Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Memaparkan catatan dengan label ARAB SAUDI - Madinah 2019. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ARAB SAUDI - Madinah 2019. Papar semua catatan

Rabu, 12 Jun 2019

Umrah 2019 (Bhg. 2) | Ziarah Madinah Musim Sejuk


Setelah check in hotel, kami tak sabar-sabar hendak ke Masjid Nabawi, kamipun bersiap-siap  lalu berjalan kaki ke Masjid. Yang lelaki ke bahagian lelaki. Saya bersama kakak saya solat di ruangan wanita. Pada masa itu sudah pukul 10 malam, kami solat di luar sahaja iaitu di bawah payung/khemah. Di situ terdapat karpet terbentang dengan banyak. Nampaknya pekerja-pekerja di situ sudah mula menggulung karpet, ini bermakna tempat itu akan ditutup. Tidak ramai jemaah wanita yang ada di situ  kerana hari sudah malam.

Luar kawasan Masjid Nabawi pada waktu malam musim sejuk

Kami nampak banyak cengkerik hitam di situ.  Belalang juga banyak. Ada yang sudah penyek, mati terpijak. Ada yang merayap-rayap di lantai. Ada yang memanjat badan jemaah yang sedang solat di kawasan luar masjid. Tetapi tidaklah sampai menggigit mereka.



Belalang di Masjid Nabawi


Sebagaimana kebiasaannya kami menziarahi makam Rasulullah S.A.W. Memberi salam kepada baginda S.A.W. dan sahabat-sahabatnya menjadi kemestian. 


Makam Rasulullah S.A.W. dari luar


Jemaah berjalan menuju ke makam Rasulullah S.A.W


Pagar ke makam Rasulullah S.A.W



Jumaat di Madinah


Istimewanya kunjungan kami kali ini jatuh pada hari Jumaat dan dapatlah kami solat Jumaat di Masjid Nabawi. 



Jemaah wanita di dalam Masjid Nabawi

Jemaah menunggu solat Jumaat di dalam Masjid Nabawi

Pagi itu saya membawa anak-anak saya ke perkuburan Baqi iaitu tempat persemadian keluarga dan sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. Letaknya bersebelahan dengan Masjid Nabawi. Perkuburan itu dipagari dengan tembok tinggi dan hanya kaum lelaki sahaja yang dibenarkan masuk. Oleh kerana anak-anak saya semuanya lelaki, mereka semua dapat masuk ke dalam kawasan perkuburan itu, saya dan kakak saya menunggu mereka di luar sahaja.

Perkuburan Baqi' tempat persemadian keluarga dan sahabat Rasulullah S.A.W




Ke Raudah


Bezanya pada kali ini, orang terlalu ramai. Untuk ke Raudah memerlukan kesabaran kerana ruang untuk wanita adalah terhad. Menanti giliran untuk masuk ke Raudah juga lama, sekurang-kurangnya perlukan masa sejam-dua untuk menunggu. Saya masuk ke Raudah bersama dengan kumpulan jemaah wanita TH Travel yang dipimpin oleh seorang mutawiffah. Lama juga kami menunggu giliran untuk masuk ke Raudah.

Apabila tiba masanya, kami pun dibenarkan masuk ke Raudah. Kami bergilir-gilir solat sunat dua rakaat di atas permaidani hijau yang menjadi tanda kawasan Raudah. Apabila semua jemaah kami selesai solat di situ kami pun disuruh keluar. Semasa itu saya dan kakak saya berdiri dan bersandar pada sebuah tiang di Raudah sambil berdoa. Kami tidak keluar bersama-sama mereka, kami terus berada di situ. Polis wanita yang berada di situ membiarkan sahaja saya dan kakak saya di situ, malahan dia menepuk-nepuk bahu saya supaya berada di situ selama mana yang saya suka. Setelah puas beribadat di situ, barulah saya dan kakak saya keluar.


"Bak sini kamera tu," kata pegawai polis di Raudhah kepada anak saya

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang cara-cara untuk ke Raudah sila baca entri berikut:

Umrah 2017 | Panduan ke Raudah

Membeli-belah dan Ziarah di Madinah


Oleh kerana kami datang sekeluarga, ke mana-mana kami mesti bersama-sama. Apabila pulang dari masjid kami singgah di kedai-kedai membeli-belah. Barang yang dibeli ialah jubah, shawl, baju, kurta, seluar, tasbih, sejadah, buah kurma dan cokolat.  Barang-barang yang dibeli itu ada untuk diri sendiri, ada yang dihadiah kepada saudara-mara dan ada yang diberikan kepada jemaah umrah.


