Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Memaparkan catatan dengan label Thailand. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Thailand. Papar semua catatan

Khamis, 2 Mac 2017

Makanan Halal di Bangkok: Di Mana Nak Cari?

M asakan Thai amat sesuai dengan selera kebanyakan kita, sehinggakan menjamu selera yang ringkas di sebuah gerai di Bangkok menjadi pengalaman yang tidak mungkin dilupakan. Kalau anda ke Bangkok, tentu anda tidak mahu melepaskan peluang memakan makanan asli Thai ini, kan? Tetapi di mana nak cari makanan yang halal?

Jangan risau, bukankah agama kedua terbesar di Thailand ialah Islam? Walaupun peratusan Muslimnya kecil tetapi ke mana-mana saja kita pergi pasti ada tempat makanan halal.

Masjid Darissalam di Soi Darrisalam, Pracha Uthit ini menandakan bahawa di sini adalah penempatan orang Islam Bangkok



Di sini saya senaraikan 6 tempat di Bangkok yang terkenal dengan makanan halalnya.


1. Pracha Uthit 61 di Soi Sa Pan 1, Thung Khru


Tempat makan yang saya ingin cadangkan kepada anda terlebih dahulu ialah di Pracha Uthit 61 iaitu sebuah pasar yang terletak di Soi Sa Pan 1 di daerah Thung Khru, Bangkok. Di sini terdapat banyak gerai-gerai orang Islam dengan makanan halal. Amat mudah mengecam gerai-gerai makanan halal ini kerana tulisan halalnya dalam Jawi atau Rumi, dan lambang bulan-bintang amat mudah dilihat pada papan tandanya. Peniaga-peniaga wanitanya juga bertudung.

Pasar ini terletak di Pracha Uthit 61. Gerai yang pertama adalah gerai makanan halal. Mudah mengecamnya kerana  peniaganya memakai tudung

Tulisan halal dan lambang bulan-bintang mudah dilihat pada papan tanda gerai

Antara makanan yang patut anda makan ialah nasi putih berlaukkan makanan laut seperti sotong dan udang serta sedikit sayur-sayuran yang dimasak dengan menggunakan rempah-ratus asli Thai. Rasanya pedas-pedas manis.

Selain itu anda boleh cuba Spaghetti Seafood. Ia dimasak dengan rempah Thai dengan udang, sotong, putik jagung dan sedikit sayur-sayuran.


Nasi putih berlaukkan udang dan sotong masak Thai ini nampak simple tapi rasanya sedap

Spaghetti Seafood ini  nampak macam tak ada apa-apa tetapi pedasnya menyengat


Pad Thai pula adalah makanan kegemaran orang Thailand dan sudah pasti ia boleh didapati di Pracha Uthit 61 ini. Ia macam kuay teow yang digoreng dengan ayam, udang, telur dan tauhu.

Pulut memang menjadi makanan harian di Thailand. Dikatakan bahawa wanita-wanita di bahagian utara Thailand berkulit lembut dan halus kerana mereka makan pulut setiap hari. Pulut yang siap ditanak didapati dengan mudah di pasar ini. Pulut ini sedap dimakan dengan ikan goreng yang juga mudah didapati di sini.


Pad Thai sedap yang dicampur ayam, telur, tofu, tomato dan udang


Pulut yang sudah dimasak dijual dalam bungkusan plastik


Orang Thailand sering mengatakan bahawa di Thailand, hanya terdapat dua musim ~ musim panas dan musim sangat panas. Tak kiralah anda datang pada mana-mana musim pun, anda pasti tidak mahu melepaskan minuman ais di sini. Kalau tekak anda kering, teguklah air kelapa. Atau cubalah bingsu iaitu sejenis ais yang dikisar atau diparut halus menjadi seperti salji dan dibancuh dengan sirap vanila dan coklat yang topping-nya adalah roti empat segi, sirap coklat dan butiran coklat.

Sebagai orang Islam anda pasti tidak mahu tinggalkan solat. Jadi, masjid terdekat dengan kawasan ini ialah Masjid Al-istikhomah di Pracha Uthit 69.


Air kelapa

Bingsu - Ais kisar cokolat ini berharga RM5



2) Ramkhamhaeng di Suan Luang



Medan Selera halal yang terdapat di Ramkhamhaeng

Sebuah lagi tempat yang patut anda pergi untuk mendapatkan makanan halal ialah Ramkhamhaeng. Ramkhamhaeng adalah sebuah daerah yang luas di Suan Luang dan dipenuhi dengan orang Islam. Di sini terdapat banyak masjid dan lebih kurang 100 buah kedai/gerai makan Muslim. Tentu anda merasa berselera disebabkan mudahnya untuk mendapatkan makanan halal dengan resepi asli Thai, terutamanya masakan dari Selatan Thailand. Ia dibuka pada pukul 5 petang hingga lewat malam.

