Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Sabtu, 25 Ogos 2012

KEMBARA SOLO KE XI'AN [5]: Iftar dan Solat Taraweh di Masjid Besar Xi'an

Sambung semula Nota Kembara Naramas Aman di Xi'an di bulan Ramadhan baru-baru ini yang belum selesai. Sambil-sambil anda berpuasa 6, menghadiri rumah terbuka dan pulang dari kampung teruslah membaca nota kembara ini sampai habis. 


S emalam saya solat maghrib dan berbuka puasa bersama-sama dengan kaum wanita Islam Xi’an dari etnik Hui di Masjid Besar Xi’an. Satu pengalaman yang istimewa yang sukar dicari.

Pada malam ini pula saya bercadang untuk solat taraweh bersama mereka di Masjid Besar Xi’an.


Lorong Muslim yang sentiasa dikunjungi ramai


Pada petang itu saya ke Lorong Muslim lagi membeli makanan untuk berbuka. Saya beli murtabak Xi’an berintikan daging.


Murtabak Xi'an ini saya beli untuk berbuka


Iftar di Masjid Besar Xi'an


Saya ke Masjid Besar dan menunggu waktu berbuka. Sambil itu saya bawa kamera untuk mengambil gambar Masjid yang belum selesai saya ambil. Sayapun menuju ke courtyard depan kawasan berpagar masjid itu. Tetapi saya ditahan oleh seorang lelaki di situ supaya saya berbuka di situ. Mereka ajak bersungguh-sunggh. Maka niat saya untuk mengambil gambar dan meninjau kawasan masjid itu terbantut.

Seorang wanita etnik Hui bernama Fatimah menjemput saya duduk dekat sebuah meja di bawah pokok. Kali ini saya tidaklah malu sangat macam semalam. Mangkuk-mangkuk sudah siap disediakan di atas meja.  Sayapun berbual-bual dengan Fatimah dengan bahasa China saya yang macam budak umur setahun belajar bercakap. Kemudian seorang lelaki Hui datang ke meja kami dan berbual-bual. Beliau boleh berbahasa Inggeris dan Arab jadi perbualan kami amatlah rancak. Dia menterjemahkan perbualan saya dengannya kepada Fatimah.

Beliau memberitahu bahawa mereka bermazhab Hanafi. Beliau juga memberitahu bahawa mereka menyediakan makanan berbuka setiap hari dan mereka ada tukang masak khas untuk masjid. Manakala Fatimah adalah sukarelawan yang membantu menghidangkan makanan. Dia beritahu di masjid itu ada solat taraweh. Ini  yang saya nak dengar!

Sebentar kemudian datang dua wanita Islam dari London dan merekapun diajak makan berbuka sama. Mereka duduk bersama saya. Merekapun rasa gembira kerana langkah kanan dan teruja dapat pengalaman iftar di Masjid Besar Xi'an yang sukar diperolehi ini.


Kaum wanita Hui duduk menanti waktu iftar. Yang paling kiri ialah Fatimah.




5 minit sebelum masuk waktu Maghrib, imam memberi tazkirah dalam bahasa China. Selesai tazkirah,  azanpun dilaungkan. Kamipun berbuka dengan buah tamar yang sudah dihidangkan oleh Fatimah. Saya cuba dengar betul-betul azan itu. Tapi saya masih macam semalam. Barisan pertama sahaja saya faham, yang lainnya tidak. 

Setelah mengudap sedikit tamar dan minum seteguk air, saya dan wanita London itu ke masjid untuk solat maghrib berjemaah. Kaum Adam yang tadinya duduk di satu sudut courtyard untuk berbuka bergegas ke masjid terlebih dahulu daripada kami. Kami mengekori mereka dari belakang menuju ke masjid.


Selepas mengudap kurma kaum lelaki Hui menuju ke Masjid Besar Xi'an untuk solat Maghrib

Kaum lelaki etnik Hui solat sunat selepas maghrib di Masjid Besar Xi'an


Selesai solat maghrib kami datang semula ke meja makan. Fatimah dan wanita-wanita Hui yang lain duduk dan senyum menanti kami. Makanan sudah sedia dihidangkan oleh Fatimah. Sup kueteow Xi'an! Panas. Kamipun makan sup kueteow Xi'an yang disediakan panas-panas itu. Sup itu dimakan bersama acar teratai bercampur lobak merah dan kobis bunga  yang ditumis dengan daging. Alangkah enaknya sup kueteow itu! TERBAIK!! Kami makan dengan amat berselera dan berkali-kali mensyukuri pengalaman yang menarik yang sukar diperolehi itu!

