Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Selasa, 11 Februari 2014

15 Tempat Menarik di Kuala Kangsar dan Sekitarnya

J om kita jalan-jalan di Malaysia pula. Tahun ini tahun Melawat Malaysia, kan? Apa kata kalau kita turut sama menjayakan program nasional ini. Orang luar negara pun datang meneru-neru ke tempat kita. Mengapa kita tidak? :)

3 tempat di Semenanjung yang mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Warisan Dunia

Saya cadangkan anda melawat sahaja Kuala Kangsar dan kawasan sekitarnya. Selain ia bandar Diraja, Kuala Kangsar juga adalah tempat yang bersejarah. Di sekolah kita belajar Sejarah, kan? Tentu anda pun belajar Sejarah Kuala Kangsar terutama sekali tentang penempatan British di Tanah Melayu. Jadi Kuala Kangsar adalah tempat yang pernah menjadi penempatan Residen British dan meninggalkan kesan.

Selain daripada itu Kuala Kangsar ialah tempat saya dilahirkan, dibesarkan dan bersekolah. Jadi sebagai orang Kuala Kangsar jati, sudah tentulah saya tahu banyak tempat menarik yang patut dilawati. Di sini  saya nak cerita tentang 15 tempat menarik yang patut anda lawati, iaitu:


A) Mula-mula sekali anda pergilah ke Bukit Chandan. Apa ada di Bukit Chandan?


1. Masjid Ubudiah, Bukit Chandan


Masjid Ubudiah
 
Masjid Ubudiah adalah antara masjid tercantik di Malaysia. Amat mudah melihat masjid ini kerana ia dibina di atas bukit dan di tepi jalan di Bukit Chandan. Ia telah dibina pada tahun 1910 oleh Sultan Perak dengan mengambil arkitek Inggeris. Ia bercirikan Morish. Bahan binaannya seperti marmar diimport dari Itali. Di dalamnya terdapat lampu chandelier yang cantik dan siling yang diukir dengan menarik.  Bersebelahan dengan masjid ini terdapat makam diraja.


2. Galeri Sultan Azlan Shah, Bukit Chandan


Galeri Sultan Azlan Shah

Bagi yang minat melawat galeri anda boleh ke Galeri Sultan Azlan Shah yang letaknya di seberang jalan tidak berjauhan dengan Masjid Ubudiah. Di dalam galeri ini tersimpannya hadiah dan barangan milik Sultan Perak iaitu DYMM Sultan Azlan Shah yang juga pernah menjadi Yang Dipertuan Agong Malaysia dan Ketua Hakim Negara


3. Istana Iskandariah, Bukit Chandan




Istana Iskandariah

Bukit Chandan ialah tempat Sultan Perak bersemayam. Sultan Perak memainkan peranan penting dalam pentadbiran negeri Perak. Istana Iskandariah yang terletak di atas bukit adalah tempat pertabalan, tempat penyerahan anugerah, tempat keraian raja-raja dan lambang kekuasaan raja-raja Melayu.

Pintu ke Istana Iskandariah

Anda boleh datang melihat istana ini dari luar sahaja. Kecuali ia dibuka untuk orang ramai pada hari-hari tertentu, misalnya pada hari kelahiran Sultan atau perkahwinan Diraja.  Semasa saya kecil-kecil dan remaja dahulu saya sering masuk ke kawasan istana ini pada hari Keputeraan DYMM Sultan Idris Shah dan perkahwinan anakanda baginda seperti Puteri Zarith Sofia. Saya juga pernah memasuki istana ini mengikuti kawan-kawan saya yang berketurunan raja Perak. Di dalamnya saya dapat melihat tahta, bilik-bilik, alat-alat muzik dan perabut istana yang amat antik.


4. Istana Kenangan/Istana Kuning, Bukit Chandan


Istana Kuning

Bersebelahan dengan Istana Iskandariah (bahagian belakang) terdapat sebuah istana lama iaitu Istana Kenangan atau Istana Tepas/Lembah. Tetapi ia lebih dikenali oleh penduduk di sini sebagai Istana Kuning kerana warnanya yang kuning. Keseluruhan istana ini dicatkan dengan warna bendera Perak iaitu kuning, putih dan hitam. Istana ini adalah kediaman sementara Sultan Iskandar Shah (1918-1938). Ia kini dijadikan Muzium Diraja yang mempamerkan peralatan istana, pakaian dan perabut Diraja. 

