Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 19 Mac 2012

Melbourne CBD: 17 Tempat Menarik Untuk Dilawati

Kotaraya Melbourne adalah tempat tumpuan ramai. Ia adalah kotaraya yang paling ramai penduduk di Victoria dan kotaraya yang kedua teramai penduduknya di Australia. Melbourne juga mempunyai masyarakat yang berbilang kaum. Maka tidak hairanlah kalau melihat pelbagai warna kulit di sini. Pelancong juga suka datang ke Melbourne.

Melbourne mempunyai bangunan-bangunan yang indah. Senibinanya unik. Kotaraya Melbourne dikenali oleh penduduk di sini sebagai Melbourne CBD. Apabila mereka menyebut CBD, ini merujuk kepada Centre of Business District - pusat perniagaan. Banyak tempat-tempat menarik yang boleh kita lawati di Melbourne CBD.

Antara tempat-tempat menarik di sekitar kota ini  ialah:

1. Flinders Street Station (Stesen Jalan Flinders)


Stesen Flinders Street adalah pusat utama hentian keretapi dan kawasan paling sibuk di Melbourne. Bangunan stesen ini telah siap pada tahun 1910 dan ia adalah stesen keretapi yang tertua di Melbourne. Saya selalu pergi ke Flinders Street ini.  Di hadapan stesen ini, di bawah jam besarnya. ada saja seniman jalanan bermain muzik. Ada juga orang menjual bunga-bunga segar. Di sini juga tempat pertemuan orang ramai. Dari sini saya ambil bas atau tram. Berjalan kaki dari stesen ini ke kawasan berdekatan juga amat sesuai. Saya selalu lihat ramai orang berpusu-pusu berjalan kaki.

Di bawah (basement) stesen Flinders Street ini ada ruang galeri untuk seniman memamerkan lukisan-lukisan dan bahan seni mereka.

Stesen keretapi Flinders Street tempat pertemuan yang popular.


2. Port Philip Arcade (Arked Pelabuhan Philip)


Apabila kita keluar dari pintu depan stesen ini, kita akan nampak Port Philip Arcade di sebelah kiri seberang jalan. Saya selalu ke tempat ini. Boleh dikatakan setiap minggu kerana saya pergi belajar buat Sugar Flower. Sungar Flower ialah bunga yang dibuat daripada gula untuk hiasan kek, terutama sekali untuk kek kahwin (wedding cake). Kelas buat Sugar Flower ini letaknya di basement Port Philip Arcade ini, betul-betul di depan Flinders Street Station. Setelah tamat belajar saya diberi sijil Wilton Cake Decorating and Baking School of Melbourne. Guru yang mengajar saya sugar flower ini seorang lelaki. Dia penghias kek yang profesional. Dia selalu menang pertandingan menghias kek.

Di Port Philip Arcade ini terdapat pelbagai kedai. Kedai untuk mendapatkan bahan-bahan membuat kek juga terdapat di sini, iaitu di tingkat satu. Berdekatan dengannya pula ada McDonald, kedai pakaian terpakai, kedai buku terpakai, backpacker's hotel, bank dan pelbagai urusan perniagaan. Kalau hendak beli barang kenang-kenangan yang murah, belilah di Arthur's Dailey, letaknya di basement bahagian kanan bangunan ini iaitu di Swanston Street.

Inilah bangunan kelas Sugar Flower  dan hiasan kek yang saya hadiri. Masuk ikut pintu ini, terus turun ke bawah tangga, jumpalah kelas itu di sebelah kanannya.


Di bawah ini ingin saya kongsi dengan anda antara gambar bunga-bunga gula yang saya hasilkan dari kelas Sugar Flower ini.

Inilah Sugar Flower yang saya hasilkan dari kelas Sugar Flower di Port Philip Arcade.  Bunga-bunga itu ialah Ros, Cymbidium Orchid, Carnation, Fern Leaf dan Sweet Pea. Kesemua bunga dan daun ini dibuat dengan gula dan boleh dimakan.




3. Pusat Informasi


Berhadapan dengan stesen Flinders Street terdapat Pusat Informasi. Pergilah ke Pusat Informasi ini yang akan membantu merancang kembara anda. Boleh juga dapatkan brosur, buku dan pamphlet tentang tempat-tempat menarik di Melbourne dan cara-cara untuk ke tempat-tempat itu. Pusat Informasi ini sebenarnya berhadapan dengan Federation Square. Saya pernah ke sini untuk mendapatkan buku melawat Victoria yang terbaru. Buku ini diterbitkan setiap musim. Dalam buku itu ada juga baucer percuma yang boleh kita gunakan. Saya pernah gunakan baucer dari buku ini untuk dapatkan diskaun memasuki muzium, aquarium dan membeli barang dengan harga diskaun.


Pusat informasi yang bersedia membantu merancang kembara anda.

4. Federation Square


Tidak sah berada di Melbourne CBD tanpa memijakkan kaki di Federation Square. Federation Square ini mempunyai senibina yang unik. Bentuknya kelihatan pelik. Kawasan ini adalah pusat awam yang amat "happening". Konsert-konsert, pesta muzik, festival budaya, pameran, forum, tayangan filem, pertunjukan fesyen, pelancaran acara, dll sering diadakan di sini. Di sini juga ada restoren, cafe dan bar yang menghidangkan makanan barat, Australia, China, dll.

Saya selalu juga datang ke sini. Kadang-kadang apabila lalu di situ, kebetulan ada konsert saya dan keluarga saya duduk sekejap depan pentas. Pernah dahulu kami tonton persembahan budaya dari Indonesia.  Anak sulung sayapun pernah buat persembahan di sini. Di sini dia masuk pertandingan Beatbox (salah satu genre hip hop). Masa itu dia baru berumur 16 tahun. Dia menang pertandingan Beatbox itu. Lepas menang dia ditawarkan oleh syarikat rakaman Kingdom Wise Record, Melbourne untuk buat single dan tandatangan kontrak selama 5 tahun. Dia berganding dengan Madison dalam single itu. Kalau anda peminat Beatbox anda mungkin perasan anak saya ini. Dia pun selalu muncul di Tv Malaysia.


Senibina Federation Square yang pelik.

Federation Square sentiasa menjadi tumpuan ramai


Tidak berjauhan dengan Federation Square ini terdapat Australian Centre for the Moving Image (ACMI) iaitu tempat meraikan filem dan video digital. Ian Potter Centre iaitu galeri seni kontemporari Australia juga terdapat di kawasan ini. Di sini juga kita boleh membeli-belah barang-barang seni, filem dan barang kenang-kenangan.  



5. Yarra River (Sungai Yarra)


Di belakang Federation Square terdapat Sungai Yarra. Kadang-kadang di tebing sungai ini ada pesta makanan antarabangsa. Ada perkhidmatan bot/feri untuk menyusuri Sungai Yarra ini. Saya sendiri tak pernah naik bot ini tetapi kawan-kawan saya kata seronok juga naik bot ini. Dapat lihat pinggir bandar Melbourne, taman-taman dan kedai-kedai di pinggir Sungai Yarra. Kalau hendak membuat majlis perkahwinan juga boleh dilakukan di sini.

Sungai Yarra yang bersih dan mesra alam.