Antara makanan halal yang boleh diperolehi di sini ialah bihun sup, nasi briyani, tomyam, goreng-gorengan, bebola ikan, pad thai, ikan bakar, kerabu daging dan macam-macam lagi.


 Nasi Briyani

Sejenis gorengan ikan seperti Keropok Lekor dimakan dengan sos cili Thai 

Spaghetti dengan rempah-ratus Thai


3) Greenday Night Market di Rama 2



Pasar-pasar malam di Bangkok menawarkan jualan yang lebih murah dan kerana itu ia dikunjungi ramai penduduk tempatan.  Salah sebuah pasar malam itu ialah Greenday Night Market.  Letaknya di Rama 2 iaitu bersebelahan dengan gedung membeli-belah Central Plaza. Ia dibuka setiap hari dari 6 petang hingga 2 pagi. 

Sebagai sebuah pasar malam, Greenday menjual macam-macam jenis makanan halal. Namun terdapat juga yang tidak halal. Jadi anda perlulah berhati-hati memilih gerai-gerai makanan halal dengan melihat tulisan halal pada papan tanda perniagaan. 

Kalau ada berada di Greenday Night Market ini, Fried Squid Egg @ Telur Sotong Goreng yang dicampurkan dengan sos cili Thai patut anda cuba. Juadah ini berempah dan bercampur kobis yang dihiris halus-halus. Ianya halal, sedap dan dikatakan yang terbaik di daerah ini. 


Fried Squid Egg @ Telur Sotong Goreng halal terbaik


Satu lagi makanan tradisional Thai yang cukup popular yang terdapat di pasar ini ialah Khanum Buang (Thai Mini Crepe). Ia seperti taco iaitu makanan Sepanyol yang intinya dimasukkan ke dalam kulit taco yang rangup.  

Khanum Buang menggunakan crepe yang dibuat daripada adunan tepung beras dan sejenis tepung tempatan yang dicampurkan santan kelapa, garam, gula palma, telur dan air. Adunan ini kemudiannya disapukan dengan nipis dalam bentuk bujur di atas kuali leper panas. Apabila ia sudah perang keemasan, pati santan pekat ditepekkan ke atasnya lalu diletakkan inti di atasnya. Crepe ini lalu dilipat, dan apabila ia sejuk ia menjadi sangup rangup.  

Khanum Buang ini ada yang berinti manis dan ada yang pedas. Yang berinti manis adalah campuran bebenang telur kuning, kelapa parut dan buah persimmon. Yang pedas pula intinya dibuat daripada bebenang telur, udang dan daun ketumbar. Teksturnya lembut, berkrim dan sangat kontras dengan crepe yang rangup itu. 

Namun terdapat penjual Khanum Buang yang bukan Islam. Jadi pandai-pandailah anda mencari gerai yang halal.


Khanum Buang = Thai Mini Crepe dibuat di atas kuali leper yang panas - (Nota: Peniaganya bukan org Islam)




4) Central World di Bandaraya Bangkok



Central World Mall yang popular dalam kalangan pelancong


Central World Mall sangat terkenal dalam kalangan pelancong. Ia adalah gedung membeli-belah yang besar di tengah-tengah bandaraya Bangkok. Disamping membeli-belah, anda bolehlah makan-makan di sini.

Pelbagai jenis makanan halal boleh didapati di sini: nasi, tomyam, pulut, kerabu mangga, som tam, pad thai, boat noodle dan macam-macam lagi. Ada juga makanan halal ini dijual di gerai-gerai tepi jalan.

Namun disebabkan ia adalah kawasan tumpuan pelancong, maka harga makanan di sini lebih dua kali ganda daripada harga makanan di Pracha Uthit yang saya nyatakan di atas tadi. Misalnya, Pad Thai di Central World berharga RM15 tetapi di Pracha Uthit ia berharga di antara RM3 hingga RM6.


Pelanggan beratur untuk mendapatkan kebab di gerai tepi jalan berdekatan Central World

Penggerai Muslim sedang memasak Pad Thai halal
a
Lagi gerai makanan halal 


5. Pasar Minggu Chatuchak di Chatuchak



Sebuah lagi pasar yang popular dan terbesar di Bangkok ialah Pasar Minggu Chatuchak (Chatuchak Weekend Market).  Anda pasti terkejut melihat luasnya kawasan pasar ini. Ini kerana terdapat lebih daripada 8,000 gerai di sini dengan pelbagai barangan jualan: dari makanan, pakaian, seni kraftangan, tanaman dan alat-alat perkebunan, barangan terpakai, seramik, barangan antik sehinggalah binatang peliharaan eksotik seperti ular, kala jengking, cicak dan geko.