Saya berbuka bersama-sama kaum wanita etnik Hui di Masjid Besar Xi'an



Juadah lazat (sup kueteow Xi'an) yang saya makan ketika iftar di Masjid Besar Xian



Saya sedaya upaya makan menggunakan sepit ikut cara mereka. Melihatkan saya  terikial-kial menggunakan sepit, Fatimahpun bangun dan mencari sudu untuk saya dan wanita-wanita London itu. Dapat sudu, barulah puas makan.  Saya dan wanita-wanita London itu berkali-kali memuji keenakan makanan itu.

Itulah makanan paling enak yang pernah saya makan di China. Sampai sekarang saya masih tidak lupa dan amat mengidaminya. Bilakah lagi saya dapat mengecapinya?

Selesai makan, waktu isyak pun tiba. Sayapun ke masjid dan solat isyak berjemaah. Wanita-wanita Islam London itupun beredar kerana mereka mengikuti kumpulan dan ada pemandu pelancongnya.



Solat Taraweh di Masjid Besar Xi'an

 

Etnik Hui ketika solat di Masjid Besar Xi'an
Ibadat di Masjid Besar Xi'an



Pada pukul 9.00 malam saya solat taraweh bersama-sama kaum Islam daripada etnik Hui Xi'an. Semuanya kaum Adam. Kaum Hawa mana? Mereka tak ke masjid ke? Jadi sayalah satu-satunya jemaah wanita yang solat taraweh di Masjid Xi'an pada malam itu. Saya di sudut belakang sekali (untuk ruang solat wanita) yang disediakan tanpa tirai atau penghadang.

Solat taraweh di situ 20 rakaat semuanya. Bacaan selepas Al-Fatihah adalah surah-surah lazim yang dibaca laju-laju oleh Imam seperti surah Al-'A'la, Al-Qadar, Al-Insyiraah, Al-Ikhlas, dan lain-lain. Lajunya imam itu baca! Saya rasa inilah bacaan yang paling laju yang pernah dibaca oleh imam yang pernah saya ikuti. 

Setiap 2 rakaat selesai, ada marhaban. Marhaban ini adalah rakaman yang diputarkan melalui pembesar suara. Ia dilagukan beramai-ramai oleh orang lelaki. Saya tidak faham satu perkataanpun marhaban itu. 10 kali ulangpun saya masih tak dapat tangkap sebutannya. 

Apabila solat witir, Imam baca perlahan-lahan. Witirnya 3 rakaat dengan sekali salam. Di rakaat terakhir, rukuknya dua kali.


Solat  taraweh itu selesai pada pukul 9.30 malam. Selepas selesai solat, Imam berkata sesuatu, agaknya memberitahu semua kena berdoa atau baca niat puasa sebab semua orang menadah tangan. Sayapun ikut tadah tangan berdoa. Tapi saya tak tahu apa yang didoakan. Saya aminkan saja.




Lorong Muslim Pada Waktu Malam 

 


Kedai menjual kekacang di Lorong Muslim

Kedai di Lorong Muslim pada waktu malam


Gerai menjual putu di Lorong Muslim


Selesai solat taraweh di Masjid Besar Xi'an, sayapun keluar dari masjid dan pastinya melalui Lorong Muslim. Kedai-kedai dan gerai-gerai masih dibuka. Orang masih ramai. Perniagaan masih rancak. Saya cuma membeli air dan buah-buahan.



Pulang ke Hostel


Sayapun pulang ke hostel. Mula-mula saya menaiki bas 611, tetapi rupa-rupanya bas itu tidak lalu di kawasan hostel saya tinggal itu.  Sayapun turun. Sayapun tak tahu saya di mana masa itu. Peta Xi'an yang diberi oleh pihak hostel saya buka, tapi mata saya sudah rabun ayam, di malam yang bermandikan cahaya lampu jalan yang malap menambah sukar untuk saya membacanya. Saya meninjau-ninjau kalau ada teksi lalu. Kemudian saya lintas jalan. 


