Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Isnin, 10 April 2017

Candid Shots!: Macam-macam Gelagat Pengguna Motosikal


K etika mengembara di luar negara, saya suka melihat gelagat penduduk di negara itu menggunakan motorsikal, terutama di negara-negara Asia. Cara mereka agak berlainan dengan negara kita. Saya sempat merakamkan gelagat mereka secara candid. Mari kita lihat satu per satu.

1. Naik ramai-ramai


Di negara kita, penumpang yang membonceng motorsikal biasanya seorang atau mungkin berdua, tetapi di  beberapa buah negara Asia, penumpangnya mungkin tiga, mungkin empat, malahan ada yang sampai lima orang. 


5 orang boleh menaiki sebuah motorsikal di Medan Indonesia. Budak-budak tak payah pakai helmet.

4 orang menaiki motorsikal di bandar raya Hoh Chi Minh adalah perkara biasa

2. Selamba je sangkut beg tangan pada motorsikal! 


Beg tangan biasanya dikepit kuat-kuat oleh wanita ketika berada di dalam bandar kerana bimbang diragut. Amat jarang kita melihat mereka menyangkut beg tangan pada motorsikal. Tetapi di Kashgar, iaitu sebuah bandar di China, beg tangan disangkut dengan selamba pada motorsikal tanpa bimbang diragut.


Alangkah senangnya gadis ini menunggang motorsikal di Kashgar, China kerana beg tangan boleh disangkut dengan selamba pada motorsikal dan tidak bimbang akan diragut. 


3. Macam mana bawa barang banyak, berat dan besar di atas motorsikal?


Pernahkah anda melihat peti sejuk, almari atau mesin basuh diangkut di atas motorsikal kapcai? Bagaimana pula mengangkut barang yang besar empat kali ganda daripada motorsikal? Dah tu menutup muka pulak? Kita mungkin jatuh ketika menunggangnya. Tapi tidak bagi penunggang-penunggang ini:


Kulit kambing yang baru selesai dilapah dimasukkan dan ditindan banyak-banyak dalam bahagian belakang motorsikal. Tindanan kulit yang berat ini mungkin tidak mampu ditanggung oleh motorsikal yang berkuasa rendah. Tetapi ini tidaklah menjadi masalah pada penunggang motorsikal di Kashgar ~ sebuah bandar di Xinjiang, China.

Dua penunggang motorsikal di Hoh Chi Minh ini mengusung daun-daun dan bunga-bunga besar ini tanpa jatuh/berlanggar walaupun ia menutup muka penunggangnya. 

Mampukah anda membawa barang besar gedebak ini di atas motorsikal kecil? Cara ini sempat saya rakam ketika saya sedang mencari hotel di kota raya Shanghai, China

Motosikal dimodifikasikan supaya boleh membawa banyak barang besar dan tinggi seperti almari, peti sejuk dan mesin basuh. Gambar ini saya rakam di Kashgar, Wilayah Xinjiang di China


Barangkali mereka ini pekerja binaan. Kereta tolak dan barang-barang binaan diseret sekali bersama motorsikal. Gambar ini saya rakam ketika berada di Kashgar, Wilayah Xinjiang di China.



4. Meh tutup motor 


Ketika menaiki motorsikal debu dan habuk boleh menganggu pernafasan kita. Kalau hujan pula, tentulah badan kita basah. Meh tutup keliling motorsikal kita supaya kita selesa menaikinya.  Inilah yang dilakukan oleh pengguna motorsikal di beberapa negara Asia.

Motorsikal bertutup seperti tuk tuk ini memberi keselesaan kepada penumpang. Gambar ini saya rakam ketika berada di Phitsanulok Thailand.


Di Banda Acheh, motorsikal dimodifikasikan dengan menjadikan ia sebagai bemo (gabunga beca  dan motor). Penutup yang ringkas ini dibuat daripada plastik dan melindungi penumpang dari matahari. 

Di Beijing motorsikal diubahsuai untuk mengangkut penumpang dengan membuat penutup empat segi seperti sebuah peti. Motorsikal jenis ini dipanggil beng beng dan boleh memuatkan 2-3 orang bertubuh kecil. Ia digunakan untuk jarak dekat. namun ia tidak seimbang dan mudah rebah kalau penumpangnya tidak duduk diam atau jalanraya tidak rata.


