Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Memaparkan catatan dengan label CHINA - Xi'an. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label CHINA - Xi'an. Papar semua catatan

Jumaat, 21 September 2012

KEMBARA SOLO KE XI'AN (10): Menaiki Keretapi Selesa dari Xi'an ke Beijing

Pulang ke Beijing dari Xi'an dengan menaiki keretapi selesa amat menyeronokkan. Ia amat berbeza dengan keretapi-penumpang-sesak yang saya naiki semasa ke Xi'an dari Beijing tempoh hari. 

Kali ini semasa pulang keretapinya amatlah selesa.



Bilik tidur dalam gerabak keretapi T44


Keretapi untuk ke Beijing yang saya naiki ini dilengkapi dengan katil di dalam bilik (kabin). Ada 4 buah katil dua tingkat. Ia dilengkapi dengan bantal, selimut, meja, tong sampah, penyangkut baju, skrin tv dan termos air panas. 

Sebelum keretapi sampai penumpang menunggu di ruangan menunggu seperti di lapangan terbang. Ada pengumumannya pada papantanda digital di bilik menunggu itu tentang nombor platform, nombor keretapi dan waktu bertolak. Tetapi semua dalam tulisan China. Jadi saya rujuk tulisan-tulisan itu pada tiket keretapi saya. Untuk kepastian saya tanyakan pegawai keretapi yang beruniform biru dan bertopi.


Tiket keretapi T44 dari Xi'an ke Beijing yang berharga 442 yuan, bertarikh 30.7.2012



Keselesaan menaiki keretapi begini dapat dinikmati setelah membayar 442.00 yuan (RM221) untuk perjalanan dari Xi'an ke Beijing.


Keretapi bertolak tepat pada waktunya. Penumpang tempatan yang berkongsi kabin dengan saya baik-baik orangnya. Mereka menawarkan buah peach kepada saya. Dengan malu-malu alah saya terima permberian mereka. Sepanjang perjalan kami tidak banyak berbual kerana mereka tidak tahu berbahasa Inggeris. Saya pula tidak tahu bahasa China. Saya lihat mereka merendam mee segera untuk makan malam dengan menggunakan air panas yang disediakan pada satu bahagian gerabak itu. Saya pula makan nasi goreng yang saya beli dari sebuah restoren halal tidak berjauhan dengan hostel tempat saya menginap.

Paip air panas ini boleh digunakan penumpang untuk merendam mee segera dan membacuh kopi

Lorong di hadapan bilik/kabin dalam keretapi T44. Penumpang sedang mencari bilik dan katil masing-masing.


Tetapi kalau kita suka, kita juga boleh memesan makanan  di dalam keretapi dan berjalan-jalan dari satu gerabak ke satu gerabak yang lain.

Bilik sinki yang luas, bersih dan privasi


Bilik sinki yang boleh berkunci dan bercermin membolehkan saya membasuh tangan, mengambil wudhu, memberus gigi dan menukar pakaian dengan selesa tanpa gangguan. Tandas juga bersih dengan air serta tisu tandas disediakan. Selipar pakai buang juga disediakan.

Bunk bed yang bersih dan selesa

Saya lena dalam gerabak ini. Kita boleh memadamkan suis lampu kalau kita mahu. Plug untuk mengecas bateri telefon bimbit atau laptop juga disediakan.

Katil di tingkat atas lebih murah sedikit bayarannya

Keadaan dalam keretapi yang sunyi sepi apabila semua penumpang tidur. Hanya deruan gerakan keretapi sahaja yang kedengaran.

Apabila semua orang tidur suasana menjadi sunyi sepi. Hanya kedengaran deruan keretapi yang lembut bergerak di atas landasan dengan laju. Suasana sunyi sepi ini  memberi kesempatan pada saya untuk solat bersendirian di dalam keretapi. Pengalaman yang tidak boleh saya lupakan. Apabila waktu sahur tiba, saya bangun bersahur dengan tiada siapa yang menganggu. (Semasa ini bulan Ramadhan).