Saya sering lalu di tebing Sungai Yarra ini. Berdekatan dengan Sungai Yarra ada taman-taman yang indah seperti Birrarung Marr Park, Batman Park, Riverside Park dan Olympic Park. Melbourne Aquarium juga letaknya di pinggir Sungai Yarra ini. Sungai Yarra ini mengalir sehingga ke pelabuhan Philip dan nama asal sungai Yarra ini ialah Birrarung Marr.


6. Melbourne Aquarium (Akuarium Melbourne)


Melbourne Aquarium adalah tempat yang menarik untuk dilawati terutama kanak-kanak. Di sini saya dapat melihat clownfish dan obor-obor berenang dekat dengan saya - "Upclose and personal". Kadang-kadang saya berada di atas ikan dan ada masa di bawah ikan. Ikan-ikan di sini pelbagai saiz dan bentuk dari sekecil kuda laut hinggalah sebesar ikan yu. Aquarium ini bertingkat-tingkat dan eskulator disediakan. Semasa saya berjalan di dalam terowong saya lihat ikan pari yang besar berenang di atas saya sambil mengepak-ngepak siripnya. Masa ini saya rasa saya tengok ikan dan ikanpun tengok saya. Rasa 'best' sangat.

Obor-obor yang lembut menari-nari di dalam akuarium.
Ikan pari ini merenung aku dari atas.

Tempat duduk juga disediakan untuk berehat-rehat sambil menonton pekerja akuarium memberi makan penguin. Kemudian melihat penyelam-penyelam berenang bersama-sama dengan ikan yu. Anak saya yang bongsu berulang-ulangkali menaiki roller-coaster yang juga ada di tingkat bawah. Ketika anak-anak saya berumur sekitar 10 tahun hingga 13 tahun, mereka suka ke sini. Mereka seronok sekali memasukkan kepala ke dalam tangki akuarium, dari lubang bawah dan melihat dari dalam akuarium ke luar, dari sudut pandangan seekor ikan. Seolah-olah mereka adalah ikan.

Manusia pun boleh menjadi ikan di Akuarium Melbourne.

Akuarium ini dekat sangat dengan stesen Flinders Street. Ia terletak di sudut di antara Flinders Street dan King Street. Kami jalan kaki saja dari stesen Flinders Street. Kadang-kadang kami naik tram ikut route 70 atau 75. Ia juga terletak di tebing Sungai Yarra dan berhadapan dengan Crown Entertainment Complex.

Tiket masuk berharga AUD34.90 untuk dewasa, kanak-kanak 3-15 tahun AUD21.50. Tetapi ada diskaun untuk pelajar dan keluarga. Ia dibuka pada pukul 9.30 hingga 6 ptg setiap hari. Bayaran ini berbaloi kerana masa boleh dihabiskan seharian di sini. Kalau nak tahu dengan lebih terperinci sila klik:
http://www.melbourneaquarium.com.au

Akuarium Melbourne di tebing Sungai Yarra. Di seberangnya ialah Crown Entertainment Complex.



7. Crown Entertainment Complex (Kompleks Hiburan Mahkota)


Tidak jauh dari Melbourne Aquarium ini terdapat Crown Entertainment Complex. Letaknya di Clarendon Street, iaitu di seberang Sungai Yarra. Crown Entertainment Complex ini ada Casino. Tapi kami sekeluarga tidak pernah masuk sebab tak minat. Dalam komples ini juga ada restoren dan kedai-kedai. Boleh naik tram 96 atau109 untuk ke sini.

 

8. Royal Exhibition Building (Bangunan Pameran Diraja)


Bangunan Royal Exhibition terletak di Carlton Gardens, Carlton. Kawasan sekeliling dan lanskap di Royal Exhibition ini cantik. Bangunan Royal Exhibition ini mendapat pengiktirafan Warisan Dunia. Ia adalah bangunan lama yang masih kekal dengan lanskapnya yang asal dan masih beroperasi dengan baik. Bangunannya telah dibina pada 1880. Bangunan ini adalah tempat pameran pelbagai acara termasuklah Halal Expo. Aku pernah ke bangunan ini melihat Pertunjukan Bunga Antarabangsa.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Royal Exhibition ini sila klik:
http://museumvictoria.com.au/reb/history/the-building/display/


Bangunan Royal Exhibition yang megah sebagai salah satu Warisan Dunia.

Anak-anak dan burung-burung riang bermain di Carlton Garden di hadapan Bangunan Royal Exhibition. Di  Carlton Garden kita boleh melihat pokok-pokok English Oak, Elm, Cedar, Conifer dan White Poplar.

Berehat sambil melihat itik berenang-renang di dalam kolam di Carlton Garden amat menyeronokkan.



a
a
a


 a


9. Melbourne Museum (Muzium Melbourne) dan IMAX Theatre (Teater IMAX)


Kalau anda minat dengan sejarah dan warisan Melbourne masuklah Muzium Melbourne. Muzium ini letaknya bersebelahan dengan bangunan Royal Exhibition. Kami sekeluarga pernah masuk. Ada labah-labah tarantula dan rangka dinasour di sini. Kami sempat menjelajah Taman Bunjilaka dan Galeri Birrarung iaitu taman dan pamera kesenian orang asli Australia.

Ada perpustakaan dan pusat penyelidikan. Ada pameran sains dan teknologi.  Ia dibuka jam 10 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali hari Good Friday dan Krismas. Di situ juga ada pameran tetap dan pameran bergerak, persembahan, cafe, panggung IMAX dan kedai cenderamata. Pendek kata, kita perlu menghabiskan masa sehari suntuk untuk melawat semua tempat-tempat ini. Muzium Melbourne pernah memenangi Anugerah Pelancongan Australia 2011.

Kami pernah menonton filem dokumentari 3-D di IMAX Theatre ini. Menonton filem 3-D memang menyeronokkan kerana ia terasa nyata dan benar-benar hidup. Tiketnya mahal! Sekali itu saja kami tengok filem di IMAX. Lesaplah dalam RM300.00 sekeluarga! Saja nak bagi anak-anak merasa.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang muzium ini sila klik:
http://www.melbourne.museum.vic.gov.au atau http://museumvictoria.com.au/


Labah-labah dan beruang yang diawetkan dalam Muzium Melbourne

Rangka Dinosaur di ruang pameran di Muzium Melbourne.


10. Melbourne City Museum (Muzium Kotaraya Melbourne)


Kalau menaiki tram City Circle, City Museum di Collins Street dan Spring Street amat mudah dilihat. Muzium ini adalah bangunan lama (stail Renaissance Revival) yang dibina antara 1858 dan 1862. Ia telah dibina oleh akitek muda berusia 19 tahun yang kemudiannya merekacipta bangunan di  Australia dan New Zealand. Di dalamnya kita dapat menjejak kembali sejarah Melbourne dari John Batman, ke zaman melombong emas, hinggalah Melbourne menjadi bandar raya pada hari ini.

Muzium kotaraya Melbourne mudah dikunjungi.