5. Meniaga pakai motor


Bagi petani atau pekebun yang menjadikan motorsikal sebagai sumber pendapatan, mereka menyusun dan mengikat hasil tanaman dengan kemas lalu dijaja ke bandar. Tentu anda merasa kagum di atas kehandalan mereka mengimbangi motorsikal dengan barang-barang itu.

Menjaja durian di atas motorsikal di bandar Hoh Chi Minh ini sama macam yang kita lihat di Malaysia, kan?


Sate pun boleh dibakar dan dijual di atas motorsikal. Gambar ini saya rakam di  kawasan Air Terjun Sipiso-piso Indonesia.

Bertandan-tandan pisang disusun dan diangkut menggunakan motorsikal. Kehandalan mengimbangi motorsikal ini membuatkan motorsikal tidak rebah dan pisang tidak pecah atau rosak. Gambar ini saya rakam dalam perjalanan saya dari Brastagi ke Danau Toba, di Indonesia

Handalnya penunggang di Kemboja ini kerana boleh memuatkan macam-macam jenis anyaman buluh di atas motorsikalnya


Adakah anda pernah menyaksikan gelagat pengguna motorsikal yang menarik? Kalau ada, kenapa tak kongsikan dengan saya di sini?

Khamis, 2 Mac 2017

Makanan Halal di Bangkok: Di Mana Nak Cari?

M asakan Thai amat sesuai dengan selera kebanyakan kita, sehinggakan menjamu selera yang ringkas di sebuah gerai di Bangkok menjadi pengalaman yang tidak mungkin dilupakan. Kalau anda ke Bangkok, tentu anda tidak mahu melepaskan peluang memakan makanan asli Thai ini, kan? Tetapi di mana nak cari makanan yang halal?

Jangan risau, bukankah agama kedua terbesar di Thailand ialah Islam? Walaupun peratusan Muslimnya kecil tetapi ke mana-mana saja kita pergi pasti ada tempat makanan halal.

Masjid Darissalam di Soi Darrisalam, Pracha Uthit ini menandakan bahawa di sini adalah penempatan orang Islam Bangkok



Di sini saya senaraikan 6 tempat di Bangkok yang terkenal dengan makanan halalnya.


1. Pracha Uthit 61 di Soi Sa Pan 1, Thung Khru


Tempat makan yang saya ingin cadangkan kepada anda terlebih dahulu ialah di Pracha Uthit 61 iaitu sebuah pasar yang terletak di Soi Sa Pan 1 di daerah Thung Khru, Bangkok. Di sini terdapat banyak gerai-gerai orang Islam dengan makanan halal. Amat mudah mengecam gerai-gerai makanan halal ini kerana tulisan halalnya dalam Jawi atau Rumi, dan lambang bulan-bintang amat mudah dilihat pada papan tandanya. Peniaga-peniaga wanitanya juga bertudung.

Pasar ini terletak di Pracha Uthit 61. Gerai yang pertama adalah gerai makanan halal. Mudah mengecamnya kerana  peniaganya memakai tudung

Tulisan halal dan lambang bulan-bintang mudah dilihat pada papan tanda gerai

Antara makanan yang patut anda makan ialah nasi putih berlaukkan makanan laut seperti sotong dan udang serta sedikit sayur-sayuran yang dimasak dengan menggunakan rempah-ratus asli Thai. Rasanya pedas-pedas manis.

Selain itu anda boleh cuba Spaghetti Seafood. Ia dimasak dengan rempah Thai dengan udang, sotong, putik jagung dan sedikit sayur-sayuran.


Nasi putih berlaukkan udang dan sotong masak Thai ini nampak simple tapi rasanya sedap

Spaghetti Seafood ini  nampak macam tak ada apa-apa tetapi pedasnya menyengat


Pad Thai pula adalah makanan kegemaran orang Thailand dan sudah pasti ia boleh didapati di Pracha Uthit 61 ini. Ia macam kuay teow yang digoreng dengan ayam, udang, telur dan tauhu.

Pulut memang menjadi makanan harian di Thailand. Dikatakan bahawa wanita-wanita di bahagian utara Thailand berkulit lembut dan halus kerana mereka makan pulut setiap hari. Pulut yang siap ditanak didapati dengan mudah di pasar ini. Pulut ini sedap dimakan dengan ikan goreng yang juga mudah didapati di sini.