Konduktor wanita yang menjaga kabinku memastikan setiap penumpang sudah turun setelah sampai di Beijing


Perjalanan 16 jam dari Xi’an ke Beijing menaiki keretapi selesa ini mengurangkan penat di badan. Pegawai koduktor wanita yang menjaga gerabak saya juga boleh berbahasa Inggeris. Layannya juga mesra. Dia meminta tiket dari saya dan menyimpannya. Kemudian dia mempelawa saya untuk memesan makanan sekiranya saya mahu. Sejam sebelum sampai ke Beijing dia memaklumkan kepada saya yang stesen Beijing sudah hampir, lalu memulangkan tiket saya dan menyuruh saya bersiap sedia. Jadi saya tidak perlu risau akan tersalah stesen. Apabila sampai dia mengucapkan bye bye dan memohon maaf kepada saya dengan berkata, "I'm sorry my English is not good."

Keretapi T44 sudah sampai di Beijing

Penumpang gembira setelah selamat sampai di Beijing


Itulah pengalaman seronok saya menaiki keretapi ketika mengembara solo di China.

Dengan ini entri untuk Kembara Solo saya ke Xi'an ingin melabuhkan tirainya. Ikuti Naramas Aman mengembara di China dalam entri akan datang. Ada cerita menarik untuk anda. Wassalam.

Baca kisah kembara selepas ini: Backpack Ke Mongolia Dalam (1): Permulaan Kembara Yang Mengujakan

Baca kisah kembara sebelumnya di bawah ini:


Selasa, 18 September 2012

KEMBARA SOLO KE XI'AN [9]: Keajaiban Tentera dan Kuda Terrakota


Tentera dan Kuda Terrakota (Terracotta Warriors and Horses) adalah satu lagi tarikan Xi'an yang tidak saya lepasi. Tentera dan Kuda Terrakota ini tersenarai dalam UNESCO sebagai Warisan Dunia dan ia adalah salah satu daripada keajiban dunia. Jadi destinasi ini saya tunggu-tunggu!

Tentera dan Kuda Terrakota ini adalah patung-patung tanah liat yang telah dibuat oleh Maharaja Qin pada masa hayat beliau. Tetapi dilakukan dengan sembunyi tanpa sesiapa mengetahuinya. Para sejawaran juga tidak mengetahuinya sehinggalah ia dijumpai oleh sekumpulan petani pada tahun 1974 ketika mereka mengorek tanah untuk membuat perigi. Pertemuan ini menggemparkan kerana terdapat beribu-ribu patung tanah liat dan ia masih lagi dalam pencarian kerana ada lagi patung-patung yang dijangka masih tertanam di perut bumi Xi'an ini.

Ukiran besi berbentuk pahwalan dan kuda pada tingkap muzium Tentera dan Kuda Terrakota 

Kompleks muzium Tentera dan Kuda Terrakota







Ketika saya ke sana secara solo pada Julai 2012 baru-baru ini, saya dapat melihat muzium yang dibina di sebuah kompleks yang luas. Ia mempunyai kemudahan dan pelbagai tarikan untuk memudahkan orang mengunjunginya. Muzium ini pernah menerima sijil Sistem Pengurusan Berkualiti dengan Piawaian ISO9001 dan sijil Sistem Pengurusan Alam Sekitar dengan piawaian ISO14001 pada tahun 2004. 

Mereka berjanji untuk memberi kepuasan kepada pengunjung muzium ini, menjaga alam sekitar, memberi perkhidmatan yang baik, membina muzium berkelas dunia dan berterusan untuk menambahbaik muzium. Ramai orang datang samada pelancong tempatan atau luar negara. Saya dah pergi ke sini, jadi saya dah tahu memang muzium ini terbaik!


Pelancong dalam dan luar negara mengunjungi Muzium Tentera dan Kuda Terrakota





Muzium ini telah dibuka pada tahun 1979. Ia adalah muzium yang dibina di tempat penemuan patung-patung terrakota itu. Muzium ini melambangkan harta Maharaja Qin dan pertahanan kota sebelum Maharaja Qin meninggal.


