Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Jumaat, 28 Julai 2017

Umrah 2017 (Bhg. 3) | Ziarah di Madinah


M adinah adalah sebuah bandar yang cantik, maju dan sentiasa dikunjungi jemaah dari pelbagai negara. Banyak tempat yang saya ziarahi ketika berada di Madinah. Antaranya ialah:


Masjid Nabawi



Masjid Nabawi adalah masjid yang mesti saya ziarahi ketika berada di Madinah. Inilah masjid yang kedua terpenting dalam Islam. Hotel-hotel kebanyakannya dibina di sekeliling Masjid Nabawi dan jaraknya adalah dekat. Ini memudahkan para jemaah untuk berulang-alik ke masjid.

Masjid Nabawi sentiasa dikunjungi jemaah dari segala pelosok dunia. Walaupun penuh dengan jemaah, keindahan serta kemudahan Masjid Nabawi, samada di dalam atau di luar, membuatkan jemaah merasa sangat selesa beribadat. Sesiapa sahaja yang berada di sini pasti dapat melihat jemaah melakukan solat, berzikir, membaca quran dan beriktikaf. Dalam sebuah hadis, dinyatakan bahawa ibadah yang dilakukan di masjid ini akan digandakan sebanyak 1,000 kali.


Keadaan di luar kawasan Masjid Nabawi selepas solat isyak


Makam Rasulullah SAW


Sebelum masuk ke dalam Masjid Nabawi, saya pergi ke makam Rasulullah S.A.W., memberi salam dan berselawat kepada baginda. Selain itu saya sampaikan juga salam saudara mara saya kepada baginda.

Kubah hijau ini kelihatan dari luar Masjidil Nabawi. Pintu di hadapan adalah pintu masuk ke dalam masjid untuk kaum lelaki


Di bawah kubah hijau ini  terdapat makam Rasulullah SAW, yang dahulunya adalah rumah Rasulullah SAW, manakala di bawah kubah perak di sebelah kirinya adalah penanda mihrab (tempat imam berdiri ketika solat)


Makam Rasulullah S.A.W. letaknya di tapak rumah baginda, tetapi disebabkan perluasan Masjid Nabawi kini makam itu berada di dalam kawasan Masjid Nabawi. Bersebelahan dengan makam baginda SAW, terletaknya makam sahabat baginda iaitu Saidina Abu Bakar Assiddiq dan Saidina Umar Al-Khattab.

Bagi kaum lelaki, mereka sangat beruntung kerana mereka boleh memasuki kawasan dalam Masjid Nabawi yang mana mereka dapat rapat dengan makam Rasulullah SAW, mimbarnya dan mihrabnya. Namun begitu makam Rasulullah ditutupi dengan tirai/pintu dan tidak dapat dilihat.

Namun bagi kaum wanita, mereka hanya dapat melihatnya dari jauh, iaitu hanya dapat melihat kubah yang dibina di atas makamnya.


Pintu yang menutupi makam Rasulullah SAW dikawal oleh polis. (Gambar ini diambil oleh suami saya)


Raudah


Raudah adalah taman syurga iaitu terletak di antara mimbar Rasulullah SAW di dalam Masjid Nabawi dengan rumah Rasulullah S.A.W.  sebagaimana yang diriwayatkan oleh Iman Al Bukhari dan Muslim,

Rasulullah SAW bersabda: "Di antara mimbarku dan rumahku merupakan taman dari taman-taman syurga".

Kaum lelaki lebih beruntung kerana mereka boleh berada di kawasan Raudah dengan lebih lama, lebih rapat dengan mihrab dan dapat menyentuh mimbar Rasulullah SAW.

Di Raudah, kaum wanita hanya dapat melihat sedikit dari mimbar Rasulullah S.A.W.  dan mihrab. Ini disebabkan kawasan Raudah untuk kaum wanita tidaklah luas dan ia dihadang dengan skrin/papan.

Kaum lelaki dapat berada dekat dengan mimbar Rasullullah SAW. (Gambar ini diambil oleh suami saya)


Kaum lelaki di Raudah. (Gambar ini diambil oleh suami saya).

Jemaah lelaki boleh solat berdekatan dengan Mihrab. (Gambar ini diambil oleh suami saya)
Kaum wanita berada di Raudah tetapi mereka hanya dapat melihat sedikit sahaja mihrab dan mimbar Rasulullah SAW kerana ia di hadang dengan skrin/papan.



Perkuburan Baqi


Bersebelahan dengan Masjid Nabawi (tidak berjauhan dengan makam Rasulullah saw), lebih kurang 30 meter,  terdapat kawasan perkuburan Baqi yang menempatkah jenazah sahabat-sahabat Nabi, ahli keluarga baginda (termasuk isteri-isteri dan anak-anak baginda)  dan imam-imam.

Di antara isteri baginda yang dimakamkan di sini ialah Siti Aisyah, Ummu Salamah, Juwairiyah, Zainab, Hafsah, Shafiyah dan. Mariyah. Manakala anak-anak baginda ialah Fatimah Al-Zahra, Ruqayyah, Ummi Kalsum dan Ibrahim.

Oleh kerana kaum wanita tidak dibenarkan masuk ke kawasan perkuburan yang berpagar besi ini, saya hanya berdiri di luar dan memberi salam kepada ahli kubur dan mendoakan mereka.

