Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Rabu, 27 Mei 2015

4 Musim di Beijing

S aya membuat entri ini kerana ramai yang bertanya saya tentang musim-musim yang sesuai untuk ke Beijing. Sebagaimana yang umum ketahui, terdapat 4 musim di Beijing iaitu musim bunga, panas, luruh dan sejuk.

Berdasarkan pengalaman saya yang pernah tinggal di Beijing selama 4 musim ini, saya turunkan beberapa tips untuk rujukan anda yang ingin ke Beijing.



1) Musim Bunga (awal April  hingga hujung Mei)


Musim bunga di Beijing berlaku sangat pendek iaitu pada awal April hinggalah hujung Mei. Siangnya sederhana panas, berangin dan kering. Menjelang petang suhunya menurun sedikit tetapi tidaklah terlalu sejuk ~ sedang-sedang sahaja. Purata suhu bagi bulan April ialah 14°C manakala bulan Mei pula ialah 20°C.

Tetapi udara di Beijing sentiasa berjerebu disebabkan oleh pencemaran asap dari kilang, kenderaan dan ribut pasir. Bagi mereka yang mengidap lelah dan resedung cuaca begini mungkin tidak begitu selesa buat anda. Untuk mengatasi masalah ini, hendaklah memakai mask (topeng muka) untuk mengelakkan daripada menghidu udara yang tercemar ini.

Pada musim ini banyak bunga berkembangan dan kita boleh lihat bunga-bunga ini di tepi-tepi jalan. Antara bunga yang kelihatan ialah bunga iris, azalea dan mawar. Manakala untuk melihat bunga tulip anda perlu mencarinya di taman-taman.

Udara yang berjerebu begini kelihatan setiap hari di Beijing. Pada musim bunga, bunga mawar kembang mekar di sana-sini. (Gambar menunjukkan mawar menghiasi kawasan Stadium Sarang Burung di Beijing)
Bunga iris yang tumbuh di merata tempat pada musim bunga di Beijing
Bunga ini tumbuh liar di tepi-tepi jalan di Beijing pada musim bunga
Orang ramai berpakaian ringkas dan nipis ketika melawat Tembok Besar pada musim bunga 

Pakaian yang sesuai untuk dipakai pada waktu tengahari dan petang pada musim bunga ini ialah t-shirt berlengan panjang dengan seluar panjang. Manakala pada lewat petang dan malam apabila suhu menurun, selain memakai t-shirt berlengan panjang eloklah memakai sehelai jaket nipis atau sweater nipis untuk memanaskan badan.

Jangan lupa menyapu losyen pelembap pada kulit kerana udaranya kering.

Oleh kerana cuaca yang sederhana panas/sederhana sejuk dan sedang-sedang sahaja, tempat-tempat yang sesuai untuk dilawati ialah taman-taman seperti Summer Palace, Behai Park, World Park, Zazhuyuan Park, Zoo Beijing, Tembok Besar, Kota Larangan (Forbidden City) dan Tianamen Square. Untuk membeli-belah di kawasan terbuka juga sesuai seperti di Wangfujing dan Qianmen.


2) Musim Panas (awal Jun hingga pertengahan September) 


Musim Panas di Beijing adalah panjang dan panas. Ia berlaku pada awal Jun hingga pertengahan September. Cuacanya hampir sama dengan Malaysia, namun siangnya lebih panjang daripada malam. 

Purata suhu pada bulan Jun ialah 24°C. Pada bulan Julai purata suhunya 26°C. Bulan Julai adalah bulan yang paling banyak hujan dan yang paling panas. Pada bulan September pula purata suhunya ialah 25°C. Pada bulan September hujan juga kerap berlaku.

Pokok pine pada musim panas di Beijing
Anak saya memakai t-shirt dan berseluar kain kapas ketika musim panas di luar Kota Larangan Beijing

Pakaian yang sesuai ialah pakaian nipis yang biasa kita pakai di Malaysia. Ketika berada di dalam bilik, kipas atau penyaman udara eloklah dipasang supaya tidak terlalu panas.