11. Immigration Museum (Muzium Imigrasi)


Satu lagi muzium ialah Immigration Museum. Letaknya di 400 Flinders Street. Kalau keluar dari stesen Flinders Street, terus ikut kiri dan jalan kaki dalam 5-10 minit. Di dalamnya ada sejarah imigrasi penduduk ke Melbourne. Kita dapat mengetahui sebab-sebab mereka datang ke Australia, asal usul mereka dan cara mereka memulakan penghidupan baru di sini. Budaya dan aktiviti komuniti Melbourne juga turut diadakan di sini. Saya tak pernah masuk, lalu depan sahaja, tetapi anak saya yang kedua pernah masuk. Dia pergi ikut rombongan sekolah. Dia tidak seronok ke situ. "Boring," katanya. Apa tidaknya pergi ke situ macam masuk kelas Sejarah.

Melbourne CBD dari tram bergerak. Berlatardepan bumbung stesen keretapi.

12. Queen Victoria Market (Pasar Permaisuri Victoria)


Pasar Queen Victoria adalah pasar terbuka yang besar di kotaraya Melbourne. Ia terletak di 513 Elizabeth Street. Terdapat banyak barang-barang dijual di sini seperti barang kenang-kenangan, pakaian, makanan, keju, daging, ayam, makanan laut, sayur-sayuran, buah-buahan, bunga-bungaan dan lain-lain lagi.

Boomerang, didgeridoo (alat tiupan orang asli Australia), patung koala, posum, wombat, kangaroo, enchidna, platypus, rantai kunci, fridge magnet dan lain-lain ada dijual di sini. Tapi saya dengar bahawa boomerang dan didgerdioo yang diukir dan dijual di sini sebenarnya dibuat di Indonesia. Kawan saya Rubi, orang Jakarta, memaklumkan bahawa membuat boomerang dan didgeridoo adalah punca pendapatan tetangganya di Jakarta. Boomerang dan didgeridoo yang telah siap dihantar ke Australia.

Peniaga-peniaga di sini ada juga yang tahu bahasa Melayu dan Indonesia. Tetapi barang-barang di sini agak mahal. Kalau hendak berjimat belilah di kedai-kedai Cina yang terletak di pekan-pekan kecil seperti di Oakleigh, Springvale, dll. Ada sesetengah-sesetangah peniaga boleh beri harga diskaun tetapi ada yang tidak.

Selain itu kita juga boleh melihat persembahan seniman jalanan di sini. Kelas masakan pun ada di sini.

Ada bahagian sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan segar di pasar Permaisuri Victoria

Didgeridoo dan patung-patung binatang Australia banyak terdapat di pasar  Permaisuri Victoria.
Persembahan muzik orang asli Australia.


13. Fitzroy Gardens (Taman-taman Fitzroy)


Fitzroy Gardens adalah taman-taman yang cantik di kotaraya Melbourne. Kita boleh melihat pelbagai pokok, bunga-bungaan, itik-itik berenang di dalam kolam dan rumah-rumah lama di sini. Dalam taman ini juga ada sebuah rumah hijau (conservatory)  yang banyak di tanam bunga-bunga orkid.

Fitzroy Gardens yang hijau dan mesra alam.
Tandas, bunga poppy, tumbuh-tumbuhan dan itik di Fitzroy Gardens.

Cooks' Cottage iaitu rumah ibubapa Kapten Cook yang dibina di Yokshire England pada tahun 1755 telah dipindahkan ke sini. Ia telah dirasmikan pembukaannya di Fitzroy Garden pada tahun 1934. Melawat Cooks' Cottage membawa kita kembali pada kehidupan keluarga Inggeris pada abad ke 18.

Cooks' Cottage yang boleh dimasuki tanpa bayaran.

Untuk sampai ke sini kita hanya perlu menaiki tram City Circle dan turun di Spring Street. Jalan kaki saja ke selatan Spring Street, lintasi Treasury Gardens dan seberangi Lansdowne Street.

Kalau menaiki keretapi kita boleh turun di Parliament Station. Cari exit Spring Street, lintasi Treasury Gardens dan seberangi Lansdowne Street.

Kalau menaiki Yarra Tram, ambillah tram nombor 48 atau 75. Boleh naik dari Flinders Street/Swanson Street ke hentian 9 di Wellington Parade.

Selain daripada Fitzroy Gardens, ada satu lagi taman yang bersih dan cantik. Iaitu Flagstaff Garden. Flagstaff Garden terletak berdekatan dengan pusat bandar iaitu di antara penjuru King Street dan La Trobe Street. Juga di penjuru La Trobe Street dan William Street. Oleh kerana kedudukannya berdekatan pusat bandar yang sibuk, maka orang suka berehat di sini. Kalau naik keretapi boleh turun di stesen bawah tanah Flagstaff.

Flagstaff  Garden berdekatan pusat bandar.

15. Tempat-tempat Solat (Masjid dan Musalla/Surau)


Kalau hendak berhenti solat, ada banyak tempat. Berdekatan dengan Taman Flagstaff  (depan King Street) terdapat sebuah masjid. Ia dikenali dengan City Mosque atau Jeffcot Mosque. Letaknya di 66-68 Jeffcott Street. Saya dan keluarga saya pernah solat di sini.  Masjid ini dua tingkat. Di pintu masuk ada kedai jual kurma.


Masjid Jeffcot Street adalah bangunan dua tingkat. Gambar ini diambil selepas solat Jumaat.

Ruang solat wanita di tingkat atas Masjid Jeffcot Street. Gambar ini diambil ketika kaum hawa menanti solat Jumaat.


Selain daripada masjid Jeffcot Street ada juga musalla (surau) di tengah-tengah kota raya ini. Musalla-musalla ini letaknya di bangunan universiti yang terdapat di tengah-tengah kota ini seperti di RMIT, Melbourne University dan Victoria University. Musalla ini berasingan antara lelaki dan perempuan. Sangat bersih dan tempat wudhu pun selesa. Telekong (mukena) TIDAK disediakan di musalla-musalla ini.

Musalla di RMIT letaknya di Bangunan 11, Swanston Street, tingkat 3. Tempat wudhu lelaki di  bilik 401, tempat solatnya di bilik 3. Tempat wudhu perempuan di bilik 402, tempat solatnya di bilik 16.

Kalau berada di CBD tempat solat di RMIT adalah yang paling dekat

 RMIT adalah universiti yang letaknya  di celah-celah kotaraya Melbourne.


Ini ada peta untuk panduan ke lokasi musalla di RMIT:
http://img62.imageshack.us/img62/1989/rmitprayermaps.jpg

Kalau kebetulan berada di Bourke Street, boleh solat di RMIT Business School.  Tanyalah pengawal di situ di mana "Muslim Prayer Room".

Di Melbourne University, musallanya terletak di Little Pelham Street. Boleh masuk ikut Leicester St atau Bouveriee St. Kad pelajar diperlukan untuk ke musalla ini. Tetapi boleh minta tolong pelajar Islam temankan/bawakan anda. Itulah yang saya lakukan. Saya dah lupa tingkat berapa. Kalau tak silap saya surau ini di tingkat paling atas (bumbung bangunan). Kalau saya silap tolong beritahu saya. Tetapi musalla ini dibuka waktu pejabat sahaja, jadi kalau datang di luar waktu pejabat perlu minta kebenaran pegawai keselamatan. Masa saya datang dulu, musalla itu belum buka lagi, sebab belum masuk waktu zohor, tetapi saya tunggu dalam 10 minit. Apabila hendak masuk waktu zohor, imam pun datang barulah dibuka sebab dia yang pegang kunci.

