Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Sabtu, 30 Mac 2013

Banda Acheh (2): Aneh! Kapal Belayar di atas Darat, Bot Berlabuh di atas Rumah!


A neh! Kerja siapa ini?  Ketika di Banda Acheh saya hairan melihat 3 kenderaan berat yang tidak berada di tempat yang sepatutnya. Kereta sepatutnya letak di pakir. Bot sepatutnya berlabuh di jeti. Kapal keluli sepatutnya berlayar di lautan luas. Tetapi kereta, bot dan kapal ini berada di tempat yang tidak masuk akal. Kerja siapa ini? Badang? Badang pernah menolak kapal besar dari darat ke laut. Tapi itu dogeng dalam cerita-cerita rakyat kita.

Jom kita tengok gambar-gambar ini:





Kelihatan tiga buah kereta di atas gelegar dan tiang di tepi jalan. Anda mungkin mengatakan bahawa kereta-kereta ini telah diangkat oleh crane ke atas tiang ini. Maklumlah anda pernah lihat kereta diletakkan di tempat tinggi di tepi-tepi jalan di negara-negara barat sebagai iklan. Jadi kereta di atas gelegar bangunan ini tidaklah berapa aneh sangat, bukan?

Bagaimana pula dengan bot dalam gambar di bawah ini?



Ini ialah sebuah bot nelayan. Bot nelayan ini berukuran 25 meter panjang dan 5.5 meter lebar. Ia dibuat daripada kayu. Bot nelayan ini berlabuh di atas sebuah rumah dua tingkat. Rumah ini milik Pak Misbah di Gampong Lampulo, Kecamatan Kuta Alam. Rumah-rumah jiran Pak Misbah terdapat berdekatan dan sebelah menyebelah.  Bagaimana ia boleh berlabuh di sini?


 


Mungkin anda mengatakan ia telah diangkat ke sini oleh sejenis kenderaan, mesin dan manusia. Yalah, anda pun pernah tengok bot diangkat oleh jeep atau 4WD dan diletakkan di garaj atau halaman rumah jiran-jiran anda terutama yang tinggal berdekatan dengan pantai, bukan?

Bagaimana dengan kapal keluli di bawah ini?





Ini ialah kapal keluli PLTD Apung 1. Ia belayar di darat di Gampong Punge Blang Cut, Kota Banda Acheh kira-kira 5 km dari pinggir pantai. Beratnya 2,600 ton. Di sekelilingnya adalah rumah-rumah kampung.  Kapal keluli yang berat dan besar gedebak ini diangkat oleh crane, 4WD atau Badang jugakah?


Cerita Sebenar


Menurut cerita orang di Banda Acheh ini, pada mulanya bot nelayan itu diletakkan di Sungai Acheh kira-kira 1 km dari rumah Pak Misbah. Ketika tragedi tsunami 2004, bot itu terbawa oleh gelombang tsunami dan apabila surut ia tersangkut di atas rumah dua tingkat Pak Misbah. Ada 59 orang kakitangan bot berada di dalamnya. Mereka semua terselamat.

Manakala kapal keluli itu pada mulanya berlabuh di pantai kampung Punge Blang Cut, tetapi ia telah ditolak oleh ombak tsunami 2004 sehingga 5 km dari pantai dan apabila ombak tsunami itu reda, kapal keluli ini menghempap sebuah rumah di situ lalu tersadai di situ sehinggalah ke hari ini.

Sekarang bot kayu dan kapal keluli ini dijadikan tinggalan sejarah untuk kita melawat dan memperingati tsunami 2004. Di sebuah rumah berdekatan dengan kapal keluli itu ada gambarfoto-gambarfoto kejadian tsunami dan mangsa korban tsunami dipamerkan. Ia jadi tinggalan sejarah supaya kita ingat akan kebesaran Allah.

 Manis legit halwa ridan,
     Sira mari di atas sanggar; 
Aneh ajaib kerja yang hairan, 
      Kereta berdiri di atas gelegar. 

 Bila maghrib azan memanggil,
    Angkut tabuh ke atas tanah;
Perkara ajaib lagikan ganjil,
    Bot berlabuh di atas rumah.

 Ayam jaguh meniti jerami,
 
     Dahan jering di luar sepal;
Hairan sungguh hati kami,
      Daratan kering terlantar kapal.


 Apa di tangan anaknya Pangeran,
       Genta dipuri darilah suasa;
Apa dihairan kudratNya Tuhan,
       Diminta jadi jadilah ia. 

Firman Allah yang bermaksud:
Sesungguhnya urusannyaNya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, “Jadilah!” Maka jadilah ia.” (Yasin [36]:82).