Oleh kerana cuacanya panas di siang hari, maka eloklah melawat tempat-tempat tertutup seperti di dalam bangunan, muzium dan masjid. Membeli-belah di bangunan tertutup seperti di Yonganli juga sesuai.

Taman-taman yang sesuai dilawati ialah Summer Palace dan Taman Buluh Ungu (Zazhuyuan Park) kerana pada musim ini terdapat banyak bunga teratai di tasik dan banyak aktiviti mendayung serta menaiki bot dilakukan. Gunalah payung untuk menahan diri dari terik matahari dan dibasahi hujan. Pakailah kacamata hitam dan sapulah losyen UV protection  (sun block) pada kulit yang sensitif pada cahaya matahari terik.

Saya memakai blaus nipis dan jeans di Tembok Besar China pada musim panas
Payung menjadi pilihan ketika melawat Kota Larangan di musim panas kerana matahari sangat terik

3) Musim Luruh (pertengahan September hingga hujung Oktober) 


Musim luruh di Beijing adalah sejuk dan nyaman. Musimnya singkat. Ia bermula pada pertengahan September dan berakhir pada hujung Oktober.

Purata suhu pada bulan September ialah 20°C dan pada bulan Oktober ialah 13°C.

Musim luruh adalah musim yang paling digemari oleh kebanyakan orang China kerana ribut pasir tiada dan udaranya nyaman.

Minggu pertama Oktober adalah cuti umum dengan dimulakan dengan Hari Kebangsaan China pada 1 Oktober. Ramai pelancong tempatan dari segenap pelosok negeri China datang ke Beijing sehingga tempat lawatan menjadi sesak terutamanya di Tiananmen Square. Kesesakan ini berlaku sehari sebelum Hari Kebangsaan, pada Hari Kebangsaan dan sehari selepasnya. Kalau anda tidak sukakan kesesakan orang ramai cuba elakkan melawat Tiananmen Square pada hari-hari tersebut.

Tiananmen Square pada musim luruh dihiasi dengan lanskap indah sempena menyambut Hari Kebangsaan China
Tembok Besar China pada awal musim luruh. Kelihatan daun-daun di sini sedang menguning. Ia akan bertukar warna menjadi merah pada pertengahan musim luruh.

Oleh kerana cuacanya yang nyaman kesemua tempat tarikan utama Beijing sesuai untuk dilawati pada musim luruh. Kawasan yang paling ramai pengunjung pada ketika ini ialah Tiananmen Square, Kota Larangan dan Tembok Besar.

Satu pesta yang diadakan setiap kali musim luruh di Beijing ialah Pesta Daun Merah. Pesta Daun Merah diadakan di Bukit Wangi atau lebih dikenali dengan Fragrant Hills. Ketika ini daun-daun hijau bertukar menjadi merah. Anda juga boleh menyaksikan daun-daun merah di kawasan Tembok Besar China di Badaling.

Pakaian yang sesuai dipakai pada musim luruh di Beijing ialah baju lengan panjang (sehelai), sweater (sehelai) atau jaket nipis. Namun begitu pakailah jaket tebal pada malam hari kerana suhu menurun dengan mendadak pada malam hari terutama pada hujung Oktober. Sapulah losyen pelembap pada kulit kerana udaranya kering.

Orang ramai memasuki Fragrant Hills pada musim luruh untuk menyaksikan Pesta Daun Merah
Fragrant Hills pada awal musim luruh. Kelihatan daun-daun di sini mula berubah warna dari hijau - kuning - jingga - merah.

Pakailah t-shirt lengan panjang dua lapis, seluar panjang dan sneakers seperti kawan saya Adi Putra ketika berjalan-jalan di musim luruh di Fragrant Hills, Beijing

Daun merah yang sudah dilaminasikan ini saya beli di Fragrant Hills.

4) Musim Sejuk (awal November hingga hujung Mac)


Musim Sejuk di Beijing adalah panjang dan terlampau sejuk. Ia bermula pada awal November sehinggalah hujung Mac. Udaranya kering. Ketika ini angin dan ribut pasir dari gurun di utara China terbang ke Beijing dan membuatkan udara menjadi berdebu.

