Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Memaparkan catatan dengan label MALAYSIA - Pulau Pinang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MALAYSIA - Pulau Pinang. Papar semua catatan

Jumaat, 1 Julai 2016

Shopping Raya 2016 ~ Adakah cara anda sama dengan saya?

H ari Raya tak lama lagi, berpakaian baru, hidangan kuih raya yang enak dan hiasan rumah yang cantik adalah pilihan kebanyakan kita, termasuklah saya sekeluarga. Macam-macam cara saya lakukan untuk shopping  Raya ini. Entri kali ini mengajak anda bercerita tentang cara yang sering kita lakukan ketika hendak shopping Raya. Yang mana satukah cara yang sering anda lakukan?


#1 ~ Menempah baju raya atau membeli yang sudah siap?


Menempah baju mempunyai kelebihannya kerana kita membeli baju berdasarkan bentuk dan ukuran badan kita. Biasanya ia selesa dipakai. Menempah baju raya memerlukan persediaan yang lebih awal. Ini disebabkan kita perlu membeli kain terlebih dahulu dan mendapatkan tukang jahit.

Kadang-kadang saya menempah baju raya sebulan sebelum bulan Ramadhan, kerana kalau lambat ditempah, tukang jahit tidak mahu menerima tempahan lagi. Biasanya saya akan mencari kawan-kawan atau saudara mara yang bekerja sebagai tukang jahit untuk membuat baju raya saya. Disamping menyokong bisnes mereka, saya dapat harga yang lebih murah berbanding dengan harga yang dikenakan oleh tukang jahit yang tiada hubungan dengan saya.

Kadang-kadang saya terlalu sibuk sehingga tak sempat untuk membeli kain dan menempah baju, jadi saya membeli yang sudah siap dijahit. Cuma pilihannya agak terhad, terutama warnanya. Kadang-kadang baju yang saya suka itu terlalu sempit atau terlalu longgar bagi saya. Jadi saya akan memilih baju mengikut ukuran badan saya walaupun warnanya tidak saya gemari. 

Bagaimana dengan anda pula? Adakah anda menempah baju raya atau membeli yang sudah siap?


Suasana di bahagian kain ela di Jakel Kuala Lumpur ketika jualan murah dilakukan sebelum masuk bulan Ramadhan

#2 ~ Membeli baju raya pada bulan Ramadhan atau sebelumnya?


Ada yang suka membeli baju raya sebelum masuk bulan Ramadhan, ada pula yang suka membeli pada bulan Ramadhan.

Suami saya suka shopping raya sebelum masuk bulan Ramadhan lagi. Menurutnya, harga pakaian lebih murah berbanding dengan yang dijual pada bulan Ramadhan.

Tapi saya suka shopping baju raya pada bulan Ramadhan, dekat-dekat hendak masuk Syawal. Sebabnya mood membeli baju raya lebih tinggi pada bulan ini berbanding sebelum masuk bulan Ramadhan. Lagipun pada bulan Ramadhan fesyen-fesyen baru akan keluar. Pilihannya banyak. Tentu seronok memilih baju-baju dengan pilihan yang pelbagai.

"Yang mana elok? Purple ke merah?", tanya suami saya pada saya ketika membeli baju Melayu di Parkson Ipoh sebelum Ramadhan

 Parkson Ipoh  mengadakan jualan murah sebelum bulan Ramadhan. Sepasang baju Melayu ini berharga RM99.90.

#3 ~ Tema baju raya yang sama atau caca marba?


Adakah anda suka menggunakan tema yang sama atau caca marba pada baju Raya anda?

Keluarga saya suka memakai baju yang mempunyai tema yang sama. Ia menggambarkan sehati sejiwa. Apabila mengambil gambar, gambar kelihatan lebih menarik. Saya mempunyai keluarga yang besar, kalau bertemu sanak saudara yang ramai, saya mudah mengenali setiap ahli keluarga kalau mereka memakai pakaian yang sedondon. 


Dengan warna sedondon mudah untuk saya mengenali setiap ahli  keluarga, terutama ahli baru

Kami memilih tema hijau untuk raya tahun ini.  Anda bagaimana pula?