Ahli arkeologi sedang mengkaji artifak Tentera dan Kuda Terrakota




Terdapat tiga buah lubang dalam tanah yang telah dibenarkan untuk orang ramai melihat. Lubang-lubang dalam tanah itu berada di bawah bumbung yang berdinding. Terdapat 8,000 tentera dan kuda tanah liat dan 10,000 senjata tembaga yang ditemui di lubang-lubang ini. Mana saya tahu? Ini semua ada tulis di situ. Baca je. 

Masa saya ke situ dapatlah saya lihat 5-6 orang ahli arkeologi sedang mengkaji artifak patung-patung ini di tapak arkeologi yang juga adalah muzium Tentera dan Kuda Terrakota.




Lubang Pertama

 
Tentera terrakota di barisan hadapan dengan pangkat masing-masing.




Mula-mula saya mestilah pergi ke Lubang Pertama. Lubang Pertama itu adalah lubang dalam tanah yang terbesar. Kira-kira 230 meter panjang, 62 meter lebar. Bukan saya yang ukur tapi dah ada tulis kat situ. Ia  mempunyai kira-kira enam ribu patung tentera dan kuda tanah liat ini. TU DIA! AMBIK KAU! Punyalah banyak patung-patung ini. Ia diletakkan berdiri menghadap ke hadapan dan ada juga yang menghadap ke arah kiri dan kanan, melambangkan setiap arah ia dikawal. 

Patung-patung tentera ini dibuat daripada tanah liat, nama pun Tentera dan Kuda Terrakota, takkan buat dengan tepung kan? Setiap patung diukir secara berlainan mengikut pangkat ketenteraan dalam pemerintahan Dinasti Qin. Semuanya bersaiz sebesar manusia, menggambarkan ketinggian seni dan teknologi China purba. Patung-patung tanah liat yang basah ini kemudian dibakar menggunakan tanur (kiln). (Kalau jumpa patung ni waktu malam harus saya lari, macam zombie Kampung Pisang je)



Sebahagian tentera terrakota yang terdapat dalam kawasan lubang pertama



Tidak ada satupun patung yang sama. Setiap patung mempunyai perbezaan sebagaimana manusia yang dilahirkan di dunia ini adalah berbeza. Dikatakan bahawa patung-patung ini dahulunya dicat dengan pelbagai warna tetapi sekarang warna itu sudah luntur. Patung-patung ini memegang senjata tembaga yang berbentuk pisau bengkok, panah, busar, pedang dan tombak. Tetapi senjata itu sudah tidak ada di tangan patung-patung itu lagi. Mungkin dah patah.

6,000 patung tentera dan kuda terrakota kelihatan dari bahagian depan lubang pertama

Saya hairan, "Kenapa banyak sangat patung-patung ini? Nak buat hapa?" Ma Zhuo, kawan China saya pernah kata,. "Maharaja Qin membuat patung-patung ini untuk menemaninya di alam kubur." Oh gitu...Barulah saya faham kepercayaan orang dulu-dulu ini. 

(Terdiam sejenak: Apakah persediaan saya di alam barzah nanti? Teringat saya pada surah As-Sajdah dan Al-Mulk. Ada diriwayatkan dalam hadis bahawa bagi yang sering membaca dan beramal dengannya, surah-surah ini akan menyelamatkan dia dari siksaan kubur).
Jabir bin Abdullah r.a menceritakan,"Rasulullah tidak akan tidur hingga beliau membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk." (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Nasai dan Hakim dalam Sahih al-Jami’ dan Silsilah Ahadis As-Sahihah)
Daripada Anas Ibnu Malik berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Satu surah di dalam Al Quran menghadiahkan kepada pembacanya sehingga memasukkannya ke dalam syurga iaitu Tabarak-al-llazhi [Surah Al-Mulk]."  (Hadis Riwayat At Tabrani)
"Sesungguhnya di dalam Al Quran terdapat tiga puluh ayat yang kandungannya akan memberi syafaat kepada orang yang membacanya sehingga ia akan mendapat keampunan dosa iaitu Surah Al Mulk." (Hadis riwayat Abu Daud, At Tarmizi, An Nasa’i dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah)
Selain daripada itu amalan beristinjak dengan sempurna juga boleh mengelakkan kita daripada siksaan kubur.

