Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Memaparkan catatan dengan label Malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Malaysia. Papar semua catatan

Selasa, 24 Januari 2017

9 Pasar Barangan Antik di Perak



B agi peminat dan pengumpul barangan antik pasti tidak akan ketinggalan mendapatkan barangan lama ini. Ada yang sanggup mengembara dari satu negeri ke satu negeri demi mendapatkan barang antik yang dicari-cari. 

Tahukah anda bahawa di Perak, sekitar Kuala Kangsar, Ipoh dan Taiping anda boleh mendapatkan barangan antik yang sudah hampir pupus? Di ruangan ini saya catatkan 9 tempat yang boleh anda serbu untuk mendapatkannya.


1) Pasar Pagi Ahad di Lembah, Kuala Kangsar


Pergilah ke Lembah (di pinggir Sungai Perak), Kuala Kangsar pada pagi Ahad. Pada hari ini, pinggir Sungai Perak ini menjadi sebuah pasar yang menjual pelbagai barangan dapur, makanan, sayur-sayuran, ikan-ikan air tawar, pakaian dan macam-macam lagi.

Terdapat sebuah gerai yang mendapat perhatian orang ramai iaitu gerai yang menjual barangan antik. Antara yang dijual ialah kamera, kotak rokok seperti Rough Rider dan 555, talam, gramaphone, piring hitam, jam dinding, permainan, topi besi dan macam-macam lagi.  Jadi bagi peminat barangan antik, jangan lupa mengunjunginya

Kamera, tempat duduk basikal, dulang, permainan, topi dan jam dinding  adalah antara barangan antik yang terdapat di gerai Pasar Pagi Ahad, Lembah, Kuala Kangsar

Betul-betul mengusik jiwa apabila dapat mendengar kembali lagu-lagu lama melalui gramaphone ini

2) Pasar Pagi Isnin di Padang Rengas, Kuala Kangsar 


Sekiranya anda ketinggalan jaulan di Lembah tadi, anda bolehlah ke pasar pagi lain yang terletak berdekatan iaitu di Padang Rengas, Kuala Kangsar. Pasar pagi ini dibuka pada hari Isnin. Terdapat gerai yang menjual mesin jahit lama, buku dan majalah lama dan pakaian terpakai.

Buku dan majalah lama boleh didapati di Pasar Pagi Isnin Padang Rengas, Kuala Kangsar


Mesin jahit jenama Raleigh dijual di pasar ini

3) Pasar Pagi Selasa di Karai, Kuala Kangsar


Sebuah lagi tempat yang menarik untuk anda kunjungi bagi mendapatkan barangan antik ialah di Pasar Pagi Selasa di Karai, Kuala Kangsar. Pasar ini amat meriah kerana terdapat 3 hingga 4 gerai yang menjual barangan antik.

Gerai yang pertama melambakkan barangan antiknya seperti mesin kisar ais, kipas angin, cawan kopitiam, ladam kuda, periuk belanga, golok, mata cangkul, parang, lukisan dan macam-macam lagi.

Peminat barang-barang lama tidak ketinggalan meneliti barang lama yang dijual

Seterusnya terdapat gerai yang menjual mesin jahit lama jenama Raleigh sama ada mesin yang dioperasikan dengan menggunakan kaki atau tangan. Selain menjual mesin jahit lama, gerai ini yang dimiliki oleh seorang peniaga wanita, juga mengadakan khidmat membaiki dan menrestorasi mesin jahit lama.

Mesin jahit jenama Raleigh ini dijual di pasar pagi Karai dengan harga yang mampu milik. Akesori untuk mesin jahit juga dijual

Gerai ketiga menjual barang-barang lama yang sudah pupus seperti lampu, duit syiling, cawan (bunga kangkung), sudu/garfu tembaga, talam tembaga, tudung lampu, acuan kuih, botol kaca, bahagian basikal seperti rantai, tempat duduk, lampu dan macam-macam lagi.

Barang-barang tembaga, porcelin, barang-barang kaca,  besi-besi lama dan senjata disusun di atas meja untuk menarik perhatian

Gerai yang paling menarik dan mempunyai pelbagai pilihan pula adalah gerai keempat yang menjual gramaphone (jenama Mastrer's Choice/anjing menyanyi), barang-barang tembaga, piring hitam, sapir, peti besi, topi tentera, pelita, dacing dan macam-macam lagi barang yang sukar diperolehi lagi pada zaman digital ini.