Bagaimana dengan kasut pula, adakah sedondon dengan warna baju atau tidak? Untuk lebih praktikal saya memilih kasut berwarna hitam kerana ia boleh disesuaikan dengan semua warna baju.

Kasut berwarna hitam atau cokolat mudah disesuaikan untuk semua warna pakaian. Parkson Ipoh menjual kasut dengan potongan separuh harga sebelum masuk Ramadhan.

#4~ Fesyen moden atau tradisional?


Adakah anda suka menggayakan fesyen moden atau tradisional pada hari raya?

Keluarga saya suka memilih baju Melayu dan baju kurung pada hari raya pertama. Semasa saya remaja dulu, saya suka memakai kebaya. Tetapi apabila sudah mencapai pertengahan umur, saya tidak lagi berminat memakai kebaya, saya lebih suka memakai jubah. Ini disebabkan jubah lebih selesa dipakai kerana ia longgar dan tidak menampakkan bentuk badan saya.

Tidak kira moden atau tradisional, pilihan untuk raya mestilah sesuai dengan perayaan yang mulia ini, kan?

Apakah fesyen baju raya kegemaran anda?

Adakah fesyen baju di AEON Mall Ipoh Klebang ini sesuai untuk dipakai pada hari Raya?

Adakah baju yang dijual di Jakel Kuala Lumpur ini menjadi pilihan anda?

Yang mana satu pakaian lelaki di Parkson Ipoh ini menjadi pilihan anda?

#5 ~ Membuat sendiri kuih raya atau membelinya?


Adakah anda membuat sendiri kuih raya atau membelinya?

Saya gemar membuat sendiri biskut raya dan kek raya. Ini disebabkan saya rasa lebih puas, dapat membuatnya dalam kuantiti yang banyak dan rasanya lebih sedap. Untuk tujuan ini saya mengambil cuti seminggu sebelum raya.

Kalau kuih raya itu sukar dibuat, saya tempah sahaja kuih itu. Misalnya kuih kapit/kuih sepit dan kek lapis. Biasanya saya menempah pada kawan-kawan yang sama yang membuat kuih raya setiap tahun. Disamping dapat membantu kawan-kawan saya menambah pendapatan, saya sudah pasti akan kesedapannya.

Sekiranya saya ingin membeli kuih raya yang siap dijual di pasaraya, saya akan membelinya pada malam raya, kerana pada masa itu peniaga-peniaga menurunkan harga kuih mereka dengan harga yang sangat rendah.

Kuih raya saya tahun ini

#6 ~ Jahit sendiri langsir atau tempah?


Adakah langsir di rumah anda sudah lama tidak berganti dan warnanya telah luntur? Kalau lama, sudah tiba masanya untuk anda menukar langsir rumah anda. Rayalah hari yang paling sesuai untuk menukar langsir baru.

Adakah anda jahit sendiri langsir itu atau tempah?

Bagi mereka yang pandai menjahit langsir sendiri, tentu  dapat menjimatkan belanja.

Jiran saya menempah langsir rumah mereka dengan pembuat langsir yang datang ke rumah, mengukur tingkap mereka, memberi pilihan corak kain langsir melalui katalog dan memasangkan rel dan langsir untuk mereka. Terdapat 13 buah bingkai tingkap kecil dan besar di rumah mereka. Langisr itu siap dalam masa sebulan. Mereka membelanjakan RM8,000.00 untuk itu!

Sebaliknya, kami hanya membelanjakan kira-kira RM1,500 untuk saiz dan jumlah tingkap yang sama. Ini disebabkan kain langsir kami beli di kedai,  meminta kawan yang menjahitnya dan upah menjahitnya sangatlah murah. Siapnya pun dalam masa sehari sahaja. Rel langsir dan langsir dipasang sendiri oleh suami saya. Dengan cara ini kami dapat berjimat.

Langsir kami yang baru ditempah siap dalam masa sehari


Walau apapun cara anda berbelanja untuk raya tahun ini pastikan ia sesuai dengan bajet anda dan tidak membazir.

