Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Memaparkan catatan dengan label MALAYSIA - Pahang (Sungai Lembing). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MALAYSIA - Pahang (Sungai Lembing). Papar semua catatan

Sabtu, 5 April 2014

Sungai Lembing (3): Meredah Hutan Dengan 4WD dan Mendaki ke Air Terjun Pelangi

S elepas mendaki Bukit Panorama yang tinggi itu, kamipun menuju ke Air Terjun Pelangi pula. Yang menarik tentang Air Terjun Pelangi ini ialah kita boleh melihat kemuculan pelangi yang indah di situ.

Kami naik 4WD.

Kampung Orang Asli

Kami melalui kampung  Orang Asli, ladang rusa, hutan dan sungai.

4WD kami melalui jalan yang becak


Jalannya semakin kecil dan sukar.

4WD kami merempuh sungai

4WD kami terpaksa meranduk sungai-sungai kecil di sepanjang jalan.

Kedalaman sungai yang 4WD kami rempuh

Tapi mujurlah sungainya cetek-cetak.


Dah lepas!


Lebih kurang 4-5 sungai-sungai yang kami randuk.  Pengalaman ini menarik hati kami. Amat adventurous!


Adoi kematu punggung

Perjalanan meredah pedalaman Pahang ini amat jauh, lebih kurang 2 jam.

4WD yang meredah jalan-jalan tanah merah, becak, sungai dan tidak rata itu membuatkan ia bergoyang-goyang. Kesian pada hero-hero kami yang duduk di belakang kerana goyangan itu membuat mereka pening, rasa nak muntah dan nak terkucil.

Meranduk sungai

Setelah sampai ke kawasan sungai kami meninggalkan 4WD itu dan meranduk sungai. 

Mendaki bukit-bukit batu ke Air Terjun Pelangi

Kamipun berjalan menuju ke atas bukit yang berbatu-batuan itu.

Sungai dan batu yang dilalui

Jeram, anak sungai, belukar, bukit dan lorong dalam hutan kami redah.

Cendawan

Bunga tak tahu nama

Banyak spesis tumbuh-tumbuhan yang kami temui di situ.

Makcik (bertudung hitam, paling depan) ini mendahului kami. Kuatnya kudrat makcik ini. Usianya sudah 70 tahun.

Perjalanan kami untuk ke Air Terjun Pelangi amat mencabar. Lebih mencabar dan lebih susah berbanding dengan mendaki Bukit Panorama tadi. Kali ini jalannya berliku-liku, batu-batunya tajam, dan cerun-cerunya licin..

Saya kagum dengan salah seorang rakan kami iaitu seorang makcik yang sudah berusia dalam 70 tahun. Beliau selamba sahaja mendaki, laju dan tidak kelihatan penat. Beliau berjalan lebih laju dari saya dan mendahului saya. Malu saya dibuatnya. Lihat gambar makcik itu di atas, yang paling hadapan.

Jeram

Saya berjalan perlahan-lahan dengan ditemani anak-anak bujang saya dan anak muda yang menemani saya ketika mendaki Bukit Panorama tadi.

Hampir sampai

Jauhnya perjalanan mendaki itu amat terasa. Kira-kira sejam baru saya sampai disebabkan kudrat saya tidak lagi segagah orang muda. Tapi syukur saya selamat sampai.

Sudah sampai


Apabila hampir sampai ke tempat yang dituju, hati saya rasa teruja kerana saya sudah mula mendengar bunyi deruan air terjun dan suara orang ketawa gembira. Terasa segala penat lelah mendaki ke air terjun ini dibayar dengar kegembiraan.


Air Terjun Pelangi

Apabila sampai di kawasan Air Terjun Pelangi, saya lihat air terjun mencurah dari atas. Cantik! Oleh kerana cuaca panas dan kemarau ketika itu, air yang terjun tidaklah banyak. Kalau tidak pasti bertambah cantik pemandangan di situ.

Air Terjun Pelangi yang mencurah lembut

Air Terjun Pelangi yang dingin

Saya terus diajak kawan-kawan untuk mandi di situ. Kamipun  ke bawah air terjun dan dapat melihat pelangi indah di atas permukaan air. Cantiknya.

Berendam di Air Terjun Pelangi. Di sini kami melihat pelangi kecil di permukaan air.

Batu-batu di dalam air itu besar-besar dan kadang-kadang kaki saya tersepak batu tersebut. Sakit juga.

