Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Selasa, 20 Jun 2017

Umrah 2017| Review Pakej Umrah TH Travel & Services


eringkali kita mendengar penipuan yang dilakukan oleh agensi pelancongan walaupun untuk mengerjakan ibadat di tanah suci. Kalau anda bimbang tentang pakej mana yang patut diambil ketika hendak mengerjakan umrah, gunalah pakej TH Travel and Services Sdn Bhd.

Kali ini saya pergi menunaikan umrah pada 15 Mei - 25 Mei 2017. Walaupun sebelum ini saya sudah 3 kali ke tanah suci, inilah pertama kali saya menggunakan perkhidmatan TH Travel dan inilah pertama kali saya pergi bersama dengan suami saya.

Nota: Sebelum ini saya ke tanah suci tanpa suami saya dengan menggunakan 3 cara yang kesemuanya berjalan baik dan lancar iaitu:
1)  Backpack (cara sendiri, tanpa khidmat mana-mana pakej), 
2)  Pakej Haji SMAS Travel Sdn Bhd; dan 
3)  Pakej Umrah Wilayah Utara Travel Sdn Bhd (kerjasama dengan Poto Travel dan Skymatt Travel).
Untuk mengikuti kembara saya itu sila baca entri-entri saya yang lalu yang saya senaraikan di bawah  ini:



Mengapa TH Travel?



Yakin dengan Perkhidmatan yang Baik




TH Travel adalah Ahli Kumpulan Syarikat-syarikat Tabung Haji yang telah diperbadankan sejak tahun 1972 dan ia menawarkan pakej-pakej umrah yang memenuhi kemampuan dan keperluan pelanggan. 

Saya menggunakan khdimat TH Travel atas cadangan suami saya. Suami saya sudah 4 kali menggunakan perkhidmatan TH Travel ke tanah suci dan yakin dengan perkhidmatan baik mereka. Pengalaman buruk suami saya menggunakan khidmat pakej sebuah agensi **** telah membuatkan dia serik dan hanya yakin pada perkhidmatan TH Travel

Oleh kerana kami memilih pakej Fairuz, sebilik dua orang, bayarannya ialah RM6,990 untuk seorang.  Untuk menempah tempat, kami bayar wang tempahan/pendahuluan sebanyak RM500 seorang dan selebihnya diberikan sebulan sebelum tarikh berangkat. 

Urusan untuk mendapatkan visa dilakukan oleh TH Travel dengan hanya menyerahkan pasport dan 2 keping gambar di kaunter TH Travel. Urusan mendapatkan suntikan dibuat sendiri oleh jemaah di klinik masing-masing.

Disebabkan saya tinggal di utara Semenanjung, pejabat urusannya di Butterworth, Pulau Pinang. Semasa saya menyerahkan pasport itu, saya terus diberikan hadiah : 2 beg bertroli, 2 beg pakaian besar, 2 beg silang, 1 telekung, 1 kain ihram serta 3 buah buku panduan mengerjakan umrah untuk saya dan 2 buku panduan untuk suami saya. Perkhidmatan di pejabat urusan ini juga amat mesra.


Kaunter TH Travel di KLIA

Tempat berkumpul sebelum berangkat ialah di kaunter TH Travel, Tingkat 5 KLIA. Di sini kami diberi pasport, boarding pass dan taklimat keberangkatan.


Hotel Selesa di  Madinah dan Mekah



Bilik berdua yang lengkap dengan kemudahan dapur di Hotel Movenpick, Madinah

Pintu 15 Masjid Nabawi ini tidak berjauhan dengan Hotel Movenpick

Bilik berdua di Hotel Ramada, Mekah

Pintu masuk Hotel Ramada yang tidak putus-putus dengan jemaah dari pelbagai negara


Hotel yang diberikan di Madinah adalah selesa iaitu di Hotel Movenpick yang letaknya sepelaung sahaja dari pagar no 15 di Masjdil Nabawi. Di Mekah pula kami diberi Hotel Ramada yang letaknya 700 meter dari Masjidil Haram.


Makanan Sedap di Madinah dan Mekah


Salad buah-buahan antara menu pilihan di dewan makan Hotel Movenpick

Buah-buahan segar yang belum dikupas sentiasa ada di ruang makan

Gulai daging yang dimakan bersama nasi di Hotel Movenpick

Kek yang cantik dan sedap sebagai pencuci mulut di Hotel Movenpick

Roti juga menjadi pilihan di Hotel Movenpick

Dewan makan yang luas di Hotel Movenpick, Madinah

Lobi Hotel Ramada, Mekah yang luas


Ruang makan di Hotel Ramada, Mekah yang selesa


Salah satu pilihan makanan di Hotel Ramada, Mekah


Dengan tukang masak dari Malaysia dan Arab kami dapat makan masakan Malaysia dan Arab yang sedap-sedap. Makanan sedap adalah perkhidmatan yang paling istimewa yang diberikan oleh perkhidmatan TH Travel.