Purata suhu pada bulan November ialah 5°C. Bekalan haba panas ke rumah-rumah dan bangunan awam mula dibekalkan oleh pemerintah China pada pertengahan November.

Kita boleh saksikan bangunan yang dibina khas oleh pemerintah China untuk membakar bahan api bagi bekalan haba panas ini. Ia mudah dicam melalui asap yang berkepul-kepul keluar melalui serombong asap. Sila KLIK DI SINI untuk melihat bangunan pembakaran bahan api.

Manakala bulan Disember suhunya menurun di bawah 0°C dan purata suhunya ialah -2°C. Salji turun tidak menentu. Kadang-kadang seminggu sekali, kadang-kadang seminggu 3-4 kali, kadang-kadang sebulan 2 kali...

Pada bulan Januari suhunya paling sejuk dengan purata suhunya ialah -4°C. Namun begitu suhu di Beijing boleh turun tersangat melampau sehingga -17°C atau -20°C pada bulan Januari. Oleh kerana musim sejuknya panjang dan terlalu sejuk, air sungai, tasik dan parit menjadi beku.

Pada bulan Februari suhunya pula semakin meningkat dengan purata suhunya ialah -1°C dan semakin meningkat lagi pada bulan March dengan purata suhunya ialah 6°C.

Salji sedang turun di kampus Universiti Komunikasi China di Beijing
Selepas salji turun di kampus Universiti Komunikasi China di Beijing
Air parit menjadi beku pada musim sejuk di Beijing
Tembok Besar China kurang dikunjungi ramai pada musim sejuk
Tasik di kampus Universiti Peking ini beku ketika musim sejuk dan dijadikan tempat bermain ice skating

Oleh kerana cuaca terlalu sejuk adalah sesuai melawat tempat-tempat di dalam bangunan seperti muzium dan tempat membeli-belah.

Tempat-tempat yang sesuai untuk bermain ski ialah di Stadium Nasional (Stadium Sarang Burung), tasik beku di kampus Peking University, Badaling Ski Resort (di kawasanTembok Besar China) dan Qiabao Skiing Dome.

Apakah pakaian yang sesuai dipakai pada musim sejuk di Beijing? Untuk itu, saya akan jawap pertanyaan ini dalam entri akan datang.

...bersambung

Jumaat, 15 Mei 2015

Indahnya Stong

Entri kali ini memaparkan hasil tulisan pembaca blog ini iaitu Nur Fadhilah. Beliau mempunyai pengalaman menarik ketika mendaki Gunong Stong.

* * * * * * * * * *


Indahnya Stong

oleh Nur Fadhilah binti Ismadi

B 
erlatar belakangkan Air Terjun yang tertinggi di Asia Tenggara telah menjadikan Banjaran Gunong Stong sebagai sebuah destinasi rekreasi yang strategik. Tidak hairanlah jika kawasan ini mendapat kunjungan yang hebat dari segenap lapisan masyarakat tidak kira dalam negara mahupun dari luar negara.

Gunong Stong yang berada pada ketinggian 1433 meter merupakan puncak tertinggi di Kelantan seterusnya merupakan lokasi air terjun tertinggi di Asia Tenggara. Air terjun yang terdapat di Banjaran Gunong Stong ini mempunyai tujuh lapisan air terjun. Air Terjun Jelawang merupakan air terjun yang paling tinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 303 meter dari aras laut.

Gunong Stong dihubungkan dengan bandar-bandar utama seperti Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli dengan jalinan jalan raya yang baik. Manakala melalui jalan keretapi, Perhentian Dabong sebagai pintu masuk yang utama. Jarak Kota Bharu ke Gunong Stong ialah sejauh 50 kilometer melalui jalan Jeli. Tetapi bagi pengunjung dari arah Kuala Lumpur pula bolehlah melalui Bandar Gua Musang yang jaraknya untuk sampai ke destinasi ialah sekitar 70 kilometer.