...bersambung




37 ulasan:

  1. As salam puan,
    Tak sangka saya boleh menang alhamdulillah, maaf puan baru terbaca ...hadiah mestilah nak... puan boleh pos dialamat
    Wisma PPZ, 68-1-6, Dataran Shamelin Perkasa
    56100 Kuala Lumpur.Terima kasih dapat juga hadiah kenang-kenangan daripada empunya blog yang saya paling suka...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Azmatun,
      Oh baru baca. Orang lain tak sabar menunggu keputusannya dan mereka dah pun terima hadiah itu pada hari Selasa lepas. Saya ingatkan Azmatun tak suka hadiah itu. Ingatkan nak lelong hadiah itu he he he :P

      InsyaAllah Isnin nanti saya poskan hadiah itu :)

      Padam
  2. Salam! Terima kasih atas tulisan2 berkenaan Aceh. Memang teruja baca sebab insya Allah saya ada pelan untuk ke sana melawat rakan-rakan dan juga tempat-tempat menarik dan bersejarah dalam sebulan dua ini. Sabang juga ada dalam perancangan tersebut.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam R.a.W,
      Wow bertuah dapat ke Sabang. Cantik katanya. "The Jewel of Acheh", kata kawan saya Ira, orang Acheh:)

      Padam
  3. Muzium sebelah kapal tu,dah siap ke belum?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kak Mahh,
      Monumen berdekatan kapal tu ada dibina. Informasi dan papantanda mengenai kapal itu ada didirikan di dataran. Tapi saya tak perasan muzium itu.

      Padam
  4. salam

    saya pun baru pulang dr acheh,,,sempat melihat sendiri tinggalan tsunami untuk diinsafi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam CM yang pandai memasak,
      Apakah tinggalan yang paling berkesan di jiwa CM?

      Padam
  5. subhanALLAH!!!!segala yg berlaku atas kekuasaanNYA.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Rostina,
      Tanda-tanda ini adalah bukti kekuasaan Allah pada mereka yang meyakiniNya.

      Padam
  6. sgt teruja..nii belum lagi pi tengok hak real
    As-salam...dari BS

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Mohd Pk,
      Semoga kejadian ini menginsafkan kita akan kekuasaan Allah.

      Padam
  7. wow!!
    salah satu destinasi impian..
    pantun tu mantop!! :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ummu-razy,
      InsyaAllah ummu-razy dapat ke destinasi impian ini.

      Sesekali nak juga berpantun :)

      Padam
  8. berada di Acheh, memberikan keinsafan pada saya ..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Norh,
      Tentu Norh sudah kumpul banyak pengetahuan dan melihat kebesaran Allah di sana. Ini terlihat dari gambar-gambar yang banyak Norh letakkan di dalam blog Norh :)

      Padam
  9. Allahu akbar, sungguh luarbiasa kejadian yang berlaku. Teringat jejadian tsunamI dulu...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kuatnya ombak tsunami tu sehingga boleh tolak kapal berat jauh ke darat.

      Padam
  10. ...Bertuah rasanya dapat menyaksikan sendiri kejadian yang menimpa masyarakat Islam Acheh ini. Menyaksikannya membuatkan kita insaf akan kebesaran Ilahi....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kayrol,
      Allah yang mengetahui segalanya dan kesaksian ini adalah peringatan kepada kita.

      Padam
  11. Teringin juga ke sana untuk melihat sendiri kesan tinggalan tsunami tu tapi ada saja yang mengingatkan... nanti kalau ada gempa macam mana... haish...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mie,
      Malang tak berbau. Hanya Allah yang mengetahui segala rahsia. Kalau Allah menghendaki tempat yang aman itu hancur musnah, Allah boleh lakukan. Allah hanya berkata, "Kun faya kun."

      Padam
    2. Salam Naramas Aman..Nekcik ni macam Mie tu lah jugak...itu yg tak sampai sampai ke sana lagi..memang lah kalau nak mati tu mana mana..kita pun tak tau...tapi rasa fobia tu tetap ada...

      Padam
    3. Salam kembali Nekcik,
      Perasaan phobia tu adalah lumrah dalam benak manusia yang telah mengetahui peristiwa/tragedi yang pernah berlaku di sana. Bagaimanakah perasaan penduduk di sana, mereka setiap saat berada di atas buminya?

      Padam
  12. salam kenal.
    Ciku terimbau kembali ke acheh dulu..memang menitis airmata dan insaf melihat kejadian yang Allah tunjukkan.Allah maha berkuasa ke atas sesuatu.
    http://tanggadomino.blogspot.com/search/label/cuti-indonesia

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam perkenalan Ciku,
      Saya sudah tengok blog Ciku. Menarik.

