Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Memaparkan catatan dengan label VIETNAM - Ho Chi Minh (2014). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label VIETNAM - Ho Chi Minh (2014). Papar semua catatan

Isnin, 9 Jun 2014

Vietnam Lagi (7): Syoknya Membeli-belah!

Ho Chi Minh biasanya dikaitkan dengan 'syurga membeli-belah' bagi orang Malaysia. Ini disebabkan kita boleh membeli dengan harga jauh lebih murah daripada yang kita perolehi di Malaysia. Macam-macam pilihan: daripada baju kurung, jubah, telekung, t-shirt, kemeja, kain ela, tudung, kasut, hiasan rumah sehinggalah cenderamata. Peniaga pula kebanyakannya boleh berbahasa Melayu dan meletakkan harga barang dalam ringgit. Syoknya shopping

Apa yang syoknya? Jom tengok di mana saya membeli-belah...

1. Cenderamata dan Kekacang di Butterfly


Cenderamata boleh didapati di kedai-kedai di pinggir jalan seperti di Butterfly. Alamatnya (kalau tak silap saya) ialah 87 Mac Thi Buoi St., Ben Nghe W., Dist.1, Ho Chi Minh city. Kedai ini dibuka dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Kedai Butterfly menjual pelbagai cenderamata

Lukisan tentang keindahan Vietnam dan masyarakatnya di kedai Butterfly
T-shirt Hard Rock Cafe tiruan boleh dibeli dengan harga RM15.00 di Butterfly
Kotak-kotak kecil yang dihiasi dengan wanita Vietnam berpakaian ao dai di Butterfly

Hasil kraftangan Vietnam di Butterfly

Di tingkat atas Butterfly terdapat kekacang, gula-gula dan kudapan. Kita boleh duduk dan merasanya. Tapi kalau ragu-ragu dengan kehalalannya, janganlah cuba.

Kekacang dan kuih-muih kering di tingkat atas Butterfly.

2. Baju Kurung, Jubah dan Blaus di Truc Xinh/MSM Fashion


Pelbagai jenis baju kurung, jubah dan blaus terdapat di kedai-kedai sekitar Ho Chi Minh. Misalnya di Truc Xinh yang beralamat di 96A Nam Ky Khoi Nghia Street, Dist 1, HCMC. Anggaran harga sepasang baju jenis ini adalah di antara RM40 hinggalah ke RM64.

Kedai Truc Xinh ini menjual pakaian untuk muslimah
Baju kurung yang dihiasi dengan manik dan sulaman di Truc Xinh
Pelbagai jenis jubah di Truc Xinh
Baju kurung di MSM Fashion Co. Ltd
Harga pakaian yang dijual di MSM Fashion Co. Ltd
Baju kurung, jubah, kain pasang di MSM Fashion Co. Ltd

3.  Telekung di MSM Fashion Co. Ltd.


Pelbagai jenis telekung boleh dipilih: yang berwarna putih, hijau, biru, hitam, kuning, merah, merah jambu dan macam-macam warna kegemaran. Yang bersulam atau yang kosong pun ada. Yang dibuat daripada kain kapas, lycra atau polyester juga boleh dibeli. Ia berharga anggaran RM25 hinggalah RM50 bergantung kepada jenis kain, sulaman atau kosong.

Kedai-kedai yang menjual telekung boleh didapati di MSM Fashion Co. Ltd, No.10, Road No.3, Tran Trong Cung Street, Tan Thuan Dong Ward, District 7, HCMC.


Telekung pelbagai warna dan sulaman di MSM Fashion Co. Ltd

 

4. Kain Ela/Kain Pasang di Kedai Mou So' Ka Riem (Zaymah)


Kain Ela atau Kain Pasang boleh didapati dengan banyak di kedai-kedai berdekatan dengan Pasar Ben Tanh seperti di Shop Mou So' Ka Riem (Zaymah), 44 Nguyen An Ninh Q.1, HCMC (bersebelahan Hotel Blessing 1). Harga sepasang kain kapas (4 meter, bidang 40) adalah RM25.  Sutera Vietnam pula boleh didapati dengan harga RM45 sepasang.

Ada juga kedai yang menjual kain ela/kain pasang dan terus menerima tempahan baju atau seluar dalam masa sehari. Sehelai jubah boleh ditempah dan siap dijahit dalam masa sehari dengan harga RM60 (termasuk harga kain dan upah menjahit). Seronoknya saya melihat kawan saya menunjukkan kepada saya jubah yang sudah siap dijahit dalam masa sehari.

Memilih kain pasang yang dilambakkan di atas lantai di Shop Mou So' Ka Riem (Zaymah).

