Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Sabtu, 23 November 2013

Georgetown Dalam Fotoku

Entri kali ini agak istimewa kerana ia ditulis oleh penulis undangan iaitu Hazirien. Hazirien telah menulis tentang Georgetown yang diterokainya baru-baru ini. Beginilah kisah Hazirien:
______________

Georgetown Dalam Fotoku

- oleh Hazirien -

 
A ku bersama kawanku Zana, Biela dan Syida bercadang untuk melawat Georgetown untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh pensyarah kami. Sudah hampir sebulan setengah kami bergelar mahasiswa di sebuah universiti tempatan. 

Sebagai pelajar Komunikasi major Kewartawanan, kami diwajibkan untuk mengambil subjek Kewartawanan Foto untuk menimba pengalaman sebagai wartawan. Aku dan rakanku perlu mengambil gambar dari segi penataan cahaya untuk tugasan yang baru diberikan. Bagi mendapatkan gambar yang menarik, kami bercadang untuk menerokai Georgetown yang kaya dengan sejarah dan budaya terutamanya kaum Cina.

"Macam mana nak ke Georgetown ni? Jalan pun tak tahu," soal aku. 

Pada permulaannya kami mempunyai masalah dari segi kenderaan. Biela dan Syida merupakan anak jati Terengganu, manakala aku pula berasal dari Perak. Kami bertiga hanya mengharapkan Zana yang agak mahir dengan jalan di Pulau Pinang. Akhirnya Zana memberi cadangan untuk menggunakan perkhidmatan kereta sewa pelajar. Dengan perbelanjaan sebanyak RM15 seorang kami mempunyai kenderaan untuk ke sana. 

Keesokan harinya tepat jam 7.30 pagi kami bertolak dari Desasiswa Indah Kembara, asrama kami. Lebih kurang 30 minit kamipun sampai ke Georgetown. Pertama kali menjejakkan kaki ke Georgetown merupakan pengalaman yang mengujakan. Georgetown, adalah sebuah bandar yang masih mengekalkan sisi tradisionalnya pada abad ke-21 yang serba moden ini. 

Perkara pertama yang kami cari ialah kedai yang menawarkan perkhidmatan menyewa basikal. Mungkin disebabkan hari masih awal, agak sukar kami mencari tempat yang menyediakan basikal sewa.

"Adoi, mana kedai basikal ni...takkanlah satu pun tak buka?" keluhku.

Lebih kurang beberapa minit kami mundar-mandir akhirnya jumpa juga dengan kedai basikal sewa yang bernama Lee KS berhampiran dengan Jalan Chulia. Harga yang ditawarkan oleh Pak Cik Lee ialah RM10 selama enam jam. Peta juga disediakan bagi memudahkan perjalanan kami.

Selesai berurusniaga kami mula mengayuh. Sejujurnya walaupun peta telah disediakan kami masih menghadapi kesukaran untuk mencari setiap lokasi yang ada di dalam peta tersebut. Pada permulaannya kami hanya mengikut gerak hati untuk bergerak ke sesuatu kawasan.

 

Lama kelamaan kami mula faham dengan lorong-lorong di sini dan makin pandai membaca peta. Kebanyakan lorong di Georgetown mempunyai mural dan ukiran besi yang melambangkan setiap jalan. 

Syida yang tertarik dengan mural di Lebuh Armenian berkata, "Hazirien, tolong ambil gambar aku dengan mural ni."

Gambar yang ditangkap menggunakan Canon 40D.


Mural pada dinding sebuah bangunan di Jalan Chulia itu adalah lukisan dua orang budak - yang lelaki melontar bola ke dalam jaring, yang perempuan melompat ke udara untuk menghalang bola itu dari masuk ke dalam jaring. Manakala jaring dan bola adalah alat yang sebenar.

Setiap lorong mempunyai mural yang berbeza. Di Jalan Armenian, terdapat dua orang budak yang menaiki basikal. Mural tersebut adalah gambar seorang budak perempuan yang kelihatan sedikit besar seakan-akan mengayuh basikal, manakala budak lelaki yang lebih kecil membonceng di belakang.  Basikal yang dinaiki kedua-dua budak tersebut adalah basikal sebenar.


Selain itu, besi diukir menjadi karikatur terdapat di dinding lorong. Padanya terdapat penerangan yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Ia adalah salah satu tanda bahawa Georgetown telah diperakui sebagai bandar yang bersejarah oleh UNESCO (UN Educational, Scientific and Cultural Organization) atau dalam bahasa Melayu ialah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan. 

Setiap ukiran yang wujud di setiap lorong memberi sedikit informasi mengenai lorong tersebut. Misalnya, di Jalan Ah Quee terdapat seorang lelaki Cina yang berpakaian seperti orang berada, memakai topi serta mempunyai rantai di lehernya. Dia bersalaman dengan seorang Inggeris yang memakai kot bangsawan. Daripada tulisannya, nama jalan ini diambil dari nama seorang pelombong bijih timah berjaya, Chung Keng Kwee yang telah memberi dana membangunkan jalan tersebut.


Georgetown juga kaya dengan kuil-kuil Cina yang telah dibina oleh komuniti Cina sendiri. Yang kami temui ialah Kuil Tua Pek Kong yang terletak di Jalan King. Tokong penganut Toaisme ini  dibina oleh penduduk Cina tempatan pada abad ke-18. Ia berwarna merah dan mempunyai hiasan naga di atas atapnya. Aku tidak melepaskan peluang untuk menangkap gambar tokong ini sebagai salah satu gambar tugasan.


Kami juga berpeluang untuk merasai pengalaman berada di India dengan melalui "Little India" di sepanjang Jalan Chulia. "Little India" adalah tempat orang India berniaga barangan seperti sari, alat-alat sembahyang dan barang kemas.  Pendek kata, segala barangan kaum India boleh diperolehi di sini.

Keadaan agak sibuk kerana orang ramai ke situ untuk membeli-belah menyambut Deepavali.  Aku dan rakan-rakan terpaksa memperlahankan kayuhan.

Destinasi terakhir kami di Georgetown ialah Padang Kota. Ia berdekatan dengan laut. Kami singgah di medan selera dan makan nasi ayam. Mungkin disebabkan terlalu lapar, kami menghabiskan nasi ayam itu dalam masa yang singkat.



Tepat jam 12 tengahari kami berkayuh semula ke tempat basikal yang kami sewa.

Aku dan kawanku berjaya menangkap gambar yang menarik. Bandar Georgetown memberikan lebih makna kepada gambar yang telah kami ambil. Tetapi terasa sayang pula kerana kami tidak sempat untuk meneroka sepenuhnya kota Georgetown. Namun begitu, aku berpuas hati dengan hasil gambar yang telah ditangkap. Moga-moga aku mempunyai peluang lagi untuk menerokai bahagian lain di Georgetown yang penuh sejarah dan budaya ini.


4 ulasan:

  1. Menarik sungguh georgetown ni. Boleh la rujuk entry ni nanti kalau sampai ke sana.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang menarik. Bangunannya lama, cantik dan banyak street art di sini. Untuk yang minat fotografi macam Rain, pasti suka.

      Padam
  2. Bestnya sight-seeing naik basikal

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang best naik basikal di Georgetown sebab banyak lorong-lorong dan bangunan lama. Sambil mencari dan sight-seeing dapatlah merehatkan minda, menimba ilmu dan menyihatkan badan. Sewa basikalnya pun murah.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.