Uniknya istana ini adalah ia dibina tanpa menggunakan paku. Ia dibuat daripada kayu dan anyaman bertam berbentuk kelarai. Awan laratnya diukir bermotifkan bunga dan alam semulajadi. Atap istana ini dibuat daripada kayu berlian yang kalis air. Pintu utama istana ini diakses melalui tangga yang dibina di bahagian bawah lantai. Ini adalah contoh senibina rumah Melayu yang dibuat oleh tukang kayu Melayu.

Memasuki istana ini tidak dikenakan bayaran, cuma ada kotak disediakan kepada sesiapa yang ingin menyumbang untuk pemeliharaan istana ini.


B) Seterusnya pergilah berjalan-jalan di pekan Kuala Kangsar.  Apa ada di pekan ini?


5. Menyusuri Sungai Perak

 

Pertemuan di antara Sungai Kangsar dan Sungai Perak


Pekan Kuala Kangsar terletak di pinggir Sungai Perak dan Sungai Kangsar. Sejarah nama Kuala Kangsar diambil dari pertemuan anak sungai iaitu Sungai Kangsar dengan sungai besar iaitu Sungai Perak. Kuala Kangsar bermaksud kuala sungai yang kurang satu daripada bilangan seratus, yang dikira dari Teluk Intan di hilir Sungai Perak. Ini bermakna Sungai Kangsar adalah kuala sungai yang ke-99 dari Teluk Intan.

Kuala Kurang Sa (Satu) = Kuala Kangsar.

Anda boleh menyusuri Sungai Perak dengan menaiki bot. Anda boleh menaiki bot sehinggalah ke hilir sungai, melihat kampung-kampung dan menikmati keindahan pulau-pulau kecil di sepanjang Sungai Perak seperti Pulau Semat, Pulau Bekor dan Pulau Cempaka Sari.  Kalau tidak silap saya Perak Riverside Resort ada menyediakan perkhidmatan menyusuri Sungai Perak ini.

Di Pulau Semat terdapat makam Diraja, iaitu Makam Sultan Tajul Ariffin yang dikatakan keramat. Menurut cerita orang, ketika air naik makam ini tidak ditenggelami air. Ketika hari pertabalan Sultan, hari perkahwinan diraja dan hari keputeraan Sultan Perak, raja yang diraikan itu melakukan upacara adat mandi bersiram dan menyusuri Sungai Perak serta melawat Makam Sultan Tajul Ariffin di Pualu Semat ini.

Saya pernah menyaksikan upacara adat istiadat pertabalan Diraja semasa saya kecil-kecil dulu, yang mana Almarhum Sultan Idris dan permaisurinya menghilir Sungai Perak pada hari Keputeraan baginda. Ketika itu pekan ini mengadakan pesta air dan macam-macam keraian. Saya juga sering menyusuri Sungai Perak ini dan melihat Pulau Semat, Pulau Bekor dan Pulau Cempaka Sari ketika saya kecil dahulu.

Anda juga boleh mandi, menyelam dan berenang di Sungai Perak. Ini yang saya sering lakukan setiap kali balik kampung.

Ikan yang diperolehi dari Sungai Perak

Selain daripada itu anda boleh memancing, menjala ikan, menahan bubu atau taut. Antara ikan-ikan yang terdapat di Sungai Perak ini ialah lampam, sebarau, tilan, tongsan, lawang, tengalan, kelabor, seluang dan udang galah. Ikan-ikan sungai ini amat sedap sekiranya dimasak gulai tempoyak!

Penambang ke Sayong

Anda juga boleh menyeberang ke seberang iaitu ke Sayong dengan menaiki bot tambang yang terdapat di pinggir tebing yang dikenali oleh penduduk di sini sebagai Lembah. Tambang botnya amatlah murah, tak sampai seringgit pun!