Kain pasang daripada sutera Vietnam di Shop Mou So' Ka Riem (Zaymah)
Kain pasang daripada kapas dengan pelbagai corak di Shop Mou So' Ka Riem (Zaymah)
Kain pasang yang dijual di Pasar Ben Tanh dan baju boleh dijahit dalam masa sehari

 

5. Macam-macam Ada di Pasar Ben Tanh


Pasar Ben Tanh adalah pasar yang menjual pelbagai jenis barangan kegemaran kita daripada pakaian, kain pasang, cenderamata, beg, makanan, buah-buahan, sayur-sayuran dan hiasan rumah.  Pasar ini amat terkenal dan sentiasa dipenuhi orang ramai. Namun begitu kita perlu berhati-hati membeli di sini kerana ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk "menyembelih" kita. Jadi kenalah pandai menawar dan jangan membeli dalam keadaan tergesa-gesa.

Alamat: Simpang Le Loi, Ham Nghi, Tran Hung Dao Avenues dan Le Lai Street.

Pintu masuk Pasar Ben Tanh
Hiasan dinding

Memilih cadar

Penat membeli-belah, boleh berehat dengan minum air kelapa


6. Pakaian Bermutu dan Cenderamata di Hard Rock Cafe


Kaum Adam tentu gembira dapat membeli-belah di Hard Rock Cafe (HRC) di Ho Chi Minh kerana terdapat pelbagai jenis t-shirt, topi dan seluar jeans bermutu baik. Namun begitu HRC di sini hanya menerima matawang dong dan Amerika sahaja.

Alamat: 39 Lê Duẩn, Bến Nghé; Ho Chi Minh City, Vietnam (terletak di Kumho Asiana Plaza).

Gitar Eric Clapton yang menghiasi halaman depan Hard Rock Cafe di Ho Chi Minh

Hard Rock Cafe di Kumho Asiana Plaza HCM ini amat mudah dilihat dari jalan raya
Bahagian depan HRC Ho Chi Minh, di sebelah kiri dan turun ke basement adalah cafe

Di dalam HRC
T-shirt dan topi HRC yang bermutu tinggi
Fridge magnet, rantai kunci, lencana dan rantai HRC Ho Ci Minh. Fridge magnet ini berharga RM75.00! Mahal, kan?


7. Cenderamata, Beg dan Pakaian di Tebing Sungai Mekong/My Tho


Membeli-belah di tebing Sungai Mekong dan My Tho amat menyeronokkan kerana kita boleh membeli barang-barang, pakaian dan cenderamata jauh lebih murah daripada di Pasar Ben Tanh. Saya sudah menceritakan tentang ini dalam entri yang lalu. Sila klik di SINI dan  SINI.

Fridge Magnet, pakaian dan cenderamata di tebing Sungai Mekong
Beg kulit yang dibuat di Pulau Unicorn My Tho

Jadi, kalau anda tiada idea hendak beli apa di Ho Chi Minh dan ingin merasa keseronokan membeli-belah di HCM, bolehlah rujuk entri ini. :)


Sabtu, 31 Mei 2014

Vietnam Lagi (6): Restoren Makanan Halal

 
Malam nanti saya akan berada di dalam kapalterbang MAS. MH 52 akan membawa saya ke sebuah tempat yang belum pernah saya kunjungi. Doakan penerbangan MH 52 selamat, ya?

Ce kome teka, saya nak backpack ke mana? Saya bagi clue sikit: negara ini sebuah negara besar dan maju, pernah menjajah negara kita, pemimpin negara kita pernah meletakkan dasar supaya kita mencontohi negara ini ....??? Ce teka, ce teka!

Saya backpack berdua je. Seminggu saya di sana, insyaAllah. 

Adakah blog ini akan bersawang selama seminggu? Oh tidak! Untuk mengelakkan ini berlaku, di sini saya tinggalkan anda dengan entri tentang Vietnam yang belum habis saya ceritakan lagi. Jom baca sampai habis :)

____________________

 

Vietnam Lagi (6): Restoren Makanan Halal

 
S ekarang ini restoren halal banyak terdapat di sekitar Ho Chi Minh. Semasa saya di sana baru-baru ini saya telah makan di beberapa buah restoren, antaranya ialah:

 

a) Restoren Serai 


Restoren Serai letaknya di belakang pasar Ben Tanh. Alamatnya: 22 Thu Khoa Huan St, Ben Tanh, Ho Chi Minh City.

Restoren ini menyajikan masakan Malaysia seperti Ikan Goreng, Sayur Campur, Tomyam dan Ayam Goreng. Kita juga boleh memesan menu masakan tradisional Vietnam seperti Pho.