Anak sulung saya memberi makan kurma di luar Masjid Nabawi kepada jemaah yang lalu lalang

Laluan ke hotel kami ada kedai ais krim, kami suka makan ais krim itu. Tak perlu tunggu makan di dalam bilik. Duduk di atas bangku yang ada di tepi jalan, kami makan ais krim itu sambil lihat jemaah lalu lalang.


Kami sekeluarga makan ais krim di atas bangku di tepi jalan Madinah

Pada hari Sabtu, TH Travel membawa kami menaiki bas ke Masjid Quba untuk melakukan solat sunat sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. Ganjarannya bagi sesiapa yang memelihara wudhu dari tempat kediamannya dan mengerjakan solat sunat dua rakaat di Masjid Quba, akan mendapat pahala satu umrah.

Tapi malang bagi saya kerana wudhu saya terbatal sebaik-baik sahaja sampai di perkarangan masjid itu. Saya lalu ke bilik air dan mengambil wudhu sekali lagi lalu solat. Oleh kerana itu saya telah terlambat sehingga jemaah lain terpaksa menunggu saya.

Jemaah solat sunat di dalam Masjid Quba pada waktu pagi

Pada keesokan harinya, suami saya membawa saya ke Masjid Quba sekali lagi. Tapi kali ini kami menaiki teksi ke situ dan meminta pemandu teksi itu menunggu kami sehingga kami selesai solat. Syukur, kali ini wudhu saya tidak terbatal sehingga selesai solat.

Selain daripada itu, kami dibawa TH Travel menziarahi Bukit Uhud, Masjid Qiblatain dan ke pasar kurma. 


Membeli-belah di pasar kurma

Keluarga saya menyaksikan kesan sejarah perang Uhud

Baca entri saya yang lepas tentang ziarah saya di Madinah:



Hujan Lebat yang Lama 


Setelah tiga hari berada di Madinah kami pun ke Mekah mengerjakan umrah. Tetapi pagi itu sebelum kami berangkat, hujan turun dengan lebatnya. Hujan turun agak lama, lebih kurang 4 jam. Kota Madinah dibanjiri hujan. Inilah pertama kali saya mengalami hujan lebat yang lama di tanah suci. Menurut peniaga-peniaga di Madinah, hujan begini sudah  bertahun-tahun lamanya tidak berlaku.

Hujan lebat di Madinah



Ku Lihat Hijau


Semua jemaah memakai pakaian ihram dan memasang niat apabila tiba di miqat Bir Ali. Bas tidak berhenti di Bir Ali, kami cuma melafaz niat ihram dan bertalbiah di atas bas sahaja.  13 pantang-larang ihram perlu dijaga ketika ini supaya tidak dikenakan dam.

Perjalanan dari Madinah ke Mekah kali ini menarik kerana tidak pernah saya melihat pokok-pokok hijau dan sungai mengalir dengan banyak di sana. Kali ini tanah suci ini kelihatan hijau.

Sungai mengalir dan tumbuhan hijau kelihatan dalam perjalanan di antara Madinah dan Mekah

Air bertakung dan tanah basah


Berhenti Rehat di Perjalanan



Perjalanan ke Mekah memakan masa lebih kurang 6 jam. Kami dijangka akan sampai pada pukul 8.30 malam.

Bas berhenti dua kali untuk jemaah membuang air, minum dan solat.  Kami duduk minum teh dan cucur bawang Arab di salah sebuah tempat rehat. Oleh kerana terdapat 13 buah bas yang dibawa oleh TH Travel, maka tempat rehat itu segera dipenuhi orang. Maka untuk ke tandas perlu beratur panjang.

Air bertakung di atas tanah di kawasan rehat 

Berhenti makan cucur.



Sebagaimana yang dijangkakan, kami sampai ke Mekah pada pukul 8.30 malam. Apakah yang berlaku di Mekah?  Nantikan sambungannya dalam entri akan datang.

Khamis, 23 Mei 2019

Umrah 2019 (Bhg.1) | Pengalaman Naik Kapalterbang Sewa Khas ke Madinah


L  ama sudah rasanya blog tempat saya bercerita ini sepi. Ini disebabkan masa banyak saya curahkan untuk kerja. Jadi nota-nota kembara saya banyak yang saya ketepikan.

