Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Ahad, 4 Ogos 2013

Ramadhan di Pulau Pinang Yang Bakal Pergi

S elamat memburu Lailatul Qadar kepada pengunjung blog saya yang beragama Islam. Entri blog saya bulan Ramdhan ini agak "slow' sedikit. Maklumlah bulan yang penuh keberkatan ini saya agak sibuk dengan macam-macam aktiviti.

 

Sukarelawan Memasak Juadah Berbuka di Masjid


Kalau ada kelapangan saya yang kerdil dan lemah ini membantu penyediaan berbuka puasa di Masjid Al-Khalid, Universiti Sains Malaysia. Iftar di masjid ini diadakan setiap hari. Sesiapa sahaja boleh datang berbuka di masjid ini tidak kira agama, bangsa dan negara (eh macam lagu patriotik pulak bunyinya he he he).

Antara menu berbuka puasa ialah kanji nasi, nasi dengan lauk-pauk seperti kari daging dan dalca. Kadang-kadang ayam masak merah dengan jelatah dan nasi briani. Kadang-kadang ayam masak kicap dan nasi kacang. Nasi Arab juga tidak ketinggalan disediakan oleh masyarakat Arab yang ramai di sini.

Kira-kira 2,000 orang datang ke masjid ini setiap hari untuk berbuka. Perbelanjaan untuk juadah berbuka ini adalah sumbangan daripada warga dalam dan luar kampus USM. Kerajaan Arab Saudi juga menaja beratus-ratus kotak kurma yang didatangkan khas dari sana. Jadi sesiapa sahaja boleh menjimatkan belanja sepanjang bulan Ramadhan dengan berbuka di sini. Kalau ada pengunjung blog ini yang datang ke Pulau Pinang singgahlah di Masjid Al-Khalid, USM untuk berbuka. Jangan datang lambat sangat tau, nanti kehabisan.

Sukarelawan yang membantu memotong bawang, halia, kentang dan lobak merah untuk masakan berbuka puasa di Masjid Al-Khalid, USM.

Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a, daripada Nabi SAW sabdanya:

"Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun." (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Aktiviti di masjid ini dimeriahkan dengan solat tarawikh dan Qiamulail yang diimamkan oleh imam dari Madinah, pelajar-pelajar tahfiz sekitar Pulau Pinang dan imam jemputan dari negeri-negeri lain di Malaysia.

Penulis mengacau kanji nasi di dapur masjid

Membantu Golongan Miskin


Selain itu saya yang kerdil dan lemah ini turut menjalankan aktiviti amal untuk membantu golongan yang memerlukan. Saya dan kawan-kawan saya memungut wang daripada sesiapa yang kami kenali untuk disumbangkan kepada golongan ini. Ada yang memberi zakat, fidayah dan sedekah. Hasil daripada kutipan wang ini kami beli bahan-bahan makanan untuk disumbangkan kepada mereka yang memerlukan ini. Antaranya ialah beras, gula, tepung, bihun, teh, minyak masak, biskut, garam dan sos tomato. Saya suka melakukan kerja ini kerana ia dapat menenangkan jiwa saya.

Aktiviti amal penulis dengan masyarakat setempat
Bersedekah dengan wang atau perbuatan  adalah perintah Allah SWT kepada kita semua. Dalilnya:

Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah dan janganlah kamu jatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik. (Al-Baqarah: 195)

 

Majlis Ilmu


Pada hari Ahad saya biasanya menghadiri majlis ilmu yang diadakan berdekatan dengan rumah saya. Antara Ustaz-ustaz yang terkenal yang tinggal berdekatan dengan rumah saya ialah Dr Danial Zainal Abidin dan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.

Majlis Ilmu bersama Dr Danial Zainal Abidin setiap hari Ahad di Batu Uban, Pulau Pinang

Menuntut ilmu amat digalakkan oleh Islam dan mendapat kelebihan sebagaimana firman Allah:


Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai ilmu pengetahuan jika kamu tidak mengetahui. (An Nahl :43)


Hai orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: Berlapang-lapanglah kamu dalam majlis, maka hendaklah kamu berlapang-lapang, nescaya Allah melapangkan untukmu. Dan apabila dikatakan: Bangunlah (berdirilah) kamu, maka hendaklah kamu berdiri, nescaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu dan orang yang berilmu beberapa darjat. Allah maha amat mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al Mujaadalah 11)

 

Masak Kuih Raya


Beberapa hari sebelum hari raya saya mengambil cuti untuk memasak biskut, kek dan kuih raya. Kebiasaannya saya membuat kuih raya sendiri. Tetapi tahun ini kuih-kuih tradisional yang sukar untuk dibuat saya beli sahaja. Belipun demi membantu kawan-kawan menambahkan pendapatan. Manakala kuih yang modern saya buat sendiri. Antara kuih raya yang sering saya buat ialah Madeline Cake, kuih goyang, biskut cornflakes, shortbread, cupcake dan cashew nut cookies.