Tentera-tentera terrakota diukir dengan halus dan teliti. Mereka didirikan di atas lapikan batu-bata.

Berbalik kepada Tentera dan Kuda Terrakota; patung-patung ini diletakkan di dalam lubang-lubang yang agak dalam dan panjang macam parit. Terdapat dinding dan parit-parit yang dibuat daripada tanah, batu-bata dan kayu untuk menempatkan patung-patung ini. Lantai di dalam lubang-lubang ini juga diletakkan batu-bata. (Rajinnya).


Tentera dan kuda-kuda di pertahanan belakang

Beribu-ribu tentera terrakota bersedia di barisan belakang. Hairan saya melihat kegigihan dan ketelitian pembuatnya.


Pada masa dahulu, sebelum lubang-lubang ini ditemui, penduduk setempat menjadikan bahagian atas lubang-lubang ini sebagai kubur. Ada ditunjukkan di situ gambar kubur-kubur itu.




Lubang Kedua



Lubang Kedua terletak di dalam bangunan berbumbung yang lain. Di sini saya dapat melihat lubang-lubang yang sudah dikosongkan. Dikosongkan oleh siapa? Sayapun tak tahu. Ada sisa-sisa yang tertinggal dan serpihan patung-patung tanah liat. Terdapat juga alat-alat ketenteraan seperti perisai, pedang, pisau dan busar di lubang itu.


Lubang-lubang ini dahulu dipenuhi dengan patung-patung terrakota

Lubang-lubang ini telah dikosongkan

Sebahagian daripada sisa-sia peninggalan patung terrakota di lubang kedua







Tempat ini gelap dan sejuk. Jadi gambarpun susah nak ambil. Ada jin kot?  Ya kot, ustaz dalam rancangan TV9 "Tanyalah Ustaz" tu ada kata jin/syaitan suka tempat yang gelap, sejuk dan ada patung.

Terdapat juga pameran tentera ini di ruang legar kompleks ini.




Lubang Ketiga


Lubang Ketiga pula mempunyai parit-parit, tentera serta kuda yang disusun mengikut susunan asal. Kawasan ini agak gelap dan sejuk. Ia diterangi oleh cahaya matahari yang terpancar melalui bumbung cermin.


Tentera-tentera dan kuda-kuda terrakota mengawal di setiap arah: depan, kanan dan kiri


Terdapat 68 buah patung tanah liat, 40 buah shu (senjata, apa entah) dan 4 buah panah tembaga ditemui dan dikeluarkan dari lubang-lubang ini. Lubang ketiga ini musnah teruk apabila ditemui. Ia berukuran 28.8 meter panjang,  24.57 meter lebar dan kedalamannya  5.2-5.4 meter.


Orang ramai boleh melihat tentera dan kuda terrakota dengan mudah dari setiap arah

Tentera dan kuda terrakota dibiarkan tanpa dibaikpulih atau diperbaiki demi menjaga keasliannya sebagaimana ia ditemui

Tiang-tiang dibina dalam dinding yang  memisahkan setiap parit. Batu-bata disusun di atas lantai.  Shu iaitu sejenis senjata tembaga digunakan oleh tentera yang berpangkat di sini pada Musim Bunga dan Musim Luruh. (Aku sendiri tak tahu bagaimana rupa shu itu).

Terdapat pelbagai cara digunakan untuk mengukir patung ini; antaranya ialah ukiran secara bulatan, bergaris dan pengecatan warna. Ada sedikit lapisan warna yang tertinggal pada patung-patung ini menjadikan ia amat berguna sebagai kajian.


Setiap sudut dan lorong dalam lubang ini dikawal rapi oleh tentera-tentera terrakota


Kita dibenarkan mengambil gambar di muzium ini. Penjelasan ini terdapat pada pintu masuk muzium. Itulah yang istimewa di China ini, kita bebas ambil gambar dalam muzium, tidak seperti kebanyakan negara Barat.



