Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Khamis, 16 Ogos 2012

KEMBARA SOLO KE XI'AN [4]: Jejak Masjid Besar Xi'an dan Iftar Cara Xi'an


M asih dalam bulan Ramadhan 1433 (Julai 2012) ketika saya berada di Xi'an. Cuaca pula terlalu panas. Cuaca panas di sini boleh membuat orang pitam. Jadi saya kurang berjalan-jalan. Ketika matahari terpacak di atas kepala di tengahari saya duduk saja di hostel. Apabila matahari hampir terbenam barulah saya keluar. 

 

Menjejak Masjid Besar Xi'an


Misi saya petang Jumaat (Ramadhan 1433) itu ialah menjejak mihrab dan mimbar Masjid Besar (Great Mosque) yang saya cari tak jumpa-jumpa sejak petang semalam.

Mahmud Chen, sahabat China Islam saya, menelefon saya hari itu mengajak saya ke kampungnya di Ankang, Xi'an. Tetapi memikirkan perjalanan pergi dan balik memakan masa 6 jam, dalam bulan puasa yang panas membara pulak ini, saya fikir dua kali.

Saya memberitahu pengalaman gembira saya dapat minuman percuma untuk iftar semalam. "Marvelous," katanya. 

Dia tanya saya, "Dah jumpa Masjid Besar tu?"

Saya beritahu dia saya tak jumpa lagi.

Katanya, "Agak sukar mencari masjid itu disebabkan kedudukannya yang tersorok. Ia letaknya di belakang gerai-gerai dan pasar di Lorong Muslim. Kalau kita berjalan menghadap Menara Gendang yang ada di Lorong Muslim itu, kita harus menghala ke arah lorong kanan."

Saya teringat Pusat Informasi Pelancong juga memberitahu saya perkara yang sama. Jadi kali ini saya yakin saya akan menemui Masjid Besar itu.


Lorong Muslim
Lorong dan gerai yang perlu dilalui untuk menuju ke Masjid Besar Xi'an
Lorong menuju ke Masjid Besar Xi'an pada waktu malam

Jadi petang itu saya berjalan kaki lagi ke Lorong Muslim. Lalu saya mencari Masjid Besar yang letaknya di lorong sebelah kanan menghadap Menara Gendang. Di lorong itu ada banyak gerai-gerai menjual cenderamata, pakaian dan beg. Apabila sampai di hujung sayapun membelok ke sebelah kiri. Akhirnya nampaklah gerbang Masjid Besar itu.

Masjid Besar Xi'an terletak di lorong ini

Lalu saya menjenguk-jenguk ke dalam pintu gerbang itu. Saya nampak seorang wanita bertudung. Sebaik-baik sahaja wanita itu nampak saya dia terus menggamit saya suruh masuk. Lalu saya beritahu dia yang saya hendak solat dan mengambil wudhu. Dia lalu memberitahu saya tempat wudhu itu. Oleh kerana nampak macam berbelit-belit sikit arahannya maka seorang lelaki membawa saya ke tempat wudhu itu.

Oh memang jauh rupanya tempat mengambil wudhu itu. Kena ikut jalan lurus kemudian masuk lorong kanan kemudian kiri.

Sayapun pergi ke tempat mengambil wudhu itu. Terdapat beberapa orang wanita sedang mengambil wudhu.


Selesai berwudhu, sayapun pergi semula ke Masjid Besar. Di sebuah courtyard (halaman dalam kawasan masjid) saya ternampak beberapa orang lelaki etnik Hui sedang bersiap-siap untuk iftar (berbuka puasa).

Dewan solat Masjid Besar Xi'an menjelang waktu maghrib

Sayapun pergi mencari dewan solat. Ada seorang lelaki di situ menyuruh saya masuk dan menunjukkan tempat solat untuk wanita. Sebenarnya tidak ada bahagian solat wanita. Hanya mereka benarkan wanita solat di satu sudut sebelah kanan masjid itu. Saya rasa kerana kita ini tetamu maka sebab itu mereka beri solat di situ. Sayapun solat tahyatul masjid dahulu.

Dalam ruang solat utama Masjid Besar Xi'an


Mimbar antik Masjid Besar Xi'an

Mihrab dalam Masjid Besar Xi'an


Saya lihat masjid itu amat tua. Ukiran, warna dan bentuk di dalamnya memang betul-betul klasik. Terdapat mimbar antik, mihrab, daun pintu berukiran purba, dinding yang berpahat dengan kaligrafi Arab, lampu chandelier antik, dan segala-galanya antik! Unik sekali! Kagum!  