Kuih Raya yang saya buat sendiri tahun-tahun lepas.Strawberry  Cheese Cake (kiri-atas), Mirror Cake (kanan-atas), Kuih Goyang (kiri-bawah), Marble Cake (kanan-bawah), Madeline Cake (tengah). Tapi tahun ni tak pasti menjadi atau tidak.

Rasanya sudah lama saya tidak membuat kuih-kuih ini. Maklumlah tahun lepas saya menyambut Ramadhan dan Aidil Fitri di Xian dan Beijing China. Alat-alat untuk membuat kuih tidak ada. Anak-anak saya datang beraya bersama dengan saya di Beijing dengan membawa kuih raya dari Malaysia. Untuk mengimbas kembali Ramadhan dan Raya saya di China sila klik di sini (Beijing) dan sini (Xian).


Balik Kampung


Biasanya saya menyambut hari raya pertama di Pulau Pinang dan kemudiannya pulang ke kampung halaman saya di Perak selepas solat sunat Aidil Fitri. Anda pula bagaimana?

Kepada umat Islam di mana jua anda berada, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari raya, maaf zahir batin dan jangan jadikan jalan raya sebagai pusara.

Oklah, saya nak periksa ketuhar saya yang dah lebih setahun sejuk. Lepas itu nak keluarkan acuan yang mungkin dah mula berlapuk, mungkin juga sudah nak berkarat. Tak pasti pula menjadi atau tidak kuih raya saya tahun ini.


8 ulasan:

  1. Wah macam2 aktiviti kak NA ye sempena bulan Ramadhan ni, lepas ni busy dengan aktiviti berhari raya pulak kan. Nasik Kanji tu sama macam bubur lambuk ke?

    Selamat berpuasa dan Selamat Hari Raya!
    Maaf zahir dan batin.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Janggel/Rain,
      Lepas ni berhari raya pulak. Tak ada idea nak masak apa pada hari raya nanti. Ada kawan-kawan yang janji nak datang rumah. Tak tahu nak masak apa nih???

      Nasi kanji tu bubur lambuklah. Bubur lambuk panggilan orang selatan kita. Orang Perak & Pulau Pinang panggil ni kanji nasi. Ada yang panggil bubur nasi. Di Kedah ada yang panggil moi.

      Selamat berpuasa dan Selamat Hari Raya. Maaf zahir Batin.

      Padam
  2. Salam kak

    Wah, meriah sungguh, pasti seronok reramai gitu

    Selamat hari raya aidilfitri buat kak sekeluarga
    Maaf zahir batin

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Rezeki. Memang seronok buat kerja gotong-royong bila reramai gitu.

      Selamat Hari Raya buat Rezeki dan keluarga. Berhati-hati di jalanraya ya. Maaf zahir batin.

      Padam
  3. selamat hari raya akak! Maaf zahir & batin sepanjang kita kenal2 ni wlpn melalui blog je. ;))

    Banyak sungguh akak punya aktiviti spanjang puasa ni. bubur lambuk tu, wlpn terkenal tapi sy takde teringin pun nak makan. Ntah kenapa. mybe x brpe suka rasa kot. tp biskut cornflakes is my favourite! rajin akak buat kuih raya sendiri.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Henry Fox,
      Saya juga mohon maaf sempena Hari Raya ini, maklumlah tulisan saya mungkin menyinggung perasaan.

      Bubur lambuk tu lembut dan sangat sesuai untuk orang berbuka puasa dan orang yang sakit. Tetapi selera manusia memang berbeza, kan. Tidak semua orang suka sesuatu yang popular. Contohnya: ramai orang suka makan Chocolate Cake, tapi akak tak suka he he he.

      Biskut Cornflakes tu senang utk dibuat. Gentel-gentel aje dan bakar dlm oven.

      Padam
  4. Assalamualaikum Prof, nanti boleh la prof buat kuih raya bagi time kuliah ke... , kalau prof ada masa. cheese cakemerupakan makanan yang paling shukur suka. lapar la pula.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Muhammad Shukur,
      Buat kuih raya bagi satu kuliah? Adoi..dan dan saya semput... :)
      Shukur suka cheese cake? Cheese cake memang sedap... Dulu saya suka buat cheese cake tapi sekarang dah malas sebab ia mudah menggemukkan he he he....

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.