Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Rabu, 10 April 2013

Banda Acheh (3): Serambi Mekah Pada Era Pasca Tsunami


A cheh pernah mendapat jolokan nama Serambi Mekah.  Mengapa ia digelar demikian? Masa di sekolah dahulu, saya belajar tentang Islam di Asia Tenggara. Acheh adalah tempat yang penting dalam penyebaran Islam, penuh nuansa keagamaan dan adalah pintu masuk agama Islam di Nusantara. Kedudukannya yang strategik dan di pinggir pantai memudahkan pedagang-pedagang Islam dari Tanah Arab, Parsi dan Gujerat untuk berniaga dan menyebarkan Islam. Antara penempatan-penempatan Islamnya ialah Pasai dan Perlak. Dari Acheh Islam berkembang cepat di Nusantara sehingga ke Filipina. Ramai ulamak muncul di sini. 



Sumber dari cikguazid.com/nota-sejarah...4/bab-7-islam-di-asia-tenggara



Acheh pernah menjadi pusat ilmu pengajian Islam dengan wujudnya Jami'ah Baiturrahman dan pesantren (pondok-pondok agama). Pelajar-pelajar yang menuntut ilmu di sini datang dari berbagai penjuru dunia: Turki, Palestin, Pattani, Mindanao, Malaya, Brunei Darussalam dan Makassar. Acheh juga pernah menjadi pengkalan Haji untuk seluruh Nusantara sebelum pergi menunaikan haji ke Mekah dengan kapal laut merentasi Lautan Hindi. Undang-undang berdasarkan Syariah diamalkan dan nama negeri ini juga amat berbeza dengan negeri-negeri di Indonesia yang lain kerana ia menggunakan Acheh Darussalam, iaitu nama yang Islami.

Semasa saya ke Banda Acheh baru-baru ini saya dapat melihat signifikasi jolokan Serambi Mekah itu.


Hotel di Banda Acheh


Hotel penginapan saya dan keluarga di Banda Acheh amatlah sederhana. 3 bintang. Kami menginap di Hotel Sulthan di Jalan Sulthan Hotel. Hotel ini berada di tengah-tengah kota Banda Acheh dan amat berdekatan dengan Masjid Raya Baiturrahman dan pusat membeli-belah.








Kami ambil 'extra bed'. Bilik dua katil ditambah menjadi 3 katil.

Yang amat menarik sekali di sini ialah di dalam hotel ini tidak dipasangkan muzik sebagaimana kebanyakan hotel. Di sini cuma rakaman ayat-ayat Al-Quran sahaja dipasang. Rasa amat tenang jiwa apabila ayat-ayat suci itu bergema melalui speaker di tangga, lorong koridor dan lobi.



Dalam Dingin Subuh


Pada waktu pagi, sekitar  jam 3 atau 4 kedengaran azan berkumandang dari arah sebuah masjid berhampiran. Tetapi ini bukan azan subuh. "Assolatukhairumminannaum"  tidak kedengaran. Jadi ini azan untuk solat tahajud, sebagaimana yang pernah saya dengar di tanah suci Mekah dan Madinah.  Selang sejam kemudian kedengaran azan lagi berkumandang dari sebuah masjid. Tapi kali ini azan subuh. Jadi azan di sini dilaungkan dua kali: sejam sebelum waktu subuh dan ketika sudah masuk waktu subuh.  Amat Islami.

Bemo sudah mula beroperasi sebelum masuk waktu subuh di sekitar Masjid Raya Baiturrahman


Kami pergi solat subuh di Masjid Raya (Masjid Baiturrahman). Masjid inilah yang saya ceritakan dalam entri yang lalu - salah sebuah masjid yang terselamat dari musnah ketika tsunami 2004.  Masjid itu tidaklah berapa jauh dengan hotel Sulthan. Jalan kakipun boleh. Kawan saya Salwa sudah menunggu kami di luar hotel untuk kami pergi bersama-sama. Salwa sudah sediakan bemo (beca motor) untuk kami supaya tidak ketinggalan solat jemaah. Seronoknya naik bemo pada waktu subuh ketika embun masih menitik membasahi bumi dan suasana masih sunyi.



Pintu Masjid Baiturrahman



Di masjid Raya jemaah lelaki dan wanita sudah mula memenuhi saf masing-masing. Bahagian solat wanita adalah di bahagian belakang jemaah lelaki yang di hadang dengan pagar rendah. Cara solat dan bacaan imam sama seperti di Malaysia. Tidak ada beza. Cuma saya terasa perbezaan suasana sedikit disebabkan saya baru balik dari Beijing, selama berbulan-bulan di China telinga saya sudah biasa dengan bacaan cara orang China. Sekarang rasa seperti berada di tanahair sendiri.

