Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Sabtu, 31 Ogos 2013

Backpack ke Madinah dan Mekah (Bhg 2): Apa Ada Di Madinah?

M adinah juga adalah tanah haram. Tanah haram bermaksud tanah yang dilarang Allah bagi penumpahan darah, ditebang tumbuh-tumbuhannya dan dibunuh binatangnya. Tanah haram di Madinah ditandakan dengan gerbang tinggi di tepi jalan. Saya dapat melihatnya ketika Zahari membawa kami ke Bukit Uhud, Universiti Madinah, Bukit Magnet dan kilang cetakan Al-Quran.

Gerbang penanda sempadan tanah haram di Madinah

 

Masjid Quba, Masjid yang Dibina Atas Dasar Taqwa

 

Papantanda jalan di Madinah


Kami memandu ke masjid-masjid bersejarah di kota Madinah. Antaranya ialah Masjid Qiblatin dan Masjid Tujuh. Zahari menjadi pemandu dan menjelaskan sejarah masjid-masjid ini. Masjid Qiblatin ialah masjid yang mempunyai sejarah. Rasulullah SAW pernah bersolat di sini. Ketika baginda SAW sedang solat tiba-tiba baginda menerima wahyu supaya menukarkan arah qiblat dari Baitul Muqaddis ke Mekah.  Ketika sedang solat itulah baginda SAW mengalihkan arah kiblat ke arah Kaabah. Masjid Tujuh adalah  tempat perlindungan tentera Islam semasa perang Khandak. Kami tidak masuk ke dalam masjid-masjid ini cuma melihat dari dalam kereta.

Nabi SAW datang ke Masjid Quba pada setiap hari Sabtu dan solat dua rakaat di dalamnya


Masjid yang benar-benar kami masuki dan mengerjakan solat di dalamnya ialah Masjid Quba. Masjid Quba ialah masjid pertama yang dibina oleh Nabi Muhammad SAW setelah baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah. Masjid Quba ialah masjid yang dibina atas dasar takqwa. Adalah sunat mengunjungi masjid ini. Ia adalah masjid keempat penting setelah Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi dan Masjid al-Aqsa.

Masjid Quba - di dalam dan di luar


Bagi memperolehi fadhilat mengerjakan solat sunat di Masjid Quba kita perlu mengambil wudhu dari tempat penginapan kita dan hendaklah menjaga wudhu tersebut sehingga selesai solat. Fadhilatnya ialah bagi setiap solat sunat dua rakaat, ganjarannya ialah sama dengan mengerjakan satu umrah. Ini adalah berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Ahmad bin Hambal, Al-Hakim dan At-Tabrani dengan Sanad mereka Sahl Ibn Hanif r.a. sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang bersuci  di rumahnya  kemudian datang ke Masjid Quba serta solat di dalamnya satu solat adalah ganjaran untuknya seperti  ganjaran satu umrah."

Masjid Quba sentiasa dikunjungi ramai


Ketika kami mengunjungi masjid ini orang terlalu ramai. Saya yakin wudhu saya boleh tahan lama. Entah macam mana ketika hendak memasuki pintu masjid wudhu saya terbatal kerana tangan seorang lelaki terkena tangan saya. Saya pun mengambil semula wudhu di tempat wudhu masjid itu dan mengerjakan solat tahiyatull masjid dan solat-solat sunat. Maka saya tidak memperolehi ganjaran satu umrah itu. Saya rasa amat terkilan dan rugi yang amat sangat.

Sejak itu apabila saya mengunjungi Masjid Quba pada tahun-tahun berikutnya saya pastikan tangan saya disimpan di dalam telekong labuh dan kadang-kadang saya memakai sarung tangan.


Ke Ladang Unta


Di Madinah kami pergi ke ladang unta. Ia letaknya di sebuah padang pasir yang gersang. Hanya bukit batu, batu-batu kerikil, pasir dan pokok-pokok renek yang ada di situ. Terdapat beberapa buah khemah kecil berdiri di tengah-tengah padang pasir itu. Di tengah-tengah cuaca panas dan terik itu kami menuju ke kandang unta. Kami melihat beberapa orang Badui sedang memerah susu unta. Zahari berbual dengan mereka dan bertanyakan tentang susu unta. Saya amat kagum dengan kefasihan Zahari bertutur dalam bahasa Arab Hami itu. Orang Badui itu kemudiannya menapis susu unta yang diperah itu ke dalam mangkuk.

