Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Memaparkan catatan dengan label MALAYSIA - Terengganu (Kuala Terengganu). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MALAYSIA - Terengganu (Kuala Terengganu). Papar semua catatan

Sabtu, 10 Mei 2014

Musim Mencandat Sotong di Terengganu Kembali Lagi

B ulan Mei adalah musim yang sesuai untuk mencandat sotong di Terengganu. Tahun lepas kami dah mencandat dan dapat banyak sotong.  Untuk cerita tahun lepas sila klik di SINI

Tahun ini awal-awal bulan Mei lagi kami sudah berada di tengah-tengah Laut China Selatan mencandat. Kalau tahun lepas kami sewa dua buah bot nelayan, tahun ini tambah sebuah lagi, sebab ramai yang turut serta. Ada orang dari Penang. Ada dari Pahang. Ada juga dari Kuala Lumpur.  Maklumlah kawan saya Hajah Salwa yang tauke Wilayah Utara Travel Sdn Bhd tu dah iklanlah trip mencandat sotong ni. Lama dah.

Seperti tahun lepas, kami sudah mengisi perut, rehat yang cukup dan menelan ubat anti muntah untuk mengelak daripada mabuk laut. Petua yang diamalkan menjadi. Tahun lepas seronok sangat, tak mabuk langsung!

Tahun ini saya yakin sangat-sangat tak mabuk fee laut. Eh, ye ke?


Bertolak dari Seberang Takir  ke Laut China Selatan


Bot yang kami sewa bertolak dari Seberang Takir pada waktu petang

Bot yang kami naiki bertolak pada pukul 5.00 petang dan bergerak menuju ke tengah lautan.

Memasuki muara Laut China Selatan
Alat mencandat sotong

Di Tengah-tengah Laut China Selatan


Setelah berada di tengah-tengah laut yang diketahui ada banyak sotong, ejin bot pun dimatikan.

"Dah boleh start?" tanya saya pada tekong tak sabar.

"Dah!"

Apa lagi kami pun labuhkan tali kail dengan harapan sotong kami perolehi. Saya tunjukkan cara mencadat kepada anak dan kakak saya yang pertama kali mencadat.

Di tengah-tengah laut
Melabuhkan kail di tengah laut
 
Laut berombak kuat dan bot yang kami naiki itu terumbang-ambing tanpa henti.

Candat. Candat. Candat.
 

He dapat dapat!

Ni sotong pertama yang Kak Long dapat hari ini. Mata sotong ni hijau, macam pakai contact lens he he he

Setelah mencandat seketika, ada yang dapat sotong. Gembiranya kami.  Satu persatu kawan-kawan kami dapat angkat sotong yang besar dari dalam laut. Saya tak dapat lagi. Mulalah rasa bosan.

Wahai sotong, marilah sini

Candat lagi. Tapi lama kelamaan tiada lagi sotong yang kami dapat. Bot kami pun beralih ke tempat lain. Kami mencadat lagi. Dapat lagi.


Kak Long dapat lagi. Bestnya! Kali ini sotong ni pakai contact lens merah he he he

Tekong dapat dua sekaligus! Terror!

Mabuk Laut


Hari semakin malam. Ombak semakin kuat. Bot berayun lebih kencang. Berjalan di atas botpun terumbang-ambing macam hendak jatuh. Kadang-kadang kelakar pun ada kerana ada yang moon walk, ada yang shuffle. Mesti tangan memaut pada kayu bot untuk mengelakkan tercampak ke dalam laut. Saya mula merasa pening-pening. Ada yang sudah berbaring di lantai bot dan menggosok minyak Cap Kapak di kepala.

Setelah masuk waktu maghrib dan menunaikan kewajipan di atas bot, saya berbaring kerana terasa kepala saya tidak stabil. Lalu saya tidur di atas bot dengan berbumbungkan langit dan bintang. Sambil berbaring, badan saya diayun-ayun oleh ombak yang kuat. Saya merasa sangat pening. Tidur adalah penyelesaian yang terbaik ketika itu.

Lama kelamaan, saya dengar seorang demi seorang turut tidur.

Pada waktu tengah malam, saya terasa hendak buang air. Tetapi disebabkan ayunan ombak yang kuat serta kepala pening, saya tiada kudrat untuk bangun.

Lama kelamaan saya bangun juga. Saya telan ubat. Ketika itu 1.00 pagi. Saya lihat semua orang di dalam bot sedang tidur. Suasana sangat sunyi ketika itu. Bot kami terumbang-ambing dengan kuat. Saya berjalan terhoyong-hayang menuju ke bilik air kecil di bahagian belakang bot. Selepas saya keluar dari bilik air, saya rasa tekak dan ulu hati saya seperti dijolok-jolok lalu saya muntah.  

Saya kembali semula di bahagian depan kapal dan menyambung tidur saya.

Kira-kira 3.00 pagi, sambil tidur-tidur ayam tu, saya dengar tekong bot dan kawan-kawannya bangun mencandat. Merekalah yang banyak dapat sotong. Saya terus melayan tidur.

Apabila saya bangun hari hampir pagi. Ada yang sudah bangun.  Saya, keluarga saya dan beberapa orang lagi tidak dapat sotong, kerana kami tidur sepanjang malam akibat mabuk laut.