Bagaimana anda shopping raya? Adakah cara anda sama dengan saya? Kongsikan cara shopping anda di ruangan di bawah ini.

Khamis, 26 Mei 2016

Membeli-belah di Daiso|Japan

D aiso|Japan! Ini adalah tempat membeli-belah barang-barang dari Jepun. Semasa saya ke Jepun dua tahun lalu, saya telah membeli-belah di kedai 100 yen. Semua barang-barangnya berharga 100 yen (lebih kurang RM3.70). .

Saya pernah menceritakan pengalaman saya membeli-belah di kedai 100 yen dalam entri saya tentang backpack di Jepun. Video tentangnya pun sudah saya kongsikan. Sila klik di SINI untuk mengimbas kembali.

Mungkin anda pernah ke Jepun, melihat kedai ini atau membeli-belah di kedai ini.

Kini, saya dan anda tak perlu lagi ke Jepun untuk membeli-belah di Daiso|Japan. Di manakah Daiso|Japan ini berada? Daiso|Japan terdapat banyak di pusat membeli-belah utama di Malaysia. Dua buah Daiso|Japan yang pernah saya kunjungi ialah di 1) Aeon Mall Ipoh Kelebang dan 2) Queensbay Mall Pulau Pinang. Harga barang-barang di sini bukannya 100 yen atau RM3.70 untuk setiap barang sebagaimana di Jepun tetapi RM5.30. 

Apakah barang-barang yang menarik yang boleh kita beli di Daiso|Japan? Jom lihat gambar-gambar yang saya ambil di kedua-dua Daiso|Japan itu.


1) Daiso|Japan Aeon Mall Ipoh Klebang


Daiso|Japan terdapat di Aeon Mall Ipoh Klebang

Pintu masuk Daiso|Japan di Aeon Mall Ipoh Klebang dihiasi dengan gambar gadis Jepun berpakaian Kimono

Pakaian musim sejuk dijual di Daiso|Japan Aeon Mall Ipoh Klebang

Beg pakaian begini sesuai untuk mereka yang suka mengembara


Barang-barang untuk kemudahan berkebun juga dijual di Daiso|Japan

Cebuk/gayung ini boleh dipelbagaigunakan


2) Daiso|Japan di Queensbay Mall Penang



Daiso|Japan juga terdapat di Queensbay Mall Penang

Pintu masuk Daiso|Japan di Queensbay Mall dihiasi dengan gambar seorang gadis Jepun. Papan tanda RM5.30 untuk setiap barang yang dijual di sini dapat dilihat dengan jelas oleh pelanggan

Kotak-kotak vintage ini sesuai digunakan untuk mengisi barang-barang kecil di bilik 

Pasu-pasu bunga dan alat-alat berkebun juga terdapat di Daiso|Japan Queensbay Mall Penang

Apakah yang anda boleh lakukan dengan barang-barang alumanium dan kaca ini?

Pernahkah anda mengunjungi Daiso|Japan di tempat anda? Kalau pernah sila kongsikan pengalaman anda di ruangan bawah :)

Khamis, 22 Oktober 2015

Malaysia Airlines: Apa Ada Di Golden Lounge dan Business Class?

Baru-baru ini saya bertugas di luar kota iaitu di Kuala Lumpur. Saya menaiki kapal terbang MAS dari Pulau Pinang. Oleh kerana tugas saya ini penting kepada negara, saya diberi keistimewaan. Segala-galanya ditaja oleh pihak agensi yang mengelola tugas saya itu.

Di lapangan terbang Pulau Pinang, saya diberi tempat menunggu yang amat selesa iaitu di Golden Lounge. Keistimewaan ini jarang saya dapati. Golden Lounge ini boleh dimasuki hanya apabila kita memiliki tiket kelas Bisnes atau kelas Pertama.

Sekiranya kita menaiki kelas Ekonomi, kita hanya boleh dapat memasuki Golden Lounge ini jika kita memiliki kad keahlian Enrich dengan pengumpulan mata ganjaran yang telah ditetapkan.



