Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman



Khamis, 23 Jun 2016

Berbuka Puasa di Restoren Aliesha Seafood, Ipoh

B ulan puasa tahun ini kadang-kadang saya dan keluarga berbuka di rumah, kadang-kadang-kadang di masjid dan kadang-kadang di restoren.  Baru-baru ini kami berbuka di Restoren Aliesha Seafood yang letaknya di Hala Meru 13, Taman Meru, Ipoh Perak.

Restoren Aliesha Seafood yang menyajikan masakan Thai ini sentiasa dikunjungi ramai

Kami sampai di restoren itu pada pukul 7.00 petang. Kami disambut dengan senyuman dan bersalam-salaman dengan pegusaha restoren itu ~ suami isteri. Waktu berbuka pada hari itu ialah 7.29 malam.

Kami terus order makanan kegemaran kami iaitu Ikan Bawal Masak Tiga Rasa, Ayam Gajus, Telur Dadar dan Tomyam. Minuman pula ialah air sirap, air bandung cincau dan Nescafe ais.

Tak lama duduk, kami terus dihidangkan dengan buah kurma dan agar-agar. Kedua-duanya diberi percuma. Air kosong yang diletakkan di sebuah meja juga boleh diambil dengan percuma, sekiranya mahu.

Agar-agar dan kurma diberikan dengan percuma

Air Bandung Cincau, Sirap dan Nescafe ais dihidangkan dengan segera

Tidak lama menunggu makanan siap disaji.

Nasi putihnya disajikan dengan kobis dan lobak merah segar

Tomyam campur

Telur dadar

Ikan Bawal Masak Tiga Rasa ini kegemaran suami saya

Ayam Gajus ini kegemaran saya

Apabila masuk waktu berbuka, tuan punya restoren datang hampir kepada kami dan memberi tahu yang kami sudah boleh berbuka. Tuan punya restoren ini sangat kenal dengan kami kerana keluarga kami sering makan di restorennya.

Layanan yang mesra dan makanan yang sedap menjadikan kami sentiasa datang ke sini untuk menjamu selera. Restoren ini sentiasa dikunjungi ramai orang. Kalau anda belum pernah makan di sini, boleh mencubanya.

Tomyam Poktek dan tapai pulut juga disediakan

Masakan lain yang ada adalah Som Tam, Pulut Mangga, Tomyam Poktek, Tapai, Siakap Stim Limau, Kerabu Mangga, Kerabu Campur, Udang Goreng Tepung, Sotong Goreng Tepung dan macam-macam lagi masakan Siam. Pengusaha restoren ini, tukang masaknya dan pekerja-pekerjanya datang dari Thailand dan membuka perniagaan di sini. Restoren ini dibuka pada pukul 6 petang hingga 3 pagi. 

Khamis, 16 Jun 2016

Restoren untuk Berbuka dan Bersahur di Kuala Kangsar

Hujung minggu ini tentu ramai anak-anak kelahiran Kuala Kangsar pulang  untuk mengundi calon parlimen Kuala Kangsar yang baru. Tidak kurang juga yang datang bertugas sepanjang Pilihan Raya Kecil ini. Tentu Bandar Diraja ini sesak. Bagi yang masih tidak mengetahui di mana hendak berbuka puasa dan bersahur, saya cadangkan 3 buah restoren yang boleh anda kunjungi.

1) Pak Yeop Cafe, Pesiaran Chandan 2/1, Taman Chandan Puteri


Pelbagai juadah berbuka disediakan oleh Pak Yeop Cafe. Antaranya makanan Barat, makanan Thai, makanan Cina dan makanan Melayu.

Segeralah datang ke restoren ini untuk memastikan anda mendapat tempat duduk dan makanan dapat disediakan ketika berbuka, ini disebabkan restoren ini sentiasa dikunjungi ramai terutama ketika hendak berbuka.