Perkhidmatan Berpengalaman Mutawwif 


Mutawwif membimbing jemaah sepanjang umrah dan ziarah

Mutawwifah memberi taklimat sebelum membawa jemaah wanita ke Raudah

Perkhidmatan mutawwif dan mutawwifah yang bertugas memimpin jemaah ketika beribadat dan ziarah disediakan. Namun untuk jemaah wanita mutawwifah hanya disediakan untuk membawa mereka ke  Raudah sahaja.  Kedua-dua mutawwif ini adalah orang yang berasal dari Indonesia. Ustaz kunjungan dari Malaysia juga disediakan untuk memantau aktiviti ibadah dan pergerakan/perjalanan jemaah.


Ziarah Yang Bermanfaat di Madinah dan Mekah




Bukit Uhud membuktikan perjuangan mempertahankan Islam

Salah sebuah masjid yang diziarahi di Madinah

Pasar kurma di Madinah yang dipenuhi dengan pelanggan


Tempat-tempat ziarah di Madinah ialah Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Bukit Uhud dan pasar kurma.



Kaabah

Selain daripada beribadat di Masjidil Haram dan tawaf mengelilingi Kabaah, jemaah dibawa oleh TH Travel menziarahi tempat-tempat sejarah yang berkaitan dengan Nabi Muhammad s.a.w dan Nabi Adam a.s seperti Jabal Thur, Jabal Rahmah, Mina, Arafah dan perkuburan Maala.



Perkhidmatan ke Miqat-miqat untuk Niat Ihram Disediakan



Niat umrah dan ihram di Bir Ali


Miqat-miqat yang dibawa untuk berniat umrah dan ihram ialah di Bir Ali (Zulhulaifah), Jaaranah dan Hudaibiyah yang mana miqat-miqat ini juga mempunyai sejarah yang berkaitan dengan Rasulullah s.a.w.



Perjalanan Menaiki Bas yang Selesa 



Bas yang luas dan selesa yang disediakan sepanjang perjalanan di Madinah dan Mekah

Gunung batu banyak dilihat sepanjang jalan dari Madinah ke Mekah

Bandar dan bangunan dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah

Kedai-kedai yang terdapat di tempah persinggahan

Jemaah berhenti minum dan makan dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah


Walaupun jemaah kami hanya 16 orang sahaja, kami diberikan bas dengan muatan 40 orang penumpang yang selesa dan berhawa dingin. Minuman dan makanan ringan iaitu roti diberikan kepada setiap jemaah di atas bas. Mutawwif juga sentiasa berada bersama kami sepanjang perjalanan di tanah suci.

Dalam perjalanan, bas berhenti beberapa kali untuk jemaah turun minum-minum, makan-makan, solat,  membuang air dan membeli-belah.

Ketika pulang kami ditemani dengan dua orang ustaz sehinggalah ke KLIA dan setiap 16 orang jemaah itu diberikan sebotol air zam-zam - 5 liter

Setelah saya menggunakan perkhidmatan TH Travel, ternyata perkhidmatannya tidak perlu diragukan.

 

...bersambung

Selasa, 6 Jun 2017

Umrah 2017| Pengalaman Naik Saudi Airlines


A  nda sudah pernah naik Saudi Airlines? Kalau belum pernah, saya ingin kongsi pengalaman saya menaiki Saudi Airlines (Saudia). 

Inilah pertama kali saya menaiki penerbangan Saudi Air (Saudia) dan pertama kali jugalah saya turun di lapangan terbang Madinah ketika ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah/haji. Sebelum ini saya turun di Jeddah setiap kali ke Arab Saudi.

Saudi Arabian Airlines di KLIA

Penerbangan berlepas dari KLIA pada 15 Mei 2017,  jam 3.00 petang. Kebanyakan penumpang adalah jemaah umrah dari Malaysia dan Indonesia.

Di dalam kapal terbang, penumpang diberi menonton rancangan-rancangan TV menarik dari Arab Saudi dan Amerika sehinggalah filem-filem popular Barat seperti Harry Potter. Semua ini dapat ditonton melalui skrin sesentuh yang disediakan di hadapan penonton yang diletakkan pada belakang kepala kerusi. Antara yang boleh ditonton ialah bacaan Al-Quran, ceramah agama, rancangan pengembaraan, dokumentari National Geographic, drama, komedi, lanskap taman, berita dan muzik.