Kami masuk ke dalam khemah dan duduk di dalamnya. Terasa sejuk di dalam khemah itu. Saya rasa sangat gembira kerana berpeluang berada di khemah Badui di kawasan gersang yang selama ini saya hanya saksikan di dalam filem. Kamipun minum susu unta yang dituangkan ke dalam mangkuk. Rasa susu unta ini amatlah sedap. Inilah pertama kali saya minum susu unta yang segar.

Ladang unta di Madinah. Susu unta mengandungi banyak khasiat.

Menikmati susu unta segar di khemah Badui




Oleh kerana saya sudah tiga kali ke Madinah dan Mekah maka saya sudah tiga kali minum susu unta. Saya berpendapat susu unta di Madinah inilah yang paling sedap.


Ke Kilang Al-Quran


Kaunter membeli Al-Quran cetakan Madinah

Selain itu kami ke kilang mencetak Al-Quran dan membeli beberapa naskah Al-Quran. Al-Quran yang bersaiz A4 berharga 50 rial, yang kecil sedikit 30 rial. Al-Quran cetakan Madinah inilah yang diterima untuk diwakafkan di Masjidil Nabawi dan Masjidil Haram. Sekiranya kita mewakafkan Al-Quran cetakan lain, ia akan dikeluarkan dari masjid dan diberikan Al-Quran ini ke negara-negara lain. Saya pernah menyaksikan pekerja-pekerja Masjidil Haram mengutip Al Quran yang bukan cetakan Madinah sebanyak sebuah lori kecil dan membawanya keluar dari masjid.

 

 

Keajaiban Bukit Magnet (Jabal Maghnatis)


Pernahkah anda meletakkan free gear pada kereta anda dan kereta itu kemudiannya bergerak sendiri di atas jalan rata tanpa perlu dipandu oleh pemandu? Fenomena ajaib ini boleh dirasai dan dicuba di Bukit Magnet tidak berjauhan dari Kota Madinah.

Kami ke sana dengan dibawa oleh Zahari. Zahari memandu kereta ke Bukit Magnet yang letaknya kira-kira 40 km dari kota Madinah. Apabila kami sampai di sana kami lihat kawasannya amat tandus dan gersang. Terdapat padang pasir yang luas dan bukit batu lada. Terdapat juga unta-unta berkeliaran. Orang Madinah suka ke sini untuk berkelah.

Saya lihat Zahari memandu menghala ke arah Madinah. Enjin diletakkan pada kelajuan yang amat rendah iaitu kira-kira 30 km/jam. Gear diletakkan pada free. Zahari kemudiannya membebaskan tangannya daripada memegang steering. Kereta itu bergerak sendiri. Ada sejenis kuasa menarik kereta itu di atas jalan. Saya memerhatikan meter kereta itu - dari 30 km/jam kepada 90 km/jam. Kemudian meter itu semakin naik. Sehinggalah melebihi 120 km/jam. Kereta yang kami naiki semakin lama semakin laju dan terasa ia seperti ditarik.

Bukit Magnet mempunyai daya tarikan yang kuat sehingga boleh menarik kereta atau bas yang berpenumpang. Inilah keajaiban yang ditunjukkan oleh Allah. Tetapi tidak ramai manusia yang memikirkan.

nilah kawasan Bukit Magnet yang punya kuasa magnet yang ajaib sehingga boleh menarik kenderaan berpenumpang



Bukit Uhud Bukti Perjuangan Para Syuhada


Bukit Uhud telah saya kenali melalui kelas Sejarah Islam dan Agama Islam. Selama ini saya hanya mendengar ceritanya. Tetapi kali ini saya dapat melihat bukit itu dengan mata sendiri. Di sinilah bukti perjuangan para syuhada. Mereka mati syahid kerana memperjuangkan Islam dalam Perang Uhud pada Syawal 3 Hijrah. Antaranya ialah Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib iaitu bapa saudara Rasulullah SAW.  Jenazah Saidina Hamzah telah dicincang dengan kejam oleh Hindon yang mana hati Saidina Hamzah dilapah oleh Hindon. Jenazahnya disemadikan di Bukit Uhud. Bukit Uhud itu berwarna merah seperti darah para syuhada itu.

70 orang sahabat Rasulullah SAW telah syahid di sini dan disemadikan di sini. Pernah suatu ketika banjir melanda di kawasan ini dan telah mengakibatkan jenazah para syuhada itu terkeluar dari kuburnya. Namun jenazah para syuhada itu masih kelihatan sempurna seperti jasad manusia yang masih hidup walaupun mereka telah disemadikan bertahun-tahun lamanya. Kemudian jenazah Saidina Hamzah dipindahkan di kaki bukit. Dan kini ia dipagar. Diceritakan oleh seorang Ustaz bahawa sebuah bukit bergerak menghadap ke arah jenazah Saidina Hamzah dikuburkan semasa pemindahan itu demi menghormati perjuangan jihad beliau.