Di Victoria University pula, musallanya terletak di Flinders Street, tingkat 12, bilik 12.07.

16. Restoren Makanan Halal


Restoren makanan halal banyak terdapat di kotaraya ini. Daripada makanan halal Malaysia, Indonesia, India sehinggalah ke Lebanon. Dahulu restoren yang sering saya kunjungi bersama keluarga dan rakan-rakan ialah Changi Village Nasi Lemak di La Trobe Street, tidak berjauhan dengan RMIT dan stesen Melbourne Central. Nasi lemaknya sedap. Selain daripada ikan bilis dan sambal, ada rendang daging, ayam goreng, lontong, kari, dll. Sepinggan nasi lemak dengan lauk ayam beranggaran AUD8.00 (RM24.00). Tapi sayang restoren ini dah tutup pada tahun 2009. Tuan punya restoren ini orang Melayu Singapura.

Satu lagi restoren halal ialah Norsiah's Kitchen. Dulu letaknya di Prahran, agak jauh sedikit, perlu naik Yarra Tram atau keretapi. Saya dan kawan-kawan Malaysia yang belajar di Melbourne selalu buat pertemuan di Norsiah's Kitchen. Antara masakan istimewa di restoren ini ialah tahu telur, rendang daging, lontong, ayam goreng dan gado-gado - campuran masakan Malaysia, Indonesia dan Singapura. Sedap!

Tuan punya restoren ini ialah Kak Norsiah, orang Melayu Singapura yang telah menjadi residen tetap di Australia. Dia yang masak. Tetapi sekarang Norsiah's Kitchen berpindah ke pusat bandar iaitu di 604 Swanston Street dekat dengan Melbourne University. Jadi lebih mudah untuk dikunjungi. Sepinggan nasi dengan dua jenis lauk, satu jenis sayur dalam AUD6.50 (RM19.50). Harga ini dianggap murah di kotaraya Melbourne.

 

Selain daripada itu ada juga restoren makanan halal yang lain iaitu masakan Indonesia seperti Nelayan Indonesian Restaurant (di 265-267 Swanston Street), Es Teler 77 (di 319 Swanston Street) dan Minang Nasi Padang (di sudut Pelham Street dan Swanston Street).

Untuk citarasa India, Malaysia dan Singapura boleh cuba di Zam Zam Cafe Restaurant (di 364 Lonsdale Street). Semasa saya jadi juruhebah radio dahulu saya selalu putarkan iklan Zam Zam Cafe ini di Radio 3ZZZ sebab Zam Zam taja rancangan radio kami. Tetapi saya sendiri tak pernah makan di situ. Jadi saya tak boleh komen apa-apa. Tapi kalau hendak cuba, bolehlah.

Secret Recipe pula sudah buka cawangan franchisenya di Melbourne. Iaitu di tingkat 3, pusat membeli-belah Melbourne Central, 211 La trobe Street.


Pastikan ada sijil halal dipamerkan di semua restoren-restoren ini. Kebiasaannya sijil halal di Victoria ini ada chop Islamic Co-ordinating Council of Victoria (ICCV) dengan bulan sabit berwarna kuning. Ada juga yang guna sijil halal dari Australian Federation of Islamic Councils (AFIC).


17. Royal Arcade (Arked Diraja)


Royal Arcade ini letaknya di Bourke Street. Bangunannya mempunyai senibina yang indah dan klasik. Di bumbung bangunan ini terdapat lampu-lampu dan ukiran awan larat yang menarik. Di sini terdapat pelbagai kedai untuk membeli-belah. Orang sentiasa ramai di sini. Kalau suka  'window shopping' sahaja macam saya ni, bolehlah masuk tengok-tengok.

Selain itu, boleh juga 'window shopping' di Melbourne Central dan  Chinatown.


Royal Arcade yang berseni


Selain daripada tempat-tempat yang saya nyatakan di atas tadi, terdapat tempat-tempat lain yang tidak kurang menariknya untuk kita lawati. Antaranya ialah Melbourne Gaol (penjara lama) dan Exhibition Deck (menara tinjau). Tapi saya tak dapat nak ceritakan, sebab saya sendiri tak pernah pergi. He he he... Saya dengar cerita orang saja.

Bagaimana hendak ke tempat-tempat menarik ini?

a) Tram City Circle (Bulatan Trem Kota)


Untuk sampai kesemua tempat ini anda hanya perlu menaiki tram City Cirlce. Tram ini percuma. Tram ini adalah pengangkutan paling klasik yang masih dipelihara di sini. Tram klasik/sejarah ini mengelilingi jalan-jalan utama di kota Melbourne dan berhenti sebentar di setiap perhentian. Anda boleh turun dan naik semula tram ini. Di dalam tram anda boleh dapatkan pamphlet tentang kotaraya Melbourne dan mendengar penerangan/komentari tentang kota raya Melbourne yang telah dirakamkan dalam bentuk audio.

Naiklah tram ini di mana-mana perhentian yang terdapat di sekitar kota Melbourne seperti di Flinders Street, Habour Esplanade, Docklands Drive, La Trobe Street atau Spring Street. Tram ini beroperasi setiap 12 minit dari  pukul 10 pagi sehingga 6 petang dari Ahad sehingga Rabu dan dari Khamis ke Sabtu sehingga pukul 9 mlm.

Tram City Circle bergerak secara bulatan mengelilingi hentian utama di kota raya Melbourne.

Perkhidmatan tram ini percuma. Brosur tentang kota raya ini disediakan di dalam tram ini. Tram ini sentiasa penuh dengan penumpang.


 

b) Jalan kaki


Selain daripada menaiki tram City Circle ini, kita juga boleh melihat-lihat kota raya Melbourne dengan berjalan kaki. Di sini kita boleh lihat ramai orang berjalan kaki. Mereka jalan pantas-pantas.

Dengan berjalan kaki kita boleh membeli-belah di Melbourne Central, Chinatown, Collins Street dan Bourke Street Mall. Kita juga boleh singgah minum-minum di kerusi yang diletakkan di luar cafe dan melihat burung-burung mematuk-matuk di padang, di hadapan State Library, di sudut Swanston Street dan La Trobe Street.

Dengan berjalan kaki juga baru kita perasan ada banyak lukisan grafitti di atas tembok-tembok di lorong-lorong belakang sekitar Melbourne.

Berjalan kaki di CBD menyeronokkan terutama ketika cuaca nyaman.
Grafitti di tembok-tembok kotaraya Melbourne.

c) Berbasikal


Selain daripada itu boleh juga mengayuh basikal. Tempat letak basikal terdapat di merata-rata tempat di kota raya ini. Basikal juga boleh dibawa bersama kita naik keretapi dengan percuma. Perlu pakai topi keledar semasa menunggang basikal. Terdapat trek basikal dan tempat letak basikal disediakan. Saya dan kawan-kawan saya juga berbasikal dan kadang-kadang kami bawa basikal masuk dalam keretapi.