Namun dalam kesibukan kerja itu saya dihadiahkan oleh Allah untuk mengerjakan umrah lagi.  Kali ini saya dapat pergi sekeluarga.  Suami, anak-anak dan adik-beradik saya turut serta. Bagi saya ini adalah jemputan Allah yang sangat istimewa.

Sejak November lalu saya buat persediaan berangkat ke tanah suci. Walaupun ini bukan kali pertama saya ke sana, namun persediaan rapi tetap menjadi keutamaan bagi saya. Terutama sekali ia melibatkan ibadah  yang memerlukan mental dan fizikal.

Oleh kerana usia yang semakin petang, saya perlukan stamina supaya boleh melakukan tawaf dengan saie. Untuk itu saya dan suami mengayuh basikal setiap hari. 12 km setiap kali mengayuh. Selain itu saya menyemak amal ibadat anak-anak. Walaupun mereka sudah sangat dewasa, saya pastikan yang umrah anak-anak saya itu nanti betul.

Kali ini, sekali lagi saya menggunakan khidmat Tabung Haji (TH) Travel. Lihat entri saya dua tahun lalu dengan TH Travel DI SINI.

Kali ini saya berpeluang menaiki kapalterbang yang disewa khas oleh Tabung Haji Travel. Penerbangannnya terus ke Madinah. Kapalterbang sewa khas ini memuatkan 500 orang jemaah umrah yang terdiri daripada orang Malaysia.

"Kadang-kadang kami bawa orang Indonesia. Hampir setiap hari kami terbang," kata pramugara MAS apabila saya meminta penjelasannya

Kapalterbang sewa khas ini disewakan dengan MAS. Nampaknya pramugari dan pramugara untuk penerbangan sewa khas ini adalah mereka yang sudah senior.  Barangkali umur mereka 40an. Pramugarinya nampak manis dan sopan apabila semuanya memakai tudung.


Penumpang dalam kapalterbang sewa khas ini semuanya hendak mengerjakan umrah

Sangat berlainan rasanya apabila menaiki kapalterbang kali ini, penuh dengan ibadah dan ingatan pada Allah. Doa dibacakan apabila kapalterbang berlepas. Apabila masuk waktu solat, azan dilaungkan oleh muazzin. Diikuti dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Kunjungan.  Cara begini mengingatkan saya kembali pada penerbangan haji saya pada tahun 2010. Baca entri tentang Haji yang saya lakukan DI SINI.

Makan tengahari

Menu pilihan kedua


Apakah yang menarik untuk diceritakan kepada pembaca blog saya ini? Pasti setiap perjalanan itu ada kelainannya walaupun destinasi itu sudah dikunjungi berkali-kali sebelum ini.

Saya dan keluarga ke tanah suci pada Musim Sejuk iaitu pada akhir Januari sehingga Februari 2019. Sudah tentu cuaca sejuk menjadi cabaran kami. Saudara-mara yang baru pulang dari sana juga menyatakan bahawa cuaca di sana sangat sejuk dan berangin. Maka, pakaian musim sejuk seperti jaket tebal, stokin tebal, sarong tangan dan kasut bertutup mesti disediakan. Kesejukan di Madinah pernah saya rasai sebelum ini iaitu pada ziarah saya pada tahun 2010. Anda boleh membaca pengalaman saya itu DI SINI.

Perjalanan dari KL ke Madinah

Walaupun sudah buat persediaan rapi, entah macam mana, saya tertinggalkan winter jacket saya di rumah. Aduhai!!! Jadi, saya bercadang untuk membelinya di Madinah nanti.

Tapi apabila kami mendarat di Madinah, kami dapati cuacanya tidak lagi terlalu sejuk. Syukur. Cuacanya sangat nyaman. Jadi tak perlu memakai pakaian musim sejuk.

Lapangan terbang Madinah


Hotel Saja Al Madinah


Kami diberi hotel Saja Al Madinah yang letaknya di belakang Hotel Movenpick yang kami inapi pada umrah 2017. Hotel ini juga berdekatan dengan Masjd Nabawi dan masuknya ikut pintu 15.


Hotel Saja Al Madinah yang kami inapi. Katil yang ada 3 tetapi yang menginap berdua.

Bilik air Hotel Saja Al Madinah

Apakah yang kami lakukan setelah mendapat bilik hotel yang selesa ini? Berehat? Tidur? Membeli-belah? Ke Masjid?
Ikutilah kembara saya dalam entri akan datang.

...bersambung

Baca sambungannya:
Umrah 2019 (Bhg. 2) | Ziarah Madinah Musim Sejuk