Pad Thai sedap yang dicampur ayam, telur, tofu, tomato dan udang


Pulut yang sudah dimasak dijual dalam bungkusan plastik


Orang Thailand sering mengatakan bahawa di Thailand, hanya terdapat dua musim ~ musim panas dan musim sangat panas. Tak kiralah anda datang pada mana-mana musim pun, anda pasti tidak mahu melepaskan minuman ais di sini. Kalau tekak anda kering, teguklah air kelapa. Atau cubalah bingsu iaitu sejenis ais yang dikisar atau diparut halus menjadi seperti salji dan dibancuh dengan sirap vanila dan coklat yang topping-nya adalah roti empat segi, sirap coklat dan butiran coklat.

Sebagai orang Islam anda pasti tidak mahu tinggalkan solat. Jadi, masjid terdekat dengan kawasan ini ialah Masjid Al-istikhomah di Pracha Uthit 69.


Air kelapa

Bingsu - Ais kisar cokolat ini berharga RM5



2) Ramkhamhaeng di Suan Luang



Medan Selera halal yang terdapat di Ramkhamhaeng

Sebuah lagi tempat yang patut anda pergi untuk mendapatkan makanan halal ialah Ramkhamhaeng. Ramkhamhaeng adalah sebuah daerah yang luas di Suan Luang dan dipenuhi dengan orang Islam. Di sini terdapat banyak masjid dan lebih kurang 100 buah kedai/gerai makan Muslim. Tentu anda merasa berselera disebabkan mudahnya untuk mendapatkan makanan halal dengan resepi asli Thai, terutamanya masakan dari Selatan Thailand. Ia dibuka pada pukul 5 petang hingga lewat malam.

Antara makanan halal yang boleh diperolehi di sini ialah bihun sup, nasi briyani, tomyam, goreng-gorengan, bebola ikan, pad thai, ikan bakar, kerabu daging dan macam-macam lagi.


 Nasi Briyani

Sejenis gorengan ikan seperti Keropok Lekor dimakan dengan sos cili Thai 

Spaghetti dengan rempah-ratus Thai


3) Greenday Night Market di Rama 2



Pasar-pasar malam di Bangkok menawarkan jualan yang lebih murah dan kerana itu ia dikunjungi ramai penduduk tempatan.  Salah sebuah pasar malam itu ialah Greenday Night Market.  Letaknya di Rama 2 iaitu bersebelahan dengan gedung membeli-belah Central Plaza. Ia dibuka setiap hari dari 6 petang hingga 2 pagi. 

Sebagai sebuah pasar malam, Greenday menjual macam-macam jenis makanan halal. Namun terdapat juga yang tidak halal. Jadi anda perlulah berhati-hati memilih gerai-gerai makanan halal dengan melihat tulisan halal pada papan tanda perniagaan. 

Kalau ada berada di Greenday Night Market ini, Fried Squid Egg @ Telur Sotong Goreng yang dicampurkan dengan sos cili Thai patut anda cuba. Juadah ini berempah dan bercampur kobis yang dihiris halus-halus. Ianya halal, sedap dan dikatakan yang terbaik di daerah ini. 


Fried Squid Egg @ Telur Sotong Goreng halal terbaik


Satu lagi makanan tradisional Thai yang cukup popular yang terdapat di pasar ini ialah Khanum Buang (Thai Mini Crepe). Ia seperti taco iaitu makanan Sepanyol yang intinya dimasukkan ke dalam kulit taco yang rangup.  

Khanum Buang menggunakan crepe yang dibuat daripada adunan tepung beras dan sejenis tepung tempatan yang dicampurkan santan kelapa, garam, gula palma, telur dan air. Adunan ini kemudiannya disapukan dengan nipis dalam bentuk bujur di atas kuali leper panas. Apabila ia sudah perang keemasan, pati santan pekat ditepekkan ke atasnya lalu diletakkan inti di atasnya. Crepe ini lalu dilipat, dan apabila ia sejuk ia menjadi sangup rangup.  

Khanum Buang ini ada yang berinti manis dan ada yang pedas. Yang berinti manis adalah campuran bebenang telur kuning, kelapa parut dan buah persimmon. Yang pedas pula intinya dibuat daripada bebenang telur, udang dan daun ketumbar. Teksturnya lembut, berkrim dan sangat kontras dengan crepe yang rangup itu. 

Namun terdapat penjual Khanum Buang yang bukan Islam. Jadi pandai-pandailah anda mencari gerai yang halal.


Khanum Buang = Thai Mini Crepe dibuat di atas kuali leper yang panas - (Nota: Peniaganya bukan org Islam)




4) Central World di Bandaraya Bangkok



Central World Mall yang popular dalam kalangan pelancong


Central World Mall sangat terkenal dalam kalangan pelancong. Ia adalah gedung membeli-belah yang besar di tengah-tengah bandaraya Bangkok. Disamping membeli-belah, anda bolehlah makan-makan di sini.