Restoren ini amat mudah dicari kerana lokasinya di antara Hotel Casuarina (dahulunya Rest House/Rumah Rehat Kuala Kangsar) dan Universiti Islam Sultan Azlan Shah.

Pak Yeop Cafe dibuka hingga 2.00 pagi.

Vanilla Ice Blended

Nasi Goreng Ikan Rebus sesuai untuk berbuka dan bersahur


2) Restoren Bandar Hadramaut, Pesiaran Putri 3/3, Taman Chandan Puteri 


Restoren Bandar Hadramaut ini menyediakan makanan Arab Yemen seperti Nasi Mendy Kambing, Nasi Haneeth Kambing, Kabsah, Kebab, Sup Cendawan, Sup Kambing, Sup Ayam, Jus Mangga, Kopi Arab dan macam-macam lagi.

Restoren ini letaknya bersebelahan dengan Universiti Islam Sultan Azlan Shah. Seting restoren ini dihiasi dengan perabot dari Timur Tengah dan pelayannya terdiri dari orang Arab.

Baru-baru ini saya dan suami berbuka di restoren ini. Berikut adalah juadah berbuka kami:


Jus mangga bercampur delima yang enak dapat melegakan tekak yang kehausan 

Nasi Mendy Kambing pilihan saya

Haneeth Lamb pilihan suami saya


3) Restoren Alip, Jalan Daeng Selili


Restoren Alip dibuka pada pukul 6 petang hingga 4 pagi. Selalu juga saya dan keluarga makan di sini. Antara makanan yang disajikan ialah masakan Barat, masakan Thai dan masakan Melayu.

Restoren ini letaknya di Jalan Daeng Selili iaitu berdekatan dengan Jambatan Sultan Abdul Jalil (jambatan yang menghubungkan pekan Kuala Kangsar ke Sayong)

Restoren Alip dibuka pada waktu malam sahaja

Chicken Chop

Sup Ekor sesuai untuk makan sahur

Beritahulah saya kalau anda sudah mengunjungi restoren-restoren ini.
aReBeritahulah saya sstoranHadramaut, Taman Chandan Putri, Kuala Kangsar

Khamis, 26 Mei 2016

Membeli-belah di Daiso|Japan

D aiso|Japan! Ini adalah tempat membeli-belah barang-barang dari Jepun. Semasa saya ke Jepun dua tahun lalu, saya telah membeli-belah di kedai 100 yen. Semua barang-barangnya berharga 100 yen (lebih kurang RM3.70). .

Saya pernah menceritakan pengalaman saya membeli-belah di kedai 100 yen dalam entri saya tentang backpack di Jepun. Video tentangnya pun sudah saya kongsikan. Sila klik di SINI untuk mengimbas kembali.

Mungkin anda pernah ke Jepun, melihat kedai ini atau membeli-belah di kedai ini.

Kini, saya dan anda tak perlu lagi ke Jepun untuk membeli-belah di Daiso|Japan. Di manakah Daiso|Japan ini berada? Daiso|Japan terdapat banyak di pusat membeli-belah utama di Malaysia. Dua buah Daiso|Japan yang pernah saya kunjungi ialah di 1) Aeon Mall Ipoh Kelebang dan 2) Queensbay Mall Pulau Pinang. Harga barang-barang di sini bukannya 100 yen atau RM3.70 untuk setiap barang sebagaimana di Jepun tetapi RM5.30. 

Apakah barang-barang yang menarik yang boleh kita beli di Daiso|Japan? Jom lihat gambar-gambar yang saya ambil di kedua-dua Daiso|Japan itu.