Di Sayong anda boleh melihat kampung dan labu Sayong dihasilkan oleh penduduk kampung. Labu Sayong adalah sejenis tembikar tanah untuk kegunaan mengisi air. Air yang disimpan semalaman di dalam labu ini menjadi sejuk dan segar untuk diminum.

Anda juga boleh menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Perak yang lebar ini di Manong yang letaknya kira-kira 21 km dari Kuala Kangsar.

Sekiranya anda tidak mahu menaiki bot anda boleh menyeberangi Sungai Perak dengan menggunakan Jambatan Iskandar Shah. Di seberang ada kampung-kampung Melayu seperti Sayong, Senggang, Menora, Seberang Manong, Kubang Udang, Bekor, Mandah, Chopin dan Parit.


6. Membeli-belah di Pekan Kuala Kangsar


Kedai-kedai yang menjual barangan kraftangan penduduk tempatan


Membeli-belah sangat seronok dilakukan di Jalan Tebing pinggir Sungai Perak yang dikenali sebagai Lembah oleh penduduk tempatan. Anda boleh mendapatkan barangan hasil kerajinan tangan penduduk di sini. Antara yang terkenal ialah labu Sayong, bakul rotan, bubu buluh, golok, tikar mengkuang, bantal dan tilam kekabu, jahitan tekat, songkok, barangan tembaga dan cenderamata.

Kedai-kedai lama juga masih dikekalkan di pekan Kuala Kangsar dan banyak pilihan barangan boleh didapati di sini. Kini anda tidak perlu lagi ke Bukit Kayu Hitam atau Padang Besar Thailand untuk mendapatkan barangan Siam. Di Kuala Kangsar terdapat banyak kedai yang menjual barangan tersebut dengan harga borong. Rombongan Kak Kiah pun selalu datang ke sini memborong pakaian, tudung, periuk belanga, selimut Toto dan permaidani.


7. Makan-makan di Lembah

 

Putu beras, tempoyak dan laksa yang boleh didapati di Kuala Kangsar

Di Lembah terdapat pasar pagi yang menjual pelbagai ikan, ulam-ulaman kampung, kuih-muih tempatan dan macam-macam lagi.  Kuih tempatan sedap yang pasti saya beli di sini ialah Putu Beras dan Apam. Ia hanya ada di Kuala Kangsar dan rasanya membuatkan anak kelahiran Kuala Kangsar yang merantau mengidamkannya dan sanggup pulang hanya untuk mendapatkannya.

Selain daripada itu gulai tempoyak ikan sungai segar seperti tongsan, lawang dan lampam boleh didapati di sini dan rasanya....mmm...mak mertua lalupun tak nampak.

Anda juga boleh makan-makan di sekitar pekan ini terutamanya di Lembah. Anda boleh makan laksa Kuala Kangsar yang cukup terkenal dan sedap. Setiap kali saya dan keluarga saya balik Kuala Kangsar, kami pasti singgah makan Laksa Kuala Kangsar. Lepas makan, kami pasti beli berkilo-kilo untuk dibawa pulang. Laksa Kuala Kangsar ini resepinya agak berbeza dengan laksa di tempat lain. Laksanya fresh! (Bukan laksa kering, dari kilang)! Laksanya itu dibuat daripada tepung gandum dan kuah ikannya cair tetapi segar serta sedap.

Gerai laksa ini terdapat banyak di sekitar Lembah. Ada yang di tepi jalan, ada yang di kaki lima, ada yang di bawah pokok dan ada yang di tepi tebing sungai. Pilihlah yang sesuai dengan selera anda. Setiap gerai mempunyai resepi tersendiri, terutama kuahnya. Untuk melengkapkan juadah anda, pesanlah ais cendol atau ais kacang.

(Nota: Saya lebih suka laksa yang dijual tepi jalan seperti Laksa Kalam dan gerai yang bersebelahan dengan kedai kek)

Tidak berjauhan dengan Lembah, iaitu di Talang yang berdekatan dengan Plaza Tol terdapat banyak gerai menjual laksa. Antara yang terkenal ialah Laksa Pak Ngah (di belakang Sekolah Tsung Wah, Jalan Dato Sagor).

