Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 14 Ogos 2017

Umrah 2017 (Bhg.4) | Panduan ke Raudah

D i dalam Masjid Nabawi terdapat sebuah tempat yang digemari oleh Rasulullah untuk beribadat. Ia dikenali sebagai Raudah yang bermaksud taman syurga.

Kawasan Raudah ini, bukannya luas, namun ramai jemaah ingin memasukinya kerana inilah tempat mustajab doa. Oleh kerana keluasannya yang kecil dan ramai pengunjung, maka adalah sukar untuk mendapatkan tempat di situ, terutama bagi kaum wanita.  

Jemaah lelaki lebih beruntung kerana mereka dapat menghampiri mihrab dan berada di Raudah lebih lama

Suasana di luar Masjid Nabawi yang berdekatan dengan makam Rasulullah S.A.W


Saya telah beberapa kali ke Raudah. Melalui pengalaman saya ini, saya pernah diberi kepercayaan untuk membawa jemaah haji wanita ke Raudah pada musim Haji 2010.  Di  sini ingin saya kongsikan beberapa panduan untuk ke Raudah bagi kaum wanita.

1. Kenalpasti waktu Raudah dibuka


Terdapat waktu-waktu tertentu yang mana Raudah dibuka untuk kaum wanita: iaitu pada waktu duha (10 pagi), selepas solat zohor, selepas solat asar dan selepas solat isyak. Pilihlah waktu yang anda rasa sesuai untuk ke situ.

Datanglah sejam lebih awal dari waktu ia dibuka, kerana kita perlu menunggu giliran dan berubah-ubah tempat.

Saya lebih suka ke Raudah selepas solat isya iaitu pada pukul 11.00 malam kerana jemaah kurang ketika itu dan saya berpeluang solat lebih lama.


Raudah yang terdapat di dalam Masjid Nabawi dibuka pada waktu tertentu dan lokasinya jauh ke dalam masjid

2. Solat sunat tahyatul masjid dan solat sunat hajat


Ketika masuk ke dalam masjid Nabawi untuk tujuan memasuki Raudah, lakukan solat tahyatul masjid terlebih dahulu dan diikut dengan solat sunat hajat. Berdoalah kepada Allah supaya anda dapat memasuki Raudah dengan mudah.

Jemaah wanita perlu berjalan di dalam Masjid Nabawi dari pintu masuk lebih kurang 5-10 minit untuk sampai ke Raudah

Bahagian siling Masjid Nabawi

3. Ikutlah arahan dan berada dalam kumpulan jemaah Malaysia


Duduklah dalam kumpulan jemaah wanita Malaysia sebagaimana yang diarahkan oleh polis wanita yang menjaga kawasan Raudah. Tunggulah giliran sehingga dipanggil untuk memasuki Raudah. Anda perlu beralih kedudukan berkali-kali di dalam masjid untuk ke Raudah kerana kedudukan Raudah itu jauh di dalam masjid.

Raudah terbentang di antara rumah Rasulullah SAW (kini makam baginda SAW) dan mimbar Rasulullah SAW.


Jemaah Malaysia dan Indonesia sedang duduk di pintu masuk Raudah menanti giliran. Amaran supaya jemaah tidak berebut-rebut memasuki Raudah diletakkan pada pintu masuk


4. Memasuki Raudah dan mencari permaidani hijau


Ketika dipanggil memasuki Raudah, masuklah dengan segera dan elakan dari berebut-rebut kerana ini boleh mencederakan diri sendiri.

Keluasan Raudah hanyalah 26 meter x 16 meter. Ia ditandakan dengan permaidani hijau yang dibentangkan di atas lantai. Perhatikan permaidani hijau itu. Sekiranya warna permaidani yang terbentang di kaki anda bukan bewarna hijau, maka anda masih bukan berada di kawasan Raudah.


Permaidani hijau ini menandakan inilah kawasan Raudah



5. Lakukan solat sunat di hadapan dinding putih


Bergeraklah ke hadapan sehingga ke dinding putih yang menghadang pandangan ke arah mimbar Rasulullah S.A.W. Pilihlah kawasan yang berhampiran dengan dinding putih supaya terhindar dari orang lalu-lalang di hadapan anda. Sekiranya ruangan di hadapan sudah penuh, lakukan solat di mana-mana bahagian tetapi pastikan anda berada di atas permaidani hijau.


Dinding putih yang menghadang pandangan mimbar dan makam Rasulullah SAW

Lakukan solat sunat 2 rakaat di sini. Anda boleh melakukan sebarang solat sunat seperti solat sunat mutlak. Ketika melakukan solat ini, mintalah kawan anda menjaga anda ketika solat, ini disebabkan orang terlalu ramai lalu lalang di hadapan anda, ruang solatnya sempit dan anda mudah dilanggari oleh jemaah lain. Setelah anda selesai solat dan berdoa, jagalah kawan anda pula. 

Lakukan solat sunat berhampiran dinding putih ini

Selesaikan solat dan doa anda, dan beredarlah segera supaya dapat memberi peluang kepada jemaah lain untuk solat di situ. Keluarlah ke arah pintu kanan. Anda akan dapati bahawa terdapat beberapa polis wanita yang memakai niqab hitam sentiasa mengawal anda. Sekiranya anda berada lama di situ, polis wanita itu akan segera menyuruh anda keluar.


Kawasan dalam Raudah bagi kaum wanita yang sesak

 Keluarlah ke arah kanan setelah selesai solat

Pintu keluar dari Raudah adalah sebelah kanan


6. Minum air zam-zam


Setelah keluar dari Raudah, berjalanlah ke muka pintu Masjid Nabawi dan berhentilah sebentar untuk meminum air zam-zam. Untuk mengelakkan serangan batuk, pilihlah air zam-zam yang disimpan dalam tangki bertulis NOT COLD kerana tangki yang lain diisi dengan ais batu.


Jemaah wanita dari Malaysia berjalan keluar dari Raudah menuju ke pintu utama Masjid Nabawi


Tangki betulis NOT COLD ini mengandungi air zam-zam yang tidak bercampur ais batu


Itulah panduan untuk memasuki Raudah. Semoga segalanya dipermudahkan Allah.

Untuk membaca kisah saya mengunjungi Raudah sebelum ini, sila baca entri berikut:

Backpack ke Madinah & Mekah (Bhg 1): Ke Madinah Melalui Thailand dan Qatar




6 ulasan:

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.