Kembali Ke Seberang Takir


Ketiga-tiga bot kami kembali ke pantai
Tentu banyak mereka dapat sotong
Bot sudah sampai ke Seberang Takir

Kami pulang ke pantai sebelum matahari terbit dengan membawa sotong tangkapan. Tidaklah banyak mana.  Ketiga-tiga bot pun menambatkan tali bot pada jeti.

Masing-masing bertanyakan sotong yang didapati. Kawan-kawan dari dua bot itu pun tak dapat banyak sotong. Ada juga kawan-kawan yang mabuk.

Melabuhkan sauh dan mengikat bot
Bawa pulang hasil tangkapan
Sotong yang kami dapat kali ini tidaklah banyak berbanding tahun lepas
 
Walaupun kali ini ramai daripada kami gagal mendapatkan walaupun seekor sotong, kami tetap gembira kerana kami dapat pengalaman menjadi nelayan selama semalam.

Sotong yang kami perolehi itu kami minta orang Seberang Takir masakkan, buat goreng kunyit dan ketupat sotong.  Hmm nymumm slurppp!!!

Nota: Trip mencadat sotong ini menelan belanja RM355.00 seorang. Bayaran ini termasuk sewaan bas dari Penang ke Kuala Terengganu (pergi & balik), sewaan bot nelayan, tiga kali makan sehari, homestay 2H1M, peralatan mencandat dan tambang bot menyeberangi Sungai Terengganu.

Saya minta maaf kerana saya lupa untuk mendapatkan nombor telefon tekong candat sotong itu.


Khamis, 8 Mei 2014

Menyusuri Sungai Terengganu, Melihat Masjid Kristal dan Membeli-belah di Pasar Payang

C uti Hari Pekerja seminggu lalu anda ke mana? Saya ke Kuala Terengganu. 

Kali ini kami berpeluang menaiki bot. Kami mengambil bot di Jeti Seberang Takir menyusuri Sungai Terengganu, melalui Pulau Wan Man dan menuju ke Kuala Terengganu.


Seberang Takir dan Sungai Terengganu

 

Laut China Selatan berdekatan Seberang Takir ketika matahari terbit
Seberang Takir di waktu pagi. Di hujung sana Laut China Selatan, di hujung sini Sungai Terengganu

Seberang Takir adalah perkampungan nelayan yang letaknya bersebelahan dengan Sungai Terengganu dan Laut China Selatan. Di Sungai Terengganu terdapat pulau-pulau kecil dan salah sebuah daripadanya ialah Pulau Wan Man.

Di seberang Seberang Takir merentasi Sungai Terengganu terdapat bandar Kuala Terengganu. Jadi Sungai Terengganu yang berdekatan dengan Seberang Takir dan bandar Kuala Terengganu adalah kuala sungai yang bertemu dengan laut.


Sepanjang tebing sungai kami dapat melihat rumah-rumah, rumah-rumah rehat, kampung-kampung nelayan, orang mandi-manda, pulau-pulau, pohon-pohon nipah, bengkel membuat bot dan kapal-kapal kecil.

Oleh kerana Sungai Terengganu di bahagian hilir ini bertemu dengan Laut China Selatan, maka airnya bercampur dengan air masin. Saya mencecahkan tangan saya ke dalam air itu dan merasa air tersebut. Air itu tidaklah tawar sangat tetapi ada sedikit rasa masin. :)

 

Taman Tamadun Islam dari Sungai Terengganu


Gembiranya kami pada pagi itu kerana dapat menaiki bot menyusuri Sungai Terengganu yang berada di hilir dan di muara. Yang menarik sekali, kami dapat duduk dengan santai di kepala bot sambil menikmati pemandangan indah. Angin pula membelai wajah kami. Cuaca pada masa itu tidak panas, jadi dapatlah kami merasa selesa.



Seronoknya duduk di kepala bot sambil melihat pemandangan tebing Sungai Terengganu dan Pulau Wan Man

Duduk termenung di tepi muara,
Ditiup angin daun bergoncang,
Bila terkenang pada dara,
Berdebar hati bertambah sayang.

Replika masjid-masjid di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man dibina dalam skala 1:8 

Kami dapat melihat replika masjid-masjid terkenal di dunia dalam dari dalam bot. Antaranya ialah Taj Mahal India, Dome of Rock (Kubah As-Sakhra) Palestin, Masjid Sultan Singapura dan macam-macam lagi. Kesemua ini di dapati di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

 

Masjid Kristal


Sebuah masjid yang menjadi mercu tanda terbaru di sini iaitu Masjid Kristal tersergam indah di atas air di Pulau Wan Man.


Masjid Kristal dibuat daripada kaca dan keluli
Masjid Kristal terapung di atas air Sungai Terengganu

 

 

 

 

Membeli-belah di Pasar Besar Kedai Payang


Menghampiri jeti di Kuala Terengganu

Hampir sejam kemudian kami singgah di jeti Kuala Terengganu. Kami ke Pasar Besar Kedai Payang untuk membeli-belah. Tahun lepas kami sudah ke sini. Sila klik di SINI untuk mengimbas kembali.

Seronok sangat membeli-belah di sini. Macam-macam ada. Sempatlah kami merembat kaftan, seluar kain pelekat, baju kain pelekat dan keropok.

Kami kembali semula ke Seberang Takir dengan menaiki bot tetapi kali ini kami merentas Sungai Terengganu melalui jalan pintas.  Kami tinggal di homestay Teluk Ketapang sama seperti tahun lepas. Untuk melihat homestay ini sila klik di SINI.