Untuk menyemak waktu dan peta perjalanan juga boleh dilihat melalui skrin itu. Pengumumannya dalam tiga bahasa: Arab, Melayu dan Inggeris.

Susunan kerusinya 3 sebaris dengan ruang melunjur yang luas. Seperti biasa keperluan asas untuk pendaratan kecemasan disediakan. Selain itu majalah, katalog, beg muntah, bantal, selimut, tisu basah dan headphone disediakan. Tetapi semasa perjalanan pulang ke Malaysia satu pek yang berisi penutup mata, stokin, berus gigi dan ubat gigi disediakan.

Yang menariknya, sebelum penerbangan berlepas, juruterbang memberi salam dan membaca doa perjalanan. Doa perjalanan dalam bahasa Arab itu dipaparkan juga pada skrin di hadapan penonton bagi mereka yang tidak menghafalnya.

Perlepasan dan pendaratan dilakukan dengan baik tanpa membuatkan telinga kita berdengung. Ini saya puji! Syabas Mr Pilot! Cuaca juga amat baik sepanjang perjalanan.

Pramugari Saudia sedang melayani penumpang dengan memberi minum

Pramugarinya dari pelbagai bangsa: Arab, Filipina dan China. Semuanyanya berpakaian sopan dengan memakai tudung biru berkupiah namun fesyennya membuatkan rambut masih kelihatan sedikit. Ada pramugarinya yang peramah dan ada juga yang tidak. Saya berpendapat, mereka perlu belajar berbahasa dan bersopan-santun dengan penumpang terutama pada golongan tua kerana mereka hanya menggunakan perkataan 'you' sahaja tanpa panggilan 'Sir/Madam'. Saya ternampak salah seorang pramugari memarahi seorang pakcik yang bangun ketika pendaratan, siap dengan menjegilkan mata dan menunding jari telunjuk kepada pakcik itu. 

Saya dapat pramugari Arab yang kurang peramah, sedikit kasar dan susah untuk senyum.  Dia marahkan saya ketika saya mengambil gambar di dalam kapal terbang.

Hidangan makanan barat yang enak pilihan saya dalam penerbangan ke Madinah

Hidangan makan malam berupa nasi, ayam, sayur, salad, roti dan kek ini pilihan saya dalam penerbangan pulang ke tanah air

Makanan disajikan dua kali seperti pasta, nasi, ikan salmon, ayam, roti, buah-buahan, salad, kek dan minuman. Nasi dengan ikan salmon serta pastanya sedap. Namun ketika perjalanan pulang ke Malaysia, makanannya tidak sesedap semasa pergi. Keknya pula terlalu manis dan boleh membuatkan paras gula dalam badan meningkat! Yang bagusnya, tiada minuman akohol disajikan di dalam kapal terbang ini.

Bilik solat dalam Saudia dengan arah kiblat pada skrin sesentuh

Yang menariknya, Saudia menyediakan bilik solat di kabin. Namun yang saya kesali di tandasnya tidak ada kemudahan beristinjak.

Iklan perkhidmatan telefon dalam bahasa Melayu di lapangan terbang Madinah

Penerbangan dari KLIA ke Madinah ini memakan masa lebih 8 jam.  Pelepasan pada pukul 3 petang itu mengalami kelewatan ketika singgah di Riyadh selama 2 jam dan kami sampai di Madinah pada pukul 9 malam waktu Madinah. 

Suasana di lapangan terbang Madinah tenang dan tidak sibuk. Kami disambut dengan ucapan "Assalamualaikum" yang begitu ceria dan mesra oleh pekerja Arab di situ. Beratur di kaunter imigresen untuk pemeriksaan pasport dan visa juga tidaklah lama. Lebih kurang 15 minit urusan kami pun sudah selesai di imigresen lalu turun ke tingkat bawahnya untuk menuntut bagasi. 

Tempat mengambil bagasi di lapangan terbang Madinah ini kelihatan dekat dan jelas dari kaunter imigresen

Begitulah pengalaman saya menaiki Saudi Airlines yang secara keseluruhannya memberi perkhidmatan yang baik, cuma pramugarinya perlu menambahbaik tingkahlaku dan bahasa mereka.

Untuk membaca kisah Umrah dan Haji saya yang lalu sila baca pautan ini:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...