1) Daiso|Japan Aeon Mall Ipoh Klebang


Daiso|Japan terdapat di Aeon Mall Ipoh Klebang

Pintu masuk Daiso|Japan di Aeon Mall Ipoh Klebang dihiasi dengan gambar gadis Jepun berpakaian Kimono

Pakaian musim sejuk dijual di Daiso|Japan Aeon Mall Ipoh Klebang

Beg pakaian begini sesuai untuk mereka yang suka mengembara


Barang-barang untuk kemudahan berkebun juga dijual di Daiso|Japan

Cebuk/gayung ini boleh dipelbagaigunakan


2) Daiso|Japan di Queensbay Mall Penang



Daiso|Japan juga terdapat di Queensbay Mall Penang

Pintu masuk Daiso|Japan di Queensbay Mall dihiasi dengan gambar seorang gadis Jepun. Papan tanda RM5.30 untuk setiap barang yang dijual di sini dapat dilihat dengan jelas oleh pelanggan

Kotak-kotak vintage ini sesuai digunakan untuk mengisi barang-barang kecil di bilik 

Pasu-pasu bunga dan alat-alat berkebun juga terdapat di Daiso|Japan Queensbay Mall Penang

Apakah yang anda boleh lakukan dengan barang-barang alumanium dan kaca ini?

Pernahkah anda mengunjungi Daiso|Japan di tempat anda? Kalau pernah sila kongsikan pengalaman anda di ruangan bawah :)

Isnin, 11 April 2016

Movie Animation Park Studio |MAPS akan dibuka di Ipoh

T aman tema filem animasi pertama di  Malaysia akan dibuka tak lama lagi di Ipoh, Perak. Khabarnya ia akan mula dibuka pada pertengahan tahun ini. Taman yang dinamakan Movie Animation Park Studio atau MAPS ini akan mempunyai macam-macam jenis ride, roller-coaster, drop tower, persembahan lagak ngeri, dunia kartun, dunia fantasi, dunia permainan, dunia pengembaraan dan banyak lagi.

Tentu anda akan berasa gayat dan seram sejuk menaiki Megamind yang tinggi dan laju, kecut perut menyaksikan persembahan lagak ngeri kereta secara langsung (live-action stunt car), sesat-marat dalam Fantasy Forest Zone, kembali ke zaman kanak-kanak  bersama Woody dan Buzz Light Year dalam Toy Story, memasuki rumah Red Indian dalam Indys Hq, menjelajah gua di dalam Cave Walk, menyeberangi jambatan dan sungai dan macam-macam lagi adventure.

Semua ride ini direka mengikut cuaca panas sepanjang tahun di Malaysia. Jadi cuaca begini menjadi satu keisitmewaan bagi Malaysia kerana taman tema ini boleh dibuka sepanjang tahun sebagaimana Studio Disney di Florida, Amerika Syarikat kerana cuaca di Florida juga panas sepanjang tahun. Tidak seperti taman-taman tema di negara-negara yang mempunyai 4 musim; misalnya Luna Park di Melbourne, Australia dan Kings Island di Cincinnati, Ohio hanya dibuka pada musim bunga dan panas.

Tetapi adakah taman tema ini sudah siap dan bersedia menerima kunjungan ramai?

Minggu lepas saya ke Ipoh dan berkesempatan mengambil beberapa syot dari taman tema itu. Saya mengambil gambar-gambar itu dari dalam kereta yang bergerak di atas jalanraya. Hasilnya ialah seperti yang di bawah ini

Taman Studio Animasi ini masih dalam pembinaan. Terdapat 40 ride yang bakal menghiburkan anda. 

Taman Studio Animasi yang dikatakan Asia's First ini mempunyai animasi dari DreamWorks. Animasi tempatan BoBoiBoy juga bakal berada di sini. 

Movie Animation Park Studio ini letaknya tidak berjauhan dengan Perhentian Amanjaya dan Mydin Mall Meru. Tanah yang masih kosong ini mungkin akan dihiasi dengan pokok-pokok bunga

Pintu masuk MAPS yang bakal diserbu orang ramai tak lama lagi. Ia dijangka menjadi tarikan pelancong.

Gerbang MAPS masih belum dibuka untuk orang ramai.  Dengan slogan Live Your Dreams, MAPS ingin menggapai impian anda

MAPS  ~ Live Your Dreams, benar-benarkah akan merealisasikan impian anda? Sama-samalah kita nantikan.