Menurut maklumat yang saya terima, semasa masjid ini mula-mula dibina dahulu kira-kira pada tahun 742 ketika Dinasti Tang (618-907), tidak ada kemudahan disediakan untuk wanita. Jadi mereka mengekalkan keadaan masjid itu sehinggalah sekarang. Tidak ada sedikitpun ubahsuai dilakukan. Semuanya dikekalkan seperti asal. Kalau mereka hendak buat ruang solat untuk wanita sebenarnya boleh dilakukan. Kalau mereka hendak. Hanya dengan meletakkan skrin atau langsir, tetapi mereka tidak lakukan begitu demi menjaga keaslian masjid itu.

Gerbang di salah sebuah courtyard di kawasan masjid

Pavilion di kawasan Masjid Besar Xi'an

Setelah solat saya berjalan-jalan di luar dewan solat masjid itu. Ada pintu gerbang, taman dan beberapa courtyard. Beberapa orang lelaki etnik Hui di situ menyuruh saya berbuka puasa di situ. Saya menolak kerana saya katakan bahawa saya perempuan, yang ada di situ semua lelaki. Malulah! Mereka kelihatan tidak gembira melihat saya menolak ajakan mereka.

Sebentar kemudian pada pukul 7.55 senja, kedengaran laungan "Alluhu Akbar. Allahu Akbar!"  Eh azan ke itu? Saya tidak pasti. Itu sahaja yang saya faham. Barisan yang seterusnya tidaklah saya fahami. Saya lihat ada beberapa orang lelaki duduk-duduk di atas tembok di luar dewan masjid dah mula berbuka. Sayapun berbuka dengan meneguk air yang saya bawa. Setelah azan selesai. Mereka menadah tangan membaca doa selepas azan.

Dewan solat utama di Masjid Besar Xi'an pada waktu senja



Solat Maghrib di Masjid Besar Xi'an


Sejurus kemudian saya lihat orang lelaki mara ke dewan solat di masjid itu untuk menunaikan solat maghrib. Sayapun turut serta. Sebentar kemudian imam yang berjubah putih, berjanggut dan berserban putih datang bersama dua orang pengiringnya. Saya ikut solat Maghrib berjemaah. 

Ada kelainan cara sebutan imam di sini. Ia amat berbeza dengan bacaan imam di Malaysia atau imam di Masjidil Haram atau Masjidil Nabawi. Allah Maha Kaya. Di sini saya dapat merasai variasi bacaan dan sebutan. Sebutannya tidaklah mengikut lajjah Arab dan tidak menepati tajwid Resam Uthmani. Ada juga yang saya tidak berapa faham. Perbezaan yang ketara ialah selepas bacaan Al-Fatihah selesai, makmum tidak menyebut ‘Amin' beramai-ramai. Barangkali mereka membaca dalam hati. Tapi saya yakin Allah Maha Menerima dan Maha Mengetahui. Yang saya tahu orang yang membaca ayat-ayat Al-Quran dengan bersusah payah mendapat dua kali ganda pahala. 

Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. : 
“Orang yang membaca Al Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.
( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

Solat sunat selepas maghrib di Masjid Besar Xi'an

Selesai solat maghrib sayapun berjalan-jalan di kawasan luar masjid. Saya lihat ada beberapa orang lelaki etnik Hui sedang duduk berbuka di salah satu courtyard.. 


Kaum lelaki dari etnik Hui sedang berbuka puasa di Masjid Besar Xi'an

Kemudian saya berjalan melihat satu bahagian kawasan courtyard masjid yang saya belum pergi lagi. Di situ, yang menariknya, ada beberapa wanita etnik Hui sedang berbuka puasa di hadapan meja. "Oh rupa-rupanya ada perempuan. Patutlah tadi orang lelaki itu suruh saya berbuka di sini. Patutlah mereka nampak tak gembira bila saya tolak ajakan mereka untuk berbuka di situ. Itulah pasal, siapa suruh tak belajar cakap China? Kan rugi tu?"


Wanita Islam dari etnik Hui sedang berbuka puasa di Masjid Besar Xi'an

 

Langkah Kanan, Iftar di Masjid Besar Xi'an


Sayapun mengambil gambar wanita-wanita yang sedang makan itu. Sebaik-baik sahaja flash kamera saya menyala, semua wanita itu menoleh ke arah saya, lalu menggamit-gamit saya dan menjemput saya makan berbuka bersama. Saya segan juga masa itu. Mereka menarik tangan saya dan mempersilakan saya duduk. Saya yang "malu tapi mau" pun duduklah sambil senyum-senyum. Gembira sangat saya dengan ajakan mereka itu. Sayapun makan dengan berselera. Satu pengalaman yang sukar dicari!



