Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Khamis, 29 Januari 2015

Penerokaan Di dalam Gua Tempurung

Pada entri yang lepas saya menyiarkan rencana tentang tempat menarik di Gopeng yang ditulis oleh pembaca blog ini iaitu Salihin. Salah sebuah tempat menarik yang diceritakan oleh Salihin ialah Gua Tempurung. Namun beliau hanya menceritakanya secara ringkas. Bagaimana kalau kita mengetahui tentang Gua Tempurung ini dengan lebih terperinci? Banyak aktiviti menarik yang boleh kita lakukan di Gua Tempurung dan ia ditulis oleh pembaca kita yang lain iaitu Sandy Ong. Jom kita ikut Sandy meneroka Gua Tempurung.

--------------------------------------------------------------------
Penerokaan Di dalam Gua Tempurung
Oleh Sandy Ong 

P ada 22 November 2014 yang lalu, saya mengikut Kelab Akuatik Universiti Sains Malaysia (USM) ke satu tempat pelancongan yang amat menarik di Malaysia iaitu Gua Tempurung. Namanya diambil sempena bentuknya seperti tempurung kelapa. Gua Tempurung terletak di daerah Gopeng, 25 kilometer di selatan Ipoh, Perak.

Perjalanan kami melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan susur keluarnya mengikut persimpangan Gopeng, kira-kira 25 km ke selatan bandaraya Ipoh. Dari persimpangan Gopeng, kami masuk ke Lebuhraya Persekutuan 1 dan menuju ke selatan kira-kira 2 kilometer sehingga Kampung Gunung Mesah. Selepas itu belok ke kiri, dan lalu jalan kampung sepanjang 5 km.

Semua jenis kenderaan boleh menggunakan jalan kampung ini termasuk van dan bas. Selepas melalui kampung ini, anda akan melalui tanah bekas lombong. Banyak papan tanda di sepanjang jalan menuju ke Gua Tempurung untuk menyenangkan pengunjung mencari lokasinya.

Kelab Akuatik USM ke Gua Tempurung

Gua Tempurung ialah gua batu kapur semulajadi terbesar di Semenanjung Malaysia, gua ini berlengkar di dalam perut Gunung Tempurung sebagai satu terowong dari timur menembusi ke barat sepanjang 1.9 kilometer.

Tinggalan akitiviti perlombongan  bijih timah

Gua Tempurung mempunyai marmar dan batu kapur yang paling indah di Malaysia. Selain daripada marmar dan batu kapur, gua ini mengandungi timah dan mineral lain. Terdapat beberapa perlombongan bijih timah berskala kecil di dalam gua sepanjang abad yang lalu.


Kemudahan tangga di dalam Gua Tempurung

Gua Tempurung merupakan gua utama di banjaran ini. Kemudahan seperti jejantas dan tangga telah disediakan di dalam sebahagian daripada gua-gua tersebut. Dengan kemudahan ini pelancong dapat melawat ke dalam gua dengan lebih mudah, selesa dan selamat.

Gua Tempurung ini menjadi satu tumpuan pelancong. Kerajaan negeri Perak telah memelihara dan memulihara kawasan gua ini supaya lebih menarik dan mesra pelancong. Bagi pelancong yang suka aktiviti lasak, acara meredah sungai dalam gua turut diadakan.

Sebahagian daripada gua ini dilengkapi dengan lampu terang biasa untuk menyinari keadaan asli dan semulajadi gua ini. Dalam pada ini, pengunjung dapat menghayati keindahan alam semulajadi dengan lebih dekat lagi.

Batu kapur di dalam Gua Tempurung

Pakej Gua Tempurung terdiri daripada empat jenis untuk pelancong pilih, iaitu Pakej A (mudah), Pakej B (sederhana), Pakej C (mencabar) dan Pakej D (paling mencabar). Setiap jenis disesuaikan untuk kepentingan dan kecergasan tahap pelawat.