Restoren Serai ini letaknya di belakang Pasar Ben Tanh

Makan malam di Restoren Serai


Pho adalah masakan tradisional Vietnam seperti mee sup. Anda kena cuba.
Ulam-ulaman yang dimakan bersama Pho

Oleh kerana saya suka mencuba masakan tempatan, saya telah memesan Pho untuk makan tengahari. Rasanya boleh tahan sedapnya. Tetapi Pho paling sedap yang pernah saya makan di Ho Chi Minh dimasak di gerai tepi jalan sahaja. Saya pernah ceritakan dalam entri saya pada 2011 di SINI.


 

b) Kasim Baba's Prata House


Sekiranya anda ingin makan roti canai, anda boleh makan di Kasim Baba's Prata House. Restoren ini letaknya di hadapan Restoren Serai yang saya nyatakan tadi. Tetapi saya sendiri belum mencubanya kerana ketika itu saya telah kenyang. Jadi anda boleh cuba sendiri dan beritahu saya.

Kasim Baba berniaga pada waktu malam

c) Restoren Quan An


Restoren ini letaknya di kawasan Masjid Cholon Jamial, 641 Nguyen Trai St, 5th District, 11th Ward, Ho Chi Minh City.

Restoren ini menyediakan masakan yang amat sedap terutamanya tomyam, telur dadar, sayur goreng campur dan kari ikan. Saya cadangkan anda makan di sini.

Masjid Cholon Jamial

Menara Masjid Cholon Jamial

Pintu masuk kawasan Masjid Cholon Jamial. Restoren Quan An di sebelah kiri pintu ini.

Di dalam restoren Quan An. Ada pokok yang tumbuh di dalam restoren ini.
Sajian enak di Quan An

d) Saigon Green House

 

Saigon Green House letaknya di  96A Nam Ky Khoi Nghia, Dist 1, Hoh Chi Minh City. Ia dimiliki oleh orang Melayu Champ. Restorennya bersih dan setingnya kemas. Restoren ini menyediakan masakan Melayu seperti Ikan Goreng Masam Manis, Telur Dadar, Sup Sayur, Tauge Goreng dan Ayam Goreng.

Saigon Green House juga menyediakan menu lain seperti yang tercatat dalam laman webnya: http://halalsaigongreenhouse.com/menu/

Saigon Green House letaknya di atas Truc Xinh

Jus tembikai

Ikan Goreng Masam Manis

Sajian makan malam di Saigon Green House

e) Masjid Jami'ul Muslimin


Masjid Jami'ul Muslimin letaknya di 49, Trinh Hoai Duc, My Tho. Di sini ada restoren yang menyajikan masakan Malaysia seperti Ikan Goreng Kerabu Mangga, Sambal Tumis Udang, Sup Ikan Bercampur Nenas, Ayam Goreng dan Sayur Campur dengan Sotong.


Di luar kawasan Masjid Jami'ul Muslimin
Masjid ini mempunyai kedai makan
Sajian makan tengahari kami: Sup Ikan Bercampur Nenas, Sambal Udang dan Ikan Goreng Kerabu Mangga

Di luar Masjid Jami'ul Muslimin ada kedai menjual air tebu

Tersenyum je makcik ini apabila saya tangkap gambarnya


Kalau anda ke Vietnam nanti, bolehlah cuba makan di tempat-tempat yang saya senaraikan di sini. Kemudian beritahu saya, pengalaman anda.

 

 

Restoren Halal Yang Lain



Semasa kunjungan saya yang pertama ke Ho Chi Minh saya makan di restoren halal yang lain. Saya pernah ceritakan dalam entri pada tahun 2011. Untuk restoren halal yang lain itu sila lihat di


Vietnam: Selera Halal Satay House
 



Selasa, 27 Mei 2014

Vietnam Lagi (5): Menonton Teater Patung Air dan Menaiki Cruise Malam di Sungai Saigon

Saya gemar menonton teater atau persembahan kebudayaan. Di Bali, saya telah menonton Kecak. Di Surabaya, saya telah menonton persembahan Angklung. Di Vietnam pula bagaimana?

Pada kunjungan kali ini saya dan kawan-kawan Wilayah Utara Travel telah berpeluang menonton teater unik Vietnam iaitu Teater Patung Air (Water Puppet). Sebelum ini teater ini hanya dipersembahkan di kota Hanoi sahaja, tetapi kini ia telah dibawa ke kota Ho Chi Minh.