Gramaphone Master's Choice ini diputarkan dengan menggunakan tangan dan masih berfungsi dengan baik. Piring hitam lama nyanyian opera klasik Melayu diberikan percuma sekiranya membeli gramaphone ini

Pelanggan mesti meneliti barangan antik ini dahulu sebelum membelinya

Lagu-lagu lama adalah sejarah dan pasti menggamit kenangan silam apabila mendengarnya


4) Pasar Pagi Jumaat di Manong, Kuala Kangsar


Sekiranya anda ketinggalan jualan di Karai dan Padang Rengas, anda boleh ke Pasar Pagi Jumaat di Manong, Kuala Kangsar, Perak. Peniaga-peniaga barangan antik yang berniaga di pasar-pasar tadi berniaga juga di pasar-pasar lain di persekitaran Kuala Kangsar.

Di sini anda boleh mendapatkan barangan antik seperti radio, pemain piring hitam, pemain kaset, cawan kopitiam, mesin ais batu, seterika arang, besi karat dan macam-macam lagi.

Pasar pagi Jumaat di Manong menjual juadah asli dari kampung seperti tepek pisang

Barang-barang antik dan besi karat tidak ketinggalan dijual di sini


5) Pasar Pagi Sabtu di Kamunting, Taiping


Pada pagi Sabtu datanglah ke pasar yang letaknya bersebelahan dengan stesen bas Kamunting. Macam-macam barang lama dan yang dah berkarat tetapi masih berharga terdapat di sini. Kalau rajin datang dan mencarinya, tentu anda dapat apa yang anda cari.

Jangan padang sebelah mata saja besi berkarat, tembaga kuning, seramik sumbing, koleh ayan  dan tin lama ini kerana ia masih berharga



6) Kapitan Antiques House di Jalan Taming Sari, Taiping



Kapitan Antiques House di Taping pula adalah sebuah kedai yang menjual pebagai barangan antik. Ia dimiliki oleh peniaga Cina. Boleh dikatakan apa yang anda ingin terdapat di sini. Kalau anda memasuki kedai ini, pasti anda terkejut melihat terlalu banyak barang-barang antik berselerak, menimbun-nimbun dan bergantungan di sana sini sehingga anda perlu menyelongkar sehingga ke belakang.

Basikal tua, lampu minyak tanah, alat muzik, permainan, kukus buluh dan jam dinding  digantung di siling kedai

Papan tanda dan iklan lama amat berharga pada hari ini kerana ia sukar didapati

Mangkuk tingkat pelbagai jenis dan corak samada daripada enamel atau tembaga terdapat banyak di sini

7) Pagi Ahad di Pasar Karat (Memory Lane), Ipoh


Sebuah lagi tempat yang sangat popular di Perak yang menjual barangan antik ialah Pasar Karat (Memory Lane) di Ipoh. Orang sentiasa ramai di sini. Pastikan anda datang pada pagi Ahad.

Di sini anda boleh mendapatkan pelbagai barangan antik yang membuatkan anda rambang mata dek terlalu banyaknya gerai dengan pelbagai jenis barang antik. Radio lama, basikal tua, gramaphone, telefon berdail, lampu gasolin, pinggan mangkuk berbunga klasik, piring hitam retro, duit syiling purba, duit kertas lama, barangan kaca dan hiasan rumah pasti memukau peminat barang-barang antik.

Piring hitam dari penyanyi popular 60an dan 70an juga boleh dicari di sini

Tembaga lama pun ada

Mesin jahit lama ini masih berfungsi


8) SSF di Ipoh: Barangan Baru Bergaya Antik


Sekiranya anda ingin mendengar lagu-lagu klasik menggunakan radio lama dan gramaphone lama sebagaimana Sabariah mendengar lagu-lagu Kassim Selamat anda boleh mendapatkan radio ini di SSF, Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh. Radio dan gramaphone ini baru, cantik, berkilat dan ia berfungsi dengan baik.  Ia nampak saja antik tetapi sebenarnya ia diproduksi semula dengan meniru gaya antik.

Selain itu terdapat juga perabot dan hiasan rumah baru yang dibuat berbentuk antik dan klasik seperti peti harta karun, jam meja, jam dinding, meja kopi, bangku dan hiasan dinding.