Sememangnya Kuala Kangsar terkenal dengan laksanya. Di mana-mana anda pergi di pekan ini, pasti anda jumpa gerai menjual laksa. Itulah sebabnya ada filem dibuat bertajuk "Man Laksa", ia diilhamkan oleh Mamat Khalid dari sini.



8. Pokok Getah Tertua di Malaysia


Pokok getah inilah yang pertama di tanam di Malaya

Sebagaimana yang saya katakan tadi, Kuala Kangsar adalah tempat bersejarah. Sumber ekonomi negeri Perak pada satu ketika ialah getah dan bijih timah. Pokok getah yang pertama di bawa ke Tanah Melayu dari Bazil oleh Henry Nichols Ridley telah ditanam di sini. Inilah pokok yang telah meningkatkan ekonomi Malaya pada ketika itu. Kini pokok getah ini sudah berusia lebih 100 tahun! Tetapi pokok getah ini masih berdiri megah dan hidup. Anda boleh melihatnya di hadapan/sebelah Pejabat Tanah Kuala Kangsar. Peralatan menoreh getah dan memproses getah juga dipamerkan di sini.


9. Malay College Kuala Kangsar (MCKK)


MCKK sedang renovasi

Tidak berjauhan dengan pokok getah itu tadi, anda boleh melihat Malay College Kuala Kangsar (MCKK). MCKK ini telah ditubuhkan sejak 1905 oleh 4 orang Sultan dan ia pada mulanya adalah sekolah untuk keluarga raja-raja dan orang kenamaan. Tetapi kini ia adalah sekolah asrama penuh yang dihadiri oleh pelajar lelaki Melayu seluruh Malaysia yang mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan sekolah rendah. MCKK telah banyak melahirkan cendiakawan dan pemimpin negara seperti Dato' Onn Jaafar, Tuanku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.

Pada masa pemerintahan Jepun, kolej ini dijadikan pusat pentadbiran Jepun dan hospital.

Di padang sekolah ini, banyak acara diadakan seperti sukan bola sepak, ragbi dan acara adat istiadat Sultan Perak di hari Keputeraan. Semasa saya sekolah rendah dahulu, setiap tahun saya beratur di padang ini untuk mengibarkan bendera pada hari kelahiran Sultan Idris Shah.


10. Anglung/Pavilion 

 

Pavilion ini terdapat di hadapan MCKK

Di hadapan MCKK ini terdapat sebuat anglung (pavilion) tiga tingkat yang telah dibina pada tahun 1930. Ia digunakan oleh keluarga diraja Perak untuk menonton polo. Pada tahun 1980an dahulu saya sering mendengar nafiri raja ditiupkan pada malam Jumaat di pavilion ini. Tiupan nafiri ini amat jelas kedengaran disebabkan dahulu saya tinggal bersebelahan dengan MCKK. Saya tidak pasti adakah tiupan nafiri pada malam Jumaat di anglung ini masih dilakukan pada hari ini.


11. Masjid Ihsaniah Iskandariah Kuala Dal


Masjid ini dibuat tidak menggunakan paku

Di Pandang Rengas iaitu luar sedikit daripada pekan Kuala Kangsar, menuju ke Taiping, terdapat sebuah pekan kecil yang dipanggil Kuala Dal. Di sini terdapat sebuah masjid lama yang dibuat daripada tepas dan dindingnya dari anyaman tepus buluh. Masjid Ihsaniah Iskandariah ini telah dibina pada tahun 1936 oleh Sultan Perak ke-30 di atas tanak wakaf pemberian Jurangan Abdul Shukor. Uniknya masjid ini ialah ia dibuat tanpa menggunakan paku sama seperti Istana Kuning tadi. Ukiran bahagian atas tingkapnya bermotifkan pucuk kacang, bulan dan bintang. Masjid ini telah dipelihara sebagai salah satu senibina Melayu dan dijadikan warisan negeri Perak.