Muzium Pameran, Kedai Cenderamata



Selain daripada lubang-lubang, terdapat juga muzium yang memamerkan sejarah Maharaja Qin, tentera dan kuda terrakota ini. Jadi sayapun masuklah, dah bayar mula-mula masuk tadi, jadi kira sekali harunglah.


Muzium pameran sejarah Maharaja Qin dan Tentera dan Kuda Terrakota






Kedai-kedai cenderamata juga sudah pasti tidak ketinggalan. Banyak magnet peti sejuk berbentuk Tentera dan Kuda Terrakota dijual. Tapi saya tidak beli sebab ia patung. 

Ada juga yang suka meminta pengukir mengukir wajahnya seperti tentera tanah liat itu.

Magnet peti sejuk Tentera dan Kuda Terrakota






Cara Pergi


Untuk ke Muzium Tentera Terrakota ini amat mudah. Saya ke sini sendirian. Naik bas sahaja.  Saya pergi ke stesen bas Shaanxi yang berdekatan dengan stesen keretapi Xi'an dan naik bas 306. Bas itu, bas pelancong (tourist bus).


Naiklah bas 306 ini untuk ke Bing Ma Yong



Pada sangkaan saya, pemandu bas pelancong itu mestilah tahu bahasa Inggeris. Sayapun tanyalah pemandu bas dan konduktor bas yang kedua-duanya perempuan, "Is this the bus to “Terracotta Warrior?" Tetapi sangkaan saya meleset kerana mereka tidak faham langsung. "Terracotta Warrior? Terracotta Warrior?" Saya ulang banyak kali. Tapi mereka angkat tangan surrender - tak faham. Mulalah saya nak mengomel, "Apasallah kau tak belajar perkataan "Terracotta Warrior"? Kau kan bawak bas pelancong?" 

Lalu saya mengeluarkan kertas yang saya cetak dari internet. Ada tulisan China. Barulah mereka tahu tujuan saya. Mereka suruh saya naik bas itu. Dalam pengumuman oleh konduktor bas tu dia selalu sebut bing ma yong. Rupa-rupanya untuk menyebut nama muzium itu dalam bahasa China ialah bing ma yong.  Saya belajar perkataan baru hari itu. Bing ma yong! Hah, ingat tu, sebut bing ma yong. Sebut terracotta warrior memang sampai kiamat tak sampai.

Tambang basnya murah sangat. 6 yuan (RM3) je satu hala. Perjalanannya lebih kurang 1 jam. Ia perhentian yang terakhir. Dalam perjalanan dapatlah saya melihat pemandangan dan pinggir kota Xi'an. Antaranya ialah Universiti Politeknik. Masa lalu kat Politeknik ini teringat saya pada Leah kawan baik saya semasa belajar di Monash University Australia dulu, dia bekerja di sini tetapi dia telah hilang, missing in action, tak tahu entah ke mana. Sedih jugak. Saya selalu berdoa semoga saya terserempak dengan dia di Xi'an. Tapi hampa.

Kaunter tiket untuk naik jeep berkuasa elektrik ke muzium bing ma yong.


Tiket masuk ialah 150 yuan (RM75). Oleh kerana cuaca terlalu panas dan berpuasa pula ketika itu saya menaiki jeep untuk masuk ke dalam dan saya perlu beli tiket berharga 5 yuan (RM2.50) untuk itu.


Kaunter tiket di bing ma yong. Walaupun kelihatan orang bersesak-sesak, namun perkhidmatan menjual tiket dilakukan dengan efisyen. Tidak perlu menunggu





Tetapi semasa balik perkhidmatan jeep ini tidak ada. Jadi perlu jalan kaki untuk ke luar pagar. Untuk pulang, saya naik bas 306 sekali lagi yang sedia menunggu di kawasan parkir di luar muzium. Di situ juga ramai penjual buah peach yang sedang bermusim ketika itu.

Jadi kalau anda ingin ke muzium bing ma yong ini jaganlah ragu-ragu. Ikutlah cara saya.