Penggunaan basikal mengurangkan pencemaran udara, menjimatkan wang dan menyihatkan badan.

Berbasikal amat digalakkan di Melbourne.

 d) Yarra Tram (Metlink) (Trem Yarra)


Yarra Tram ini membawa penumpang ke destinasi utama.
Selain daripada itu kita boleh naik Tram yang lebih baru buatannya seperti dalam gambar di atas. Tram ini membawa penumpang dari  Melbourne CBD ke destinasi utama hingga ke luar CBD. Perlu beli tiket untuk menaiki tram ini. Tiket ini boleh dibeli di dalam tram atau dapatkan di mana-mana stesen keretapi. Tiket ini ada yang sah dua jam, ada yang 24 jam, ada juga mingguan dan bulanan. Pada hari Ahad ada harga diskaun, dipanggil Sunday Saver. Tiket ini boleh juga digunakan untuk menaiki keretapi. Keretapi dan Tram ini dibawah syarikat pengangkutan Metlink. Harga setiap zon berbeza. Satu zon: AUD2.20 untuk 2 jam, untuk seharian ialah AUD3.70, mingguan pula ialah AUD18.40. Harga ini mungkin berubah, biasanya meningkat setiap tahun.

e) Keretapi (Metlink)


Keretapi boleh juga dinaiki untuk mengelilingi kota raya Melbourne. Ia berhenti di setiap stesen utama seperti di Melbourne Central, Flagstaff, Parliament, Spencer Street dan Flinders Street. Untuk jarak jauh menaiki keretapi lebih baik kerana ia laju dan selalunya tepat, walaupun ada ketikanya berlaku kelewatan. Ia berhenti setiap stesen di bandar-bandar utama.

Keretapi Metlink yang bergerak pantas.
Tiket keretapi boleh dibeli di setesen keretapi. Ia sama dengan tiket bas dan boleh digunakan untuk kedua-dua kenderaan ini. Keretapi beroperasi dari 6 pg sehingga 11.45 malam. Tidak boleh merokok, minum, makan, mengambil gambar dan mengeluarkan kata-kata kesat di dalam keretapi. Tiket hendaklah sentiasa disimpan dan dijaga dengan baik kerana sentiasa ada pegawai yang memeriksa tiket ini. Kalau kita tidak menunjukkan tiket ketika diminta, kita dikenakan denda lebih kurang AUD300.00 (RM900.00). Jadi jangan main-main dengan perkara ini. Undang-undang di sini ketat! Ada orang dah kena.

Tiket ini boleh digunakan untuk menaiki Yarra Tram, keretapi dan bas. Ini ialah tiket Penjimatan Hari Ahad (Sunday Saver). Ia digunakan untuk zon 1, 2 dan 3.

f) Bas (Metlink)


Bas juga boleh dinaiki dan tiketnya sama dengan tiket keretapi. Bentuk basnya sama dengan bas Rapid Penang atau Rapid KL. Tidak boleh merokok, makan atau minum di dalam bas. Pada hari Ahad bas hanya bergerak 1 jam sekali dan selepas pukul 4.00 petang biasanya perkhidmatan bas ditamatkan.

Ruang dalam bas Metlink yang bersih dan selesa.

g) Teksi


Teksi agak mahal di sini. Saya pernah guna sekali, dari airport Melbourne ke rumah saya di Springvale sebab barang-barang banyak lagipun kami sekeluarga naik, jadi berbaloi sebab dikira satu teksi. Kami bayar lebih kurang AUD100.00 (RM300.00). Perjalanannya lebih kurang 45 minit.

Teksi dalam CBD.

h) Kereta sewa


Kalau hendak menyewa kereta perlu ada kad kredit. Deposit dikenakan ketika menyewa kereta dan akan dipulangkan sekiranya tiada kerosakan. Kereta yang disewa perlulah diisi penuh petrolnya semasa memulangkannya. Sekiranya sipenyewa melanggar undang-undang jalanraya, denda atau bayaran akan dikenakan melalui kad kredit.

Pemandu memandu di sebelah kanan.

i) Kereta sendiri


Kalau tinggal lama di sini, bolehlah beli kereta kerana jarak dari satu tempat ke satu tempat di Melbourne agak jauh. Perkhidmatan bas amat kurang pada hari minggu dan ada juga kawasan yang bas tidak beroperasi langsung pada hari Ahad. Keretapi pula kadang-kadang tidak beroperasi atau lewat. Keadaan ini berlaku kalau ada mogok pekerja, berlaku kerosakan keretapi/jalan keretapi atau tiada bekalan elektrik. Saya sendiri pernah terkena. Aduh!

Harga kereta terpakai murah berbanding dengan harga kereta di Malaysia. Saya hanya mampu beli kereta terpakai di kedai kereta terpakai. Harganya lebih kurang AUD3,000.00 (RM9,000.00). Jenama Ford Telstra. Automatik, guna petrol. Ada juga yang gunakan gas. Gas lebih jimat. Gas boleh didapati di kebanyakan stesen gas & petrol. Tapi pada masa saya beli itu tak ada kereta yang gunakan gas. Jadi beli jugalah.

Kereta ini elok enjinnnya dan tidak pernah rosak. Alhamdulillah. Tetapi kereta saya ni pernah kena langgar. Kejadian itu berlaku ketika saya lalu di hadapan syarikat Robert Bosch. Tiba-tiba datang satu kereta dari  tepi kanan saya lalu melanggar pintu kanan kereta saya. Remuklah pintu kanan kereta dan bahagian depan kereta saya. Orang itu meminta maaf pada saya. Dia lalu memberikan lesen dan kad namanya pada saya. Rupa-rupanya dia CEO Robert Bosch itu. Dia berjanji akan bayar gantirugi kereta saya. Setelah diperiksa kereta saya itu, pihak insuran menganggarkan kos pembaikannya ialah AUD5,000.00. Diapun bayarlah pada saya melalui insurannya. Kiranya saya dah untung AUD2,000.00 sebab saya beli AUD3,000.00. Suami kawan saya pandai repair kereta, jadi dia yang ketuk dan cat serta cari spare part. Jadi kos pembaikannya hanya AUD1,000 saja bukannya AUD5,000.00. Apabila saya nak balik Malaysia, saya jual balik kereta itu. Orang yang beli kereta saya itu sanggup bayar AUD2,500.00. Jadi saya tak rugi langsung beli kereta itu malahan memperolehi keuntungan pulak. Alhamdulillah.

Ketika membeli kereta terpakai di kedai kereta terpakai di Dandenong.

Untuk memandu di sini, guna sahaja lesen memandu Malaysia. Cuma lesen itu perlu diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Dapatkan terjemahan ini daripada pegawai Kedutaan Malaysia di Canberra. Poskan maklumat seperti salinan kad pengenalan dan lesen memandu. Kadang-kadang pegawai ini datang ke Melbourne dan menginap di Dewan Malaysia. Semasa dia berkunjung ke sini, bolehlah jumpa beliau dan berikan butir-butir ini kepada beliau. Ada sedikit bayaran untuk mendapatkan pengesahan ini, tetapi tidaklah mahal. Lesen memandu Malaysia dan surat terjemahan itu hendaklah sentiasa dibawa ketika memandu.