Selasa, 22 Mac 2016

Jazz Degup Jantung New Orleans

Sukakah anda mendengar muzik jazz? Kalau anda tidak begitu mahir dengan muzik ini, cubalah dengar lagu klasik nyanyian Louis Armstrong "When the Saints Go Marching In". Inilah muzik jazz. Terkenalnya lagu "When the Saints Go Marching In" ini membuatkan ia telah menjadi lagu sorak untuk pasukan bola, rugby dan footy di beberapa negara. Louis Armstrong adalah lagenda jazz yang berasal dari New Orleans. Lagu jazz ini begitu popular sehingga menular ke negara kita terutamanya pada tahun 1950an.

New Orleans yang terletak di negeri Louisiana, Amerika Syarikat adalah tempat kelahiran muzik jazz. Muzik ini berdegup dalam jantung kota ini setiap hari dan masa. Sesiapa sahaja boleh melihat dan mendengarnya ~ di pesta Mardi Gras, di kelab-kelab, malahan di tepi-tepi jalan.

Peta New Orleans, Louisiana di selatan Amerika Syarikat diabadikan pada magnet peti sejuk. Louisiana mempunyai keindahan alam semulajadi yang terpelihara. Ini digambarkan melalui bunga magnolia sebagai bunga negeri dan burung Brown Pelican sebagai maskotnya. 

Saya suka topeng Mardi Gras ini kerana ia begitu comel sebagai magnet peti sejuk. Mardi Gras adalah pesta perarakan yang diadakan 47 hari sebelum Easter (Ferbruari-March)
Preservation Hall |Kid Thomas Band di 726 St Peter Street memainkan jazz dari old school. Tiada minuman keras dan makanan dihidangkan di sini. Kanak-kanak dibenarkan masuk.

Mengenali The Big Easy New Orleans dengan berjalan kaki


Ketika berjalan kaki di kota New Orleans pada musim panas pada suatu ketika dulu, saya melihat muzik jazz dimainkan secara live di setiap sudut dan kaki lima kota itu  ~ dari yang groovy hinggalah ke blues, rock, punk, reggae dan brass band. Jalan-jalan popular yang menghidangkan muzik jazz ini ialah Bourbon Street, Decatur Street, Frenchmen Street, Conti Street, St. Peter Street, Oak Street dan banyak lagi. Muzik jazz ini amat sinonim dengan golongan kulit hitam yang ramai berkampung di New Orleans. Mereka asalnya adalah hamba abdi yang dibawa dari Afrika ketika penjajahan Peranchis dan Sepanyol dulu.

Berabad-abad lamanya New Orleans menjadi tanah jajahan Peranchis dan Sepanyol tetapi dijual pada tahun 1803 kerana tanahnya tidak menguntungkan. Dilihat sebagai negeri penuh paya berbuaya, sarang pelacuran dan lubuk penjenayah, penduduknya bangun dan berjuang sehingga menjadi sebuah negeri yang tersendiri ~ seninya berbaur dengan budaya orang Asli Amerika (American Indian), Afrika, Caribbean dan Eropah sehingga melahirkan muzik jazz dan Mardi Gras. Kepelbagaian kaum dan kedudukannya di selatan Amerika Syarikat melahirkan loghat yang berbeza berbanding dengan mereka yang di bahagian utara.

Dikenali dengan jolokan The Big Easy, New Orleans boleh juga diterjemahkan sebagai tempat orang bersenang-lenang dan berleka-leka sebagaimana mendengar alunan muzik jazz tempatan yang merdu. Keadaan santai penduduknya ini amat berbeza dengan The Big Apple ~ jolokan untuk kota metropolitan New York ~ yang sentiasa bergerak pantas dan sibuk. Kerana itu ramai yang jatuh cinta dengan kota jazz ini, namun ada juga yang membencinya.

