Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 16 Julai 2018

Merentas Sempadan Thailand Melalui Betong: Hari 1~ Dari Betong ke Yala


H   ujung tahun lepas saya ikut suami saya. Naik kereta, jalan-jalan, makan angin. Bukannya jauh, cuma di tempat sendiri – Kuala Kangsar ke Taiping. Selalu juga kami buat begini.

“Kita ke Betong?” ajak suami saya tiba-tiba.

Walaupun terkejut kerana tidak membuat persediaan apa-apa, saya setuju. Sehelai sepinggang sahaja saya.  

Pasport ada dalam kereta. Cuma passport suami saya akan tamat tempoh kurang dari 6 bulan. Tapi itu tidak menjadi masalah kalau masuk ke Thailand melalui Betong. Imigresen tak kisah soal itu.

Betong, kalau menyebut tempat ini orang akan membayangkan sebuah pekan di sempadan Thailand-Perak bersebelahan dengan Pengkalan Hulu (Gerik).

Perjalanan ke sempadan memakan masa tidak sampai 2 jam kerana kami bertolak dari Kuala Kangsar. Ketika itu sudah 6 petang.

Kereta kami letakkan di sebuah tempat letak kereta yang berdekatan dengan kawasan imigresen bahagian Malaysia. Lalu kami masuk ke sempadan Thailand dengan menaiki sebuah kereta sapu milik orang Malaysia. Kereta sapu ini kemudian berpatah balik ke sempadan Malaysia setelah selesai menghantar kami ke imigresen pandu lalu Malaysia.


Kereta sapu yang membawa kami ke imigresen 

Kemudian kami berjalan kaki sedikit menuju kompleks imigresen Thailand. Di kawasan imigresen itu tiada ramai orang. Kami sahaja orang yang beratur di kaunter untuk mengecop pasport. Jadi urusan mengecop pasport dibuat sekelip mata sahaja.

Kami singgah sebentar untuk buang air di tandas dalam kompleks imigresen Thailand itu. Tapi malangnya, bekalan air tiada. Susah juga kami hendak mencari air untuk beristinjak. Mujurlah ada sedikit titisan air dari paip sebelah tandas lelaki. Kami pun kongsi air yang tak sampai setengah botol dengan beberapa orang di situ.





Laluan masuk kompleks Imigresen Betong


Setelah mengecop passport, kami pun melepasi sempadan Thailand dengan mudah. Pemandu-pemandu kereta sapu Thai sudah menunggu di sempadan. Kami memberitahu mereka yang kami hendak ke Betong kemudian ke Yala dan Pattani. Seorang lelaki Melayu Thai yang muda menerima kami dan membawa kami ke destinasi kami setelah berunding dengan harganya. Harga yang dirunding ialah RM350 untuk perjalanan pergi dan balik: Betong - Yala - Pattani.


Dua kali mengunjungi Betong, belum lagi saya bosan. Ada saja hal baru yang saya dapat dalam setiap perjalanan. Sepuluh tahun dulu, saya  dengan 4 keluarga saya ke Betong untuk bercuti. Kami menginap di chalet di Pengkalan Hulu. Salah satu agendanya adalah mandi air panas dan shopping di sempadan Thai. Pada masa itu sempadan Thai di sini ada kawasan bebas cukai yang seronok untuk membeli-belah, tetapi siapa sangka sekarang tidak lagi. Sunyi. Inilah yang saya rasakan apabila melalui kompleks beli-belah itu di sebelah sempadan Siam.


Kawasan beli-belah bebas cukai di sempadan Thailand yang sunyi


Kereta yang kami naiki itu bukanlah kereta baru, cermin tingkapnya pun gelap dan tintednya sedikit tercalar, jadi tak dapat saya tengok pemandangan dengan jelas. Tetapi kereta itu ada air-cond, jadi tidaklah lemas kami di dalamnya. 

Tak lama kemudian kami sampai di pekan Betong. Pekan Betong ini kecil.  Terdapat juga kereta Myvi di situ. Komuniti di sini bercampur di antara orang Melayu, Cina dan Siam.

Kedai-kedai di pekan Betong


Kami hendak tukar ringgit ke Bhat. Pemandu itu membawa kami ke sebuah kedai runcit untuk menukar wang. Tuan punya kedai  itu orang Cina dan dia bercakap dialek Hokkien. Apabila kami masuk ke dalam kedai, kedai itu gelap ~  tidak berlampu. Kenapa? 

Black-out rupa-rupanya! Tiada bekalan elektrik pada hari itu. Kami mendapat tahu bahawa ada kejadian pengeboman sebuah bas di Betong pada hari itu.  Pengeboman itu membuatkan seluruh Betong ketiadaan bekalan elektrik. Jadi mereka sudah bergelap sejak semalam. Salah timing, rupanya kami ni. Kejadian pengemboman sering berlaku di Selatan Thailand, pengeboman paling muktahir baru sahaja berlaku semalam!

Duit seribu ringgit jadi 7500 baht bila dah ditukar! Terasa sangat ringgit jatuh merundum! Tak bolehlah nak shopping sakan di sini sebab harga barang-barang pun saya tengok lebih kurang sama dengan harga di Malaysia.


Pekan Betong yang black out hari ini. Kelihatan peti pos lama berusia 90 tahun di simpang jalan


Setelah melepasi pekan Betong, kami menuju ke Yala. Perjalanan kami melalui jalan-jalan yang berliku-liku dan  turun-naik kerana banyak gunung. Banyak kampung-kampung, hutan-hutan kecil dan kebun-kebun getah. Kadang-kadang melalui pekan-pekan kecil. 