Pelbagai jenis makanan halal boleh didapati di sini: nasi, tomyam, pulut, kerabu mangga, som tam, pad thai, boat noodle dan macam-macam lagi. Ada juga makanan halal ini dijual di gerai-gerai tepi jalan.

Namun disebabkan ia adalah kawasan tumpuan pelancong, maka harga makanan di sini lebih dua kali ganda daripada harga makanan di Pracha Uthit yang saya nyatakan di atas tadi. Misalnya, Pad Thai di Central World berharga RM15 tetapi di Pracha Uthit ia berharga di antara RM3 hingga RM6.


Pelanggan beratur untuk mendapatkan kebab di gerai tepi jalan berdekatan Central World

Penggerai Muslim sedang memasak Pad Thai halal
a
Lagi gerai makanan halal 


5. Pasar Minggu Chatuchak di Chatuchak



Sebuah lagi pasar yang popular dan terbesar di Bangkok ialah Pasar Minggu Chatuchak (Chatuchak Weekend Market).  Anda pasti terkejut melihat luasnya kawasan pasar ini. Ini kerana terdapat lebih daripada 8,000 gerai di sini dengan pelbagai barangan jualan: dari makanan, pakaian, seni kraftangan, tanaman dan alat-alat perkebunan, barangan terpakai, seramik, barangan antik sehinggalah binatang peliharaan eksotik seperti ular, kala jengking, cicak dan geko.

Pasar ini letaknya di Jalan Kamphaeng Phet 2, Chatuchak. Terdapat sebuah jam besar di tengah-tengah pasar Chatuchak ini. Untuk mencari tempat jualan makanan halal ini anda kenalah pergi ke hadapan jam besar itu.

Antara makanan halal yang boleh diperolehi di sini ialah Nasi Beriyani, Pad Thai, Sup Tomyam, Nasi Makanan Laut dan macam-macam lagi.

Pasar ini dibuka pada hari Jumaat pukul 18.00-24.00, Sabtu dan Ahad dari 9.00- 18.00.


Fried Rolls Ice Cream dibuat dengan kemahiran dan amat unik


Sejenis ais krim yang amat menarik perhatian pengunjung pasar ini ialah Ais Krim Gulung Goreng (Fried Rolls Ice Cream). Ia adalah ais krim yang sejuk-beku tetapi digoreng serta-merta di atas kuali leper yang panas. Cara penyediaan ais krim ini amat unik kerana ia memerlukan kemahiran.

Ais krim ini dicampur dengan bahan pilihan pelanggan seperti Oreo Cookies yang dihancurkan menggunakan pisau di atas kuali leper yang panas itu, kemudian digaul rata. Lantas adunan ini dirata-ratakan di atas kuali panas itu sehingga nipis; adunan nipis ini kemudiannya dipotong panjang-panjang lalu digulung satu per satu.

Gulungan ais krim ini dimasukkan ke dalam mangkuk kertas dan dihiasi dengan topping seperti Oreo, brownie, sirap cokolat dan kacang atau apa saja topping yang pelanggan suka.

Salah satu menu pilihan Ais Krim Gulung Goreng (Fried Rolls Ice Cream) ini ialah Chocolate Monster iaitu Ais Krim Gulung Goreng vanila bercampur cokolat. Harganya cuma 60 bhat.

Nota: Carilah ais krim yang anda yakini halal.


Chocolate Monster ini adalah salah satu menu Fried Rolls Ice Cream. Ia  berharga 60 bhat


6)  Train Night Market @ Rod Fai Night Market di Nong Bon, Prawet



Menaiki bot menyeberangi Sungai Chao Praya untuk ke Train Night Market


Sebuah lagi pasar yang patut anda pergi jalan-jalan dan makan-makan ialah Train Night Market atau dikenali juga dengan Rod Fai Night Market. Kalau dari Samut Prakan, ia letaknya di seberang Sungai Chao Praya. Untuk menyeberanginya, kita perlu menaiki bot dari Samut Prakan. Ia memakan masa lebih kurang 10 minit untuk ke seberang Sungai Chao Praya dan tambangnya hanya 10 bhat. Bot ini beroperasi seawal  pukul 4 pagi hingga tengah malam.