C) Kemudian pergilah ke Lenggong


Lenggong letaknya bersebelahan dengan Daerah Kuala Kangsar yang letaknya kira-kira 49 km dari Kuala Kangsar. Kalau anda dalam perjalanan ke Pengkalan Hulu di Grik dan Kota Baharu di Kelantan, anda pasti lalu di sini.

Di Lenggong anda pergilah ke Tasik Raban dan Galeri Arkeologi  Lembah Lenggong


12. Tasik Raban

 

Tasik Raban

 

Teratai di permukaan Tasik Raban


Sekiranya anda meminati alam semulajadi seperti tasik dan teratai, pergilah ke Tasik Raban, Lenggong. Di sini anda boleh lihat tasik air tawar yang luas dan cantik. Di dalamnya terdapat banyak ikan dan anda boleh memancing. Di permukaan tasik ini terdapat banyak bunga teratai dan tak perlulah anda ke Sukothai atau Beijing untuk melihat pokok teratai. Di sinipun cantik!

Di pekan Lenggong, anda boleh membeli ikan pekasam dari ikan sungai/tasik yang diusahakan oleh penduduk tempatan.


Resort Tasik Raban

Boleh menginap di Tasik Raban Resort

Berdekatan dengan Tasik Raban terdapat Resort Tasik Raban untuk anda bermalam atau mengadakan mesyuarat/persidangan. Penginapan untuk satu malam berkadar RM80 (bilik standard) hinggalah RM150 (bilik deluxe) pada hari biasa dan ditambah RM10-RM20 pada hari minggu. Terdapat juga dorm yang  boleh disewakan dengan harga RM250-300 semalam.



13. Galeri Arkeologi Lembah Lenggong Warisan Dunia


Galeri Arkeologi Lembah Lenggong menyimpan artifak Perak Man


Tahukah anda apakah 4 Warisan Dunia di Malaysia yang diiktirafkan oleh  UNESCO?
Jawapannya: Terdapat 4 Warisan Dunia di Malaysia yang diikitafkan oleh UNESCO iaitu:
  • Gunung Kinabalu, Sabah, 
  • Taman Negara Mulu, Sarawak, 
  • Melaka & Georgetown, 
  • Lenggong.

Jadi datanglah ke Lenggong untuk melihat keistimewaan Perak Man dan sejarah ketamadunan manusia. Dengan hadirnya anda di sini, anda akan dapat tahu bahawa ketamadunan dan kemajuan manusia bermula di sini. Bukan di Eropah. Bukan di Rom! Tak pecaya?

Sebenarnya kita selama ini diperbodohkan oleh orang Barat. Di dalam buku teks sekolah kita, mereka menyatakan bahawa ketamadunan manusia bermula di Rom/Greek. Tetapi sebenarnya ia bermula di negara kita. Ini telah dibuktikan oleh pengkaji dan penyelidik Universiti Sains Malaysia yang telah menemui Perak Man dan beberapa artifak berharga dan bersejarah di Lenggong.

Tapak arkeologi dan galeri di Lenggong kini telah dikunjungi pelancong luar. Anda bila lagi?


14. Lata


Nyamannya air lata

Di Kuala Kangsar  dan Lenggong ada banyak lata atau air terjun dengan jeram-jeram yang masih tidak terusik. Anda boleh mandi-manda dengan airnya yang jenih, bersih dan sejuk di lata ini dan berkelah bersama-sama orang tersayang dan keluarga. Di antaranya yang terkenal ialah:


  • Lata Kekabu, Lenggong
  • Lata Ulu Kenas (Hutan Lipur Ulu Kenas), Kuala Kangsar - Untuk lihat gambar & cara perginya sila klik SINI
  • Lata Manong, Ulu Bekor, Kuala Kangsar  
  • Lata Guar, Manong - Untuk lihat gambar & cara perginya sila klik SINI
  • Lata Ulu Jeliang, Manong
  • Lata Pecah Batu, Manong - Untuk lihat gambar & cara perginya sila klik SINI

15. Kolam Air Hangat/Panas Ara Panjang


Satu lagi tempat yang jarang orang ketahui kecuali penduduk di sini ialah Kolam Air Panas/Hangat Ara Panjang, Manong. Di sini anda boleh merebus telur hanya dengan merendamkannya di kolam air hangat ini. Anda boleh merendamkan kaki dan mandi untuk kesihatan kulit. Jadi tak perlulah anda ke Bandung atau ke New Zealand untuk mandi kolam air panas. Di tempat kita pun ada :).