Seronoknya dapat mandi dan berenang di bawah air terjun itu. Beberapa kali pelangi kecil kelihatan di permukaan air di bawah air terjun itu. Kami menjerit kegembiraan melihatnya kerana ia muncul dan kemudian hilang. Kemudian kembali lagi dan hilang lagi. Magic moments ini bagaikan anugerah terindah buat kami. Saya ingin menangkap gambar pelangi itu. Tetapi disebabkan takut kaki saya terseradung dan kamera Nikon D7100 saya terjatuh ke dalam air, saya tidak membawa kamera DSLR saya itu ke tempat itu. Jadi tidaklah dapat saya merakamkan keindahan pelangi itu.  Kalau anda ingin melihat pelangi itu, anda kenalah datang sendiri ya!

Pelangi boleh dilihat di sini pada masa-masa tertentu terutama pada waktu pagi

Jadi pada hari itu kami telah mendaki dua buah tempat yang tinggi dan penuh cabaran iaitu mendaki Bukit Panorama dan kemudiannya Air Terjun Pelangi. Tidak sangka pula saya dapat mendaki dua buah tempat tinggi ini dalam masa separuh hari memandangkan usia saya sudah setengah abad dan lutut saya sudah mula sakit-sakit.

Tengok kawan saya Hajah Salwa pun dah berjaya sampai. Anda tak tercabar ke?

Iktibar daripada pendakian ini: janganlah kita mudah berputus asa selagi cita-cita tidak tercapai. Sentiasa pastikan supaya kita sampai ke penghujung. Jangan berhenti di tengah jalan.

Bagaimana dengan anda? Tak tercabar ke?


Khamis, 3 April 2014

Sungai Lembing (2): Melihat Matahari Terbit di Kemuncak Bukit Panorama

Pada awal pagi sebelum masuk waktu subuh kami sudah berada di kaki Bukit Panorama, Sungai Lembing, Pahang. Kira-kira jam 5.00 pagi kami mula melangkah anak-anak tangga menuju ke kemuncak. Kami hendak melihat matahari terbit di atas kemuncak Bukit Panorama.

Suasana amat gelap sekali ketika itu. Kami membawa lampu suluh supaya dapat melihat dengan jelas anak-anak tangga itu. Satu demi satu anak tangga kami naiki. Mula-mula tidak terasa penatnya, tetapi apabila perjalanan semakin jauh dan masih tidak sampai-sampai barulah tertanya-tanya, "Bila nak sampai ni?"

"1,200 kaki tingginya dan ada lebih kurang 1,100 anak tangga." Itulah anggaran ketinggian Bukit Panorama sebagaimana diberitahu oleh seorang anak muda Sungai Lembing yang menemani saya dan anak-anak saya.

Orang ramai mendaki bukit itu. Ramai daripada mereka golongan muda dan pelbagai bangsa.

Mendaki 1100 anak tangga Bukit Panorama pada pukul 5.00 pagi

Suasana gelap, sejuk dan di kelilingi hutan kecil tidak kami peduli.

Ketika hampir sampai ke kemuncak, azan subuh berkumandang. Kami bercadang solat subuh di atas kemuncak. Saya berjalan dengan perlahan-lahan. Anak-anak saya dan seorang anak muda Sungai Lembing tadi menemani saya supaya saya selamat mendaki.

Kawan-kawan saya telah jauh meninggalkan saya.

Tingginya Bukit Panorama amatlah terasa.

Akhirnya saya sampai jua ke kemuncak sejam kemudian walaupun terasa amat penat. Saya rasa tidak percaya saya telah sampai ke kemuncak Bukit Panorama yang tinggi itu.

Saya lihat kawan-kawan saya sedang solat jemaah di atas  tanah di atas bukit itu. Lalu saya terus berjemaah di situ.

Waktu subuh di atas Bukit Panorama

Selesai solat subuh kami terus menanti matahari terbit di satu bahagian kemuncak bukit itu. Ramai orang sudah berada di situ dengan kamera masing-masing menanti matahari muncul dari kaki langit. Ada beberapa jurugambar meletakkan kamera di atas tripod dan membidik kamera masing-masing.

Indahnya panorama. Kabus putih menyelimuti alam. Nun di kejauhan ada sebuah gunung yang kelihatan kebiru-biruan diselubungi kabus putih. Di latar hadapannya terdapat gunung-ganang yang terbanjar merentang suasana. Indahnya bagai lukisan. Tiba-tiba matahari yang bulat bersinar seperti sebuah bola api besar muncul dari balik sebuah gunung. Terdengar suara orang ramai yang gembira dengan kemunculan bebola api itu. Masing-masing mengambil gambar bebola api itu bagaikan tidak mahu melepaskan ia pergi.


Matahari muncul dilihat dari kemuncak Bukit Panorama
Matahari naik perlahan-lahan
Langit merah ketika matahari sedang naik

Bebola api naik perlahan-lahan ke atas langit. Langit dan gunung-ganang yang pada mulanya kebiru-biruan di balik kabus kini bertukar warna menjadi kemerah-merahan. Keindahan  'magic hour' ini hanya sekejap sahaja. Syukurlah kami sempat menyaksikannya.