Pengunjung berjalan masuk kemudian menaiki jeep ke bing ma yong

...bersambung
Baca kisah kembara selepas ini: 
KEMBARA SOLO KE XI'AN (10): Menaiki Keretapi Selesa dari Xi'an Ke Beijing

Baca kisah kembara sebelumnya di bawah ini:



Sabtu, 15 September 2012

KEMBARA SOLO KE XI'AN [8]: Masjid Barat dan Komuniti Islam Xi'an

Kalau ke Xi'an, Masjid Besar (Grand Mosque) adalah tumpuan utama. Namun itu bukan satu-satunya masjid yang terdapat di kota Xi'an. Terdapat beberapa buah lagi masjid. Sekurang-kurangnya terdapat 12 buah masjid di sekitar kota Xi'an. Salah satunya ialah Masjid Barat (West Mosque).

Kedai kek halal di hadapan Masjid Barat


Masjid Barat letaknya di antara Lorong Miao Hou dan Lorong Damaishi. Kedua-dua lorong ini juga tidak jauh dari Lorong Muslim dan Menara Gendang.

Saya ke sini pada Ramadhan 1433 baru-baru ini. Jalan kaki saja. Saya terpancing untuk melihat masjid ini disebabkan ia tercatat di dalam peta kota Xi'an yang diberikan kepada saya oleh pihak hostel yang saya inapi.

Di kawasan Masjid Barat ini terdapat ramai orang Islam berniaga. Amat mudah mencari masjid ini kerana ia letaknya di tepi jalan, di kawasan pasar orang Islam. 

Peniaga-peniaga di situ senang sekali menunjukkan arah masjid itu apabila saya tanyakan pada mereka. Sebagaimana orang Hui di tempat lain, mereka amat gembira melihat kita orang Islam datang ke tempat mereka. Kemesraan terasa apabila berbual dengan mereka. 

Masjid Barat letak betul-betul di hadapan sebuah kedai kek halal. Ketika saya ke situ pada waktu dhuha, pintu masjid ini bertutup dan berkunci jadi saya tidak dapat masuk ke dalamnya. Saya cuma dapat melihatnya dari luar.

Masjid Barat di Xi'an

Masjid ini berkubah dan di belakangnya terdapat kawasan rumah pangsa. Namun keadaan masjid ini tidaklah terpelihara memandangkan keadaannya yang tidak kemas: wayar elektrik berselirat di luar dan bonjolan plastik (apa entah) terletak di atas atap masjid.


Kawasan rumah pangsa di belakang Masjid Barat

Saya amat gembira dapat melihat orang Islam di negara China dan mengamalkan Islam di negara Komunis ini.


Gambar-gambar berikut dengan jelas menggambarkan suasana Islam di Xi'an.



Pasar pagi tempat orang Islam berniaga. Kelihatan wanita Islam membeli-belah.

Lorong Miao Hou dipenuhi orang Islam


Kedai-kedai daging halal dan busana muslim terdapat dengan banyak di sini

...bersambung
Baca kisah kembara selepas ini: 
KEMBARA SOLO KE XI'AN  (9):  Keajaiban Tentera dan Kuda Terrakota

Baca kisah sebelumnya di bawah ini:

Ahad, 9 September 2012

KEMBARA SOLO KE XI'AN [7]Luar :Menara Gendang dan Menara Loceng Megah di Tengah Kota


Menara Gendang (Drum Tower) dan Menara Loceng (Bell Tower) adalah tarikan Xi'an. Ia letaknya di tengah-tengah kota Xi'an. Kelihatan antik, tetapi berdiri kukuh dan megah. Kedua-dua menara ini amat gemar dikunjungi orang kalau ke kota Xi'an.



MENARA GENDANG

 
Pintu masuk Menara Gendang (Drum Tower) 


Menara Gendang ini telah dibina pada 1380 ketika zaman dinasti Ming (1568-1644), kemudian ia dibaikpulih dan diubahsuai pada zaman Dinasti Qing (1644-1911). Ia  telah digunakan pada suatu ketika dahulu untuk menunjukkan waktu dan memberi amaran pada situasi kecemasan.

Ia mempunyai dua tingkat  dan berketinggian kira-kira 34 meter. Uniknya menara ini ialah ia dibina tanpa menggunakan paku besi.



