sekiranya anda meminati alam semulajadi seperti tasik dan teratai, pergilah ke Tasik Raban, Lenggong. Di sini anda boleh lihat tasik air tawar yang luas dan cantik. Di dalamnya terdapat banyak ikan dan anda boleh memancing. Di permukaan tasik ini terdapat banyak bunga teratai dan tak perlulah anda ke Sukothai atau Beijing untuk melihat pokok teratai. Di sinipun cantik!

Di pekan Lenggong, anda boleh membeli ikan pekasam dari ikan sungai/tasik yang diusahakan oleh penduduk tempatan.


Resort Tasik Raban

Boleh menginap di Tasik Raban Resort

Berdekatan dengan Tasik Raban terdapat Resort Tasik Raban untuk anda bermalam atau mengadakan mesyuarat/persidangan. Penginapan untuk satu malam berkadar RM80 (bilik standard) hinggalah RM150 (bilik deluxe) pada hari biasa dan ditambah RM10-RM20 pada hari minggu. Terdapat juga dorm yang  boleh disewakan dengan harga RM250-300 semalam.



13. Galeri Arkeologi Lembah Lenggong Warisan Dunia


Galeri Arkeologi Lembah Lenggong menyimpan artifak Perak Man


Tahukah anda apakah 4 Warisan Dunia di Malaysia yang diiktirafkan oleh  UNESCO?
Jawapannya: Terdapat 4 Warisan Dunia di Malaysia yang diikitafkan oleh UNESCO iaitu:
  • Gunung Kinabalu, Sabah, 
  • Taman Negara Mulu, Sarawak, 
  • Melaka & Georgetown, 
  • Lenggong.

Jadi datanglah ke Lenggong untuk melihat keistimewaan Perak Man dan sejarah ketamadunan manusia. Dengan hadirnya anda di sini, anda akan dapat tahu bahawa ketamadunan dan kemajuan manusia bermula di sini. Bukan di Eropah. Bukan di Rom! Tak pecaya?

Sebenarnya kita selama ini diperbodohkan oleh orang Barat. Di dalam buku teks sekolah kita, mereka menyatakan bahawa ketamadunan manusia bermula di Rom/Greek. Tetapi sebenarnya ia bermula di negara kita. Ini telah dibuktikan oleh pengkaji dan penyelidik Universiti Sains Malaysia yang telah menemui Perak Man dan beberapa artifak berharga dan bersejarah di Lenggong.

Tapak arkeologi dan galeri di Lenggong kini telah dikunjungi pelancong luar. Anda bila lagi?


14. Lata


Nyamannya air lata

Di Kuala Kangsar  dan Lenggong ada banyak lata atau air terjun dengan jeram-jeram yang masih tidak terusik. Anda boleh mandi-manda dengan airnya yang jenih, bersih dan sejuk di lata ini dan berkelah bersama-sama orang tersayang dan keluarga. Di antaranya yang terkenal ialah:


  • Lata Kekabu, Lenggong
  • Lata Ulu Kenas (Hutan Lipur Ulu Kenas), Kuala Kangsar - Untuk lihat gambar & cara perginya sila klik SINI
  • Lata Manong, Ulu Bekor, Kuala Kangsar  
  • Lata Guar, Manong - Untuk lihat gambar & cara perginya sila klik SINI
  • Lata Ulu Jeliang, Manong
  • Lata Pecah Batu, Manong - Untuk lihat gambar & cara perginya sila klik SINI

15. Kolam Air Hangat/Panas Ara Panjang


Satu lagi tempat yang jarang orang ketahui kecuali penduduk di sini ialah Kolam Air Panas/Hangat Ara Panjang, Manong. Di sini anda boleh merebus telur hanya dengan merendamkannya di kolam air hangat ini. Anda boleh merendamkan kaki dan mandi untuk kesihatan kulit. Jadi tak perlulah anda ke Bandung atau ke New Zealand untuk mandi kolam air panas. Di tempat kita pun ada :).

(Maaf, tak sempat ambil gambar Kolam Air Hangat Ara Panjang).

Tambahan kemudian: Opps....Baru-baru ini saya balik kampung dan pergi ke Kolam Air Panas Ara Panjang. Sila baca dan lihat gambarnya di SINI.

Itulah sahaja 15 tempat menarik di Kuala Kangsar dan sekitarnya (malahan dah lebih daripada 15 he he he) yang dapat saya kongsikan dengan anda. Bagi anda yang belum lagi ke tempat yang saya cadangkan dalam entri ini, "Moh deras, terjahlah hari ini".  :)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...