Bahagian luar Masjid Raya Baiturrahman waktu subuh


Menara Masjid Raya Baiturrahman waktu subuh

Setelah solat berjemaah kamipun mendengar kuliah subuh. Kuliah subuh itu disampaikan terus melalui radio dan penceramah membaca teks ceramah yang telah disediakannya. Antara isi kandungan kuliah itu amat relevan dengan yang kami bincangkan pada petang semalam iaitu tentang kemasukan unsur-unsur agama lain  ke Acheh selepas tsunami 2004. Banyak bantuan dihulurkan kepada penduduk Acheh dari NGO, tetapi adakah kesemuanya mempunyai niat dan tujuan yang sama? Mungkin ada gunting dalam lipatan di sebalik pemberian itu. Jadi penceramah mengingatkan mukmin supaya berhati-hati dengan taktik mereka ini supaya tidak termasuk ke dalam perangkap mereka.

Penulis di dalam Masjid Raya Baiturrahman



Makam Syiah Kuala


Agenda kami di Banda Acheh pada siang harinya ialah melawat Makam Alim Ulamak. Saya pernah belajar tentang perkembangan Islam dan Sastera Islam di Asia Tenggara. Jadi saya sudah mengenali tokoh-tokoh agama di Acheh seperti Syeikh Nurudin Ar-raniri, Abdul Rauf Singkel, Samsudin Al-Sumatrani, Sultan Malikul Salleh dan Hamzah Fansuri. Antara buku-buku agama mereka ialah Tabayan Fi Ma'rifati al-Uadyan (Hamzah Fansuri), Surat al-Mustaqim (Nuruddin al-Raniri) dan Mi'raj al-Tulabb Fi Fashil (Abdul Rauf Singkel). Namun anak-anak saya tidak belajar tentang ini di sekolah mereka, jadi kembara kali ini merupakan penimbaan ilmu dan perpustakaan buat mereka.

Makam Syiah Kuala yang masih  terpelihara


Kami ke Makam Syiah Kuala yang letaknya di tepi pantai iaitu di kuala Sungai Acheh. Semasa kejadian tsunami 2004 yang dasyat itu makam ini ditenggelami air laut tetapi terpelihara. Saya masih dapat melihatnya seperti sediakala. Syiah Kuala ini amat besar pengaruhnya dan amat dihormati di Acheh sehingga nama universiti di Acheh juga diambil sempena dengan namanya. Ketika kami melawat ke makam itu, kami dikehendaki memakai pakaian yang sesuai bagi menghormatinya. Wanita dilarang memakai seluar panjang ketat yang berblaus pendek ketika melawat makam itu. Sekiranya memakai begini, pengunjung wanita dikehendaki memakai sarung batik yang disediakan di situ. Di situ ada sebuah surau berbentuk rumah kampung manakala sebuah masjid yang baru terletak di bahagian belakang makam itu.


Lukisan Syiah Kuala, sumber dari tokohulama.blogspot.com


Syiah Kuala juga dikenali dengan gelaran Abdul Rauf Singkel kerana dia berasal dari Singkel. Syiah di sebut Syah dalam bahasa Acheh yang bermaksud Syeikh. Syiah Kuala adalah seorang tokoh ulamak dan pemimpin Tarikat Syatariyah yang tersohor pada abad ke-17. Beliau belajar ilmu agama di Banda Acheh, Doha, Jeddah, Mekah, Madinah dan lain-lain lagi di dalam perjalanannya mengerjakan haji. Beliau berada di tanah Arab selama 19 tahun. Apabila beliau pulang ke Acheh ramai orang dari pelbagi penjuru dunia berguru dengannya.


Kota Islami yang Bersih 

 

Tugu di Banda Acheh



Kota Banda Acheh adalah kota yang bersih. Sudah 3 tahun berturut-turut ia memenangi anugerah kota paling bersih di Indonesia. Orang Banda Acheh amatlah peramah. Mereka senang sekali bertemu dengan kita orang Malaysia yang datang berkunjung ke situ. Kadar jenayahnya hampir tiada. Keramahan orang Acheh menambat hati saya.  Islam di sini diamalkan dengan baik. Wanita-wanita Islam diwajibkan memakai hijab dan berbusana muslimah. Suasana dan peraturan di sini amat Islami. Namun jolokan Serambi Mekah bolehkah dapat dipertahankan kerana arus kemodenan yang seolah-olah memudarkannya?