Menara Gendang dibina tanpa paku

Tiket masuk berharga 30 yuan. Tambahan 20 yuan lagi sekiranya ingin melihat Menara Loceng. Ketika saya ke sana, saya hanya memilih untuk memasuki Menara Gendang sahaja kerana bagi saya ia sudah memadai untuk melawat bahagian dalam menara dan meninjau kota Xi'an dari pandangan atas.


Gendang besar diletakkan di tingkat satu (bahagian beranda menara)


Gendangnya bewarna merah dengan tulisan merah

Beberapa buah gendang besar diletakkan di tingkat satu di bahagian beranda Menara Gendang ini.




Pelbagai gendang dan perabut lama dipamerkan di dalam Menara Gendang


Di dalam Menara Gendang terdapat muzium gendang. Di sini kita dapat melihat pelbagai jenis gendang. Selain itu kita dapat melihat senibina menara ini yang cantik dan antik. Perabut-perabut antik juga terdapat di situ. Pertunjukan gendang juga diadakan, tetapi semasa saya ke sana, persembahan itu sudah berakhir,  mungkin kerana saya datang lewat petang.

Beranda di tingkat atas Menara Gendang. Dari sini kita boleh melihat kedai-kedai di persekitaran dan Lorong Muslim

Kedai-kedai yang terdapat berdekatan dengan Menara Gendang Xian


Kedai-kedai cenderamata banyak terdapat di sini



Cenderamata untuk dibawa pulang


Oleh kerana Menara Gendang ini terletak di Lorong Muslim maka  dari tingkat atas menara ini, kita boleh melihat kawasan perniagaan itu dengan jelas. Selain itu kota Xi'an yang sibuk juga dapat kita lihat.

Kedai-kedai cenderamata dan barangan antik juga terdapat di persekitarannya. 



Menara Loceng ini letaknya di tengah-tengah roundabout
Kita juga boleh melihat Menara Loceng yang letaknya di bulatan (round about) tidak berjauhan dengannya.

Menara Loceng dan Menara Gendang ini dikatakan menara kembar kerana kedua-duanya mempunyai ciri-ciri dan fungsi yang hampir sama.



MENARA LOCENG


Ketika Dinasti Ming, Xi'an adalah kota pertahanan ketenteraan yang penting.

Menara Loceng ini adalah binaan tradisional/purba yang masih dipelihara dengan baiknya. Ia dibina daripada kayu dan ukiran pintunya menggambarkan perhiasan Dinasti Ming dan Qing.



Loceng besar diletakkan di Menara Loceng (Bell Tower) 


Terdapat 2 tingkat semuanya. Di tingkat satu kita boleh melihat sebuah loceng digantungkan. Pada masa dahulu loceng ini diketuk untuk memberi amaran terhadap serangan musuh.

Terdapat tanaman hijau dan bunga-bunga menghiasi kawasan Menara Loceng di Xian


Menara ini di kelilingi dengan tanaman pokok bunga yang cantik. Di sekeliling menara ini terdapat pusat membeli-belah yang moden. Disebabkan ia terletak di tengah-tengah bulatan jalan (round about), maka ia amat mudah untuk dilihat.


Untuk memasuki Menara ini kita perlu melalui stesen subway kerana ada jalan bawah tanah yang dibina untuk pejalan kaki ke sana.



 



CARA KE SANA



Ambil bas 4, 6, 7, 8, 11, 12, 15, 16, 26, 29, 32, 35, 36, 37, 43, 45, 46, 118, 201, 203, 205, 206, 208, 214, 215, 216, 218, 221, 222, 229, 235, 239, 251, 252, 300, 302, 502, 600, K600, 603, 604, K605, 606, 608, 609, 611, 612, K618, K630, 706, Tourist Bus Line 7, Tourist Bus Line 8 (610), Airport Shuttle Bus No.1...turunlah di perhentian Bell Tower.


...bersambung

Baca kisah kembara selepas ini: 
KEMBARA SOLO KE XI'AN  (8):  Masjid Barat dan Komuniti Islam Xi'an

Baca kisah sebelumnya di bawah ini: