Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Selasa, 24 Januari 2017

9 Pasar Barangan Antik di Perak



B agi peminat dan pengumpul barangan antik pasti tidak akan ketinggalan mendapatkan barangan lama ini. Ada yang sanggup mengembara dari satu negeri ke satu negeri demi mendapatkan barang antik yang dicari-cari. 

Tahukah anda bahawa di Perak, sekitar Kuala Kangsar, Ipoh dan Taiping anda boleh mendapatkan barangan antik yang sudah hampir pupus? Di ruangan ini saya catatkan 9 tempat yang boleh anda serbu untuk mendapatkannya.


1) Pasar Pagi Ahad di Lembah, Kuala Kangsar


Pergilah ke Lembah (di pinggir Sungai Perak), Kuala Kangsar pada pagi Ahad. Pada hari ini, pinggir Sungai Perak ini menjadi sebuah pasar yang menjual pelbagai barangan dapur, makanan, sayur-sayuran, ikan-ikan air tawar, pakaian dan macam-macam lagi.

Terdapat sebuah gerai yang mendapat perhatian orang ramai iaitu gerai yang menjual barangan antik. Antara yang dijual ialah kamera, kotak rokok seperti Rough Rider dan 555, talam, gramaphone, piring hitam, jam dinding, permainan, topi besi dan macam-macam lagi.  Jadi bagi peminat barangan antik, jangan lupa mengunjunginya

Kamera, tempat duduk basikal, dulang, permainan, topi dan jam dinding  adalah antara barangan antik yang terdapat di gerai Pasar Pagi Ahad, Lembah, Kuala Kangsar

Betul-betul mengusik jiwa apabila dapat mendengar kembali lagu-lagu lama melalui gramaphone ini

2) Pasar Pagi Isnin di Padang Rengas, Kuala Kangsar 


Sekiranya anda ketinggalan jaulan di Lembah tadi, anda bolehlah ke pasar pagi lain yang terletak berdekatan iaitu di Padang Rengas, Kuala Kangsar. Pasar pagi ini dibuka pada hari Isnin. Terdapat gerai yang menjual mesin jahit lama, buku dan majalah lama dan pakaian terpakai.

Buku dan majalah lama boleh didapati di Pasar Pagi Isnin Padang Rengas, Kuala Kangsar


Mesin jahit jenama Raleigh dijual di pasar ini

3) Pasar Pagi Selasa di Karai, Kuala Kangsar


Sebuah lagi tempat yang menarik untuk anda kunjungi bagi mendapatkan barangan antik ialah di Pasar Pagi Selasa di Karai, Kuala Kangsar. Pasar ini amat meriah kerana terdapat 3 hingga 4 gerai yang menjual barangan antik.

Gerai yang pertama melambakkan barangan antiknya seperti mesin kisar ais, kipas angin, cawan kopitiam, ladam kuda, periuk belanga, golok, mata cangkul, parang, lukisan dan macam-macam lagi.

Peminat barang-barang lama tidak ketinggalan meneliti barang lama yang dijual

Seterusnya terdapat gerai yang menjual mesin jahit lama jenama Raleigh sama ada mesin yang dioperasikan dengan menggunakan kaki atau tangan. Selain menjual mesin jahit lama, gerai ini yang dimiliki oleh seorang peniaga wanita, juga mengadakan khidmat membaiki dan menrestorasi mesin jahit lama.

Mesin jahit jenama Raleigh ini dijual di pasar pagi Karai dengan harga yang mampu milik. Akesori untuk mesin jahit juga dijual

Gerai ketiga menjual barang-barang lama yang sudah pupus seperti lampu, duit syiling, cawan (bunga kangkung), sudu/garfu tembaga, talam tembaga, tudung lampu, acuan kuih, botol kaca, bahagian basikal seperti rantai, tempat duduk, lampu dan macam-macam lagi.

Barang-barang tembaga, porcelin, barang-barang kaca,  besi-besi lama dan senjata disusun di atas meja untuk menarik perhatian

Gerai yang paling menarik dan mempunyai pelbagai pilihan pula adalah gerai keempat yang menjual gramaphone (jenama Mastrer's Choice/anjing menyanyi), barang-barang tembaga, piring hitam, sapir, peti besi, topi tentera, pelita, dacing dan macam-macam lagi barang yang sukar diperolehi lagi pada zaman digital ini.

Gramaphone Master's Choice ini diputarkan dengan menggunakan tangan dan masih berfungsi dengan baik. Piring hitam lama nyanyian opera klasik Melayu diberikan percuma sekiranya membeli gramaphone ini

Pelanggan mesti meneliti barangan antik ini dahulu sebelum membelinya

Lagu-lagu lama adalah sejarah dan pasti menggamit kenangan silam apabila mendengarnya


4) Pasar Pagi Jumaat di Manong, Kuala Kangsar


Sekiranya anda ketinggalan jualan di Karai dan Padang Rengas, anda boleh ke Pasar Pagi Jumaat di Manong, Kuala Kangsar, Perak. Peniaga-peniaga barangan antik yang berniaga di pasar-pasar tadi berniaga juga di pasar-pasar lain di persekitaran Kuala Kangsar.

