Di sini saya ingin kongsikan ujian-ujian yang sering kita tempuhi semasa musim haji dan panduan dalam menanganinya.
1. Menunggu dan Beratur Panjang
Menunggu dan beratur panjang sering dialami di tempat-tempat tumpuan ramai: lapangan terbang, kaunter imigresen, bilik air/tandas, hotel dan dewan makan hotel. Jadi ada yang rasa penat, bosan dan lelah. Janganlah kita marah-marah dan merungut. Kemarahan kita boleh membakar hati manusia lain dan ia boleh berakhir dengan kekeruhan.
Sekiranya kita mendapati ada orang yang lebih terdesak dan lebih memerlukan daripada kita, hendaklah kita mendahulukannya. Ambillah sikap mengalah dan tunjukkan peribadi mulia dengan bertolak ansur. Lakukan aktiviti yang tidak membosankan ketika menunggu seperti berzikir, berkenalan dan membaca.
Bersabar adalah cara yang paling baik. Bagaimanakah caranya untuk bersabar dalam keadaan beratur panjang ini? Bayangkan kita beratur panjang di Padang Mahsyar nanti. Seluruh umat dari zaman Nabi Adam hinggalah kiamat menanti giliran untuk dihisab. Keadaan susah beratur menanti giliran itu lebih dasyat dan lebih sukar kerana matahari berada sejengkal dari kepala kita. Azabnya lebih menyiksakan.
Jadi bersabarlah. Firman Allah:
"Jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, mereka dapat mengalahkan dua ratus orang kafir, dan jika ada di antara kamu seribu orang, dapat mengalahkan dua ribu orang dengan izin Allah. Allah beserta orang yang sabar." (Al-Anfaal: 66)
Beratur untuk pemeriksaan pasport di Imigresen Lapangan Terbang Jeddah |
Menunggu untuk bergerak ke Mekah setelah melepasi kaunter pemeriksaan di Imigresen Jeddah |
2. Menginap dan Berkongsi Ruang di Hotel
Setiap pakej haji berbeza dari segi harga, perkhidmatannya dan jarak hotel dari Masjdil Haram. Jarak yang lebih dekat memudahkan jemaah berulang-alik untuk makan, berehat atau menggunakan bilik air. Namun harganya lebih mahal berbanding hotel yang jaraknya lebih jauh dari Masjidil Haram. Sekiranya jarak hotel kita jauh dengan Masjidil Haram, kita bolehlah beriktikaf di masjid dan kurangkan aktiviti ulang-alik. Bawalah bekalan makanan ke masjid seperti buah kurma. Minumlah air zam-zam yang banyak terdapat di Masjidil Haram. Bawalah botol kecil atau botol spray untuk mengambil wudhu sekiranya wudhu terbatal.
Sekiranya berkongsi bilik dengan ramai orang maka harga pakejnya lebih murah berbanding dengan berkongsi dengan sedikit orang. Kebiasaannya, pasangan suami isteri tinggal di bilik berasingan. Lelaki menginap bersama dengan lelaki. Perempuan dengan perempuan. Apabila berkongsi bilik hotel ini, kita perlu menyesuaikan diri dengan rakan sebilik yang baru dikenali. Ada yang sesuai dan ada yang tidak. Sifat toleransi sesama rakan sebilik patutlah dipelihara. Buanglah sikap mementingkan diri sendiri. Tanamkan rasa kasih dan mesra sesama rakan sebilik. Selain menjaga hubungan kita sesama manusia, kita juga menjaga hubungan kita dengan Allah.
Oleh kerana ruangan hotel sentiasa penuh, maka dewan makan dikongsi bersama dengan penginap/jemaah yang datang dari rombongan lain atau negara lain. Jadi di sini kita mestilah berhati-hati supaya tidak mengambil makanan orang lain atau menggunakan tempat makan mereka melainkan diizinkan oleh mereka. Ingatlah, mengambil hak orang lain tanpa izin adalah haram.
Lif hotel selalu penuh kerana ramai yang menggunakannya terutamanya ketika waktu makan dan apabila hampir masuk waktu solat. Jadi tidak usahlah berebut-rebut menggunakannya. Sabarlah menunggu. Berilah keutamaan kepada mereka yang lebih memerlukan seperti warga emas dan orang kurang upaya. Kita juga boleh menggunakan tangga untuk turun-naik bilik. Jadi sikap bersabar, bertolak ansur dan redha adalah sifat yang harus ditanam dalam diri kita.
Dewan makan hotel di Mekah. (Gambar ihsan Anwar Fadzil) |
3. Melihat Macam-macam Ragam Jemaah di dalam Masjidil Haram
1001 macam manusia, 1001 macam ragam. Pemakaian, penampilan, saiz, warna kulit, bahasa dan mazhab adalah berbeza-beza.
