Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Sabtu, 30 Mac 2013

Banda Acheh (2): Aneh! Kapal Belayar di atas Darat, Bot Berlabuh di atas Rumah!


A neh! Kerja siapa ini?  Ketika di Banda Acheh saya hairan melihat 3 kenderaan berat yang tidak berada di tempat yang sepatutnya. Kereta sepatutnya letak di pakir. Bot sepatutnya berlabuh di jeti. Kapal keluli sepatutnya berlayar di lautan luas. Tetapi kereta, bot dan kapal ini berada di tempat yang tidak masuk akal. Kerja siapa ini? Badang? Badang pernah menolak kapal besar dari darat ke laut. Tapi itu dogeng dalam cerita-cerita rakyat kita.

Jom kita tengok gambar-gambar ini:





Kelihatan tiga buah kereta di atas gelegar dan tiang di tepi jalan. Anda mungkin mengatakan bahawa kereta-kereta ini telah diangkat oleh crane ke atas tiang ini. Maklumlah anda pernah lihat kereta diletakkan di tempat tinggi di tepi-tepi jalan di negara-negara barat sebagai iklan. Jadi kereta di atas gelegar bangunan ini tidaklah berapa aneh sangat, bukan?

Bagaimana pula dengan bot dalam gambar di bawah ini?



Ini ialah sebuah bot nelayan. Bot nelayan ini berukuran 25 meter panjang dan 5.5 meter lebar. Ia dibuat daripada kayu. Bot nelayan ini berlabuh di atas sebuah rumah dua tingkat. Rumah ini milik Pak Misbah di Gampong Lampulo, Kecamatan Kuta Alam. Rumah-rumah jiran Pak Misbah terdapat berdekatan dan sebelah menyebelah.  Bagaimana ia boleh berlabuh di sini?


 


Mungkin anda mengatakan ia telah diangkat ke sini oleh sejenis kenderaan, mesin dan manusia. Yalah, anda pun pernah tengok bot diangkat oleh jeep atau 4WD dan diletakkan di garaj atau halaman rumah jiran-jiran anda terutama yang tinggal berdekatan dengan pantai, bukan?

Bagaimana dengan kapal keluli di bawah ini?





Ini ialah kapal keluli PLTD Apung 1. Ia belayar di darat di Gampong Punge Blang Cut, Kota Banda Acheh kira-kira 5 km dari pinggir pantai. Beratnya 2,600 ton. Di sekelilingnya adalah rumah-rumah kampung.  Kapal keluli yang berat dan besar gedebak ini diangkat oleh crane, 4WD atau Badang jugakah?


Cerita Sebenar


Menurut cerita orang di Banda Acheh ini, pada mulanya bot nelayan itu diletakkan di Sungai Acheh kira-kira 1 km dari rumah Pak Misbah. Ketika tragedi tsunami 2004, bot itu terbawa oleh gelombang tsunami dan apabila surut ia tersangkut di atas rumah dua tingkat Pak Misbah. Ada 59 orang kakitangan bot berada di dalamnya. Mereka semua terselamat.

Manakala kapal keluli itu pada mulanya berlabuh di pantai kampung Punge Blang Cut, tetapi ia telah ditolak oleh ombak tsunami 2004 sehingga 5 km dari pantai dan apabila ombak tsunami itu reda, kapal keluli ini menghempap sebuah rumah di situ lalu tersadai di situ sehinggalah ke hari ini.

Sekarang bot kayu dan kapal keluli ini dijadikan tinggalan sejarah untuk kita melawat dan memperingati tsunami 2004. Di sebuah rumah berdekatan dengan kapal keluli itu ada gambarfoto-gambarfoto kejadian tsunami dan mangsa korban tsunami dipamerkan. Ia jadi tinggalan sejarah supaya kita ingat akan kebesaran Allah.

 Manis legit halwa ridan,
     Sira mari di atas sanggar; 
Aneh ajaib kerja yang hairan, 
      Kereta berdiri di atas gelegar. 

 Bila maghrib azan memanggil,
    Angkut tabuh ke atas tanah;
Perkara ajaib lagikan ganjil,
    Bot berlabuh di atas rumah.

 Ayam jaguh meniti jerami,
 
     Dahan jering di luar sepal;
Hairan sungguh hati kami,
      Daratan kering terlantar kapal.


 Apa di tangan anaknya Pangeran,
       Genta dipuri darilah suasa;
Apa dihairan kudratNya Tuhan,
       Diminta jadi jadilah ia. 

Firman Allah yang bermaksud:
Sesungguhnya urusannyaNya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, “Jadilah!” Maka jadilah ia.” (Yasin [36]:82).

...bersambung




Isnin, 25 Mac 2013

Banda Acheh (1): Iktibar dari Masjid-masjid Pasca Tsunami

Kali ini saya mengembara ke Acheh. Bertahun-tahun sudah saya ingin ke Acheh. Dahulu saya rasa Acheh ini terlalu jauh. Saya ada kawan Acheh, namanya Ira. Dia selalu ajak saya datang ke Acheh. Tapi tidak pernah-pernah sampai. Ira adalah kawan saya semasa kami sama-sama menuntut di Monash University Australia. Ira dan keluarganya pernah datang ke rumah saya di Penang tetapi saya tidak pernah membalas kunjungan mereka itu. (Anda boleh imbas kembali sahabat saya Ira ketika di Australia dengan mengklik di sini).

Ingatkah anda pada Salwa? Salwa ialah sahabat saya yang bersama-sama saya ke Kashgar dan Urumqi dahulu? Beberapa bulan yang lalu saya dan keluarga saya diajak oleh sahabat saya Salwa ke Acheh.

Tetapi sayang semasa kunjungan saya ke Acheh saya tidak dapat berjumpa Ira kerana Ira berada di Jerman melanjutkan pelajaran di peringkat PhD.




Kami ke Acheh menaiki Fire Fly dari Pulau Pinang. Tak jauh sebenarnya perjalanan kami itu. Sebaik-baik sahaja habis minum segelas air dan secawan mee segera yang dijual RM3.00 dalam pesawat kamipun sampai. Tak sempat panaspun tempat duduk kami! Penerbangan memakan masa cuma 1.5 jam sahaja! Alahai...barulah saya sedar yang Acheh ini dekat bebenor dengan Penang. Malahan lebih dekat Acheh dari Penang berbanding kampung saya di Kuala Kangsar :)

Perjalanan dari Pulau Pinang ke Acheh adalah mudah - direct flight - terus sampai ke Banda Acheh. Tidak seperti semasa Ira datang ke rumah saya beberapa tahun dahulu, Ira perlu ke Medan dahulu, kemudian dari Medan Ira kena naik pesawat dari Medah ke Pulau Pinang pula.