Sebelum kereta itu boleh digunakan di atas jalanraya, dapatkan kelulusan keselamatan jalanraya dan mestilah didaftarkan. Eloklah beli kereta yang sudah ada RWC (roadworthy certificate) dan Rego terlebih dahulu. 



j) Ejen Pelancongan


Terdapat banyak ejen pelancongan di Melbourne. Pilihlah yang berkenan. Ejen-ejen ini terdapat di sekitar tempat. Sekiranya masa anda terhad di Melbourne, eloklah gunakan perkhidmatan agensi pelancongan ini. Walaupun bayarannya agak mahal, namun anda telah menjimatkan masa dan dapat melihat banyak tempat dalam masa yang singkat.

Lebuhraya di Melbourne.

Universiti-universiti juga ada menyediakan perkhidmatan pelancongan ini. Di Monash University, terdapat Family Support Group, iaitu persatuan yang menyediakan perkhidmatan pelancongan untuk siswa pasca siswazah dan keluarga mereka. Saya dan keluarga saya sering menggunakan perkhidmatan ini. Mereka iklankan melalui emel. Sekiranya ada, saya cepat-cepat beri nama dan bayar, kalau lambat akan terlepas. Ini disebabkan, bayarannya murah sangat-sangat. Boleh jimat 70%. Ada lawatan yang saya terlepas banyak kali sebab baru 3-4 jam emel itu dihantar, sudah "fully booked"! Antara yang saya terlepas ialah melawat Tesselar Tulip Festival! Sampai sekarang saya tak pernah pergi ladang tanaman tulip yang cantik itu!

Sebenarnya banyak aktiviti menarik boleh dilakukan di Melbourne. Banyak lagi tempat-tempat menarik di Melbourne (luar Melbourne CBD) yang boleh kita lawati. Tapi akan saya ceritakan di lain entri. Teruskan bersama saya di Melbourne dalam entri yang akan datang. Terima kasih kerana setia bersama saya.




Selasa, 13 Mac 2012

Melbourne:Tempat Tinggal, Sekolah, Kedai dan Jiran


Kali ini saya nak ceritakan mengenai Melbourne, Australia. Kisah di Melbourne ini saya akan ceritakan dari perspektif penduduk di sini kerana saya pernah merantau di sini. Tujuannya ialah untuk memberi panduan kepada mereka yang belum lagi pernah sampai di bumi kangaroo ini. Kalau anda ingin ke Melbourne untuk mengembara atau untuk melanjutkan pelajaran, ikutilah entri saya ini.

Kawasan kejiranan saya di musim bunga

Melbourne bolehlah dikatakan kampung saya yang ke-empat kerana saya pernah tinggal di bumi kangaroo ini selama tiga setengah tahun. Di sini saya belajar, bekerja dan menjadi sebahagian daripada komunitinya. Saya melanjutkan pelajaran di Monash University. Sambil itu saya mengajar di universiti ini. Di hujung minggu saya bekerja di stesen Radio 3ZZZ.

Penulis (bertudung biru) sedang bertugas sebagai juruhebah dan penulis skrip di studio Radio 3ZZZ, Melbourne


Rumah Sewa Saya


Mula-mula saya nak cerita tentang rumah saya di Melbourne. Rumah saya letaknya di Springvale. Springvale  ialah satu suburb (daerah) yang terletak kira-kira 20 km di tenggara kota raya Melbourne. Inilah rumah saya yang ke-tiga. Saya pindah rumah banyak kali. Tetapi untuk entri ini saya pilih Springvale kerana inilah rumah yang paling lama sekali saya duduk.

Rumah sewa saya (kiri) berkembar dengan rumah tuan rumah saya (kanan)

Sewa rumah ini ialah AUS$680 (RM 1,9000) sebulan. Sewa ini tidak termasuk bayaran elektrik, air, bil telefon dan internet. Mahal? Taklah. Kalau ikutkan rumah orang lain lagi mahal. Rumah saya ni boleh dikatakan dikalangan kadar yang rendah. Kiranya saya ni beruntunglah dapat sewa rendah begini.

Untuk pengetahuan anda sewa rumah di sini dibayar seminggu sekali. Tapi saya minta kebenaran agensi Real Estate untuk bayar sebulan sekali. Nama agen rumah saya ini ialah MacDonald. Tapi bukan McDonald makanan segera tu. Ini MacDonald Real Estate.

Bahagian hadapan (luar) rumah saya
Rumah-rumah jiran terdekat saya

Perkhidmatan Real Estate di sini memang bagus. Sewa rumah dibayar secara online. Setiap 3 bulan sekali ejen datang memeriksa keadaan rumah. Sekiranya ada kerosakan, mereka perbaiki. "Lease" (kontrak sewaan) untuk rumah ini ialah selama setahun. Ini bermakna dalam setahun itu kita tidak boleh 'break contract'. Kalau 'break', deposit (wang muka sewaan sebulan) hangus. Kalau "lease" sudah tamat dan hendak keluar/pindah rumah, perlu beri notis sebulan. Sebelum keluar, rumah mestilah dibersihkan dan berkeadaan sempurna sebagaimana kita mula-mula masuk dahulu. Permaidani mestilah distimkan. Kalau ini tidak dilakukan deposit hangus.

Sebenarnya elektrik di Melbourne terlampau mahal. Bil elektrik boleh melambung naik dua kali ganda pada musim sejuk. Bil dalam musim sejuk boleh mencecah AUS$300-400 (RM900-1,2000) sebulan. Oleh kerana rumah saya banyak menggunakan gas, maka saya dapat berjimat sedikit kerana harga gas lebih murah.

Dapur (stove) disediakan oleh tuan rumah. Dapur ini menggunakan gas. Jadi dapur dan heater adalah asas kemudahan yang disediakan oleh tuan rumah. Tetapi peti sejuk dan mesin basuh perlu beli sendiri. Tidak seperti saya di Amerika dahulu, peti sejuk, dapur dan heater disediakan oleh tuan rumah.  Kepada anda yang hendak menyewa rumah di Melbourne lihatlah asas ini dan kalau anda 'in shoestring budget' carilah rumah yang menggunakan gas untuk dapur dan heater. Gas di sini bukan guna tong macam di Malaysia. Gas di sini disalurkan melalui paip oleh syarikat gas. Kalau kita tak bayar bil, senang saja dia potong.

Tempat penyidai kain disediakan oleh tuan rumah di halaman belakang. Gambar ini diambil dari tingkap bilik tidur anak-anak saya.

Halaman belakang rumah saya


Di belakang rumah ada halaman belakang yang amat luas. Rumputnya sentiasa dipotong pendek oleh tuan rumah. Tuan rumah saya datang potong rumput ini setiap bulan. Upah potong rumput sudah termasuk dalam sewa rumah.  Senangkan!