Di situ terdapat Bukit Pemanah yang mana di sinilah harta rampasan perang diletakkan. Nabi Muhammad SAW telah berpesan supaya jangan sesiapapun ke bukit itu tanpa arahan baginda. Namun pesanan baginda tidak diendahkan. Malahan mereka sibuk mengambil harta rampasan perang. Disebabkan keingkaran mematuhi arahan baginda maka pihak musuh mengambil kesempatan ini dan mengakibatkan Islam kalah.

Kami ke makam para syuhada ini, memberi salam dan berdoa untuk mereka.


Warna merah darah pada Bukit Uhud. Bukit Pemanah dan makam para syuhada dalam peperangan Uhud.

Jual beli di kaki Bukit Uhud



Kurma Madinah

 


Pokok kurma di Madinah


Kurma tumbuh subur di bumi Madinah. Antara kurma yang terbaik dan berkhasiat ialah kurma Ajwa atau kurma Nabi.  Ia boleh dibeli di kedai-kedai, ladang-ladang kurma, pasar kurma atau di Masjid Quba. Harga kurma Ajwa berbeza mengikut gred. Ada yang berharga 40 rial (RM38.20) sekilo dan ada yang mencecah sehingga 80 rial (RM78.20) sekilo. Saya membeli pelbagai jenis kurma samada kurma kering atau kurma segar.  Kurma adalah makanan sunnah dan kita dianjurkan supaya sentiasa mempunyai kurma di rumah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Rumah yang tidak ada kurma di dalamnya, maka kelaparanlah bagi penghuninya atau laparlah penghuninya.”   (Hadis riwayat Muslim dan Tirmizi)

Hadis mengenai kelebihan kurma Ajwa pula terbukti melalui kata-kata Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Pada kurma ‘ajwah ‘aliyah dipermulaan pagi sebelum sarapan adalah penyembuh daripada setiap sihir dan racun.”  (Hadis riwayat  Ahmad)

Pasar Kurma di Madinah

 

Kesucian Tanah Madinah Jadi Penawar



Perkuburan Baqi sentiasa dikunjungi orang.


Sebelum ke Madinah saya sudah membaca buku tentang Madinah. Salah sebuah buku yang saya baca menyatakan tanah di Madinah amat suci dan kesuciannya itu boleh digunakan sebagai penawar. Saya bertanyakan pandangan Liza tentang ini dan dia menyetujui kebenarannya. Saya mengambil segenggam tanah suci Madinah itu yang terdapat betul-betul di hadapan Masjid al-Nabawi kerana di situ terdapat kerja-kerja pembinaan. Tanah itu saya sapukan pada kulit badan saya dan memohon kepada Allah supaya menghilangkan alahan pada kulit saya.


Masjid al-Nabawi masih dalam pembinaan pada tahun 2010. Di kawasan inilah saya mengambil tanahnya untuk penawar penyakit



Meninggalkan Madinah untuk Ke Mekah


Menara Masjid al-Nabawi di waktu malam

Orang ramai memulakan aktiviti harian pada musim panas di Madinah

Kawasan luar hotel penulis pada waktu pagi


Halaman Masjid al-Nabawi di waktu pagi

Menara Masjid al-Nabawi di waktu siang

Disunatkan menziarahi makam Rasulullah SAW, mengucapkan salam dan selamat tinggal sebelum meninggalkan Madinah


Amat berat meninggalkan kota Madinah al-Munawarah. Setelah dua hari berada di Madinah kamipun meninggalkan Madinah untuk ke Mekah pula. Sebelum keluar dari hotel saya sudah mandi sunat ihram.

Kami memandu sendiri ke kota Mekah. Zahari yang pandu.

Kami kemudiannya berhenti di Masjid Bir Ali (juga dikenali dengan Zulhulaifah). Bir Ali ialah miqat untuk kita memulakan niat ihram sebelum ke Mekah, bersesuaian dengan sunnah Rasulullah SAW. Di kawasan luar masjid terdapat gerai-gerai menjual pakaian ihram dan peralatan beribadah. Terdapat juga pohon-pohon rendang menghiasi kawasan masjid.

Saya masuk ke dalam masjid, mencari tempat berwuduk lalu mengambil wudhu. Orang tidaklah ramai di dalam masjid ketika itu. Ada ruang untuk saya solat jamak zohor/asar dan sunat ihram. Setelah itu saya berniat ihram. Maka bermulalah 13 pantang larang dalam ihram sehinggalah saya mengerjakan tawaf, saie dan bertahalul. Saya amat menjaga pantang larang itu dan amat berhati-hati.