Pasar ini letaknya di Jalan Kamphaeng Phet 2, Chatuchak. Terdapat sebuah jam besar di tengah-tengah pasar Chatuchak ini. Untuk mencari tempat jualan makanan halal ini anda kenalah pergi ke hadapan jam besar itu.

Antara makanan halal yang boleh diperolehi di sini ialah Nasi Beriyani, Pad Thai, Sup Tomyam, Nasi Makanan Laut dan macam-macam lagi.

Pasar ini dibuka pada hari Jumaat pukul 18.00-24.00, Sabtu dan Ahad dari 9.00- 18.00.


Fried Rolls Ice Cream dibuat dengan kemahiran dan amat unik


Sejenis ais krim yang amat menarik perhatian pengunjung pasar ini ialah Ais Krim Gulung Goreng (Fried Rolls Ice Cream). Ia adalah ais krim yang sejuk-beku tetapi digoreng serta-merta di atas kuali leper yang panas. Cara penyediaan ais krim ini amat unik kerana ia memerlukan kemahiran.

Ais krim ini dicampur dengan bahan pilihan pelanggan seperti Oreo Cookies yang dihancurkan menggunakan pisau di atas kuali leper yang panas itu, kemudian digaul rata. Lantas adunan ini dirata-ratakan di atas kuali panas itu sehingga nipis; adunan nipis ini kemudiannya dipotong panjang-panjang lalu digulung satu per satu.

Gulungan ais krim ini dimasukkan ke dalam mangkuk kertas dan dihiasi dengan topping seperti Oreo, brownie, sirap cokolat dan kacang atau apa saja topping yang pelanggan suka.

Salah satu menu pilihan Ais Krim Gulung Goreng (Fried Rolls Ice Cream) ini ialah Chocolate Monster iaitu Ais Krim Gulung Goreng vanila bercampur cokolat. Harganya cuma 60 bhat.

Nota: Carilah ais krim yang anda yakini halal.


Chocolate Monster ini adalah salah satu menu Fried Rolls Ice Cream. Ia  berharga 60 bhat


6)  Train Night Market @ Rod Fai Night Market di Nong Bon, Prawet



Menaiki bot menyeberangi Sungai Chao Praya untuk ke Train Night Market


Sebuah lagi pasar yang patut anda pergi jalan-jalan dan makan-makan ialah Train Night Market atau dikenali juga dengan Rod Fai Night Market. Kalau dari Samut Prakan, ia letaknya di seberang Sungai Chao Praya. Untuk menyeberanginya, kita perlu menaiki bot dari Samut Prakan. Ia memakan masa lebih kurang 10 minit untuk ke seberang Sungai Chao Praya dan tambangnya hanya 10 bhat. Bot ini beroperasi seawal  pukul 4 pagi hingga tengah malam.


Train Night Market @ Rod Fai Night Market


Apabila sampai di seberang, naiklah bas ke Rod Fai Night Market yang letaknya berdekatan dengan sebuah gedung membeli-belah (Mall) besar yang saya tak ingat namanya. Di Rod Fai mereka menjual barang-barang untuk remaja dan makanan. Bagi peminat barang-barang antik, pasti anda teruja kerana terdapatnya galeri barangan antik untuk dilawati dengan percuma.


Kereta antik dan barang antik dipamerkan di Train Night Market

Basikal lama pun ada

Macam-macam makanan yang boleh anda cuba di sini sama ada masakan asli Thai, China, India dan barat.

Cubalah makan Tomyam Kai (Tomyam Ayam) di sini. Istimewanya ialah kerana ia dicampur telur masin, bebola ikan, fish cake, ayam, santan, meehoon dan sudah tentu ianya berkuah. Rasanya pedas dan manis.

Makanan halal lain yang boleh anda makan ialah kebab, burger, hot dog dan taco.

Surau juga disediakan di sini untuk menunaikan kewajipan.


Tom Yam Kai ini ada telur masin


Burger, hot dog, kebab dan taco halal juga boleh didapati di sini

Trak yang menjual burger, kebab, hot dog, taco halal dan teh Dubai

Surau disediakan di pasar ini untuk menunaikan kewajipan


Itulah sahaja tempat-tempat makan halal di Bangkok yang saya tahu. Bolehlah cuba :)

Isnin, 4 Mei 2015

Merentas Sempadan Thailand ke Danok

Oleh kerana rumah saya di Pulau Pinang dan sempadan Thailand Selatan tidaklah jauh, iaitu kira-kira 2 jam pemanduan kereta, saya telah beberapa kali ke sana di hujung minggu.

Di sini saya ingin berkongsi dengan anda cara-cara memasuki sempadan Thailand Selatan ke pekan Danok.

