Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Rabu, 30 Disember 2015

Menginap dan Sarapan di Quality Hotel Kuala Lumpur

Apa khabar pembaca semua? Pada hujung-hujung tahun ini nak bercuti ke mana? Ke bandar? Kalau ke bandaraya seperti Kuala Lumpur untuk membeli-belah atau jalan-jalan tentu seronok, kan? Tetapi di manakah anda menginap? Rumah saudara-mara atau di hotel sahaja? 

Kalau anda ingin menginap di hotel, saya cadangkan sebuah hotel yang letaknya betul-betul di pusat bandar raya. Iaitu Quality Hotel. Saya telah menginap di sini beberapa kali kerana bertugas (out station) di Kuala Lumpur.


Lokasi Quality Hotel

Quality Hotel dari luar pada waktu malam

Bagi saya Quality Hotel amat selesa kerana letaknya di Jalan Raja Laut iaitu di pusat bandar raya Kuala Lumpur. Jadi mudah sahaja hendak ke mana-mana. Kenderaan awam juga mudah didapati. Bagi mereka yang kaki shopping, pusat membeli-belah yang terdekat ialah SOGO :)

Quality Hotel berdekatan dengan Sogo dan Bangunan Mara

Setelah berjalan-jalan di bandar raya Kuala Lumpur, kita pasti kepenatan dan ingin berehat di dalam bilik yang selesa.


Bilik Quality Hotel


Bilik hotel ini menggunakan sistem kad kunci elektronik. Apabila kita masuk ke dalam biliknya kita akan kagum dengan keluasannya iaitu lebih kurang 38 meter persegi. Biliknya berhawa dingin yang boleh dikawal suhunya. Bilik tidak merokok dan  perkhidmatan WIFI juga disediakan.

Dua buah katil bersaiz Queen dan skrin LCD dengan rangkaian ASTRO ini amat berbaloi untuk diinapi oleh sekeluarga

Bilik mandi peribadi - bathtub dan pancuran air hujan, pengering rambut, sabun, syampoo, berus gigi, ubat gigi, kertas tandas, tisu dan tuala disediakan
Sterika, papan sterika, peti keselamatan, selipar dan pajama juga siap disediakan
Peti sejuk mini, cerek elektrik, cawan, air mineral, Nescafe, teh dan Milo juga disediakan


Sarapan Percuma di Quality Hotel


Buffet untuk sarapan

Kita diberi sarapan percuma di hotel ini. Sarapan disediakan dengan cara buffet dengan pelbagai pilihan menu Barat dan tempatan. 

Menu masakan Barat yang lazim ialah roti, bijirin, susu, buah-buahan kering, pastri, kek dan macam-macam lagi boleh dipilih mengikut kegemaran. 

Untuk makanan tempatan pula kita disajikan dengan nasi lemak, roti canai, nasi dagang, mee goreng, kuih-muih dan pelbagai lagi.

Nasi lemak
Nasi dagang

Ubi kayu rebus 
Mee goreng
Dim Sum
Keledek rebus 
Sira buah-buahan
Suasana sarapan pagi di Coffee House, Quality Hotel Kuala Lumpur

Penginapan dan sarapan di Quality Hotel ini berharga RM325 semalam. Walau bagaimanapun, saya tidak membayarnya kerana penginapan saya di sini ditaja oleh sebuah agensi kerana melakukan kerja-kerja penting negara.

Khamis, 22 Oktober 2015

Malaysia Airlines: Apa Ada Di Golden Lounge dan Business Class?

Baru-baru ini saya bertugas di luar kota iaitu di Kuala Lumpur. Saya menaiki kapal terbang MAS dari Pulau Pinang. Oleh kerana tugas saya ini penting kepada negara, saya diberi keistimewaan. Segala-galanya ditaja oleh pihak agensi yang mengelola tugas saya itu.

Di lapangan terbang Pulau Pinang, saya diberi tempat menunggu yang amat selesa iaitu di Golden Lounge. Keistimewaan ini jarang saya dapati. Golden Lounge ini boleh dimasuki hanya apabila kita memiliki tiket kelas Bisnes atau kelas Pertama.