Yang membencinya mungkin disebabkan banyaknya bar dan kelab-kelab di sepanjang jalan, maka bir begitu bebas diminum kerana harganya yang terlampau murah sehingga membuat peminumnya mabuk hingga muntah-muntah. Bagi mata yang nakal-nakal mereka mengintai melalui lubang-lubang pada dinding kelab untuk menyaksikan persembahan tarian. Bagi yang lebih berani dan bermuka tembok, mereka masuk saja ke dalam kelab itu untuk menyaksikan tarian separuh bogel atau tanpa seurat benangpun.

Seniman jalanan ~  New Orleans adalah tempat berputiknya bakat seni muzik

Menyusuri NOLA dan Sungai Mississippi 


Fridge magnet yang dibuat daripada gelas fibre ni menunjukkan aktiviti dan tarikan utama New Orleans - muzik jazz, trem, kereta kuda, menyusuri sungai Mississippi dengan feri dan French Quarter.

Singkatan New Orleans Louisiana ialah NOLA. NOLA mengajak sesiapa sahaja kembali ke zaman silam dengan menaiki trem antik dan pedati lama di dalam bandar. Feri yang menyusuri sungai Mississippi ~ sungai kedua terpanjang di Amerika itu ~ boleh dinaiki sebagaimana yang kita lihat dalam filem-filem dan buku-buku karya sasterawan dunia Mark Twain: Life on the Mississippi (1883) dan The Adventures of Huckleberry Finn.

Bagi kaki shopping, Frenchmen Art Market menawarkan pakaian butik dan pelbagai barangan seni untuk dibawa pulang. Antara yang rambang mata adalah saya yang merembat pulang poskad, lukisan sketsa persembahan jazz dan magnet peti sejuk.

Poskad  ini menunjukkan: rumah ladang, bot Sternwheeler, pemain jazz dan  pesta Mardi Gras di NOLA
Ini ialah poskad Pontalba Aparments yang saya beli di New Orleans. Apartment ini letaknya di Jakson Square dalam kawasan French Quarter. Bangunan ini dipercayai sebagai apartment yang pertama di Amerika Syarikat. Dibina pada 1849,  balkoni besinya amat unik.
Legasi muzik jazz diteruskan di New Orleans dan digambarkan melalui  lukisan sketsa yang  saya beli ini. 

Antara Katrina dan La Nina


Mungkin bagi sesetengah orang, tempat ini tidak sesuai dengan jiwanya kerana terdapat banyak bar, kelab, muzik, penggunaan dadah, perkhidmatan seks dan jenayah. Ingatkah anda apakah yang telah berlaku 10 tahun lalu di New Orleans? Pada 29 Ogos 2005, New Orleans dilanda taufan Katrina. Taufan ini telah melenyapkan 1,500 nyawa iaitu sebahagian daripada penduduk New Orleans dan memusnahkan harta benda yang bernilai 100 bilion dolar Amerika. Malapetaka ini bukanlah pertama kali berlaku di New Orleans tetapi telah lebih 5 kali. Walaupun pemulihan giat dijalankan, keadaan ekonomi penduduknya masih terpuruk.

Apakah iktibar yang boleh kita pelajari daripada peristiwa ini? Adakah bencana ini akibat perbuatan manusia atau hukum Tuhan? Adakah Katrina New Orleans mempunyai persamaan dan perkaitan dengan La Nina/El Nino yang membawa haba panas ke negara kita sekarang ini? Sekiranya anda mempunyai pandangan tentang ini silalah kongsikan di ruangan di bawah.

Selasa, 1 Mac 2016

#Jipangi: Makanan Pelik Yang Trendy

Pada cuti baru-baru ini saya dan keluarga pergi jalan-jalan, shopping-shopping dan makan-makan di sebuah shopping mallShopping mall ini baru dibuka, iaitu AEON Mall Ipoh Klebang.

Yang menariknya, kami ternampak sejenis makanan pelik yang dijual di situ. Makanan itu digantung dengan banyak di atas tengah-tengah sebuah gerai kecil. Gerai kecil itu letaknya di tengah-tengah tingkat 2, tidak berjauhan dengan food court yang ada di situ.