Tak lama kemudian lalu sebuah teksi. Sayapun menahan teksi itu. Teksi itu berhenti. Leganya bila dia berhenti. Saya suruh pemandu teksi itu hantar ke hostel dengan menunjukkan peta. Diapun cuba untuk melihat peta itu. Oleh kerana malam gelap, lampu pula samar-samar diapun tak boleh baca peta tu. Dia suluh peta itu dengan pemetik api. Masih tak nampak tulisan di peta. Pemandu teksi itupun tidak mahu menghantar saya. Dia suruh saya ambil teksi lain. Tapi saya enggan. Dia suruh juga saya turun dan ambil teksi lain. Saya meminta dia hantarkan saya jugak jugak. Saya kata, "Tak mahu ambil teksi lain. Nak naik teksi ini juga. Tolong hantar saya. Boleh punya. Mesti boleh!"  Dia terus enggan.

Oleh kerana dia tidak mahu hantar saya ke hostel, saya suruh dia hantar saya ke stesen keretapi Xi'an saja. Biar saya berjalan sedikit dari stesen keretapi itu ke hostel. Dia masih tidak mahu hantar saya. 


Sayapun dapat satu idea. Saya keluarkan tiket keretapi saya lalu saya tunjukkan kepadanya. Lama kelamaan diapun bersetuju hantar saya  ke situ. Dia cam saya orang Islam dan dia juga adalah orang Islam. Saya tanya dia, "Ni fung shai ma?" (Maksudnya, "Awak puasa tak siang tadi?"). Dia kata dia puasa. Saya beritahu dia yang saya baru pulang dari masjid. Kemudian, barulah saya nampak dia senyum. Alhamdulillah, Allah telah melembutkan hatinya untuk menghantar saya ke stesen keretapi. 

Setelah sampai di stesen keretapi itu, sayapun jalan kaki ke hostel kira-kira 10 minit. Sayapun pulang ke hostel dengan seribu pengalaman yang amat bermakna. Alhamdulillah. 

Tapi...ada tapinya...

 

Keracunan Makanan

 

Murtabak Xi'an yang saya beli untuk makan sahur

Alkisah
, murtabak Xi'an yang saya beli petang tadi di Lorong Muslim, mula-mulanya untuk berbuka puasa, tapi tidaklah jadi saya memakannya disebabkan saya dijemput berbuka bersama-sama orang Islam Hui di Masjid Besar Xi'an itu. Oleh kerana dapat makan juadan berbuka yang lazat itu, saya terlupakan murtabak yang saya beli itu. Sayapun simpanlah murtabak itu untuk bersahur. 


Ketika bersahur saya makan murtabak itu. Sedap jugak. Habis saya perlahapkan.

Alih-alih siang esoknya perut saya bergelora macam tsunami. Berbunyi-bunyi! Saya rasa tak sedap perut. Perut saya memulas-mulas. Saya rasa pasal murtabak tu kot. Aduh! Saya keracunan makanan!

Saya pun telan ubat untuk keracunan makanan yang sentiasa tersedia dalam beg saya. Selepas makan ubat, HABIS muntah semua balik murtabak itu. Lepas muntah barulah perut saya berhenti bergelora.  Habislah burn puasa saya hari itu. Ruginya...hu hu hu... Hari itu saya baring saja di bilik tak keluar-keluar. Mahmud Chen kata, "Makanan cepat rosak dalam musim panas. Kena hati-hati." Saya ini pulak yang lupa. Satu peringatan buat saya.

Ikutilah Kembara Solo saya ke Xi'an dalam entri akan datang. Pasti ada sesuatu yang menarik menanti anda.

...bersambung

6 ulasan:

  1. Salam NA, masih mood raya lagi ke...

    Mana foto wanita London tu...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali pada Mie,
      Ya, masih dlm mood raya lagi..tapi di Beijing ni Raya sehari je...bukan macam di Malaysia sebulan he he he. InsyaAllah nak ganti puasa yg burn masa keracunan makanan di Xian tu.

      Maaf Mie, gambar wanita London ada satu je. Tetapi disebabkan saya tangkap gambar tergesa-gesa pada masa itu, maka gambar yang saya ambil itu tak elok, dia membelakangi/membontoti kamera dan nampak "tak sesuai" untuk diletakkan di blog ini.

      Padam
  2. Salam Yong Prof

    Tak tanye ker resepi kueteow sup yg sedap tu daripada demer ?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Yong ASP,
      Tak tanya, sebab dema tak tahu cakap orang putih... :(

      Padam
  3. respect sangat akak bule berjalan2 sorang tanpa rasa takut. :) pernah sampai hong kong? saya mungkin kena pindah ke sana tahun depan.. ada tips tak?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Zila,
      Alhamdulillah saya dapat jalan sorang2 dgn selamat.

      Saya belum lagi sampai Hong Kong :( Kalau dah sampai apa salahnya kongsi tips kan.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...