Train Night Market @ Rod Fai Night Market


Apabila sampai di seberang, naiklah bas ke Rod Fai Night Market yang letaknya berdekatan dengan sebuah gedung membeli-belah (Mall) besar yang saya tak ingat namanya. Di Rod Fai mereka menjual barang-barang untuk remaja dan makanan. Bagi peminat barang-barang antik, pasti anda teruja kerana terdapatnya galeri barangan antik untuk dilawati dengan percuma.


Kereta antik dan barang antik dipamerkan di Train Night Market

Basikal lama pun ada

Macam-macam makanan yang boleh anda cuba di sini sama ada masakan asli Thai, China, India dan barat.

Cubalah makan Tomyam Kai (Tomyam Ayam) di sini. Istimewanya ialah kerana ia dicampur telur masin, bebola ikan, fish cake, ayam, santan, meehoon dan sudah tentu ianya berkuah. Rasanya pedas dan manis.

Makanan halal lain yang boleh anda makan ialah kebab, burger, hot dog dan taco.

Surau juga disediakan di sini untuk menunaikan kewajipan.


Tom Yam Kai ini ada telur masin


Burger, hot dog, kebab dan taco halal juga boleh didapati di sini

Trak yang menjual burger, kebab, hot dog, taco halal dan teh Dubai

Surau disediakan di pasar ini untuk menunaikan kewajipan


Itulah sahaja tempat-tempat makan halal di Bangkok yang saya tahu. Bolehlah cuba :)

Rabu, 8 Februari 2017

Mee Tarik Paling Best di Malaysia Kini di Ipoh

M ee Tarik yang berasal dari China yang dibuat kejap-kejap itu saja kini dah berada di Ipoh. Gembiranya saya dan keluarga saya apabila kedai makan ini dibuka dekat dengan kampung halaman saya, tak payahlah kami ke Sungai Besi untuk mendapatkannya.

(Nota: Saya pernah menceritakan pasal Mee Tarik ini dalam entri tiga tahun lalu, tetapi ianya di Sungai Besi. Sila lihat kembali kisahnya DI SINI).

Apabila kami masuk saja ke restoren Mee Tarik di Ipoh ini yang bernama Mee Tarik Warisan Asli, terus kami dapat melihat setingnya yang kemas dan premis yang bersih. Aroma mee tarik itu masuk ke lubang hidung saya dan mengingatkan saya pada negara China iaitu tempat yang pernah saya tinggal semasa bertugas sebagai Visiting Scholar (Cendekiawan Kunjungan) di Communication University of China, Beijing. Inilah makanan yang saya makan setiap hari di China. 

(Nota: Bagi anda yang belum lagi membaca kisah kehidupan dan kembara saya di China, sila lihat entri-entri yang lalu dalam blog ini yang saya tulis semasa saya berada di China.  Klik di bawah tajuk KEMBARA ASIA TIMUR, kemudian pilihlah cerita-cerita menarik di bawah tajuk CHINA. Terdapat lebih kurang 71 tajuk tentang Kembara China yang telah saya tulis.




Ketika memasuki kedai makan Mee Tarik Warisan Asli di Ipoh ini, kami dapat melihat pembahagi di dalamnya ~ ada kaunter pembayaran dan ada bahagian dapur yang bercermin lutsinar. Di balik cermin itu saya lihat ada seorang pembuat Mee Tarik. Saya kenal sangat raut wajahnya yang beretnik Hui iaitu orang Islam China yang biasa saya lihat di China. Kemahiran membuat mee tarik ini dikuasai oleh etnik Hui.









Kami duduk dan memesan makanan. Sudah tentu lamien menjadi idaman! Inilah ubat rindu kami pada China.

Mee Tarik yang dibuat kejap-kejap itu juga siap dalam beberapa minit sahaja. Macam MAGIC! Tekniknya sama macam yang saya lihat di China.

(Nota: Untuk melihat cara membuat lamien di China, sila lihat entri tentangnya DI SINI (Beijing)DI SINI (Tianjin) dan DI SINI (Shanghai)






BESTnya dapat makan "Mee Tarik Paling Best di Malaysia", kata kami sambil merenung papan iklan di dinding restoren.

Tentu ramai yang ingin tahu di mana letaknya restoren Mee Tarik Warisan Asli di Ipoh ini. Senang saja mencarinya. Pergi saja ke Mydin Mall yang terbesar di Malaysia iaitu di Meru. Masuk saja melalui pintu utamanya, anda sudah nampak restoren ini. Selamat menjamu selera!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...