      Saya juga seperti Ciku, menitis airmata, terutama sekali semasa tengok video di Muzium Tsunami itu.

      Allahu Akbar.

      Padam
  13. takut rasanya bila tengok kesan tsunami sampai macam ni sekali, kapal yang beribu-ribu tan pun mampu diangkat macam tu jer, mudah-mudahan tak jadilah dekat negara kita.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah kekuasaan Allah. Allah boleh buat apa sahaja. Sama-samalah kita berdoa supaya Allah sentiasa lindung negara kita dari bencana alam yang dasyat.

      Padam
  14. Subahanallah... nak jugak pi sana .. tgk apa yg dah terjadi...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Time Traveler Boy,
      Kalau ada rezeki, eloklah ke sana. Melihat kesan-kesan peninggalan tsunami dapat mengukur kebesaran Allah.

      Padam
  15. Salam Yong

    rasa nak teghobang ke sana la pulak..haish....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Yong ASP,
      Teghobang Yong, bukannya jauh pun.:)

      Padam
  16. x sangka after effect tsunami spt itu, blh menjadik tarikan pelancong..sangat menarik..;) tp sebenarnya, Allah maha Berkuasa, apa2 pon boleh jadik...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ada hikmah pada setiap kejadian. Selepas tsunami orang ramai datang ke Acheh dan memberi pendapatan kepada orang Acheh.

      Padam
  17. assalam. alhamdulillah saya berpeluang berkunjung ke banda aceh untuk menjalankan sedikit program charity bersama anak anak yatim di situ. ketika melawat ke tempat tempat ni, rezeki kami, ada pula penduduk tempatan datang kepada kami dan bercerita perihal kapal ini. menurut pak saiful, penduduk kampung yang datang kepada kami memberitahu, sebenarnya, 50 orang telah berlindung di rumah itu ketika tsunami berlaku dan kekuasaan alaah, datanglah bot nelayan itu dan mendarat di situ. maka, naiklah 50 orang itu ke atas bot itu. bot tu sebenarnya bot nelayan yang rosak dan sedang dalam proses pembaikan. masa tgh tsunami tu, datang lagi 9 orang yang sedang hanyut, lalu mereka dibawa naik ke atas bot itu. jadilah jumlahnya. 59 orang.

    kalau diikutkan apa yang pak saiful cerita, lebih mendalam lagi ceritanya dan masa dengar tu mmg macam terpegun dengan kekuasaan allah.

    perihal kapal keluli itu pula, asalnya ada enam orang di dalamnya tetapi hanya satu yang selamat. kerana, ketika mereka di tengah laut, air mula bergelora dan mereka disuruh keluar dari kapal untuk selamatkan diri kerana khuatir kapal akan terbalik. tetapi, malangnya, mereka berlima maut dalam kejadian itu dan seorang yang selamat itu tidak turun dari kapal itu dan selamat kerana dia ketiduran ketika kejadian itu. kapal itu mendarat di atas sebuah rumah dan ada tiga orang yang terhempap di bawah kapal itu. disebabkan mayat merkea tidak dapat dikeluarkan, maka, kapal itu telah menjadi tempat pengebumian mereka. wallahualam. ini serba sedikit cerita yang saya dapat yang diceritakan oleh survivor tsunami yang ada di sana semasa kami melawat tempat itu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Syazwaniz,
      Terima kasih dengan perkongsian cerita tragedi tsunami itu yang tidak saya ketahui sebelum ini. Agak mendalam ceritanya. Tentulah penduduk tempatan lebih mengetahuinya. Semoga kita mendapat iktibar dari kejadian ini.

      Padam
  18. Assalamualaikum,,,,
    salam sejahtera buat semua yang membaca salam puan / tuan
    mohon maaf kami numpang promotion

    KERETA SEWA BANDA ACHEH & SABANG

    Salam...Ingin Datang Melancong Di Acheh dan Zero Kilometer Indonesia Kami menyediakan perkhidmatan kereta sewa di Banda Acheh, Sabang, Airport & lain2 tempat. Kami juga menyediakan perkhidmatan sewa kereta dgn pemandu ke tempat Shopping, Melancong dan Situs Tsunami Acheh dan sebagainya sekitar Banda Aceh dan Sabang. Utk booking
    call. +6281263979828
    call. +6281263979828
    http://wa.orderlink.in/no/6281263979828
    https://www.facebook.com/muchsin.mustafayatim

    BalasPadam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...