Setelah masing-masing masuk ke dalam kereta semula dan berpesan-pesan, "Dah niat Ihram? Dah niat ihram?" kamipun menyambung perjalanan kami. Sepanjang saya berihram saya tidak mengambil sebarang gambar kerana saya khuatir niat saya mengerjakan umrah akan terpesong.

Nota: Blog ini bukan bertujuan untuk memberi panduan lengkap mengerjakan umrah, tetapi sekadar memberi gambaran ringkas perjalanan saya di tanah suci. Untuk cara-cara melakukan ibadat yang lengkap serta terperinci, sila rujuk kepada guru anda atau menghadiri kursus haji dan umrah atau merujuk kepada bacaan dari penerbit yang bertauliah.


Pemandangan di tepi jalan di antara Madinah dan Mekah. Gambar ini saya ambil pada Jun 2013 setelah selesai mengerjakan umrah iaitu pada kunjungan ketiga saya ke tanah suci.


Sesekali terdapat bangunan berdiri di tengah-tengah padang pasir


Perjalanan dari Madinah ke Mekah memakan masa lebih kurang 5 jam. Perjalanan yang agak jauh ini tidak terasa kerana saya dapat melihat pemandangan di tepi jalan. Sepanjang perjalanan saya dapat lihat pokok kurma, pokok renek, bukit batu, padang pasir, unta, rumah dan masjid. Kadang-kadang kami berhenti membeli minuman di kedai. Pernah juga kami berhenti mengisi petrol kereta. Amat murah sekali harga petrol di sini. Maklumlah Arab Saudi adalah antara negara pengeluar petroleum terbesar di dunia.


Sukar sekali melihat penempatan manusia di sepanjang jalan ke Mekah dari Madinah

Bukit-bukau berbatuan di sepanjang jalan dari Madinah ke Mekah

Tanah berpasir, berbatuan dan gersang ini menginsafkan saya tentang perjalanan Nabi Muhammad SAW yang menempuhinya ketika baginda pergi mengerjakan haji dengan menaiki unta dan berjalan kaki. Baginda SAW menghabiskan masa kira-kira 9 hari untuk sampai ke Mekah. Kesusahan baginda ini amat saya rasai.

Dalam kereta kami bertalbiah dengan diketuai oleh Zahari siswa Universiti Madinah itu sambil beliau memandu kereta milik Syeikh Toriq. Talbiah ialah menyahut seruan beribadah:

لبيك اللهم لبيك لبيك لا شريك لك لبيك إن الحمد ونعمة لك والملك لا شريك لك
(Labaik Allahumma Labaaik, labaaik Laa Syarika Laka Labaaik Inal Hamda Wan Ni’mata Laka Wal Mulka La Syarikalah)

Daripada Abdullah bin Umar r.a, sesungguhnya Rasulullah SAW setelah duduk di atas kenderaannya bertolak dari Masjid Zi al-Hulaifah, baginda membaca talbiyah yang bermaksud: 


“Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah! Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, (Tuhan) yang tidak ada sekutu bagi-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu.”  (Hadis riwayat Muslim)

Kami bertalbiah berulang kali sehinggalah saya tertidur.

 ...bersambung




6 ulasan:

  1. Salam Prof...

    Subhanallah...byk cerita yang prof ceritakan saya tak pernah dgr..byknya info yang prof share. TQ prof

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Zila,
      Saya juga dapat sebahagian cerita ini semasa di sana.

      Padam
  2. Salam Kak NA:

    Subhanallah ... rindu sangat dengan tempat2 dalam gambar tu semua. Semua tu saya pernah jejak tapi dah lama dulu huhu. Best la dapat tengok pintu gerbang Haram Area tu, dulu tak pernah perasan pon pintu gerbang tu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Janggel/Rain,
      Seronok kan pergi sana. Untuk tengok pintu gerbang sempadan tanah haram tu kena memandu jauh sikit. Kebetulan pada masa itu saya dibawa oleh Zahari yang dah 3 tahun tinggal di Madinah, jadi dia yang tunjukkan.