Halaman depan rumah saya. Gambar ini diambil pada musim panas. Kelihatan rumputnya yang kering kerana kepanasan. Cuaca musim panas di Melbourne boleh mencecah hingga 48 darjah Celsius. Kepanasan ini menyebabkan belukar-belukar dan hutan-hutan terbakar. Kepanasan yang melampau ini amat menyakitkan kulit kita dan menimbulkan ketidakselesaan


Rumput-rumput yang dipotong dimasukkan ke dalam tong sampah khas untuk rumput. Warnanya merah. Plastik tidak dibenarkan dibuang dalam tong ini. Warna biru untuk sampah kitar semula seperti kertas, kaca dan karton. Tong sampah ini hendaklah diletakkan dengan betul di tepi jalan, di hadapan rumah. Lori sampah datang dua minggu sekali untuk mengutip rumput dan sampah kitar semula. Tong warna hijau untuk sampah biasa (household rubbish). Ia dikutip setiap minggu. Lori sampah yang datang mengangkat sampah ini menggunakan robot/mesin. Mesin/robot itu ada tangan besi yang panjang keluar dari tengah badan lori. Kalau tangan ini gagal menangkup tong sampah ini, tong sampah itu ditinggalkan begitu sahaja. Busuklah sampah itu kalau tidak dikutip. Jadi kedudukan tong sampah dan penutupnya itu mestilah betul letaknya.

Untuk pengetahuan anda air amat-amatlah mahal di Melbourne. Bil air rumah saya kira-kira AUS$50-100.00 (RM150-300.00) sebulan. Itupun saya dah berjimat cermat sangat-sangat. Air basuhan kain dan air tadahan wudhu disimpan dan digunakan semula untuk mencuci lantai, tandas dan menyiram bunga. Air mahal di sini disebabkan Melbourne mengalami masalah air yang amat teruk. Ini disebabkan kurangnya hujan. Catuan air dilakukan terlalu kerap di Melbourne.

Larangan tertentu diadakan oleh pemerintah di sini untuk mencatu air. Antaranya ialah membasuh kereta menggunakan hos pancutan (trigger hose) adalah dilarang, mencuci lantai halaman rumah dengan menggunakan hos adalah dilarang dan menyiram bunga pula dilakukan pada hari-hari tertentu sahaja, iaitu hanya 3 kali seminggu dan harinya telah ditetapkan. Sekiranya sesiapa melanggar peraturan ini, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang, misalnya didenda dengan sejumlah wang yang banyak.

Siram bunga pula mestilah dilakukan selepas pukul 8 malam. Saya selalu buat begini dalam gelap-gelap lepas 8 malam. Takut juga langgar undang-undang ini. Kalau-kalaulah jiran nampak, jiran buat aduan, aniaya saya. Di sinilah saya belajar jimatkan air. Jadi saya dah biasa jimatkan air hingga terbawa-bawa ke Malaysia hingga ke hari ini. Di Malaysia bil air saya RM5.00 sebulan je, jarang bil air saya melebihi RM10.00.

Apa Yang Ada Di Sekeliling Rumah Saya?


Di sekeliling rumah saya ada rumah jiran-jiran. Springvale memang kawasan perumahan walaupun ada juga kilang-kilang. Rumahnya besar-besar, sebuah-sebuah. Ada yang berpagar dan ada yang tidak. Rumah saya kecil. Ada dua bilik. 1 bilik air. Berpagar rendah. Anak kambingpun boleh lompat pagar itu. Pagarnya dibuat daripada kayu. Semua rumah di sini ada halaman depan dan halaman belakang. Kebiasaannya halaman belakang dipagarkan, macam rumah saya juga.

Persekitaran rumah saya

Jiran-jiran saya terdiri daripada pelbagai keturunan - Itali, Greek, China, Vietnam, Filipina, Timur Tengah dan lain-lain bangsa. Depan rumah saya ada pusat jagaan kanak-kanak. Tidak berapa jauh daripada rumah saya, dalam jarak berjalan kaki 5-10 minit, ada Coles (supermarket), restoren makanan segera, kedai kain, kedai roti, farmasi, setesen minyak, kedai lampu, kedai basikal, kedai hardware, kedai jual barangan untuk parti, kedai elektrik, kedai basikal, kedai seks dan kedai kereta terpakai.

 




Saya ingin cerita mengenai dua kedai. Pertama, kedai seks depan rumah saya. Kedai seks ini namanya Sexyland. Kedai ini amat besar tetapi dalamnya gelap. Ia betul-betul terletak di sudut (penjuru) Centre Road dan Westall. Dalam cermin depan kedai ada patung perempuan pakai coli dengan seluar dalam. Apalah agaknya ada di dalam kedai tu? Mungkin jual alat-alat untuk lakukan hubungan seks seperti kondom, vibrator, dll? Agaknya. Hampir tiap-tiap hari saya lalu depan kedai ini. Kalau saya nak ke Universiti saya mesti lalu kedai ini. Depan rumah saya je. Tapi saya tak pernah masukpun. Tak teringin nak masuk. Malu!

Kedua, saya ingin cerita mengenai kedai lampu depan rumah saya. Kedai lampu ini sentiasa tertulis "Closing Down Sale," "End Sunday!" Besar-besar tulisannya pada dinding cermin. Mula-mula dulu saya ingat betul-betul kedai ni nak tutup.

"Mesti lampunya murah! Kena pergi! Kena beli cepat, nanti habis!" kata saya.

Tetapi minggu depan saya lalu pun iklan tu masih ada di situ. Bulan depan saya lalu pun masih ada. Tahun depan pun masih ada iklan tu. Sampailah saya balik Malaysia, iklan tu masih ada di situ. "Tertipu!" Dah lama duduk di Melbourne barulah saya tahu itu salah satu strategi untuk melariskan perniagaan mereka. Banyak kedai buat jualan tutup kedai, tapi tak tutup tutup pun.

Perpustakaan awam di Springvale yang sering aku dan keluarga kunjungi

Selain daripada itu, Springvale ini terkenal dengan tempat tinggal pelarian Vietnam. Mereka migrasi ke sini semasa perang Vietnam dulu. Mereka mendapat taraf "refugee" di Australia dan diberi banyak keistimewaan.

Jadi tak berapa jauh dari rumah saya ini ada pekan Vietnam. Kalau melihatkan pekan ini, sebijik macam di Vietnam. Papan tanda kedai-kedai di sini ditulis dengan tulisan Vietnam. Peniaga-peniaganya semua orang Vietnam. Cakap mereka pun pelat Vietnam.

Pasarnya jual barang-barang macam yang kita ada di Malaysia. Pendek kata, kalau nak masak masakan Malaysia, memang tak ada masalah. Nak petai, durian, belacan, cencaluk, ais kacang, kuih apam, kuih seri muka, roti canai, ikan cencaru, kelapa, kukur kelapa, kuali, lesung batu, tikar mengkuang, daun kesum, semua adalah. Kalau hari Sabtu dan Ahad pasar ni memang sesak.


Pembeli keturunan  Vietnam dan Asia membeli-belah di pasar Springvale

Simpang di antara jalanraya dan jalan keretapi di pekan Springvale

Papan tanda Springvale di stesen  keretapi Springvale


Saya tidak banyak tangkap gambar pekan Springvale ini. Kebanyakannya saya tangkap gambar video. Tapi saya malas nak edit dan muat naik di sini. Kalau minat nak tengok macam mana rupa pekan ini, bolehlah lihat dalam laman web ini http://www.alexallied.com/reviews/springvale-the-new-vietnam.