Apakah makanan yang tergantung di atas tengah-tengah gerai?

Penuh dengan tanda tanya, kamipun mendekatinya. Ia adalah makanan Korea bernama #Jipangi.

Anak saya yang bongsu pula ternampak minuman kegemarannya yang pernah dibelinya di Korea.

"Hei,  Banana Flavoured Milk!" jerita anak saya kegembiraan. Tak sabar-sabar dia hendak membelinya,

Kami melihat-lihat keliling gerai, merenung ke dalam peti sejuk dan membaca maklumat yang terdapat di situ. Sampel makanan yang ditunjukkan nampak menarik. Ia berbentuk J. Macam tongkat pun ada, macam kaki payung pun ada. Ia dibuat daripada snek jagung dan dimakan dengan ais krim. Ais krimnya lembut dan ada macam-macam flavour: vanilla, cokolat, strawberi, pisang, teh hijau....

"Eh! Ada Halal JAKIM!"

Keinginan untuk mencuba #Jipangi meluap-luap apabila kami nampak logo halal dipamerkan.

Minuman Korea kegemaran anak saya dijual di sini. Logo halal JAKIM diletakkan di atas peti sejuk

Apa lagi...kamipun membeli makanan pelik itu. Nak tahu mengapa ia pelik?  Hah.. cuba skrol ke bawah...dan anda pasti setuju dengan saya yang ianya pelik...


Ais krim dipamkan ke dalam #Jipangi menggunakan mesin

Pelik, kan?
Nah! #Jipangi awak!

Kami membayar RM7.00 sebatang. Dengan bentuknya yang pelik kami memakannya dengan seronok bercampur gelihati.

Boleh letak ais krim perasa campuran kalau suka. Pelik kan bentuknya?

Rasanya? 

"Macam Honey Star cereal!," kata anak bongsu saya.

"Aaah..lah...cuma tambah ais krim aje!" kata anak saya seorang lagi.

Tak sampai 10 minit #Jipangi pun habis kami makan.

Dengan Korean Wave (hallyu) yang melanda dunia, khabarnya #Jipangi menjadi trendy sekarang ini.

Pernahkah anda memakan #Jipangi? Kalau anda pernah memakannya kongsilah pengalaman anda di sini. 

Selasa, 23 Februari 2016

Pengalaman Sebagai Pekerja Ladang di Australia

Bekerja di ladang sebagai pemetik buah-buahan di Australia adalah satu pengalaman yang amat berharga. Walaupun saya pernah tinggal lama di Australia, saya tidak pernah bekerja di ladang, namun saya telah menemui beberapa orang yang pernah bekerja di ladang. Saya pernah catatkan pekara ini dalam entri saya beberapa tahun lalu. Sila klik Di Sini untuk membacanya. Sejak itu saya telah menerima beberapa pertanyaan dari pembaca blog ini tentang bekerja di ladang di Australia, khasnya di Melbourne. 

Baru-baru ini saya telah berjumpa kawan sekolah saya yang baru pulang dari Australia. Menurutnya dia bekerja ladang dan menceritakan pengalamannya di sana. Saya lalu meminta kawan saya itu menulis pengalamannya ini untuk dijadikan panduan dan sedikit sebanyak dapat menjawab persoalan beberapa orang pembaca blog ini yang ingin menimba pengalaman sepertinya.

Berikut adalah pengalaman kawan saya itu...


Pengalaman Sebagai Pekerja Ladang di Australia

oleh Azam Yusof (bukan nama sebenar)




Pendahuluan


Sejak 2 hingga 3 tahun kebelakangan ini, iaitu sejak 2013, ramai orang Asia telah mula berkerja di ladang-ladang di Australia. Ini adalah disebabkan orang Australia tidak mahu lagi berkerja di negara mereka sendiri kerana gaji yang terlalu murah. Mereka telah berhijrah ke United Kingdom untuk berkerja di ladang-ladang kerana upah yang mahal dan nilai mata wang yang tinggi. 