Sekiranya kita menaiki kelas Ekonomi, kita hanya boleh dapat memasuki Golden Lounge ini jika kita memiliki kad keahlian Enrich dengan pengumpulan mata ganjaran yang telah ditetapkan.



Golden Lounge Penang International Airport


Apakah yang ada di Golden Lounge itu? Mari ikut saya meneliti gambar-gambar di bawah ini.

Golden Lounge di Penang International Airport memiliki tempat duduk yang selesa. Kita boleh memilih untuk duduk di kerusi tinggi dengan meja tinggi yang melekat di dinding. Atau duduk di kerusi sederhana tinggi dengan meja makan. Atau duduk di kerusi rendah dengan meja kopi. 
Makanan boleh dipilih di atas meja buffet. Pelayan sentiasa ada di sini untuk membantu

Burrito disajikan kepada penumpang di Golden Lounge Penang
Terdapat Green Vegetable Noodle (bihun sup) disediakan di meja buffet
Roti, donut dan muffin juga disediakan untuk mengisi perut yang kosong
Buah-buahan sebagai pencuci mulut beralaskan daun pisang juga disajikan 
Saya memilih untuk memakan buah-buahan dan duduk di kerusi tinggi dengan meja tinggi yang melekat di dinding sambil membaca majalah. Sambil membaca saya boleh mengecas bateri telefon saya dengan menggunakan soket yang disediakan.

Tandas, bilik mandi dan sinki di dalam bilik air yang luas juga disediakan untuk kemudahan penumpang
Golden Lounge ini lengkap dengan bilik solat

Kelas Bisnes


Di dalam kapal terbang, saya diberi tempat duduk di Kelas Bisnes. Saya jarang-jarang menaiki Kelas Bisnes kerana saya tidak mampu. Saya hanya berpeluang menaiki Kelas Bisnes apabila perjalanan saya ditaja.  Ini membuatkan saya senyum dan mood saya bertambah baik.

Apakah yang istimewanya Kelas Bisnes ini?

Saya dapat duduk di kerusi yang luas di tepi tingkap baris hadapan dan melunjurkan kaki dengan selesa
Saya boleh menonton skrin tv yang digantungkan di bahagian atas hadapan saya
Saya dilayani oleh pramugari dengan minuman jus oren. Tuala suam diberi untuk menyegarkan muka dan tangan saya.
Saya dihidangkan dengan satay dan cokolat Lindor

Perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur hanya memakan masa lebih kurang 50 minit sahaja. Jadi perkhidmatan Golden Lounge dan kelas Bisnes dalam perjalanan yang singkat ini amatlah memberi keselesaan kepada saya.


Golden Lounge KLIA


Apabila saya sudah selesai menjalankan tugas di Kuala Lumpur, saya pun kembali semula ke Pulau Pinang dengan menaiki kapal terbang MAS. Di KLIA saya memasuki Golden Lounge yang terdapat di sana.

Sebagaimana  Pulau Pinang, Golden Lounge di KLIA juga mempunyai ruang menunggu yang luas, tempat duduk yang selesa, makanan dan minuman yang sesuai dan banyak pilihan, bilik air yang bersih dan lain-lain keperluan.

Walau bagaimanapun Golden Lounge di KLIA lebih besar berbanding dengan Golden Lounge di Pulau Pinang. Orang pula lebih ramai di KLIA berbanding dengan di Pulau Pinang.

Kita boleh mengambil minuman sejuk atau panas lalu duduk berehat di kerusi di Golden Lounge KLIA.
Kek, sandwich, tart dan dim sum disajikan di atas meja buffet dan kita boleh memilihnya mengikut kesukaan kita.
Saya memilih mee kari kerana perut saya berkeroncong
Sambil menunggu kapal terbang mendarat kita boleh duduk makan-makan, menyendiri atau pun membaca
Tempat wuduk dan bilik solat yang luas disediakan di dalam Golden Lounge KLIA
Sinki yang banyak dan bilik air yang luas disediakan

Pernahkah anda memasuki Golden Lounge dan menaiki kapal terbang Kelas Bisnes? Kongsilah pengalaman ada di sini.