Orang kata jangan duduk di Springvale, kadar jenayah tinggi! Kata orang.. tapi saya duduk kat sini 3 tahun tak ada apa-apa pun. Selamat, sunyi, aman tenteram. Ok aje. Saya pernah tertinggal dompet duit di luar rumah depan pintu, selama satu hari satu malam. Dengan keadaan rumah saya yang terbuka tanpa pagar itu sepatutnya dah lama lesap. Bila saya sedar saya tertinggal dompet itu di luar pada esok harinya, saya terus cari. Alhamdulillah tidak ada siapa usikpun! Selamat!

Persekitaran rumah saya di Springvale

Kenapa tinggal di Springvale? 


Sebab dekat dengan sekolah anak-anak. Saya hantar anak-anak saya ke sekolah Islam, nama sekolah ini Minaret College. Mereka jalan kaki saja ke sekolah. Kadang-kadang naik basikal. Minaret College ini ialah sekolah swasta. Pengetuanya Mr Hassan (keturunan Timur Tengah). Pelajar-pelajarnya terdiri daripada orang-orang Islam. Ada juga yang bukan Islam.

Pelajar perempuan diwajibkan memakai hijab termasuklah yang bukan Islam. Mereka ada uniform khas. Jumper anak lelaki saya berwarna hijau, kemeja putih, seluar kelabu, mesti pakai tie sekolah, setokin hitam dan kasut hitam. Pakaian seragam sekolah ini mahal harganya terutama jumper dan tie.

Apabila anak sulung saya masuk high school dia kena pakai blazer warna kelabu. Blazer ini lagi mahal.

Waktu sekolah bermula pada pukul 9.00 pagi dan tamat pada pukul 3.30 petang. Di dalam kawasan sekolah ini ada masjid. Apabila waktu solat zohor semua pelajar solat berjemaah. Mereka bermazhab Hanafi. Solat Jumaatpun di sini.

Pada bulan Ramadhan mereka buat solat tarawikh dan iftar. Kami sekeluarga selalu ikuti solat tarawikh di sini. Solat tarawikhnya 8 rakaat tetapi surahnya panjang-panjang. Satu malam perlu habis satu Juzuk. Imamnya seorang hafiz.

Guru-guru perempuan sekolah ini wajib pakai hijab tidak kira Islam atau tidak. Pernah saya jumpa guru kelas anak saya. Guru itu pakai tudung. Saya bagi salam pada dia, dia jawab salam saya. Setiap kali jumpa saya bagi salam dan dia jawab. Lepas itu baru saya tahu itulah Miss Carol, dia bukan Islam...tapi saya dah bagi salam padanya. Sangka saya dia Islam sebab dia pakai hijab, rupa-rupanya tidak. Kalau anda berminat tentang sekolah ini klik: http://www.minaret.vic.edu.au/.


Saya tak banyak simpan gambar di sekolah ini. Tapi saya ada banyak gambar video. Saya pernah diminta oleh pengetua sekolah ini untuk shoot dokumentari sekolah ini. (Untuk makluman, saya pernah jadi videographer dan jurukamera filem sebelum ini). Tapi video Minaret College yang telah dirakam itu tidak boleh ditunjukkan di mana-mana tempat. Ada hak asasi dan privasi, sulit dan rahsia.

Rumah saya ni pun tidak jauh dari Monash University tempat saya belajar. Saya boleh naik basikal atau naik bas atau naik keretapi. Tetapi selalunya saya naik basikal. Di Monash University saya ambil PhD. Saya juga pernah mengajar di Monash University. Saya ajar subjek Video Production.

Di Bangunan Menzies inilah saya mengajar. Di sinilah letaknya Fakulti Seni yang juga mempunyai School of Film and Television.

Campus Centre ini pula letaknya di hadapan Menzies. Di Campus Centre ini letaknya cafe, bank, kedai dan tempat berkumpulnya para siswa.

Kampus induk Monash University, Clayton

Di sini saya nak kongsi pengalaman mengajar di Australia. Dalam salah satu kelas ini saya suruh siswa shoot video apa sahaja di dalam kampus. Selepas 30 minit mereka kena habiskan penggambaran. Setelah 30 minit berlalu semua kena tayangkan video yang mereka ambil dan ceritakan konsep video tersebut. Ada sekumpulan pelajar lelaki, video yang mereka hasilkan tidak memuaskan, gambarnya bergoyang-goyang, kabur dan tidak berkualiti. Akhirnya saya dapat tahu mereka mabuk. Semasa penggambaran itu mereka pergi minum arak lalu mabuk. Itulah sebabnya hasil video mereka teruk!

Lagi satu pelajar perempuan di sini suka hisap rokok, kalau waktu rehat mereka mesti hisap rokok dan apabila kembali ke dalam kelas bau badan mereka busuk! Lagi satu kalau ada siswa yang berpasang-pasangan, mereka bebas untuk berpelukan, bercium dan berbaring bersama-sama di atas rumput padang dalam kampus. Undang-undang di Monash University ini tidak sama dengan undang-undang universiti di Malaysia. Di sana minuman keras, rokok, berasmara dalam kampus tidak dilarang. Tapi di Universiti Sains Malaysia, tempat aku bekerja sekarang, kesemua ini dilarang keras.

Springvale juga berdekatan dengan pekan-pekan yang lain seperti Westall, Clayton, Huntingdale, Noble Park, Dandenong dan Oakleigh. Kedai-kedai daging halal, restoren makanan halal dan masjid ada di pekan-pekan ini.

Clayton adalah pekan kecil yang berdekatan rumah saya. Kampus induk Monash University letaknya di sini.










Saya dan keluarga saya sedang membeli buah kiwi di Clayton

Oakleigh adalah pekan yang selalu saya kunjungi kerana anak-anak saya ke kelas Kung Fu dan Video Directing setiap minggu di sini. Komuniti Greek ramai di sini.



Bunga-bunga Australia


Di sini saya ingin ceritakan tentang pokok-pokok bunga yang ada di sekeliling rumah saya. Inilah bunga yang ada di taman di rumah saya.

Bunga ini lebat berbunga di musim bunga di taman rumah saya.  Saya tak tahu nama bunga ini.


Bunga ros ini  berbunga di musim panas dalam taman di rumah saya

Mawar jingga


Iris


Daisy




Ros

Pansy


Di bawah ini ialah bunga cherry blossoms yang terdapat di persekitaran kawasan perumahan saya. Cherry blossoms amat lebat berbunga ketika musim bunga sahaja iaitu pada bulan September.

Cherry blossoms di kawasan perumahan saya

Selain daripada itu bunga-bunga asli Australia (Australian native flower) terdapat di halaman jiran-jiran saya. Kangaroo Paw, Bottlebrush, Wattle, Protea (Hakea), Sturt Desert Rose, Waratah, Fuchsia adalah bunga asli Australia.  Di bawah ini ialah bunga asli Australia! Saya  tangkap gambar ini sebab bunga-bunganya unik dan cantik.

Protea atau Hakea ini terdapat di halaman rumah jiran saya

Bunga Irish (kiri) dan Kangroo Paw (kanan)

Brushbottle

Di entri akan datang saya akan beritahu anda tempat-tempat menarik untuk dilawati di kota raya Melbourne.