Oleh kerana itulah pekerja-pekerja dari negara-negara Asia berhijrah ke Australia dan termasuklah rakyat Malaysia. Oleh kerana kos sara hidup yang tinggi dan peluang pekerjaan yang terhad di Malaysia, maka ramailah rakyat Malaysia ingin mencuba nasib berkerja di sana dengan mengharapkan pendapatan yang lumayan kerana nilai mata wang Australia yang tinggi berbanding Malaysia. 

Saya mengetahui permintaan bekerja ladang di Australia pada September 2015 melalui iklan di media massa tempatan. Saya pun menghubungi agen dalam iklan tersebut. 

Setelah berjumpa, saya pun bersetuju untuk mencuba dan mencari pengalaman berkerja di sana. Agen tersebut pun mengaturkan pergerakan saya ke sana bersama dengan seorang lagi dari Kulai, Johor. 

Di sini saya ingin menceritakan pengalaman saya selama hampir 3 bulan berkerja di ladang-ladang di Selatan Australia iaitu di Victoria dan New South Wales. Tempoh saya tinggal d Australia adalah dari 23 Oktober 2015 sehingga 13 Januari 2016 iaitu 10 hari sebelum visa pelancong saya tamat. Saya tinggal selama 2 bulan di Swan Hill dan 3 minggu di Mildura.


Peta menunjukkan kedudukan Swan Hill dan Mildura di negeri Victoria yang bersempadan dengan New South Wales


Sekumpulan orang Malaysia yang bekerja di ladang peach 

Kategori Kerja dan Pendapatan


Terdapat 2 kategori pekerjaan di ladang di  Australia:

Pertama, bekerja mengikut cara kontrak iaitu pembayaran gaji adalah berdasarkan hasil kerja. 


Jumlah pembayaran gaji adalah mengikut berapa banyak kerja yang dapat dihasilkan. Contohnya, jika petik buah peach, ianya bergantung jumlah bin yang dapat dihasilkan. Satu bin, ada yang AUD28, AUD35, bergantung kepada kualiti buah. Jenis picking pula, ada first pick dan second pick

Kedua, berkerja mengikut  tempoh waktu berkerja berdasarkan jumlah jam. 


Gaji dibayar mengikut jumlah jam seseorang itu berkerja dengan kadar bayaran di antara AUD13 hingga AUD15 sejam. Tempoh waktu berkerja tidak tetap bergantung kepada samada cepat atau lambat kerja itu disempurnakan. Ianya juga bergantung samada banyak atau sedikit hasil yang dapat diperolehi dari ladang. Sebagai contohnya, hasil ladang yang sedikit disebabkan buah-buahan yang tidak banyak.

Buah nectarine yang dipetik dimasukkan ke dalam bin

Jenis Pekerjaan


Terdapat beberapa jenis perkerjaan iaitu prunning, soothing, picking, covering dan beberapa lagi. Senarai kerja ini adalah yang pernah saya lakukan. 

Prunning adalah mencantas dahan-dahan pokok yang tidak berguna dan tidak diperlukan untuk mendapatkan buah yang berkualiti tinggi. Soothing pula adalah mencantas daun-daun pucuk yang tumbuh pada batang anak-anak pokok di tapak semaian untuk menghasilkan pokok yang baik.

Picking ialah kerja mengutip buah-buahan, manakala covering ialah kerja mengawal buah-buahan daripada terkena cuaca terlalu panas atau hujan berlebihan.


Sedang menunggu arahan untuk petik anggur


Permit Kerja


Semua pekerja ladang dari Malaysia menggunakan visa pelancong untuk tempoh 3 bulan sahaja. Ini adalah disebabkan tiada permit kerja untuk rakyat Malaysia kerana kerajaan Malaysia tiada memohon permit kerja untuk rakyatnya berkerja di Australia. 