Matahari sudah tinggi

Kami di sini menikmati keindahan ciptaan Tuhan sehinggalah cerah dan puas. Akhirnya kami turun kembali dari kemuncak Bukit Panorama. 

Kabus putih menyelimuti Sungai Lembing

Sepanjang jalan menuruni bukit kami dapat menikmati suasana indah di bawah bukit dari atas Bukit Panorama pula. 

Menuruni Bukit Panorama
Pemandangan dari atas bukit selepas matahari naik
Baru nampak sekeliling bukit
Pemandangan Sungai Lembing dari atas Bukit Panorama

Begitulah pengalaman kami mendaki Bukit Panorama dan menyaksikan keindahan matahari terbit. Lepas ini kami hendak mendaki ke Air Terjun Pelangi pula.

...bersambung


Sabtu, 29 Mac 2014

Sungai Lembing (1): Lombong Bijih Timah Bawah Tanah Terpanjang dan Terdalam Di Dunia

T ahukah anda bahawa lombong bijih timah bawah tanah terpanjang dan terdalam di dunia letaknya di negara kita? Lombong bijih bawah tanah itu letaknya di Sungai Lembing, Kuantan, Pahang.

Pekan Sungai Lembing yang mendapat jolokan "pekan koboi"

Saya ke sana pada 1 Mac 2014 baru-baru ini. Saya pergi bersama keluarga dan kawan saya Hajah Salwa yang memiliki Wilayah Utara Travel Sdn Bhd. Jadi kami pergi beramai-ramai dengan sebuah bas dari Penang.

Masjid Jamek Sungai Lembing

Mula-mula kami ke Masjid Jamek Sungai Lembing kerana kami diundang untuk menghadiri Karnival Falak. Kedatangan kami dinanti-nantikan dan apabila sampai kami disambut oleh pengajur karnival dengan tangan terbuka. Kami dijamu dengan sarapan, makan tengahari dan malam. Sudah tentu masakan tradisional Pahang! :)

Menimba ilmu tentang planet dan arah kiblat yang betul

Dalam karnival itu kami mendengar ceramah tentang cara yang betul melihat arah kiblat dan mempelajari tentang planet.


Muzium Sungai Lembing



Bungalow Pengurus PCCL di atas bukit ini dijadikan Muzium Sungai Lembing


Kemudian kami ke muzim Sungai Lembing untuk mengetahui sejarah perlombongan bijih timah di situ. Dengan memasuki muzium ini  barulah kami mengetahui sejarah Sungai Lembing dan kekayaan hasil buminya.  

Sejarah Sungai Lembing dan perusahaan bijih timahnya
Pekerja di Sungai Lembing kebanyakanya adalah mat salleh

Lombong bijih di Sungai Lembing ini mula beroperasi pada tahun 1888. Ia diusahakan oleh Syarikat PCCL milik orang Inggeris dan ramai komuniti Inggeris di sini. Mereka mengaut keuntungan tahun demi tahun akibat kenaikan harga timah dunia. Perkembangan perlombongan yang menggalakan berlaku di antara tahun 1915 hingga 1926. Sehingga 1915 keluasan lombongnya ialah 40 batu dan dalamnya sehingga 1,200 kaki.

Sungai Lembing kemudiannya menjadi sebuah bandar yang mewah dan sofistikated. Terdapat pejabat, rumah rehat, kedai bebas cukai, club house, hospital, sekolah, panggung wayang dan kilang di sini. 

Kemudian PCCL mengalami kemerosotan pada tahun 1930an akibat kemelesetan ekonomi dunia dan keadaan kembali pulih beberapa tahun tetapi akhirnya ditutup pada 1986.

Alatan janakuasa untuk perlombongan

Alat-alat untuk kegunaan perusahaan melombong
Replika lombong bijih
Replika jalan keretapi bawah tanah
Pahat dan penyangkut untuk kerja-kerja melombong
Timba untuk mengisi batu-batu dan bijih dari kolong lombong

Dulang membijih
Relau


Lombong Bijih Timah Bawah Tanah Terpanjang Di Dunia



Kami kemudiannya ke lombong bijih bawah tanah yang terpanjang di dunia. Cuaca pada masa ini panas kerana kemarau. Saya sangkakan kalau masuk ke dalam lombong bawah tanah ini tentu panas dan peredaran udaranya kurang.

Apabila sampai di kawasan lombong itu kami lihat ada banyak terowong di situ. Apabila digabungkan keseluruhan terowong ini panjangnya ialah 322km. Jauhnya lombong ini adalah melebihi perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur. Wah panjangnya!



