Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Isnin, 30 Jun 2014

Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (6): Membeli-belah di Nara

Pada hari-hari terakhir kami di Nara kami ke pusat membeli-belah yang letaknya di belakang dan hadapan stesen Kintetsu Nara. Kedai-kedai di sini cantik, penuh seni dan kemas.


Pusat membeli-belah di belakang stesen Kintetsu Nara
Kedai sayur-sayuran dan buah-buahan di Nara sangat rapi dan bersih. 
Kedai sayur-sayuran dan buah-buahan di sini macam kedai kraf pula gayanya.

Kami tertarik dengan sebuah kedai sayur-sayuran dan buah-buahan di sini kerana ia dihias seperti sebuah kedai kraf. Kami singgah membeli sayur-sayuran dan cendawan Jepun untuk dimasak. Ada sayur yang masih segar dan ada sayur semalam yang tidak terjual. Sudah tentu sayur semalam dijual dengan lebih murah ~ separuh harga. Ketika membeli, seorang pembeli yang fasih berbahasa Inggeris mengesyorkan saya untuk membeli sayur semalam kerana ia masih elok dan harganya murah. Penjual sayur itu yang tidak tahu berbahasa Inggeris amat berterima kasih kepada pembeli itu tadi kerana mengesyorkannya kepada saya.

Kami memasak sendiri selama di Jepun. Selain dijamin halal ia lebih menjimatkan. Tambahan pula susah mencari makanan halal di sini.

Kami beli sebuah buku manga di kedai buku terpakai ini












Buka manga yang kami rembat. Harganya cuma 50 yen (RM1.50)

Kami kemudiannya singgah di kedai buku terpakai. Terdapat banyak buku yang dijual dengan harga yang murah. Oleh kerana anak saya peminat manga, dia sempat merembat sebuah buku manga yang harganya cuma 50 yen (RM 1.50).


Kasut Jepun ini boleh dibeli sebagai cenderamata
Ketiga-tiga fridge magnet ini berharga 350 yen ( RM10) satu set. Ia dianggap murah kerana harga fridge magnet di Nara di antara 350-500 yen (RM10-15) setiap satu, sedangkan yang ini 3 keping 350 yen. 

Oleh kerana Nara amat sinonim dengan rusa dan kuil, fridge magnet di sini kebanyakannya gambar rusa dan kuil.  Ia ditulis Nara dalam tulisan Jepun. Ada sebuah kedai yang menjual fridge magnet dan pada magnet itu bertulis Nara di atasnya dalam huruf rumi, tetapi penjualnya yang berbangsa Turki menyatakan ia dibuat di Turki. Ia cantik tetapi saya hendakkan sesuatu yang berasal dari Nara bukan Turki.

Saya pergi ke beberapa kedai dan memilih fridge magnet yang sesuai. Apabila membungkusnya, saya perhatikan bahwa peniaga di situ membungkusnya dengan amat rapi.

Makanan Jepun yang dipamerkan di luar kedai. Tetapi ini hanya replika sahaja.
Kedai Nara biasanya digantungkan tangkal merah di pintu kedai

Terdapat banyak restoren makanan Jepun di situ. Ada juga makanan India, Itali dan Vietnam. Tapi tiada satu pun kedai halal. Kami hanya melihat dari luar kedai. Contoh makanan yang dijual dipamerkan di luar kedai.

Kuih ini sedap. Rasanya macam tepung gomak. Ia dibuat daripada tepung beras dan intinya kacang hitam.

Kami lalu di sebuah kedai yang menjual kuih. Kami tertarik melihatnya lalu bertanya kepada penjualnya. Dia memberitahu kami (dalam bahasa Inggeris) bahawa kuih itu dibuat daripada tepung beras dan intinya kacang hitam. Ia dijual satu set yang mengandungi 10 biji kuih. Oleh kerana kami tidak tahu rasanya, dia suruh kami mencubanya dengan membeli satu. Lalu kami cuba. Rasanya sedap. Rasanya hampir sama dengan tepung gomak.

Papantanda kedai ini terdapat di hadapan stesen Kintetsu Nara
Wanita Nara berpayung dan berpakaian elegan pada musim panas

Apabila penduduk tempatan di sini nampak kami mereka menegur dengan ucapan "Koniciwa". Kamipun jawab, "Kau ni kecewa?"  "Koniciwa."

Cafe ini ala Inggeris

Waktu Malam di Nara


Apabila petang kami pulang ke rumah, memasak, makan, mandi, solat dan berehat.

Apabila malam kami keluar semula untuk melihat suasana malam di Nara pula. Banyak ilmu yang kami dapat semasa jalan-jalan melihat suasana dan cara hidup orang Jepun. Antaranya kami dapat melihat orang Jepun yang amat berdisiplin, menjaga kebersihan alam sekitar dan jujur. Kita boleh ikut cara mereka.

ATM yang canggih di Nara
Orang Jepun beratur untuk menaiki bas
Eh, air rusa! Pada mulanya kami ingatkan ini air rusa. Tetapi rupa-rupanya bukan. Vending machine ini juga boleh digunakan untuk menderma. Ini bermakna, sekiranya kita membayar duit untuk air rusa itu, kita tidak dapat air rusa itu, sebenarnya kita hanya menderma. Satu idea yang bagus untuk mendapat derma orang ramai!
Untuk membeli sayur dan bawang dalam bakul di kaki lima ini, pembeli cuma masukkan duit ke dalam tin di tepinya. Penjualnya tidak perlu berada di situ. Boleh tak kita ikut cara orang Jepun ini? Saya pernah saksikan cara jual-beli begini di Dubai. Pada hari Jumaat di Dubai, perniaga tak perlu berada di kedai untuk menjual barang-barang. Pembeli hanya perlu meletakkan duit ke dalam beg kertas yang diletakkan di tepi barang.
Waktu malam hanya kedai minuman keras sahaja dibuka di Nara
Larangaan merokok amat serius di Nara. Peringatan supaya jangan merokok juga diletakkan di atas kaki lima
Lambang rusa terukir pada siling pusat membeli-belah di Nara
Papantanda sebuah kedai kek
Ais Batu Campur Nara. Jangan tertipu, ini hanya replika sahaja. 
Beginilah  waktu malam di pekan Nara pada Musim Panas. Kedainya tutup awal iaitu pukul 8 malam.
Orang Jepun balik kerja. Suasana ini mengingatkan saya pada sebuah drama Jepun lakonan Takuya Kimura. 
Lampu di pagar rumah kami di Nara pada waktu malam

Pada waktu malam, kami tidur di rumah tradisional Jepun di atas tilam yang dibentangkan di atas tikar tatami. Lenanya kami tidur. Untuk melihat bilik tidur kami sila imbas kembali di SINI.

Esok kami akan ke Kyoto pula. Bagaimanakah pula Kyoto? Apakah yang menarik di sana? Untuk mengetahui jawapannya ikuti sambungan kisahnya yang akan saya ceritakan dalam entri akan datang.

...bersambung                                                                                 ...baca entri akan datang di sini


Jumaat, 27 Jun 2014

Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (5): Kembali Ke Masa Lalu di Naramachi, Nara

Bersebelahan dengan Nara ada sebuah lagi pekan kecil yang menarik untuk diterokai. Nama pekan itu ialah Naramachi.

Eh, nama tempat ini ada kena mengena dengan nama penulis blog ni ~ Naramachi & Naramas. Apakah ada chemistry di antara kedua-duanya? Apakah maksud Naramachi?
Naramas + Naramachi = Naramakcik atau Makcik Naramas...he he he.. Gurau je.

Sebenarnya Naramachi bermaksud Nara Old Town. Naramachi ialah ibu negara Jepun yang pertama. Ia telah wujud pada abad ke-17.

 

Berjalan Kaki ke Naramachi, Menemui Rusa dan Kuil Tua


Jadi pagi itu selepas sarapan masak sendiri di dapur rumah tradisional Jepun Guesthouse Nara Backpackers, kamipun berjalan kaki ke Naramachi. Kami tak mahu naik basikal lagi sebab tanahnya berbukit-bukit, tak larat mengayuh.

Dalam perjalanan menuju ke Naramachi kami melalui Nara Park. Sudah tentu kami lihat banyak rusa. Cuaca pada hari itu pula amat baik. Tidak panas macam semalam. Redup sahaja. Jadi bolehlah kami jalan kaki lebih jauh.

Aleh...seronokle tuuu..dapat masuk blog....
Jom mengumpat...!

Kofukuji Temple adalah antara kuil tertua di Jepun. Ia menjadi mercu tanda Nara.

Kemudian kami terlihat sebuah kuil tua di hadapan kami, betul-betul tepi jalan. Namanya Kofukuji Temple. Di Naramachi terdapat terlalu banyak temple. Di mana-mana sahaja kami pergi pasti ada temple. Disebabkan kami ini tak suka temple-menemple ni, maka kami ikut sahaja kaki kami nak ke mana. Kalau ternampak temple kami hanya lihat di luar sahaja.

Rusa-rusa di hadapan Kofukuji Temple. Rusa dipercayai oleh penganut Shinto sebagai utusan dewa.

Di hadapan Kofukuji Temple itu kami lihat ada beberapa ekor rusa dan beberapa orang mengambil gambar dengan rusa itu.

Uneme-Jinja Shrine letaknya di seberang jalan Kofukuji Temple

Kami terus berjalan kaki dan di seberang jalan kami lihat ada sebuah tokong ~ Uneme-Jinja Shrine.
 
Kemudiannya kami menuruni bukit dan ternampak Kolam Sarusawa-ike dan taman.


Kofukuji Temple dari bawah bukit di Naramachi

Kolam Sarusawa-ike ini letaknya di bawah bukit menghadap Kofukuji Temple. Di dalamnya ada kura-kura dan ikan kap.


Pekan Tua Naramachi


Apabila kami melepasi Kolam Sarusawa-ike tadi kami sudah masuk ke Naramachi. Berada di Naramachi seperti kembali ke masa lalu. Di hadapan kami ada deretan kedai. Kedai-kedai dan rumah-rumahnya amat klasik. Ia telah dibina pada abad ke-17 iaitu sejak zaman Edo dan Meiji. Jalan di pekan tua Naramachi ini sempit, hanya muat untuk sebuah kereta.

Pekan di Naramachi yang sunyi dan lorongnya kecil. Pekan Naramachi sudah berusia ratusan tahun. Ia telah wujud sejak abad ke-17
Ramai berbasikal di Naramachi
Ada juga yang memandu kereta. Bahagian depan kedainya sempit. Tak ada kaki lima.
Kedai barang-barang keperluan dapur. Lebih kurang macam kat kampung saya je ni.
Batu peringatan Gango-ji. Gonga-ji adalah kuil yang telah dianggap bersejarah dan mendapat pengiktirafan UNESCO

Disamping kedai-kedai tua terdapat juga kuil tua ~ Gonga-ji ~ dan monumen bersejarah di Naramachi yang mendapat pengiktirafan UNESCO. Kami tidak masuk ke dalam kuil itu, cuma lalu di luar sahaja.


Mencari Kediaman Tua di Naramachi

 

Tidak berjauhan dengan deretan kedai tua tadi, terdapat kawasan perumahan. Ada juga rumah-rumah tua yang dibuat daripada kayu, tanah liat dan bertingkap shoji. Kediaman pedagang yang dipanggil machiya terdapat di sini dan masih dipelihara.

Rumah lama Jepun yang dibuat daripada kayu. Jaringan kayu atau koshi, membuatkan penghuninya dapat melihat jalan.
Tembok dan pagar yang mengepung kediaman di Naramachi

Kami kemudiannya berjalan kaki untuk melihat contoh rumah machiya yang terkenal. Menurut peta yang kami lihat pemilik rumah machiya itu bernama Imanishi. Kami pun bergurau kerana namanya Imanishi, mungkin orangnya beriman?

Peta ini terletak di tepi-tepi jalan di Naramachi untuk dirujuk, jadi kami tidak bimbang berjalan di sini kerana pasti kami tak sesat.
Papan tanda di simpang di Naramachi. Ada banyak kuil di sini

Kami mencari kediaman Imanishi itu berpandukan papantanda yang dapat di lihat di tepi-tepi jalan. Tetapi kami masih tidak menemui kediaman Imanishi itu. Yang kami jumpa ialah kedai Harushika Sake (minuman keras dibuat daripada beras).


Kedai lama yang menjual sake iaitu minuman keras yang dibuat daripada beras. Sake terkenal di Nara. Nara ialah tempat sake mula-mula dibuat.

Bunga-bunga musim panas di tanam di kawasan rumah di Naramachi

Kami tidak putus asa, terus mencari kediaman Imanishi, dengan membaca peta, memasuki lorong-lorong dan belakang rumah penduduk di situ. Kediaman  Imanishi masih belum kami temui. Yang kami jumpa kali ini ialah Kozenji Temple.


Telaga di Kozenji Temple

Berdasarkan peta dan papantanda, kami sudah ke tempat yang betul. Iaitu kedai Harushika Sake tadi.  Kami sudah menemui kediaman Imanishi tetapi kediaman itu sudah bertukar menjadi kedai sake. Jadi kami pun bergurau lagi, "Apa dah jadi dengan Imannya?"

Apabila saya pulang dan membaca di internet, saya dapati bahawa Harushika Sake itu ialah Kediaman Imanishi. Jadi betullah tekaan kami tadi.

Menurut sumber internet itu Harushika Sake ditemui pada 1884 dan letaknya di kuaters Naramachi. Harushika bermaksud "Spring Deer". Menurut sejarahnya Nara ialah tempat sake mula-mula  dibuat. Falsafah produksi Harushika Sake ialah “Polish the rice, polish the water, polish the technique and polish the mind.” Wah, sampai begitu sekali!


Kolam Sagi-ike, Rumah dan Kedai di Selatan/Timur Naramachi


Kami juga berjalan-jalan di bahagian selatan dan timur Naramachi sambil melihat kolam, taman, kedai-kedai, rumah-rumah dan sistem letak kereta mereka. Suasana di sini amat tenang, sunyi, tak ramai orang dan very layback kata orang kampung saya.

Kolam Sagi-ike ini tutup pada hari Isnin. Oleh kerana hari itu hari Isnin kami hanya melihat kolam ini dari luar pagar.
Jambatan di Kolam Sagi-ike (Daijoin Garden) yang saya ambil dari celah-celah pagar. Jadi jangan datang ke sini hari Isnin ya. 
 
Kenderaan di atas jalan raya di Naramachi

Rumah-rumah dan kedai-kedai di bahagian selatan dan timur Naramachi bercampur di antara rumah lama dan rumah modern. Rumah modernnya berbentuk bungalow dan apartment yang dipanggil danchi. Kami mendapati bahawa di setiap kawasan perumahan terdapat kuil/tokong dan tempat letak kereta yang luas yang dikongsi bersama-sama. Kereta tidak diletakkan di garaj rumah kerana halaman rumah mereka terlalu sempit. Kereta penduduk di sini diletakkan di kawasan letak kereta khas yang bersebelahan dengan deretan rumah.

Kereta diletakkan mengiring di ruangan sempit hadapan rumah
Patung menghiasi jalan di Naramachi
Menjemur kain di balkoni sebuah danchi di Naramachi
Kawasan perumahan dan tempat letak kereta di Naramachi
Sistem letak kereta di Naramachi menggunakan mesin. Ada kunci yang mengunci tayar. Apabila duit dibayar melalui mesin, kunci tayar terbuka. 

Kami cuba untuk rasa macam orang tempatan. Kami singgah di kedai-kedai membeli sayur-sayuran, bawang dan cendawan Jepun untuk dimasak di rumah. Di pintu masuk kedai di Naramachi biasanya digantungkan tangkal merah yang dipanggil migawari-zaru. Bagi mereka ia adalah simbol tuah dan menolak keburukan.

Kedai payung di Naramachi. Lihat migawari-zaru berwarna merah digantungkan di pintu.

Apabila dahaga kami singgah membeli minuman di vending machine yang terdapat banyak di tepi-tepi jalan. Kami duduk berehat sambil minum air itu di bangku yang disediakan oleh kedai-kedai di luar kedai.


Mesin minuman begini ada banyak terdapat di tepi jalan di Naramachi. Jadi kalau kami dahaga, kami berhenti minum dan mencuba macam-macam jenis minuman.

Mesin jual rokok pun ada
Kedai menyewa kimono di Naramachi.
Kedai menyewa kimono di Naramachi ini menyediakan tempat duduk di luar kedai untuk kita berehat

Dari pagi hingga petang kami berjalan kaki di Naramachi. Kami main redah je untuk melihat kediaman dan kehidupan penduduk Naramachi. Kaki kamipun dah lenguh. 

Terdapat banyak juga muzium dan galeri di situ tetapi kami tidak pergi sebab kami lebih gemar melihat muzium hidup iaitu suasana di persekitaran yang sebenar berbanding dengan pameran artifak dan replika yang sering terdapat di muzium.

Ada lagi kisah menarik kami di sini, tetapi akan saya ceritakan dalam entri akan datang

...bersambung                                                                                  ...baca entri akan datang di sini


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...