(Maaf, tak sempat ambil gambar Kolam Air Hangat Ara Panjang).

Tambahan kemudian: Opps....Baru-baru ini saya balik kampung dan pergi ke Kolam Air Panas Ara Panjang. Sila baca dan lihat gambarnya di SINI.

Itulah sahaja 15 tempat menarik di Kuala Kangsar dan sekitarnya (malahan dah lebih daripada 15 he he he) yang dapat saya kongsikan dengan anda. Bagi anda yang belum lagi ke tempat yang saya cadangkan dalam entri ini, "Moh deras, terjahlah hari ini".  :)


54 ulasan:

  1. Wah...menarik...ada masa saya balik kampung ketiau dalam.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Menarik kan tempat kita :). Saya pun pernah ke Ketior dan Kelebor :)

      Padam
  2. Alhamdulillah menarik sekali...sy jg br blk dr sane...Bukit Chandan...Tahniah n all the best to u..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Amy orang Chandan kot...mesti best duduk Chandan, kan. Tempatnya bersih, cantik dan nyaman. Apa yang paling Amy suka di sana?

      Padam
  3. terima kasih utk entry ini...
    sekurang2nya saya dpt info kalo ke sana..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Julie,
      Terima kasih kerana membaca entri ini dan meninggalkan ulasan.
      Bolehlah nanti Julie jalan-jalan, shopping, cari makan dan menikmati alam semulajadi di sana.

      Padam
  4. Salam Prof,
    Lama x berkunjung ke sini... Agak sibuk dngn kerja2 seharian...:) Suami saya org KK....he..he.. selalulah lalu kat area2 candan ni... tp no 14 saya teringin nak ke sana.. tp blm terjejak2 lg kaki... Istana Kuning tu saya pernah p 2x tp x pernahnya bukak, asyik ubahsuai aja... so, saya tngkp2 gmbr kat luar .. Kat area candan tu pon ada public pool untuk kanak2 dan dewasa, saya penah a few times bawa anak2 saya bercanda2 kat situ...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Farikica,
      Oh suami Farikica orang KK :) Jadi selalulah Farikica balik KK ya...Yang no 14 tu memang best...saya dah pergi ke Ulu Kenas, Lata Manong, Lata Guar, tapi ada yang saya tak pergi lagi ,,,cuma dengar cerita orang je...Istana Kuning tu dah dua tiga kali saya datang tangkap gambar dan masuk, tapi kali terakhir saya pergi tahun lepas ia masih renovasi lagi, mungkin dah siap agaknya sekarang..

      Padam
    2. Opps..sorry prof, bkn 14, 13..he..he.. bila saya baca balik komen prof, tu yg saya dok kira semula numbering tu... What i meant was the museum... sangat teringin nak .. Yg lata2 tu, saya x cover semua, ada dah p a few tp dah lupa nama...

      Padam
    3. Oh yang Galeri Arkeologi tu, ya :). Eloklah pergi kalau sempat, bawa anak-anak untuk kenal sejarah ketamadunan manusia. Kita patut bangga tentang sejarah ketamadunan kita dan ia diiktirafkan oleh Dunia. :)

      Padam
  5. Makan2 tu yg best nampaknye, balik Ipoh nanti leh la melencong ke Kuala muahahah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Makanlah laksa,putu beras,apam & gulai tempoyak. Chawanna Na & Aqilah suka tak?

      Padam
  6. banyak jugak tempat menarik dekat kuala kangsar, akak dah bagi list macam ni, senanglah sikit nak buat rujukan, hehe...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nanti kalau Orga dah ke KK bolehlah cari tempat-tempat ni. Mungkin Orga boleh jumpa tempat lain yang saya tak masukkan.