Selasa, 13 Oktober 2015

Panduan Menaiki Kenderaan Awam di Beijing

B agaimanakah sekiranya anda backpack di Beijing dan hendak berjalan ke merata-rata tempat? Sudah tentu pengangkutan awam menjadi pilihan.

Pengangkutan awam yang paling utama untuk digunakan ialah keretapi. Bacalah panduan menaiki keretapi di Beijing dalam 3 siri yang lepas dengan mengklik di sini: 1, 2, 3.

Selain daripada itu bas, teksi, basikal dan beng beng juga adalah pengangkutan awam yang penting di Beijing.


Bas


Bas terdapat dengan banyak di stesen di Beijing

Bas awam banyak terdapat di bandaraya Beijing. Ia beroperasi dari 5:30 hingga 23:00. Ada juga yang tamat pada 18:00.

Harga tiket dikenakan mengikut jarak. Bayaran minimum ialah 2 yuan untuk 10 km pertama dan 1 yuan dikenakan bagi 5 km berikutnya. Untuk menaiki bas di bandaraya anda boleh menggunakan kad pintar Pengangkutan Awam Beijing dan menikmati 50% diskaun. Kalau anda ke pinggir bandar, anda boleh mendapat diskaun 30%.  Kad pintar ini juga boleh digunakan untuk menaiki keretapi bawah tanah. Apabila menaiki bas, imbaslah kad pintar itu pada mesin pengimbas yang terdapat berdekatan pintu masuk bas. Sekiranya anda tidak memiliki kad itu, anda boleh membayar secara tunai kepada kondaktor bas yang sentiasa ada di dalam bas.

Pengumuan dalam bahasa China dan tulisan nama tempat singgahan/destinasi dipaparkan pada skrin di hadapan pemandu. Bahasa Inggeris juga digunakan selepas bahasa China.

Bas mini mengangkut penumpang dalam jarak berdekatan iaitu dari stesen keretapi bawah tanah ke kawasan perumahan

Selain itu bas mini juga terdapat dengan banyak. Sebuah bas mini boleh membawa 13 orang penumpang. Bas mini beroperasi di kawasan perumahan, kampus universiti dan stesen keretapi. Tambangnya 2 yuan bagi jarak 2-4 km.


Teksi


Teksi di Beijing kadang-kadang enggan berhenti apabila melihat orang asing menahannya

Teksi terdapat banyak di jalan-jalan raya di Beijing, namun kadang kala adalah sukar untuk mendapatkan teksi kerana ramai pemandu teksi di Beijing tidak mahu berhenti apabila melihat orang asing menahan mereka. Ini disebabkan mereka tidak tahu berbahasa Inggeris dan kebanyakan orang asing tidak tahu berbahasa China.

Untuk itu anda perlu menulis destinasi anda di dalam tulisan China dan berikan kepada pemandu teksi. Cara kedua ialah meminta kawan-kawan anda yang fasih berbahasa China untuk menelefon pemandu dan memberitahunya destinasi anda.

Tambang teksi ialah 13 yuan untuk setiap 3 km pertama dan tambahan 2.30 yuan untuk 3 km berikutnya.

Basikal


Satu cara lain untuk menggunakan pengangkutan awam ialah dengan berbasikal.

Penduduk Beijing gemar berbasikal dan boleh dikatakan setiap orang memiliki basikal. Kedai menjual dan memperbaiki basikal ada di mana-mana. Kedai-kedai sewa basikal juga mudah ditemui di kawasan-kawasan tumpuan ramai.

Stesen docking Beijing Bike Sharing terdapat di tepi stesen keretapi bawah tanah Chaoyangmen (Exit A) 

Di Beijing terdapat program Beijing Bike Sharing yang mana kita boleh menyewa basikal dengan hanya menggunakan kad pintar yang dioperasi secara sendiri oleh pengguna (automated self service). Basikalnya cantik dan diletakkan di stesen docking tertentu seperti di kebanyakan setesen keretapi utama, kawasan perniagaan dan kawasan awam utama Beijing.