Gramaphone yang berbentuk antik ini sangat baru dan berfungsi dengan baik

Radio ini meniru bentuk radio antik. Terdapat fungsi digital pada radio ini

Jam meja ini bukan jam lama tetapi meniru gaya antik 


9) Kafe Antik - Chor's Cafe Western, Meru, Ipoh


Basikal digantung  dan beca dipakir di hadapan kedai

Melihatkan gambar di atas sekilas pandang, pasti ramai yang menyangka ini adalah sebuah kedai menjual basikal. Tetapi sebenarnya ia adalah sebuah kafe. Kafe ini dihiasi dengan basikal pelbagai jenis daripada basikal kanak-kanak sehinggalah ke basikal tua dan beca. Selain itu terdapat kereta lama dan barangan antik. Ini ialah Chor's Cafe yang dimiliki oleh peniaga Melayu dan letaknya di Taman Meru, Ipoh. Barang-barang antik di kafe ini bukan untuk dijual, tetapi digunakan sebagai hiasan. 

Sekiranya anda ingin duduk minum-minum anda bolehlah ke Chor's Cafe yang menyajikan makanan barat. Sambil minum-minum bolehlah anda memainkan lagu-lagu retro melalui sebuah juxebox yang terdapat di sudut kafe.


Basikal, gitar, ukelele, topi koboi, iklan lama dipamerkan pada dinding Chor's Cafe

Kereta lama, basikal, motosikal dan pinggan mangkuk lama menghiasi bahagian kaunter kafe

Itulah sahaja 9 senarai pasar/kedai yang menjual barangan antik di Perak. Sekiranya ada pasar karat yang belum saya kunjungi, silalah beritahu saya .


Dilarang meniru dan  memreproduksi sebarang tulisan dan imej di dalam blog ini tanpa kebenaran penulis.

Isnin, 11 April 2016

Movie Animation Park Studio |MAPS akan dibuka di Ipoh

T aman tema filem animasi pertama di  Malaysia akan dibuka tak lama lagi di Ipoh, Perak. Khabarnya ia akan mula dibuka pada pertengahan tahun ini. Taman yang dinamakan Movie Animation Park Studio atau MAPS ini akan mempunyai macam-macam jenis ride, roller-coaster, drop tower, persembahan lagak ngeri, dunia kartun, dunia fantasi, dunia permainan, dunia pengembaraan dan banyak lagi.

Tentu anda akan berasa gayat dan seram sejuk menaiki Megamind yang tinggi dan laju, kecut perut menyaksikan persembahan lagak ngeri kereta secara langsung (live-action stunt car), sesat-marat dalam Fantasy Forest Zone, kembali ke zaman kanak-kanak  bersama Woody dan Buzz Light Year dalam Toy Story, memasuki rumah Red Indian dalam Indys Hq, menjelajah gua di dalam Cave Walk, menyeberangi jambatan dan sungai dan macam-macam lagi adventure.

Semua ride ini direka mengikut cuaca panas sepanjang tahun di Malaysia. Jadi cuaca begini menjadi satu keisitmewaan bagi Malaysia kerana taman tema ini boleh dibuka sepanjang tahun sebagaimana Studio Disney di Florida, Amerika Syarikat kerana cuaca di Florida juga panas sepanjang tahun. Tidak seperti taman-taman tema di negara-negara yang mempunyai 4 musim; misalnya Luna Park di Melbourne, Australia dan Kings Island di Cincinnati, Ohio hanya dibuka pada musim bunga dan panas.

Tetapi adakah taman tema ini sudah siap dan bersedia menerima kunjungan ramai?

Minggu lepas saya ke Ipoh dan berkesempatan mengambil beberapa syot dari taman tema itu. Saya mengambil gambar-gambar itu dari dalam kereta yang bergerak di atas jalanraya. Hasilnya ialah seperti yang di bawah ini

Taman Studio Animasi ini masih dalam pembinaan. Terdapat 40 ride yang bakal menghiburkan anda. 

Taman Studio Animasi yang dikatakan Asia's First ini mempunyai animasi dari DreamWorks. Animasi tempatan BoBoiBoy juga bakal berada di sini. 

Movie Animation Park Studio ini letaknya tidak berjauhan dengan Perhentian Amanjaya dan Mydin Mall Meru. Tanah yang masih kosong ini mungkin akan dihiasi dengan pokok-pokok bunga

Pintu masuk MAPS yang bakal diserbu orang ramai tak lama lagi. Ia dijangka menjadi tarikan pelancong.

Gerbang MAPS masih belum dibuka untuk orang ramai.  Dengan slogan Live Your Dreams, MAPS ingin menggapai impian anda

MAPS  ~ Live Your Dreams, benar-benarkah akan merealisasikan impian anda? Sama-samalah kita nantikan.