      Padam
  3. Aslmkm Prof,
    Saya cuma nak share pengalaman kurang manis saya (ttp menjadi pengajaran) di masjid Quba - maaf panjang sikit! Slps solat sunat & hendak mencari kasut di muka pintu masjid bhgn wanita, saya telah dihimpit oleh seorg wanita arab (boleh tahan besar tubuh badan & tinggi orangnya) berpakaian cotton warna biru muda. Disondol2nya saya, saya menoleh & nampak dia berlari ke arah dlm masjid & melawan arus sdgkan semua org nak keluar. Saya tengok beg sandang saya dah terlopong & beg duit sudah tiada. Saya kejar dia & tanya (masa ni dah tak ingat nak berbahasa apa - mcm2 keluar dari mulut saya dan tangan saya menggigil menahan geram) "Mana beg duit saya?". "Lak, lak" dia jawab sambil tunjuk tangan kanan sebelum masukkan dalam tudung & keluarkan tangan kiri pula. Saya pun jerit "Polis, polis", malangnya polis wanita yang selalu berada di dpn pintu masjid tiada di situ pada waktu itu. Mulanya saya sudah pasrah. Dalam hati saya, 'tak apalah kau nak ambil duit aku, aku redha', krn saya cuma bawa 500 riyal sahaja. Selebihnya saya tinggalkan di hotel. Saya bergerak keluar tetapi saya lihat wanita tersebut semakin galak menolak orang2 di situ supaya memberi laluan kepadanya. Ini tak boleh jadi ni....saya pergi semula ke tempatnya & memberi isyarat supaya memulangkan semula dompet saya. Dia cakap lagi, "Lak, lak" sambil mengangkat kedua-dua tangannya. Dengan izin Allah, dompet saya jatuh dibelakangnya, Alhamdulillah masih rezeki saya...Orangramai yang nampak semua mengutuk dia. Lepas itu baru dia managed melarikan diri ke arah yang sama iaitu melawan arus. Saya ingat saya seorang sahaja yang diuji oleh Allah pada hari itu, rupa-rupanya seorang lagi jemaah Malaysia dari kumpulan yang sama kehilangan wang RM2500 dicampur dengan RM2500 duit suaminya yang ditumpangkan dalam beg sandang beliau.

    Moral of the story:
    1. Semasa ziarah - jangan bawa semua wang anda. Mutawwif akan mengingatkan anda sebelum bertolak.
    2. Semasa solat sunat - sangkut beg sandang di leher kerana pernah terjadi beg sandang seorg jemaah lelaki dilarikan semasa beliau sedang solat sunat tetapi malangnya beliau tidak berhenti bersolat dan membiarkan sahaja beg itu dilarikan.
    3. Menurut Mutawwif, kejadian seumpama itu sangat biasa berlaku & selalunya dilakukan oleh org Badwi atau org Mesir (bahagian solat wanita). Pakaian pun lebih kurang sama seperti yang saya described tadi iaitu cotton biru, wallahu'alam.

    Semoga bermanfaat,
    Lina

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Lina,
      Terima kasih dengan peringatan ini. Amat berguna sekali.

      Ya, kejadian seumpama ini tidak mustahil berlaku walaupun di tanah suci Madinah atau Mekah. Ini disebabkan terdapat orang ramai dari serata dunia datang ke sini. Orang yang datang ke tanah suci ini juga mempunyai pelbagai tujuan. Kebanyakan orang datang ke tanah suci untuk beribadat kerana Allah. Tetapi ada juga yang datang untuk tujuan lain. Termasuklah mencari kesempatan samada menjadi scammer, pencopet atau terlibat dengan sindiket pengemisan. Saya juga pernah bertemu dengan orang begini. Pada kunjungan saya baru-baru ini iaitu pada Jun 2013 yang lalu, saya sekeluarga bertemu dengan seorang lelaki Pakistan bersama isteri dan seorang bayi berdekatan dengan Masjid Nabawi. Dia menyatakan pasport dan duit mereka hilang dan meminta kami memberi mereka duit. Tapi kami ragu-ragu dengan kejujurannya dan meninggalkannya. Sejurus kami meninggalkannya dia mengejek-ejek kami dan marah-marah. Begitu juga terdapat ramai pengemis yang terdiri daripada kanak-kanak yang cacat (ada yang dibuat-buat)dan ibu yang mendukung bayi di hadapan Masjdil Haram dan Masjid Nabawi dan tempat melontar di Jamrah. Ustaz yang sering ke tanah suci sudah berpesan ini adalah sindiket. Di kawasan Masjid Quba juga ramai kanak-kanak yang masuk ke dalam bas rombongan dan menjual tasbih tetapi tidak akan turun dari bas walaupun ditarik keluar selagi kita tidak membeli tasbihnya atau memberinya duit. Di dalam Masjdil Haram juga banyak kes orang hilang duit ketika solat dan tawaf.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.