Tidak semua jemaah yang datang itu mendalami ilmu untuk mengerjakan haji. Ada yang tidak mengikut peraturan yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW. Meluruskan dan merapatkan saf ketika solat adalah masalah. Ada jemaah memutuskan saf dan enggan membetulkannya walaupun disuruh. Ada wanita yang mendedahkan aurat ketika tawaf dan solat. Ada juga yang menyimpan kuku panjang.
Jadi yang penting kita mestilah mendalami ilmu untuk mengerjakan haji dan umrah sebelum menunaikannya. Ikutlah peraturan yang telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Janganlah terikut-ikut melakukan bidaah dan kurafat yang dilakukan oleh orang lain.
Keadaan penuh sesak di sekeliling Kaabah |
Masjidil Haram sentiasa dibersihkan dan dicuci |
Tidur di perkarangan Masjidil Haram |
Keletihan di dalam Masjidil Haram |
Air zam-zam sentiasa diambil dan diminum oleh jemaah. Ia tidak kering-kering. |
Papantanda untuk membezakan tempat wanita dan lelaki tidak difahami oleh kebanyakan jemaah. Tempat lelaki digunakan oleh wanita, tempat wanita digunakan oleh lelaki. |
4. Menjaga Barang Keperluan Peribadi
Barang peribadi seperti duit, dokumen peribadi/pengenalan diri, kasut dan telefon bimbit sentiasa perlu dijaga supaya ia tidak hilang. Bukan semua orang ke sini dengan niat untuk mengerjakan ibadah. Ada juga yang mengambil kesempatan.
Jadi kita mestilah menjaga barang keperluan peribadi kita supaya tidak hilang dan menyusahkan kita kelak. Untuk memastikan ia selamat bawalah barang-barang peribadi ke mana-mana dengan memasukkan ke dalam beg sandang, di pinggang atau poket rahsia yang disembunyikan di bahagian dalam pakaian.
Untuk mengelakkan kasut yang kita tinggal di luar masjid hilang, hendaklah menyimpannya di locker yang disediakan. Kita boleh juga membungkus kasut di dalam plastik dan menyorokkannya di belakang rak buku di dalam masjid. Tetapi sekiranya ia hilang juga, maka hendaklah kita redha dengan kehilangan itu dan niatkan ia sebagai sedekah.
Jemaah mencari kasut/selipar masing-masing di Masjidil Haram. Ada yang menjumpainya. Ada yang tidak. |
5. Melangkah Perlahan-lahan dalam Lautan Manusia Semasa Pulang ke Hotel
Setiap malam selepas solat isyak, ramai jemaah berbondong-bondong keluar dari Masjidil Haram menuju ke hotel masing-masing dengan berjalan kaki. Oleh sebab jutaan manusia berjalan kaki dan menggunakan jalan yang sama maka kesesakan jalan berlaku. Untuk menuju ke hotel yang berdekatanpun memakan masa sehingga 30-60 minit untuk sampai. Ini disebabkan kita terpaksa berjalan dengan langkah yang kecil dan perlahan di atas jalan yang sendat dengan manusia.
Ketika ini juga kita perlulah berhati-hati dengan menjaga barang keperluan peribadi kita supaya tiada yang mengambil kesempatan mencurinya. Jika tidak suka dengan kesesakan begini, kita boleh pulang lewat sehinggalah kesesakan ini reda.
Kita juga perlu mengecam tempat penginapan kita supaya tidak sesat. Mintalah kad alamat hotel yang boleh didapati di kaunter pendaftaran hotel. Bawalah ke mana-mana kita pergi dan sekiranya sesat tunjukkan kepada orang kad itu supaya mereka mengetahui alamat hotel kita. Boleh juga menyewa kerusi roda dan mintalah mereka menghantar kita ke hotel dengan kerusi roda itu.
Ketika jemaah keluar dengan ramai ini ramailah peniaga tidak sah (mungkin tanpa lesen atau kebenaran berniaga) yang mengambil kesempatan berniaga di tepi-tepi jalan di hadapan masjid. Mereka menawarkan harga yang amat murah. Namun begitu perlulah berhati-hati kerana ada barangan yang dijual sudah digunakan/dipakai, mempunyai kecacatan dan kurang bermutu. Apabila kita memilih barangan dan memegangnya kita juga perlu menanggung risiko kerana peniaga tidak sah ini akan melarikan diri dengan tiba-tiba sekirannya pihak penguasa berada di kawasan itu. Kita terpaksa menanggung hutang kerana kita belum sempat membayar harga barangan yang ingin kita beli itu. Kita juga mungkin turut sama berlari untuk mendapatkan peniaganya hanya semata-mata untuk membayar barang yang kita beli.