Terdapat lebih kurang 60-120 stesen docking basikal di Beijing. Untuk mengetahui stesen docking  ini sila lihat laman web ini: http://www.beijingbikeshare.com/

Mesin menyewa basikal Beijing Bike Sharing yang dioperasikan sendiri oleh pengguna 
Mesin ini digunakan untuk mengimbas kad pintar dan setelah diimbas, kuncinya boleh dibuka untuk mengeluarkan basikal

Sebagai orang asing yang ingin menyewa basikal ini, anda perlulah 

  1. Mempunyai kad Beijing Public Transport dengan tanda "c" di bucu kanan kad. Kad ini sama dengan kad yang digunakan untuk menaiki keretapi dan bas. Kad ini diperolehi di stesen keretapi bawah tanah atau bas.
  2. Membawa ID asal (pasport anda) dan permit residensi asal. 
  3. Pergi ke pejabat Beijing Bike Share pada waktu pejabat untuk mengaktifkan kad anda. Waktu pejabat ialah pada Isnin hingga Jumaat, pukul 9.30 hingga 11.30, 13.30 hingga 16.00 .
  4. Membayar wang pendahuluan sebanyak 400 yuan.
  5. 1 jam pertama menggunakan basikal ini adalah percuma, untuk masa selebihnya anda dikenakan caj 1 yuan sejam, dengan maksimum 10 yuan sehari. Sekiranya basikal tidak dipulangkan dalam masa 3 hari  20 yuan akan ditolak setiap hari dari wang pendahuluan.
  6. Pastikan terdapat baki lebih daripada 30 yuan pada kad.

Pemuda ini menyewa basikal Beijing Bike Sharing dan wanita ini merekodkan maklumatnya

Beng Beng 


Beng beng muat untuk 2 orang penumpang

Beng Beng ialah motosikal yang diubah suai menjadi pengkangkutan yang membawa penumpang. Ia mempunyai tempat duduk yang biasanya muat untuk dua orang dan bertutup dengan plastik tebal serta keras atau zink dan disambungkan kepada motorsikal itu.

Beng Beng digunakan untuk membawa penumpang dalam jarak yang dekat kira-kira 2-5 km. Ia beroperasi dengan banyak di kawasan tumpuan ramai di antara stesen keretapi/bas dengan kawasan perumahan. Tambang menaiki Beng Beng perlulah dirunding terlebih dahulu dengan pemandunya. Untuk jarak dekat sekitar 2-5 km tambangnya ialah 4.00-6.00 yuan

Risiko menaiki Beng beng ialah ia tidak seimbang dan boleh rebah

Untuk pengetahuan anda saya tidak lagi tinggal di Beijing, jadi sekiranya ada perubahan maklumat harap maklumkan kepada saya.

Isnin, 5 Oktober 2015

Panduan Menaiki Keretapi di Beijing (3): Dari Beijing ke Bandar-bandar Utama di China

B agaimanakah kalau anda hendak ke bandar-bandar utama di luar Beijing? Untuk tujuan itu anda mestilah tahu mencari stesen keretapi yang betul kerana terdapat banyak stesen keretapi di Beijing disediakan untuk menghubungkan Beijing dengan bandar-bandar utama di China. Setiap stesen ini terletak di tempat yang berlainan, destinasinya berbeza dan jenis-jenis keretapinya juga berbeza. Berikut adalah 4 stesen keretapi utama yang terdapat di kota Beijing:


 1. Stesen Běijīng Xī Zhàn (北京西站) (Stesen Keretapi Beijing Barat)  

Stesen Běijīng Xī Zhàn menyediakan perkhidmatan keretapi ke bahagian tengah, selatan, barat daya dan barat laut China. Antara bandar-bandar singgahannya ialah Hohhot (Inner Mongolia), Xian, Xinjiang, Guilin, Hong Kong, Guangzhou, Shenzen, Wuhan, Zhengzhou, Chengdu,  Chongqing, Taiyuan, Fuzhou, Xiamen, Kunming, Hangzhou, Urumqi, Shanghai dan lain-lain lagi.

Stesen ini letaknya di East Lianhuachi Road. Běijīng Xī Zhàn adalah salah sebuah stesen yang terbesar di China. Terdapat 200 buah keretapi setiap hari dari sini.