Van yang kami naiki ke lombong bijih bawah tanah terpanjang dan terdalam di dunia.
Papantanda ini terdapat di bahagian pintu masuk
Pintu masuk terowong Tei Pei Tong

Lombong bijih timah Sungai Lembing ini mendapat jolokan "El Dorado of the East." Kami masuk melalui terowong Tei Pei Tong. Untuk memasukinya kami boleh memilih untuk berjalan kaki atau naik keretapi. Kami pilih naik keretapi. Keretapi itu ada di luar pintu terowong bawah tanah itu. Ia sangat antik.  Teringinnya nak naik. Tetapi ketika itu roda keretapi itu rosak. Kami kecewa.

"Kenapalah ia rosak masa kami datang jauh-jauh ni?" keluh kami.

Kami lalu meminta pekerja di situ memperbaikinya. 

"Berapa lama nak repair?" tanya kami. 

"Tak lama, habis repair roda ni dah boleh naiklah," kata pekerja di situ. 

Oleh kerana tertarik untuk merasai pengalaman menaiki keretapi antik yang digunakan oleh pekerja lombong itu kami sanggup menunggu untuk diperbaiki. 

Menanti roda keretapi antik lombong bijih diperbaiki

Setelah menunggu untuk diperbaiki lebih kurang 15 minit, iapun siap untuk dinaiki.

Seronoknya kami dapat naik keretapi antik itu masuk ke dalam terowong. Yay! Tapi sekejap je dah sampai. Tak puas!

Alah kenapa dah sampai?


Setelah itu kamipun berjalan kaki di dalam lombong bawah tanah itu. Gelapnya samar-samar! Ada lampu di sepanjang dinding terowong. Suhunya sejuk. Macam air-cond! Peredaran udaranya sempurna kerana ada liang-liang udara dibina di dinding sejak dahulu. Seronoknya kami berada di dalamnya dengan suhu macam ini. Rasa tak mahu keluar. Sangkaan kami yang lombong bawah tanah ini panas dan peredaran udaranya kurang ternyata salah.


Lorong dalam lombong bijih bawah tanah El Derado of the East



Lorong lombong bjih bawah tanah ini panjang dan sejuk

Informasi di dinding terowong tentang Sungai Lembing yang hebat

Banyak informasi yang kami perolehi ketika memasuki lorong di bawah tanah El Derado of the East ini.

Lubang dan laluan untuk mendapatkan bijih

Barulah kami mengetahui bahawa bijih bukan sahaja dikorek menggunakan kapal korek di lombong  seperti di Lembah Kinta atau di Taiping Perak, tetapi bijih juga diperolehi melalui pengorekan tanah di bawah tanah.  Bijih timah itu diperolehi dengan memecahkan batu-batu yang terdapat di lombong ini.

Bumbung, tangga dan kabel dalam terowong bawah tanah


Terdapat juga staletit dan stalemit di bumbung terowong. Ada kalanya kami menaiki tangga menuju ke bahagian atas dan melihat cara pelombong menggunakan kabel, syaf dan lif untuk turun-naik. Dapatlah kami membayangkan kerja-kerja pelombongan bijih bawah tanah.

Patung menggambarkan aktiviti pelombong haram yang mencuri bijih timah di sini pada tahun 1987

Di satu sudut bahagian lombong itu yang dinamakan "Lubang Sejuta Ringgit", ada tayangan video tentang aktiviti pelombongan haram. Pelombong itu telah mencuri bijih di sini dalam jangka masa yang lama bermula pada tahun 1987 (selepas lombong ini ditutup dengan rasmi). Dianggarkan jumlah curian itu bernilai jutaan ringgit. Sehingga kini pelombong itu tidak diketahui dan mungkin sudah menjadi kaya-raya di luar sana.

Lubang yang dikorek untuk mendapatkan bijih secara haram menjadikan ia tidak rata dan tidak stabil. Lubang ini diterangi dengan lampu merah dan dipagari.
Lubang yang digunakan untuk mengorek bijih bawah tanah ini amat jauh dan dalam. Ia juga ditebuk dari arah atas

Ketika memasuki lombong bijih bawah tanah ini, saya dan anak-anak teringatkan pengalaman kami memasuki lombong emas di Ballarat, Victoria, Australia.  Klik di sini untuk imbas kembali. Suasananya hampir sama tetapi perjalanan memasuki lombong bijih bawah tanah Sungai Lembing ini lebih lama dan panjang berbanding dengan yang di Australia. Pengalaman yang amat berbaloi dan penuh ilmu! Anda tak teringin ke sinikah? Bantulah Malaysia maju dalam pelancongan!

...bersambung