Kebanyakan pekerja Malaysia adalah pendatang haram dan berkerja secara tidak sah kerana tinggal di Australia melebihi tempoh visa yang dibenarkan. Ianya berbeza dari negara-negara lain seperti Vietnam, India dan negara-negara Asia yang lain yang ada permit untuk berkerja di Australia.

Suasana di ladang peach Wood Wood, Swan Hill


Kontraktor dan Sub Kontraktor


Pemilik ladang (farmer) di Australia bergantung harap kepada kontraktor pekerja yang akan mendapatkan pekerja untuk ladang-ladang mereka. Kontraktor dan sub-kontraktor akan mendapatkan pekerja-pekerja melalui agen yang terdapat dari semua negara yang terlibat. Kontraktor-kontraktor dan sub kontraktor adalah warga asing dari Asia seperti China, India, Sri Lanka, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan beberapa negara Asia yang lain. 

Kebiasaannya pekerja-pekerja dari sesebuah negara akan diuruskan oleh kontraktor atau sub kontraktor dari negara mereka sendiri. Semua sub kontraktor dari Malaysia adalah orang Cina yang membekalkan dan menguruskan pekerja-pekerja dari Malaysia yang diperolehi melalui agen di Malaysia. Setakat ini saya tidak menemui kontraktor utama (main contractor) dari Malaysia.


Suasana di waktu pagi di ladang anggur menunggu arahan sebelum memulakan kerja

Jenis-jenis Ladang


Pengalaman saya berkerja adalah di ladang buah peach, nectarine dan anggur. Di Australia, banyak lagi ladang-ladang seperti epal, oren, mangga, tomato, cili dan bermacam-macam lagi. 


Pokok peach

Buah peach

Ladang nectarine

Pokok nectarine

Buah nectarine

Saya berkerja di ladang peach dan nectarine selama 2 bulan di Tooleybug, Victoria iaitu 45 km dari Swan Hill. Di ladang peach dan nectarine, saya membuat kerja prunning dan picking.


Anggur merah


Anggur hijau

Covering pokok anggur

Di Mildura, saya membuat kerja picking dan covering pokok anggur. Tujuan membuat covering pokok anggur adalah untuk melindungi buah anggur dari cepat layu akibat  panas matahari dan mengelak dari terkena air hujan terlalu banyak. Ianya akan menjejaskan kualiti buah anggur yang hendak diekspot. 

Di sini, saya hanya 3 minggu sahaja kerana saya sudah hendak balik ke Malaysia. Saya sekadar ingin mengetahui bagaimana berkerja di Australia  serta mencari pengalaman baru.


Berehat di bawah pokok anggur di ladang anggur Mildura


Kesimpulan


Rakyat Malaysia yang berkerja ladang di Australia kebanyakannya melakukan dua kesalahan: 


Pertama,  berkerja tanpa permit pekerjaan kerana menyalahgunakan visa sebagai pelancong. 

Kedua, tinggal melebihi tempoh visa iaitu melebihi 3 bulan.   


Oleh kerana itu, pekerja-pekerja rakyat Malaysia yang berkerja di Australia berada dalam keadaan berisiko tinggi. Ini adalah disebabkan tiada dokumentasi perjanjian atau ikatan di antara tuan punya ladang, kontraktor dan sub konktraktor.  Pekerja tiada dilindungi insuran dan undang-undang buruh. 

Bagi yang tinggal melebihi tempoh visa, mereka telah menjadi pendatang haram. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti kemalangan dan sebagainya, dan pihak imigresen mengetahui, mereka akan dihantar pulang. 

Pendapatan harian juga tidak menentu dan ianya bergantung kepada kemampuan seseorang. Pendapatan yang lumayan sebagaimana yang diberitahu oleh agen adalah tidak tepat sama sekali.


* Ini adalah pengalaman dan pendapat saya berdasarkan apa yang saya lalui dan saya memohon maaf sekiranya ada maklumat yang saya sampaikan kurang tepat.