Stesen Běijīng Xī Zhàn ini menyediakan perkhidmatan keretapi berkelajuan tinggi (high-speed train), keretapi peluru (Bullet train), keretapi laju (fast train), keretapi ekspres, keretapi ekspres penginapan malam (express overnight sleeper) dan keretapi biasa.

Inilah stesen Běijīng Xī Zhàn yang besar dan sentiasa penuh dengan penumpang
Penumpang begitu ramai ketika menunggu panggilan untuk memasuki platform keretapi di stesen Běijīng Xī Zhàn
Penulis bersama kawan-kawan baru turun di Hohhot (Inner Mongolia) dari stesen Běijīng Xī Zhàn 
Tiket keretapi yang saya beli dari stesen Běijīng Xī Zhàn ke Xian
Keadaan sesak di dalam keretapi biasa (Kelas 3) dalam perjalanan saya ke Xian dari Běijīng Xī Zhàn

Saya pernah menulis mengenai kembara saya ke Xian menaiki keretapi biasa (Kelas 3). SILA KLIK DI SINI untuk membacanya.

Bilik dan katil yang terdapat di dalam keretapi penginapan malam (overnight sleeper) dalam perjalanan saya dari Xian ke Běijīng Xī Zhàn

Saya pernah menulis tentang perjalanan saya dari Xian ke stesen Běijīng Xī Zhàn menaiki keretapi penginapan malam (overnight sleeper). Sila KLIK DI SINI untuk membacanya.



2. Stesen Běijīngnán Zhàn (北京南站(Stesen Keretapi Beijing Selatan) 


Inilah Stesen Běijīngnán Zhàn

Stesen Běijīngnán Zhàn terletak di sempadan daerah Xicheng, Dongcheng dan Fengtai. Ini adalah stesen keretapi terbesar di Asia, berkeluasan lebih kurang 70 buah padang bola.

Keretapi dari stesen ini membawa penumpang ke Shanghai, Suzhou, Haerbin, Jinan, Tianjin, Nanjing dan banyak lagi destinasi. Terdapat banyak perkhidmatan keretapi Berkelajuan Tinggi dan Bullet Train disediakan di sini.


Ruang menunggu di stesen Běijīngnán Zhàn yang selesa, bersih dan lengkap dengan pelbagai kemudahan

Terdapat banyak kemudahan di stesen ini seperti kedai-kedai, cafe, McDonald, KFC, tandas, air panas dan tempat menunggu.

Keadaan di dalam keretapi berkelajuan tinggi dari Shanghai ke Stesen Keretapi Beijing Selatan

Saya pernah menaiki keretapi di stesen Běijīngnán Zhàn ini sebanyak 4 kali untuk ke Tianjin, Jinan, Haerbin dan Shanghai.

Keadaan di dalam keretapi berkelajuan tinggi dari Stesen Běijīngnán Zhàn ke Jinan yang selesa. 
Stesen Keretapi Jinan Xi
Bullet Train yang saya naiki dari Běijīngnán Zhàn ke Tianjin
Keadaan yang selesa di dalam Bullet Train ke Tianjin

Saya pernah menaiki Bullet train ini ke Tianjin dan Jinan. Untuk membacanya SILA KLIK DI SINI  (Tianjin) dan SINI (Jinan).



 3. Stesen Běijīngběi Zhàn (北京北站) (Stesen Keretapi Beijing Utara) Untuk ke Badaling Great Wall 


Stesen Běijīngběi Zhàn terletak di Xizhimen di daerah Xicheng, Jinzhang Railway Line. Stesen keretapi ini beroperasi untuk membawa penumpang ke Baotau, Hohhot, Tongliao dan Manzhouli. Namun begitu terdapat 13 buah keretapi disediakan dari stesen ini untuk ke Tembok Besar China yang terletak di Badaling. Perjalanan ke Badaling memakan masa lebih kurang 70-80 minit dan tiketnya berhaga 6 yuan.

Keretapi ini membawa penumpang ke Tembok Besar China yang terletak di Badaling
Keadaan di dalam gerabak keretapi menuju ke Tembok Besar China di Badaling
Tembok Besar China yang kelihatan dari tingkap keretapi

Saya pernah menulis tentang trip saya menaiki keretapi ini ke Tembok Besar China. Untuk membacanya sila KLIK DI SINI.