Di sini anda boleh mendapatkan barangan antik seperti radio, pemain piring hitam, pemain kaset, cawan kopitiam, mesin ais batu, seterika arang, besi karat dan macam-macam lagi.

Pasar pagi Jumaat di Manong menjual juadah asli dari kampung seperti tepek pisang

Barang-barang antik dan besi karat tidak ketinggalan dijual di sini


5) Pasar Pagi Sabtu di Kamunting, Taiping


Pada pagi Sabtu datanglah ke pasar yang letaknya bersebelahan dengan stesen bas Kamunting. Macam-macam barang lama dan yang dah berkarat tetapi masih berharga terdapat di sini. Kalau rajin datang dan mencarinya, tentu anda dapat apa yang anda cari.

Jangan padang sebelah mata saja besi berkarat, tembaga kuning, seramik sumbing, koleh ayan  dan tin lama ini kerana ia masih berharga



6) Kapitan Antiques House di Jalan Taming Sari, Taiping



Kapitan Antiques House di Taping pula adalah sebuah kedai yang menjual pebagai barangan antik. Ia dimiliki oleh peniaga Cina. Boleh dikatakan apa yang anda ingin terdapat di sini. Kalau anda memasuki kedai ini, pasti anda terkejut melihat terlalu banyak barang-barang antik berselerak, menimbun-nimbun dan bergantungan di sana sini sehingga anda perlu menyelongkar sehingga ke belakang.

Basikal tua, lampu minyak tanah, alat muzik, permainan, kukus buluh dan jam dinding  digantung di siling kedai

Papan tanda dan iklan lama amat berharga pada hari ini kerana ia sukar didapati

Mangkuk tingkat pelbagai jenis dan corak samada daripada enamel atau tembaga terdapat banyak di sini

7) Pagi Ahad di Pasar Karat (Memory Lane), Ipoh


Sebuah lagi tempat yang sangat popular di Perak yang menjual barangan antik ialah Pasar Karat (Memory Lane) di Ipoh. Orang sentiasa ramai di sini. Pastikan anda datang pada pagi Ahad.

Di sini anda boleh mendapatkan pelbagai barangan antik yang membuatkan anda rambang mata dek terlalu banyaknya gerai dengan pelbagai jenis barang antik. Radio lama, basikal tua, gramaphone, telefon berdail, lampu gasolin, pinggan mangkuk berbunga klasik, piring hitam retro, duit syiling purba, duit kertas lama, barangan kaca dan hiasan rumah pasti memukau peminat barang-barang antik.

Piring hitam dari penyanyi popular 60an dan 70an juga boleh dicari di sini

Tembaga lama pun ada

Mesin jahit lama ini masih berfungsi


8) SSF di Ipoh: Barangan Baru Bergaya Antik


Sekiranya anda ingin mendengar lagu-lagu klasik menggunakan radio lama dan gramaphone lama sebagaimana Sabariah mendengar lagu-lagu Kassim Selamat anda boleh mendapatkan radio ini di SSF, Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh. Radio dan gramaphone ini baru, cantik, berkilat dan ia berfungsi dengan baik.  Ia nampak saja antik tetapi sebenarnya ia diproduksi semula dengan meniru gaya antik.

Selain itu terdapat juga perabot dan hiasan rumah baru yang dibuat berbentuk antik dan klasik seperti peti harta karun, jam meja, jam dinding, meja kopi, bangku dan hiasan dinding.

Gramaphone yang berbentuk antik ini sangat baru dan berfungsi dengan baik

Radio ini meniru bentuk radio antik. Terdapat fungsi digital pada radio ini

Jam meja ini bukan jam lama tetapi meniru gaya antik 


9) Kafe Antik - Chor's Cafe Western, Meru, Ipoh


Basikal digantung  dan beca dipakir di hadapan kedai

Melihatkan gambar di atas sekilas pandang, pasti ramai yang menyangka ini adalah sebuah kedai menjual basikal. Tetapi sebenarnya ia adalah sebuah kafe. Kafe ini dihiasi dengan basikal pelbagai jenis daripada basikal kanak-kanak sehinggalah ke basikal tua dan beca. Selain itu terdapat kereta lama dan barangan antik. Ini ialah Chor's Cafe yang dimiliki oleh peniaga Melayu dan letaknya di Taman Meru, Ipoh. Barang-barang antik di kafe ini bukan untuk dijual, tetapi digunakan sebagai hiasan. 

Sekiranya anda ingin duduk minum-minum anda bolehlah ke Chor's Cafe yang menyajikan makanan barat. Sambil minum-minum bolehlah anda memainkan lagu-lagu retro melalui sebuah juxebox yang terdapat di sudut kafe.


Basikal, gitar, ukelele, topi koboi, iklan lama dipamerkan pada dinding Chor's Cafe

Kereta lama, basikal, motosikal dan pinggan mangkuk lama menghiasi bahagian kaunter kafe

Itulah sahaja 9 senarai pasar/kedai yang menjual barangan antik di Perak. Sekiranya ada pasar karat yang belum saya kunjungi, silalah beritahu saya .


Dilarang meniru dan  memreproduksi sebarang tulisan dan imej di dalam blog ini tanpa kebenaran penulis.