Khamis, 4 Februari 2016

Jom Tengok Ola Bola

H ujung minggu ini ramai yang bercuti sempena Tahun Baru China. Ada yang mengambil cuti sehingga minggu depan. Ke manakah anda hendak pergi berjalan? Apa kata kita tengok Ola Bola? 

Ola Bola adalah sebuah filem Malaysia yang baru yang patut kita tengok. Ola Bola diarahkan oleh Chiu Keng Guan yang sebelum ini telah mengutip jualan tiket melebihi RM17.28 juta melalui filem The Journey

Berapakah pula yang berjaya dikumpulkan oleh Ola Bola pula? Menurut laporan sebuah akhbar di Malaysia, selepas 4 hari tayangan, filem Ola Bola telah berjaya mengumpulkan RM2.5 juta! Wow!

Baru-baru ini pengarah Chiu dan pelakonnya iaitu Luqman Hafidz dan Marianne Tan telah datang ke USM Penang iaitu tempat saya berkerja dan memperkenalkan filem ini. Daripada pembentangan pengarah dan pelakon-pelakon filem ini, saya rasa amat tertarik dengan kegigihan pengarah Chiu menghasilkan sebuah filem Malaysia bergenre sukan. 

Chiu, Luqman Hafidz dan Marianne datang ke Pusat Pengajian saya dan bergambar dengan pelajar-pelajar saya

Antara yang menambat hati saya ialah cara penggunaan green screen dan kesan khas dalam merealisasikan adegan-adegan menarik filem ini terutamanya babak ketika menaiki helikopter, menggelecek bola dan penonton bersorak. Latihan demi latihan dilakukan supaya pelakon-pelakonnya mahir bermain bolasepak dan menjadi pengulas sukan profesional. 

Filem ini cuba mengimbas kembali zaman kegemilangan bolasepak tanahair pada tahun 1980an. Penyelidikan yang mendalam dilakukan untuk mendapatkan fakta dan maklumat yang tepat. Wawancara-wawancara dilakukan dengan pemain-pemain bolasepak zaman itu dan pengulas sukan profesional seperti Hasbullah Awang supaya kelihatan lebih nyata.  Amat nostalgia sekali melihat seting, kostium, props, gaya dan penampilan mereka yang pernah berada di zaman itu dikembalikan di atas skrin.

Pengarah Chiu telah bermurah hati memilih saya menjadi salah seorang SUPERFAN Ola Bola dengan menghadiahkan saya sehelai baju-t yang amat unik. Siap dengan nombor jersi seperti seorang pemain bolasepak profesional! :)

T-shirt ini dihadiahkan oleh Chiu pengarah filem Ola Bola kepada saya
Di belakang t-shirt Ola Bola ini dituliskan saya sebagai Superfan dengan nombornya

Saya juga dapat sekeping pelekat (stickerOla Bola. Saya menerimanya dengan hati yang gembira. Saya menjangkakan filem ini akan dicatatkan sebagai salah sebuah filem terbaik dalam sejarah filem Malaysia.

Pelekat Ola Bola yang saya terima dari pengarah filem Ola Bola

Sekarang filem Ola Bola sedang di tayangkan di pawagam-pawagam. Pelajar-pelajar saya telah menonton filem ini. Ada yang telah menontonnya berkali-kali. Pada pandangan mereka ia amat menarik.

Mendengarkan cerita dari pelajar-pelajar saya, saya dan keluarga saya pun ke pawagam berdekatan dengan rumah kami iaitu di Queensbay Mall.

Penonton beratur membeli tiket di Golden Screen Cinema, Queensbay Mall, Penang

Kami tidak beratur membeli tiket, tetapi membelinya di rumah secara online. Bar code tiket itu dihantar melalui telefon pintar dan apabila sampai di pawagam, kami hanya imbas bar code tersebut di pintu masuk. Satu tiket berharga RM14.00.

Beratur membeli popcorn dan minuman di pawagam di Queensbay Mall, Penang
Dengan membeli secawan air Milo kami mendapat beg Ola Bola percuma

Apabila kami memasuki pawagam, kami mendapati penontonnya terdiri daripada pelbagai bangsa: Melayu, Cina dan India. Inilah filem yang berjaya mengajak penonton pelbagai bangsa menonton filem Malaysia.

Ceritanya menarik kerana ia memaparkan realiti kehidupan masyarakat Malaysia berbilang bangsa. Plotnya ringkas dan banyak diselit-selitkan dengan adegan-adegan lucu. Watak-watak pemain bolasepak mengingatkan saya kepada pemain bolasepak negara pada tahun 1980an seperti Soh Chin Aun, Mokhtar Dahari, Arumugam dan Santokh Singh. Betapa hebatnya Malaysia di peringkat antarabangsa melalui gabungan pelbagai kaum dalam sebuah pasukan bolasepak.