4. Stesen Běijīngzhàn (北京站) (Stesen Keretapi Beijing) 


Stesen Běijīngzhàn terletak di Chongwen Gate dan Dongbian Gate berdekatan dengan pusat bandar iaitu di Daerah Dongcheng. Ini adalah stesen lama. Keretapi dari stesen ini membawa penumpang ke bahagian utara China seperti Haerbin, Shanghai, provinsi timurlaut dan provinsi tenggara.

Ini juga adalah stesen untuk laluan antarabangsa ke Pyongyang, Ulan Bator, dan Moscow. 

Selain perkhidmatan keretapi berkelajuan tinggi, ia juga menyediakan perkhidmatan keretapi biasa.

Platform keretapi di Haerbin dalam perjalanan saya dari Haerbin ke Běijīngzhàn 
Keadaan di dalam keretapi Berkelajuan Tinggi dari  Běijīngzhàn ke Haerbin
Stesen Keretapi Haerbin Barat
Pemeriksaan keselamatan dilakukan ketika memasuki stesen keretapi Haerbin

Saya pernah menceritakan tentang kembara saya ke Haerbin dari Běijīngzhàn dengan menaiki keretapi Berkelajuan Tinggi. Untuk membacanya KLIK DI SINI.




Membeli Tiket


Tiket boleh dibeli di kaunter yang terdapat di dalam setiap stesen keretapi yang saya nyatakan di atas. Bagi rakyat Malaysia, mestilah menunjukkan pasport ketika membeli tiket. Oleh kerana perlu menunjukkan pasport, maka membeli tiket menggunakan mesin tiket tidaklah boleh dilakukan di sini.

Untuk pengetahuan anda, rata-rata penjual tiket tidak tahu berbahasa Inggeris. Jadi untuk memudahkan anda yang tidak tahu berbahasa China, anda hendaklah menulis nama stesen destinasi anda, tarikh serta jam bertolak dalam tulisan China. Mintalah kawan-kawan yang tahu menulis tulisan China membantu anda.

Selain daripada itu, anda boleh membeli tiket keretapi melalui agen yang terdapat di merata-rata tempat utama seperti di kawasan universiti, kedutaan  dan kediaman. Agen ini membuka kaunter berbentuk pondok kecil di tepi-tepi jalan atau pun di dalam bangunan besar. Agen ini mengenakan sedikit cas di atas setiap tiket yang dibeli.

Selain daripada itu, anda boleh membeli tiket melalui agen secara atas talian. Agen ini mengenakan cas di atas khidmat mereka. Tetapi saya tidak pernah membelinya dengan cara ini, jadi tidaklah dapat saya menceritakan pengalaman ini.

Oleh kerana penumpang terlalu ramai menggunakan perkhidmatan keretapi (terutamanya keretapi biasa - Kelas 3), maka selalunya tiket kehabisan dengan cepat. Tiket juga tidak boleh dibeli terlalu awal. Ia biasanya mula dibuka untuk dijual di antara 2 minggu atau 1 minggu sebelum tarikh bertolak. Keadaan ini menjadi masalah sehingga ada penumpang yang tidak mendapat tempat duduk, mereka sanggup berdiri berjam-jam lamanya dalam perjalanan menaiki keretapi walaupun membayar tiket. 

Namun begitu sekiranya anda menggunakan perkhidmatan keretapi Berkelajuan Tinggi dan Bullet Train, ia tidak mempunyai masalah kehabisan tiket. Ini disebabkan keretapi ini banyak beroperasi, jadual perlepasannya terlalu kerap di dalam sehari dan penumpang tidak terlalu ramai kerana harga tiketnya lebih tinggi berbanding dengan keretapi biasa (Kelas 3).

Orang ramai beratur untuk membeli tiket di kaunter dan juga menggunakan mesin
Kaunter untuk mereka yang berbahasa Inggeris di Stesen Běijīng Xī Zhàn
Tandas yang bersih di stesen keretapi 
Pelbagai kemudahan disediakan di dalam stesen keretapi 

Begitulah panduan menaiki keretapi dari Beijing ke bandar-bandar utama di China.

...bersambung
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...