Menu iftar cara etnik Hui yang saya nikmati


Menu berbuka ialah semangkuk bubur kacang hitam yang tawar dan kuahnya melimbang-limbang. Roti keras disiat-siatkan dan dimasukkan ke dalam bubur kacang hitam itu. Terdapat dua pinggan sayur yang bercampur daging yang masin. Sepinggan lagi tauhu-masak-apa-entah? Sayapun makan dengan menggunakan sepit yang dihulurkan kepada saya. Terkial-kial saya menyepit makanan. Sampai terjatuh-jatuh daging yang saya sepit. Dia orang nak gelak pun gelaklah. Janji saya dapat makan berbuka cara Xi'an. Mana nak cari?


Orang ramai mengunjungi Lorong Muslim pada waktu malam


Kedai baju dan skaf sutera China

Selepas iftar di Masjid Besar Xi'an buat pertama kali itu, semua wanita itu beredar. Saya rasa amat bertuah. Bersyukur sangat-sangat.

Sayapun pulang jalan kaki. Sempat juga saya singgah di Lorong Muslim membeli kuih-kuih dan makanan untuk bersahur.


Kuih putu kacang hijau Xi'an. Sedap jugak.


Dalam entri akan datang ada kisah menarik hendak saya ceritakan kepada rakan-rakan Nota Kembara sekelian. Saya solat taraweh di Masjid Besar Xi'an. Bagaimanakah golongan minoriti dari etnik Hui solat taraweh? Nak tahu? Ikutilah Kembara Solo saya ke Xi'an yang unik ini dalam entri akan datang.

...bersambung..

Baca sambungannya di bawah ini: 

Baca kisah sebelumnya di bawah ini:

22 ulasan:

  1. Salam Ramadhan NA,

    Mungkin kalau puan ke sana di luar bulan puasa, lain pula pengalamannya. Bertuahnya sebab bukan semua orang dapat peluang seperti ini...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Ramadhan juga pd Mie,
      Ya mungkin lain musim lain caranya :)Alhamdulillah, saya berpeluang beribadat bersama kaum Islam Xian. Peluang yg sukar dicari :)

      Padam
  2. Salam Yong

    nasib baik Yong pegi jengok balik courtyard tu ye....dapat makan free...
    kalau keme pegi nanti, kalau ada org ajak makan, maka dengan muka tak malu nyer keme ikut jeeeeeeeee.....hehe....
    ada suai kenei ngan deme tak Yong ?

    Selamat berpuasa.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Aku Seorang Pengembara (ASP) Yong,
      Tulah kalau teman tak jenguk tak merasale berbuka cara dema. Kalau teman malu tak merasale makan free..of course ada suei kenei dgn dema, tapi sebab tak tahu bahasa, ate melopongle yg banyak....he he

      Selamat berpuasa dan selamat Hari Raya Yong :)

      Padam
  3. Salam Ramadhan Prof dan Mie..

    Bestnya ada peluang mcm prof ni. Saya ikuti pengembaraan sola prof sampai habis tau..hehe

    Selamat Hari Raya prof, prof raya mana?? saya blik penang esok

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Zila,
      Hati-hati di jalan raya. I miss Penang. Tahun ini saya raya di Beijing. Keluargapun dan sampai dari Malaysia, nak raya sama-sama.

      Terima kasih Zila ikut pengembaraan solo saya ni. Janganlah serik ye :)

      Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.

      Padam
  4. Assalammualaikum Puan,
    Apa perancangan beraya bersama keluarga Di Beijing?
    Ada sambutan Hari Raya di kedutaaan ke?
    Mungkin seronok dapat merasa bagaimana penduduk Islam di Beijing
    merayakan Aidilfitri.
    Mungkin berkumpul di Masjid Niujie.
    Sekian. Selamat Hari Raya

    BalasPadam
    Balasan
    1. Walaikumusalam En Mohd Nizam,
      Ada 2 pilihan beraya di Beijing.
      1) Kedutaan Malaysia - ada solat raya dan makan
      2) Masjid Niujie - solat raya je, makan tak ada.

      Anak-anak dan keluarga dah seminggu sampai ke Beijing untuk berpuasa dan beraya di sini. Jadi setelah berbincang, kami semua nak beraya di Niu Jie, sebab hendak merasa suasana beraya cara orang Islam Beijing.

      Saya harap En Mohd Nizam dapat sampai dengan selamat dan mudah ke Beijing pd hujung bulan ni. Kalau ada masalah, beritahulah saya. Saya harap dapat bantu Encik sekadar yg saya mampu.

      Selamat Hari Raya :)

      Padam
  5. Salam lebaran kak!
    Masjid2 kat situ semua unik2.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Selamat Menyambut Lebaran buat Janggel & family di perantauan.
      Masjid di China memang unik :)

      Padam
  6. salam NA,
    sy paling suka part makan...wlpun rupa mknan tu nmpk pelik tp kadang2 rasanya boleh tahan

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Fatt,
      Saya pun.. saya suka cuba makanan orang negara lain. Cuba dulu baru tahu kan?

      Padam
  7. Salam sis.. Selamat hari raya!! Lepas baca entri ni tetiba rasa mcm teringin sesgt nak melancong ke xian. Byk benda yg sy tak tau n tak sangka ada di sana.. Teruskan mengepos!! Nk kumpul duit raya nih g sana :-)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Salam Mesra,
      Sorry saya baru perasan ada ulasan di sini. Ya, ada banyak perkara menarik di Xian. Sayapun sebelum ini tak tahu. Tapi bila dah pergi rasa amat berbaloi dan seronok untuk dikongsikan bersama.

      Padam
  8. Asslm NA ,
    saya dan rombongan saya akan melawat Xian pada bulan ogos ni .. jadi saya kekurangan info tentang penginapan kami dan nama perkampungan muslim di sana. apa nama hostel tu , dan di situ ada ke rumah anak2 yatim seperti di malaysia ? Harap NA sudi membalas komen saya .. :')

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam dyanz amir,
      Mohon maaf sangat-sangat sebab baru perasan tentang ulasan dyanz ni.
      Nama hostel itu 7 Sages. Saya ada blogkan dlm entri lepas. Sila klik di sini.
      http://nota-kembara.blogspot.com/2012/08/kembara-solo-ke-xian-youth-hostel.html

      Saya tak tahu tentang rumah anak-anak yatim di sana. Perkampungan Muslim itu seperti yang saya blogkan dalam entri ini dan dalam entri selepasnya.

      Padam
  9. salam perkenalan....bestnye travel....rietta suka tgk....baca pengalaman...boleh rietta jaadikan panduan nnti jika ada rezeki......

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam perkenalan Henrietta Jose,
      Terima kasih kerana suka baca pengalaman saya ini. Semoga Rietta dimurahkan rezeki dan dapat ke China.

      Padam
  10. Assllmualaikm Puan sy sungguh kagum atas semangat n keberanian puan dlm pengambaraan puan ke serata belahan dunia ini,Walau sy dari berusia belasan thn ingin nak mengambara d Negara org smpai ke usia senja belum smpai hajat d hati n cita2 saya,Sbb d dlm Alquran ALLAH berfirman(maksud),Hendak kamu berjalan d muka bumi selama 4 bulan dan kamu akan melihat tanda2 kebesaran ALLAH SWT di mana2,Subhanallah,Alhamdullillah,ALLAHU AKBAR...Semuga puan serta keluarga sehat hendak nya dlm perlindungan ALLAH.S.W.T,Amin...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam,
      Penjelajahan saya itu atas rezeki dari Allah jua. Pengalaman mengembara ini banyak yang saya pelajari. Ia adalah ilmu yang tidak akan habis.

      Terima kasih kerana mendoakan saya begitu.

      Semoga anda juga berpeluang mengembara ke tempat ini suatu hari nanti. Amin.

      Padam
  11. Puan, kalau boleh mohon sedikit informasi..
    Saya bercadang nak adakan satu program ke Xian. Program berkaitan wanita sebab JK ni berkaitan wanita2 di universiti.
    Jadi, ada tak apa2 di sana yang sesuai dengn program yang kami nak buat ni.
    antara cadangan : beri peruntukan / sumbangan kpd wanita
    - beri taklimat kesihatan berkenaan wanita di sana

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nam ibn Nam,
      Semasa saya di Xian saya telah ke Masjid Besar Xian dan bertemu dengan wanita Islam Xian di kawasan masjid dan di bilik solat wanita. Perbualan saya dengan mereka amatlah terhad kerana saya tidak tahu cakap China dan mereka tidak tahu Bahasa Inggeris. Jadi saya tidak dapat menjawab persoalan Nam itu.
      Cubalah bertemu dengan wanita berkenaan di sana dan berbincang dengan mereka. Bawalah orang yang pandai cakap China atau penterjemah supaya mudah berurusan dengan mereka. Untuk mencari masjid dan bilik solat itu silalah baca entri saya yang lain tentang Xian.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.