Dari atas kapalterbang kami dapat melihat pemandangan kampung-kampung yang berdekatan dengan Banda Acheh. Kelihatan tanah-tanah sawah yang luas, lapang tetapi tidak ditanami. Pada mulanya saya tertanya-tanya, mengapa tanahnya tidak ditanami atau diusahakan dengan pertanian? Selepas berada di Acheh selama 3 hari barulah saya mengetahui sebabnya. Ini disebabkan oleh ombak tsunami 2004 yang lalu telah menimbunkan dan meninggalkan pasir laut pada tanah-tanah sawah. Jadi itulah sebabnya ia tidak dapat diusahakan untuk pertanian padi.

Bagaimanakah keadaan Acheh selepas 8 tahun dibaham Tsunami? Datangnya saya ke Acheh setelah 8 tahun tragedi tsunami yang paling dasyat dalam sejarah Indonesia memberi informasi terkini di dalam kamus hidup saya.

Kami sampai di lapangan terbang Banda Acheh dengan selamat dan melalui imigresen dengan mudah.

Lapangan terbang Sultan Iskandar Muda, Banda Acheh


Melihatkan lapangan terbang Sultan Iskandar Muda yang cantik dengan kubah di atasnya dapat mencerminkan Banda Acheh sudah berkembang maju dan telah bangkit.

"Ia simbol kepada pintu Acheh, pintu dunia," kata Mahlizar pemuda Acheh yang menyambut kami di situ.

Acheh letaknya di Pulau Sumatra. Di sebelah kanannya Selat Melaka dan di sebelah kirinya ialah Lautan India yang luas. Manakala ia berjiran dengan Medan. Banda Acheh adalah ibukota Acheh.

"Acheh mempunyai 23 daerah dan 18 Kabupaten. Terdapat 4.6 juta penduduk di Acheh. 95 peratus daripadanya adalah Islam," jelas Mahlizar di dalam bas ketika menuju ke tanah perkuburan korban tsunami 2004.


Monumen Tsunami Kuburan Massal Siron

 

Di sinilah bersemadinya 46,718 nyawa korban tsunami 2004


Selalunya kalau saya kembara ke mana-mana destinasi buat pertama kali, saya mesti cari hotel dahulu. Tetapi tidak di Acheh. Sesampainya kami di Banda Acheh, kami terus melihat tanah perkuburan mangsa-mangsa tsunami yang meragut ribuan nyawa pada 26 Disember 2004. Tanah perkuburan ini letaknya di Jalan Bandara Sultan Iskandar Muda, Gampong Siron, Kecamatan Ingin Jaya, Kabupaten Acheh Besar.

Kami lihat tanah perkuburan itu hanya ditumbuhi rumput-rumput hijau dan sedikit batu nisan. Di sinilah 46,718 nyawa para syuhada dikebumikan sekaligus dalam satu kubur. Ingat tak perkebumian jenazah ini yang ditunjukkan di televisyen dan surat khabar serta internet? Oleh kerana jenazah ini terlalu ramai dan sukar menguruskannya, maka sebuah jentolak telah digunakan untuk memasukkan jenazah-jenazah ini ke dalam lubang kubur sekali gus dan ada yang dicampak-campakkan. Walau bagaimanapun mereka ini adalah orang yang mati syahid.

Kelihatan jenzah-jenazah ditolak dan dicampakkan ke dalam lubang kubur. Gambar ini dipetik dari http://www.geocities.ws/cryforindonesia/tsunami018.jpg

Saya ada membaca hadis-hadis yang meriwayatkan bahawa orang yang mati syahid itu ada pelbagai sebab. Jabir bin ‘Atik meriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:  

Syahid itu ada tujuh selain daripada peperangan di jalan Allah; mati kerana taun adalah syahid, mati kerana lemas adalah syahid, mati kerana penyakit bengkak di sebelah badan adalah syahid, mati kerana penyakit dalam perut adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana runtuhan (tertimbus) adalah syahid, dan seorang wanita mati dengan kandungannya adalah syahid. (Riwayat Abu Daud).

 

Pantai Lhok Nga


Selepas melawat makam para syuhada itu kami pergi melihat pantai yang cantik di Acheh iaitu Lhok Nga. Di sini saya dapat menyaksikan keindahan air lautnya yang biru. Amat indah sekali. Terdapat ramai orang duduk bersantai-santai di tepi pantai ini sambil berbual-bual dengan kawan-kawan dan menikmati jagung bakar yang banyak dijual di tepi jalan.

Keindahan pantai ini amat menenangkan jiwa saya. Tidak berapa jauh dari pantai ini iaitu di seberang terdapat sebuah pulau yang bernama Sabang. Untuk ke Sabang kita perlu menaiki bot dan perjalanannya memakan masa kira-kira sejam.

"Sabang lebih indah dari Bali," kata Mahlizar.

Saya setuju dengan kata-kata Mahlizar walaupun saya tidak pernah ke sana. Saya yakin ia lebih indah dari Bali cuma Sabang kurang mendapat promosi. Bali sudah terlebih-lebih promosinya. Padahal Sabang yang jauh lebih indah tidak diketahui ramai. Saya juga pernah mendengar tentang keindahan Sabang ini dari sahabat saya Ira dan ibunya ketika keluarga Acheh ini menziarahi saya di Pulau Pinang.

Kami tidak ke Sabang pada masa itu kerana ia tidak termasuk dalam senarai lawatan kami. Saya harap pada suatu hari nanti saya dan keluarga dapat ke Sabang dan menikmati keindahannya.

Penulis terpersona dengan keindahan pantai Lhok Nga

Penduduk Acheh bersantai pada waktu petang di Pantai Lhok Nga yang indah

Sebuah kampung nelayan yang pernah ditenggelami tsunami


Banyak cerita yang saya dengar tentang tsunami. Walaupun tsunami di Acheh amat dasyat namun banyak keajaiban berlaku. Banyak masjid di negeri yang mendapat jolokan serambi Mekah ini terselamat. Kami kemudiannya pergi melihat masjid-masjid yang terselamat itu. Untuk melihat masjid-masjid itu kami melalui kampung-kampung, pekan-pekan dan kawasan pinggir pantai.

 

 

Masjid-masjid yang Terselamat dari Gempa dan Tsunami 2004

 

1. Masjid Rahmatullah di Lampuuk


Kami kemudiannya ke Lampuuk di Kabupaten Lhok Nga. Lampuuk adalah sebuah desa di baralaut Banda Acheh. Ia adalah sebuah desa pinggir pantai. Oleh kerana ia dekat benar dengan pantai maka, bangunan-bangunan di sini telah hancur musnah dan disapu bersih oleh tsunami 2004 yang dasyat itu. Desa ini telah menjadi padang jarak padang terkukur. Walaupun ombak tsunami itu terlalu dasyat dan meranapkan bangunan-bangunan di situ, dengan kuasa Allah cuma ada sebuah sahaja bangunan yang terselamat daripada ombak tsunami. Bangunan itu ialah rumah Allah -- Masjid Rahmatullah namanya.

Masjid Rahmatullah yang kukuh

Masjid Rahmatullah telah dibina pada tahun 1991. Ia terletak 500 meter dari pinggir pantai. Semasa peristiwa tsunami 2004 air laut telah menenggelamkan masjid ini sehingga ke bumbung tetapi ia tidak runtuh. Di Lampuuk ia adalah satu-satunya bangunan yang terselamat dari bencana tsunami. Masjid ini tersergam indah dan kukuh.

Kelihatan Masjid Rahmatullah berdiri kukuh sejurus selepas kejadian tsunami 2004. Tidak berapa jauh darinya adalah laut. Di sekeliling masjid ini adalah perkampungan Lampuuk yang telah menjadi padang jarak padang terkukur. Gambar ini saya ambil di ruangan pameran di dalam Masjid Rahmatullah yang mana di dalamnya terdapat gambarfoto-gambarfoto kesan tsunami yang dipamerkan untuk tatapan generasi akan datang.


Kami melihat-lihat sekeliling masjid itu dari luar. Pada sebahagian dinding luar masjid ini terdapat retakan akibat pukulan ombak tsunami.


Retakan akibat ombak tsunami pada dinding di bahagian luar Masjid Rahmatullah

Bahagian dalam masjid yang rosak dan pecah



Apabila kami masuk ke dalam masjid kami dapati sebahagian masjid ini rosak dan ada tiang masjidnya yang pecah dan hampir tumbang. "Ia ditinggalkan tanpa diperbaiki. Mengapa?" tanya saya.  "Ini sengaja dibiarkan untuk memperingati tragedi tsunami dan menjadi bahan bukti peristiwa yang bersejarah itu," jelas Mahlizar yang pernah dihanyutkan tsunami 2004 itu, menyabung nyawa kerana tidak tahu berenang lalu tersangkut di atas bumbung sebuah rumah, tetapi terselamat.

Bangunan bersebelahan Masjid Rahmatullah yang telah dibina semula

Kami kemudiannya melihat-lihat kawasan perkampungan di sekeliling masjid itu. Dahulunya tiada bangunan yang tinggal di sini kerana dipunahkan oleh ombak tsunami. Tetapi kini rumah-rumah dan bangunan-bangunan yang telah ranap oleh tsunami itu telah didirikan semula oleh kerajaan Turki. Seluruh kampung itu kelihatan baru. Rumah-rumahnya besar. Namun banyak rumah-rumah ini tidak dihuni. Kerana penghuninya tiada di situ. Bukankah mereka telah mati syahid? Waris-warisnya ada yang berpindah. Jadi ironinya, mengapa kerajaan Turki terus membangunkan kawasan ini? Ada sesiapa yang tahu jawapannya? Ada udang di sebalik meekah? Cuba kita renungkan dengan mendalam.


2. Masjid Baiturrahman di Ulee Lheue


Kami kemudiannya pergi ke Masjid Baiturrahman di Ulee Lheue. Ia juga adalah bangunan yang terselamat dari bencana tsunami. Ulee Lheue adalah sebuah desa pinggir pantai yang berada di Kecamatan Meuraxa, Banda Acheh.


Masjid  Baiturrahman Ulee Lheue 2012


Asal nama Masjid Baiturrahman Ulee Lheue ialah Masjid Ulee Lheue. Ia adalah peninggalan Sultan Acheh pada abad ke-17. Mengikut sejarah, Acheh tidak pernah dijajah Belanda tetapi Belanda pernah cuba untuk merampas Acheh berkali-kali. Belanda pernah membakar Masjid Raya Baiturrahman yang terletak di Banda Acheh pada tahun 1873. Apabila Masjid Raya Baiturrahman itu dibakar, jemaah masjid terpaksa melakukan solat Jumaat di Masjid Ulee Lheue ini. Dan sejak itu namanya menjadi Masjid Baiturrahman.

Di dalam masjid ini terdapat gambarfoto-gambarfoto peristiwa bencana tsunami Acheh 2004. Melalui gambarfoto ini kita dapat melihat keajaiban Allah, iaitu Masjid Baiturrahman ini sahajalah satu-satunya bangunan yang terselamat dan berdiri megah, manakala bangunan-bangunan yang berada di sekeliling masjid ini habis ranap.

Kini di sekeliling masjid ini telah ada rumah-rumah dan kedai-kedai yang telah didirikan semula hasil sumbangan dari pelbagai pihak, terutamanya NGO dari luar negara.


Kedai-kedai dan rumah-rumah bersebelahan Masjid Baiturrahman Ulee Lheue yang telah didirikan selepas tsunami 2004

Papan tanda amaran bahaya tsunami


3. Masjid Raya Baiturrahman di Banda Acheh


Melihatkan agungnya kekuasaan Allah yang memelihara rumahNya, kami terus melihat sebuah lagi bangunan yang terselamat dari diluluhkan oleh ombak tsunami yang garang dan berlaku dengan sekelip mata itu. Kami ke Masjid Raya Baiturrahman pula.

Masjid Raya Baiturrahman letaknya di pusat kota Banda Acheh. Masjid ini mempunyai sejarah dan telah dibina pada tahun 1022 oleh Sultan Iskandar Muda. Ramai yang mempercayai bahawa ia telah dibina lebih awal daripada itu oleh Sultan lain. Masjid ini pernah dibakar sebelum ini oleh Belanda ketika ingin menjajah Acheh tetapi ia telah dibina semula. Kubah yang terdapat di atas masjid ini pada mulanya hanya satu tetapi ditambah dari masa ke masa. Sehingga kini ia mempunyai 7 kubah. Masjid ini mempunyai senibina yang indah dan luas. Ia mempunyai ciri-ciri senibina Moghul India Utara.

Masjid Raya 2012


Ketika tsunami melanda sebahagian Acheh, ramai yang berlindung di masjid ini. Masjid ini mengalami sedikit keretakan dan ia terselamat dari diranapkan oleh tsunami. Menurut cerita orang Acheh, ketika kejadian tsunami itu, ombak yang ganas dan tinggi menggulung itu tiba-tiba tunduk, sujud apabila menghampiri kawasan masjid ini dan mengganas semula apabila berada jauh dari kawasan masjid ini. MasyaAllah!

Inilah Masjid Raya sejurus selepas kejadian tsunami 2004. Ia berdiri kukuh. Di sekeliling masjid ini kelihatan kayu-kayu dan papan-papan bangunan yang musnah dipukul ombak. Gambar ini diambil ketika mengunjungi pameran kesan tsunami di salah sebuah masjid di Acheh

Sahabat Acheh saya Ira pernah menceritakan bahawa dia terlibat dalam kejadian tsunami 2004 itu. Ketika itu dia berada di Banda Acheh dan berjalan kaki, tiba-tiba dia terdengar orang ramai menjerit, "Air laut naik! Air laut naik!" Mendengarkan jeritan itu dan melihatkan orang ramai lari, dia turut lari menyelamatkan diri. Ketika itu dia lihat ombak setinggi gunung menerpanya dengan ganas dari belakangnya. Menurutnya kejadian air laut yang naik itu berlaku dalam sekelip mata tidak sampai 5 minit. Kata Ira lagi ramai orang masuk ke dalam Masjid Raya untuk menyelamatkan diri termasuklah yang bukan Islam dan akhirnya orang itu memeluk Islam setelah terselamat.

Saya banyak mendengar kisah-kisah dari orang Acheh sendiri yang menceritakan bahawa ketika kejadian itu pelbagai cara kematian manusia ditunjukkan. Ada yang mati dengan berpakaian menutup aurat (memakai telekung) dan keadaan tubuh badannya sempurna dan bersih tanpa luka-luka. Dikatakan, ketika hayatnya beliau adalah seorang yang suka beribadat. Sebelum kejadian tsunami ini banyak persitiwa pergaduhan dan pembunuhan berlaku di kalangan orang Acheh sendiri dan maksiat berleluasa di sini. Namun setelah tsunami 2004, semua itu sudah tiada lagi. Acheh kini aman dan maju dan dijadikan tempat lawatan (pariwisata).

Sila lihat  Video Tsunami 2004 di bawah ini. Dalam video ini kita boleh lihat betapa dasyatnya terjangan tsunami, kemusnahan yang berlaku dan kelihatan ramai orang berlindung di Masjid Raya ini dan terselamat.


Begitulah hebatnya kebesaran Allah. Ia jelas nyata. Seluruh dunia mengetahuinya. Tetapi mengapa kita masih tidak insaf?

Masjid-masjid pasca tsunami yang masih hebat dan kukuh ini amat menghairankan, walhal masjid-masjid ini letaknya beberapa meter sahaja dari pantai. Kalau difikirkan logik, sudah tentu masjid ini telah lama ranap dan disapu bersih oleh amukan ombak yang berkelajuan 300 kilometer sejam dengan ketinggian 30 meter itu. Kejadian ajaib ini menginsafkan saya. Ia mengajak kita kembali ke pangkal jalan. Pangkal jalan itu adalah masjid dan itu adalah Rumah Allah. Kembalilah kita kepada azali kita walaupun kita sudah jauh tersesat.

Bagi saya, walau sebesar dan sedasyat mana bencana yang Allah tunjukkan kepada kita, kalau hati masih buta dari memahami kekuasaan Allah maka titik-titik hitam akan tumbuh di hati kita, semakin lama semakin banyak lalu menutup hati kita sehingga hati kita menjadi batu hitam yang keras dan tidak bisa digilap lagi.

...bersambung


Sabtu, 23 Mac 2013

Keputusan Pemenang Pengunjung Setia Blog Nota Kembara Naramas Aman

Assalamualaikum dan selamat sejahtera!

Terima kasih kepada semua yang menjawab soalan-soalan yang saya poskan pada entri lepas. Nampaknya hampir semua menjawab ketiga-tiga soalan dengan tepat dan pantas. Ini benar-benar menunjukkan yang anda pengunjung setia.

Jawapan betul:
1. a) 9 bulan
2. d) Universiti Komunikasi China
3. Tembok Besar China


Ini dia keputusan yang dinanti-nantikan:

Pemenang Pertama: Nanadhoi


Pemenang Kedua: Deqna

 

Pemenang Ketiga: Henry Fox

 

Pemenang Keempat: Fazliaton Mohd Noor

 

Pemenang Kelima: Zila

 

Pemenang Keenam: Zellyn Hazel

 

Pemenang Ketujuh: Ummu-razy

 

Pemenang Kelapan: Lin

 

Pemenang Kesembilan: Azmatun Ismail



TAHNIAH!


Kepada para pemenang sila hantarakan Nama dan Alamat Lengkap anda kepada notakembara@yahoo.com untuk saya poskan hadiah-hadiahnya.


Rabu, 13 Mac 2013

9 Hadiah Kepada Pengunjung Setia Nota Kembara Naramas Aman


A ssalamualaikum dan selamat sejahtera! Entri kali ini lain sikit. Saja nak kongsi sedikit cerita. Sudah setahun saya berblogging. Mengenang kembali semasa pertama kali pos entri di blog ini, saya berdebar-debar juga. Tertanya-tanya juga: Siapalah yang hendak baca blog ni? Maklumlah saya ni old school

Tetapi lama kelamaan blog ini mula dikenali. Daripada tiada pembaca kepada ada pembaca dan kemudiannya menjadi pembaca setia. Majoriti yang menyertai tapak blog ini adalah orang yang saya tidak kenali, tetapi setelah mereka sering membaca dan meninggalkan ulasan saya mula mengenali mereka. 

Jadi saya sangatlah berterima kasih kepada kalian yang sering membaca entri saya dan meninggalkan ulasan. Ucapan terima kasih ini juga saya tujukan kepada yang menghantar email, menghantar gambarfoto, yang klik like di facebook, yang ikut twitter dan menghantar mesej di facebook. Respons kalian itu membuatkan saya bersemangat untuk terus menulis tentang kembara saya. Jadi bagi menghargai sokongan anda itu saya ingin memberi hadiah.



Hadiah-hadiah untuk Dimenangi


Hadiah-hadiahnya adalah berupa magnet peti sejuk dan tanda mata yang saya belikan semasa saya mengembara di Beijing, Mongolia Dalam, Haerbin dan Shanghai.

 Hadiah Pertama:


Bekas penyimpan pen (pen holder) berbentuk but orang normad Mongol ini dari Mongolia Dalam. Manakala magnet peti sejuk  (fridge magnet) berbentuk tembikar China bermotifkan bunga dan kaligrafi China ini dari Beijing. Kedua-duanya bakal menjadi hakmilik anda.

Hadiah Kedua:


Magnet peti sejuk berbentuk kasut ski dengan gambar pemandangan Haerbin pada musim sejuk ini saya beli ketika Pesta Skulptur Salji dan Ais di Haerbin. Ketika itu suhu mencecah -27C. Magnet peti sejuk berbentuk tembikar China bermotifkan bunga dan kaligrafi China ini saya beli di Beijing. Kedua-duanya bakal menjadi milik anda.

 

Hadiah Ketiga:


Magnet peti sejuk berbentuk anggur dan pembuka tudung botol Rusia ini saya beli di Jalan Zhongyang Haerbin yang bersempadan dengan Rusia.  Magnet peti sejuk berbentuk tembikar China bermotifkan pemandangan alam semulajadi serta berkaligrafi China ini saya beli di Beijing. Kedua-duanya bakal menjadi milik anda.

 

Hadiah Keempat:


Rantai kunci berbentuk khemah ger ini saya beli di Mongolia Dalam ketika saya berkhemah di Padang Rumput Xilamuren, Mongolia Dalam. Magnet peti sejuk berbentuk tembikar China bermotifkan dahan/daun buluh serta berkaligrafi China ini saya beli di Beijing .Kedua-duanya bakal menjadi milik anda.

 

 Hadiah Kelima:


Magnet peti sejuk diperbuat daripada metal berbentuk pembuka tudung botol dan bergambar menara tinggi Shanghai ini saya beli di Shanghai. Magnet peti sejuk getah berbentuk tembikar China bermotifkan bunga dan tulisan China ini saya beli di Beijing. Kedua-duanya bakal menjadi milik anda.


Hadiah Keenam:


Magnet peti sejuk diperbuat daripada metal berbentuk pembuka botol dan mempunyai gambar Oriental Pearl TV Tower ini saya beli di Shanghai. Magnet peti sejuk berbentuk cheongsam bermotifkan bunga ini saya beli di Beijing. Kedua-duanya bakal menjadi milik anda.


Hadiah Ketujuh:


Daun merah semulajadi ini saya beli di Bukit Wangi Beijing ketika Pesta Daun Merah di musim luruh. Magnet peti sejuk berbentuk cheongsam bermotifkan bunga ini saya beli di Beijing. Kedua-duanya bakal menjadi milik anda

Hadiah Kelapan:


Daun merah semulajadi ini saya beli di Bukit Wangi Beijing ketika Pesta Daun Merah di musim luruh. Magnet peti sejuk berbentuk cheongsam bermotifkan bunga ini saya beli di Beijing. Kedua-duanya bakal menjadi milik anda


Hadiah Kesembilan


Daun merah semulajadi ini saya beli di Bukit Wangi Beijing ketika Pesta Daun Merah di musim luruh. Magnet peti sejuk berbentuk cheongsam bermotifkan bunga ini saya beli di Beijing. Kedua-duanya bakal menjadi milik anda

Syarat-syarat untuk Menang


Syarat-syarat untuk memenangi hadiah-hadiah ini ialah:

1. Meneka dengan tepat 3 soalan di bawah.

2. Jawapan mestilah tepat dan terpantas. Ini bermakna sesiapa yang paling awal menjawab dengan tepat atau terlebih dahulu menjawab dengan tepat adalah layak memenangi hadiah.

3. Pertandingan ini bermula dari masa soalan ini diterbitkan di dalam blog ini. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 22 March 2013 (Jumaat) pukul 12.00 malam.

4. Hadiah-hadiah akan dikirimkan melalui Pos Malaysia dan alamat anda mestilah di Malaysia.



Soalan-soalannya

Jawab 3 (TIGA) soalan berikut:

1. Berapa lamakah Naramas Aman berada di Beijing?
a. 9 bulan
b. 6 bulan
c. 3 bulan
d. 9 minggu
e. 9 hari

2. Semasa di Beijing, Naramas Aman bertugas di sebuah universiti. Apakah nama universiti tersebut?
a. Universiti Peking
b. Universiti Beijing
c. Universiti Mao Tze Dong
d. Universiti Komunikasi China
e. Universiti Bahasa Asing

3. Berdasarkan gambar di bawah ini, apakah nama tempat Naramas Aman bergambar ini? (Jawapan boleh dalam bahasa Melayu atau Inggeris)



Nama tempat ini ialah: ______________________________



Jadi apa tunggu lagi? Silalah beri jawapannya di ruangan ulasan di bawah ini. Cepat! Cepat! Siapa cepat dan tepat dia dapat!


Selasa, 12 Mac 2013

9 Bulan di Beijing: Ku Tinggal Ia dengan Seribu Memori, Sejuta Ilmu


S embilan bulan sudah saya berada di Beijing. Kalau seorang ibu mengandungkan anak, anaknya sudah cukup sifat dan bersedia untuk dilahirkan. Begitulah saya yang datang ke Beijing tanpa sebarang pengetahuan tentangnya. Kini saya sudah bersedia keluar sebagai seorang bayi.



Hari-hari Terakhir di Beijing

 

 



Pemandangan dalam kampus Peking University


Hari-hari terakhir di Beijing saya habisi dengan berjumpa dengan insan-insan yang berhati mulia yang banyak membantu saya selama saya berada di sini. Kebanyakan mereka belanja saya makan enak-enak di restoren besar-besar dan memberi hadiah. Ada yang telah menjadi adik kepada saya. Ada yang menjadi anak kepada saya. Ada yang menjadi kawan. Tidak kurang juga yang menjadi penawar kedukaan dan kesunyian saya. Pendek kata, orang China sebenarnya amat suka membantu dan peramah.

Penulis dibelanja makan huo guo lagi oleh seorang kawan yang berasal dari Beijing


Tasik di Peking University yang beku di musim sejuk dijadikan tempat ice skating dan ice hockey


Kisah Tiga Saudara Islam Saya di China

 

Orang Islam berjalan menuju ke dewan solat di Masjid Changying, Beijing


Berbagai ragam manusia yang saya temui di China. Ada yang defensif. Ada yang kritis. Ada yang berhati-hati. Ada yang tidak puas hati. Ada yang redha. Dalam ramai-ramai manusia ini ada tiga orang insan yang menjadi saudara Islam saya selama saya berada di Beijing. Mereka mempunyai kisah tersendiri dan latarbelakang tersendiri, namun hakikatnya mereka menghadapi masalah yang sama. Berikut adalah kisah tiga saudara saya itu:


Sofia (bukan nama sebenar) adalah wanita Islam dari Xinjiang. Sofia telah membuka mata saya tentang Islam di China. Sofia ingin berjihad tetapi tidak mampu kerana dia dibelenggu. Dia dipaksa membuka hijab kerana bekerja dengan pemerintah. Sekiranya dia enggan dia perlu berhenti kerja dan membayar gantirugi Tetapi Sofia tidak mampu untuk membayarnya kerana dia terikat dengan perjanjian biasiswa. Berhenti kerja dengan pemerintah kerana ingin memakai hijab dan mencari peluang kerja di syarikat swasta adalah sesuatu yang sukar untuk diperolehi di Xinjiang. Dengan berkelulusan ijazah Sarjana, adakah Sofia sanggup bekerja menjadi pembantu kedai?

Kata Sofia, "Di Xinjiang, wanita tidak dibenarkan solat di masjid. Pemerintah juga melarang siswa solat di asrama. Di bulan Ramadhan mereka dilarang berpuasa. Orang Islam dipaksa oleh majikannya menghadiri majlis yang dihidangkan dengan arak, memberi ucapan dengan melaga-lagakan gelas arak dan meminumnya. Ramai pula saudara kita ini yang bersekongkol dengan puak-puak itu demi kepentingan duniawi."

Mendengarkan keluhan Sofia membuatkan saya teringat pada hadith riwayat Muslim ini:
Daripada Abu Said al-Khudri r.a. berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?” Nabi SAW menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka.”
Hanya orang tua-tua di masjid


Yusuf Qienchen (bukan nama sebenar) adalah pemuda Islam dari Xian. Dia siswa universiti di Beijing dan tinggal di asrama. Yusuf dilahirkan Islam kerana kedua-dua ibubapanya Islam dan mendidiknya dengan cara Islam. Solat, puasa, berdoa, makan makanan halal, membaca quran dan menghafal surah-surahnya menjadi amalannya. Tetapi amalannya itu terbantut kerana dibelenggu oleh undang-undang perlembagaan negara itu yang melarang siswa yang tinggal di asrama di Beijing untuk melakukan solat. Keistimewaannya sebagai siswa akan lucut dan dia boleh dikenakan tindakan tatatertib dan dibuang universiti.

Walaupun kita melihat ramai orang Islam di Beijing dan terdapat banyak masjid di segenap daerah. Namun masjid ini selalunya kosong. Jarang sekali kita melihat orang muda berada di masjid. Yang ada biasanya orang tua-tua. Orang muda datang ke masjid pada hari perayaan utama Islam sahaja. Perkara ini tentu membimbangkan kita sekiranya ia berlaku di tanahair kita. Marilah kita sama-sama renungkah firman Allah SWT ini yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang Yahudi dan Nasrani menjadi walimu (pemimpinmu); sesungguhnya sebahagian mereka adalah wali bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa antara kamu mengambil mereka menjadi wali (pemimpin), maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. ” (Al-Maidah 5: 51)
"Janganlah orang mukmin menjadikan orang kafir sebagai pemimpin, melainkan orang-orang beriman. Barang siapa berbuat demikian, nescaya dia tidak akan memperoleh apa pun dari Allah, kecuali kerana menjaga diri dari sesuatu yang kamu takuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu akan diri (siksa)-Nya, dan hanya kepada Allah tempat kembali." (Ali Imran 3:28)
Ingatkah anda pada peristiwa anak-anak lelaki saya yang menunggu solat asar di masjid Dongsi tetapi tertidur dan dihalau keluar dengan kasar oleh Tok Siaknya? Apabila saya menegur sikap Tok Siak itu, dia memberi alasan yang anak-anak saya tidur di masjid dan ini dilarang. Hujah saya, "Mengimarahkan masjid dituntut oleh Islam." Peristiwa ini mengingatkan saya pada hadith riwayat Muslim ini:

Daripada Abdullah bin Amr bin Ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”

Di luar tembok Masjid Changying, Beijing. Kelihatan orang Hui menuju ke masjid.


Idris Zhuo (bukan nama sebenar) pemuda Islam dari Lanzhou adalah seorang yang pendiam, tetapi bijak mengeluarkan hujah dalam bahasa Inggeris tinggi dan berpandangan jauh. Dia seorang siswa di universiti di Beijing. Dia berasal dari keluarga yang miskin lagi daif dari kawasan pedalaman. Untuk sampai ke kampungnya dari Beijing memakan masa dua hari kerana ia harus melalui jalan pengangkutan awam yang murah dan pelbagai. Dia masuk ke universiti dengan pembiayaan sebuah badan yang memaksa rela Idris mengambil kursus Bio-optics yang dia tidak minati.

Seperti Yusuf, Idris juga dilahirkan Islam kerana kedua-dua ibubapanya orang Islam. Mereka beretnik Hui. Orang Hui adalah seperti orang Melayu iaitu semuanya Islam. Ibubapa Idris Zhuo tidak pernah tinggalkan solat 5 kali sehari. Namun ibubapa Idris buta huruf kerana tidak pernah berpeluang untuk ke sekolah dan tidak pernah keluar dari kampung mereka. Kini ibubapa Idris sudah tua dan tidak boleh berjalan kerana mengalami masalah tulang dan lutut. Saya amat sedih mendengarkan cerita Idris, "Ibubapa saya tidak mampu untuk membeli susu." Tanpa dipinta air mata saya menitis setitik demi setitik mendengarkan kisah kemiskinan keluarga Idris Zhuo.

Apabila saya berbual dengan Idris tentang kemajuan China yang tidak sekata. Dia menyetujui hujah saya. Selama saya di China saya telah melihat kota-kota yang amat jauh majunya. Saya juga telah ke Wilayah-wilayah Autonomi yang jauh ketinggalan. Jurang di antara kota dan pedalaman terlalu luas. Yang di pedalaman duduk di bawah tempurung: tiada kemudahan bekalan air, tiada kemudahan internet, tiada peluang pendidikan.

Beribu-ribu kanak-kanak terpaksa ditinggalkan di kampung-kampung kerana ibubapa terpaksa berhijrah ke bandar demi sesuap nasi. Mereka tidak dapat membawa anak-anak mereka berhijrah sama kerana perlu menanggung kos yang tinggi untuk persekolahan anak-anak. Sekiranya anak-anak itu dilahirkan di Wilayah Autonomi A dan berhijrah ke Provinsi B, maka ia tidak memperolehi keistimewaan yang sama sebagaimana anak-anak yang dilahirkan di Provinsi B kerana setiap Wilayah Autonomi dan Provinsi mempunyai undang-undang dan peraturan yang berbeza. Kanak-kanak yang ditinggalkan di kampung membesar dengan sendiri tanpa ibubapa. Ada ibubapa yang tidak dapat pulang ke kampung sejak berhijrah dan yang mendukacitakan sudah bertahun-tahun anak-anak itu tidak melihat ibubapa mereka. Ramai kanak-kanak ini menjadi mangsa keganasan seks dan terlibat dengan jenayah. Ini bukan masalah baru, tetapi telah lama berakar umbi.

"Saya baru menonton sebuah filem dokumentari tentang kanak-kanak di Ningxia yang miskin, mereka terpaksa mendapatkan air dari sebuah perigi yang jauh dari rumah mereka, " cerita saya pada Idris.

"Itu sama seperti yang berlaku di kampung saya," kata Idris. "Saya sendiri mengambil air di pergi yang jauh menggunakan keldai. Saya amat merasai diskriminasi ini," keluh Idris.

Idris terlalu ingin keluar dari China untuk melihat dunia. Namun dia mempunyai masalah untuk mendapatkan pasport.

"Saya tak faham mengapa ia jadi masalah?" tanya saya minta penjelasan.

"Oleh kerana saya ke universiti melalui satu kumpulan badan tertentu maka saya harus mendapat tandatangan daripada pegawai badan itu untuk permohonan mendapatkan pasport. Saya sudah cuba untuk memperolehi tandatangan itu, tapi gagal," jelas Idris.

"Mungkinkah ia ada kaitan dengan Islam?" saya cuba mengorek jawapan yang sebenar.

"Mungkin itu salah satu sebabnya," rungut Idris.

Mengapa semua perkara yang menyedihkan ini berlaku? Mungkin ini berpunca dari sikap sesetengah golongan yang mementingkan periuk nasi sendiri sebagaimana diriwayatkan oleh Thabrani dan Abu Nuaim melalui hadith ini:
Daripada Muazd Bin Jabal r.a. berkata, aku telah mendengar Rasulullah SAW. bersabda: “Ambillah pemberian itu selama ia masih sebagai pemberian. Tetapi apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama maka jangan kamu mengambilnya. Namun kenyataannya kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya”.

Rumusan: Apakah Yang China Telah Berikan Kepada Saya?

 

Muzium arkeologi di Peking University

Tasik beku dan pagoda di kampus Peking University

Saya diberikan hak oleh majikan saya untuk menjalani cuti sabatikal selama 9 bulan di mana-mana saja di dunia ini. Membuat keputusan untuk ke China sebenarnya menanggung risiko yang besar. Saya sudah buat keputusan walaupun saya sebenarnya boleh memilih negara lain yang jauh lebih maju. Saya pernah tinggal di Amerika Syarikat dan Australia dalam jangka masa yang panjang iaitu 8 tahun. 8 tahun bukan sekejap. Saya telah terlalu selesa dengan kemajuan negaranya yang pesat, pendidikannya yang bertaraf dunia, kebajikannya yang melimpah ruah, hak kepenggunaannya yang ditunaikan, kecanggihan teknologinya yang ke hadapan, kecekapan bekerjanya yang efisyen, perhubungan awamnya yang amat prihatin, kebebasan bersuaranya yang terbuka luas dan banyak lagi keselesaan yang dihidangkan kepada saya oleh negara-negara maju ini. Memilih ke China sebenarnya menjerumuskan diri ke kancah siksa, pedih, derita, cengkaman dan belenggu. Di China saya banyak berjalan kaki, menaiki kenderaan awam, menunggang basikal, kesejukan dalam musim dingin tanpa penghawa panas, ketiadaan elektrik, ketiadaan facebook, ketiadaan twitter, ketiadaan blogspot, ketiadaan youtube dan macam-macam ketiadaan.

Kampus Universiti Komunikasi China yang saya tinggalkan dalam musim dingin

Saya tidak menyesal memilih China malahan saya telah mempelajari banyak perkara yang orang lain tidak tahu. Saya tidak mahu mengatakan bahawa China telah mengubah kehidupan saya tetapi China telah mengubah perspektif saya. Ironinya, China telah banyak mengajar saya lebih memahami Malaysia. China mengajar saya tentang erti syukur, erti nikmat, erti keselesaan, erti jihad. Dan yang lebih besar daripada itu China telah mengajar saya tentang kelazatan Islam yang saya kecapi di tanahair saya. Cuba renungkan hadith ini yang mempunyai kaitan dengan hujah-hujah saya ini:
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Musab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah SAW melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Musab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Musab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda, “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Kaabah?” Maka jawab sahabat, “Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki.” Lalu Nabi SAW bersabda, “Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu.”  (Hadith Riwayat al-Tarmizi)
Saya kini melangkah masuk ke Malaysia dengan membawa pulang seribu memori, sejuta ilmu.



Sabtu, 9 Mac 2013

Backpack Solo ke Shanghai (7): Kota Metropolitan Yang Tidak Habis Dijelajahi


H ari berlalu dengan pantas. Sedangkan banyak lagi tempat di Shanghai yang belum saya teroka.


Naza Youth Hotel, hotel bajet selama saya di Shanghai
Nasi goreng halal, enak, mengenyangkan ini dimakan dengan sup



Pada pagi musim sejuk Januari 2013 itu saya check-out hotel dan terus mengambil sarapan di restoren halal berdekatan. Menu saya hanyalah nasi goreng. Simple tapi enak ya amat!

Di restoren itu ada seorang budak yang berusia kira-kira 9 tahun masuk dari arah dapur menuju ke arah bapanya yang sedang duduk menyiang sayur di sebuah meja. Dia lalu mengucapkan syahadah dan selawat kepada Rasulullah SAW di hadapan bapanya. Barangkali inilah rutin yang dilakukan oleh budak ini setiap pagi. Saya memuji kepandaian budak ini lalu menyuruhnya membaca Al-Fatihah. Namun budak itu tidak tahu. Dia lalu membuat kerja sekolahnya di sebelah saya. Jadi saya dapatlah melihat perkara yang ditulisnya. Dia sedang menyalin ayat di dalam bahasa Inggeris dan di sebelah ayat itu ada terjemahannya dalam bahasa China. Saya lalu menyuruh dia membaca ayat bahasa Inggeris itu. Diapun membacanya dengan baik.

Di China sudah mula ada kesedaran untuk belajar bahasa Inggeris. Kebanyakan kanak-kanak sudah diperkenalkan dengan bahasa Inggeris di sekolah rendah. Jadi kalau saya ingin bertanya arah jalan dalam bahasa Inggeris saya selalu tanyakan budak-budak sekolah. Biasanya mereka tahu bertutur dalam bahasa Inggeris.


Pulang ke Beijing dengan Menaiki Keretapi Berkelajuan Tinggi 

 

Platform keretapi berkelajuan tinggi di stesen keretapi Shanghai Hongqiao


Saya kemudiannya menaiki keretapi bawah tanah menuju ke stesen Keretapi Shanghai Hongqiao untuk ke Beijing. Perjalanan yang pantas ini memakan masa 5 jam. Tidaklah lama. Di dalam keretapi ada ramai penumpang. Di sebelah saya ada seorang gadis yang peramah. Dia mahu pulang ke kampungnya di Bengbu untuk menyambut Tahun Baru China dan sekaligus akan mengadakan majlis perkahwinan. Di dalam gerabak itu terdapat ramai penumpang. Kesemuanya hendak pulang ke kampung menyambut hari besar dan penting bagi orang China itu.

Ramai penumpang turun di sebuah stesen dan meninggalkan gerabak kosong

Kira-kira dua jam setengah perjalanan, keretapi itupun sampai di sebuah stesen. Nama stesen itu Bengbu Selatan. Ramai yang turun, malahan hampir semua orang di gerabak itu turun. Jadi gerabak itu hampir kosong. Tinggallah dua tiga orang sahaja.

Menurut gadis itu tadi, ramai orang tidak mampu menaiki keretapi berkelajuan tinggi ini kerana tambangnya mahal. Ramai yang memilih keretapi biasa yang jauh lebih murah walaupun terpaksa berdiri atau duduk di atas lantai. Memang mahalpun bagi penduduk China. Tambang yang saya bayar dari Shanghai ke Beijing ialah 553 yuan (RM276.50). Tetapi bagi saya ia berbaloi kerana keadaan di dalam keretapi dan perkhidmatan yang diberikan memuaskan hati saya.

Keadaan tandas yang bersih di dalam keretapi

Lama kelamaan sedikit demi sedikit penumpang turun dan tidak ada penumpang baru yang masuk. Dalam perjalanan pulang ke Beijing iaitu kira-kira 2.5 jam lagi, gerabak itu KOSONG! Inilah pertama kali saya naik keretapi di China yang kosong! KOSONG KOSONG OOO! (sambil menyanyi lagu Najwa Latif). Seronoknya! Senangnya dalam hati! Semua kerusi di dalam gerabak itu "ana yang empunya" (nyanyi lagu Madu Tiga pulak he he he). Sekejap saya duduk di kerusi ini, sekejap lagi duduk di kerusi itu. Saya bebas di dalam gerabak itu tanpa ada penumpang. Saya lalu menghabiskan masa saya mengambil gambar pemandangan luar dan dalam keretapi termasuklah di dalam tandas. Kalau ada orang segan juga ambil gambar tandas, kan? Nanti ada yang gelakkan kita.

Gambar-gambar di bawah ini saya rakamkan dari jendela keretapi berkelajuan tinggi dengan kelajuan 305 km/jam:

Pemandangan indah dan tenang dalam perjalanan dari Shanghai ke Beijing.




Kolam-kolam untuk pertanian dan ternakan


Bot pun lalu di sungai ini


Kampung pertanian yang mewah dengan air

Sampai di Beijing

  

Salji mula kelihatan di ladang-ladang menandakan keretapi sudah berada di kawasan utara China


Saya sampai di Beijing pada pukul 5.30 petang/malam dengan perasaan gembira kerana telah berjaya menjelajah tempat-tempat utama Shanghai dengan selamat dan penuh ilmu. Masih ada banyak lagi tempat untuk saya jelajah di Shanghai dan sekitarnya. Tapi tak habis. Nampak gayanya saya kena ke Shanghai lagi.



Baca kisah sebelumnya "Backpack Solo ke Shanghai (6) DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack Solo ke Shanghai (5) DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack Solo ke Shanghai (4) DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack Solo ke Shanghai (3) DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack Solo ke Shanghai (2) DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack Solo ke Shanghai (1) DI SINI


Baca juga nota kembara  9 Bulan di Beijing: Ku Tinggal Ia dengan Seribu Memori Sejuta Ilmu