Untuk ke Danok kita menggunakan lebuhraya ke utara melalui negeri Kedah. Di Kedah kita melalui Sungai Petani, Alor Star, Changlun, kemudian Bukit Kayu Hitam yang terletak di sempadan. Untuk melihat petanya sila klik DI SINI.

Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam, Kedah

Apabila sampai di sempadan Thai, kita akan lihat gerbang kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam. Bawalah kereta kita ke kaunter imigresen ini dan tak perlulah turun.

Menuju ke Kawasan Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam

Setelah melalui kompleks imigresen ini, kita carilah parkir yang letaknya berdekatan dengan Kawasan Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam.

Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam ini letaknya di hadapan kawasan parkir

Tinggalkan kereta kita di sebuah parkir berdekatan dengan sebuah kompleks membeli-belah bebas cukai. Bayaran parkir untuk sehari ialah RM15.00


Mendapatkan arrival card di meja di hadapan pintu parkir

Kemudian dapatkan arrival card di sebuah meja yang letaknya di pintu pagar pakir itu. Tunjukkan pasport kita dan bayarlah RM2. Arrival card/pass itu diisi oleh mereka dengan cepat. Tak sampai 5 minit ia pun siap.

Setelah mendapatkan arrival card/pass itu kita bolehlah ke Imigresen di sempadan Thailand. Kita berjalan kaki sahaja - lebih kurang 5-10 minit. Kita akan menemui Kompleks pemeriksaan Kastam pihak Thailand.

Boleh dapatkan khidmat van/teksi untuk ke destinasi seterusnya

Sekiranya kita ingin ke utara seperti Hatyai (60 km dari Danok), Lapangan terbang Hatyai, Klong Ngae, Songkhla, Nathawee, Krabi, Phuket, Pakbara, Satoon atau Watpahkor, kita boleh menggunakan perkhidmatan teksi-van yang terdapat berdekatan dengan kawasan parkir tadi.


Beratur untuk pemeriksaan pasport untuk masuk ke Thailand Selatan

Apabila kita sampai di Imigresen Thailand kita perlu beratur untuk pemeriksaan pasport. Selitkan duit seringgit di dalam pasport kita utk proses pemeriksaan itu. Kalau tak diselitkan duit seringgit ini, khabarnya pegawai di situ akan cari pasal dengan kita dan membuatkan proses mendapatkan cop itu menjadi sukar. (Begitulah dilakukan ketika balik semula ke Malaysia nanti).

Lama atau sekejap beratur di sini bergantung kepada bilangan orang ramai dan jumlah kaunter yang dibuka. Kalau kita ke situ pada hari cuti umum atau hari Jumaat dan Sabtu, tempat ini menjadi sesak.

Setelah selesai pemeriksaan pasport dan pasport kita dicop, kita pun boleh masuk ke Thailand. Pekan yang terdekat di sempadan Thailand itu ialah Danok, iaitu ia hanya di sebelah kaunter imigresen tadi.

Kedai-kedai di pekan Danok

Di Danok terdapat banyak hotel, kedai dan tempat makan halal yang diusahakan oleh orang Islam.

Baru-baru ini saya ke sini dengan suami saya untuk makan-makan, membeli-belah, memotong rambut dan mengurut badan.

Disamping itu ada juga yang datang ke sini untuk mendapatkan barang-barang untuk berniaga. Di sini juga ramai peniaga Islam berketurunan Melayu dan mereka bercakap Melayu dengan kita.

Ada juga orang ke sini untuk mendapat perkhidmatan yang kononnya 'seronok' tetapi dilarang oleh agama kita. Sekiranya kita mempunyai niat baik, ke mana-mana sahaja kita pergi, kita pasti tidak akan terpesong.

Hotel Oscar ini letaknya di pekan Danok. RM80 semalam
Restoren ini letaknya tidak jauh dari kaunter Imigresen di sempadan Thailand
Pelbagai lauk-pauk disediakan
Makan tengahari dengan tomyam campur, rebung goreng udang, kerabu mangga, telur dadar dan timun menjadi pilihan utama. Harga makan tengahari di sini tidak jauh beza dengan harga di Malaysia malahan ia lebih mahal. Namun kesedapannya tiada tandingan kerana resepinya asli.
Mangga dimakan dengan pulut menjadi kegemaran saya

Untuk kembali semula ke Malaysia, kita mestilah melalui Imigresen Thailand sekali lagi. Hulurkan pasport, arrival card/pass dan duit seringgit. Ambil semula kereta yang kita tinggalkan di parkir dan lalulah di kaunter Imigresen Malaysia.

Begitulah cara-cara untuk merentas sempadan Thailand ke Danok.

Baca juga:
Merentas Sempadan Thailand Melalui Betong - Hari 1 ~ Dari Betong ke Yala