Terdapat tentera-tentera beruniform di pos kawalan tepi jalan dan membuat sekatan. Mereka memegang rifle M-16 dengan berpakaian celoreng. Menengokkan mereka berpakaian begitu, perasaan takut pun ada, nak tangkap gambar mereka apa lagi.  Kereta kami berhenti pada sekatan itu. Perasaan bimbang menghantui saya. Adakah kami orang luar akan disoal siasat? Tentera yang menahan bertanya pada pemandu kami dalam bahasa Thai dan kemudian membenarkan kami meneruskan perjalanan. Saya dan suami langsung tak disoal siasat. Pasport kami pun langsung tak diminta tengok. 

Banyak juga sekatan tentera ini sepanjang perjalanan dari Betong ke Yala. Boleh dikatakan pada setiap 6-10 km terdapat pos kawalan dan sekatan ini. Berpuluh-puluh pos kawalan  kami lalui sehingga membuat kami tertanya-tanya. Menurut pemandu kami, mereka sedang mencari penjenayah. Gambar penjenayah itu terpampang di tepi-tepi jalan. Penjenayah itu orang Islam, orang Melayu Thai. Mungkin mereka ini gerakan pemisah Pattani yang telah beroperasi lama sejak 2004.
.
Kami berbua-bual dengan pemandu kami itu. Katanya dia berasal dari Pattani, bekerja sebagai pemandu kereta dan menurutnya ramai orang Melayu Siam di situ dicari oleh tentera kerana dianggap penjenayah. Tetapi penjenayah itu sukar ditemui kerana mereka bersembunyi di kampung-kampung dan dilindungi oleh orang kampung.

Kami melalui jalan yang dikatakan tempat bas dibakar itu iaitu di jalan Ban Kasod di daerah Banang Sata (Benang Setar). Jalannya agak sunyi, besebelahan dengan kebun-kebun getah.

Di pekan Benang Setar kami melihat ada beberapa sekolah. 

"Inilah sekolah saya," kata pemandu kereta kami sambil menunding jarinya ke arah sebuah sekolah Tahfiz. 


Tempat mengisi petrol dalam perjalanan dari Betong ke Yala


Perjalanan 140 km dari Betong ke Yala itu mengambil masa hampir 3 jam. Kami sampai di Yala pada pukul 9 malam. Terus kami check-in hotel. Hotel Yala Rama yang kami pilih. Kami berjanji dengan pemandu kami untuk ke Pattani pagi esoknya. Dia lalu mencari bilik kawannya untuk menginap yang tidak berjauhan dari situ.

Hotel kami ini berharga 180 ringgit semalam. Hotel itu ok ok saja. Sempoi sangat. Keadaan dalam hotel tu bagi saya tak padan dengan harganya.



Yala Rama Hotel di pekan Yala



Bilik yang sempoi, tapi mahal



Harga bilik hotel di Yala yang tidak padan dengan kemudahan yang diberikan


Sebenarnya kami ada seorang kenalan orang Thailand yang sudah berkahwin dengan orang Kuala Kangsar, tetapi pulang sebentar ke Yala untuk melihat ibunya yang sakit. Kami panggil dia Kak Nah. Kak Nah kemudiannya datang dengan anak lelakinya menaiki motorsikalnya mencari kami di hotel. Kak Nah menganggap kami berani kerana datang ke Yala ketika kejadian pengemboman.  "Berani betul datang Betong time ni," katanya.




Pekan Yala


Kami kemudiannya keluar makan bersama. Oleh kerana sudah malam, kedai sudah tutup. Cuma terdapat beberapa buah kedai makan sahaja yang buka.

Kamipun menjamu selera dengan masakan asli Thailand: Tomyam putih, telur dadar, sambal belacan dengan timun, dan masak petai. Sungguh enak masakannya. 



Makan malam kami di Yala



Kami makan malam dengan masakan Thai bersama Kak Nah di sebuah kedai makan di Yala

Setelah berbual-bual panjang dengan Kak Nah dan anak lelakinya, kamipun pulang ke hotel. Kak Nah pula pulang ke rumahnya di Pattani. Esok pagi dia hendak bawa kami jalan-jalan di Pattani.

...bersambung

Baca sambungan cerita ini DI SINI

Baca juga:
Merentas Sempadan Thailand ke Danok

10 ulasan:

  1. Kadang-kadang perjalanan tanpa perancangan ni jadi seronok kalau semuanya berjalan lancar. Maknanya kena shopping bajulah di sana...

    Tak rasa gerun ke bila tau ada kes pengeboman di sana...

    Untunglah ada kenalan kat sana...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun tanpa perancangan. Tak shopping baju pun sebab pergi sehari je..

      Kalau tahu awal-awal ada pengeboman mungkin tak ke sana.

      Untung ada kenalan, mudah nak ke mana-mana. Student saya pun ada dari sini tapi tak sempat contact.

      Padam
    2. Selalu nya hotel di Thai murah berbanding harga makanannya

      Padam
    3. Tapi berlainan pula di Yala, hotelnya agak mahal.

      Di kawasan Thai mana hotelnya murah berbanding makanan, Hasnidar?

      Padam
  2. Salam...boleh x saya dptkn no driver tu?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bwk je kreta sndr Adilla, lg Jimat. Awk beli simkad internet bila dh lpas imegresen. pastu guna google maps.

      Padam
    2. Adila, saya tak simpan nombor driver tu. Boleh je ambil mana-mana driver yang menunggu penumpang di sempadan.

      Padam
  3. Baru pergi tadi.. masuk dengan kerata sendiri..diorg tak tahan pun..kami sekua takde borderpass atau passport..tapi kami ronda-ronda je lala pekan betong tu hehe

    BalasPadam
  4. google je.. lps imegresen cr kdai jual simkad internet. google maps jln. Naik kereta sndri je, lg jimat.

    BalasPadam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.