Golden Lounge Penang International Airport


Apakah yang ada di Golden Lounge itu? Mari ikut saya meneliti gambar-gambar di bawah ini.

Golden Lounge di Penang International Airport memiliki tempat duduk yang selesa. Kita boleh memilih untuk duduk di kerusi tinggi dengan meja tinggi yang melekat di dinding. Atau duduk di kerusi sederhana tinggi dengan meja makan. Atau duduk di kerusi rendah dengan meja kopi. 
Makanan boleh dipilih di atas meja buffet. Pelayan sentiasa ada di sini untuk membantu

Burrito disajikan kepada penumpang di Golden Lounge Penang
Terdapat Green Vegetable Noodle (bihun sup) disediakan di meja buffet
Roti, donut dan muffin juga disediakan untuk mengisi perut yang kosong
Buah-buahan sebagai pencuci mulut beralaskan daun pisang juga disajikan 
Saya memilih untuk memakan buah-buahan dan duduk di kerusi tinggi dengan meja tinggi yang melekat di dinding sambil membaca majalah. Sambil membaca saya boleh mengecas bateri telefon saya dengan menggunakan soket yang disediakan.

Tandas, bilik mandi dan sinki di dalam bilik air yang luas juga disediakan untuk kemudahan penumpang
Golden Lounge ini lengkap dengan bilik solat

Kelas Bisnes


Di dalam kapal terbang, saya diberi tempat duduk di Kelas Bisnes. Saya jarang-jarang menaiki Kelas Bisnes kerana saya tidak mampu. Saya hanya berpeluang menaiki Kelas Bisnes apabila perjalanan saya ditaja.  Ini membuatkan saya senyum dan mood saya bertambah baik.

Apakah yang istimewanya Kelas Bisnes ini?

Saya dapat duduk di kerusi yang luas di tepi tingkap baris hadapan dan melunjurkan kaki dengan selesa
Saya boleh menonton skrin tv yang digantungkan di bahagian atas hadapan saya
Saya dilayani oleh pramugari dengan minuman jus oren. Tuala suam diberi untuk menyegarkan muka dan tangan saya.
Saya dihidangkan dengan satay dan cokolat Lindor

Perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur hanya memakan masa lebih kurang 50 minit sahaja. Jadi perkhidmatan Golden Lounge dan kelas Bisnes dalam perjalanan yang singkat ini amatlah memberi keselesaan kepada saya.


Golden Lounge KLIA


Apabila saya sudah selesai menjalankan tugas di Kuala Lumpur, saya pun kembali semula ke Pulau Pinang dengan menaiki kapal terbang MAS. Di KLIA saya memasuki Golden Lounge yang terdapat di sana.

Sebagaimana  Pulau Pinang, Golden Lounge di KLIA juga mempunyai ruang menunggu yang luas, tempat duduk yang selesa, makanan dan minuman yang sesuai dan banyak pilihan, bilik air yang bersih dan lain-lain keperluan.

Walau bagaimanapun Golden Lounge di KLIA lebih besar berbanding dengan Golden Lounge di Pulau Pinang. Orang pula lebih ramai di KLIA berbanding dengan di Pulau Pinang.

Kita boleh mengambil minuman sejuk atau panas lalu duduk berehat di kerusi di Golden Lounge KLIA.
Kek, sandwich, tart dan dim sum disajikan di atas meja buffet dan kita boleh memilihnya mengikut kesukaan kita.
Saya memilih mee kari kerana perut saya berkeroncong
Sambil menunggu kapal terbang mendarat kita boleh duduk makan-makan, menyendiri atau pun membaca
Tempat wuduk dan bilik solat yang luas disediakan di dalam Golden Lounge KLIA
Sinki yang banyak dan bilik air yang luas disediakan

Pernahkah anda memasuki Golden Lounge dan menaiki kapal terbang Kelas Bisnes? Kongsilah pengalaman ada di sini.

Sabtu, 18 April 2015

Escape Park: Kegilaan Terbaru

Tahukah anda ada sebuah taman baru di Penang yang suka dikunjungi orang? Taman itu adalah Escape Park. Salah seorang pembaca blog ini iaitu Safwan telah berpeluang ke sana dan ingin berkongsi keseronokannya. Apa yang seronok tu? Kita ikuti pengalaman Safwan melalui tulisannya di bawah ini:


ESCAPE PARK: KEGILAAN TERBARU

Oleh: Muhamad Safwan Bin Fadzil


Terletak kira-kira 27km dari susur keluar Jambatan Pulau Pinang, Escape Park di 828 Jalan Teluk Bahang, Pulau Pinang kini menjadi tarikan terbaru pelancong. Menawarkan aktiviti-aktiviti lasak dan menggunakan fizikal sepenuhnya, Escape Park ternyata menjadi kegilaan baru kepada penggemar aktiviti lasak.

Permainan-permainan di taman ini tidak menawarkan permainan tipikal taman tema seperti “roller coaster” dan “ferris wheel” sebaliknya taman tema ini menawarkan permainan yang diinspirasikan daripada permainan tradisional seperti galah panjang, tarik upih dan konda-kondi.

Pengasasnya, Sim Choo Kheng yang dibesarkan dalam suasana kampung menyedari nilai kenangan bermain permainan tradisional bersama rakan-rakan dalam suasana aman damai kampung. Oleh itu, apabila tender terbuka diiklankan oleh kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2009 untuk membina tempat tarikan terbaru di Pulau Pinang, beliau lantas menyertai persaingan tender tersebut menerusi syarikatnya, Sim Leisure dan berjaya memenangi tender itu. 


Teruja dengan Aktiviti Lasak


Pada 23 November 2014 penulis telah berkesempatan untuk merasai sendiri pengalaman keseronokan aktiviti lasak yang disediakan taman tema ini bersama lima rakan yang lain. Saat pertama kali melihat pemandangan pintu Escape Park, hati penulis telah teruja untuk menerokanya. Hal ini kerana, dekorasi yang disajikan oleh ESCAPE sangat berunsurkan kampung dan penulis seperti berada di dalam filem “Journey To The Earth” lakonan Dwayne Johnson apabila melihat permainan-permainan dalam taman itu.


Gerbang masuk Escape Park

Penulis tiba di sana pada jam 10 pagi setelah memulakan perjalanan selama kira-kira 45 minit dari Universiti Sains Malaysia. Tiket yang dikenakan bagi setiap kategori adalah berbeza-beza. Bagi kategori dewasa, RM68.00 dikenakan dan bagi kanak-kanak pula, mereka dikenakan bayaran RM48.00.

Ia beroperasi pada setiap hari Selasa hingga Ahad bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Hari Isnin taman tema ini ditutup dan hanya akan dibuka jika ada cuti umum sahaja. Apabila berkunjung ke sini, pihak pengurusan taman menggalakkan pengunjungnya untuk memakai pakaian yang bersesuaian iaitu, berkasut sukan, berpakaian sukan dan juga bertopi bersesuaian dengan aktiviti “outdoor” di sini.

Gelang tangan yang disediakan untuk memasuki Escape Park

Satu nasihat penulis kepada pengunjung baharu ialah, makan terlebih dahulu di luar atau di rumah sebelum ke taman tema ini. Hal ini kerana makanan dan minuman mahupun botol air adalah tidak dibenarkan di bawa masuk ke dalam. Walaupun makanan dan minuman ada disediakan di dalam, namun harga yang dikenakan agak mahal bagi penulis dan sangat tidak berbaloi.

Selain itu, kemudahan lain yang disediakan kepada pengunjung ialah loker untuk menyimpan barang dan harga loker ini ialah RM10.00 bagi satu loker. Tandas, bilik mandi, bilik menukar pakaian dan juga surau turut disediakan kepada pengunjung. Namun surau yang disediakan agak kecil bagi penulis dan perlu dilakukan penambahbaikan oleh pihak taman tema ini bagi memberi lebih lagi keselesaan kepada pengunjung Muslim.

Penulis (berbaju belang hitam & putih) bersama rakan-rakan di Escape Park

Gayat dan Tinggi

    
Meniti batang kayu ke atas pokok tinggi menguji keberanian

Antara aktiviti yang disediakan di sini adalah “Monkey Business”, “Zoom Bug”, “Gecko Tower”, “Atan’s Leap”, Tubby Racer”, “Tarzan Rope” dan pelbagai lagi permainan menarik. Setiap aktiviti yang disediakan mempunyai keunikan dan memberikan pengalaman yang tersendiri kepada pengunjung. Namun bagi pengunjung yang takutkan ketinggian dan gayat, permainan di sini agak kurang sesuai kepada mereka.

Permainan "Monkey Business"
Pelbagai tahap ketinggian

‘Monkey Business’ adalah permainan pertama yang dicuba oleh penulis dan permainan ini sememangnya menjadi “signature” kepada taman tema ini. Mempunyai 3 tahap ketinggian, pengunjung boleh memilih tahap pertama yang mempunyai ketinggian 5 meter, 8 meter bagi tahap kedua dan 15 meter bagi tahap ketiga. Penulis telah mencuba pada tahap 3 dan sememangnya, aktiviti ini sangat mencabar fizikal dan minda penulis.


Penulis mencuba permainan "Monkey Business"
Eee gayatnya!!!

Pelbagai halangan terpaksa dilalui oleh penulis untuk sampai ke hujung permainan. Antaranya, penulis terpaksa berjalan di atas seutas tali sejauh 15 meter. Ketika melalui tali ini, penulis hampir tergelincir dan terjatuh. Mujurlah tali yang di ikat pada badan penulis berjaya menyelamatkan penulis dari terjatuh.

'Gecko Tower'

Permainan kedua yang telah dicuba oleh penulis ialah ‘Gecko Tower’. Dalam permainan ini, ia menguji kepantasan penulis untuk memanjat dinding berhalangan. Bentuk halangan pada dinding itu adalah seperti paip air, jaring besi dan juga kotak pendingin hawa.

‘Gecko Tower’ perlu dimainkan bersama pasangan kerana objektif permainan ini menguji skil memanjat dan kepantasan memanjat. Penulis telah mencuba permainan ini bersama rakan penulis. Masa yang dicatatkan oleh penulis ialah 19 saat untuk sampai ke puncak.  

Aktiviti Terakhir


Jika inginkan pengalaman bermain tarik upih, penulis menyarankan pengunjung untuk mencuba permainan “Tubby Racer”. Penulis sempat mencuba permainan ini bersama rakan-rakan penulis. Aktiviti ini juga memerlukan tenaga fizikal yang banyak kerana penulis terpaksa menarik pelampung untuk sampai ke puncak permulaan permainan.

Namun ketika di puncak, segala penat lelah terasa berbaloi kerana pemandangan di atas puncak sangat cantik dan menenangkan. Permulaan permainan ini, penulis perlu duduk di atas pelampung dan pelampung itu akan ditolak oleh pekerja mengelongsor turun ke bawah. Semasa mengelongsor di atas pelampung, penulis berasa sangat teruja melihat pemandangan indah alam sekeliling.

Penulis dan rakan-rakan selepas menamatkan permainan "Tubby Racer"
           
“Tubby Racer” menjadi permainan terkhir yang dicuba penulis kerana terlalu penat. Walaupun masih belum mencuba semua permainan yang disediakan, penulis terpaksa akur tubuh penulis terlalu penat untuk meneruskan aktiviti seterusnya. Namun, hati penulis berasa sangat puas dengan segala permainan yang disajikan taman tema ini.

Pekerja membantu mengikat tali keselamatan

Soal keselamatan bagi taman ini tidak harus dipersoalkan kerana semua pekerja yang mengendalikan permainan adalah terlatih dan professional selain berpengalaman. Bantuan perubatan juga turut disediakan bagi pengunjung yang tercedera ketika bermain.  

Penulis di pintu keluar Escape Park

Kesimpulannya, bagi yang dahagakan aktiviti lasak, penulis boleh katakan Escape Park merupakan salah satu taman tema yang wajib dilawati oleh mereka jika melancong ke Pulau Pinang. Permainan yang disajikan di sini ternyata berbeza daripada taman tema yang lain.