Pintu masuk teater Patung Air

Patung pari-pari di luar dewan

Beginilah rupanya set bagi teater Patung Air 

Kami masuk ke dalam dewan yang sudah dipenuhi dengan penonton. Ramai juga Mat  Salleh. Di atas pentas terdapat set sebuah rumah (mungkin istana) dan di hadapannya terdapat takungan air empat segi. Terdapat pencerita yang bercerita dan mereka duduk di atas kerusi di kiri kanan takungan air itu. Mereka berdialog, bernyanyi dan bermain muzik dengan bantuan mikrofon.

Pencerita dan pemuzik yang mengiringi teater Patung Air

Patung seorang nelayan sedang memancing di dalam air

Kemudian muncul watak-watak dalam bentuk patung dari belakang rumah itu. Ini memukau pandangan kami kerana patung-patung itu berjalan dan bergerak di dalam air itu. Saya tertanya-tanya bagaimana patung-patung itu digerakkan di dalam air itu? Pasti ada dalangnya, macam main wayang kulit?

Terdapat pelbagai cerita yang menggambarkan kehidupan masyarakat Vietnam seperti bercucuk tanam, mandi sungai, bermain, bersawah, melesung dan lain-lain lagi. Pergerakan patung-patung itu kadang kala lucu. Walaupun kami tidak faham sepatah haram kerana bahasa yang digunakan adalah bahasa Vietnam, kami masih terlopong. Ini disebabkan kadang-kadang mereka menggunakan kesan khas seperti api yang menyembur keluar dari mulut naga. Fantastik!

Petani menanam padi di dalam sawah
Petani dan kerbau
Pari-pari sedang menari di dalam air
Raja menaiki tongkang di atas air
Api tersembur dari mulut naga

Dalang-dalang yang menggerakkan patung muncul dari belakang tabir apabila persembahan selesai

Pada akhir cerita barulah saya tahu bahawa patung-patung itu digerakkan oleh dalang. Dalang-dalang itu muncul dari dalam kolam air dan berdiri di dalam air separas punggung untuk memberi penghormatan kepada penonton. Mereka kemudiannya menyelam ke dalam air, melambaikan tangan dari dalam air dan hilang di balik set rumah. Semua penonton tepuk tangan. Kami semua rasa sangat gembira.

 

 

Cruise Malam


Setelah selesai menonton teater tradisional Vietnam Patung Air itu, kami ke Sungai Siagon untuk menaiki Cruise Malam. Cruise Malam itu mempunyai tiga tingkat dan ramai orang di dalamnya. Kami menaiki tingkat kedua dan duduk di kerusi yang disediakan.  Kami dihidangkan dengan air teh panas dan buah-buahan tempatan. 

Cruise malam yang kami naiki
Orang ramai di meja makan di dalam cruise
Buah-buahan yang dihidangkan kepada kami

Saya ke kepala cruise untuk melihat pemandangan Sungai Saigon dan kota Ho Chi Minh pada waktu malam. Cuaca di Ho Chi Minh panas ketika itu, angin pula tidak bertiup walaupun kami berada di atas sungai luas. Saya kemudiannya pergi ke kepala cruise dan berdiri di situ. Barulah saya dapat merasakan sedikit tiupan angin Sungai Saigon yang perlahan.

Saya dapat melihat pemandangan kota Ho Chi Minh di pinggir tebing pada waktu malam. Ketika itu juga saya mendengar muzik dimainkan oleh sekumpulan muzik yang duduk di tengah-tengah dek cruise. Lagu yang mereka mainkan ketika itu ialah "Sakura". Nasib baik bukan lagu Celine Dion "My Heart Will Go On" dalam filem Titanic. Kalau tidak berangan jadi Jack dan Rose,"I lap U, U lap me...U jump I jump..." he he he...

Kapal-kapal berlabuh di Sungai Saigon
Cruise ini dihiasi lampu-lampu dan belayar di Sungai Siagon

Pemandangan tebing Sungai Saigon pada waktu malam
Banyak cruise menyediakan khidmat makan malam sambil belayar santai di Sungai Saigon

Selesai persembahan muzik "Sakura", saya terdengar muzik lain dimainkan pula. Saya perhantikan ramai orang berkerumun. Sayapun turut serta ke arah orang ramai yang berkerumun itu. Rupa-rupanya mereka menyaksikan persembahan kehandalan seorang perempuan menatang lilin dan gelas menggunakan mulut.

Persembahan yang mendebarkan
Aksi kemahiran di atas cruise
Mengambil bunga dengan mulut dengan cara melentikkan badan
Kota Ho Chi Minh di waktu malam yang saya ambil dari dalam cruise

Puas juga kami belayar makan angin pada waktu malam di Sungai Saigon. Lebih kurang sejam lamanya pesiaran malam itu belayar. Setelah "kembung" makan angin malam Sungai Saigon kamipun pulang ke hotel dengan gembira .

...bersambung