Jadi adalah lebih baik membeli di kedai-kedai atau pada peniaga yang sah. Dengan cara ini kita boleh membeli dan membayarnya dengan cara yang tidak tergesa-gesa. Kita juga boleh memulangkan semula atau menukarkan kepada barangan yang lain sekiranya kita tidak berpuas hati dengan barangan tersebut.
Jutaan jemaah berjalan dari Masjidil Haram setelah solat isyak menuju ke hotel masing-masing. |
6. Kesukaran Mendapat Tempat di Masjidil Haram Ketika Solat Jumaat
Disebabkan terlalu ramai jemaah haji, tempat untuk kita solat/beribadat di Masjidil Haram selalunya penuh terutamanya yang hampir dengan Kaabah. Kaum wanita menghadapi cabaran yang lebih hebat. Bahagian berdekatan dengan Kaabah, biasanya disediakan untuk lelaki. Apabila kita (kaum wanita) sudah mendapati tempat berdekatan dengan Kaabah itu, kita diusir oleh pengawal di situ. Akhirnya kita terpaksa solat di tempat yang lebih jauh dari Kaabah, misalnya di tangga masjid, di bumbung, di bawah tanah, malahan kadang-kadang di luar. Jadi solatlah di kawasan yang telah di tempatkan untuk wanita dan datanglah lebih awal.
Kesesakan meningkat pada hari Jumaat sebelum solat Jumaat. Masjidil Haram amat sesak sehingga jemaah melimpah keluar Masjid. Untuk mendapat tempat solat Jumaat di dalam Masjidil Haram ketika ini amatlah susah. Sekiranya kita ingin solat Jumaat di dalam Masjdil Haram, kita perlu berada di situ lebih awal iaitu 3-4 jam sebelum masuk waktu solat Jumaat. Jika tidak, kita terpaksa solat di lobi hotel, tepi jalan, belakang kedai, lorong-lorong atau tepi longkang.
Jemaah membuat saf di atas jalan di lorong kedai untuk solat Jumaat |
Jemaah bersedia menunggu solat Jumaat di celah-celah, lorong belakang kedai dan di tepi-tepi longkang |
7. Menyesuaikan Diri Dengan Cuaca Panas dan Berdebu
Sekiranya musim haji jatuhnya pada musim panas, maka cuacanya panas, kering serta berdebu. Keadaan ini membuatkan ramai jemaah kita terpaksa menyesuaikan diri dengan cuaca begini. Jangkitan selsema, batuk dan demam mudah didapati. Ketika inilah klinik dan farmasi sentiasa dikunjungi ramai.
Memakai topeng atau penutup hidung eloklah dilakukan untuk mengelak daripada menyedut habuk, debu dan jangkitan wabak. Memakan buah-buahan, sayur-sayuran, susu dan dadih amat sesuai dalam cuaca begini. Lemon yang mudah didapati di sana adalah penawar yang berkesan untuk menghilangkan batuk. Minumlah air yang terbaik di dunia iaitu air zam-zam sepuas-puasnya.
Losyen tanpa wangi-wangian juga kerap digunakan untuk mengelakkan kekeringan kulit sambil menjaga pantang larang ihram. Bagi kulit mereka yang sensitif dengan sabun, janganlah mandi menggunakan sabun kerana ia boleh merosakkan kulit.
Perkhemahan di Mina. (Gambar ihsan Anwar Fadzil) |
8. Berpindah-randah Menggunakan Bas Rombongan
Berpindah-randah dengan menaiki bas secara rombongan sering dilakukan semasa di tanah suci. Ia dilakukan dari Jeddah ke Mekah, dari Mekah ke Arafah, dari Arafah ke Muzdalifah, dari Muzdalifah ke Mina, dari Mina ke Mekah, dari Mekah ke Madinah dan dari Madinah ke Jeddah. Keadaan pergerakan jemaah ini amat memenatkan.
Rehat yang cukup dan penjagaan kesihatan adalah penting supaya kita tidak mudah lelah dalam perjalanan. Sesuaikan ibadat mengikut keupayaan diri masing-masing supaya ibadat rukun dan wajib tidak terjejas.
Bas membawa jemaah dan beg mereka ke Madinah |
Beg-beg ini bersedia untuk dimasukkan ke dalam bas. |
Jemaah haji dari Malaysia di tempatkan di asrama di Jeddah sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Mereka menunggu beg untuk ditimbang masuk ke dalam pesawat. |
9. Bermalam di dalam Khemah di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Bermalam di dalam khemah di Arafah, Muzdalifah dan Mina benar-benar menguji para jemaah. Selain daripada keadaan dalam khemah yang serba ringkas, jemaah perlu beratur panjang ketika hendak menggunakan bilik air. Menyediakan pakaian yang cukup dan bantal adalah digalakkan ketika berada di sana. Beraturlah ketika hendak menggunakan bilik air dan pilihlah waktu selepas tengah malam sekiranya tidak mahu menunggu lama.