      Padam
  7. Mestilah best dok kt Bukit Chandan...it's my hometown..x kn x kenal sy...sal le ni

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mestilah saya kenal, sahabat karib saya sejak kecil. Banyak sekali kenangan kita bersama di Bukit Chandan dan di hometown kita tu :))

      Padam
  8. Di tempat saya putu beras dipanggil putu piring dan diwarnakan kuning, tapi saya kurang suka.

    Pernah beberapa kali saya sampai di KK ni, tapi hanya tempat persinggahan. Tak sempat nak melawat tempat2 yang menarik...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Selepas ni, singgahlah lama-lama di Kuala Kangsar, Mie. Bermalamlah di situ. Ada Rumah Rehat, homestay dan Resort untuk menginap. Barulah sempat melawat tempat-tempat menarik.

      Mie boleh cuba makan putu beras tu. Kena makan panas-panas. Kalau sejuk tak sedap. Di dalamnya ada inti kelapa dan dibuat dengan beras yang dikisar lalu dikukus, ia berbeza sedikit dengan putu piring.

      Padam
  9. Rindunya dengan Kuala Kangsar. Hujung tahun lepas ada kursus di sana. Berkesempatan berakit di Sg. Perak dan solat di Masjid Ubudiah. Cantik sangat. Pasti akan datang lagi ke Kuala Kangsar satu hari nanti...:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hani berakit di Sg Perak menggunakan khidmat siapa? Kalau datang lagi ke Kuala Kangsar, Hani nak tengok apa?

      Padam
  10. Balasan
    1. Air terjun memang menarik dan syok untuk mandi-manda. Lata biasanya terletak agak jauh di pedalaman. Dalam senarai di atas ada juga yang saya masih belum pergi, cuma dengar cerita orang sahaja.

      Padam
  11. Saya nk tanya pasal rest house yg atas bukit chandan. Masih ada ke? Klu ada mcm mana nk contact? Sy google x de no. Tel.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Lily,
      Rest house itu masih ada. Ia dipanggil Rumah Rehat Kuala Kangsar. Sila ke laman webnya di sini untuk mendapatkan nombor telefon dan kadar sewaan:
      http://www.mpkkpk.gov.my/rumah-rehat-kuala-kangsar?p_p_id=56_INSTANCE_kLA1&p_p_lifecycle=0&p_p_state=normal&p_p_mode=view&p_p_col_id=column-4&p_p_col_count=1&page=1

      Juga ada blog yang tulis pasal rumah rehat ini:
      http://sayanakcerita.blogspot.com/2013/12/rumah-rehat-kuala-kangsar.html

      Padam
  12. Wahhh,..macam berbaloi jaa nak pi K.Kangsar...Menarik...


    ^__^

    x0x0

    BalasPadam
    Balasan
    1. Jalan-jalan di negeri sendiri kan seronok. Berbaloi ke Kuala Kangsar sebab ada banyak tempat sejarah dan alam semulajadi yang masih terpelihara.

      Padam
  13. Kuala Kangsar kg isteri saya.cendol dan laksa kt Lembah mmg best.ulu kenas tmpt yg nyaman.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Selalu-selalulah ajak isteri balik Kuala Kangsar :)

      Padam
  14. Saya student persediaan IB di MCKK. Jadi, saya agak baru di Kuala Kangsar. Posting puan yang ini sangat menarik. At least, saya ada 'guide' untuk bawak family jalan-jalan di area sini kalau diorang datang nanti. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bawalah keluarga jalan-jalan di tempat yang saya senaraikan di atas. :)

      Semoga Fareez berjaya mencapai kejayaan dalam pelajaran.

      Padam
  15. Balasan
    1. Waalaikumus salaam Naziera.

      Bukan lagi macam...tapi memang best :)

      Padam
  16. Kuala Kangsar pekan kecil yang agak tenang... mmg banyak tempat2 menarik dan bersejarah... satu lagi tempat yang boleh kita singgah mungkin tempat buat kraftangan iaitu Mariwasa... masa saya buat lawatan ke sana dulu berpeluang tengok diaorang buat barang hantaran untuk perkahwinan Raja Nazrin, sekarang Sultan Nazrin...