...bersambung


20 ulasan:

  1. Kalau mengikut cerita NA, nampaknya Islam diterapkan dalam kehidupan seharian penduduk di sana dengan baik sekali...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya Mie. Kita patut mencontohi mereka.

      Padam
  2. masa keje sony dulu, mostly operator adalah dari acheh, memang tersangat lemah lembutnya kak, gerun saya...kalau m'sia pun dibuat macam banda acheh jugak, sejuk hati kuar jalan-jalan tengok semua orang tutup aurat...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang mereka bersopan santun. Apabila saya pergi membeli-belah, orang-orang muda panggil saya "bonda". Sejuk hati saya mendengarnya :)

      Padam
  3. Banyaknya info prof..sejuk hati saya membacanya. Saya ni pemalas bab baca-membaca ni..kalo masuk blog saper2 suka tgok gambar jer..tapi lain la bila baca hasil penulis prof..sure saya nak hayati setiap satu ayat prof. Your are great prof!!! :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Zila,
      Entri kali ini macam kelas Sejarah Islam pulak, kan? Tapi saya tak boleh elakkan daripada menulis tentang ini kerana Acheh ialah kerajaan Islam pertama di Asia Tenggara dan ia amat signifikan dengan kita. Selama ini saya hanya membaca dari buku atau internet tetapi sekarang saya lihat sendiri, jadi saya rasa rugi kalau tak kongsikan ilmu ini pada orang lain.

      Terima kasih Zila kerana setia membaca setiap tulisan dalam entri ini :)

      Padam
  4. Assalamualaikum prof,
    Seronok membaca entry dari prof - banyak pengisian.

    Btw, hadiah no 8 yang prof hantar telah selamat sampai pada minggu lepas. Terima kasih banyak-banyak. FM baju cheogsam telah saya lekatkan di fridge dan laminated leave tu memberi idea pada saya untuk me"laminate" daun yang saya bawa pulang dari Turki tempoh hari - dah jadi hiasan di atas kabinet pun. Terima kasih banyak-banyak sekali lagi.

    Lin

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Lin,
      Terima kasih kerana sudi masuk ke dalam kelas Sejarah Islam saya. :)


      Suka saya mendengar Lin sudah terima FM dan daun merah itu. Bolehlah Lin menghiasnya bersama ole-ole dari Turki. Tentu rumah Lin bertambah seri sekarang :)

      Padam
  5. salam...saya pun suka melancung...nak jd mcm prof jugak....bermula dari bawah..kumpul duit sikit2...insyaAllah..thanks prof sebab blog ni bg inspiration pada saya

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Yuyu,
      Saya mengembara mengikut kemampuan saya. Selalunya berbajet rendah. Berjalan-jalan ke Acheh tidaklah banyak belanjanya sebab ia dekat dengan Penang.

      Terima kasih Yuyu kerana sudi singgah dan meninggalkan ulasan di sini :)

      Padam
  6. salam kak

    byk peringatan dan pengajaran yg Allah berikan daripada peristiwa ini agar kita sedar dan tidak lalai


    saya suka angle dari foto Pintu Masjid Baiturrahman

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Rezeki,
      Sudah balik dari tanah suci ke?

      Ya, semoga perisitiwa di Acheh sentiasa menjadi peringatan dan pengajaran buat kita.

      Foto pintu masjid ni nampak ok ke? Terima kasih.

      Padam
  7. subhanaallah... cantik sungguh masjid raya tu time waktu subuh. rasa mcm tgk masjid nabawi pulak dari tepi tu. 1st time sy dgr kat hotel dipasangkan ayat2 suci al-Quran tu. bagus sekali... ;)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Henry Fox,
      Waktu subuh di Banda Acheh cantik dengan langitnya biru. Aaah..saya pun first time nginap di hotel yang pasang ayat-ayat Al-Quran

      Padam
  8. Banyak masjid yg cantik2 ye di sana.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, cantik-cantik masjid mereka, penuh sejarah dan rahmat. Semasa tsunami 2004, ramai yang berlindung di masjid ini dan terselamat.

      Padam
  9. Harapnye islam terus teguh di Acheh, dan tidak seperti bandar2 lain di indon yg dh makin tersimpang jauh dr Islam sebenar..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, semoga arus kemodenan tidak menggugat keteguhan Islam mereka.

      Padam
  10. Klu ada rezeki teringin nk smpai..in syaa allah

    BalasPadam
    Balasan
    1. InsyaAllah sampailah nanti ke Acheh :)

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...