Lakonan Bront Palarae yang mantap sebagai pengulas sukan mengingatkan saya pada Rahim Razali iaitu komentator sukan yang terkenal pada tahun 1980an.

Lagu Arena Cahaya dendangan Zee Avi amat merdu didengari dan liriknya amat padan dengan tema filem ini.

Ketika menonton saya sempat mengambil beberapa syot dari filem Ola Bola dengan menggunakan telefon bimbit saya.

Berita kemenangan pasukan bolasepak negara di dalam filem Ola Bola
Marianne melakukan wawancara untuk rancangan tv terbitannya
Ali (lakonan Luqman Hafidz) bertarung dalam perlawan bolasepak Malaysia dalam Ola Bola
Bront Palarae berjaya mencuit hati penonton dengan lakonannya sebagai pengulas sukan untuk acara secara langsung
Kita dapat menyaksikan pemandangan indah dan sinematografi menarik dalam Ola Bola

Kepada yang belum menonton Ola Bola lagi, apa kata pergilah hujung minggu ni?

Ahad, 10 Januari 2016

Restoren Makanan Cina Muslim | Mohd Chan Abdullah

K alau saya ke Kuala Lumpur dan diketahui oleh kenalan saya yang tinggal di sana, mereka selalunya mahu berjumpa saya. Selalunya pertemuan diadakan di restoren.

Baru-baru ini mereka bawa saya makan malam di sebuah restoren Cina Muslim yang terletak di Taman Melawati.

"Sedap juga!" kata mereka yang cadangkan itu.

"Apa yang sedap itu?" 

Jom tengok!

Inilah restoren yang dimaksudkan. Letaknya di Taman Melawati
Dalam restoren Mohd Chan Abdullah - Makanan Cina Muslim

Saya pun meneliti menu yang diberikan. Macam-macam pilihan dari minuman, makanan laut, itik panggang, nasi, sup, mee sehinggalah kepada snek.

Sirap Bandung Cincau, Ribena Laici, Limau Asam Boi, Kedondong Asam Boi.....

Terdapat pelbagai menu dari set nasi, mee, makanan laut, sayur-sayuran, daging, sup dan snek

Makanan lautnya pula membangkitkan selera ~ Ada Kam Heong Lala, Seong Tong Lala, Homemade Yam Ring Masak 'Koh Boh', Ketam Masak Kam Heong, Sotong Merah Masak 'Kong Boh', Stim Siakap Cheong Zheng, Udang Goh Jin Special...aahhh macam-macam yang belum pernah saya cuba.

Nasinya pula ada macam-macam : Ada Nasi Ayam Mohd Chan Abdullah, Nasi Ayam BBQ, Nasi Itik, Nasi Goreng Nenas, Nasi Goreng Kam Heong, Nasi Goreng Yong Chow...hmm yumm yumm...


Meenya pula dari Mee Kari, Sizzling Yee Mee, Loh Mee Sup, Wantan Mee Roasted Itik, Kantonis Ying Yong, Claypot Yee Mee....sehingga saya pun tak tahu nak memilih yang mana satu.

Ambil short cut...tanya pada yang pernah makan di sini.

"Apa yang sedap di sini?" tanya saya.

"Cantonese Yee Mee dia sedap," kata yang pernah makan di sini.

Atas cadangannya saya pun order.

Saya memilih Shang Har Cantonese Yee Mee dengan udang galah bersaiz kecil dan minum Limau Asam Boi

Shang Har Cantonese Yee Mee dengan udang galah bersaiz kecil ialah RM18.00 kalau pilih udang galah bersaiz besar harganya RM32.

Apabila dihidangkan Shang Har Cantonese Yee Mee itu, ia nampak amat menyelerakan.  Apabila disuap ke mulut, rasanya tidak mengecewakan. Inilah pertama kali saya memakannya.

Ada yang memilih Hokkien Mee. Apabila dihidangkan, ternyata Hokkien Mee itu amat menyelerakan dan menyesal pula saya tak order.

Hokkien Mee ini membuat saya terliur

Ada pula memilih pau. Ini pun sedap.

Pau gebu

Begitulah makan malam di Restoren Makanan Cina Muslim Mohd Chan Abdullah. Pernahkah anda makan di sini? Kalau pernah, sila kongsikan pengalaman anda makan di sana.