Jemaah juga mesti menyesuaikan selera mereka dengan makanan yang dimasak di sana. Bawalah bekalan makanan sendiri dan makanlah untuk mengelakkan perut kekosongan sekiranya makanan lambat diberikan. Serunding boleh ditambah ke dalam makanan untuk mendapatkan selera makan.
Janganlah merungut sekiranya terdapat kekurangan perkhidmatan dan kemudahan di khemah-khemah itu. Sebaliknya buatlah aduan penambahbaikan dengan mengisi borang soal selidik yang diedarkan kepada jemaah.
Kesabaran, toleransi dan penjagaan kesihatan adalah penting ketika berada di perkhemahan ini.
Perkhemahan di Arafah |
10. Banyak Berjalan Kaki
Semasa mengerjakan ibadat haji, jemaah perlu banyak berjalan kaki. Ini dilakukan ketika berulang-alik dari hotel ke Masjidil Haram, bertawaf, bersaie dan melontar di Jamrah. Ini tentulah memenatkan. Untuk menghadapi ujian ini, kita perlulah sering melakukan senaman jalan kaki dan menaiki bukit sekurang-kurangnya enam bulan sebelum berangkat mengerjakan haji dan umrah. Lakukan latihan ini sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, selama sekurang-kurangnya 30 minit. Dengan latihan ini membuatkan urat kita tidak tegang, tidak sakit dan badan kita bertenaga.
Saie |
Jemaah berdoa selepas melontar (Gambar ihsan Anwar Fadzil) |
Pendek kata, ini ialah ujian ibadah yang paling sukar kerana ia memerlukan kekuatan tenaga, mental, rohani dan ilmu. Kesemua ini melatih kita bersabar, menguji keimanan dan mengenali diri sendiri.
Firman Allah:
“Dan jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya yang demikian itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk, yaitu orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Rabbnya, dan mereka akan kembali padaNya.” (Al-Baqarah: 45)
...bersambung
Alhamdulilah prof..banyak tips untuk di kongsi bersama jemaah yang bakal menjadi tetamu Allah..sesungguhnya...datangilah rumah Allah dengan rasa rendah diri...insyaallah Allah amat dekat..Suka lah nak share satu lagi tips Prof..elok jugak bagi wanita memakai pads bersama beg plastik..kerana mudah untuk mensucikn diri pabila keadaan tak di duga berlaku..esp bila menanti giliran ke bilik air..boleh lah kita bagi laluan utk jemaah yang terpaksa!! hee..hee
BalasPadamBetul tu Nekcik, kita perlu rasa rendah diri mendatangi rumah Allah. Allah amat dekat sekiranya kita dekat denganNya. Sekiranya kita datang kepadaNya dengan berjalan Dia datang kepada kita dengan berlari.
PadamYa, tips yang berguna untuk kaum wanita, Nekcik. Memang pad perlu sentiasa dibawa ke mana-mana. Membawa plastik ke dalam bilik air itu bagus kerana pad yang sudah digunakan boleh dibuang ke dalamnya dan bukanlah di buang ke dalam lubang tandas atau merata-rata.
Alhamdulillah..banyak tips yang bermanfaat untuk panduan bersama.
BalasPadamTandas di Mina & Arafah...kita perlu kerja 3 dalam 1..mandi+gosok gigi+buang xxx..serentak.!!! baru jimat masa.
Solat jumaat...9 pagi dah check-in...jika tidak..di celah bangunanlah jawabnya.
Semua jemaah mengakui sepanjang di sana memang memenatkan...tetapi SERONOK & NAK KE SANA LAGI.
Wasallam.
Nasa Saba,
PadamDi Mina & Arafah = 3 dalam 1, buat serentak he he he...idea yang baik, tetapi ada masalah semasa menyalin pakaian, ini juga memakan masa dan buat orang marah.
Boleh juga menggunakan bilik air lelaki kerana bilik air lelaki selalu kekosongan, tidak menghadapi masalah macam bilik air wanita.
Betul tu Nasa, kena pergi ke Masjidil Haram seawal 9 pagi untuk dapat solat Jumaat di dalamnya.
Inilah tempat yang paling seronok dan ingin selalu dikunjungi. :)
Sangat mengujakan terutama gambar yg last sekali....priceless...wordless...Ma Sya Allah...Tabarakallah...
BalasPadamHaji Mohamad Afifuddin,
PadamGambar Tuan Haji ada tak di sini? Terima kasih kepada Hj Anuar Fadzil diatas sumbangan gambar terakhir sekali tu.