Kemudahan 



Gunung Stong ini lebih tertumpu kepada pendakian gunung. Selain daripada itu, ada juga golongan yang mengambil peluang untuk berkhemah di atas gunung tersebut.

Gunong Stong mempunyai lebih kurang tujuh tapak kem yang tersedia dengan pelbagai kemudahan. Pendakian mengambil masa lebih kurang lima jam untuk sampai ke tapak kem yang mana lapisan air terjun paling tinggi. Untuk turun pula mengambil masa lebih kurang empat jam.

Di samping itu juga, para pendaki akan ditemani oleh seorang atau lebih tenaga pengiring yang mahir tentang corak atau laluan pendakian. Hal ini adalah untuk menjaga keselamatan para pendaki daripada pelbagai kejadian yang tidak diingini.


Penulis bersama pendaki lain di lapisan keempat air terjun sebelum sampai ke puncak Gunong Stong

Anugerah Alam


Di sepanjang laluan pendakian, para pendaki dapat melihat pelbagai jenis habitat flora fauna yang tidak pernah dilihat dengan mata kasar sendiri. Para pengunjung juga dapat menyentuh sendiri habitat yang ada selagi ia tidak membahayakan keselamatan pengunjung.

Gunong Stong bukan sahaja terkenal dengan tujuh lapisan air terjun yang menjadi lambang kemegahannya, namun ia juga terkenal dengan adanya gua-gua kecil yang mana boleh didapati sepanjang pendakian. Namun, ia haruslah mendapat kawalan daripada pihak yang mengiringi pengunjung.

Berdasarkan pengalaman penulis sendiri, anugerah alam yang terdapat sepanjang perjalanan untuk sampai ke puncak sangatlah indah dan penulis terasa sangat nyaman. Perasaan takut berada dalam hutan dapat diselindung dengan keindahan alam yang berada di sekeliling.

Penulis berada di salah sebuah air terjun di Gunong Stong


Panorama pemandangan


Tidak dapat di selindung lagi pemandangan Gunong Stong sangatlah indah terutama pada sebelah pagi dengan kehadiran matahari. Jika keadaan pagi itu tidak berkabus, kehadiran matahari terbit sangatlah ditunggu-tunggukan oleh para pendaki di puncak gunung. Penulis bangun awal pagi untuk menyaksikan sendiri panorama pemandangan matahari terbit dan ternyata keindahannya tidak dapat dinafikan lagi.

Di kemuncak Gunung Stong ketika menanti matahari terbit

Selain itu juga, keindahan Air Terjun Jelawang iaitu lapisan paling teratas mempunyai panorama yang tersendiri dengan air terjunnya yang sejuk dan jernih. Pengunjung juga boleh melihat sendiri pertembungan di antara Air Terjun Gunong Ayam dengan Gunong Stong yang mana membentuk Air Terjun Jelawang.


Kenangan penulis bersama pendaki lain sebelum turun dari puncak Gunong Stong

Nyata, pengalaman pendakian penulis di Gunong Stong ini selama dua hari semalam di tapak Kem Baha, Gunong Stong ini menjadi memori yang sangat indah buat penulis.

Isnin, 4 Mei 2015

Merentas Sempadan Thailand ke Danok

Oleh kerana rumah saya di Pulau Pinang dan sempadan Thailand Selatan tidaklah jauh, iaitu kira-kira 2 jam pemanduan kereta, saya telah beberapa kali ke sana di hujung minggu.

Di sini saya ingin berkongsi dengan anda cara-cara memasuki sempadan Thailand Selatan ke pekan Danok.

Untuk ke Danok kita menggunakan lebuhraya ke utara melalui negeri Kedah. Di Kedah kita melalui Sungai Petani, Alor Star, Changlun, kemudian Bukit Kayu Hitam yang terletak di sempadan. Untuk melihat petanya sila klik DI SINI.

Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam, Kedah

Apabila sampai di sempadan Thai, kita akan lihat gerbang kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam. Bawalah kereta kita ke kaunter imigresen ini dan tak perlulah turun.

Menuju ke Kawasan Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam

Setelah melalui kompleks imigresen ini, kita carilah parkir yang letaknya berdekatan dengan Kawasan Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam.

Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam ini letaknya di hadapan kawasan parkir

Tinggalkan kereta kita di sebuah parkir berdekatan dengan sebuah kompleks membeli-belah bebas cukai. Bayaran parkir untuk sehari ialah RM15.00


Mendapatkan arrival card di meja di hadapan pintu parkir

Kemudian dapatkan arrival card di sebuah meja yang letaknya di pintu pagar pakir itu. Tunjukkan pasport kita dan bayarlah RM2. Arrival card/pass itu diisi oleh mereka dengan cepat. Tak sampai 5 minit ia pun siap.

Setelah mendapatkan arrival card/pass itu kita bolehlah ke Imigresen di sempadan Thailand. Kita berjalan kaki sahaja - lebih kurang 5-10 minit. Kita akan menemui Kompleks pemeriksaan Kastam pihak Thailand.

Boleh dapatkan khidmat van/teksi untuk ke destinasi seterusnya

Sekiranya kita ingin ke utara seperti Hatyai (60 km dari Danok), Lapangan terbang Hatyai, Klong Ngae, Songkhla, Nathawee, Krabi, Phuket, Pakbara, Satoon atau Watpahkor, kita boleh menggunakan perkhidmatan teksi-van yang terdapat berdekatan dengan kawasan parkir tadi.


Beratur untuk pemeriksaan pasport untuk masuk ke Thailand Selatan

Apabila kita sampai di Imigresen Thailand kita perlu beratur untuk pemeriksaan pasport. Selitkan duit seringgit di dalam pasport kita utk proses pemeriksaan itu. Kalau tak diselitkan duit seringgit ini, khabarnya pegawai di situ akan cari pasal dengan kita dan membuatkan proses mendapatkan cop itu menjadi sukar. (Begitulah dilakukan ketika balik semula ke Malaysia nanti).

Lama atau sekejap beratur di sini bergantung kepada bilangan orang ramai dan jumlah kaunter yang dibuka. Kalau kita ke situ pada hari cuti umum atau hari Jumaat dan Sabtu, tempat ini menjadi sesak.

Setelah selesai pemeriksaan pasport dan pasport kita dicop, kita pun boleh masuk ke Thailand. Pekan yang terdekat di sempadan Thailand itu ialah Danok, iaitu ia hanya di sebelah kaunter imigresen tadi.

Kedai-kedai di pekan Danok

Di Danok terdapat banyak hotel, kedai dan tempat makan halal yang diusahakan oleh orang Islam.

Baru-baru ini saya ke sini dengan suami saya untuk makan-makan, membeli-belah, memotong rambut dan mengurut badan.

Disamping itu ada juga yang datang ke sini untuk mendapatkan barang-barang untuk berniaga. Di sini juga ramai peniaga Islam berketurunan Melayu dan mereka bercakap Melayu dengan kita.

Ada juga orang ke sini untuk mendapat perkhidmatan yang kononnya 'seronok' tetapi dilarang oleh agama kita. Sekiranya kita mempunyai niat baik, ke mana-mana sahaja kita pergi, kita pasti tidak akan terpesong.

Hotel Oscar ini letaknya di pekan Danok. RM80 semalam
Restoren ini letaknya tidak jauh dari kaunter Imigresen di sempadan Thailand
Pelbagai lauk-pauk disediakan
Makan tengahari dengan tomyam campur, rebung goreng udang, kerabu mangga, telur dadar dan timun menjadi pilihan utama. Harga makan tengahari di sini tidak jauh beza dengan harga di Malaysia malahan ia lebih mahal. Namun kesedapannya tiada tandingan kerana resepinya asli.
Mangga dimakan dengan pulut menjadi kegemaran saya

Untuk kembali semula ke Malaysia, kita mestilah melalui Imigresen Thailand sekali lagi. Hulurkan pasport, arrival card/pass dan duit seringgit. Ambil semula kereta yang kita tinggalkan di parkir dan lalulah di kaunter Imigresen Malaysia.

Begitulah cara-cara untuk merentas sempadan Thailand ke Danok.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...