Perkuburan Baqi. (Gambar ini diambil oleh suami saya)

Masjid Quba


Selain ke Masjid Nabawi, jemaah biasanya dibawa ke sebuah lagi masjid yang dibina oleh Rasulullah S.A.W. ketika mula-mula berhijrah dari Mekah ke Madinah. Masjid itu dikenali dengan Masjid Quba. Biasanya rombongan dibawa ke sini pada waktu Duha untuk solat sunat di sini. Rasulullah S.A.W. sering datang ke Masjid Quba pada hari Sabtu dan solat sunat di sini.

Dalam sebuah hadis dinyatakan bahawa ganjaran bagi mereka yang solat sunat di masjid ini adalah sama dengan mengerjakan satu umrah.

Perjalanan dari Masjid Nabwai ke masjdi Quba tidaklah jauh. Ia memakan masa kira-kira 20 minit dengan menaiki bas atau van.

Selain solat sunat di Masjid Quba, saya dapat mengenang kisah sejarah sahabat Nabi  iaitu Saidina Usman bin Affan yang mewarisi cincin Rasulullah S.A.W., cincin itu dipakainya tetapi terjatuh ke dalam sebuah telaga yang letaknya di sebelah Masjid Quba.  Semasa kunjungan pertama saya ke sini pada tahun 2010, telaga itu masih ada, tetapi kini telaga itu sudah dikambus dan diratakan.


Masjid Quba, masjid yang dibina atas dasar takwa


Ruang solat wanita di dalam Masjid Quba


Bukit Uhud


Bukit Uhud adalah tempat yang seringkali saya kunjungi setiap kali berada di Madinah.  Kunjungan ke Bukit Uhud membuatkan saya mengenang kembali sejarah perang Uhud yang mana ia memberi iktibar kepada saya supaya sentiasa patuh terhadap arahan pemimpin. Perang Uhud membawa kekalahan kepada umat Islam kerana mereka tidak mengikuti perintah Rasulullah S.A.W.

Selain itu saya dapat mengenang kembali kisah perjuangan para syuhada yang mati syahid kerana memperjuangkan Islam seperti kisah Saidina Hamzah. Makam  Saidina Hamzah juga dapat saya kunjungi. 

Antara  peristiwa menarik yang sering saya dengar setiap kali ke sini ialah tentang kejadian banjir di situ yang pernah menghayutkan dan mengeluarkan jenazah-jenazah para syuhada ini. Subhanallah, walaupun sudah bertahun-tahun mereka bersemadi di situ, namun jenazah mereka masih kelihatan segar dan darah mereka akibat luka peperangan masih mengalir dari tubuh mereka.

Mendaki Bukit Uhud

Sebuah masjid baru siap dibina di kawasan Bukit Uhud untuk kemudahan pengunjung Bukit Uhud

Penulis berada di atas Bukit Uhud dan membelakangi masjid yang baru dibina di situ

Makam para syuhada di bina di kawasan ini


Buah-buah kurma banyak dijual di bawah Bukit Uhud




Masjid Qiblatain


Selain itu terdapat masjid Qiblatain yang tidak berjauhan dengan Masjid Quba. Keistimewaan masjid ini adalah kerana berlakunya peristiwa pengalihan arah kiblat dari Baitulmuqaddis ke Mekah. Peristiwa ini berlaku ketika Rasulullah S.A.W. sedang solat di masjid itu, lalu baginda mendapat wahyu untuk mengalihkan arah kiblat. 

Disebabkan faktor masa, setiap kali saya ke sini, saya hanya melihatnya dari luar dan tidak pernah masuk ke dalam.


Masjid Qiblatain, masjid dua kiblat


Senibina Masjid Qiblatain yang indah


Itulah antara tempat-tempat yang saya ziarahi di Madinah baru-baru ini. Untuk mengetahui tempat-tempat lain yang pernah saya ziarahi di Madinah sila baca entri berikut:

Backpack ke Madinah dan Mekah (Bhg 2): Apa ada di Madinah?
Naik Haji (5): Ziarah Madinah Pada Musim Sejuk


...bersambung

10 ulasan:

  1. lamanya tak jenguk Acik Prof eheh.. seronoknya menjadi tetamu-Nya. semoga CT pun ada rezeki dijemput kesana..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih sebab CT sudi singgah sini lagi. Menjadi tetamu-Nya memang seronok, tetapi kenalah tahan dengan ujian dan cabaran-Nya. Semoga CT pun dijemput Allah ke sana.

      Padam
  2. Teringin sangat saya nak solat kat Masjid Nabawi,
    Harap2 dapat saya ke sana.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Insya Allah Adam dijemput Allah ke sana. Niat yang baik akan dipermudahkan Allah.

      Padam
  3. Mohon dipermudahkan segala urusan oleh Allah SWT.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Aamiin.
      Naik Haji tahun ini ke En Muhammad Khairuddin Lim?

      Padam
  4. Salam kak..
    seronoknya.
    semoga satu hari nanti saya dan keluarga berpeluang ke sana.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Puan Azian.
      Semoga Puan Azian dan keluarga dijemput Allah menjadi tetamu-Nya.

      Padam
  5. Teringat semasa mengerjakan umrah bersama keluarga suatu ketika dulu. Bila agaknya dapat ke sini lagi...

    BalasPadam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.