    BalasPadam
  17. Jangan lupa pasar pagi di pekan Karai setiap selasa.Penggemar barangan lama dan ikan2 segar jangan lepaskan peluang

    BalasPadam
    Balasan
    1. ZamailRais,
      Terima kasih diatas makluman ini. Bolehlah saya cari barang-barang lama dan ikan segar di Karei pada hari Selasa :) Ikan segar tu ikan sungei ke?

      Padam
    2. Ya.kipas angin lama,syiling lama dll. Ikan segar ada ikan sungai yg masih hidup.ikan laut pun ada yang segar dari pantai remis.yang plg best murah plak tu :)

      Padam
    3. Kena pergi le nampaknya..ikan sungei sedap buat gulai tempoyak hmm...slurpp...
      Teringat lagu Masa Kecikku di Kampung Karei :D

      Padam
  18. Ulasan yg sgt jelas.kami akan ke k.kangsar esk dn ke taiping.tksh dgn penerangan di sini.
    Jika ada maklumat utk kami yg 1st nk dtg ni blh lah msg ni no ini. Tksh.0193144399

    BalasPadam
  19. Assalam..blh tumpg tnya..brape jarak ms dr taiping ke k.kangsar dan dr k.kangsar ke lenggong? Berhjat nk brcuti dan jln2 mkn angin ke sna..in shaa Allah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam.
      Dari Taiping ke Kuala Kangsar tak jauh. Kalau ikut lebuh raya kira-kira 30-40 minit. Dari Kuala Kangsar (Rumah Tol) ke Lenggong pula kira-kira 45 minit.

      Padam
  20. Asslamualaikum prof. Terima kasih dgn perkongsian ni. Sy dan kwn bercadang nak ke kuala kangsar dgn ETS. Cadangnya nak transit di kuala kangsar dalam sehari semalam. Dr stesen keretapi, mudah x kami nak dptkan pengangkutan awam ke tempat2 yg dinyatakan diatas? Atau boleh nerjalan kaki shj?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Laura,
      Untuk ke tempat-tempat yang saya nyatakan di atas, hanya Pavilion, MCKK (Kolej Melayu), Pokok getah tua, pekan Kuala Kangsar dan Sungai Perak sahaja yang boleh dikunjungi dengan berjalan kaki dari stesen keretapi Kuala Kangsar. Namun tempat-tempat yang lain seperti Istana Iskandariah, Masjid Ubudiah, Istana Kuning, Galeri Sultan Azlan yang terletak di Bukit Chandan, agak jauh kalau berjalan kaki, tambahan pula ia di atas bukit. Manakala tasik Raban dan Galeri Arkeologi Lenggong pula jauh sangat dan perlu menaiki kereta atau teksi. Cuba hubungi teksi untuk menuju ke tempat-tempat yang jauh ini. TEKSI KUALA KANGSAR 05-776 1094 atau 05-776 1092

      Padam
    2. Lupa nak beritahu Laura yang perkhidmatan bas tidak ada dari stesen keretapi itu. Teksi juga jarang-jarang kelihatan di setesen keretapi itu.

      Padam
  21. Info menarik... dalam perancangan utk bercuti ke k kangsar.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Selamat bercuti di Kuala Kangsar, Harrizam. Kalau perlukan penginapan sila baca entri saya bertajuk "D'Jamuan Homestay di Kuala Kangsar"

      Padam
  22. Good info. Minggu ni sy berkursus di sana. Blh la shortlist tmpt menarik utk jln2. Kalau nk tgk cara buat labu sayong di mana ye..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Untuk tengok cara labu Sayong dibuat, Anisah pergilah ke Sayong. Terdapat beberapa perusahaan labu Sayong di situ yang dapat dicam dari tepi jalan.

      Padam
  23. goog info.. sy ad kerja khusus utk pt3.. blh sy thu kul bape muzium diraja dgn gelari sultan azlan shah bkk..

    BalasPadam
  24. Baca sekali lagi ...pasal nak ke kuala kangsar pada bulan Jan, 2017.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nak bercuti atau bertugas? Walau apapun tujuan, harap En Khairuddin Lim dapat menemui apa yang dicari dan dipermudahkan segala urusan.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.