Mencari ruang solat wanita di Masjid Besar Xi'an adalah misi utama saya pada hari itu. Ini disebabkan oleh perasaan penuh tanda-tanya pada diri saya. Di manakah ruang solat kaum Hawa di Masjid Xi'an?
Pada Ramadhan 1433, saya ke Masjid Besar Xi'an lagi. Tapi kali ini saya datang sebelum masuk waktu zohor. Masjid Besar Xi'an yang luas dan mempunyai banyak courtyard ingin saya jelajahi sepenuhnya. Sebelum ini saya datang ketika matahari hendak terbenam. Jadi gambar-gambarnya agak gelap. Setiap kali datang untuk merakam gambar, asyik tergendala sahaja tujuan saya itu disebabkan ajakan orang masjid itu untuk iftar bersama.
Jadi misi saya hari itu menjadi dua.
- 1. Menjelajah setiap genap sudut Masjid Besar Xi'an dan mengambil gambar-gambarnya.
- 2. Mencari ruang solat wanita di Masjid Besar Xi'an
Masjid Besar Xi'an yang Tua
Masjid Besar Xi'an dengan bangunannya yang berseni gaya China purba serta antik amat indah pada pandangan mata saya.
Pelancong-pelancong tanpa mengira bangsa dan agama gemar datang ke sini untuk menyaksikan sendiri antara masjid terawal dibina di China. Ia dibina pada sekitar tahun 700. Manakala bangunan-bangunan lain di kawasan ini ditambah binaanya pada abad ke-14.
Ia mempunyai gabungan senibina purba China dan Arab. Ia tidak mempunyai kubah sebagaimana yang kita lihat pada kebanyakan masjid di Malaysia tetapi mempunyai atap menyerupai kuil.
Masjid ini mempunyai kira-kira 5 buah halaman (courtyard) dan setiap halaman mempunyai pintu gerbang.
Pokok-pokok, taman-taman, kolam dan bunga-bungaan seperti teratai menjadi penyeri kawasan persekitaran masjid yang tenang itu.
Batu-batu bersurat berdiri utuh di taman dan juga dalam bangunan. Tidak ketinggalan pergi lama lagi tua ada terpelihara.
Pavilion dan menara dibina di tengah-tengah taman. Ia digunakan untuk melihat bulan.
Rumah berbilik lima menjadi sebahagian daripada kawasan masjid.
Pintu gerbang ini terdapat di tengah-tengah kawasan masjid.
Daun-daun pintu yang berukiran awan larat begitu indah dan kukuh terpelihara.
Ruang Solat Wanita di Masjid Besar Xi'an
Ruang solat wanita tidak disediakan di Masjid Besar Xi'an pada mula-mula ia dibina dahulu. Keadaan itu dikekalkan sehingga ke hari ini. Namun sekiranya kaum hawa ingin solat di sini, bukanlah dilarang. Kalau kita meminta kebenaran untuk solat di situ, pihak masjid akan mengajak kita solat di bahagian kanan sudut belakang, tanpa tirai atau pengadang.
Kalau kaum Hawa ingin solat bersama wanita-wanita etnik Hui maka perlulah ke musalla wanita yang disediakan oleh pihak Masjid ini. Ia terdapat di satu bangunan lain. Kedudukan musala wanita ini pula tersorok dan perlu melalui lorong-lorong kecil yang berbelok-belok. Kira-kira 5 minit berjalan kaki.
Bagi kaum Hawa, di bawah ini disediakan panduan jalan untuk menuju ke ruang solat wanita di Masjid Besar Xi'an.Lorong di hadapan Masjid Besar Xi'an |
Perlu melalui lorong ini dahulu. Kemudian belok ke kiri. |
Setelah membelok ke kiri, terdapat papantanda "musalla an-nisa" (musalla wanita) di luar sebuah bangunan. |
Bilik solat wanita terdapat di tingkat satu |
Apabila kita masuk ke dalam bangunan ini kita akan dapat melihat sinki, bilik air, tempat mengambil wudhu, tandas dan tangga ke atas menuju ke ruang solat wanita.
Di musallla ini disediakan penghawa dingin, jam, al-Quran dan pembesar suara. Pembesar suara itu disambung dari Masjid Besar Xian dan kita boleh mendengar pergerakan dan suara imam.
Kaum wanita menanti solat zohor berjemaah di dalam ruangan solat wanita. |
Wanita-wanita Islam Xi'an dari etnik Hui ini melakukan solat sunat sebelum fardhu zohor. |
Ketika saya berkunjung ke musalla ini, beberapa orang wanita sudah sedia menunggu untuk solat zohor berjemaah. Sebentar kemudian imam pun memulakan takbir dari Masjid Besar Xi'an dan suaranya kedengaran melalui pembesar suara.
Jadi pada tengahari itu saya turut solat zohor berjemaah bersama mereka. Semoga solat kami diterima Allah. Aamiin.
Ikuti Kembara Naramas Aman dalam entri akan datang. Nantikan.
...bersambung
Baca sambungannya di bawah ini:
Baca kisah sebelumnya di bawah ini:
Saya rasa binaannya lebih mirip kepada tokong bukan kuil...
BalasPadamKalau tiada tulisan Arab mungkin orang tak tahu tempat ini adalah Masjid...
Good info NA..
@Mie,
PadamKedua-dua ciri kuil (temple) dan tokong ada terdapat pada binaan masjid ini. Ini disebabkan oleh pengaruh agama Buddha yang di bawa dari India. Kemudian disebarkan ke sebelah timur Asia.
Kalau kita melihat kuil (temple) yang terdapat di China memang tiada beza dengan binaan masjid di sini.
Ya, betul Mie, kalau tiada tulisan Arab dan kalimah Allah orang tak tahu yang ini adalah masjid.
Info yg sangat menarik... insyallah tahun depan saya akan ke Xi'an pula.. terima kasih atas perkongsian..
BalasPadam@2121studio,
PadamTerima kasih kerana sudi baca dan tinggalkan ulasan di sini. Saya doakan 2121studio dapat mengunjungi masjid ini pada tahun hadapan.