Aktiviti Pakej A dipanggil ‘Golden Flowstone’. Pakej ini membawa pelancong hingga ke platform ke-3 sahaja. Aktiviti ini mengambil masa selama 40 minit. Setiap pelancong dikenakan bayaran sebanyak RM6 bagi dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak.

Aktiviti Pakej B dipanggil ‘Top Of The World’. Aktiviti ini mengambil masa selama 1 jam 45 minit. Sekurang-kurangnya diikuti seramai 5 orang dewasa setiap lawatan. Setiap pelancong dikenakan bayaran sebanyak RM9 bagi dewasa dan RM4.50 bagi kanak-kanak. Pakej ini bermula pada 9 pagi hingga 3 petang setiap hari.

Aktiviti Pakej C dipanggil ‘Top Of The World and River Adventure’. Aktiviti ini mengambil masa selama 2 jam 30 minit. Aktiviti ini memerlukan lapan orang dewasa sekurang-kurangnya. Setiap pelancong dikenakan bayaran sebanyak RM11 bagi dewasa dan RM6 bagi kanak-kanak. Pakej ini dibuka pada 9 pagi hingga 12 tengahari setiap hari.

Pakej D dipanggil ‘Grand Tour’, aktiviti ini mengambil masa selama 3 jam 30 minit. Peraturan ialah memerlukan lapan orang dewasa setiap lawatan. Pakej ini hanya dibuka pada 9 pagi hingga 12 tengahari setiap hari. Pelancong dikenakan bayaran sebanyak RM22 bagi setiap dewasa jika kanak-kanak hanya bayar RM11.

Bagi pelancong yang baru boleh memilih pelancongan Pakej A dan Pakej B kerana kedua pakej ini merupakan laluan yang lebih pendek. Sebaliknya Pakej C dan Pakej D adalah sukar dan memerlukan tahap munasabah kecergasan. Bagi sesiapa yang mengambil pakej ini mestilah bersedia untuk mengelungsur ke bawah cerun licin dan basah.

Bagi pelancong terlibat dalam lawatan basah iaitu Pakej C dan Pakej D akan memerlukan pakaian tambahan dan tuala selepas melengkapkan lawatan. Memakai pad lutut dan sarung tangan adalah disyorkan dan memakai kasut getah lebih baik berbanding dengan kasut lain. Kamera kalis air amat berguna jika membawanya ke dalam gua.

Mengelunsur di atas batu licin

Kami seramai 40 orang dari kelab akuatik mengambil cabaran Pakej D. Kami memulakan perjalanan pada pukul 9 pagi. Perjalanan kami amat mengambil masa kerana terlalu ramai orang. Oleh itu, kami habiskan perjalanan pada pukul 12:30 tengahari.

Saya membawa kamera ke dalam Gua Tempurung walaupun saya mengharungi sungai bawah tanah yang sampai tahap dada di sesetengah jalan, berjalan itik dan merangkak melalui lubang, memanjat dinding hampir tegak dan mengelunsuri batu licin.

Kita dapat melihat banyak pembentukan batu menarik seperti stalaktit, stalagmit dan kolam multi. Selain itu batu gunung berapi seperti kilauan dinding kristal dilindungi dapat dilihat.

Pakej D juga dimasukkan ke dalam lawatan ini yang membawa kita ke bahagian timur gua ke arah Lebuhraya Utara-Selatan. Perjalanan pulang sepenuhnya melalui sungai bawah tanah.

Batu-batu pelbagai bentuk

Orang yang memberi panduan kepada kami semasa perjalanan memberitahu bahawa pembentukan batu ada yang menyerupai pelbagai bentuk seperti ikan lumba-lumba, wajah wanita, gajah dan kepala lembu. Dia tidak menjelaskan bentuk-bentuk batu dalam gua secara saintifik. Dia memastikan kami tidak buang sampah atau merosakkan batu-batu dan juga memastikan keselamatan kami.

Tersembunyi di dalam batu kapur ini adalah satu rangkaian sistem gua dalam berbagai dimensi dan berangkaian seolah-seolah sarang lebah. Gua-gua ini sesungguhnya adalah sebuah galeri yang menyimpan beribu bentuk stalakmit dan stalaktit dan lain-lain bentuk ukiran batu yang merupakan warisan alam yang amat menakjubkan.

Penulis di dalam Gua Tempurung

Kesimpulanya, jika anda merancang satu pelancongan di Malaysia dan ingin mengambil cabaran bermain di dalam air dan mengelungsur, anda mestilah memilih Gua Tempurung. Anda bolehlah membawa ahli keluarga atau sekumpulan rakan-rakan bersama.

Khamis, 22 Januari 2015

“Nak Buat Apa Di Gopeng?”


Kali ini saya tidak menulis tentang kembara saya. Macam mana ok tak? 

Sebenarnya saya menerima tulisan kembara dari pembaca kita dari Gopeng iaitu Shalihin Alias. Shalihin mengajak kita ke Gopeng. Ada apa di Gopeng? Jom kita tanya orang Gopeng sendiri.
                                           -------------------------------------------

“Nak Buat Apa Di Gopeng?”
Oleh: SHALIHIN ALIAS

S
etiap insan sudah pasti ada tempat tinggalnya masing-masing. Kebiasaanya, tempat tinggal seseorang itu ditentukan dengan tempat asal ibu bapa mereka sebelum mereka berkahwin. Apabila sudah tinggal di sesuatu kawasan itu dengan tempoh masa yang lama, sudah pasti seseorang itu biasa dengan keadaan sekeliling. Malahan, boleh menceritakan tempat-tempat yang menarik di sekitarnya. Disebabkan itu, saya ingin membawa anda semua mengembara ke Gopeng, Perak untuk mendedahkan tempat-tempat menarik yang boleh anda lawati.

Perlombongan bijih timah

Sebelum kita pergi lebih jauh, saya ingin memulakan pengembaraan dengan sejarah Gopeng. Gopeng ialah sebuah bandar perlombongan bijih timah di negeri Perak pada abad ke-19. Malah, ia telah dianggap sebagai bandar perlombongan bijih timah yang paling penting dalam Lembah Kinta sehingga kira-kira tahun 1890. Bandar ini bermula sebagai sebuah penempatan kecil oleh pendatang Cina berhampiran Kota Bharu di sekitar kubur Raja Bendahara Alang Iskandar Ibni Raja Ahmad, yang sebelum ini ketua pentadbir Mukim Teja.

Dari tahun ke tahun aktiviti perlombongan bijih timah dijalankan bandar ini telah beralih dari kedudukan asalnya kepada masa kini, kira-kira 20 kilometer ke selatan Ipoh, dalam daerah yang baru diwujudkan iaitu Kampar. Seawal yang dapat dikesan nama Gopeng dicatatkan dalam peta Negeri-negeri Selat iaitu pada tahun 1875 tetapi dieja Gopin. Peta ini disiapkan setahun selepas Perjanjian Pangkor 20 Januari 1874.

Menurut seorang penulis, AB Tucker dalam majalah ‘Imperial Commerce” menyebut bahawa di selatan Tapah ada seorang Cina bertopeng mukanya kerana dihinggap penyakit puru. Si Bopeng ini memiliki lombong bijih timah di daerah Batang Padang. Pada suatu hari Si Bopeng ini berlawan sabung ayam. Dalam perlawanan ini, Si Bopeng mempertaruhkan lombongnya dan dia menang dan menerima kawasan perlombongan yang dikuasai raja tersebut. Akibat kekalahan itu raja tersebut terpaksa berpindah kira-kira 25 batu ke utara Tapah dengan membuka kawasan perlombongan baru dan menamakan Gopeng sempena Si Bopeng.

Muzium Gopeng dan replika penimbang bijih timah

Muzium Gopeng

Pertama, jom saya bawa ke Muzium Gopeng yang terletak di Jalan Eu Kong. Muzium ini ditubuhkan bagi mengingati pengasas dewan perubatan Eu Yan Sang. Jalan Eu Kong ini sebenarnya telah wujud lebih daripada 100 tahun. Pada zaman dahulu, jalan ini sesak dengan orang ramai, kereta lembu, kereta kuda, basikal roda tiga dan kumpulan gajah untuk pengangkutan.

Muzium Gopeng ditubuhkan pada bulan April 2009 dan dimiliki oleh penduduk tempatan. Semenjak penubuhan muzium ini, lebih daripada 9000 ribu orang telah mengunjunginya termasuklah saya. Apabila anda melangkah masuk ke dalam muzium, anda akan melihat dua skrol besar di kedua-dua belah pintu masuk. Peribahasa yang dinyatakan di dalam dua skrol menggambarkan motif muzium.

Muzium ini terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama muzium ini menekankan pada ilustrasi dan peristiwa-peristiwa sejarah Gopeng. Ia mencatatkan tentang perkara yang berlaku di Gopeng semasa abad ke-19 dan ke-20. Ia juga mencatatkan tiga kaum yang terdapat di Gopeng hidup dalam harmoni menjangkau 150 tahun. Hal ini membuktikan bahawa Gopeng telah menjadi daerah yang sangat terkenal, terutamanya Lembah Kinta antara yang terbanyak menghasilkan bijih timah di dunia. Pada masa itu, lombong bijih timah yang terkenal telah dimiliki oleh "Osborne & Chappel". Di samping itu, lombong bijih timah cina dimulakan oleh Encik Eu Kong dan anaknya, Encik Eu Tong Sen, yang bertahan sehingga abad ke-20.

Bahagian kedua pula, lebih tertumpu kepada koleksi barangan antik. Muzium ini telah mempamerkan lebih daripada 800 keping barang-barang antik dan dikelaskan kepada 32 kategori. Walaupun barangan antik ini tidak begitu menarik tetapi nilai sentimental yang berharga menyebabkan kita harus menghargainya. Oleh itu, ia harus dipelihara untuk tatapan dan pengetahuan generasi masa hadapan.

Menurut Phang See Kong, Setiausaha dan Kurator Muzium Gopeng, “Bangunan ini berusia lebih daripada 127 tahun. Ia dipunyai oleh nenek moyang presiden muzium ini, Bernard Yaw yang sangat baik dan bermurah hati untuk membolehkan bangunan ini dijadikan muzium. Saya juga berusaha untuk mengumpul semua gambar-gambar, ilustrasi, sejarah dan barangan antik untuk dipamerkan di sini”.

Penulis bersama Phang See Kong 

“Heritage House”

Kedua, saya bawa anda ke “Heritage House” yang dipunyai oleh Bendahari Muzium Gopeng, Wong Kuan Cheong antara penyumbang utama barangan antik di sini. Dia mencari tempat untuk memaparkan barangan antik yang lain seperti perabot kerana tidak cukup di Muzium Gopeng. 

Jadi, “Heritage House” ditubuhkan bagi menempatkan kayu keras lama dan papan dari rumah perkampungan yang dirobohkan untuk digunakan semula sebagai pemulihan papan lantai, tangga, tingkap dan pintu. Panel kayu yang disertakan dengan ukiran rumit menggambarkan kekayaan dan kemakmuran terdapat di dinding hadapan bangunan itu. Begitu juga dengan pintu gelongsor bar kayu menjadi bukti kepada kekayaan pemilik pada masa dahulu.

Heritage House dan barangan antik yang dipamerkan

Aktiviti luar

Seterusnya, sekiranya anda berminat dengan aktiviti luar Gua Tempurung boleh dijadikan pilihan untuk anda lawati. Usia Gua Tempurung telah menjangkau 400 juta tahun. Di sini, anda boleh melihat pembentukan stalagmit, stalaktit dan anak sungai bawah tanah. Kedalaman gua ini dianggarkan 1.9 kilometer manakala titik tertinggi gua adalah 120 meter dari tanah. Terdapat dua pintu masuk ke kawasan gua sama ada dari Gopeng atau perkampungan Gunung Mesah.

Seterusnya, “Nomad Adventure” juga sebuah syarikat yang menawarkan aktiviti lasak pertama di Gopeng. Aktiviti sukan berakit mengharungi jeram di sepanjang Sungai Kampar menjadi tarikan utama pelawat. Ia terletak berhampiran Gua Tempurung dan menawarkan aktiviti pengembaraan berakit termasuklah “rock climbing”, “abseiling” dan meneroka gua. 

Harga pakej yang ditawarakan untuk sekali masuk adalah berpatutan

Anda juga boleh memilih “My Gopeng Resort” yang menggalakkan eko-pelancongan dan pengembaraan. Pelawat boleh berehat sambil menikmati pemandangan yang hijau dari ketenangan alam semula jadi. Aktiviti-aktiviti seperti meneroka gua, merentas hutan, melihat bunga Rafflesia dan sebagainya menjadikan satu pengalaman yang cukup bermakna.

Inilah suasana yang terdapat di "My Gopeng Resort". Saujana mata memandang

Akhir sekali, saya berharap perkongsian maklumat mengenai tempat-tempat menarik yang pernah saya lawati mendapat reaksi yang positif dari anda. Hal ini kerana anda semua harus datang ke Gopeng untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman yang tidak mungkin anda dapat seperti di tempat-tempat lain. Bak kata pepatah, belum cuba, belum tahu.

Selasa, 6 Januari 2015

Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (18): Hari-hari Terakhir di Osaka

Assalamualaikum para pembaca blog NotaKembara. Rindu saya tak?

T entu ramai yang ternanti-nanti kemunculan entri baru dari saya. Maklumlah saya menyepi seketika. Ini disebabkan saya terlalu sibuk dengan tugas sehingga tidak sempat untuk mengemaskini blog.

Baiklah, entri kali ini, ingin saya sambung cerita kembara saya di Osaka Jepun yang masih berbaki. Antaranya ialah aktiviti membeli-belah, meninggalkan rumah di Mikuni, ke lapangan terbang Kansai pada awal pagi dan kembali ke Pulau Pinang.

A) Membeli-belah di Osaka


Oleh kerana Osaka bandaraya besar sudah tentu banyak pilihan untuk 'kaki shopping'. Tetapi disebabkan masa kami di Osaka adalah singkat sahaja, jadi kami hanya sempat membeli-belah di beberapa tempat berdekatan dengan stesen Osaka seperti di bangunan Yodobashi. Di sini kami melihat pasaraya yang menjual pelbagai barangan.

Kami pergi melihat barangan elektronik seperti kamera, video, speaker, jam tangan, permainan dan barangan pengembaraan di sebuah pasaraya. Harga barangan elektronik, jam dan kamera buatan Jepun jauh lebih murah daripada di Malaysia. Sangat seronok melihat barang-barang elektronik berjenama terkenal dijual dengan murah di sini.

Bangunan Yodobashi ini terletak di hadapan stesen Osaka
Permainan dan jam tangan buatan Jepun yang murah juga terdapat di sini

Barangan elektronik yang terdapat di dalam bangunan Yodobashi seperti keyboard, pemain muzik, stereo, turn table, speaker dan skrin tayangan terdapat dengan banyak di kompleks membeli-belah ini.
Kamera buatan Jepun berjenama Nikon dan GoPro boleh dibeli dengan harga murah di sini
Terdapat pelbagai jenis barangan untuk si pengembara.
Buku manga ini kami beli dengan harga murah di kedai di dalam stesen Osaka

B) Meninggalkan Rumah di Mikuni


Yanushi (tuan rumah) yang peramah 
Bilik tidur kami yang kami tinggalkan sebelum subuh
Ruang tamu rumah yang kami tinggalkan sebelum subuh

Pada hari terakhir di Osaka, kami keluar sebelum matahari terbit. Ini disebabkan kami harus mengejar keretapi, bas dan kapalterbang pagi untuk pulang ke Malaysia. Ketika itu yanushi (tuan rumah) masih belum bangun. Walau bagaimanapun kami telahpun mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada yanushi sebelum tidur semalam. 

Pada pagi itu, kami terharu kerana kami dapati yanushi telahpun meninggalkan sebuah kad di atas kaunter kepada kami bertulis, "Terima kasih kerana sudi bertandang ke rumah kami". Kamipun meninggalkan kunci rumah di kaunter dan menutup pintu rumah dengan senyap-senyap.

Nota yang ditinggalkan oleh yanushi untuk kami di kaunter
Rumah ini kami tinggalkan pada awal-awal pagi.
Paip air di stesen keretapi Mikuni

Dari rumah kami di Mikuni, kami menaiki keretapi ke Osaka dan kemudiannya mengambil Airport Limousine (bas) menuju ke lapangan terbang Kansai.

Stesen Osaka
Airport Limousine dari Osaka ke Lapangan terbang Kansai
Pejabat amazaon.com ini terdapat di tepi jalan dalam perjalanan ke lapangan terbang Kansai


Pemandangan dari tingkap limousine ke lapangan terbang Kansai
Airport Limousine yang kami naiki sampai tepat pada waktunya di Lapangan terbang Kansai
Fridge magnet yang kami beli di Lapangan Terbang Kansai
Komik Manga ini dibeli di Lapangan terbang Kansai oleh anak saya seorang penggemar manga


C) Hati Tertinggal di Kansai


Kami menaiki kapalterbang MAS untuk pulang ke tanahair. Di dalam kapalterbang kami dihidangkan dengan makanan Jepun yang enak.

Dalam kabin MAS kelas ekonomi
Makanan Jepun yang enak dihidangkan
Kapalterbang MAS mendarat di Pulau Pinang

Kami masih tidak puas berjalan-jalan di Kansai Jepun. Mengapakah kenangan manis sentiasa terasa cepat berlalu?

Kenangan indah di Kansai membuatkan hati kami masih tertinggal di Kansai walaupun telah berhari-hari pulang. Kami bercita-cita untuk kembali lagi ke Jepun.

D) Bajet


Tentu ramai yang ingin mengetahui perbelanjaan saya dan anak saya di Jepun. Berikut adalah anggaran perbelanjaan saya (untuk seorang) selama 7 hari di Kansai. Jadi untuk 2 orang perbelanjaannya didarab 2.


PERBELANJAAN DI NARA, KYOTO & OSAKA
(UNTUK SEORANG)

RM
Tambang Kapalterbang MAS 
(Penang-Kansai, Kansai-Penang)
1,500.00
Tambang Keretapi dan Bas
500.00
Sewa Rumah
580.00
Makan & Minum
 300.00
Membeli-belah
  500.00
Muzium
  100.00
Sewa Basikal
    15.00
JUMLAH
3,495.00


E) 3 Video Di Nara dan Kyoto 


Semasa 7 hari di Nara, Kyoto dan Osaka kami sempat merakam video perjalanan kami di sana. Ada di antaranya telah saya tunjukkan dalam entri yang lepas-lepas, Namun ada 3 lagi video yang belum saya kongsikan dengan anda. Untuk menyaksikannya sila klik di bawah ini:

a) Video #1: tentang rumah tradisional Jepun kami di Nara, rusa yang berkeliaran di Nara, kuil-kuil, pekan tua Naramachi, pekan Nara dan perjalanan menaiki keretapi dari Nara ke Kyoto.




b) Video #2: tentang aktiviti kami membeli air tin di vending machine di tepi jalan di Nara





c) Video #3: tentang kembara kami di Kyoto. Di dalam video ini anda boleh menyaksikan pemandangan sawah padi di tengah-tengah pekan, rumah-rumah di Kyoto,  rumah tradisional Jepun yang kami inapi di Kyoto, perjalanan menaiki keretapi, menaiki bas ke Arashiyama, keindahan hutan buluh Arashiayama, pekan Arashiyama dan sungai di Arashiyama.




Kepada semua pembaca NotaKembara Naramas Aman saya ucapkan "Domo arigato gozaimashita" kerana mengikuti kembara saya di Jepun.

Selamat Tahun Baru! Akemashite omedeto gozaimasu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...